BAB 30
TATKALA Adda memberitahu Auni bahawa Ashraf sudah menyuarakan hasrat untuk masuk meminangnya, tanpa berfikir panjang Auni terus melompat kegembiraan. Tanpa mempedulikan pandangan pelik Cassy dan Firas yang melalui meja kerja Adda, Auni terus bersorak kegembiraan. Sehinggalah Cassy dan Firas menyertai perbualan mereka. Adam yang baru sahaja memasuki pejabat turut menyertai anak-anak buahnya.
“ Selamat pagi semua. Kenapa bising sangat ni?” tegur Adam. Matanya tertumpu pada wajah isteri sahabatnya itu dengan tanda tanya. Auni tersengih-sengih. Dia menyiku lengan Adda.
“ Tak lama lagi, bolehlah kita makan nasi minyak Adda, Encik Adam. Dah ada orang nak masuk meminang tak lama lagi,” jelas Auni. Dia perasan akan merah pada wajah Adda. Sudah tentu sahabatnya itu malu.
“ Betul? Baguslah tu! Kalau macam tu, kuota orang bujang dalam pejabat ni makin berkuranglah. Cuma, kita kena tunggu si Firas ni aje cari calon,” kata Adam. Belakang Firas ditepuk. Firas mula membuat muka kesian.
“ Nasib badan, Encik Adam. Tak ada orang yang nakkan saya,” ujar Firas selamba. Tawa mereka berderai.
“ Kalau awak nak, saya boleh kenalkan awak dengan kawan saya. Nak tak, Firas?” pelawa Cassy. Pantas Firas menggeleng.
“ Tak nak. Dibuatnya kawan kau tu citarasa tinggi macam kau, naya aku yang kerja makan gaji ni. Terima kasih ajelah, Cassy. Aku lebih rela membujang,” balas Firas. Kata-katanya disambut dengan cebikan Cassy.
“ Mujur saya nak tolong aje, tak makan budilah dia ni,” bebel Cassy. Firas hanya tersengih.
“ Jadi, siapa lelaki bertuah tu?” tanya Adam kembali. Dibiarkan sahaja Cassy dan Firas saling bertingkah kata. Adda senyum malu. Dia mengerling pada Auni di sisi.
“ Ashraf Fauzi, jiran Qimi. Saya rasa dia berkenan masa majlis kat hotel tu,” terang Auni tanpa rasa bersalah. Encik Adam diam buat seketika. Dia seakan-akan tidak percaya.
“ Ashraf, jurutera tu ke? Kalau dia, saya kenal sangatlah. Selalu juga dia ikut main futsal kalau suami Auni ada,” cerita Adam. Auni mengangguk sahaja.
“ Bila dah nak makan nasi minyak tu, cepat-cepatlah hantar kad undangan, ya? Tak sabar saya nak tengok anak buah saya naik pelamin. Teringat masa saya muda-muda dulu,” sambung Adam lagi. Kenyataan yang dikeluarkan membuatkan Auni tergelak. Adam merenungnya hairan.
“ Kenapa?”
“ Encik Adam dah macam ayah nak tak sabar nak tengok anak-anak dia kahwin,” kata Auni dengan sisa tawanya. Adam turut ketawa.
“ Lupa, Auni. Saya dan isteri dah nak sambut ulang tahun perkahwinan yang ketiga dah. Rasa macam cepat aje masa berlalu. Anak sulung kami pun dah nak masuk dua tahun,” kata Adam. Tergambar kebahagiaan yang sedang dialaminya sekarang. Adda pula tersenyum mendengar cerita bosnya itu.
“ Insya-Allah, Encik Adam. Saya akan jemput Encik Adam sekali, jangan risau,” janji Adda. Adam mengenyit mata lantas berlalu untuk masuk ke pejabatnya. Auni dan rakan-rakan sekerjanya hanya melihat sahaja permegian ketua mereka itu.
PULANG sahaja daripada makan tengah hari bersama-sama Adda, Auni terus menelefon Najwan yang masih berada di Pulau Tioman. Mungkin Najwan sudah mengetahui mengenai berita Ashraf melamar Adda, apatah lagi Najwan boleh dikatakan agak rapat dengan Ashraf. Namun dia tidak dapat menghalang dirinya daripada tidak menelefon Najwan. Dia sudah terlebih gembira.
“ Abang!”
Pantas Najwan yang jauh berada di Tioman menjauhkan BlackBerry daripada telinganya. Apa hal pula dengan isteri aku ni?
“ Ya, tuan puteri. Kenapa terpekik macam orang kena histeria ni? Bukannya nak bagi salam dulu,” keluh Najwan. Auni gigit bibir. Lupa pula!
“ Maaf,” pendek dia menuturkan. Najwan mengeluh lagi.
“ Jadi, ada apa hal? Nini jangan beritahu abang yang Nini ada masalah sampai terpekik macam tu. Abang jauh kat Tioman sekarang ni, mana nak cari feri balik masa-masa macam ni?” kata Najwan. Auni rasa nak tepuk dahi.
“ Bukan macam tulah. Lagipun, kalau betul Nini ada masalah, ada sangat feri yang boleh bawa abang balik, tahu? Bukan setakat feri, kapal terbang pun ada, bang,” Auni mengomel. Memanglah suami aku ni. Sabar ajelah. Sekarang ni waktu siang lagi? Banyak lagi feri yang akan gerak kat pulau tu.
Najwan mengerutkan dahi. “ Kalau Nini takde masalah, kenapa terpekik macam tu? Buat abang risau aje,” balas Najwan. Auni tergelak.
“ Abang, Ashraf dah beritahu abang pasal dia dah lamar Adda?” tanya Auni. Dan dia menjangkakan suaminya akan mengiakan. Masakan Ashraf tidak memberitahu kepada Najwan? Mereka berdua kan baik?
“ Tak ada.”
Auni kehairanan. “ Tipulah.”
Najwan pula yang tergelak. Suka dia mengusik isterinya tatkala kebosanan ini. Boleh sangat dia memanjangkan ‘penipuannya’ itu tetapi dia risau kalau Auni merajuk. Isterinya kedengaran begitu beria-ria mahu menceritakan mengenai hal lamaran Ashraf kepada Adda.
“ Suka betul abang tipu Nini. Ashraf beritahu abang bila?” Sempat juga Auni membebel. Dan Najwanlah yang akan dicari jika dia ingin membebel. Kalau bukan pada suami, siapa lagi? Takkan nak cari walid dan ummi pula? Tak munasabah langsung.
“ Ash telefon abang semalam. Dia sendiri yang kata dia tak nak tangguh lama-lama. Abang percaya, insya-Allah ini pilihan yang terbaik,” jelas Najwan.
Auni tersenyum. Sememangnya dia juga percaya bahawa ini merupakan jalan terbaik buat Ashraf dan Adda. Mendirikan masjid merupakan antara perkara yang disukai oleh Allah SWT. Rezeki bagi mereka yang mendirikan rumah tangga lebih melimpah ruah berbanding rezeki bagi umat-Nya yang masih belum berumah tangga.
“ Abang akan balik dua hari lagi. Tunggu abang, ya?” kata Najwan romantis. Auni ketawa mengekeh.
“ Mestilah. Abang balik nanti, Nini buatkan ikan bawal masam manis yang abang suka tu, okey?” janji Auni. Najwan mengangguk pantas.
“ Buat banyak-banyak. Abang takut tak cukup aje kalau Nini masak sikit,” selorohnya. Tawa isterinya kembali melunak pada pendengarannya.
Share this novel