BAB 24
LAMA Adda merenung kad putih milik Ashraf yang diberikan lelaki itu kepadanya tengah hari tadi. Senyuman terukir di wajahnya tanpa dia sedari. Anak mata Adda membaca baris demi baris perkataan yang tercetak pada kad putih yang bercorak abstrak itu. Telefon bimbit di tangan kiri tidak dipedulikan.
IR. AHMAD ASHRAF HAKIM B. AHMAD FAUZI
DEA111
ZORN INC.
CONTACT NUMBER : 010 5778610
Nama dia Ashraf Hakim. Jurutera rupanya…
Peristiwa yang terjadi di Munawarrah Bakery sentiasa menerjah mindanya tatkala dia bersendirian. Hari ini sahaja sudah banyak kali dia termenung memikirkan pertemuan dia dengan Ashraf itu. Ini pertemuan kali ketiga antara dia dengan Ashraf.
Kenapa aku rasa macam berbunga-bunga aje dunia aku ni?
Seakan-akan Adda boleh nampak pelbagai jenis bunga sedang melingkari dirinya sekarang. Macam gaya dalam komik Jepun yang selalu dia baca pun ada, semasa heroin jatuh hati dengan hero. Atau…
Aku dah jatuh hati dengan Ashraf ke?
Pantas Adda menggelengkan kepalanya. Takkan semudah itu. Atau mungkin kerana dia tidak pernah punya seorang kawan lelaki seperti Ashraf yang baik dengannya? Dahulu, dia pernah mempunyai seseorang yang bertakhta dalam hatinya tetapi semenjak hari itu, hari yang membuatkan Adda merasakan dia kehilangan lelaki itu, dia terus membuang rasa sukanya pada lelaki itu.
Hajatnya Adda mahu menghantar mesej kepada Ashraf, seperti mana yang diminta oleh lelaki itu kepadanya. Namun, sudah hampir sejam dia menghadap skrin Nokianya tanpa berbuat apa-apa.
Nak hantar ke tak ya?
Latar skrin Nokia yang memaparkan gambar seekor anak kucing yang comel berwarna putih hanya dipandang kosong. Adda masih berbelah bahagi sama ada mahu menghantar mesej kepada Ashraf atau tidak.
Aku…
Nombor telefon peribadi lelaki itu direnung silih berganti dengan Nokia di tangan. Adda mengeluh. Tanpa memikirkan apa-apa lagi, kad itu kembali diletakkan di atas meja solek bersama-sama Nokianya.
SUDAH lama Ashraf merenung BlackBerry hitam di atas meja kopi rumahnya. Sudah lama dia menantikan suatu panggilan dibuat. Namun dia hampa kerana sehingga sekarang penantian dia sia-sia. Tiada tanda bahawa si dia akan membuat panggilan.
Hatinya terdetik untuk mengenali gadis bertubuh kecil molek itu sejak pertemuan pertama mereka lagi. Hari demi hari selepas itu, dia mula memikirkan harapan mama kepadanya. Mama sudah lama mahu melihat dia melangkah ke jinjang pelamin, sampai bila dia harus menghampakan mama kesayangannya?
Mereka baru sahaja bertemu, malah masih tidak mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik lagi tetapi Ashraf merasakan dia tidak mampu menidakkan kata hatinya sendiri.
Sering kali dia bertanya kepada dirinya sendiri, adakah ini pilihan yang tepat? Tetapi, setelah memikirkan kepada saat dia tanpa teragak-agak menghulurkan wang untuk membayar kek yang ditempah oleh gadis itu, membuatkan dia yakin dengan diri sendiri.
Terasa sel-sel dalam otaknya tidak mampu berfungsi dengan baik untuk menghalangnya daripada menghulurkan tangan yang memegang not biru itu. Tindakan dia lebih pantas tanpa mampu akal memikirkannya.
Agaknya, ini kot perasaan Qimi tatkala mula menyukai Auninya?
Entah, dia tak ada jawapan untuk itu.
Alunan nada dering Daughtry – Over You yang mula berkumandang di atmosfera ruang tamu banglo dua tingkat itu mengejutkan khayalan panjang Ashraf. Nada dering yang sering menjadi mangsa kutukan Nadira kerana dianggap sudah ketinggalan zaman itu tetap menjadi pilihannya. Tergesa-gesa dia mengambil BlackBerry miliknya. Hampir sahaja dia terjatuh daripada sofa. Manalah tahu orang yang sedang dikhayalkan menelefonnya. Matanya melihat kepada skrin telefon.
Qimi.
Hampa. Ashraf mendengus. Kenapalah apa yang dia hajatkan tidak berlaku. Betullah orang tua-tua kata penantian itu satu penyeksaan. Mahu tidak mahu panggilan Najwan diangkat. Salam dihulur.
“ Ash, kau tengah buat apa?” terus Najwan melontarkan soalan selepas menjawab salam. Ashraf buat muka bosan walaupun tahu Najwan tidak dapat melihatnya.
“ Aku tengah syok baring atas sofa ni sebelum kau telefon. Kenapa?”
Ashraf mengatur langkah ke halaman rumah. Cerah betul suasana pada hari ini. Tetapi dia juga yang rasa macam hari mula mendung dalam kalendar moodnya.
“ Kau tahu tak mana nak cari nurseri yang ada banyak barang?”
Kening Ashraf mula bertaut. Nurseri?
“ Aku rasa kau tak ada anak lagi, Qimi. Apasal pula kau sibuk nak cari nurseri pula ni?” tanya Ashraf hairan. Kahwin tak sampai lagi dua tiga bulan, dah sibuk fikir pasal nurseri untuk anak? Terbayang di mindanya sebuah nurseri yang dipenuhi dengan barangan bayi yang comel.
Najwan tepuk dahi. “ Bukan nurseri jaga bayi tu, nurseri bungalah! Apalah kau ni.”
Ashraf mula ketawa. Nurseri bunga?
“ Maaflah, aku ingat kau cari nurseri yang jaga babi tu. Kenapa pula kau cari nurseri bunga? Sejak bila pula kau ada hobi tanam bunga ni?”
Najwan rasa nak tepuk dahi sekali lagi. Sejak bila pulalah kawan aku seorang ni jadi jenis yang banyak tanya pula?
“ Aku nak cari pasu bunga. Aku silap pecahkan pasu bunga yang ibu aku kasi kat Nini. Tamatlah riwayat aku kalau ibu aku tahu aku pecahkan pasu tu. Macamlah kau tak tahu perangai ibu aku tu,” jelas Najwan. Rasa nak hantuk kepala kat dinding pun ada apabila memikirkan bala yang mungkin datang.
“ Biar betul kau ni? Macamlah kau tak kenal ibu kau tu macam mana?” Meletus tawa Ashraf. Boleh dibayangkan bagaimana rupa kelat Najwan apabila memikirkan ibu yang berkemungkinan besar akan mengamuk.
“ Aku bukan suruh kau ketawa, aku tanya kau mana nak cari nurseri yang jual pasu-pasu yang cantik tu?” Najwan bengang. Boleh pula dia ketawa? Masa aku tengah sakit kepala pula tu!
“ Nurseri bunga? Maaflah kawan. Aku bukan jenis yang tanam bunga macam mama aku. Tapi, aku tahu satu nurseri, sepupu kawan aku punya. Kau boleh cuba tengok kat sana,” cadang Ashraf. Teringatkan nurseri milik sepupu Ameer.
“ Kat mana nurseri tu?” tanya Najwan acuh tak acuh. Geram dengan Ashraf yang mengetawakan dia sebentar tadi.
“ Nanti aku WhatsApp alamat nurseri tu. Kejap aku nak tanya Ameer,” kata Ashraf. Najwan hanya mengiakan. Selepas salam diberi, perbualan mereka ditamatkan oleh Najwan. Ashraf naik ke tingkat atasnya. Terserempak pula dengan mama di tengah jalan.
“ Mama,” tegur Ashraf. Kelihatan sebuah buku resipi di tangan mama. Mama menguntum senyum.
“ Kenapa mama tengok Angah macam tengah kecewa bercinta ni?” tanya mama. Ashraf tergelak.
“ Kecewa apanya mama? Teman wanita pun Angah tak ada, nak kecewa macam mana pula?” sangkal Ashraf. Lucu mendengar kata-kata mamanya.
“ Mama perhatikan Angah sejak semalam lagi. Termenung aje, suka tengok telefon. Mana mama tak bimbang kalau tengok Angah jadi senyap macam tu?” kata mama lagi. Ashraf menggeleng. Apalah mama ni.
“ Tak adalah mama. Angah biasa-biasa aje,” balas Ashraf. Mama tersenyum lagi.
“ Kalau dah berkenan kat anak orang, beritahu aje dia sebelum disambar orang. Okey?” Mama menuruni tangga tanpa menunggu Ashraf membalas kata-katanya. Ashraf termangu-mangu. Dia merenung pada setiap langkah mama.
Mama ni… ada kuasa psikik ke? Macam tahu-tahu aje.
NEESA NURSERY menjadi tumpuan Najwan dan Auni pada petang itu. Semuanya gara-gara pasu bunga yang dipecahkan oleh Najwan pada pagi semalam. Risau juga Najwan jika tiba-tiba sahaja ibu datang ke rumah mereka, ibu mendapati pasu bunga pemberiannya tiada.
Sudahlah ibu itu seorang yang teliti dan ingat akan pemberiannya kepada seseorang. Boleh meletup ibu kalau tahu pasu pemberian kepada menantu kesayangannya itu telah pecah. Gara-gara anak lelaki kesayangan pula tu.
“ Selamat datang, tuan, puan,” sapa gadis yang bekerja di nurseri itu. Gadis berpakaian kasual itu mengangguk sedikit sebagai tanda hormat. Sapaan gadis itu disambut dengan senyuman.
“ Puan nak tengok bunga ke?” tanya gadis itu kepada Auni. Auni pantas menggeleng. Najwan membiarkan sahaja pekerja nurseri itu menyoal isterinya. Dia lebih senang melihat keadaan sekitar nurseri itu. Pesekitarannya cantik dihiasi dengan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai bentuk.
“ Kami datang nak beli pasu,” ucap Auni ringkas. Gadis pekerja itu mengangguk. Memahami kehendak pelanggan yang harus dipenuhi.
“ Silakan ikut saya, puan, tuan.”
Gadis itu membawa mereka ke ruang yang menempatkan pasu-pasu yang beraneka saiz dan reka bentuk. Rambang mata Auni melihatnya. Cuba dicari yang serupa dengan pasu pemberian ibu tetapi tidak dijumpai. Satu persatu pasu bunga yang terdapat di situ dibelek oleh Auni. Daripada yang besar sehinggalah yang bersaiz kecil.
“ Ada tak?” tanya Najwan perlahan tatkala melihat wajah rungsing Auni. Auni menggeleng. Dia mendongak melihat terus pada wajah Najwan.
“ Tak ada. Macam mana ni?” soalnya risau. Najwan hanya mampu tersenyum.
“ Tengok baik-baik. Dah, mari abang tengok pula,” kata Najwan. Auni mengangguk sahaja. Dibiarkan tugas ‘mencari’ pasu itu diambil alih oleh suaminya pula. Namun, kesudahannya tetap hampa. Sudah puas juga Najwan mencari namun pasu seperti dibeli oleh ibu tetap tiada.
“ Agak-agak Ninilah, ibu beli kat mana ya pasu tu?” Najwan cuba menduga. Auni merengus.
“ Macamlah Nini tahu ibu beli kat mana pasu tu. Abang tanyalah ibu sendiri kalau berani,” getus Auni. Ada ke patut tanya aku soalan tu?
Najwan ketawa. “ Itu maknanya abang gali kubur sendiri kalau tanya ibu soalan tu. Apalah Nini ni.”
Dah tahu lagi mahu buat, Auni mengata dalam hati.
“ Nini rasa, baba nak tak ikut serta Perikatan Kuasa Tengah dengan kita?” soal Najwan lagi. Auni mengerutkan dahinya pula.
“ Maksud abang?”
Najwan senyum. “ Kita tanya baba, ibu beli kat mana pasu tu. Tentu baba tahu. Biasanya ibu kalau beli barang, ibu akan beritahu baba dulu.”
Auni diam sejenak. Bernas juga idea suami aku ni. Kalaulah dia fikir macam ni awal-awal, tak adalah susahkan aku datang sini petang-petang macam ni. Nasiblah dapat suami macam ni.
“ Nini nak abang sendiri yang telefon baba. Salah abang juga sebab sakan sangat main bola tu tadi. Kalaulah abang fikir macam ni awal-awal, tak adalah Nini susah-susah kena heret datang sini,” Auni luahkan juga rasa geram yang mula bertapak dalam hatinya. Apalah suami aku ni!
Najwan tersengih. “ Yalah, yalah.”
Gadis pekerja nurseri itu hanya tersenyum sahaja mendengar perbualan antara suami isteri itu. Lucu juga dirasakan olehnya. Ada juga kes macam ni? Takutkan ibu sendiri rupa-rupanya.
Kesudahannya, mereka berdua keluar dari nurseri itu tanpa membeli pasu yang dicari. Hanya dua pokok kaktus yang sederhana besar sahaja dibeli oleh Auni lantaran tidak mahu membuang tenaganya datang ke sini dengan begitu sahaja.
“ Abang nak telefon baba bila?” tanya Auni. Najwan membantu dia memasukkan kedua-dua pasu itu ke dalam tempat penyimpan barang Prius. Najwan mula ketawa.
“ Kejap lagi abang telefon. Tak payah bimbang, abang pun tak nak ibu tahu pasal ni. Kalau nak elak ibu tahu, cepat-cepatlah kita selesaikan benda ni,” kata Najwan tanpa rasa bersalah. Seolah-olah bukan salahnya pasu itu pecah.
“ Yalah, yalah. Macamlah Nini yang pecahkan pasu tu. Abang tahu tak, pasal pasu tu aje dah jadi masalah besar macam ni. Apa kata abang redha aje kena marah dengan ibu,” kata Auni berterus-terang. Najwan mencebik.
“ Nini ni, gaya tak sayang abang aje,” Najwan pura-pura merajuk. Tempat simpanan barang kereta ditutup rapat. Najwan bersandar pada keretanya lantas berpeluk tubuh. Matanya dihalakan pada wajah Auni.
Auni mula ketawa. “ Kalau tak sayang yang ni, nak sayang siapa lagi.”
Najwan menggelengkan kepalanya. Auni dah mula nak buat loyar buruklah tu. Tetapi Najwan tetap tersenyum. Hatinya tiba-tiba sahaja berbunga sebaik sahaja mendengar kata-kata itu. Najwan memang angau apabila melibatkan diri Auni. Padahal isteri sudah ada di depan mata.
Share this novel