BAB 29
NAJWAN sudah bertolak ke Tioman pada pagi tadi. Sampai sahaja Najwan di pulau peranginan yang sering menjadi tumpuan pelancong itu, terus dia menelefon Auni. Bimbang benar dia kerana meninggalkan Auni keseorangan di rumah. Nasib baiklah Auni menumpang tidur di rumah baba dan ibu. Tak adalah dia risau sangat. E-jat pun tentu asyik melompat kegembiraan saja sebab dapat peluang untuk bermanja lama dengan mamanya.
“ Nini okey tak?” tanya Najwan. Jelas nada kerisauan terpamer pada setiap bait katanya. Auni yang baru sahaja selesai menunaikan solat Asar mula tergelak. Belum sempat dia menanggalkan kain telekungnya, Xperianya sudah berbunyi menandakan ada panggilan masuk.
“ Nini okey, suamiku sayang. Dahlah! Abang ni risau tak bertempat. Nini pun bukannya duduk seorang diri kat rumah. Nini kan duduk kat rumah baba dan ibu ni? Nak risau apa bendanya?” sabar Auni membalas.
Biasanya dia yang banyak karenah. Kali ini terbalik pula. Najwan asyik menyuarakan kebimbangannya kepada Auni walaupun sudah berulang kali ditenangkan oleh isterinya.
“ Kalau bukan sebab kerja jangan harap abang nak tinggalkan Nini seorang diri. Seminggu pula tu. Abang rela minta cuti seminggu daripada Adam untuk Nini,” luah Najwan lagi. Auni menggeleng perlahan. Lawaklah pulak suami aku ni.
“ Dah, abang jangan nak mengada. Mentang-mentanglah bos Nini tu kawan abang, pandai-pandai aje nak ambil kesempatan. Kenapa tiba-tiba jadi kuat mengada-ada ni? Biasanya Nini aje yang kuat mengada macam ni. Abang tak boleh ambil alih tempat Nini, jadi berhenti mengada,” kata Auni. Tentu Najwan mencebik jika dia berkata sedemikian. Peduli apa aku?
“ Yalah, yalah. Apa salahnya. Dahlah selama ni asyik Nini aje yang merengek dengan abang, sekarang ni giliran abang pula nak mengada-ada dengan Nini. Mana aci Nini seorang aje boleh,” balas Najwan tidak mahu mengalah. Auni jelir lidah tanda main-main.
“ Aci tak aci. Abang balik dari Tioman tu, abang kena belikan banyak cenderamata untuk Nini dan E-jat. Oh ya! Nini nak pergi bawa E-jat main kat taman lepas ni. Jangan dengki ya?”
“ Seronoklah E-jat dapat manja puas-puas dengan Nini.” Najwan buat nada tidak puas hati. Auni hanya ketawa. Macam budak-budak. Dengan anak saudara sendiri pun nak dengki juga?
“ Abang tengah dengki dengan E-jat ni, abang dah masuk bilik atau belum?” tanya Auni. Dia menarik senyum.
“ Belum lagi. Abang terus jumpa pengurus kat sini. Beg pun tak ambil lagi. Kenapa?”
“ Nini ada letakkan sesuatu dalam beg abang. Tengoklah nanti. Nini kena pergi dulu. Assalamualaikum.”
Terus Auni memutuskan talian. Biarlah Najwan berteka teki sendirian. Lepas ini suaminya akan tahu juga apa yang dia ‘bekalkan’ dalam bagasi Najwan.
Usai melipat sejadah dan mengemas diri, Auni segera keluar ke ruang tamu. Dia tidak mengenakan tudung kerana hanya baba, ibu dan E-jat sahaja yang berada di rumah. Tiada lelaki lain yang boleh dikategorikan sebagai ajnabi dalam rumah itu.
“ Assalamualaikum, ibu,” sapa Auni riang. Ibu tersenyum. Auni mengambil tempat di sebelah E-jat. Ibu sedang melayan E-jat minum petang di gazebo di taman bunga ibu.
“ Makanlah, Nini. Baba tak ada petang ni, dia pergi main golf dengan kawan-kawan bisnes dia lepas Asar tadi. Ibu buat khas untuk Nini semua ni,” kata ibu. Auni melihat pada juadah minum petang itu.
Sepinggan karipap berinti ubi, kek batik dan popia basah menjadi hidangan minum petang mereka. Rugi Najwan tidak ada. Auni mengambil sebiji karipap dan popia ke dalam piringnya. Ibu meletakkan dua keping kek batik atas piring Auni.
“ Makan banyak sikit. Baba dan Naj pun tak ada kalau nak tolong habiskan pun. Naj ada telefon kamu, Nini?” tanya ibu. Ibu menuangkan teh ke dalam cawan E-jat yang sudah hampir kehabisan. Auni mengangguk pantas.
“ Abang Naj jadi agak mengada-ngadalah, ibu. Asyik risaukan Nini aje. Macamlah Nini duduk seorang diri kat rumah ni,” adu Auni. Ibu ketawa lucu. E-jat yang tidak mengetahui pangkal cerita turut ketawa.
“ Biasalah tu, kali pertama berpisah dengan isteri tersayang. Masa baba terpaksa ke Singapura masa kami baru kahwin pun, baba macam tu juga. Padahal, masa tu ibu tinggal dengan ibu bapa ibu. Asyik telefon aje sebab risau. Perangai baba dah menurun pada Najlah tu jawabnya,” cerita ibu.
Tawa Auni dan ibu bersatu. E-jat turut menyertai mereka berdua. Riuh taman itu dengan tawa mereka bertiga. Sesekali ibu buka kisah zaman kanak-kanak Najwan. Mana nak tahan gelak kalau kisah yang diceritakan oleh ibu semuanya kisah lucu.
“ ANGAH?”
Ashraf yang baru ingin menyambung suapan nasinya terhenti. Mama merenung dalam ke anak matanya. Ashraf mula rasa tidak selesa. Nadira masih enak menyuap nasi ayam yang dimasak sendiri oleh mama. Ayah sudah selesai makan. Lelaki itu kembali menyambung kerja dalam bilik kerjanya.
“ Nad dah cerita pada mama, pasal Adda.”
Terus mata Ashraf jatuh pada wajah Nadira yang duduk bertentangan dengannya. Nadira hanya tersenyum dan menyambung suapannya. Ashraf mula rasa ketulan ayam melekat pada kerongkongnya. Nad?
“ Angah serius dengan dia?” tanya mama tanpa mempedulikan riak Ashraf yang berubah. Mama tidak melepaskan pandangan matanya daripada wajah anak terunanya itu.
Lambat-lambat Ashraf mengangguk. Dia teringatkan Adda. Hampir dua minggu dia mengenali gadis itu dan semakin menyenanginya. Malah, dia semakin berani menyimpan hasrat untuk menyunting gadis itu. Cuma, dia merasakan masih terlalu awal baginya untuk menyuarakan hasrat murni itu.
“ Kalau Angah serius, bila nak bawa dia jumpa mama? Mama harap sangat Angah akan kahwin tak lama lagi,” kata mama.
Ashraf mengangguk lagi. Bukannya dia tidak tahu yang mama sudah lama menyimpan hasrat untuk melihatnya berumah tangga. Apatah lagi sejak Najwan berkahwin. Mama risau melihat dia yang masih bersendirian. Mama sangkakan dia masih tidak boleh melupakan bekas kekasihnya tika di universiti dahulu. Namun, mama silap. Dia sudah lama melupakan gadis itu. Dia tidak perlukan gadis seperti itu.
“ Angah baru kenal dia dua minggu, mama,” ucap Ashraf akhirnya. Selera makannya terasa mati.
Selama dia mengenali Adda, dia tidak pernah membawa gadis itu keluar. Jika dia mengajak Adda keluar makan tengah hari bersama pun, hanya dua atau tiga kali sahaja dia berbuat demikian. Bukannya apa, dia tahu yang Adda tidak selesa keluar berdua-duaan dengannya tanpa orang ketiga.
“ Sampai bila, Angah? Along kamu dah lama kahwin, dah ada anak pun. Nad pun dah nak kahwin tak lama lagi. Tapi, Angah sampai sekarang tak ada kenalkan siapa-siapa pada mama. Mana mama tak bimbang?” kata mama lagi. Ashraf tahu mama semakin beremosi.
“ Angah akan buat istikharah, mohon petunjuk Dia,” perlahan Ashraf menjawab. Dia menolak pinggan nasi ke tepi. Sudah tidak larat untuk menghabiskan nasi ayam yang pada mulanya membuka selera dia.
Mama diam. Mama hanya mengangguk sahaja. Nadira turut mendiamkan diri. Membiarkan sahaja mama dan Angah bertingkah kata. Mama semakin terdesak untuk melihat Angah berkahwin. Mama tidak betah melihat Angah bersendirian sehingga sekarang pada saat sudah ramai rakan Angah yang mendirikan rumah tangga.
“ Angah naik dulu.”
Ashraf bangun daripada duduknya. Sesudah membasuh tangan, dia mengatur langkah ke tingkat atas. Mama hanya memerhatikannya dari jauh.
LAMA Najwan menggeliat sambil menghirup udara pantai yang segar. Dia merenung pada muka Nike Sport di pergelangan tangan. 6:45 pagi. Sesudah menunaikan solat Subuh, terus dia menyarung jaket dan seluar sukannya. Hampir tiga hari dia berada di Pulau Tioman ini dan hampir tiga hari jugalah Najwan menikmati suasana matahari terbit dan terbenam. Hanya puji pada Ya Rabb sahaja saat dia menyaksikan keindahan matahari terbit dan terbenam itu.
Seronoknya kalau Nini ada sama, getus Najwan. Rindu pada Auni sering menggamit saat dia berada di Tioman ini. Bukannya dia tidak boleh menelefon isterinya, namun tidak sama rasanya dengan kehadiran Auni di sisi. Inilah keindahan cinta jika disulami dengan redha Ilahi. Terasa kebahagian sentiasa bersarang dalam jiwa.
Subhanallah… cantiknya ciptaan-Mu, Ya Allah.
Najwan mengeluarkan BlackBerry. Dia ingin menghantar gambar matahari terbit pada Auni. Tentu Auni suka.
Cantik tak?
Najwan tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan balasan daripada Auni. Mesej daripada Auni segera dibuka. Najwan menguntum senyum.
Cantik. Bawa balik untuk Nini satu
Najwan menekan Call pada nombor Auni. Dia mahu berbual-bual dengan isterinya itu. Dapat juga menaikkan semangat kerjanya pada pagi ini. Panggilannya segera bersambut. Pasti Auni sedang menghadap Xperianya saat ini.
“ Nini tengah buat apa?” tanya Najwan selepas salamnya dijawab oleh Auni. Kedengaran tawa Auni melunak pada gegendang telinganya.
“ Bersiap-siap nak ke pejabat. Sambil-sambil tu Nini tunggu E-jat siap. Abang tahu tak, E-jat suka Nini hantar dia ke tadika,” cerita Auni riang. Najwan turut ketawa.
“ Setiap kali abang telefon Nini, mesti cerita tu yang Nini beritahu. Abang dah boleh hafal apa yang Nini ceritakan, tahu tak?” usik Najwan. Auni mendengus.
“ Yalah, yalah. Abang pula tengok matahari terbit lagi ke tu? Seronoknya. Nini pun nak tengok secara depan mata juga,” getus Auni.
“ Insya-Allah, ada masa nanti abang bawa Nini tengok matahari naik dan tenggelam kat tepi pantai. Tapi, abang tak nak bawa Nini ke Tioman. Kita ke Redang, nak? Kat sana pun cantik juga,” cadang Najwan. Auni mengiakan. Pantang benar jika Najwan mengajaknya bercuti.
“ Nini ikut aje. Tunggu abang bawa aje. Nanti semua kos abang yang akan tanggung,” balas Auni. Najwan menjulingkan matanya pada langit. Banyak cantik!
“ Okeylah, abang dah nak balik ke resort. Dalam empat hari lagi abang baliklah. Nini jaga diri baik-baik tahu? Risau betul abang. Abang kat sini, Nini pula kat Selangor,” kata Najwan. Auni mengeluh. Dah mula dah suami aku ni.
“ Yalah, Encik Najwan Faqqimi. Abang dah lupa ke apa yang Nini bekalkan pada abang. Apalah abang ni,” rungut Auni. Rungutannya disambut dengan tawa Najwan. Masakan boleh Najwan lupa.
Di dalam bagasi yang berisi pakaian dan kelengkapan harian Najwan, Auni letakkan sebuah balang kecil yang berisi dengan tujuh origami angsa yang terdiri daripada pelbagai warna. Kad kecil yang Auni selitkan pada reben yang menghiasi penutup balang itu menyatakan bahawa Najwan hanya boleh membuka satu lipatan origami angsa itu untuk sehari sahaja. Pada setiap origami itu telah Auni tuliskan kata-katanya yang khas untuk Najwan sahaja.
“ Hari ni abang baca tulisan Nini pada angsa merah, ‘belajar untuk menyayangi seseorang akan membuatkan kita jadi berani’. Jadi, sebab abanglah Nini jadi berani sekarang ni?” Najwan galak mengusik. Auni tergelak kecil.
“ Yalah, betullah tu. Kalau bukan sebab abang, mana ada Nini berani nak tulis tulisan macam tu. Abang patut rasa bersyukur tahu tak? Nini tak pernah kasi siapa-siapa pun benda macam tu,” balas Auni.
Najwan mengangguk sahaja. Selepas kembali menitipkan pesan agar Auni menjaga diri dengan baik-baik, Najwan kembali meneruskan jogingnya menuju ke resort. Pada wajahnya tergambar keceriaan.
ASHRAF mengambil tempat duduk pada kerusi pejabatnya. Mindanya ligat memikirkan sesuatu. Sejak malam mama menyuarakan hasratnya untuk melihat dia berkahwin, dia lebih banyak berfikir. Dan seperti mana apa yang dia katakan pada mama, dia memang melakukan solat istikharah bagi mencari petunjuk yang sesuai. Najwan juga yang mengajarnya untuk melakukan solat istikharah tatkala bingung menghadapi masalah seperti ini.
Hampir empat berlalu dan dia yakin bahawa dia telah mendapat jawapan yang positif. Bak kata Nadira, mungkin Allah SWT mahu melihat dia mencintai dan menyayangi Adda dengan cara yang betul, cara yang halal. Apatah lagi dengan usianya yang kian meningkat, dia harus membina sebuah keluarga yang sempurna bermula pada masa sekarang.
Ashraf menarik nafas. Dihembusnya perlahan. Dengan lafaz bismillah, dia mencapai BlackBerrynya. Nama Adda dicari dalam senarai panggilan.
Semoga Kau merestui jalan yang aku pilih.
ADDA menarik senyum apabila melihat nama Ashraf tertera pada skrin Nokianya. Segera dia menyambung talian. Salam dihulur kepada Ashraf.
“ Ada apa?” pendek Adda bertanya. Dia senyum sendirian. Nasib baik dia hanya berseorangan di pejabat saat ini.
“ Saya dah fikir masak-masak dan saya dah buat keputusan,” balas Ashraf. Dia diam buat seketika. Adda membiarkan sahaja lelaki itu dengan diamnya. Nampak gayanya ada sesuatu yang penting ingin disampaikan oleh Ashraf.
“ Saya nak masuk meminang awak.”
Adda kaget. Meminang?
“ Kalau awak tak kisah, saya akan hantar rombongan meminang awak dua minggu lagi, lepas semua persiapan dah selesai. Saya akan beritahu ibu bapa saya secepat mungkin,” kata Ashaf. Bersungguh-sungguh dia menyatakan hasratnya.
Adda masih diam. Dia merasakan apa yang dikatakan oleh Ashraf ibarat mimpi sahaja.
“ Awak nak hantar… rombongan meminang saya dua minggu lagi?” tanya Adda. Dia inginkan kepastian. Benar atau tidak Ashraf menuturkan hasrat itu atau sekadar salah telinganya dalam mendengar.
“ Ya dan saya tak main-main, Adda.” Bersungguh-sungguh Ashraf menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Adda.
Kau kan nak buat benda baik, Ashraf Fauzi? Insya-Allah, kalau Adda jodoh aku, Dia ada untuk mudahkan segalanya.
“ Awak tak rasa terlalu cepat ke?” Adda menyoal ragu.
Usia perkenalan mereka masih lagi baru. Adda tidak mahu Ashraf bertindak secara tergesa-gesa. Kelak, mereka juga yang akan menyesal nanti. Namun, hatinya mendesak untuk menerima lamaran Ashraf tanpa menyoal apa-apa lagi.
“ Ya. Saya tahu kita baru kenal tapi saya nak jadikan awak isteri saya. Saya nak tamatkan kisah kita yang baru saja bermula dengan kisah yang lebih bermakna. Usia perkenalan tak akan jadi penanda kebahagiaan kita. Ada perkara yang lebih penting, Adda,” jelas Ashraf. Dia mula resah. Risau memikirkan jika Adda akan menolaknya.
Adda menghela nafas. Dia buntu dengan kata-kata Ashraf namun dia tahu mungkin inilah yang terbaik. Sudah tiba masanya untuk dia mula belajar menjadi seorang isteri yang solehah. Dia mengangguk perlahan.
“ Baiklah, Ashraf Fauzi.” Adda senyum. “ Saya terima.”
Share this novel