BAB 52
“ ABANG?”
“ Abang?”
“ Abang?”
Auni termengah-mengah sendirian di ruang tamu rumahnya. Sudah puas dia melaung, memanggil suaminya tetapi langsung tiada balasan daripada Najwan. Di bilik, dapur, bilik bacaan bahkan di taman belakang banglo ini juga langsung tidak menunjukkan sebarang kesan kewujudan Najwan di situ.
Sewaktu dia tersedar daripada lenanya pagi tadi, dia agak terkejut kerana Najwan tiada di sisinya. Pada mulanya dia menyangka suaminya sedang berada di tingkat bawah kerana tiada kedengaran bunyi air menitis di dalam bilik mandi mereka. Namun tanggapan dia salah. Najwan tiada di situ.
Kejutan bermula ketika Auni mahu mengambil pakaian di dalam almari selepas mandi. Pakaian suaminya di dalam almari kian berkurangan, terutamanya kemeja T dan jaket. Malah, salah satu bagasi kepunyaan suaminya turut tiada.
Tanpa berlengah lagi Auni mencari Najwan di seluruh kawasan rumah mereka namun sehingga sekarang bayang suaminya langsung tidak kelihatan. Prius Najwan masih tersadai elok di hadapan pintu rumah menandakan Najwan tidak menggunakan keretanya langsung.
Auni bergegas naik ke tingkat atas semula. Hatinya mula merasakan sesuatu yang tidak enak. Dia mula menyelongkar setiap inci laci meja yang terdapat dalam bilik mereka. Pasport Najwan turut hilang bersama-sama tuannya. Adakah ini bermakna Najwan telah ke luar negara?
Abang?
Auni terduduk di atas lantai. Air matanya mula gugur setitis demi setitis. Pesanan Najwan buat kali terakhir kepadanya malam semalam mula terngiang-ngiang kembali. Auni sendiri tidak menyangka bahawa itu merupakan pesanan terakhir suaminya sebelum menghilangkan diri pada pagi ini.
“ Abang sentiasa doakan kebahagiaan kita. Cuma... tolong. Jangan sesekali Nini lepaskan abang pergi, ya? Tunggu abang... walau di mana pun abang berada. Abang janji, abang akan pulang juga pada Nini.”
Abang pergi sebab marahkan Nini lagi ke?
Dirinya mula diselubungi dengan penyesalan. Baru sahaja semalam mereka berdua bergelak ketawa dan bergurau senda bersama-sama sebaik sahaja hubungan suami isteri mereka pulih. Pada pagi ini, dia dikejutkan dengan kehilangan Najwan secara mendadak.
Abang pergi mana? Abang marah Nini lagi ke? Baliklah abang…
Auni tersentak apabila Xperia mula berlagu. Cepat-cepat dia mencapai Xperia yang berada di atas meja solek. Jantungnya terasa berdegup pantas apabila melihat nama Najwan tertera di skrin. Terketar-ketar jarinya menekan butang berwarna hijau. Xperia dilekapkan pada telinga kanannya.
“ A… abang?”
Tawa kecil Najwan kedengaran di hujung talian. Kini, Auni merasakan nafasnya seakan-akan terhenti buat seketika. Dia mula membuka mulut.
“ Abang… kat mana?” Bergetar nada suaranya. Sekali lagi tawa kecil Najwan kedengaran di cuping telinganya.
“ Abang perlu selesaikan sesuatu. Nini jangan risau, abang baik-baik saja. Insya-Allah. Cuma, abang nak Nini jaga diri. Abang minta maaf sebab terpaksa tinggalkan Nini sekarang. Abang pergi sekejap, ya? Apa yang penting, Nini jaga diri Nini, jaga bayi kita baik-baik. Abang akan kembali bila dah selesai semuanya, okey sayang?”
Najwan cuba untuk menjelaskan semuanya namun cukuplah setakat ini sahaja buat masa sekarang. Dia tidak boleh memberitahu Auni tentang keberadaan dia sekarang lagi. Tunggulah selepas dia selamat tiba di destinasinya dahulu. Najwan bimbang sekiranya Auni mengambil keputusan drastik untuk menjejakinya pula. Dia harus menyelesaikan urusannya dahulu sebelum pulang ke Malaysia.
“ Abang.. kalau abang pergi sebab marahkan Nini lagi, Nini minta maaf banyak-banyak. Nini… tolonglah balik… abang pergi mana? Nini risau… tiba-tiba aje abang tak ada pagi ni…” lirih Auni bersuara.
Dirinya terasa kosong pada saat Najwan menyatakan dia hanya akan kembali selepas segala urusannya itu selesai. Auni benar-benar inginkan kepastian di manakah suaminya berada pada saat ini.
“ Nini… jangan salahkan diri Nini. Abang tak pernah marah Nini atas apa yang berlaku. Dan Nini dah minta maaf semalam, kan? Abang gembira sebab semalam kita dah baik kembali. Abang tak pernah marah Nini, sayang,” Najwan cuba menenangkan keadaan isterinya. Dia ketawa perlahan.
Auni mengetap bibirnya kuat. Macamlah dia tidak tahu Najwan hanya mahu menenangkan hatinya. Auni tidak peduli tentang perkara itu. Dia cuma mahu tahu di mana suaminya berada sekarang. Perkara lain tidak penting baginya!
“ Abang… beritahulah. Abang kat mana?” Auni kian terdesak untuk mengetahui. Dia tidak betah berlama-lama seperti itu. Emosinya juga kian tidak stabil.
“ Maaf, Nini. Abang perlu pergi sekarang. Abang akan telefon Nini lagi nanti, mungkin malam ni. Jaga diri ya? Abang ada tinggalkan sesuatu untuk Nini. Lihat bawah meja dalam bilik bacaan, ya? Nini…. Abang sayangkan Nini. Assalamualaikum.”
Bip!
Talian terputus begitu sahaja. Auni terkedu di situ. Xperia terlepas daripada tangannya. Air matanya semakin laju mengalir menuruni pipi. Auni memeluk kedua-dua lututnya. Mukanya disembamkan di atas kepala lututnya sebelum dia membiarkan tangisannya kian lebat. Auni teresak-esak sendirian di situ.
NAJWAN melontarkan pandangan ke luar kondominium yang disewanya di tengah bumi London ini. Selamat juga dia sampai ke bumi Inggeris ini setelah sekian lama. Nafasnya dihela perlahan. Dia agak kesejukan walaupun bumi London masih lagi disimbahi dengan cahaya matahari. Kini mereka berada di pertengahan musim luruh. Najwan boleh melihat dedaunan maple perang yang berguguran di atas jalan.
Najwan baru sahaja sampai di sini. Dia harus menyiasat sesuatu di sekitar bumi Eropah ini. Beberapa persoalan mengenai Reena membawa dia kembali ke London demi mendapatkan jawapannya. Sekiranya diizinkan Allah, dia akan menemui jawapannya di sini.
“ Perlu ke sampai kau kena tinggalkan Malaysia?”
Najwan mengeluh berat. Pertanyaan Safwan kembali bermain di mindanya. Pada malam dia pulang lewat ke rumahnya, sekali lagi dia pergi menemui Safwan. Kepada Safwan dia menceritakan tentang rancangan asalnya. Safwan tidak membantah sepenuhnya tetapi lelaki itu juga tidak bersetuju.
“ Aku terpaksa. Aku rasa semua jawapan yang aku perlukan ada kat sini.” Setiap kali Safwan mengulangi soalannya, itulah jawapan yang Najwan berikan. Dan Safwan hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja.
Bermula pada hari esok, Najwan akan memulakan misinya. Dia sendiri tidak betah berlama-lama di bumi London ini walaupun dia sudah terbiasa dengan cara hidup masyarakat di sini. Najwan cuma tidak sanggup meninggalkan Auni yang sedang hamil bersendirian di Malaysia tanpa suami di sisi. Dia bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya tinggal berhampiran dengan mereka. Ada juga orang yang boleh tengok-tengokkan isterinya.
Hanya baba sahaja yang tahu mengenai rancangannya. Pada mulanya baba membantah tetapi selepas Najwan menceritakan semua perkara yang berkaitan dengan masalah yang sedang dihadapinya sekarang ini, akhirnya baba mengalah. Baba akan menolong dia dari Malaysia. Sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan, baba akan segera memaklumkan kepadanya. Yang penting, baba akan bertindak sebagai penenang ibu sekiranya ibu mula naik angin.
Najwan duduk di kepala katilnya. Dia mengeluarkan BlackBerry dari dalam kocek seluar. Matanya mula meneliti senarai tempat yang akan menjadi sasarannya pada hari esok. Dia sudah menelefon kepada pengurus-pengurus kesemua tempat itu dan janji temu sudah diadakan.
Lama mata Najwan merenung kepada gambar yang melatari skrin telefon bimbitnya. Sebelum dia bertolak ke KLIA, dia sempat mengambil gambar isterinya yang sedang lena tidur. Auni kelihatan lebih cantik apabila wajahnya yang sedang lena disimbahi dengan cahaya bulan dari luar. Dia tersenyum sendirian apabila mengingati malam itu.
Folder yang menempatkan gambar-gambar dibuka pula selepas itu. Matanya tertancap pada gambarnya bersama-sama arwah Ikhwan sewaktu arwah masih lagi sihat. Ini merupakan satu-satunya gambar yang masih berada dalam simpanan Najwan kerana gambar-gambar yang lain terpadam dahulu. Mereka berdua sedang tersenyum gembira dengan lagak masing-masing di hadapan Buckingham Palace. Senyuman Najwan mula luntur. Dia mencampak telefon bimbitnya di atas katil. Kedua-dua tangannya meraup wajah.
Ikhwan, aku pulang ke sini kerana kau. Maaf, sekiranya ini akan menyakiti isteri kau. Tapi aku terpaksa. Demi kebahagiaan isteri aku. Maaf, Wan.
“ KENAPA abang tak beritahu saya?”
Auni dan Nawal agak terkejut dengan nada suara ibu yang semakin meninggi. Baba pula sedang menenangkan ibu yang sejak daripada tadi lagi mengamuk kerana marahkan Najwan. Mereka berdua hanya mampu menjadi pemerhati sahaja. E-jat turut duduk diam di sebelah Auni. Anak kecil itu memeluk mama kesayangannya. Auni mengusap lembut kepala E-jat.
“ Kenapa abang biarkan Naj pergi? Kesian Nini dia buat macam tu!” marah ibu lagi. Ibu terduduk di atas sofa. Muka ibu merah padam kerana terlampau marah. Sekali lagi baba cuba menenangkan ibu.
“ Bertenang, Sofi. Naj bukannya berniat nak buat macam tu. Dia kena selesaikan masalah dia kat sana. Kalau tak, tak adanya dia saja-saja nak tinggal Nini kat Malaysia ni. Masa Naj ke Tioman tu pun dah sasau nak balik, apatah lagi kalau ke London. London dengan Malaysia bukannya dekat macam Tioman dengan Selangor,” kata baba. Kedua-dua bahu ibu dipicit perlahan. Ibu mengeluh. Ada benarnya juga kata-kata suaminya itu. Tetapi ibu masih belum berpuas hati.
“ Kalau ya pun, kenapa sampai tak nak beritahu dulu? Nini tu anak orang, bang.Yam dan Ya pun dah tau pasal ni. Malu saya bang. Masa dapat tahu Naj dah tak ada kat Malaysia secara mengejut, saya rasa macam nak pitam. Sepatutnya dia beritahu kita dulu!”
Baba mula menggelengkan kepalanya. Songkok yang melekat di kepalanya sejak dari tadi lagi dicapai lalu diletakkan di atas sofa. Nampaknya baba sudah pening kepala bagaimana mahu memujuk ibu lagi. Auni yang menyaksikan perubahan tingkah laku ibu semakin rasa serba salah.
Dirinya dikejutkan dengan kedatangan baba sekeluarga secara mengejut selepas solat Isyak tadi. Hanya Syah sahaja yang tidak datang. Lelaki itu mempunyai sedikit urusan di luar. Apa yang lebih mengejutkan Auni, ibu mengamuk sakan kerana pemergian Najwan ke luar negara yang dilakukan secara senyap-senyap. Kelihatannya hanya baba sahaja yang tahu mengenai pemergian suaminya.
“ Sofi, tolonglah bertenang. Jangan sampai awak belasah si Naj bila dia balik Malaysia sudahlah. Kita kena tunggu dia balik dulu, baru boleh selesaikan semua ni, ya?” kata baba lagi.
Baba cukup bimbang sekiranya ibu tidak mampu mengawal amarahnya. Walaupun hanya sedikit sahaja baba tahu mengenai sebab utama Najwan terbang ke London, tetapi baba cukup mempercayai anak tunggal lelakinya itu. Baba percaya bahawa Najwan ada sebabnya yang tersendiri. Jika tidak, Najwan tidak akan bertindak sebegini rupa.
Ibu mengangguk secara paksa rela. Dibuatnya dia berlama-lama sebegini, boleh datang balik penyakit darah tinggi ibu. Berulang kali ibu melafazkan istihgfar, memohon agar hatinya tenang kembali. Baba tersenyum lega apabila melihat ibu sudah agak tenang.
“ Nini?”
Panggilan baba membuatkan Auni agak tersentak. Dia mengangkat wajah melihat terus kepada baba yang sedang tersenyum kepadanya. Auni mula gugup. Apa lagi yang baba ingin katakan?
“ Naj beritahu baba yang Nini hamil. Naj minta kami jaga Nini baik-baik masa dia tiada di Malaysia ni.”
Ibu terpegun di situ. Kata-kata baba bukan sahaja membuatkan ibu terkaku, Nawal juga begitu. Auni kian rasa tidak selesa. Perlahan-lahan Nawal menoleh ke arah kakak iparnya.
“ Betul ke, Kak Long?” soal Nawal tanpa sebarang mukadimah. Dia menarik tangan Auni. Digenggam kemas tangan itu. Nawal perasan yang tangan kakak iparnya agak menggeletar.
“ Kak Long?” Nawal mengulang pertanyaannya. Matanya tidak lepas daripada melihat pada wajah isteri kesayangan Along Najwannya. Nawal menarik senyum apabila Auni mengangguk sekilas. Terus sahaja dia merangkul tubuh kecil molek kakak iparnya itu.
“ Wah! Tahniah! Tak lama lagi, Nawal dapat anak saudara barulah. E-jat pun ada kawan!” Nawal kelihatan terlalu gembira mendengar kata-kata itu. Hampir sahaja Auni lemas dalam pelukan Nawal.
“ Nawal, kawal diri tu. Kesian Kak Long kamu kena peluk macam tu. Dah macam tak boleh bernafas pun ada. Baba tahulah kamu gembira sangat,” baba menegur perbuatan anak perempuan bongsunya itu. Nawal tersengih lantas meleraikan pelukannya.
“ Nini?”
Auni agak terkejut apabila menyedari ibu sedang berdiri di hadapannya. Cepat-cepat dia bangun lalu menarik ibu duduk di sebelahnya. Dia risaukan ibu yang kelihatan kurang sihat lantaran kejutan yang diterimanya. Jika tadi Nawal, kini ibu pula yang memeluknya. Auni dapat merasakan kasih sayang ibu kepadanya.
“ Maaf, Nini. Ibu tak didik Naj dengan baik sebab tulah dia jadi macam ni. Ibu tak pernah sangka yang dia akan tinggalkan kamu senyap-senyap macam ni,” rintih ibu perlahan.
Baba kelihatan terkejut dengan kata-kata yang keluar daripada mulut ibu. Lelaki separuh abad itu hanya mampu menggelengkan kepalanya. Nawal bersimpati sahaja kepada baba. Nawal tahu baba tidak suka kata-kata itu keluar daripada mulut ibu. Gaya macam jahat sangat aje Along kesayangannya itu.
Auni menggeleng perlahan. Dia mengusap belakang ibu. Pelukan ibu dileraikan sedikit. Ibu benar-benar kelihatan kesedihan.
“ Ibu tak pernah salah didik Abang Naj. Abang Naj seorang suami yang baik, ibu. Tapi, kali ni dia ada urusannya sendiri yang perlu diselesaikan dengan segera. Kita tak boleh salahkan dia, ibu pun tak boleh salahkan dia. Abang Naj akan pulang bila dia dah selesaikan masalah dia. Nini percayakan Abang Naj, ibu,” kata Auni lembut namun penuh dengan keyakinan.
Auni harus bijak menangani masalah seperti ini. Ibu kelihatan garang di luar tetapi sebenarnya ibu berhati lembut. Dan ibu juga tidak pernah gagal mendidik anak-anaknya. Najwan dan Nawal membesar menjadi insan yang berguna.
“ Tapi…”
Auni menggeleng. Dia memeluk ibu pula.
“ Nini bersyukur sebab dikurniakan mentua macam ibu and baba, adik ipar macam Nawal and suami macam Abang Naj. Ibu jangan marah-marah macam ni lagi. Insya-Allah, Abang Naj tahu apa yang dia buat,” Auni memujuk lagi. Dia tersenyum kecil apabila melihat ibu mengangguk perlahan.
Bukan hanya ibu sahaja yang tersenyum, baba juga begitu. Mungkin baba tidak menyangka amarah ibu akan reda dalam masa yang terdekat. Bangga betul baba dengan menantu perempuan tunggalnya itu.
“ Nini, apa kata kalau Nini tinggal dengan ibu sementara Naj tak ada ni?” tiba-tiba sahaja ibu mengemukakan cadangan itu. Tetapi dengan pantas Auni menolak. Dia sekadar menggeleng perlahan. Ibu kelihatan kehairanan.
“ Kenapa?”
Auni menggeleng lagi. “ Nini tak boleh tinggalkan rumah ni, ibu. Biarlah Nini tinggal aje kat sini. Kalau Abang Naj pulang nanti, biarlah Nini ada kat rumah ni, sambut kepulangan dia.”
“ Tapi, Nini tengah mengandung. Ibu takut kalau jadi apa-apa pada Nini nanti,” ibu mula membantah. Ibu benar-benar memaksudkan kata-katanya. Wanita itu tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa Auni. Apatah lagi kini Auni hanya berseorangan di rumah ini.
“ Tak apa, ibu. Kalau jadi apa-apa, Nini akan cepat-cepat telefon ibu, ya? Lagipun, E-jat boleh temankan Nini kalau Nini takut. Boleh kan, ibu?”
Ibu terpaksa beralah. Dia tidak mahu Auni bersedih lagi. Cukuplah Auni bersedih dengan pemergian mengejut Najwan.
“ Baiklah. Cuma, jangan sorokkan apa-apa kalau sesuatu terjadi, ya?”
Auni mengangguk sekilas. Dia memeluk E-jat yang diam tanpa sebarang pengertian. Nawal tersenyum hambar. Kasihan betul dia melihat riak pada wajah kakak iparnya itu. Auni kelihatan betul-betul tidak bersemangat.
“ Nasib baiklah ibu bapa kamu tak marah, Nini. Kalau tak, tak tahulah ibu nak letak mana muka ibu ni,” kata ibu lagi. Ibu tidak habis-habis menyalahkan dirinya sendiri.
Auni mengeluh. Dia kasihankan ibu tetapi tiada apa yang boleh dia buat. Najwan sudah pergi jauh daripada mereka dan Auni langsung tidak mengetahui bilakah suaminya akan pulang ke pangkuan mereka.
Abang, jaga diri. Nini masih perlukan abang.
Share this novel