BAB 44
ADDA membantu Ashraf membuka kesemua hadiah yang diperoleh sempena majlis perkahwinan mereka tadi. Hampir tidak menang tangan sahaja mereka untuk membuka kesemua hadiah-hadiah itu. Untuk meminta bantuan ahli-ahli keluarga yang lain, semuanya kelihatan penat sahaja. Nadira yang sentiasa bersemangat juga sudah lama tidur kerana terlampau penat tatkala membantu saat majlis tadi.
“ Eh?”
Mata Adda jatuh pada kotak hadiah yang dihadiahkan oleh Muqri tadi. Patung kristal sederhana besar yang berukiran dua ekor swan yang membentuk hati terpampang dalam kotak lutsinar itu.
“ Hadiah daripada Muqri ya?” tanya Ashraf.
Teragak-agak Adda mengangguk. Dia melihat ekspresi pada wajah suaminya tetapi Ashraf kelihatan tenang sahaja. Ashraf memanjangkan lengan mahu mengambil swan kristal itu.
“ Cantik, ukirannya halus,” puji Ashraf.
Adda memerhati sahaja tatkala Ashraf membelek-belek ukiran swan kristal. Dia mahu bertanya tentang sesuatu. Malah, Ashraf sudah berjanji untuk memberitahunya pada malam ini. Teragak-agak dia membuka mulut.
“ Abang… jumpa Muqri macam mana?”
Suasana sepi seketika. Ashraf mengalih perhatiannya daripada ukiran kristal di tangannya ke wajah kebingungan Adda. Mata mereka saling bertaut. Cepat-cepat Adda melarikan anak matanya. Dia tunduk ke bawah. Malu apabila direnung sedemikian rupa.
“ Adda betul-betul nak tahu ya?” Ashraf menyoal perlahan. Adda yang masih tunduk merenung lantai mengangguk perlahan.
“ Tertanya-tanya, nak tahu… macam mana abang kenal dia.”
Ashraf tersengih. Dia menggosok kepala Adda lagak anak kecil. “ Abang takkan cerita secara terperinci. Cukuplah Adda tahu yang penting aje.”
Perlahan-lahan Adda mengangkat muka. Menanti bicara Ashraf.
“ Abang cari dia dan beritahu, kalau dia nak tengok Adda bahagia, berhenti ganggu rumah tangga kita.”
Ashraf bercerita sekaligus mengaku mengenai pertemuannya dengan Muqri. Sudah pastinya Adda akan terkejut. Dan dia boleh nampak melalui riak muka Adda selepas dia selesai menuturkan ayat itu tadi.
“ Abang cari… dia?” Adda agak tersentak dengan pengakuan Ashraf. Biar betul? Ashraf mengangguk. Dia mencapai kotak hadiah yang belum dibuka lagi.
“ Itu saja yang boleh abang ceritakan. Banyak lagi hadiah yang tak buka ni, tolong abang buka hadiah yang lain pula.” Ashraf menumpukan pada hadiah di tangan pula. Adda mengeluh kecil. Dia terpaksa mengalah. Ashraf tidak mahu menjelaskan betul-betul kepadanya. Terpaksalah dia menurut sahaja.
Ashraf menarik senyum kecil. Dia bukannya sengaja tidak mahu menceritakan semuanya kepada Adda tetapi kalau boleh, dia tidak mahu Adda mengingati Muqri lagi sebagai insan yang pernah dicintainya. Cukuplah dia seorang sahaja yang bertakhta dalam hati gadis itu.
Ashraf termenung sejenak. Mengingati pertemuan antara dia dengan Muqri tempoh hari. Pertemuan yang sudah dirancang sekian lama olehnya untuk menyelesaikan perkara antara dia dengan Muqri.
*
Mata Ashraf tertumpu pada seorang lelaki dengan lagak seperti seorang pengurus di dalam sebuah kedai yang terkenal dengan barangan elektronik berjenama di dalam kompleks beli belah terkemuka negara itu. Ashraf teramat mengenali lelaki itu.
Kakinya menjejak masuk ke dalam ruangan kedai itu. Dia berpura-pura berminat dengan deretan Samsung Galaxy dan Samsung Tablet yang berada di dalam kotak kaca untuk pameran. Selepas mendapati lelaki itu bersendirian di suatu sudut yang menempatkan laptop, kakinya diatur menuju ke arah lelaki itu.
“ Boleh saya bercakap dengan awak…”
Ternyata lelaki itu terkejut dengan sapaannya secara tiba-tiba itu. Pantas lelaki itu menoleh. Matanya tertumpu pada wajah Ashraf.
“… Encik Muqri?”
Mereka berdua ke bilik yang dikhaskan untuk Muqri. Muqri merupakan pengurus besar untuk cawangan di kedai ini. Ashraf hanya menolak apabila Muqri menawarkan untuk mendapatkan sedikit hidangan dan minumannya untuknya.
“ Kenapa awak datang ke sini?” tanya Muqri dengan riak yang agak tidak selesa.
Muqri mengenali lelaki yang berada di hadapannya itu. Lelaki itu merupakan tunang Adda. Walaupun dia hanya menemui lelaki itu sekali sahaja di ruang parkir Mid Valley Megamall, tetapi wajah Ashraf masih segar dalam ingatannya. Semuanya gara-gara Adda mengatakan lelaki itu merupakan bakal suaminya.
“ Saya datang sebab nak selesaikan masalah antara kita…” Ashraf mengukir senyum walaupun jelas sekali riak pada wajahnya berlainan pada wajah Muqri. “ …yang membabitkan bakal isteri saya, Alia Syuhada.
Muqri kelihatan terkejut dengan kata-kata Ashraf. Dia mahu membuka mulut tetapi sempat dihalang oleh Ashraf. Muqri kembali mendiamkan dirinya.
“ Pernah tak awak terfikir kenapa awak dipertemukan kembali dengan Adda lepas dia bertunang dengan saya?”
Soalan Ashraf kedengaran pelik pada telinga Muqri. Teragak-agak dia menggeleng. Ashraf tersenyum.
“ Awak tak pernah fikirkan soal tu?” Ashraf kembali bertanya namun Muqri tetap dengan gelengannya. Dia tidak punya sebarang jawapan untuk soalan Ashraf yang kedengaran pelik padanya.
Ashraf menghela nafas. Matanya masih lagi tertumpu pada wajah Muqri yang jelas sedang kebingungan sekarang.
“ Saya percaya sebab awak dipertemukan dengan Adda ialah kerana Allah mahu awak sedar bahawa Adda bukan jodoh awak. Dia mahu tunjukkan kepada awak bahawa jodoh awak merupakan perempuan lain, mungkin perempuan yang belum awak kenali. Sebab itulah walau sudah lama awak mencarinya, awak masih belum bertemu dengannya sehinggalah selepas Adda bertunang dengan saya,” kata Ashraf tanpa berkias-kias.
Niatnya datang pada hari ini ialah dia mahu menyelesaikan semuanya antara dia dan Muqri pada hari ini juga. Dia tidak mahu kedatangannya pada hari ini sia-sia sahaja. Tidak lama lagi, hari bahagia antara dia dengan Adda akan menjelang tiba. Dia tidak mahu Muqri berterusan menganggu hubungan dia dengan Adda.
Muqri tetap mendiamkan diri walau Ashraf sudah menyelesaikan bicaranya. Dia mula memikirkan kata-kata Ashraf. Terasa tajam kata-kata itu menusuk ke dalam hatinya.
“ Jadi, awak nak saya buat apa?” soal Muqri. Dia menundukkan wajahnya melihat pada permukaan meja. Ashraf tersenyum buat seketika.
“ Lepaskan Adda daripada hati awak. Dia bakal isteri saya dan saya tak mahu awak mencintainya lagi. Keluar daripada rasa hati awak dan cuba cari wanita lain sebagai pengganti Adda. Saya percaya awak akan menemuinya kalau awak bersungguh-sungguh,” kata Ashraf. Nadanya berbaur tegas. Ternyata dia serius mengenai perkara yang sedang dibincangkan dengan Muqri tika ini.
Muqri terdiam. Dia sudah menyangka Ashraf akan mengatakan sesuatu seperti itu tetapi dia langsung tidak menyangka hatinya berasa begitu perit untuk melaksanakannya. Selepas lama dia mencari Adda demi menebus kesalahannya terhadap gadis itu, dia harus melepaskan Adda dengan begitu sahaja?
Ashraf bangun daripada duduknya. Dia meletakkan sekeping sampul surat berwarna kelabu di atas meja Muqri. Muqri melihat sahaja pada sampul surat itu.
“ Ini kad undangan perkahwinan kami. Saya harap awak akan terima Adda sebagai salah seorang sahabat awak sahaja, tidak lebih daripada itu. Awak dialu-alukan datang ke majlis kami. Saya pergi dulu, assalamualaikum.”
Sesudah mengatakannya, Ashraf terus berlalu dari situ. Dia berharap agar Muqri akan menimbangkan keputusannya dengan sebaik mungkin berlandaskan akalnya, bukannya berlandaskan kata hati.
*
“ Abang?”
Ashraf pantas menoleh ke arah Adda yang sedari tadi merenung ke arahnya. Jelas kelihatan wajah itu sedang merenung pelik kepadanya. “ Kenapa?”
“ Abang termenung aje daripada tadi. Kenapa?” Adda menyoal kembali.
Ashraf menggeleng sahaja, ternyata dia leka mikirkan pertemuan antara dia dengan Muqri tempoh hari sehingga tidak sedar Adda sudah berulang kali memanggilnya sejak daripada tadi. Dia menguntum senyum bagi meredakan kerisauan Adda.
AUNI menatang dulang berisi dua mug kopi panas dan sepinggan kentang goreng yang sudah dilimpahi dengan keju ke ruang tamu. Seperti biasa, Najwan sedang menghadap kertas kerjanya bersama-sama Dell yang sentiasa setia di sisi.
Memandangkan kesemua kerjanya sudah selesai, Auni mengambil keputusan untuk menonton episod drama City Hunter yang masih berbaki. Walaupun usia drama itu sudah bertahun-tahun sejak awal tayangannya, tetapi Auni masih mengulangtonton drama itu.
“ Rajin Nini goreng kentang malam-malam macam ni,” tegur Najwan. Matanya tertumpu pada kentang goreng yang berwarna kuning keemasan itu. Benar-benar membuatkan dia menelan liur apatah lagi dia berasa lapar sekarang ini.
“ Dah lama tak makan, terliur juga. Nah, air abang,” balas Auni. Dia meletakkan sebuah mug di hadapan Najwan. Najwan mencapai mug itu dan meneguknya perlahan. Badannya terasa segar sedikit selepas menghirup minuman berkafein itu.
Auni duduk di sebelah suaminya. Najwan masih meneruskan kerjanya. City Hunter Episode 2 sedang dimainkan di hadapan mata. Auni menanti dengan penuh sabar. Perlahan-lahan juga mulutnya mengunyah kentang yang digoreng rangup tadi.
“ Nini tahu tak drama ni pasal apa?” Najwan menegur tiba-tiba. Matanya turut tertumpu pada skrin televisyen.
“ Dendam. Lee Yoon Sung nak balas dendam atas kematian bapa dia,” balas Auni yang masih belum mengalihkan matanya daripada kaca televisyen. Skrin baru menayangkan babak Lee Yoon Sung yang dilakonkan oleh Lee Min Ho ke Blue House, kediaman bagi Presiden Republik Korea Selatan.
“ Bukan itu aje, kan?” tanya Najwan lagi. Auni mengangguk teragak-agak.
“ Secara jujurnya, Nini agak terkejut masa tengok episod pertama. Tak sangka, mereka sanggup bunuh askar-askar yang berjuang bermati-matian lepas askar-askar tu berkhidmat untuk negara mereka. Tergamak betul,” ulas Auni.
Masih terbayang di ruang matanya bagaimana 21 orang askar itu ditembak sewaktu mereka mahu menaiki kapal selam milik negara mereka. Bagai tiada perikemanusiaan, askar-askar itu diperlakukan sedemikian rupa. Seorang demi seorang tenggelam ke dalam air laut yang dingin pada waktu malam.
Namun, hanya seorang sahaja yang terselamat daripada serangan itu. Dan, askar yang terselamat itu merasakan dia perlu menuntut bela bagi kematian 20 orang sahabatnya. Disebabkan dendam selama 28 tahun itu, seorang demi seorang yang bertanggungjawab dalam merancang serangan hendap itu akan dihukum mengikut caranya.
Tawa suaminya kedengaran menyapa telinga. Auni menoleh sekejap pada Najwan yang sudah menumpukan perhatiannya kepada skrin televisyen. Lelaki itu tersenyum sahaja apabila melihat babak Lee Yoon Sung mengejar Kim Na Na.
“ Itulah jadinya bila kita tak saling menghargai perngorbanan masing-masing. Yalah, bukannya abang nak kata yang kejadian macam dalam drama ni sentiasa berlaku, cuma abang terfikir, kalaulah kedua-dua pihak menghargai pengorbanan masing-masing, sudah tentu dendam yang berlarutan seperti ini tak akan berlaku. Itulah penting rasa hormat dan menghargai antara satu sama lain,” jelas Najwan. Auni mendengar sahaja tanpa mencelah.
“ Dendam juga tidak akan berlarutan jika kedua-dua pihak saling bermaaf-maafan. Cuba Nini tengok drama ni, lima orang ahli politik yang terlibat dalam serangan itu sama-sama tidak mahu mengaku salah masing-masing. Nasib baik, ada antara mereka yang sedar akan perbuatan salah mereka dan sentiasa mencuba untuk menebus dosanya. Kesudahannya, mereka dimalukan di hadapan rakyat sendiri kerana keegoan mereka,” Najwan menyambung lagi. Nampaknya dia terlalu tertarik dengan drama ini.
Auni tahu yang Najwan sememangnya peminat drama Korea yang tegar tetapi jarang-jarang sekali bagi lelaki itu untuk mengulas pengajaran yang terdapat dalam sesebuah drama yang ditontonnya. Nampaknya drama ini mempunyai tarikan yang tersendiri pada perspektif Najwan.
“ City Hunter bukan drama cinta dan aksi semata-mata. Banyak yang kita boleh belajar daripada drama ni. Abang memang suka tengok drama Korea dan Jepun, tapi jujur abang cakap, bukan semua ada pengajaran yang mampu kita ambil.”
Auni dan Najwan sama-sama menonton drama itu. Hampir sejam juga mereka tidak bercakap kerana terlalu asyik menonton. Namun mulut masing-masing masih lagi setia bertindak sebagai penghadam kentang goreng yang rangup itu. Tamat sahaja menonton episod 2, Auni tidak berniat untuk terus menyambungnya. Esok dia bekerja. Jika malam ini malam hujung minggu, semestinya dia akan berjaga buat beberapa jam lagi bagi menonton episod-episod yang seterusnya.
“ Abang,” Auni menegur sewaktu melihat Najwan kembali fokus kepada skrin Dell di atas riba. Najwan sekadar mengangguk dan menggumam perlahan sebagai tanda respon.
“ Apa pendapat abang pasal dendam?”
Pertanyaan Auni berjaya menarik perhatian Najwan. Dia mengangkat muka daripada kertas kerja yang berada di tangannya. Dia menarik senyum nipis apabila menyedari wajah Auni kelihatan sungguh naïf tatkala mengajukan soalan itu.
“ Kenapa Nini tanya?” Najwan mengajukan soalan juga kepada Auni. Auni kelihatan termangu buat seketika.
“ Kenapa ya orang sanggup buat apa saja kalau dah berdendam?” Auni kembali bertanya.
Najwan tersenyum sekali lagi. Dia mengusap lembut rambut isterinya.
“ Itulah jadinya kalau kita hidup bertuankan nafsu,” jawab Najwan mudah.
Auni diam sahaja. Dia merenung lama pada wajah suaminya.
“ Hidup ni akan jadi mudah kalau kita saling menghormati, Nini. Tak akan ada dendam dan hasad dengki. Tapi, manusia ni lain. Bila dah biarkan nafsu menguasi akal, inilah jadinya. Rela berbunuhan semata-mata nak balas dendam,” sambung Najwan. Dia mengenyit mata kepada Auni yang masih kelihatan kebingungan.
Selesai sahaja menuturkan ayat itu, Najwan kembali menyambung kerjanya. Auni membawa dulang yang berisi pinggan dan mug-mug yang sudah kosong ke dapur. Tatkala dia membasuh pinggan di sinki, mindanya melayang mengingati perbualannya dengan Najwan tadi. Entah kenapa, persoalan itu menarik minatnya pada malam ini.
PADA hari itu, Sarah mengajak Auni menemaninya memilih beberapa jenis perabot bagi menepati konsep hiasan dalaman yang telah Auni tetapkan untuk kondominiumnya. Mereka berkunjung ke Butik Vantage yang menawarkan perabot-perabot dan alatan rumah yang berkonsepkan klasik Inggeris. Sememangnya Sarah kelihatan teruja dengan barangan yang dijual di situ.
“ Abang Man tentu suka semua ni… Kalau dia ada…” getus Sarah perlahan. Kata-kata Sarah menarik perhatian Auni. Dia mengalih pandangan daripada deretan set pinggan mangkuk yang terpamer di dalam almari kaca itu kepada Sarah di sebelahnya.
“ Kenapa dengan Abang Man?” tanya Auni agak kehairanan. Dia memandang pelik pada wajah Sarah. Kata-kata Sarah kedengaran aneh pada telinganya. Bunyinya seakan-akan, Abang Man sudah… mati.
Sarah menoleh pada Auni. Dahinya kelihatan berkerut. “ Kenapa? Apa yang akak dah cakap?”
“ Akak cakap…” Auni diam sejenak. Matanya tidak lepas daripada melihat pada wajah Sarah. Dia menarik nafas. “ … tak ada apa-apa. Saya yang salah dengar.”
Auni mematikan hasratnya untuk bercakap dengan lebih lanjut. Mungkin benar apa yang sedang dirasainya sekarang. Kemungkinan bahawa dia tersalah dengar butir-butir percakapan Sarah tetap ada. Auni menyalahkan dirinya apabila terlalu leka melayan perasaan. Inilah jadinya bila kita fokuskan pada dua benda pada masa yang sama.
Auni membantu Sarah membuat pilihan. Hampir dua jam juga dia menemani Sarah di situ. Pilihan Sarah harus dibuat dengan sebaik mungkin. Nanti menyesal pula jika ada rasa tidak puas hati dengan barangan yang dibeli.
“ Jom akak belanja Nini makan, sambil-sambil temankan akak makan,” pelawa Sarah selepas mereka menyelesaikan urusan Sarah di butik itu. Auni tersenyum malu. Segan juga dia dengan ajakan Sarah.
“ Tak apalah, Kak Sarah. Dah pukul 5 ni, masa kerja kat pejabat pun dah tamat. Lebih baik saya pulang terus. Bimbang kalau sampai lewat sebab jalan sesak pula. Risau pula suami saya nanti,” Auni menolak pelawaan itu dengan berhati-hati. Bimbang sekiranya hati kliennya itu tergores.
Sarah tersenyum lantas mengangguk sekilas. “ Kalau macam tu, lain kalilah. Bawa kereta baik-baik. Lusa kita jumpa lagi.”
“ Baiklah. Terima kasih, Kak Sarah. Assalamualaikum.”
Auni segera mengatur langkah untuk meninggalkan wanita itu. Sarah hanya tersenyum sahaja melihat pemergian Auni. Pada pemerhatiannya, Auni memang baik. Tetapi…
Share this novel