Chapter 13

Romance Completed 17236

BAB 13

AUNI melihat sekitar ruang legar kompleks beli belah itu. Muka Fossil menjadi tumpuannya. 11 pagi. Hampir 15 minit dia menunggu Najwan namun bayang bakal tunangnya itu masih lagi belum kelihatan. Orang ramai sudah berpusu-pusu memasuki kompleks beli belah itu.

Auni sudah tiba di sini beberapa minit selepas pukul 10 pagi lagi. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya sebelum ketibaan Najwan dan E-jat.

“ Nini?”

Dahi Auni berkerut. Hanya seorang sahaja yang memanggil dengan nama itu. Tidak lain tidak bukan…

“ Maaf, lambat. E-jat baru nak mandi masa saya nak datang,” kata Najwan yang segak berbaju T hitam berkolar dan denim biru. Ringkas sahaja. E-jat yang berada di sebelahnya juga ringkas berbaju T dan berdenim paras lutut. Auni hanya tersenyum.

“ Tak apa. E-jat baru bangun tidur ke?” tanya Auni ramah. Matanya tertumpu pada E-jat. E-jat mengangguk.

“ E-jat tidur lewat semalam. Tengok Monsters vs Aliens,” balas E-jat yang sama ramah dengan Auni. Auni tergelak kecil. Dia duduk mencangkung separas dengan E-jat.

“ Dah makan? Kalau E-jat tak makan lagi, kita pergi makan dulu,” kata Auni. Pantas E-jat mendongak merenung wajah Najwan. Najwan hanya mengangguk.

“ Boleh juga. E-jat memang tak makan lagi. Awak dah makan?” tanya Najwan. Auni mengangguk.

“ Sekarang dah hampir masuk waktu makan tengah hari. Kita pergi makan dulu lepas tu pergi cari barang. Ibu dah bising kat rumah tu. Suruh selesaikan hal ni cepat,” kata Najwan sambil tersenyum.

“ Okey, tapi nak makan kat mana? Saya ikut aje,” jawab Auni.

“ KFC?”

“ Okey.”

BAJU kurung putih gading dengan renda Perancis yang dipamer di ruang pameran butik itu menarik perhatian Auni. Berkenan pula dia dengan rekaan ringkas baju kurung tersebut.

“ Nini?”

Pantas Auni berpaling ke belakang. Mahu sahaja dia terlanggar Najwan yang hanya berdiri selangkah sahaja daripadanya. Najwan sedang merenung pada baju kurung moden yang menjadi perhatiannya tadi.

Auni tarik senyum. Dia merenung pada E-jat yang sedang memegang erat tangan Najwan di sebelah. “ Kenapa?”

“ Awak berkenan ke dengan baju tu? Asyik betul saya tengok awak dengan baju tu,” kata Najwan. Turun naik matanya menilai baju kurung putih gading di hadapannya. Memang cantik! Agak-agak, apa reaksi ibu kalau tengok baju ni? Najwan tergelak kecil.

“ Entahlah,” jawab Auni tidak pasti. Malu pula nak mengaku yang dia suka akan baju itu. Tapi serius dia sukakan baju itu. Menarik betul pada matanya. Rekaannya tidak kelihatan keterlaluan. Sesuai dengan Auni yang sukakan rekaan ringkas.

“ Nini?” Najwan panggil lagi. Auni menyahut sahaja. Dia menoleh ke belakang. Keningnya diangkat sebelah.

“ Awak dah berkenan dengan baju tu ke? Kalau tak, saya dah nak bayar ni. Bising pula ibu kalau balik lambat, dia pesan suruh awak minum petang kat rumah saya dulu baru boleh balik rumah awak,” kata Najwan. Dia mengerling pada jam di tangan. Hampir menunjukkan pukul 4 petang.

Lambat-lambat Auni mengangguk. Baju kurung itu memang menarik perhatiannya untuk dimiliki. Dia tersenyum. “ Baiklah.”

Najwan membalas senyuman gadis itu. Dia terus ke kaunter bagi menyelesaikan urusan yang seterusnya. E-jat pula sedang berbual-bual dengan Auni. Mesra sungguh anak kecil itu dengan Auni walaupun mereka jarang bertemu.

Rekaan untuk majlis resepsi sudah dipersetujui dan urusan yang melibatkan kad undangan perkahwinan dan kelengkapan majlis sudah dibeli sepenuhnya. Hanya tinggal beberapa barang yang ditempah untuk siap sahaja. Baba pun sudah menelefon pihak pengurusan majlis untuk tambahan meja pada majlis mereka di hotel bersama-sama pasangan Nawal-Syah kelak.

Sebenarnya Najwan mahu mengadakan majlis itu secara kecil-kecilan sahaja tetapi memandangkan baba punya ramai kenalan dalam bidang perniagaan, terpaksalah baba menjemput mereka semua sekaligus mengadakan majlis secara besar-besaran.

“ Selesai juga benda ni. Sejak hari tu lagi ibu bising suruh siapkan benda ni awal-awal, kalau tak kelam kabut jadinya,” kata Najwan. Auni tergelak.

Penuh tempat simpanan barang Prius Najwan dengan barangan yang dibeli oleh mereka. Auni menolong Najwan memasukkan kesemua barangan itu ke dalam ruang penyimpanan itu. E-jat hanya jadi tukang pemerhati sahaja. Seronok dia makan aiskrim yang Auni belanja.

“ Jadi…” Najwan tenung muka Auni. “… awak kena ikut saya balik rumah dulu. Ibu dah pesan dalam 20 kali pada saya suruh bawa awak balik lepas beli barang.”

“ Yalah,” sahut Auni. Dia melangkah ke Swift putihnya yang diparkir selang beberapa buah kereta daripada Prius Najwan. Dia memandu mengekori kereta Najwan dari belakang.

Lantaran tiada kesesakan jalan raya, pemanduan mereka lancar menuju ke rumah Najwan. Ibu awal-awal lagi sudah menunggu di halaman rumah. Terus sahaja ibu menerpa ke arah hadapan rumah sebaik sahaja kedua-dua kereta memasuki halaman.

“ Assalamulaikum, Mak Cik Sofi,” sapa Auni. Tangan wanita itu disalami perlahan.

“ Kenapa panggil macam tu? Mulai sekarang Auni kena panggil ibu, tak lama lagi kamu dah jadi menantu ibu, kan?” sungut ibu. Najwan yang mendengar kata-kata ibunya tersengih.

“ Ibu ni, nampak gaya kalau Naj ajak Nini nikah malam ni juga, ibu yang sokong seratus peratus,” usik Najwan. Dia mendukung E-jat yang hanya ketawa. Ibu mencebik.

“ Bukan malam ni, kalau boleh petang ni juga! Kamu tu tak sedar ke dah jadi bujang terlajak?” sindir ibu. Auni terpinga-pinga. Akhirnya dia tersenyum malu.

Ibu masuk ke dalam rumah disusuli Auni, Naj dan E-jat. Barangan yang dibeli mereka masih selamat dalam kereta Najwan. Ibu merenung pada muka jam dinding.

“ Sekarang ni dah Asar. Baiklah kalau kamu berdua solat dulu. Lepas tu turun ke laman, minum petang bersama, boleh?” kata ibu. Najwan dan Auni hanya mengangguk. Sesudah itu, mereka berdua ditinggalkan ibu di ruang tamu. E-jat dibawa bersama naik ke tingkat atas.

“ Mari, saya bawa awak ke bilik tetamu. Dalam tu ada kain telekung, boleh awak guna. Ibu biasanya solat dalam bilik dia. Nak ajak awak ke bilik solat, takut tak ada privasi untuk awak pula kalau awak nak tanggalkan tudung,” ajak Najwan. Auni menurut sahaja. Ternyata keluarga Najwan prihatin akan suruhan agama yang wajib itu.

Najwan dan Auni sama-sama menapak ke tingkat atas. Pintu sebuah bilik dibuka. Auni menjenguk ke dalam. Memang sesuai untuk dijadikan sebagai bilik tetamu, susunan perabot juga kemas. Memudahkan tetamu yang akan bermalam di rumah ini.

“ Awak solatlah dulu, saya nak ke bilik saya,” kata Najwan.

“ Okey.”

Sesudah Najwan melangkah pergi, terus Auni mengunci pintu bilik itu. Bahaya kalau sesiapa masuk masa dia menanggalkan tudung di kepala. Auni menggantikan seluar jean yang dipakainya dengan kain batik bersih yang ditemui dalam bilik itu. Dia masuk ke dalam bilik air. Pili air dibuka.

“ Bismillah…”

AUNI tarik pintu bilik tetamu itu perlahan. Dia menjenguk ke luar. Matanya tertumpu pada ruang menonton di luar bilik. Satu set sofa tersedia di situ berserta dengan sebuah TV plasma dan pemain DVD. Dia melangkah keluar.

“ Awak tentu Kak Long, kan?”

Pantas Auni menoleh ke belakang. Seorang gadis yang kelihatan sebaya dengan dia sedang tersenyum kepadanya. Auni tarik senyum teragak-agak.

“ Ops! Maaf, saya Nawal, adik Najwan,” ucap gadis itu.

Oh… adik Naj rupanya.

Nawal mendekati Auni yang masih tercegat di situ. Tangan gadis itu disalami.

“ Patutlah Along angau, cantik betul Kak Long,” kata Nawal. Ternyata gadis itu mudah ramah dengan orang yang baru dikenalinya. Auni tersengih.

“ Nawal baru balik ke?” tanya Auni. Tudung masih melekat pada kepala gadis itu. Nawal mengangguk. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.

“ Baru balik jumpa tunang,” jawab Nawal ramah.

“ Oh…”

Auni memerhati ke sekeliling. Matanya tertumpu pada deretan kotak-kotak DVD. Dahinya berkerut apabila tajuk-tajuk DVD itu seperti pernah dilihatnya. Dia melihat pada wajah Nawal kembali.

“ Nawal minat drama Korea juga ke? Banyak DVD drama Korea Kak Long tengok kat sana. Kak Long pun minat dengan drama Korea ni,” tanya Auni. Agak kekok apabila membahasakan dirinya sebagai Kak Long kepada gadis di hadapannya itu. Nawal hanya menggeleng.

“ Bukan Nawal punya. Nawal tumpang pinjam dan tengok aje,” jawab Nawal sambil tersengih. Dahi Auni makin berkerut.

“ Bukan? Habis tu milik siapa?” Naj ada adik perempuan lain ke? Ke ibu yang tengok semua ni?

“ Semua tu Along punya.”

Eh?

AUNI membuka pintu Swift putihnya sebelum perhatian dia terarah pada Najwan yang turut membuka pintu keretanya. Keningnya bercantum. Dia ni nak ke mana pula tu?

“ Awak nak ke mana?” tegur Auni. Najwan yang baru sahaja ingin masuk ke dalam keretanya, keluar kembali. Lelaki itu mengukir senyuman.

“ Iring awak baliklah, apa lagi? Saya nak hantar awak balik dengan kereta saya, takkan nak tinggal macam tu aje kereta kesayangan awak tu? Saya cuma boleh pandu belakang kereta awak ajelah,” jawab Najwan. Auni menggeleng.

“ Tak payahlah, bukannya saya tak biasa pandu seorang macam ni,” bantah Auni. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu namun Najwan hanya tersenyum.

“ Awak dengar apa yang saya kata, kan? Dah, naik kereta. Nanti lambat sampai pula,” kata Najwan. Tanpa mempedulikan Auni yang masih mahu membantah, dia terus masuk ke dalam keretanya. Auni mencebik. Tanpa sebarang pilihan, dia masuk sahaja ke dalam Swift.

Swift dipandu keluar dari halaman rumah Najwan. Prius Najwan mengekori dari belakang. Sesekali mata Auni melirik pada cermin sisi keretanya, melihat pada Prius di belakang.

Auni menghela nafas. Kenapalah si Najwan tu rajin sangat nak iring aku sampai ke rumah?

Tetapi sebenarnya Auni agak berterima kasih dengan apa yang Najwan lakukan. Dia dapat merasakan lelaki itu mampu melindungi dirinya dengan baik selepas mereka berkahwin nanti.

Swift Auni dipandu memasuki perkarangan rumahnya manakala Najwan hanya memarkirkan keretanya di luar pagar rumah. Najwan tidak berniat untuk singgah lama-lama di rumah Auni memandangkan hari sudah lewat petang. Dia keluar daripada keretanya, mengatur langkah mendapatkan Auni sedang mengunci kereta.

“ Ummi dan walid awak tak ada ke?” tanya Najwan apabila melihat ruang hadapan kereta itu kosong tanpa sebarang kenderaan. Auni menjongket bahu.

“ Entahlah. Tapi pintu pagar terbuka. Rasanya walid tak balik lagi dari ofis dia, ummi mungkin ke rumah jiran,” jawab Auni. Najwan mengangguk sahaja. Tangannya diseluk ke dalam poket. Dompetnya dikeluarkan. Sesuatu diambil dari dalam dompet itu.

“ Nah.”

Auni kebingungan namun dia tetap menadah tangannya. Apa pula ni?

“ Kan saya dah janji saya akan beri ini setiap kali saya jumpa awak?” kata Najwan sambil mengenyit mata. Auni mengangguk. Matanya melekat pada klip kertas yang sudah diubah menjadi bentuk hati berwarna putih. Dia tertawa kecil.

“ Terima kasih,” ucapnya perlahan. Najwan sengih sahaja.

“ Tak apalah, saya balik dulu. Awak pun dah selamat sampai ke rumah awak,” ucap Najwan. Matanya singgah pada wajah gadis yang manis bertudung itu. Auni tersenyum. Namun cepat benar riak wajahnya berubah.

“ Kejap, Naj. Sekejap, hampir lupa pula saya,” ucap Auni. Tergesa-gesa dia masuk kembali ke dalam Swift putihnya. Dia mengeluarkan sesuatu daripada tempat simpanan di bahagian hadapan kereta.

“ Untuk awak,” kata Auni perlahan, agak malu-malu.

Sebuah beg plastik berwarna hitam diserahkan kepada Najwan. Najwan menyambut huluran itu dengan senyuman. Matanya merenung pada wajah kemerahan Auni.

“ Untuk saya? Terima kasih.” Najwan senyum ikhlas.

Sehelai kemeja T berwarna hijau gelap dikeluarkan daripada beg plastik itu. Tampak segak dan ringkas dengan kolar yang berwarna hijau muda dengan sedikit rekaan pada lengan di bahagian kanan.

“ Balik rumah nanti saya cuba tahu. Terima kasih Nini,” ucap Najwan berulang kali. Hatinya melonjak gembira.

Pertama kali mendapat hadiah daripada bakal tunang, siapa yang tidak gembira kan?

“ Sama-sama. Saya tak tahu padan tak dengan awak. Jadi… terima kasih sebab sudi hantarkan saya pulang sampai sini,” ucap Auni. Kemeja T itulah yang dibelinya sebaik sahaja dia tiba di kompleks beli belah itu pagi tadi.

“ Apa-apa sahaja untuk awak. Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum,” kata Najwan. Matanya melirik seketika pada Auni sebelum dia melangkah ke Prius yang tersadai di luar pagar. Auni mengekori lelaki itu dari belakang.

“ Kirim salam pada ummi dan walid, ya?” pesan Najwan. Dia masuk ke dalam keretanya. Auni mencebik.

“ Sejak bila mereka jadi ummi dan walid awak?” tanya Auni. Najwan tergelak.

“ Sejak awak setuju jadi isteri saya,” jawab Najwan selamba. Auni ketawa.

Dia memerhati sahaja Prius hitam itu menghilang daripada pandangannya. Sebaik sahaja bayang kereta itu tiada, dia terus masuk ke dalam rumah. Auni berlari naik ke tingkat atas. Masuk sahaja ke dalam biliknya, dia terus menerpa pada laci meja kerjanya. Diari miliknya dibawa keluar. Tergesa-gesa dia membuka lipatan sehelai A4 yang disimpan di dalam diari. Matanya turun naik melihat pada kandungan kertas itu.

Panduan Auni Ammaleeyna Bila Nak Cari Suami ;)

• Boleh jadi imam solat dan pandai baca Al-Quran.

• Hormat orang tua (tak nak ada masalah dengan mentua pula nanti).

• Kena ada kerja tetap, tak kisahlah kerja apa asal halal.

• Sopan dan ramah dengan orang lain, tak kisahlah dengan siapa pun.

• Suka dengan budak-budak.

• Aku boleh buli dia masa aku nak 

• Paling penting, layanan dia pada ibu-kakak-adik perempuan dia mestilah kelas A.

Kenapa aku rasa dari nombor satu sampailah yang akhir ada pada Naj?

Auni garu kepala yang tidak gatal. Dia bergolek di atas katil. Bila difikir-fikirkan kembali, semua ciri yang dia mahukan ketika mencari suami ada pada Najwan. Semua ni kebetulan ke atau memang takdir untuk dia?

Pada mulanya dia merasakan bahawa ini semua hanyalah kebetulan tetapi selepas meneliti satu persatu sikap Najwan, dia merasakan ini bukannya kebetulan. Najwan memang mempunyai kesemua ciri lelaki idaman Auni. Auni cukup bersyukur dengan apa yang dia temui dalam diri Najwan. Dia langsung tidak menyangka semua ciri lelaki idamannya ada pada Najwan.

Auni bingkas melompat daripada katilnya. Dia berdiri bercekak pinggang di hadapan meja solek. Matanya tertancap pada pantulan imejnya pada permukaan cermin.

“ Auni Ammaleeyna, tak lama lagi kau akan jadi isteri orang. Kau kena ingat, kau kena terima baik buruk yang ada pada suami kau nanti.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience