BAB 8
AUNI meluru ke arah dapur sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam rumah. Ummi sedang berada di dapur. Angah pun ada. Maklumlah hari minggu, cuma kelibat Aisar si Abang Sulung sahaja tidak kelihatan memandangkan Aisar sudah punya rumah sendiri bersama-sama Syara.
“ Ummi!”
Ummi dan Angah sama-sama menoleh ke pintu dapur. Dahi masing-masing berkerut melihatkan keadaan Auni yang muncul seperti dikejar hantu. Ummi meletakkan pisau di atas kaunter dapur sebelum berlalu ke sinki untuk membasuh tangan.
“ Kenapa dengan adik ni? Nak kata kena kejar dengan hantu, sekarang ni bulan puasa. Kenapa?” tanya ummi yang sudah ambil tempat di meja makan. Auni tarik nafas. Dia berdiri di hadapan ummi.
“ Kenapa ummi tak cakap yang Najwan kata pada ummi dan walid yang adik dah terima lamaran tu? Kenapa ummi tak cakap yang Najwan ada kembar dulu dan kembarnya dah meninggal dan ada anak seorang yang sedang dia jaga sekarang?” kata Auni pantas sekali nafas. Ummi dan Angah tergamam. Akhirnya mereka senyum.
“ Ummi lupa nak beritahu,” kata ummi selamba. Auni buat muka.
“ Lupa?”
Ummi angguk. Angah tahan gelak. Terbongkok-bongkok Alin kerana menahan gelak yang melampau-lampau.
Auni geleng kepala. Dia berdiri bercekak pinggang.
“ Kiranya, memang adik kena nikah dengan dialah?” tanya Auni.
Ummi angguk lagi.
“ Adik nikah dulu sebelum Angah?”
Ummi angguk lagi. Yalah, majlisnya dalam dua bulan lagi. Angah kahwin pula mungkin lewat tahun hadapan.
Alin dan Reza memang sengaja melambat-lambatkan tarikh perkahwinan mereka. Mereka berdua menetapkan masa bertunang mereka selama dua tahun. Lama memang tak lama. Sudah puas Auni mengingatkan Angah agar jangan bertunang lama-lama tetapi Angah dan Angah Reza tetap begitu.
“ Ummi tak kisah kami kahwin walau adik baru aje kenal dia?”
Ummi angguk lagi.
Auni mengeluh. Dia duduk di sisi Angah di meja makan, bertentangan dengan ummi. Dia duduk menopang dagu. Muka ummi direnung lama. Ummi senyum.
“ Adik susah hati ke?” tanya ummi lembut. Auni diam. Tidak tahu mahu berkata apa. Susahnya…
“ Kenapa ummi macam tak kisah aje walau adik baru kenal dengan Najwan tu? Bukan ke soal kahwin ni bukan perkara main-main?” tanya Auni perlahan.
Ummi senyum lagi. Ummi memang sentiasa senyum walau berat masalah yang menimpa. Sama ketika Along kemalangan jalan raya sewaktu Along baru habis PMR dahulu. Ummi tak menangis. Tapi ummi senyum.
Seakan-akan tidak ada perkara yang boleh merisaukan ummi walaupun ketika itu Along patah kaki dan tangan kanannya. Tapi Auni tahu, malam-malam mesti ummi menangis juga ketika tiada orang di sekeliling ummi. Walid pun tidak tahu. Ummi lebih suka menyembunyikan perasaannya. Ummi tak nak Along dan yang lain-lain susah hati.
“ Adik, adik kan tahu yang ummi takkan main-main dalam perkara yang serius macam ni? Ummi tahu yang adik baru kenal dengan Najwan tapi ummi dan walid percaya yang insya-Allah, Najwan akan jadi suami yang baik untuk adik,” kata ummi lembut.
Auni renung dalam-dalam mata ummi. Jelas di mata ummi yang ummi benar-benar berharap dia akan berkahwin dengan Najwan dan Auni tidak akan pernah sampai hati untuk menolak lamaran itu.
“ Atau adik dah ada orang lain?”
Auni tersentak. Pantas dia menggeleng.
“ Tak ada. Serius tak ada.”
“ Jadi?”
Perlahan-lahan Auni mengangguk tanpa sebab. Dia bangun daripada kerusi. Ummi kerut dahi. Begitu juga dengan Angah yang sedari tadi tidak mencelah perbualan mereka.
“ Adik akan teruskan juga perkahwinan ni. Adik akan gembira kalau ini akan gembirakan walid dan ummi. Adik nak walid dan ummi restu perkahwinan adik. Bagi adik, restu walid dan ummi penting dan adik nampak yang Najwan tu seorang lelaki yang baik sebenarnya,” kata Auni. Dia hadiahkan senyuman buat ummi. Sejurus kemudian, dia terus keluar ke dapur. Ummi terus tersenyum mendengarkan jawapan anak bongsunya itu.
Auni buat semua ini untuk walid dan umminya dan juga keberkatan perkahwinannya kelak. Bukan kerana Wafiy. Auni yakin akan itu. Pasti!
NAJWAN membetulkan bantal E-jat yang sudah lena tidur. Seharian bermain membuatkan anak kecil itu keletihan. Selepas Asar tadi Najwan membawa E-jat ke taman permainan yang berdekatan dengan rumah mereka. Najwan hanya menurut sahaja apa yang E-jat mahu main. Akhirnya, E-jat yang terlebih dahulu lena kerana terlampu letih. Najwan senyum bila melihatkan E-jat tidur memeluk erat patung Nemonya.
“ Naj?”
Najwan melihat pada pintu bilik E-jat. Baba yang masih dengan baju Melayu dan kain pelikatnya sedang berdiri di muka pintu. Ibu pula barangkali masih di dapur bersama-sama Mak Bedah. Najwan ukir senyum pada baba.
“ Baba, masuklah,” kata Najwan perlahan. Baba masuk lantas duduk di atas katil E-jat. Najwan renung lama muka baba.
“ Pasal pagi tadi, ibu dah cerita kat baba,” kata baba memulakan perbualan. Najwan mengangguk sahaja. Selimut E-jat dibetulkan. Sesekali dia mengusap kepala anak kecil itu.
“ Ibu cerita apa?” tanya Najwan. Kepala E-jat digosok perlahan. Manalah tahu ibu tokok tambah cerita ke. Tambah-tambah lagi ibu tengah tak sabar nak dapat menantu untuk anak tunggal lelakinya ini. Bukan boleh dibuat main ibu itu.
Baba ketawa. Tahu benar kenapa Najwan bertanyakan soal itu.
“ Ibu cakap kamu nak bertunang dengan Auni seminggu sebelum Nawal nikah dan nak akad nikah serentak dengan akad nikah Nawal dan Syah, betul ke?” tanya baba.
Najwan mengangguk. Dia senyum. Lucu apabila mengingatkan reaksi muka Auni apabila dia memberitahu perancangannya sebelum berkahwin tadi. Bertunang seminggu sebelum kahwin, lepas tu pula nikah serentak dengan adik? Macam manalah gadis itu tidak terkejut. Sudahlah mereka berdua kahwin pun atas dasar keluarga.
“ Naj rasa lagi cepat lagi bagus. Tak adalah ibu bising tiap-tiap hari,” kata Najwan sambil ketawa. Baba senyum.
“ Macamlah kamu tak tahu ibu kamu tu macam mana. Selagi kamu belum kahwin, manalah dia tahu duduk diam,” baba gelak lagi. Najwan masih dengan sisa tawanya. Sempat lagi baba mengata ibu.
“ Naj rasa… mungkin dah sampai masanya Naj kahwin. Lagipun betul juga kata ibu. Sampai bila Naj nak macam ni? Naj tahu yang ibu nak sangat Naj kahwin, tambah-tambah lagi Nawal pun dah nak kahwin dah,” jelas Najwan perlahan. Wajah E-jat yang sedang lena tidur direnung lama. Baba tarik nafas perlahan. Bahu anak lelaki tunggalnya diusap perlahan.
“ Insya-Allah, semuanya akan baik dan kamu akan bahagia dengan Auni, ya?” kata baba. Najwan mengangguk. Dia menoleh pada baba di sisi. Senyumannya terukir.
“ Insya-Allah, baba. Insya-Allah…”
“ Bila Naj dah pegang gelaran suami, tanggungjawab Naj makin besar. Mana nak didik isteri, mana nak didik anak-anak, nafkah mereka lagi. Jangan sesekali abaikan mereka walau sesibuk mana pun Naj nanti,” baba berpesan.
“ Insya-Allah baba. Naj akan ingat pesanan tu. Naj harap sangat, dapat didik anak-anak Naj macam mana baba didik kami dulu,” ucap Najwan.
Baba mengangguk. Bahu anak lelakinya itu ditepuk berulang kali.
“ Ingat Naj, walau setinggi mana pun darjat kita dalam masyarakat, kita masih tidak tahu di manakah tempat kita di akhirat kelak.”
Pesanan baba akan sentiasa tersemat dalam fikiran.
PETANG yang menenangkan hati. Tetapi tidak bagi Auni. Baru sahaja dia keluar dari firma arkitek milik Adam, dia melihat Wafiy sedang berdiri tidak jauh daripada keretanya.
Auni sudah cuak tetapi dia cuma buat sambil lewa sahaja. Saat dia ingin melepasi Wafiy untuk mendapatkan keretanya, lengannya ditarik oleh Wafiy. Auni tergamam. Cepat-cepat dia merentap lengannya.
“ Saya bukan mahram awak! Jangan nak sentuh sesuka hati awak!”
Auni mula berang. Pantang benar dia jika ada mana-mana lelaki ajnabi ingin menyentuhnya. Sesuka hati aje dia nak sentuh aku. Ingat aku ni apa? Sampah?
“ Maaf, Auni. Maaf, minta maaf sangat-sangat. Tapi saya nak sangat cakap dengan awak. Tolong, Auni?” Wafiy merayu. Auni merengus perlahan.
“ Cepat beritahu sebelum saya ubah fikiran,” kata Auni tegas.
Baru sahaja dirasakan harinya tenang selepas berjumpa dengan Najwan tempoh hari, tiba-tiba sahaja Wafiy datang memberi masalah kepadanya.
“ Dah lama saya nak jumpa awak sejak kita jumpa kat Mid hari tu. Tapi susah sangat saya nak jumpa awak. Saya hantar bunga, tapi awak langsung tak hubungi saya balik. Saya nak tahu betul ke tidak, Auni Ammaleeyna. Betul ke awak dah nak bertunang? Awak bohong aje kan?”
Perlahan-lahan Auni mengangguk.
“ Awak tipu saya, kan? Awak tak pernah ada sesiapa pun selama ni. Takkan tiba-tiba aje awak nak bertunang?”
Wafiy tetap berkeras. Dia yakin apa yang dikatakan oleh Auni kepadanya tempoh hari hanyalah suatu pembohongan. Pembohongan untuk melarikan diri daripadanya.
“ Buang masa ajelah kalau saya tipu awak. Saya tak tipu, okay? Saya memang akan bertunang tak lama lagi.”
Dia ni memang tak faham bahasa ya?
“ Awak cuma nak lari daripada saya kan?”
Memanglah nak lari daripada kau! Takkan nak lari daripada gajah pula!
“ Tolong, Wafiy. Saya minta sangat-sangat awak berhenti ganggu saya selepas ni. Saya tak boleh terima awak lebih daripada seorang kawan.”
Hampir bosan Auni melayan kerenah Wafiy. Nasib baik kebanyakan rakan sepejabatnya sudah pulang. Kawasan di hadapan firma itu juga lengang daripada orang ramai. Tidak perlulah dia menanggung malu kerana sedang berdrama swasta dengan Wafiy saat ini.
“ Kenapa awak susah sangat nak terima saya?” Wafiy makin mendesak. Sekali lagi dia cuba mencapai tangan Auni namun dengan pantas Auni mengelak. Dia makin hilang sabar.
“ Wafiy, tolong ingat batas kita,” nada Auni bergetar. Wajah Wafiy dipandang seakan mahu sahaja ditelan hidup-hidup.
“ Tapi, Auni…”
“ Untuk pengetahuan awak, saya akan bertunang dan berkahwin kurang daripada dua bulan saja lagi. Tolong, berhenti ganggu saya. Saya akan jadi isteri orang, Wafiy Adnan. Cari orang lain. Saya tak pernah ada perasaan pada awak. Awak pun, tak ada perasaan pada saya. Awak cuma keliru aje. Awak cuma nampak dia pada saya, kan?”
Wafiy terkedu. Apa maksud Auni?
Auni tergamam. Apa yang ingin dirahsiakan terlepas juga. Cuak Auni melihat wajah penuh tanda tanya Wafiy.
“ Apa maksud awak Auni? Awak maksud awak yang saya cintakan orang lain?” Wafiy mula mendesak.
Auni menarik nafas dalam. Sudah tiba masanya untuk Wafiy mengetahui kebenarannya.
“ Saya tahu, Wafiy. Awak cintakan arwah Kak Lili. Lepas Kak Lili dah tak ada, awak nampak bayangan Kak Lili dalam diri saya. Jujurlah dengan diri awak. Saya tak akan sesekali terima seseorang yang melihat saya sebagai orang yang mereka sayang. Itu tidak ikhlas namanya.”
Lili?
“ Jangan cari saya lagi. Dah lama saya nak cakap pasal tu pada awak tapi saya pendam, saya tak nak awak sakit hati. Awak dah cukup terluka lepas arwah Kak Lili meninggal. Saya tak nak tambah luka awak. Tapi, memandangkan awak tak habis-habis kacau saya, saya terpaksa dan saya minta maaf. Tolong berhenti ganggu saya.”
Terlerai sudah kisah silam yang sudah sekian lama dipendam oleh Auni. Dia menarik nafas lega. Selama ini tiada sesiapa pun yang tahu mengenai hubungan cinta antara Wafiy dan Lili. Mereka merahsiakan hubungan itu daripada pengetahuan rakan-rakan yang lain. Hanya beberapa rakan terdekat sahaja yang mengetahuinya.
Pada saat Auni menerima berita kematian Lili kerana insiden langgar lari, terasa lumpuh seketika hidupnya. Lili merupakan salah seorang senior yang teramat baik dengannya. Hampir segala rahsia mereka kongsi bersama. Begitu juga dengan rahsia percintaan Wafiy dan Lili.
“ Berhenti ganggu saya, Wafiy. Walau saya terima awak sekalipun, awak tak akan pernah bahagia. Cinta awak pada Kak Lili dah dibawa pergi oleh arwah. Arwah pergi dengan cintanya untuk awak. Sebelum arwah kemalangan, arwah telefon saya. Beritahu saya dia dah jumpa hadiah perpisahan sebelum awak pergi UK. Malangnya, arwah tak sempat beri hadiah itu pada awak.”
“ Tapi…”
“ Berhenti ganggu saya. Tolong.. “
Auni tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia bimbang sekiranya air matanya akan mengalir juga. Menyingkap kisah yang sedih, Auni tidak yakin dia dapat bertahan lama.
Auni melangkah membelakangi Wafiy yang masih lagi kelihatan bingung dengan kata-kata Auni. Auni menunduk sahaja. Matanya dapat menangkap sepasang kaki yang sedang berdiri di hadapannya. Perlahan-lahan Auni mengangkat wajah.
“ Auni?”
Auni tergamam. Najwan betul-betul berdiri di hadapannya. Pandangan Najwan jatuh kepada wajah sedih Auni dan wajah bingung seorang lelaki yang tidak dikenalinya di belakang Auni.
“ Saya temankan awak balik?”
Lembut suara Najwan terasa menyentap hati Auni. Perlahan-lahan Auni mengangguk. Tanpa menoleh kepada Wafiy yang masih berada di belakangnya, Auni berjalan mendapatkan Najwan.
Pergilah Wafiy. Dapatkan kembali cinta yang telah Kak Lili bawa pergi. Pergilah.
Share this novel