DI atas katil, Daizy sedang memandang tepat ke arah Zila yang sedang bersiap di hadapan cermin. Namun siapa sangka, fikirannya sedang melayang jauh. Kejadian di pantri tengahari tadi masih segar di ingatannya. Apatah lagi perihal Muzammil yang sudah bertunang membuatkan Daizy bingung dengan layanan lelaki itu.
"Daizy?" Panggil Zila.
"Hah?" Akhirnya Daizy tersedar dari lamunan panjangnya.
"Kau ni. Aku punyalah syok bercakap, kau boleh menghayal dekat situ."
"Eh, sorry. Kau cakap apa tadi?" Daizy tegakkan duduk seraya tersenyum sumbang.
"Kau ni kenapa? Dari tadi termenung aje."Tangannya masih rancak mengoles bedak ke wajah.
"Tak adalah. Aku cuma... teringat dekat bos aku," luah Daizy. Sememangnya dia selalu berkongsi cerita berkaitan pejabat dengan Zila.
"Bos kau? Kenapa? Korang bercinta?" Soal Zila lebih dulu meneka. Dia segera duduk di sisi Daizy.
"Ish! Mana adalah! Gila! Dia tu dah bertunang tau!" Paha Zila ditampar lembut.
"Habis tu?"
Akhirnya, Daizy menceritakan apa yang berlaku siang tadi. Kelihatan wajah Zila mempamer pelbagai reaksi. Apa yang pasti, senyumannya tak pernah lekang sepanjang mendengar Daizy bercerita.
"Dia suka kau. Confirm!" Zila tepuk tangan sambil mengangguk kepala.
"No! A big no!" Daizy geleng kepala. Muzammil sudah pun bertunang, mana mungkin dia suka dengan wanita lain.
"Daizy, dia tu baru bertunang. Tak kawin lagi. Ni lah masanya kau cucuk jarum." Zila mula menghasut.
"Dahlah kaya, muda. Mesti handsome, kan?" Zila mengetap bibir menahan tawa.
"Bolehlah." Daizy angguk setuju. Wajah Muzammil jelas menunjukkan lelaki itu berdarah kacukan. Wajahnya agak berbeza dengan lelaki tempatan.
"Kalau kau tak nak. Biar aku yang maju," usik Zila. Jika berada di tempat Daizy, tak akan disia-siakan peluang yang ada di depan mata.
"No thanks. Tak nak aku kena cop penyondol," ujar Daizy dengam senyuman lebar. Lagi pula, statusnya sebagai isteri orang membuatkan Daizy tidak lupa untuk menjaga batasnya.
MEMANDANGKAN waktu cuti, Daizy memilih menghabiskan masa di dalam bilik. Zila pula bekerja lebih masa dan akan pulang tengahari nanti. Oleh itu, Daizy memutuskan untuk membersihkan bilik. Semenjak mereka berdua bekerja, keadaan bilik mulai tak terurus.
Sedang tekun memungut pakaian kotor milik Zila, Daizy terhenti seketika. Kelihatan sehelai boxer terselit di bawah katil. Dengan menggunakan kaki, Daizy menarik keluar boxer tersebut.
"Ni boxer lelaki," tutur Daizy, perlahan.
Dia mulai tak sedap hati. Adakah Zila membawa lelaki masuk ke dalam bilik mereka?
"Takkanlah," desisnya tak percaya. Mana mungkin Zila membawa lelaki masuk ke dalam bilik mereka. Akhirnya, boxer tersebut dimasukkan ke dalam bakul yang menempatkan pakaian kotor milik Zila kemudian lanjut mengemas bilik.
Selesai mengemas bilik, barulah Daizy pergi membersihkan diri. Belum pun lama duduk di atas katil, perutnya pula berkeroncong. Sebaik melihat jam, baru tersedar akan dirinya yang belum bersarapan pagi sedangkan jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11 pagi.
Akhirnya Daizy mengambil keputusan untuk membeli makanan di restoran yang terdapat di bawah bangunan bilik sewa tersebut.
Mata mulai memerhati deretan lauk yang terhidang di dalam almari kaca. Dengan duit yang cukup-cukup makan, dia tidak boleh terlalu mengikut nafsu. Itupun duit yang diberi oleh Zila untuknya memandangkan dia baru sahaja mula bekerja. Gaji pertama yang bakal diterima pula adalah pada bulan depan. Makan dia tidak boleh membazir.
Setelah puas merenung lauk, dua ketul ikan goreng serta sayur campur menjadi pilihannya. Sengaja dibeli lebih untuk dimakan malam nanti. Setelah dimasukkan ke dalam polisterin, ianya dibawa ke kaunter untuk dibayar.
Semasa keluar dari restoran tersebut, langkah Daizy berhenti saat terpandang seorang lelaki yang sedang berdidi di sisi kereta sambil merenung tepat ke arahnya. Setelah diamati, lelaki itu adalah Muzammil. Lebih menghairankan, lelaki itu tiba-tiba melambai ke arahnya sambil tersenyum.
Hampir beberapa saat berbalas renungan, akhirnya Muzammil masuk ke dalam keretanya dan terus memandu pergi dari situ. Daizy hanya memerhati sehingga kereta tersebut hilang dari pandangannya.
"Tuan Muzammil? Atau aku salah orang? Ish!" Kepala digaru kasar sambil memerhati kembali ke arah jalan raya yang dilewati kereta tadi. Dengan nafas berat, Daizy beredar dari situ. Setibanya di bilik, dia segera menghidang makanan yang dibeli tadi. Perutnya semakin rancak berbunyi selepas berjalan sebentar tadi.
POTRET perkahwinan yang tergantung di dinding direnung lama. Hari ini, genap 8 bulan Daizy meninggalkan rumah. Sangkaan Levent, wanita itu bakal pulang dalam waktu terdekat. Ternyata sangkaannya salah. Daizy langsung tidak munculkan diri.
"Mana kau pergi?" Soalan itu terpacul dari mulut Levent.
Tak sangka Daizy bakal membawa diri begitu lama tanpa khabar berita.
"Kau masih isteri aku, Daizy. Aku tak pernah ceraikan kau. Aku masih sayang kau." Nafas berat dihela panjang. Mulai bimbang akan nasib isterinya di luar sana. Dia berniat mahu melaporkan kepada pihak polis namun Dato Ahmed menghalangnya. Bimbang jika Daizy semakin menjauhi mereka semua.
Alfie pula tak henti menyalahkan Levent atas apa yang terjadi. Levent juga akur, sememangnya dia salah dalam hal ini.
"Kau pegang kata-kata aku ni! Kalau aku dah jumpa dia nanti, jangan harap aku lepas dia balik dengan kau! Aku akan pastikan korang berdua bercerai!" Nekad sungguh kata-kata Alfie tempoh hari. Sebelum ini dia begitu menghormati Levent sebagai suami Daizy. Namun selepas kejadian ini, tiada apa yang tinggal melainkan rasa benci.
"Kita boleh baiki semula, Daizy. Kita boleh. Seperti mana kau bertahan dan bersabar. Aku yakin, kali ni kita masih boleh baiki semuanya." Mata yang mulai berair dipejam seketika sambil menarik nafas panjang. Bergunakah penyesalannya sekarang? Daizy sudah membawa diri. Entah wanita itu akan kembali atau tidak.
HUJAN yang tadinya renyai kini mulai lebat. Sudah setengah jam Daizy berdiri di lobi utama menunggu hujan reda. Dia ingin menuju ke perhentian bas yang terletak di luar kawasan pejabat, namun hujan yang begitu deras mematahkan niatnya. Sudah tentu dirinya basah lencun sebelum sempat tiba di perhentian bas itu.
"Masuk," arah Muzammil dari dalam keretanya.
Tak sedar sejak bila kereta lelaki itu tiba di situ. Daizy tersentak seketika. Adakah Muzammil sedang berbicara dengan dirinya. Tapi, tiada siapa di situ melainkan dirinya dan pengawal.
"Daizy, masuk. Saya hantar awak balik," pelawa Muzammil kemudian membuka pintu di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.
Tanpa membantah, Daizy bergegas masuk kemudian menutup pintu. Dia tidak berani membantah arahan Muzammil kerana status lelaki itu sebagai atasannya.
"Tuan turunkan saya dekat bustop tu jelah. Saya balik naik bas," tutur Daizy, sedikit gugup.
"Alang-alang awak dah dalam kereta, lagi bagus saya hantar balik terus ke rumah," tekan Muzammil
"Rumah saya jauh."
"I know," balas Muzammil.
Daizy akhirnya teringat sesuatu. Dia pernah melihat Muzammil sewaktu membeli makanan tempoh hari.
"Yes, we saw each other," kata Muzammil tiba-tiba. Bagaikan dapat membaca apa yang sedang bermain difikiran Daizy.
"Hah?" Daizy terkebil-kebil.
"Hari tu, awak nampak saya, kan? Yes, that's me," kata Muzammil sambil melirik dengan senyuman nipis.
"Oh." Daizy tertawa hambar.
"Dating dengan tunang?" Soal Daizy cuba basa basi. Memandangkan Muzammil begitu santai berbual, maka dia tidak mahu status mereka mematikan perbualan itu.
"Tak, nak tengok awak," kata Muzammil, selamba.
"Hah?" Laju Daizy memandang lelaki itu dengan mulut yang sedikit terbuka. Bagaikan tak percaya dengan apa yang dikatakan.
"Close your mouth." Spontan, tangan Muzammil menolak perlahan dagu Daizy hingga mulut wanita itu tertutup rapat.
Dengan pantas, Daizy menepis tangan Muzammil. Sebagai isteri orang, dia tidak boleh membiarkan mana-mana lelaki menyentuhnya sesuka hati.
Keadaan mulai senyap sehinggalah mereka tiba di bilik sewa Daizy.
"Terima kasih, tuan," ucap Daizy dengan senyuman sebaris di bibirnya. Saat ingin membuka pintu, lengannya ditahan oleh Muzammil.
"Tinggal dengan siapa?" Tanya Muzammil. Matanya sesekali memerhati keadaan bangunan tersebut.
"Kawan."
"Lelaki atau perempuan?"
"Perempuan."
"Dia kerja apa?"
Daizy senyap seketika. Mencari perkataan yang sesuai untuk pekerjaan Zila.
"Pelayan... cafe," jawabnya, gugup.
"Cafe dekat mana?"
"Saya tak tahu." Daizy geleng kepala.
"Oh, okey." Serentak itu Muzammil membuka tali pinggang keledar kemudian turun dari kereta. Daizy pula hanya memerhati perbuatan lelaki itu.
"Daizy, come," panggil Muzammil lagi kemudian menutup pintu.
"Tuan nak pergi mana?" Soal Daizy seraya turun dari kereta.
"Nak tengok bilik awak," katanya selamba.
"Tak payahlah, tuan. Dekat atas tu kotor. Saya risau tuan tak selesa," ujar Daizy. Sebenarnya dia yang tak selesa jika harus membawa Muzammil naik ke bilik sewa.
Tapi, Muzammil lebih dulu menaiki tangga menuju ke bilik sewanya.
"Tuan! Tunggu!" Daizy pantas mengejar dan terus menarik hujung kemeja Muzammil.
"Saya... saya rasa tak manis nak bawa tuan masuk bilik sewa saya," kata Daizy, serba salah bercampur bimbang.
"Don't worry. Saya tak akan masuk bilik sewa awak," katanya seraya menepuk lembut kepala Daizy.
Daizy semakin tak sedap hati. Entah kenapa perbuatan Muzammil begitu spontan terhadapnya.
"Jom," ajak Muzammil kemudian kembali menaiki anak tangga. Setibanya di atas, Muzammil memberi ruang kepada Daizy untuk menunjukkan bilik sewanya.
Sebaik membuka kunci, Daizy tidak terus menguak pintu itu. Dia bimbang jika keadaan biliknya bakal mengejutkan Muzammil. Lagipula, Zila masih berada di dalam bilik. Boleh saja dia sedang berbaju tidur ataupun tak berbaju langsung. Daizy sudah biasa dengan keadaan Zila yang seperti itu.
"Ini bilik saya," kata Daizy dengan senyuman mendatar. Cukuplah Muzammil mengetahui di mana bilik sewanya. Tidak perlu memperlihat apa yang ada di dalam.
"Open the door," arah Muzammil sambil berpeluk tubuh.
"Tapi..."
"Just open the door. Saya tak akan masuk. Nak tengok dari luar sahaja."
Daizy mulai kesal dengan sikap Muzammil. Suka memaksa dan mengarah dirinya. Mereka bukan berada di pejabat, maka lelaki itu tiada hak untuk mengaturnya. Dengan helaan nafas yang berat, Daizy beranikan diri untuk menentang mata Muzammil. Lelaki itu harus tahu bahawa dia tidak suka dipaksa-paksa.
"Rasanya tuan kena tahu batas tuan sebagai bos. Kita bukan berada pejabat. Dan sekarang ni pun bukan waktu bekerja," tegas Daizy, berani.
Tiba-tiba, pintu dibuka dari dalam. Serentak itu, Daizy dan Muzammil menoleh ke arah Zila yang hanya mengenakan tuala separas paha.
"Eh, hai," ucap Zila sambil tersenyum manis. Muzammil sudah berkerut kening manakala Daizy melopong seketika.
"Ish! Jangan tengok!" Pantas, Daizy membalik tubuh Muzammil membelakangi Zila.
"Zila! Masuk!" Daizy segera menolak Zila masuk ke dalam bilik kemudian menutup pintu.
"Bos kau?!" Tanya Zila begitu teruja. Tidak pernah melihat lelaki sekacak Muzammil. Ditambah lagi wajah yang berdarah kacukan membuatkan ketampanannya berbeza dari lelaki tempatan.
"Ya! Buang tebiat nak hantar balik!" Rungut Daizy.
"Ajaklah masuk."
"Tak payah! Dia nak balik," katanya seraya menghempas punggung di atas tilamnya.
Tiba-tiba, pintu bilik mereka diketuk. Laju sahaja Zila membuka pintu tersebut walaupun dirinya masih bertuala.
"Eh, encik. Masuklah," jemput Zila tanpa segan silu.
Daizy sudah menepuk dahi sambil mengeluh panjang. Apa kata orang jika melihat lelaki di dalam bilik sewa mereka?
Muzammil mulai menapak masuk sambil memerhati ruangan bilik sewa itu. Setiap inci ruangan menjadi tatapan mata sebelum akhirnya dia mendekati Daizy.
"Awak perlu apa-apa yang nak diletak dalam bilik ni?" Soal Muzammil.
"Tak ada," laju sahaja Daizy menjawab. Sesekali katanya melirik Zila yang sedang tersenyum lebar sambil memintal rambutnya. Mata wanita itu tak lari dari merenung Muzammil sambil menggigit-gigit manja bibirnya.
"Katil ni, dah boleh tukar yang baru," kata Muzammil lagi seraya duduk di sisi Daizy. Tangan menepuk-nepuk permukaan katil yang semakin mendap. Pantas, Daizy berdiri sambil mencekak pinggang.
"Tuan!..." Daizy mengetap bibir menahan marah. Bimbang dia akan melampiaskan kemarahan pada Muzammil di hadapan Zila.
"Kita cakap dekat luar," kata Daizy kemudian mengatur langkah keluar dari situ. Beberapa saat kemudian barulah Muzammil bangun dari duduknya. Saat melepasi Zila, wanita itu mengenyit mata ke arahnya sambil menyentuh lembut bahunya.
"Datanglah lagi," bisik Zila dengan senyuman penuh makna. Muzammil hanya tersenyum nipis kemudian keluar dari situ. Setibanya di bawah, Daizy sudah berdiri di sisi keretanya sambil mencekak pinggang.
"This is too much," kata Daizy sedaya upaya menahan emosinya. Muzammil sudah melampaui batas sebagai atasannya. Lebih tepat lagi, lelaki itu sudah mengganggu privasi mereka.
"Yang tadi tu kawan awak?" Tanya Muzammil. Tak peduli langsung akan riak wajah Daizy yang begitu tegang sekali.
"Tuan, saya tak suka dengan cara tuan sekarang ni. Tuan dah ganggu privasi saya, tahu tak?!" Nada suara Daizy mulai nak seoktaf menandakan dia benar-benar marah.
"Tilam awak tu dah boleh buang esok pagi. Esok petang saya hantarkan yang baru," kata Muzammil selamba.
Daizy sudah mengetap bibir menahan mulut dari memaki. Boleh pula Muzammil mengungkit perihal tilam.
"Tuan! Saya tak perlu ihsan dari tuan! Saya nak tidur beralaskan kotak pun, itu bukan urusan tuan!" Tegas Daizy.
"Ini bukan ihsan. Ini tanggungjawab. Saya kena pastikan yang awak dalam keadaan baik, sebelum..." Muzammil terdiam seketika. Lidahnya mulai membasahkan bibir yang sedikit kering.
"Sebelum apa?" Soal Daizy semakin bengang.
"Sebelum... sebelum awak sakit belakang. Tilam tu tak elok," sambung Muzammil sedikit tergagap.
"Bukan urusan tuan!" Tegas Daizy lagi.
"Saya harap ini kejadian terakhir. Kalau disebabkan status saya sebagai pekerja yang membuatkan tuan bertindak seberani ini..."
Nafas ditarik dalam kemudian hembus kasar.
"Saya dengan rela hati letak jawatan dari syarikat tuan," tegas Daizy. Dia tidak takut kehilangan pekerjaan asalkan maruah serta privasinya tidak diganggu sewenang-wenangnya.
Dengan perasaan kesal, Daizy meninggalkan Muzammil di situ. Lelaki itu harus tahu bahawa perbuatannya adalah salah dan tidak boleh dibiarkan. Daizy lebih rela kehilangan pekerjaan daripada maruahnya tercalar.
Share this novel