BAB 34
SEPERTI pencuri sahaja lagak Auni merapati ruang tamu. Najwan sedang tidur di atas sofa di ruang tamu. Pada hari minggu sebegini, Najwan lebih suka meluangkan masa dengan berehat di rumah. Tambahan pula dengan situasi di pejabat yang semakin sibuk.
Auni ketawa mengekeh apabila melihat suaminya sudah dibuai mimpi barangkali. Dia duduk bersimpuh di hadapan Najwan. Wajah suaminya ditatap dengan penuh kasih. Siapa sangka, kasihnya dicurah sepenuh hati kepada seorang lelaki yang hanya dikenali dalam masa yang singkat sebelum mereka sah sebagai suami isteri.
Sayang abang sangat-sangat.
Auni mengucup ubun ubun suaminya sebelum bangun daripada duduk. Dia ingin ke dapur. Hajatnya ingin membuat puding roti. Bolehlah suaminya makan selepas bangun daripada tidur kelak.
Eh?
Belum sempat Auni melangkah pergi, pinggangnya dirangkul lalu ditarik ke belakang. Auni jatuh betul-betul di atas sofa. Bulat matanya merenung wajah Najwan yang sedang tersenyum simpul kepadanya. Sebelah tangan Najwan menongkat dagu manakala sebelah lagi masih berada di pinggang isterinya.
“ Apa abang ni? Tak senonohlah. Terkejut Nini,” Auni mengomel. Masa bila pula abang tersedar ni? Tadi elok elok aje tidur.
Najwan ketawa. Kedua-dua belah pipi Auni menjadi sasaran bibirnya. Auni merungut di dalam hati. Memang tak boleh larikan dirilah nampaknya ni.
“ Ninilah. Siapa suruh ganggu abang tidur? Syok abang mimpi tiba-tiba Nini masuk dalam mimpi abang,” balas Najwan yang masih ketawa. Auni mencebik.
Betul sangatlah tu.
“ Abang sambunglah tidur balik. Nini nak pergi sambung buat kerja ni,” Auni merengek. Dia cuba menolak lengan Najwan yang masih melekap pada pinggangnya namun Najwan semakin menguatkan rangkulannya. Kini kedua-dua tangan suaminya sudah merangkul erat dirinya.
“ Abang, Nini nak buat kerja ni. Nanti…”
“ Sekejaplah. Duduk dengan abang kejap.”
Auni terdiam. Ada resah dalam nada suara suaminya. Kepalanya dibawa ke dada Najwan. Sebelah tangan Najwan mengusap lembut rambut panjang Auni. Auni masih lagi membisukan dirinya.
“ Abang rindu Nini.”
Auni curi pandang pada wajah Najwan. Najwan sudah memejamkan matanya. Wajahnya jelas benar menunjukkan keresahan. Auni sudah mula risau. Kenapa dengan suaminya?
“ Abang…”
Akhirnya Auni bersuara. Dia merenung tepat pada wajah suaminya. Dipaksanya agar Najwan membuka mata. Saat Najwan membuka mata, ada suatu perasaan aneh yang bertandang dalam hati Auni. Renungan Najwan tidak seperti kebiasaan.
Dia nampak terluka… Abang?
“ Hei, kenapa dengan Nini ni? Nampak susah hati aje?”
Najwan ketawa. Pipi isterinya dicubit. Namun tawanya itu tidak disambut dengan apa-apa. Renungan Auni masih lagi pada wajahnya. Najwan tersenyum namun kelihatan hambar. Helaian rambut yang menutupi dahi isterinya diselak ke belakang.
“ Abang… abang okey?” Auni bertanya gusar. Dia pula yang kegelisahan apabila melihat renungan suaminya. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh Najwan daripada pengetahuannya.
“ Abang okeylah. Kenapa tiba-tiba Nini tanya macam tu?” Najwan ketawa lagi. Hidung isterinya ditarik. Auni merengus. Sakit!
“ Abang…” Orang tanya betul-betul dia buat main-main pula.
“ Betul, abang okey. Nini aje yang fikir bukan-bukan,” kata Najwan lembut.
Auni sebal. “ Yalah…”
“ Cuma abang takut…”
Ha?
Lama Najwan merenung wajah isteri tercinta. Bibirnya mengukir senyum. Ikhlas buat yang tersayang.
“ Abang takut kalau… suatu hari nanti abang akan hilang Nini. Kalau… Dia akan ambil Nini pergi daripada abang.”
Najwan menyembunyikan wajahnya di sebalik kepala Auni. Dapat dirasakan oleh Auni bahawa tubuh suaminya sedang menggigil perlahan. Auni mula cuak. Dia cepat-cepat melepaskan diri daripada pelukan suaminya namun Najwan semakin menguatkan pelukannya.
“ Jangan. Abang tak nak Nini tengok abang menangis,” Najwan merengek seperti anak kecil. Auni tersenyum simpul. Lembut sahaja dia mengusap kepala si suami dengan sepenuh hati.
“ Abang…” Auni memujuk Najwan daripada menyorokkan wajahnya namun Najwan tetap berdegil.
“ Tolong, Nini? Sekejap, sekejap aje.” Najwan merayu. Tubuhnya masih lagi menggigil.
Auni tersenyum. Kadang-kadang, tingkah suaminya seperti kanak-kanak juga. Ingin dimanja seperti mana E-jat yang suka bermanja dengan dirinya.
“ Abang takut Nini akan pergi tinggalkan abang macam arwah Wawa, arwah Ikhwan?” Auni menyoal lembut.
Auni memujuk Najwan untuk meleraikan pelukan. Matanya singgah pada wajah Najwan. Jelas di matanya betapa merah sepasang mata yang sentiasa merenungnya dengan sepenuh cinta di hati lantaran menahan air mata. Hatinya terluka di saat dia melihat wajah suaminya kelihatan sugul. Terasa hatinya tercarik dan luka sama seperti hati suaminya yang terluka atas pemergian insan-insan tersayang.
Najwan hanya mendiamkan diri. Tidak berani menjawab soalan yang sudah sekian lama bermain dalam mindanya walaupun dia sudah tahu apakah jawapannya. Dia takut. Sungguh. Dia takut sekiranya Auni pula yang akan meninggalkan dirinya.
“ Abang…” Najwan diperlakukan seperti anak kecil. Kepala suaminya dibawa ke ribanya. Pipi Najwan diusap lembut. Mata Auni tidak lepas daripada merenung ke arah mata suaminya yang masih lagi merah.
“ … abang kena ingat, Dia dah rancang semuanya. Kita sebagai hamba-Nya tak ada kudrat nak lawan takdir. Kalaulah memang Allah dah takdirkan Nini pergi dulu, Nini tak nak abang bersedih macam ni. Abang kena terima. Nini nak abang selalu doakan Nini. Sama macam Nini, Nini tak akan lupakan abang dalam setiap doa Nini andai abang yang pergi dulu.”
Najwan mengeluh. Terasa berat hati untuk bersetuju dengan kata-kata isterinya walaupun dia sedar, hidup dan mati adalah hak Allah SWT yang mutlak. Sebelah tangannya diangkat. Mengelus lembut sebelah pipi Auni.
“ Janji dengan abang, jangan tinggalkan abang sebelum Dia katakan ya?”
Auni tersenyum hiba. Kepalanya diangguk sekilas. Dia menundukkan wajah.
“ Janji. Sebelum Dia panggil Nini, Nini tak akan tinggalkan abang. Ya?”
Auni tewas juga kepada perasaannya sendiri. Air matanya turut menitik.
Dan, deringan telefon bimbit Najwan mengejutkan pasangan suami isteri itu.
AUNI dan Najwan sama-sama merenung resah kepada E-jat yang sedang terbaring di atas katil. Wajah sugul ibu dipandang sekilas. Najwan beralih daripada isterinya untuk mendekati ibu. Bahu ibu dipeluk.
“ Ibu, janganlah sedih macam ni. E-jat demam biasa aje tu,” lembut Najwan memujuk ibunya. Namun ibu tetap sugul.
Auni tersenyum. Dia sedar ibu teramat risaukan cucu tunggalnya. Auni berjalan mendekati ibu mentuanya. Kepada Najwan diisyaratkan agar memberi sahaja tugas memujuk itu kepadanya. Najwan tersengih. Dia beralih untuk memberi ruang kepada Auni.
“ Ibu, E-jat demam biasa aje. Janganlah sedih macam ni. Nanti tak pasal-pasal tok ibu E-jat pun demam sekali. Kesian baba nanti sebab isteri baba demam juga,” Auni memujuk. Dia memeluk tubuh ibu. Ibu menggeleng. Wajah menantu kesayangan itu ditatap.
“ Ibu bukan apa Nini. E-jat tu jarang demam. Sekali dia demam macam ni, manalah ibu tak risau,” balas ibu. Auni senyum lagi. Bahu ibu ditepuk perlahan.
“ Tu tandanya E-jat sihat sebenarnya. Dahlah ibu, jangan sedih-sedih macam ni. E-jat dah makan ubat kan? Lepas ni eloklah tu,” Auni tidak berhenti memujuk. Ibu mengangguk sahaja.
“ Maaflah, dah ganggu cuti Nini dan Naj. Tapi ibu risau sangat sebab E-jat jatuh sakit. Baba pula tak ada. Kena temankan klien penting katanya,” kata ibu.
Najwan dan Auni saling berpandangan sebelum mereka mengekeh ketawa. Lucu apabila mengenangkan apa yang terjadi tadi. Kelam kabut Najwan dan Auni bangun daripada sofa untuk mengangkat panggilan. Sekali ibu beritahu E-jat demam, tanpa membuang masa mereka terus ke rumah ibu.
“ Tak apalah ibu. Kami pun dah lama tak ke sini. Kesian E-jat, rasa macam terabai pula,” sahut Najwan. Wajah anak kecil itu ditatap penuh kasih. Rambut E-jat diusap lembut. Panas terasa pada tubuh kecil itu.
Kesian E-jat. Dah lama papa tak datang main dengan E-jat, kan?
“ Ibu, apa kata ibu pergi rehat dulu? Naj tak nak nenek E-jat pula yang demam. Biar kami aje yang jaga E-jat, okey? Ibu pergilah rehat,” kata Najwan.
“ Tak apalah Naj. Biarlah ibu jaga E-jat juga. Cucu ibu juga tu,” ibu buat nada merajuk. Najwan tergelak.
“ Tak ada, tak ada. Biar kami aje yang jaga. Sekarang, Naj nak ibu pergi rehat, okey? Nanti bising pula baba sebab ibu pula yang demam sekali dengan cucu tunggal kesayangan tu.”
Najwan menolak perlahan ibu ke pintu bilik E-jat seraya tidak berhenti-henti memujuk. Terpaksa juga ibu mengalah dengan kehendak anak sulungnya itu.
“ Yalah, yalah. Lepas ni turun bawah tahu. Kita minum petang sama-sama. Biar aje E-jat tidur,” kata ibu.
Najwan angkat tabik hormat.
“ Baik.”
Sempat lagi ibu mencebik sebelum berlalu keluar dari bilik itu. Najwan ketawa. Namun laju sahaja tangan Auni mencubit lengan suaminya. Najwan mengaduh kesakitan. Wajah isterinya direnung.
Bila masa pula Nini ada sebelah aku ni?
“ Kenapa dengan Nini ni? Sakitlah,” Najwan pura-pura mencebik. Auni menjegilkan matanya. Sebelah jarinya tegak melintangi bibirnya.
“ E-jat tengah tidur tu. Abang janganlah bising,” Auni berkata perlahan. Najwan tersengih.
“ Yalah. Dah, mari tengok budak tu kejap.”
Pertama kali melihat anak kecil itu yang sentiasa lincah bermain, terbaring sahaja kerana demam. Auni mengusap pipi E-jat. Kasihnya sudah lama tumpah pada anak kecil itu walaupun E-jat bukanlah anak kandungnya.
“ Abang?”
“ Ya?”
Pandangan Auni beralih pada Najwan yang sedang duduk di sebelahnya. Satu senyuman dikuntum indah buat si suami.
“ Boleh tak kalau Nini nak bawa E-jat balik rumah kita? Nini nak jaga E-jat, boleh tak abang?” lembut Auni meminta kebenaran.
Walaupun Auni yakin permintaannya itu tidak akan ditolak, namun dia tetap memohon kebenaran daripada insan yang bergelar suami kepada Auni Ammaleeyna itu. Kebenaran daripada si suami tetap menjadi keutamaan.
Najwan tersenyum saat mendengar permintaan itu. Dia mengangguk perlahan.
“ Boleh sayang. Tapi kena tanya ibu dan baba dulu. Abang risau ibu tak benarkan. Tak apalah, kita cuba pujuk ibu dulu ya?” Najwan bersetuju.
Auni mengangguk. Gembiranya di hati. Dia teringin sangat menjaga E-jat di rumah mereka. Lagipun apa salahnya jika mereka pula yang mengambil alih tugas menjaga E-jat yang sedang demam itu. Kesian pula pada ibu dan baba yang sudah berusia untuk ditanggungjawabkan dengan perkara seperti ini.
“ Dahlah tu sayang. Biarkan E-jat tidur. Lena sangat tu. Kita turun bawah makan dengan ibu ya?” ucap Najwan seraya melihat pada muka jam tangannya. Sudah hampir pukul 5:30 petang.
Auni mengangguk sahaja. Dia mengucup dahi E-jat sebelum membiarkan sahaja si suami merangkul pinggangnya untuk beriringan turun ke tingkat bawah. Daripada awal perkahwinannya dengan Najwan sehingga kini, tiada apa yang mampu dikatakan selain bahagia.
“ Ibu,” Najwan menyapa sesampai sahaja mereka ke kawasan taman bunga ibu. Ibu sudah menunggu dengan tiga buah pinggan berlainan kuih dengan jus oren segar.
“ E-jat tidur lagi?” ibu menyoal risau.
Najwan mengangguk. Dia menarik kerusi untuk diduduki Auni sebelum mengambil tempat di sebelah isterinya.
“ Ibu, Naj nak minta izin ibu ni,” ujar Najwan. Auni di sebelah hanya mendiamkan diri. Dia menuangkan jus oren ke dalam gelas suaminya.
“ Nak minta izin apa?” ibu bersuara hairan. Jus oren diteguk perlahan.
“ Naj nak minta izin bawa E-jat ke rumah Naj. Kami nak jaga dia kat sana, boleh ibu?” Najwan berterus terang tanpa perlu berkias-kias. Harap sahaja ibu akan bersetuju.
“ Betul tu ibu. Kami harap ibu setuju. Biarlah Nini dan Abang Naj yang jaga E-jat kat rumah tu,” Auni mencelah dengan harapan dapat membantu si suami.
Ibu mendiamkan dirinya. Memikirkan kata-kata Najwan dan Auni. Sebelum berkata apa-apa, lebih baik fikirkan dulu apa yang patut dikatakan.
“ Ibu bukanlah nak menghalang..” ucap ibu memulakan kata-katanya, “… cuma ibu takut kamu berdua terbeban dengan E-jat tu. Naj dengan Nini dahlah kerja. Menganggu pula kalau kena jaga E-jat tu.”
Auni menoleh ke arah suaminya. Najwan mengangguk. Faham benar dengan apa yang cuba disampaikan oleh Auni.
“ Kami tahu ibu. Tapi kali ni biarlah kami yang jaga E-jat. Kami mampu lagi nak jaga E-jat, tak payahlah susahkan ibu dan baba. Kalau ibu risau soal kerja, tak ada apa-apa sebenarnya. Sekarang ni kesihatan E-jat yang lebih penting,” sambung Najwan. Tidak berputus asa untuk memujuk ibu.
Ibu mengeluh. Mata ibu beralih daripada wajah anaknya kepada wajah menantu kesayangan. Senyuman terukir pada wajah tua itu.
“ Betul ke Nini tak kisah? Ibu tak nak susahkan kamu,” ibu menyoal pula kepada Auni. Pantas Auni menggeleng.
“ Nini setuju dengan cakap Abang Naj tadi. Ibu izinkan kami jaga E-jat ya? Boleh, ibu?”
Auni merenung dengan penuh harapan kepada ibu. Tidak sampai hati pula ibu nak menolak permintaan itu. Najwan dan Auni kelihatan beria-ria benar. Anggukan daripada ibu mengundang senyuman pada wajah kedua-duanya.
“ Baiklah. Ibu izinkan. Nanti bila E-jat dah sedar, kamu tanyalah dia. Tapi ibu rasa tentu E-jat nak. Tadi pun dia merengek cari Naj dan Nini.”
“ Baiklah. Terima kasih ibu.”
Lega sudah hati Auni dan Najwan. Ibu sudah memberikan kebenaran untuk membawa E-jat ke rumah mereka.
BERHATI-HATI Najwan membawa dulang yang berisi dua keping roti bakar, segelas susu, sebotol jem nanas dan sebotol Nutella naik ke tingkat atas. E-jat sedang berehat di dalam bilik mereka. Auni berada di dalam bilik untuk menemani E-jat.
“ E-jat,” Najwan menyapa sebaik sahaja dia sampai ke muka pintu. Pintu itu memang sedia terbuka. Untuk memudahkan Najwan masuk dengan dulang di tangan.
“ Papa!”
E-jat bersuara ceria walaupun dia masih lagi demam. Auni yang pada asalnya membacakan suatu cerita kepada anak kecil itu tergelak apabila melihat E-jat sudah melompat-lompat di atas katil. Bersemangat betul apabila melihat Najwan sudah muncul di hadapan mata.
“ Janganlah lompat atas katil tu. Sekarang, papa nak E-jat makan ubat ya? Lepas tu tidur, okey?” kata Najwan. E-jat mengangguk sahaja. Dia terus duduk kembali di sebelah Auni.
Senyuman Najwan tercetus. Dulang diletakkan di atas meja kecil di sebelah katil mereka. Dia duduk di birai katil, menarik E-jat untuk merapatinya.
“ E-jat nak nanas ke Nutella?”
“ Dua-dua!”
Najwan tergelak. Dia mengambil sekeping roti bakar untuk disapu dengan jem nanas dan sekeping lagi untuk disapu dengan Nutella. Roti bakar itu dicarik kecil sebelum diberikan kepada E-jat.
“ Makan elok-elok, papa takut tercekik nanti,” pesan Najwan.
Sabar sahaja dia menunggu E-jat untuk selesai makan. Auni pula meminta izin untuk ke bilik sebelah. Dia perlu menyelesaikan tugas menggosok bajunya dan baju Najwan untuk dipakai ke pejabat nanti.
“ Papa?” E-jat menyeru perlahan. Najwan mengangguk sekilas dengan senyuman yang tidak lekang daripada wajahnya. Perhatiannya kepada E-jat tidak terjejas walau sedikit pun.
“ Ya sayang?”
E-jat senyum lantas menggelengkan kepala. Mulutnya masih mengunyah roti bakar yang masih berbaki.
“ Tak ada apa-apa.”
Najwan senyum lagi. Hidung E-jat menjadi mangsa cubitannya.
“ Dah siap makan? Papa nak bagi ubat ni,” kata Najwan. Dia mengambil sebotol ubat yang diserahkan oleh ibu sebelum mereka membawa E-jat ke sini. Katanya, ubat demam E-jat.
Pantas E-jat mengangguk. Menunggu masa untuk minum ubat sahaja.
Mudah sahaja untuk E-jat minum ubat. Dia? Panjang pula ceritanya nanti. Najwan gelak dalam hati.
“ Abang?” Auni memanggil perlahan. Dia baru sahaja selesai dengan tugasnya. Jam di dinding dikerling. Tiga puluh minit lagi sebelum pukul 12 tengah malam.
“ Kenapa Nini?” Najwan yang sedang duduk membaca buku di atas kerusi rotan juga menjawab perlahan. E-jat sudah tidur. Dibiarkan sahaja anak kecil itu dengan lenanya. Panas pada tubuh E-jat masih terasa.
“ Abang tak nak tidur lagi ke? Jangan kata abang nak sambung buat kerja pula,” kata Auni seraya merapati suaminya. Najwan ketawa perlahan.
“ Tak adalah. Kalau tak, abang pula yang demam sebab tak cukup rehat,” jawab Najwan. Dia bangun daripada kerusinya lantas merangkul pinggang si isteri.
“ Habis tu tak reti nak tidur lagi? Yang abang macam dah pasang mod gatal abang ni kenapa?” Auni menyoal dengan senyuman di bibir. Senyum untuk suami, tidak salah kan?
“ Nak kacau isteri sendiri, tak salah kan?”
Najwan merapatkan dahinya ke dahi Auni. Auni tercengang. Dia memang akan terkaku dengan sendirinya saat dia merasakan hangat wajah Najwan dekat dengan wajahnya.
“ Abang nak ucap terima kasih sebenarnya, sebab Nini dah jadi serikandi tolong selamatkan abang petang tadi.”
Auni tersenyum simpul. Berbunga terasa hati dengan kata-kata suaminya.
“ Nini kan serikandi abang, sampai bila-bila?”
Tawa Najwan kedengaran merdu pada pendengaran Auni. Suaminya mengangguk perlahan.
“ Sampai bila-bila.”
Share this novel