Chapter 33

Romance Completed 17236

BAB 33

WAJAH Adda yang sedang enak menghabiskan sekeping New York Cheesecake dipandang lama. Mata Auni beralih pula pada piring yang sudah kosong dengan kepingan Absolute Chocolate. Dahi Auni mula berkerut. Apa kena dengan Adda sampai makan dua keping kek ni?

“ Adda?”

Adda angkat muka sekejap sebelum kembali menyambung kunyahannya. Auni menggelengkan kepala. Kenapa dengan kawan aku pula ni? Hari tu beria-ria kata nak jaga badan, tak nak makan kek banyak-banyak.

“ Kenapa dengan kau ni Adda? Bukan kau kata nak diet ke hari tu?” Auni menyoal.

Suapan Adda terhenti. Sekali lagi dia mengangkat wajah, melihat kepada Auni.

“ Kau ni, aku tengah cuaklah ni. Janganlah cakap macam tu,” balas Adda sebal. Capuccino ais dihirup perlahan. Leganya rasa.

Auni kehairanan. “ Cuak pasal apa pula?”

Adda diam. Teragak-agak untuk menjelaskan kepada Auni.

“ Adda, kau risaukan apa ni?”

Adda mengeluh.

“ Kau sedar tak lagi tiga hari ada majlis apa?” Adda menyoal secara berkias. Dia menyeringai merenung Auni. Auni diam. Cuba mengingati sekiranya dia ada ketinggalan sesuatu.

“ Kau…” bulat mata Auni merenung wajah Adda yang kelihatan selamba pula, “… jangan cakap kau cuak sebab nak bertunang pula!”

Adda mengeluh sekali lagi. Betul sangatlah apa yang Auni cakapkan tu.

“ Masalahnya, apa yang kau cakap tu betul. Aku tengah cuak nak bertunang ni. Kau kan tahu aku suka makan kalau aku ada cuak macam ni?” kata Adda dengan muka monyok. Auni tergelak.

“ Janganlah macam ni. Kau baru nak bertunang dengan Ashraf tu, bukannya kahwin. Kalaulah kau nak kahwin, aku tak tahulah sampai tahap mana kau makan.”

Auni ketawa tidak berhenti. Adda mencebik. Ada ke gelakkan aku?

“ Janganlah gelak. Apa kata kau cuba tenangkan kawan kau ni? Ni tak, ada ke gelakkan aku? Tahulah yang kau dah kahwin,” balas Adda namun Auni tetap dengan tawanya.

“ Dahlah dengan muka monyok tu. Orang yang nak bertunang ni mana boleh buat muka monyok macam ni. Senyum sikit, barulah hati si Ashraf tu makin terpikat dengan kau,” kata Auni dengan sisa tawanya.

Adda tersenyum juga. Dia bukannya tahan buat muka monyok lama-lama kalau dengan Auni.

“ Sekarang, aku nak kau tenangkan diri. Esok lusa kau dah nak bergelar tunangan orang. Pergaulan kau perlu makin dijaga. Lepas kahwin nanti, tanggungjawab kau makin berat tahu? Apa pun yang terjadi, suami kau tetap nombor satu. Walaupun kau nak balik jumpa ibu bapa kau pun, kalau suami kata tak boleh kau kena ikut cakap suami kau,” kata Auni sekadar memberi nasihat.

Adda tergamam. “ Takkan sampai macam tu?”

“ Helo? Kau dah lupa ke? Syurga seorang isteri bawah tapak kaki suami. Selagi suami kau tak arahkan kau buat sesuatu yang Islam larang, kau tak boleh kata tidak pada arahan suami kau,” ucap Auni lagi.

Anggukan Adda disambut dengan senyum Auni.

“ Insya-Allah, kau boleh jadi seorang isteri dan ibu yang baik, okey? Kuatkan diri kau, tau? Aku percayakan kau ni.”

Adda tersengih. Kata-kata Auni mampu menyalurkan semangat kepadanya. Macam tidak percaya pun ada yang dia bakal bergelar tunangan dan isteri kepada Ashraf tidak lama lagi.

HARI ini rombongan Ashraf akan datang ke rumah Adda untuk meminangnya. Kesemua persiapan sudah berjaya disiapkan walau dalam masa yang singkat. Ibu bapa kedua-dua belah pihak sudah bertemu sebelum ini dan tarikh untuk majlis pernikahan sudah ditetapkan. Ashraf dan Adda akan diijabkabulkan setelah sebulan menjalinkan ikatan pertunangan. Kata Ashraf, “ Lagi cepat lagi baik. Aku pun dah masuk 30 tahun dah.”

Auni dan Najwan akan menyertai majlis pertunangan pada hari ini cuma Auni akan bersama-sama pihak Adda manakala Najwan menyertai rombongan Ashraf. Majlis pertunangan ini hanya diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Itu keputusan daripada keluarga Adda dan pihak Ashraf hanya menurut sahaja.

“ Abang dah siap?” Auni menjenguk ke dalam bilik. Kelihatan Najwan sedang mengenakan songkok di atas kepala. Suaminya lengkap berbaju Melayu leher cekak musang berwarna biru muda dengan bersamping songket benang perak di pinggang. Auni mula ketawa kecil.

“ Kenapa Nini ketawa pula?” tanya Najwan. Dia melihat pada penampilannya di cermin. Ada yang tak kena ke?

“ Kalah Ashraf kalau abang pakai macam ni. Macam orang nak naik pelamin aje,” kata Auni. Dia menolak pintu bilik lalu melangkah masuk ke dalam. Najwan tergelak perlahan.

“ Nini nak ke abang naik pelamin sekali lagi?” usik Najwan. Segera Auni menarik muncung.

“ Naiklah kalau abang berani. Nini nak abang kasi payung emas yang sebenar dulu baru boleh kahwin sekali, Nini tak nak tunggu payung emas kat syurga. Abang kena bagi payung emas yang betul-betul punya emas,” balas Auni geram. Najwan ketawa lagi. Dia mencapai dompet hitamnya sebelum mendapatkan isterinya.

“ Yang satu ni pun tak terjaga, nak kahwin lagi? Biarlah Nini, abang lagi suka menghadap muka Nini aje sepanjang hidup abang daripada kahwin satu lagi,” kata Najwan. Dahi isterinya dikucup lembut. Mereka beriringan ke tingkat bawah. Auni hanya tersenyum bahagia.

MERIAH kawasan rumah Adda dengan kehadiran saudara mara mereka yang lain. Rombongan daripada pihak Ashraf masih belum tiba. Hanya saudara mara terdekat sahaja yang dijemput memeriahkan majlis pertunangan itu. Ibu bapa Adda tidak mahu menyusahkan saudara mara mereka yang tinggal jauh.

“ Adda!” Auni menjerkah Adda daripada belakang. Terhinggut bahu Adda kerana terlampau terkejut. Pantas dia menoleh ke belakang. Auni sudah sakan ketawa di belakangnya. Ibu Adda hanya mampu tersenyum. Bukannya Puan Aisya tidak tahu bagaimana perangai Adda dan Auni yang sudah lama bersahabat itu.

“ Kau ni! Suka betul kejutkan akulah!” Adda mengetap bibir tanda geram. Orang tengah berdebar bagai nak rak, sesenang hati aje dia sergah aku macam tu? Apa punya kawanlah. Auni tidak menghentikan tawanya walaupun Adda sudah buat gaya sebegitu. Malah dia semakin galak ketawa.

“ Auni!”

Pap!

Satu tamparan hinggap pada belakang Auni. Serta merta Auni cuba mengawal tawanya. Wajah Adda sudah mula masam.

“ Alah, kau ni. Macam tak biasa pula usik macam tu. Relakslah, masa aku tunang dulu pun kau kata tak ada apa-apa. Relaks, okey? Kau tu yang cepat gelabah semacam,” kata Auni. Dia tersenyum apabila melihat muka cuak Adda.

“ Dahlah, tak ada apa-apa pun. Lepas sarung cincin, kau dah sah bertunang. Walau kalau nak ikut syarak, kau dah dikira bertunang dengan Ashraf lepas kau terima lamaran dia untuk jadikan kau sebagai isterinya,” kata Auni sambil mengukir senyum manis. Muka Adda mula berkerut.

“ Betul ke apa yang kau cakap ni?” tanya Adda ingin tahu dengan lebih lanjut. Menarik juga apa yang dikatakan oleh Auni tadi.

Auni pantas mengangguk. “ Mengikut Islam, sekiranya seorang lelaki menyatakan kepada seorang perempuan bahawa dia ingin mengahwini perempuan itu, dan perempuan itu telah melafazkan atau menyatakan bahawa dia menerima lamaran lelaki itu, mereka sudah dianggap bertunang secara sahnya mengikut syarak. Dan haram bagi lelaki lain melamar perempuan itu, tapi kalau lelaki tu tak tahu yang perempuan tu dah jadi tunangan orang, tak apalah.”

Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan dan kelas agama yang dihadirinya sedikit sebanyak cuba dikongsi dengan orang-orang di sekelilingnya. Nasib baik Adda bukan jenis yang hanya menjadikan Islam sekadar di Kad Pengenalan sahaja.

Auni sebenarnya kesal dengan keruntuhan moral kebanyakan generasi muda di Malaysia pada zaman sekarang. Apa yang paling dia kesalkan ialah rata-rata mereka berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“ Menariklah apa yang kau kata tadi. Aku bukan apa, cuak aje nak tunggu mak Ashraf datang sarung cincin ni,” luah Adda yang sudah malu. Auni menepuk belakang Adda. Dia tersenyum geli hati.

“ Kau tu yang asyik risau aje. Selawat banyak-banyak, cuba tenangkan diri kau tu,” balas Auni seraya memberi nasihat. Adda hanya tersengih.

Ketukan di pintu bilik Adda mengejutkan penghuni bilik itu. Wajah adik lelaki Adda terjengul di muka pintu. Zafran tersengih apabila melihat kecantikan kakak kesayangannya itu.

“ Rombongan pihak lelaki dah sampai. Abah suruh mak turun ke bawah,” ucap Zafran. Puan Aisya mengangguk lalu meninggalkan Adda dan Auni di dalam bilik itu. Auni akan menemani Adda sehinggalah tiba masanya untuk sesi menyarung cincin pertunangan.

“ Auni, aku cuak lagi ni,” ucap Adda gugup. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Auni turut duduk di sebelah Adda. Belakang Adda diusap perlahan.

“ Kau ni, suka betul fikir yang bukan-bukan, sebab tulah kau fikir yang bukan-bukan,” balas Auni. Adda makin cuak. Detik demi detik yang berlalu terasa semakin lambat baginya. Adda mengeluh. Kenapalah lama sangat di bawah tu? Sesi berpantun tak habis lagi ke? Aku dah macam cacing kepanasan dah kat atas ni.

15 minit… 30 minit… 45 minit…. masih tak nampak batang hidung Puan Aisya dan mama Ashraf. Adda makin gelisah. Auni pun sudah tidak tahu nak buat apa dengan Adda yang jelas-jelas seperti cacing kepanasan. Sabar ajelah.

Krak.

Pintu bilik Adda dibuka. Mak Adda dan mama Ashraf memasuki ruang bilik itu. Nadira turut menyertai kaum ibu itu. Lebar senyum Nadira apabila melihat mamanya sudah duduk di sisi Adda. Dia mula merakam detik-detik indah bagi bakal kakak iparnya itu. Ianya khusus untuk tatapan Angah yang kini yang berada di rumah.

“ Mama harap Adda sentiasa di sisi Ashraf walau banyak masalah yang menimpa. Pertama kali mama tengok Adda, mama tahu yang Ashraf tak salah pilih. Insya-Allah, hubungan kamu berdua akan kekal hingga akhir hayat,” ucap Mak Cik Lia sesudah menyarung cincin di jari manis Adda.

Adda mengukir senyum terharu. Tangan bakal ibu mentuanya disalami. Mak Cik Lia memeluk erat tubuh bakal menantunya itu. Syukur, jodoh buat anak keduanya itu sudah ada di depan mata. Tidaklah dia rungsing benar memikirkan perihal anak keduanya itu.

“ Terima kasih, mama.”

Termeterai sudah secara rasminya ikatan pertunangan antara Adda dan Ashraf. Tidak lama lagi, naik pelaminlah mereka berdua. Auni mula mengukir senyum bahagia. Adda sahabat baiknya dan dia mengharapkan yang terbaik untuk Adda.

Ashraf seorang lelaki yang baik. Dia boleh nampak walaupun dia tidak begitu mengenali anak jiran ibu dan baba itu. Harap-harap, Ashraf dapat menjadi seorang suami yang baik dan mampu membimbing Adda untuk menjadi seorang isteri yang solehah. Itu doanya selaku sahabat Adda.

ASHRAF resah menanti panggilan daripada Nadira. Mamanya tidak membenarkan dia menghadiri majlis pertunangan dia dengan Adda, katanya mahu menjaga adat. Ashraf hanya turutkan sahaja walaupun mindanya sudah berulang kali menghasut dia agar melakukan tindakan sama seperti mana yang dilakukan oleh Najwan sewaktu majlis pertunangan Najwan-Auni dulu.

Gara-gara serabut melihat tingkah Ashraf yang beria-ria mahu ke majlis pertunangan itu walaupun sudah ditegah oleh mamanya, Najwan membuka cerita mengenai kisah penyamarannya sebagai jurukamera tempoh hari. Ashraf hanya mampu gelak sakan tetapi dia tidak berani untuk melakukan apa yang Najwan cadangkan. Jurukamera pada majlis itu merupakan sepupunya sendiri dan mama sememangnya terlalu mengenali sepupu lelakinya itu. Masakan dia boleh menipu mama?

Getaran BlackBerry di dalam saku seluarnya menarik perhatian Ashraf. Cepat-cepat dia melihat apa yang sedang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu. Nadira menghantar WhatsApp kepadanya.

Tanpa membuang masa lagi, terus dia melihat gambar yang dihantar oleh Nadira. Gambar Adda yang lengkap berkebaya biru firus dan bertudung putih yang sedang mencium tangan mama tertera di hadapan mata. Tanpa sedar dia menarik senyum. Panggilan Nadira pula yang masuk.

“ Angah~” Nadira buat gaya manja. Ashraf mencebik.

“ Assalamualaikum, adikku sayang,” kata Ashraf. Nadira terdiam sejenak. Terkena aku! Salam Angahnya segera dibalas.

“ Rugi tau tak Angah tak ada kat sini. Cantik sungguh Kak Ngah,” ucap Nadira sengaja mahu menambah sakit hati Angahnya kerana tidak dapat hadir bersama-sama. Sekali lagi Ashraf mencebik. Nak kena sedas adik aku ni.

“ Sudahlah, Nad. Nad perli Angah macam tu, Angah tak nak sponsor bekalan Haagen-Dazs lagi,” ugut Ashraf.

Bukannya dia tidak tahu betapa ‘hantu’nya Nadira dengan kelazatan aiskrim berjenama itu. Ashraf akan menjadi sasaran utama sebelum Akashah sekiranya Nadira perlukan seseorang untuk membelanjanya makan aiskrim itu. Bertuah punya adik bongsu.

Nadira mula menarik muncung. “ Kedekut punya abang. Mujur aje Nad yang tolong hantar gambar Kak Ngah tu tahu tak?”

“ Yalah, yalah. Angah tak ada mood nak gaduh dengan Nad ni. Kirim salam ajelah kat tunang kesayangan Angah tu, okay? Malam ni tak payah keluar dengan Kashah, Angah bawa Nad pergi makan Dazs, ya?” arah Ashraf.

Dia dengan Nadira memang kuat bergaduh, tetapi dia jugalah yang paling rapat dengan Nadira. Gaduh macam mana sekalipun, tentu dia akan membawa Nadira ke tempat kegemaran adiknya itu.

“ Sayang Angah. Okey, Nad nak pergi cari mama. Assalamualaikum!” Talian segera diputuskan. Ashraf menggeleng sahaja dengan tingkah adik kesayangannya itu.

Matanya tertumpu kembali pada gambar yang dihantar oleh Nadira tadi. Senyumannya makin lebar. Tak lama lagi, lekatlah gelaran suami kepadanya. Akan hilanglah gelaran bujang terhormat yang sentiasa setia kepadanya selama ini.

Gambar itu dijadikan latar skrin BlackBerry. Bila dah kahwin nanti, gambar mereka berdua pula yang akan dijadikan latar skrin. Inilah jadinya bila dah terlampau angau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience