BAB 4
AUNI dah berair air mata menghadap bawang merah yang sedang dihirisnya. Ummi hanya tersenyum melihat mata merah anak bongsunya itu. Ummi kembali menghadap kuah tomyam di hadapan. Baru sahaja ummi mengacau, berdesup bunyi kat belakang sebelum disusuli dengan bunyi air melimpah di sinki. Ummi pantas menoleh.
“ Adik?” Muka ummi dah berkerut-kerut. Auni pantas menoleh daripada sinki dengan muka yang basah.
“ Adik tak tahanlah, pedih sangat,” adu Auni seakan-akan kanak-kanak kecil. Matanya digosok berulang kali. Ummi tahan gelak.
“ Macam manalah nak masak untuk suami kalau macam ni,” kata ummi. Puan Mariam kembali menghadap kuah tomyam di hadapan.
Auni mencebik. Pasal tu jugalah yang ummi nak keluarkan. Nak suruh aku nikah cepat-cepat ke?
“ Adik,” seru ummi tanpa menoleh. Auni menyahut.
“ Adik ikut ya ke rumah Mak Cik Sofi petang esok? Angah tak boleh pergi, ada majlis buka puasa dengan tempat kerja dia. Along pula kena buka puasa kat rumah Mak Cik Zah. Boleh ya, dik?”
Mak Cik Zah, ibu mentua kesayangan Along. Boleh kata yang Along itu menantu kesayangan Mak Cik Zah. Mana tidaknya, jika Mak Cik Zah memerlukan bantuan untuk ke mana-mana atau menguruskan sesuatu, Alonglah orang pertama yang akan dicari walaupun anaknya yang lain masih lagi ada. Kesanggupan Along memenuhi setiap permintaan wanita itu menyebabkan Mak Cik Zah amat menyayangi Along berbanding menantu-menantunya yang lain.
“ Okey. Lagipun kalau adik tak ikut, adik nak buka puasa dengan siapa? Dahlah ummi dan walid tak ada, Angah dengan Along pun tak ada. Baik adik ikut,” balas Auni yang kembali berperang dengan bawang merah di tangannya.
Ummi gelak lagi. “ Tahu tak apa.”
Ummi kembali dengan kuah tomyam yang masih panas. Selepas mengecilkan api, ummi mula berhajat mahu ke bilik air. Baru sahaja ummi ingin berlalu dari situ, mula kedengaran suara Auni kembali.
“ Ummi! Pedihlah mata!”
Ummi gelak lagi.
BARU sahaja Auni masuk ke dalam pejabat sebelum ditegur oleh Firas yang baru sahaja pulang dari Holland. Tambah pelik lagi dengan huluran lelaki itu. Sebuah bungkusan yang berbalut cantik berada dalam tangan Firas. Kening Auni bercantum.
“ Kau buang tabiat ke ni?” tanya Auni pelik. Punyalah selama ni Firas tak pernah membalut walau satu pun hadiah yang akan diberi. Hari ni balut pula? Aneh, aneh.
Firas sengih tawar. “ Kalau ya pun kau terimalah dulu hadiah aku ni. Hadiah kau ni istimewa sikit sebab kau dah tolong aku masa aku tak ada kat sini.”
“ Oh, kau cakap pasal pelan hotel tu ke? Tak ada apa-apalah, dah Encik Adam suruh aku uruskan, aku ikut aje. Mari sini hadiah tu, manalah tahu kau bagi biskut kering aje ke,” kata Auni. Bungkusan di tangan Firas diambil.
“ Buruk sangka betullah kau dengan aku. Apa punya kawanlah,” balas Firas. Auni hanya buat selamba.
Bungkusan dibuka dengan berhati-hati. Firas memberinya sebuah replika kincir angin daripada kayu yang besar sedikit daripada tapak tangannya. Ada beberapa ukiran bunga tulip pada bahagian tubuh replika kincir angin itu.
“ Cantik.” Auni tersenyum. “ Terima kasih, Firas.”
“ Sama-sama. Dahlah, baik aku pergi sambung buat kerja. Ganggu masa kau pula. Aku nak kena ke Al-Azwar ni, nak bincang pasal pelan tu lagi,” kata Firas lagi. Auni pantas mengangguk.
“ Baiklah. Terima kasih tau.”
“ Tak ada masalah. Aku yang patut berterima kasih,” balas Firas sebelum berlalu.
Kincir angin itu diletakkan di atas meja kerjanya. Asus yang berwarna biru muda diletak di atas meja lantas dibuka. Dia ingin menyudahkan kerjanya yang tertangguh semalam kerana terlampau banyak. Ada sedikit sahaja lagi yang perlu disiapkan olehnya.
“ Auni!”
Tersentap Auni dengan teguran itu. Dia pantas mengangkat wajah. Adda sedang tersengih-sengih di hadapannya kini.
“ Apasal kau ni? Terkejut aku,” bebel Auni. Kali ini Adda ketawa pula. Langsung tidak terkesan dengan bebelan Auni. Makin galak dia ketawa adalah.
“ Kau balik pukul berapa hari ni?” tanya Adda. Matanya lekat pada balang yang sudah berhias cantik yang penuh berisi dengan origami swan buatan Auni. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya setiap kali melihat Auni melakukan hobinya yang satu itu. Pantang ada masa, mesti gadis itu akan membuat origami swan.
“ Awal, kenapa kau tanya?” tanya Auni tanpa memandang Adda. Matanya masih lagi di skrin Asus. Sesekali jari jemarinya mencoret sesuatu di atas sekeping kertas.
“ Kalau tak, aku nak ajak kau ke Mid Valley. Nak cari Bad Guys dan Doctor Stanger, boleh? Masa mula-mula keluar tu aku tak sibuk sangat, tak sempat nak pergi beli,” tanya Adda.
Auni tarik senyum. Yang ni seorang lagi yang satu kepala minat drama Korea dengan aku ni.
“ Maaf, Adda. Aku kena balik terus ke rumah sebab malam ni kawan ummi dan baba ajak buka puasa kat rumah dia,” kata Auni. Adda menarik muncung.
“ Tak apalah. Tapi, esok kau teman aku ya? Bolehlah, ya?” kata Adda bersungguh-sungguh. Auni mengangguk. Kasihan pula melihat Adda yang bersungguh-sungguh mahu ditemaninya.
“ Baiklah. Aku pun nak pergi MPH sebenarnya, nak cari buku baru.”
“ Sayang kau, Auni.”
“ Yalah. Dah, pergi buat kerja kau. Kerja aku pun tak siap lagi ni. Macamlah kau tak tahu, bila bos besar dah mengamuk, Gunung Everest pun boleh jadi landai, tahu tak?” kata Auni. Matanya kembali meneliti skrin Asus. Adda gelak kecil.
“ Haru betul metafora kau. Dahlah, aku pun nak pergi sambung buat kerja ni,” kata Adda lantas berlalu meninggalkan Auni di situ. Auni menggelengkan kepalanya.
Jemarinya mula menari di atas papan kekunci Asus. Sesekali Pilot Shaker pula yang menari di atas kertas. Berkerut-kerut muka Auni tatkala membaca ayat yang terasa memeningkan kepalanya itu.
Tiba-tiba sahaja bayangan wajah Wafiy muncul dalam mindanya. Cepat-cepat Auni menggelengkan kepalanya. Tidak mahu terikut-ikut dengan perasaan yang kian dirasakan kian bercelaru semenjak menerima e-mel daripada lelaki itu.
Auni harap Wafiy akan sedar tanpa perlukan pertolongan daripadanya. Perasaan Wafiy terhadapnya hanyalah suatu perasaan yang disamarkan kerana cintanya terhadap gadis lain.
“ NAWAL memang nak bawa E-jat sekali ke?” soal Najwan buat kesekian kalinya. Nawal yang sedang membetulkan tudung di hadapan cermin mula buat muka bosan.
“ Along! Ni dah masuk kali ke sepuluh tahu tak Along tanya Nawal soalan tu,” rungut Nawal. Muka Alongnya dipandang geram. Najwan gelak perlahan.
“ Mentang-mentanglah E-jat tu kecil, Nawal bawa dia pula jadi peneman. Kenapa tak bawa Along aje? Takut Along ganggu Nawal dengan Syah ke?” tanya Najwan dengan gelak yang masih bersisa. Nawal tarik muka masam.
“ Buat apa ajak Along? Kacau daun aje,” balas Nawal geram. Najwan ketawa lagi.
Perbualan mereka terhenti dengan kehadiran ibu dengan E-jat di dukungan. E-jat diturunkan di hadapan mereka berdua. Berlari E-jat mendapatkan Najwan yang tidak sampai selangkah dengan dia. Najwan pula pantas mendapatkan E-jat ke dukungannya.
“ Ibu lupa yang Syah ajak Nawal buka puasa hari ni. Kalau tak, boleh kenal-kenal dengan anak kawan ibu yang bongsu tu. Namanya Auni kalau tak salah ibu,” kata ibu. Mata ibu pula dilirikkan pada Najwan yang sedang bergurau dengan E-jat. Nawal dah gelak memanjang.
“ Nawal tahu sangat yang ibu nak kenalkan anak kawan ibu dengan Along, kan? Kan?” kata Nawal. Ibu senyum. Najwan buat bodoh sahaja. Kalau dia beri reaksi, mahu kena dengar ceramah percuma dengan ibu petang-petang macam ni.
“ Dahlah, Nawal pergi dulu, ya ibu? Mungkin Nawal balik lewat sikit. Syah kata nak ajak Nawal teman dia beli baju raya dengan adik dia.”
Ibu mengangguk lantas Nawal mencium pipi dan tangan ibu. Sebelum Nawal pergi sempat lagi Najwan meluku kepala adiknya. Terjerit Nawal tatkala Najwan sekali lagi meluku kepalanya. Cepat-cepat Nawal menarik E-jat berlari ke luar rumah sebelum sekali lagi kepalanya menjadi mangsa lukuan Najwan.
“ Kamu ni Naj, asyik nak usik adik kamu aje kerjanya,” bebel ibu. Najwan sengih. Wajah ibu dipandang.
“ Biarlah ibu. Lepas Nawal kahwin, takkan Naj nak usik macam tu juga?” balas Najwan. Ringkas sahaja jawapannya walaupun kurang bernas.
Ibu senyum nipis. Mata ibu turun naik dari hujung rambut sehinggalah ke kaki Najwan. “ Kamu ni takkan nak pakai macam ni nak jumpa dengan tetamu ibu? Dah, pergi tukar baju.”
Najwan renung ke pakaian yang tersarung di tubuhnya. Kemeja T biru dengan seluar track hitam paras betis, pakaian harian dia jika berada di rumah atau bersantai ke mana-mana. Dosa ke pakai macam ni?
“ Salah ke Naj pakai macam ni?” tanya Najwan dengan lagak selamba. Ibu sengih geram.
“ Banyaklah kamu punya sopan kalau pakai macam ni! Dah. Pergi tukar baju Melayu sekarang juga sebelum ibu naik angin,” balas ibu garang. Najwan tarik sengih.
“ Yalah, yalah. Naj pergi tukar sekarang juga,” balas Najwan cepat-cepat. Ibu dah mula keluar aura Hulk Hogan. Sebelum ibu kesayangannya bertukar menjadi hijau, lebih baik dia cabut cepat-cepat. Pantas Najwan melompat dari tangga ke tangga sebelum sampai ke tingkat atas. Ibu yang masih di tingkat bawah hanya mampu menggeleng.
AUNI hanya mampu merenung sahaja banglo besar dua tingkat di hadapannya. Honda Civic walid Auni sudah selamat diparkir di bahagian hadapan rumah kawan ummi dan walid itu. Dua orang lelaki lengkap berbaju Melayu yang Auni tidak kenali keluar dari rumah itu bersama-sama Mak Cik Sofi. Auni keluar dari Civic sekali dengan walid dan ummi. Walid dah mendahului mereka mendapatkan suami Mak Cik Sofi.
“ Apa khabar, Abang Man? Dah lama tak jumpa,” sapa walid. Tuan Luqman tersenyum mesra. Bahu walid ditepuk lembut.
“ Baik. Takkan ni saja yang datang?” tanya Tuan Luqman hairan bila melihat hanya tiga orang sahaja tetamunya yang menghadirkan diri. Walid ukir sengih.
“ Yang sulung pergi buka puasa kat rumah mentua, yang tengah pula ada majlis buka puasa dengan syarikat dia,” balas ummi pula selepas bersalam dengan Mak Cik Sofi. Mak Cik Sofi dan Pak Cik Luqman sama-sama mengangguk.
Auni senyum manis. “ Apa khabar, mak cik, pak cik?”
“ Baik, Auni sihat?” tanya Mak Cik Sofi lembut. Auni mengangguk.
“ Alhamdulillah, sihat.”
Selepas bersalam dengan Mak Cik Sofi barulah Auni perasan akan lelaki yang seorang lagi. Bulat matanya merenung lelaki yang lengkap berbaju Melayu merah gelap itu. Begitu juga dengan lelaki itu namun cepat-cepat lelaki itu mengukir senyum.
“ Ni anak sulung kami, Najwan Faqqimi,” kata Mak Cik Sofi sambil tersenyum penuh makna. Walid dan ummi mengangguk. Auni hanya senyum sahaja.
“ Eh, jemputlah masuk. Kejap lagi dah nak berbuka. Jemput masuk, Ya, Yam,” ajak Pak Cik Luqman. Pak Cik Luqman dan Mak Cik Sofi beriringan masuk bersama-sama ummi dan walid. Auni dan Najwan ditinggalkan di belakang. Auni dah terpinga-pinga tak tahu nak buat apa tapi Najwan masih lagi kelihatan selamba.
“ Tak sangka awak anak kawan ibu bapa saya,” ujar Najwan perlahan. Auni tarik sengih. Wajah bersih Najwan direnung.
“ Saya pun,” katanya dengan senyum di bibir. Senyuman Auni dibalas.
“ Masuklah. Nampaknya, ibu bapa kita dah lupakan kita kat sini,” kata Najwan selamba sambil merenung siling bahagian luar rumah. Auni ketawa kecil.
“ Baiklah.”
Najwan dan Auni sama-sama memasuki ruang makan. Mak Cik Sofi yang ternampak mereka berdua segera mengukir senyum. Yang lain-lain sudah mengambil tempat di meja makan. Makanan juga sudah siap terhidang.
“ Jemput duduk, Auni,” pelawa Mak Cik Sofi. Auni mengangguk sedikit sebelum mengambil tempat di sisi ummi. Najwan pula turut ambil tempat di sisi ibunya, bertentangan dengan Auni.
Najwan tahu ibu sudah berganda-ganda gembiranya.
Baru beberapa minit sahaja mereka duduk, azan Maghrib dah berkumandang. Baba merenung pada Najwan di hujung meja sebelum mengangguk sedikit. Najwan mengangguk tanda faham. Kedua-dua telapak tangannya ditadah. Lafaz Bismillah dibaca terlebih dahulu.
“ Ya Allah, kami telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah kami mempercayai dan kami membuka puasa dengan apa yang Kau berikan.”
Najwan meraup wajahnya setelah doa diaminkan. Mereka mula menjamu selera. Riuh meja makan dengan perbualan antara walid, ummi dan ibu bapa Najwan. Auni dan Najwan hanya mendengar sahaja perbualan ibu bapa mereka yang lebih menjurus kepada kisah-kisah lama mereka. Kadang-kadang, walid dan Pak Cik Luqman akan ketawa.
“ Auni, tak nak tambah lagi? Sikit betul kamu makan,” tegur Mak Cik Sofi. Matanya jatuh pada pinggan Auni yang sudah kosong. Pantas Auni menggeleng, menolak pelawaan Mak Cik Sofi.
“ Tak apalah, mak cik. Terima kasih, Auni dah kenyang,” balasnya sopan. Terasa perutnya sudah sendat dengan makanan. Nak sumbat macam mana lagi? Ummi di sisi Auni dah tersenyum.
“ Auni memang makan sikit. Tu yang kecil macam ni aje,” seloroh ummi. Auni tersengih. Najwan yang turut mendengar perbualan mereka juga mengukir senyum. Matanya dilirikkan pada wajah Auni.
Sesudah berbuka puasa, Tuan Luqman mengajak Encik Zakaria sekeluarga solat Mahgrib berjemaah bersama-sama sebelum mereka pulang. Baba dah meminta Najwan ke depan untuk bertindak sebagai imam. Wajah babanya direnung hairan.
“ Baba tak nak jadi imam ke?” tanya Najwan. Biasanya, baba yang akan mengimamkan mereka sekeluarga. Tuan Luqman hanya menggeleng.
“ Tak apalah, kali ni biar kamu yang jadi imam. Baba pun dah lama tak merasa jadi makmun kamu,” balas Tuan Luqman. Najwan hanya mengangguk sahaja. Kaum Hawa sudah mengambil tempat di belakang Tuan Luqman dan Encik Zakaria.
Boleh ke dia jadi imam? Dah jarang benar ada anak muda yang mampu jadi imam, fikir Auni tatkala melihat Najwan sudah bersiap sedia untuk mengimamkan solat mereka. Manakan tidak, kebanyakan anak muda sekarang sudah culas dalam beribadat, apatah lagi memikul tanggungjawab seperti menjadi imam dalam solat. Dia agak ragu-ragu dengan kemampuan lelaki muda itu.
Lunak suara Najwan ketika mengangkat takbir menyedarkan Auni daripada lamunannya. Dia agak terpegun dengan susunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang Najwan alunkan. Teratur bacaannya dengan tajwid pada setiap ayat suci itu. Hatinya tersentuh.
“ Allahuakhbar…”
“ AWAK dah lama kerja dengan Adam?” tanya Najwan semasa mereka berjalan ke luar rumah. Taman bunga ibu di luar rumah menjadi destinasi mereka. Walid dan ummi masih berbual-bual dengan ibu bapa Najwan di dalam rumah. Lantaran itu Najwan mengajak gadis itu ke luar rumah.
“ Adalah dalam dua tahun setengah. Encik memang kenal dengan bos saya, kan?” tanya Auni pula. Najwan mengangguk.
“ Sejak umur saya 16 tahun, kenal kat MCKK. Dia tu memang sejak zaman sekolah lagi cita-cita nak jadi arkitek, ikut jejak langkah ayah dia. Tak sangka masa umur belum masuk 30 lagi ayah dia dah serahkan firma tu. Mungkin sebab kesungguhan dia kot?,” cerita Najwan. Auni gelak kecil.
“ Kenapa?” tanya Najwan hairan.
“ Saya tak boleh nak cakap banyak-banyak pasal Encik Adam. Dibuatnya encik mengadu apa yang saya cakap, mati saya nak soal jawab dengan dia,” jelas Auni dengan sisa tawanya. Najwan ketawa tanda mengerti.
“ Tak adalah. Emm… awak memang minat buat origami ke?” tanya Najwan tiba-tiba. Kening Auni bercantum mendengarkan pertanyaan itu. Wajah Najwan direnung.
“ Kenapa encik tanya macam tu?” tanya Auni. Kali ini dia pula yang kehairanan. Najwan tarik senyum.
“ Mana taknya, masa kita jumpa pertama kali dulu, saya tengok awak asyik betul buat origami tu semua. Minat, kan?” kata Najwan lagi. Tanpa berlengah panjang Auni terus mengangguk.
“ Memang minat saya.”
“ Buatkan untuk saya?”
Auni terdiam. Soalan jenis apa ni? Lantas dia tersenyum sahaja. Najwan ketawa perlahan. Tak sangka soalan sebegitu akan terkeluar daripada bibirnya.
Mereka mula menyepi. Mata masing-masing jatuh pada dada langit yang penuh dengan bintang-bintang. Tanpa mereka sedari, ibu bapa masing-masing sudah lama asyik merenung mereka dengan penuh minat. Senyuman di bibir masing-masing mula terukir.
Share this novel