Chapter 60

Romance Completed 17236

BAB 60

TANPA teragak-agak Auni terus menekan loceng pintu unit kondominium Sarah. Lama juga dia menanti sebelum pintu itu dibuka dari dalam. Dengan senyuman manis Sarah mempelawa Auni masuk. Auni mengekori langkah Sarah lalu masuk ke ruang tamu. Sarah sudah menyediakan makanan buat tetamunya yang baru sahaja hadir itu.

Auni terhenti sejenak langkahnya apabila perasan Qausar turut berada di situ. Anak kecil itu diam sahaja seraya merenung wajah Auni. Wajahnya benar-benar kelihatan polos. Namun pandangan anak kecil itu membawa seribu pengertian yang tidak mampu Auni ungkapkan. Qausar seakan-akan ingin menyampaikan sesuatu kepadanya.

“ Qausar, minum jus dan pergi tidur sekarang. Ibu nak bualkan sesuatu dengan mama kawan Qausar, ya?” lembut sahaja Sarah memberi arahan kepada Qausar yang masih tidak lepas daripada memandang wajah Auni. Segelas jus epal diserahkan kepada Qausar. Qausar mengangguk sahaja tanpa mengatakan apa-apa.

“ Terima kasih ibu.” Sesudah menghabiskan jus epal yang diberikan oleh ibunya tadi, Qausar terus masuk ke dalam bilik. Auni melihat sahaja pemergian anak kecil itu.

“ Jemput duduk, Auni,” pelawa Sarah. Auni teragak-agak mengangguk. Dia mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan Sarah. Mata Sarah melekat pada perut Auni yang kian membesar.

“ Dah berapa bulan?” tanya Sarah penuh minat. Pada wajahnya terukir senyuman penuh misteri. Auni cuba menguntum senyum buat wanita itu walaupun dia sedar senyuman wanita itu tidak lagi menenangkan dirinya.

“ Nak masuk lima,” pendek sahaja jawapan Auni.

Sarah hanya mengangguk. Dia membetulkan duduknya. Cawan yang sudah berisi dengan air teh panas ditolak ke hadapan Auni.

“ Minumlah. Lepas ni akak cerita perkara yang sebenarnya,” ucap Sarah. Dia mencapai cawan tehnya dan menghirup sedikit air itu. Nak tak nak terpaksa juga Auni meminumnya. Tetapi dia hanya berpura-pura sahaja. Dia harus berwaspada dengan Sarah. Wanita itu bagaikan musuh dalam selimutnya. Auni risau sekiranya Sarah ada memasukkan sesuatu ke dalam minumannya.

“ Sebelum akak mulakan cerita, boleh saya tanya sesuatu?” Auni memberanikan dirinya untuk menyoal. Senyuman pada wajah Sarah mati. Riaknya nampak kosong sahaja tanpa sebarang perasaan.

“ Auni nak tanya pasal apa?” tanya Sarah mendatar. Auni mula cuak apabila menyedari perubahan intonasi dan riak pada wajah Sarah.

“ Kenapa… kenapa akak seorang aje yang panggil suami saya Wan sedangkan semua kawan dia yang lain… panggil dia Qimi?” Agak bertaburan juga kata-kata Auni. Sekali lagi wajah Sarah berubah riak.

“ Siapa yang panggil dia Qimi? Qimi tu kawan baik Abang Wan! Auni mengarut apa ni?” Suara Sarah berubah nada. Auni tergamam di situ. Dia tersandar pada sofa.

“ Tapi… suami saya…”

Tiba-tiba sahaja air mata Sarah mengalir laju menuruni lekuk pipinya. Niat Auni untuk berkata-kata mula terbantut. Kenapa pula ni?

“ Kenapa dia mesti tinggalkan aku sebab kau? Kenapa? Tak cukup ke dengan pengorbanan aku selama ni? Aku yang jaga dia masa dia sakit, tapi kenapa dia tinggalkan aku sebab kau? Kenapa?”

Sarah menghentak meja kopi di hadapannya. Cawan tehnya tertepis lantas jatuh berderai di atas lantai marmar kondominium itu. Auni makin terkejut dengan tindakan Sarah. Kelihatannya Sarah seakan-akan tidak sedar dengan apa yang sedang dilakukannya kini.

“ Kenapa kau yang jadi penghalang? Dia kata dia tak akan tinggalkan aku! Aku seorang diri aje atas dunia ni! Kenapa lepas kami bahagia dia tinggalkan aku? Kenapa?”

Suara Sarah semakin lama semakin mendominasi ruangan kondominium itu. Auni merasakan dirinya berada dalam ancaman bahaya sekarang. Kelam kabut dia menyelongkar tas tangannya tetapi langsung tidak menjumpai barang yang dicari. Xperianya tiada dalam tas tangan itu! Tentu tertinggal sewaktu dia tergesa-gesa untuk meninggalkan rumah tadi.

“ Kau rasa seronok ke musnahkan kebahagiaan orang lain? Hah? Dah lama aku cari dia… tapi kenapa bila aku jumpa dia balik… kau muncul sebagai isteri dia? Kenapa?”

Ya Allah, apa semua ni? Mata Auni tidak lepas daripada melekat pada Sarah. Setiap perlakuan wanita itu dilihatnya.

Sarah semakin hilang kawalan. Ada masanya dia memukul-mukul dirinya sendiri, ada masanya dia ketawa bersendirian. Melihatkan situasi itu sahaja mampu membuatkan bulu roma Auni meremang. Dia harus menyelamatkan dirinya. Pada saat-saat seperti ini, berbagai-bagai kemungkinan boleh terjadi. Apatah lagi mengenangkan situasinya yang kurang berdaya untuk melawan Sarah sekiranya wanita itu menyerang.

“ Aku terpaksa hapuskan kau.. aku tak nak hidup derita lagi. Aku tak sanggup tengok dia dengan kau… bahagia dengan kau sedangkan… sedangkan aku hidup menderita selama ni.”

Rintihan Sarah terasa semakin menambahkan debaran hatinya. Apatah lagi sewaktu Auni melihat Sarah sudah memegang kaca cawan yang berderai tadi. Darah menitis daripada tangan wanita itu tetapi kelihatannya Sarah seakan-akan tidak menghiraukan langsung keadaan dirinya kini.

“ Maaf, Auni… aku tak sanggup… aku betul-betul tak sanggup lihat dia dengan kau.. aku…”

“ Argh!”

Auni jatuh ke atas lantai apabila Sarah menerkam ke arahnya. Dia mengaduh kesakitan apabila merasakan tubuhnya terhempas di atas lantai. Mungkin kerana tenaganya terhad disebabkan oleh dirinya yang berbadan dua, Auni merasakan tidak cukup gagah untuk terus melarikan diri.

“ Kak… Kak Sarah… saya…”

Kata-kata Auni terputus di situ. Dia cuba mengelak daripada didekati oleh Sarah yang semakin hilang kawalan. Auni mengundur ke sudut ruang tamu itu, cuba mendekati pintu kondominium Sarah. Malang tidak berbau kerana Sarah terlebih dahulu menerpa ke arah pintu itu. Auni terundur lalu terjatuh ke atas lantai. Peluh mula merintik pada wajahnya.

“ Nak lari?”

Sarah hanya tersenyum sinis. Auni sudah lama menggeletar ketakutan. Dia mula mengutuk kebodohan dirinya kerana mengingkari perintah suaminya. Najwan sudah berkali-kali memberi larangan agar jangan sesekali bertemu dengan Sarah tanpa ditemani sesiapa. Sekarang Auni teramat menyesali perbuatannya kini. Hanya kerana inginkan kebenaran, dia bertindak sehingga mengancam keselamatan dirinya sendiri.

Ya Allah… tolong aku….

Air mata Auni semakin laju mengalir. Dia terpaksa menggunakan sepenuh tenaganya yang masih bersisa untuk mengelak daripada didekati oleh Sarah. Serta merta mata Auni tertancap pada kain alas meja makan di ruangan makan kondominium itu. Suatu idea berlegar dalam mindanya.

Tanpa berlengah lagi Auni segera menyambar kain alas itu sebelum mengibarkan kain itu kepada Sarah. Sarah jatuh ke belakang kerana penglihatannya terhalang. Kain itu juga sudah menyelimuti sebahagian besar tubuhnya. Auni mengambil peluang itu untuk melarikan diri.

Argh!

Tangan Sarah sempat menyambar pergelangan kaki Auni. Auni terdorong ke hadapan lalu jatuh di atas sofa. Hentakan yang kuat pada perutnya membuatkan Auni merasakan tenaganya sudah tiada sisanya. Penglihatannya mula terasa kabur.

Tolonglah Ya Allah… selamatkan aku…

“ Nini!”

Auni tersentak. Bulat matanya merenung ke muka pintu kondominium Sarah yang sudah terbuka luas. Dia kaget apabila melihat suaminya dan dua orang pengawal keselamatan berdiri di situ.

Aku mimpi ke ni?

“ Kenapa kau datang? Kau datang nak kembali pada aku?” soal Sarah seakan-akan tidak menyedari situasinya sekarang. Dia tersenyum pada Najwan yang sedang serius merenungnya.

“ Wan… kenapa awak tengok saya macam tu?” Suara Sarah berubah menjadi sedih. Dia menerpa ke hadapan lalu menarik kolar kemeja Najwan. Ternyata Najwan terkejut dengan tindakan wanita itu.

“ Kenapa awak tinggalkan saya? Kenapa? Saya jaga awak masa awak sakit… tergamak awak buat saya macam ni?” rintih Sarah buat kesekian kalinya. Najwan menepis kuat kedua-dua tangan Sarah yang mencengkam kolar kemejanya. Sarah ditolak ke atas lantai.

“ Wan?”

Najwan mengeluh kuat. “ Aku bukan Wan, Reena! Sedarlah! Wan dah lama mati! Suami kau dah lama mati! Aku Qimi, Najwan Faqqimi bukannya Ikhwan Rahaman! Wan dah lama tak ada!”

Sarah seakan-akan terpaku di situ. Wajahnya kelihatan kosong. Dia menggeleng perlahan. Kata-kata yang keluar daripada Najwan terasa tidak dihadam oleh fikirannya dengan sebaik mungkin. Dia kembali menerpa ke arah Najwan.

“ Wan… kenapa?”

“ Tolonglah, Reena. Buka mata kau! Ini aku, Najwan Faqqimi! Bukan Ikhwan Rahaman!” Najwan berterusan mengulangi apa yang dikatakannya tadi. Bulat mata Sarah selepas memahami apa yang cuba disampaikan oleh Najwan.

“ Kau tipu! Kau Wan, bukannya Qimi! Kenapa kau nak tipu tipu? Buruk sangat ke aku pada mata kau sampai kau sanggup tipu aku? Penting sangat ke perempuan tu sampai kau tinggalkan aku?” laungan Sarah semakin lantang. Berulang kali dia mengocangkan bahu Najwan. Auni semakin kehairanan dengan situasi yang berlaku kini.

Pap!

Tamparan yang kuat pada pipinya menyebabkan Sarah terdorong ke belakang lantas jatuh sekali lagi. Najwan tidak berniat untuk menampak seorang wanita seperti Sarah tetapi tangannya bertindak secara refleks. Apatah lagi dengan keadaan Sarah yang seakan-akan sudah tidak dapat dikawal lagi.

Najwan segera mengarahkan pengawal keselamatan yang mengekorinya tadi menahan Sarah daripada lepas bebas. Sarah masih mengongoi kesedihan. Kedua-dua pengawal keselamatan itu hanya menurut sahaja perintah Najwan. Mereka mengalami kesukaran kerana Sarah bersungguh-sungguh untuk melepaskan diri daripada mereka berdua.

Tergesa-gesa Najwan mendapatkan Auni yang semakin lemah di kaki sofa. Kejap dia memeluk Auni. Berulang kali dia mengucup ubun isterinya.

“ Alhamdulillah… nasib baik abang sempat datang… terima kasih Ya Allah…” ucap Najwan sendu. Dia menggosok belakang isterinya berulang kali. Auni kaget buat seketika apabila menyedari sesuatu. Dia melihat pada kakinya. Darah merah mengalir di situ.

“ Abang… anak kita… anak kita…”

Rintihan Auni mengejutkan Najwan. Dia terkejut apabila menyedari banyaknya darah yang membasahi lantai kondominium tersebut. Tanpa berlengah lagi dia mendukung Auni kemas lantas berlari ke lif. Dia harus sampai ke hospital dengan segera. Auni dalam bahaya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience