Chapter 2

Romance Completed 17236

BAB 2

“ ALONG!!!”

Bergema ruang banglo dua tingkat milik Puan Mariam dan Encik Zakaria dengan jeritan ‘merdu’ Auni. Puan Mariam yang baru sahaja masuk ke ruang tamu hanya mampu menggelengkan kepalanya. Kelihatan Auni sedang bercekak pinggang dengan patung Hamtaro sebesar budak dua tahun dikepit di lengan kanan manakala Aisar pula sedang duduk di belakang sofa dengan alat kawalan jauh ditayang di hadapan Auni. Syara yang turut berada di situ hanya menjongket bahu apabila Puan Mariam memuncungkan mulut ke arah kedua beradik itu.

“ Bagi balik! Adik nak sambung tengok drama ni!” bentak Auni. Sebelah kakinya dihentak berulang kali ke lantai. Boleh retaklah gamaknya lantai itu konon-kononnya.

Aisar buat bodoh. Saluran Cartoon Network dibuka. Healer Episode 14 masih belum habis lagi ditonton. DVD masih lagi dalam DVD Player. Khusyuk Aisar menonton Tom yang sedang bermain kejar dengan Jerry. Sesekali kedengaran tawanya bergema. Langsung tidak merasai bahang panas gunung berapi yang bakal meletup.

“ Along!”

Lagak Jerry dan Tom di kaca televisyen masih menjadi santapan mata Aisar. Seakan-akan tidak terkesan langsung dengan jeritan si adik.

Along ni memang nak kena! Siaplah dia!

“ Along!”

“ Aduh!”

“ Bagi balik!” bentak Auni.

Pantas dia melompat ke bahu Alongnya. Tubuh Auni yang agak kecil memudahkan tindakannya itu. Hampir sahaja Aisar terjatuh kerana hilang keseimbangan. Terjerit-jerit Aisar apabila Auni dengan senang-lenangnya menarik pipinya sebelum dicubit berkali-kali. Alat kawalan jauh pantas disorok oleh Aisar ke dalam saku seluar jean.

“ Nak bagi ke tak?” tanya Auni lantang. Langsung tidak menghiraukan kehadiran ummi dan Kak Long yang sedang asyik memerhatikan aksi mereka berdua. Puan Mariam dan Syara hanya mampu menggeleng dan mendiamkan diri. Sekali lagi pipi Aisar dicubit.

“ Adik dah tengok drama tu lebih dari 88 kali, tahu tak? Sudah-sudahlah tu!” kata Aisar lantang. Cuba memenangi Perang Dunia Ketiga antara dia dengan adik bongsunya itu.

Pap!

Kedua-dua pipinya ditepuk oleh Auni serentak sebelum gadis cilik itu melompat turun. Alat kawalan jauh yang tersembul daripada saku jean Aisar dicapai sebelum dia melompat ke belakang sofa. Aisar pula dah jatuh terbongkang di atas karpet yang baru sahaja ummi beli sempena raya yang lambat lagi nak tiba.

“ Bisinglah Along ni. Along nak tengok TV, balik tengok kat rumah sendirilah,” kata Auni. Lidahnya dijelirkan lagak budak kecil.

“ Berani halau Along, ya? Tak bagi duit raya nanti baru tahu,” ugut Aisar. Matanya dijegilkan. Auni mencebik.

“ Setakat bagi RM2, baik tak payah,” balas Auni. Aisar sengih geram.

“ Adik ni ganas sangatlah. Budak lelaki manalah yang nakkan adik ni. Ganas mengalahkan Laila Ali,” kutuk Aisar lantas berlalu ke dapur. Syara dan ummi ditinggalkan di ruang tamu bersama-sama dengan Auni.

Auni hanya buat bodoh. Layan tengok drama Korea lagi seronok daripada layan Along yang tiga suku ni. Boleh padamkan mood yang sedia ada.

Dia kembali duduk bersila di atas sofa dengan memeluk Hamtaro. Matanya kembali tertumpu pada Ji Chang Wook dan Park Min Young yang sedang melakonkan watak utama dalam drama aksi itu. Tanpa Auni sedari, ada sepasang tangan sedang bergerak perlahan-lahan mendekati rambutnya yang ditocang dua sebelum…

“ Along!!!”

Tanpa buang masa, Aisar terus pecut ke tingkat atas mengalahkan enjin Concorde sebelum Auni bertukar kepada Hulk Hogan. Dan ummi dan Syara kembali menggelengkan kepala. Mereka berdua sudah tidak tahu nak kata apa dengan dua beradik itu. Laju sahaja Auni berlari naik ke atas untuk mengejar Aisar.

Tidak lama kemudian, Auni kembali melompat turun ke tingkat bawah. Terpancar kepuasan pada wajahnya. Ummi dan Syara saling berpandangan. Entah apalah yang Auni sudah lakukan pada abang sulung kesayangannya itu.

“ Adik?” Ummi panggil perlahan. Pantas Auni menoleh.

“ Along kamu mana?”

Auni senyum buat muka comel.

“ Along dah terbongkang atas katil. Kena karate dengan adik tadi,” jawab Auni selamba. Ummi dah beristigfar panjang. Syara pula kelihatan serba salah. Sama ada nak ketawa kerana tingkah Auni yang baginya agak lucu atau kasihan mengenangkan nasib suaminya di tingkat atas itu.

“ Kamu berdua ni, susah betul nak berdamai,” rungut ummi. Auni tergelak.

“ Raya nanti adik minta maaflah dengan Along tu,” balas Auni. Ummi dan Syara ketawa.

“ Dah nak puasa dah kan? Lepas tu raya pula. Ummi ternanti-nanti, ada sesuatu yang istimewa tak yang akan berlaku sepanjang Ramadhan tahun ni,” kata ummi penuh berharap. Langit cerah di luar rumah menjadi santapan mata wanita kesayangan Auni itu.

Auni mendekati ummi lantas memeluk tubuh ummi. Kepalanya dilentokkan atas bahu ummi. Ummi ketawa lagi. Kepala Auni diusap lembut.

“ Ummi nak apa yang jadi untuk Ramadhan tahun ni?” soal Auni ingin tahu. Bukan selalu ummi keluarkan ayat yang penuh bermakna seperti itu.

“ Adik jumpa jodoh?”

Eh?

Auni mula tarik muncung. Rapat dia memeluk ummi. Kepalanya digeleng perlahan.

“ Tak naklah bincang soal tu,” kata Auni perlahan. Tawa ummi kembali kedengaran. Syara yang hanya memerhati sedari tadi pula hanya tersenyum.

“ Doa seorang ibu makbul tahu?” Hidung Auni ditarik. Auni merengek.

“ Yalah, ummi. Doakan adik yang baik-baik saja,” balas Auni. Ummi tersenyum. Tubuh anak bongsunya itu dipeluk erat. Terasa kehangatan tubuh ummi padanya. Auni tersenyum sayu. Tidak senang hati apabila memikirkan e-mel yang diterimanya beberapa hari yang lalu.

Tapi adik tak nak Wafiy yang ummi maksudkan tu, boleh tak?

“ Tak apalah ummi. Tu, Kak Long dan Along kan nak bagi hadiah istimewa untuk ummi dan walid tak lama lagi.” Auni merujuk pada kandungan Syara. Syara tergelak. Ada ada saja Auni ni. Ummi tersenyum. Kepala Auni diusap lembut lagi.

NADA dering Everyday I Love You nyanyian Boyzone kedengaran daripada Xperia comel milik Auni. Kelam kabut dia mencari telefon bimbitnya di bawah timbunan kertas-kertas A4 yang berselerak di atas meja. Jumpa! Segera dia meneliti pada skrin Xperia. Nama umminya timbul di skrin. Auni tersenyum lega.

“ Ummi!” jeritnya riang mengalahkan kanak-kanak. Puan Mariam yang berada di hujung talian mula menggelengkan kepala.

“ Assalamualaikum wahai anak ummi yang tersayang,” ucap ummi dengan nada menyindir. Auni sengih kelat. Kan dah kena!

“ Waalaikumussalam,” balas Auni perlahan. Dia merenung muka Cassy yang sedang menghendap-hendap ke arahnya. Kepada Cassy dia hadiahkan satu genggaman penumbuk yang ditayang tinggi. Gadis Cina itu hanya tersenyum sebelum menyambung kerjanya.

“ Apahal ummi telefon adik ni? Rindu adik ya?” Auni bersuara ala-ala kucing betina. Sekali lagi Puan Mariam menggelengkan kepala. Manja betul anak bongsunya itu. Tidak padan dengan umur.

“ Adik, teman ummi ke Bazar Ramadhan petang ni.”

“ Apa? Ummi malas masak ke petang ni?”

“ Ke situ pula. Bukanlah.”

“ Habis tu?” Auni tayang muka pelik. Sejak bila pulalah ummi aku seorang ni kenal Bazar Ramadhan? Mana tidaknya, selama ini ummi suka memasak sendiri saja kerjanya. Jarang mahu membeli makanan di luar.

“ Along kamu mengidam nak makan ayam golek. Dia telefon ummi merengek nak makan ayam golek. Manalah ummi sempat nak buat masa-masa macam ni. Along kata dia nak datang berbuka dengan kita semua petang ni,” cerita ummi.

Auni mula ketawa. Terbayang-bayang wajah Along yang buat gaya manja nak habis! Kalah aku yang bongsu!

“ Mengada-ngada. Sepatutnya Kak Long yang tengah mengidam sekarang ni, bukannya dia,” balas Auni. Seronok dia mengutuk abang sulungnya itu. Mana tidaknya, masa Along ada mana boleh sesuka hati nak mengutuk seperti itu.

Isteri yang tengah sarat mengandung, dia pula yang sibuk minta itu ini! Apalah Along ni, kutuk Auni dalam hati. Mahu sahaja kena luku kepala kalau Alongnya itu dengar. Along dan dia boleh dikatakan ibarat anjing dan kucing. Pantang jumpa mesti bergaduh. Anjing dan kucing zaman sekarang pun dah boleh berkawan baik.

Ummi tersengih mendengar bebelan anak bongsunya itu.

“ Adik balik pukul berapa?”

Fossil di pergelangan tangan direnung. Lagi lima belas minit sebelum pukul 4:30 petang, tamat waktu kerja sepanjang bulan Ramadhan ini. Pintu bilik bosnya direnung. Encik Adam awal-awal lagi dah cabut alang-alang dia perlu melawat tapak di Klang. Auni senyum meleret.

“ Ummi siap-siaplah. Adik sampai, kita terus pergi. Kalau tak, alamaknya sesak teruklah nanti.”

“ Baiklah. Hati-hati masa memandu tu,” pesan Puan Mariam. Auni mengangguk. Barang-barang di atas meja mula disusun rapi. Beg laptop disandang ke bahu manakala tas tangan dicapai daripada kerusi.

“ Adik dah nak gerak ni.”

Selepas salam dihulur, Auni mula atur langkah ke pintu keluar pejabat. Tatkala dia melalui meja Cassy, gadis bermata sepet itu memanggilnya. Auni mematikan langkah.

“ Curi-curi pulang awal ya?” usik Cassy. Auni sengih.

“ Awak janganlah beritahu bos, ya?” kata Auni perlahan seakan-akan mengajak Cassy berkonspirasi besar dengannya. Cassy tergelak.

“ Tak apa, bos besar dah lama balik. Baik pulang awal, lagipun awak tentu penat puasa. Saya pun nak balik lepas siap kerja ni,” balas Cassy dengan sisa gelaknya. Auni mengangguk.

“ Sayang awak, Cassy,” kata Auni sambil membuat flying kiss. Cassy menggelengkan kepalanya melihat aksi gadis bertubuh kecil itu.

TOYOTA PRIUS hitam metalik miliknya diparkir berdekatan dengan Bazaar Ramadhan pilihan ibu. Najwan Faqqimi menoleh ke arah ibunya yang sedang memeriksa tas tangan. Dia tersenyum melihat ibu yang sedang leka mengira not-not merah di tangan.

“ Ibu ni gaya macam Naj tak boleh nak bayar aje kalau ibu tak cukup duit,” seloroh Najwan. Tali pinggang kereta ditanggal. Puan Sofiah mencebik.

“ Kamu ni, Naj. Ibu tahulah yang kamu tu banyak duit,” balas Puan Sofiah. Najwan tergelak.

“ Banyak duit pun untuk ibu guna juga. Bukannya boleh simpan bawa ke kubur pun kalau banyak-banyak,” kata Najwan.

Sekali lagi Puan Sofiah mencebik. Najwan hanya gelak memanjang. Ada-ada saja buah Najwan nak mengenakan ibu kesayangannya itu.

Langkah diatur ke Bazaar Ramadhan yang sudah kelihatan sesak dengan orang ramai. Maklumlah masing-masing sudah mula mencari juadah untuk berbuka. Hari ini sudah masuk 3 Ramadhan.

“ Ibu nak cari apa sebenarnya? Macamlah kat rumah kita tu tak ada juadah untuk berbuka,” tanya Najwan hairan. Baru sahaja menjejakkan kaki ke lantai rumah, terus ibu mengajaknya ke sini. Bukannya nak ajak Pak Bidin pemandu terbaik mereka bawa ibu ke sini.

Selepas solat Asar, dia dan ibu terus bergerak ke Bazaar Ramadhan ini. Tak sempat mandi pun. Mujur juga pakaian kerjanya sudah ditukar. Kalau tidak, Najwan akan ke bazaar dengan seluar slack dan kemejalah jawabnya. Kemeja T hitam dan seluar jean dah tersarung pada tubuhnya.

“ E-jat teringin nak makan murtabak. Tak tergamak ibu nak tolak permintaan dia. Kesian E-jat tu, belum masuk bulan puasa lagi dia merengek nakkan murtabak ayam. Baru lima tahun, dah rajin nak puasa,” cerita Puan Sofiah mengenai cucu tunggalnya itu. Najwan hanya tersengih.

“ Yalah, ibu,” balas Najwan.

Gerai menjual murtabak dituju. Baru sahaja Puan Sofiah ingin membuat pesanan, lengannya dicuit Najwan. Puan Sofiah menoleh ke belakang. Kelihatan anak sulungnya sudah tersengih-sengih.

“ Kenapa?”

“ Naj nak beli bunga api, boleh? Nak ajak E-jat main lepas terawih malam ni. Sejak mula-mula puasa lagi dia nak main,” kata Najwan. Puan Sofiah renung lama-lama wajah anaknya itu. Najwan tergelak melihat reaksi ibunya.

“ Ibu janganlah risau, Naj takkan biarkan dia main sampai dia masuk hospital,” kata Najwan lagi. Lambat-lambat Puan Sofiah mengangguk. Najwan sengih lega. Susah betul kalau dah sayang melampau-lampau kat cucu seorang tu. Nak buat apa-apa mesti kena masuk penapisan pihak tertinggi dulu.

Najwan mengalih ke sebelah kiri. Ditinggalkan ibu di gerai murtabak. Puan Sofiah kembali pada wajah anak muda yang sedang menjual murtabak itu.

“ Murtabak ayam dua.”

Lincah tangan anak muda itu melakukan kerjanya selepas mendapat permintaan daripada pelanggan. Terasa bahunya disentuh. Puan Sofiah pantas menoleh. Pasti Najwan.

“ Apa lagi…”

Kata-kata Puan Sofiah putus di situ. Dia terkedu seketika. Wajah seorang perempuan yang agak sebaya dengannya direnung lama sebelum dia tersedar daripada lamunannya.

“ Mariam?”

Puan Mariam mengangguk. Dia mengukir senyum. Puan Sofiah juga tersenyum sebelum memeluk wanita itu.

“ Ya Allah, lamanya akak tak jumpa kau,” kata Puan Sofiah teruja.

“ Dah lebih 20 tahun. Sejak saya pindah Selangor dan akak ke UK, kan?” kata Puan Mariam. Puan Sofiah mengangguk pantas.

“ Mula-mula tu saya ragu-ragu juga, nak tegur tapi takut salah orang. Yalah, tua-tua tak pakai cermin mata pula tu. Tak sangka boleh cam lagi,” seloroh Puan Mariam. Puan Sofiah ketawa. Matanya singgah pada gadis bertubuh kecil ayu berbaju kurung di sebelah Puan Mariam.

“ Alin ke ni?” tanya Puan Sofiah. Puan Mariam menggeleng.

“ Ni Auni. Si bongsu. Aisar dah kahwin, dah nak dapat anak dah pun. Alin pula dah bertunang. Tinggal yang bongsu saja yang tak ada apa-apa. Masa kami pindah tu dia baru nak masuk dua tahun,” kata Puan Mariam sambil melihat wajah Auni. Auni tersenyum malu.

“ Apa khabar, mak cik?” Tangan Puan Sofiah disalami. Kepalanya tunduk menyentuh tangan wanita itu. Puan Sofiah mengangguk.

“ Tentu Auni tak ingat mak cik. Panggil aje Mak Cik Sofi,” kata Puan Sofiah ramah. Auni hanya tersenyum. Benar kata wanita yang menggelarkan dirinya Mak Cik Sofi itu. Umur tengah baru nak mula main kejar-kejar, manalah boleh ingat?

“ Kat kampung pun tak ada nampak akak sekeluarga. Lupa pula Yam nak tanya Kak Sofi tinggal mana. Ingatkan masih di UK.”

“ Kami biasanya pulang lepas hari raya kedua. Itu pun kadang-kadang. Bawa mereka datang ke sini adalah.”

“ Patutlah. Lagipun kalau kami balik pun bukannya sempat ziarah semua.”

“ Eh, jemputlah ke rumah,” kata Puan Sofiah tiba-tiba.

“ Pindah mana?”

“ Emerald Heights. Abang Man pun tentu suka, dah lama tak jumpa kamu semua. Ni alamatnya,” kata Puan Sofiah. Dia mengambil sesuatu daripada tas tangan. Auni gelak dalam hati. Ingatkan kad nama. Rupa-rupanya kad kahwin. Alamat dekat kad kahwin itu jugalah yang dirujuk. Kad bertukar tangan.

“ Makin maju bisnes resort dan hotel Abang Man, ya? Insya-Allah, kalau ada masa kami datang,” kata Puan Mariam. Nama di kad kahwin itu diteliti.

“ Najwa? Bila dia kahwin?” tanya Puan Mariam. Teringatkan anak perempuan Puan Sofiah. Sudah agak lama mereka tidak bersua. Kali terakhir, sewaktu gadis itu masih lagi merupakan anak kecil.

“ Oh, dah lama. Dah hampir enam tahun. Saya simpan saja kad tu,” balas Puan Sofiah. Nadanya merendah sedikit. Auni perasan kawan ibunya muram sedikit selepas umminya menyebut nama Najwa. Kenapa?

“ Baiklah.” Kad disimpan dalam tas tangan. Puan Sofiah tersenyum kembali.

“ Datang ya, minggu depan hari Ahad. Datang buka puasa sama-sama. Boleh borak-borak. Kalau tak ada hal, kita terawih sama-sama. Beritahu Zakaria tu. Cakap kat dia, wajib datang rumah akak,” kata Puan Sofiah. Puan Mariam tergelak. Dia mengangguk.

“ Insya-Allah.”

“ Nombor telefon dah ada kat kad tu. Telefon ya?”

Sekali lagi Puan Mariam mengangguk. Baru sahaja Puan Mariam dan Auni beredar, Najwan kembali dengan sebuah beg plastik yang berisi pelbagai jenis bunga api. Bulat mata Puan Sofiah melihat kandungan beg plastik itu. Tajam matanya menikam muka Najwan.

“ E-jat yang nak main atau kamu yang beria-ria nak main?” tanya Puan Sofiah. Dia menyeringai melihat muka selamba Najwan. Najwan tayang muka tak berdosa. Puan Sofiah menggelengkan kepala.

“ Umur dah 30 tahun, dah boleh jadi bapa budak dah kamu ni. Tapi, perangai mengalahkan budak umur lima tahun,” bebel Puan Sofiah.

Najwan sengih tawar. Ibu ni punlah. Bab bapa budak jugalah yang ibu nak ungkit petang-petang macam ni. Ini tak lain tak bukan nak suruh aku nikah cepat-cepatlah tu. Macamlah aku tak tahu.

“ Dah, jom balik. Ibu nak sediakan makanan kat meja.” Awal-awal lagi Puan Sofiah atur langkah meninggalkan anaknya di belakang. Najwan tersengih.

“ Ibu janganlah jalan laju sangat. Kunci kereta kat tangan Naj ni.”

Puan Sofiah berhenti sejenak sebelum menjeling kepada anak sulungnya yang sedang ketawa itu.

RIUH perkarangan banglo dua tingkat Tuan Luqman Hakim. Di halaman rumah, Najwan sedang leka bermain bunga api dengan E-jat, si kecil lima tahun. Puan Sofiah dan Tuan Luqman hanya memerhati sahaja daripada kerusi taman.

“ Jadi ke mereka nak datang minggu depan?” tanya Tuan Luqman usai menyisip sedikit minuman. Cawan yang berisi teh panas diletak di atas meja. Puan Sofiah mengangguk.

“ Sofi paksa mereka datang. Lagipun, bolehlah kenalkan Naj dengan si Auni tu. Berkenan saya tengok budak tu.”

Awal-awal lagi Puan Sofiah sudah memasang angan-angan. Tuan Luqman mula tersengih, tahu sangat dengan perangai isterinya sejak dua tiga menjak ini.

“ Awak ni, macam mana kalau Auni tu dah kahwin ke? Tunang orang ke? Mana kita tahu?” balas Tuan Luqman. Puan Sofiah pantas menggeleng.

“ Taklah. Aisar dah kahwin, Alin dah bertunang. Yam sendiri yang beritahu saya yang Auni tu tak ada apa-apa,” kata Puan Sofiah.

“ Kalau dia ada teman lelaki, macam mana?” tanya Tuan Luqman sekali lagi.

“ Baru teman lelaki, bukannya suami pun,” balas Puan Sofiah selamba. Tuan Luqman ketawa lucu mendengarkan kata-kata isterinya itu. Kelihatannya beria-ria benar isterinya mahu menjodohkan Najwan dengan anak sahabat mereka itu.

Apatah lagi kerana selama ini rancangan isterinya untuk menjodohkan Najwan dengan mana-mana anak gadis kawan mereka asyik gagal sahaja. Alasannya? Najwan kata dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

“ Saya bukannya apa, bang. Naj tu dah masuk 30. Kahwin tak lagi. Teman wanita pun tak ada. Risau saya. Asyik jaga E-jat saja memanjang.” Puan Sofiah menzahirkan kerisauannya. Yang pasti itu merupakan kerisauan yang sentiasa bermain dalam mindanya.

Apabila memikirkan mengenai anak sulungnya itu, Puan Sofiah seakan-akan tidak tahu apa yang perlu dibuat. Najwan seakan-akan tidak pernah memikirkan mengenai kehidupan berumahtangga. Dia lebih suka menyendiri dan menjalankan tanggungjawabnya menjaga E-jat. Malah tidak pernah walau sekali pun Najwan membawa pulang seorang gadis untuk dikenalkan kepada Puan Sofiah dan Tuan Luqman.

Tuan Luqman mengeluh. Dia menepuk mesra bahu isteri kesayangannya itu, cuba meredakan gundah di hati wanitanya. “ Awak fikir awak seorang saja yang risau? Naj tu anak saya juga. Kita biarkanlah dulu. Tahulah dia nak uruskan diri.”

“ Eh, awak ni. Saya cakap betul-betul, boleh pula awak cakap macam tu?” kata Puan Sofiah sedikit marah. Tuan Luqman hanya menjongket bahu. Mereka memerhati sahaja E-jat yang sedang ketawa riang apabila digeletek oleh Najwan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience