Chapter 39

Romance Completed 17236

BAB 39

“ MUQRI?”

Terkebil-kebil Adda merenung pada wajah jejaka itu. Dia cuba untuk menahan tangis. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan lelaki yang amat dibencinya pada masa ini. Adda cuba menahan rasa seram sejuk yang mula melanda dirinya. Kedua-dua tangannya digenggam sekuat hati. Adda tidak mahu ada yang jadi mangsa buku limanya pada hari ini.

“ Maaf, saya ikut awak dari tadi lagi. Adda, saya…” Muqri cuba untuk memberitahu sesuatu tetapi segera dipintas oleh Adda.

“ Sudahlah. Jangan kacau aku. Terserempak dengan kau macam dulu pun aku tak mahu. Kau berhentilah muncul dalam hidup aku,” tegas Adda menuturkan ayat itu. Muqri kelihatan terkesima.

“ Dah berbulan-bulan saya cari awak, Adda. Saya cuba cari rumah awak tapi tak ada sesiapapun yang sudi bantu saya. Saya…”

“ Siapa yang sudi bantu hampagas karat macam kau! Aku dah bahagia dengan hidup aku. Malah, aku anggap kau tak pernah wujud pun dalam hidup aku. Aku yang bodoh, terima kau dengan mudah. Kalaulah aku tahu perangai kau macam sampah, pandang sebelah mata pun aku tak mahu! Kau ingat muka kau tu kacak sangat? Kalau nak banding kau dengan Yob Tiga Suku dekat rumah aku, aku lagi rela pilih dia tahu tak!”

Bagaikan bertih jagung mulut Adda meluahkan rasa tidak puas hatinya. Macam-macam perkataan keluar daripada bibir kecil Adda. Nadira yang pada asalnya terkaku menyaksikan perbalahan antara Kak Ngah dengan lelaki yang tidak dikenali itu mula meletuskan tawa.

Nadira dapat memikirkan punca pergaduhan itu. Ianya kelihatan lebih kepada pergaduhan antara sepasang bekas kekasih. Kagum juga Nadira melihat Kak Ngahnya. Pada mulanya, Kak Ngah kelihatan seperti mahu menangis. Tetapi, Kak Ngah kelihatan kuat sangat untuk melawan butir bicara lelaki itu.

“ Adda, saya tahu saya salah. Tapi, tak boleh ke awak terima saya balik?”

“ Aku tak kenal kau. Nad, jom naik atas. Telefon Angah, beritahu dia kita akan jumpa dia kat dalam.” Adda menoleh pada Nadira.

Teragak-agak Nadira mengangguk. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Tetapi, Ashraf sudah tiba di situ. Tergamam Ashraf melihat kemunculan lelaki yang tidak dikenali di situ.

“ Adda, Nad, siapa lelaki ni?”

Sempat lagi Ashraf meletakkan dua beg kertas yang dipegang dia ke lantai. Dia merenung pada Muqri yang juga kelihatan bingung melihatkan dirinya.

“ Siapa dia?”

Adda pantas menggeleng. Dia risau jika kisah silamnya terbongkar di hadapan tunangnya itu. Nadira yang seakan-akan memahami situasi itu segera mengajak Ashraf naik ke restoran. Cepat-cepat dia menyimpan beg kertas yang Angah pegang tadi.

“ Tak ada apa-apalah, Angah. Jom, cari restoran. Nad dah lapar ni,” kata Nadira.

Lengan Ashraf dipegang lalu ditarik mengekorinya. Ashraf yang kebingungan hanya mengikut sahaja langkah Nadira. Adda hanya menghadiahkan sahaja jelingan kepada Muqri sebelum mengekori Ashraf dan Nadira dari belakang.

“ Adda, awak nak ke mana? Selesaikan dahulu hal kita!” Muqri menyambar lengan Adda. Dia sempat bertentang mata dengan Adda buat seketika sebelum dia merasakan tubuhnya melayang di udara dan…

Buk!

Ashraf dan Nadira berhenti daripada melangkah. Terkaku mereka berdua apabila menyedari lelaki itu sudah terlentang muka menghadap lantai sambil mengerang kesakitan. Kedua-dua tangan lelaki itu berada di belakang badannya, dikilas kuat oleh Adda.

“ Kau kacau aku lagi, aku kerjakan kau teruk lagi daripada ni!” keras Adda memberi amaran. Ashraf bergegas mendapatkan Adda. Panik dia dengan situasi yang berlaku.

“ Adda, awak tak apa-apa?” Ashraf bertanyakan keadaan Adda walaupun sudah jelas pada matanya bahawa keadaan lelaki yang tidak dikenali itulah yang patut dibimbangkan. Adda menggeleng. Dia mengukir senyum hambar.

“ Ini tunang aku. Kami akan kahwin dua minggu lagi. Aku akan lapor polis kalau kau kacau aku lagi. Pengecut,” ejek Adda apabila melihat Muqri masih lagi kesakitan.

Muqri ditinggalkan sahaja di situ tanpa sebarang niat mahu menolong. Dan Ashraf merupakan orang yang paling bingung. Dia merenung pada Adda yang berjalan di sisinya.

Adda yang perasan akan renungan itu mengeluh kecil. Dia mengangkat muka, bertentang mata dengan Ashraf. Ashraf kelihatan bimbang, bukannya marah atau sakit hati.

“ Tolong percayakan saya, boleh tak?” pinta Adda sayu. Dia mula rasa nak menangis balik. Ashraf mengangguk seketika.

“ Apa-apa aje untuk awak. Saya tak akan tanya pasal lelaki tadi kalau awak tak nak cerita,” balas Ashraf perlahan. Adda tersenyum kecil.

“ Terima kasih.”

Adda senyum kelegaan. Nampaknya dia sudah berjumpa dengan pilihan yang tepat untuk dijadikan pasangan hidupnya. Insya-Allah, selepas sah bergelar isteri kepada Ashraf, kesetiaan dia hanya kepada lelaki itu.

“ AUNI, Encik Adam cari,” ujar Cassy yang melalui meja kerjanya untuk ke pantri. Auni mengangguk sahaja. Dia mengemas sedikit meja kerjanya yang bersepah dengan kertas-kertas kerja sebelum mengatur langkah ke pejabat Encik Adam. Dia mengetuk pintu terlebih dahulu sementara menanti kebenaran untuk masuk.

“ Kenapa Encik Adam cari saya?” tanya Auni. Encik Adam mengukir senyum sebelum menyerahkan beberapa helai kertas kepada Auni.

“ Saya tahu awak dah lama tak buat reka hias dalaman ni. Tapi, hari ni ada klien nak awak buatkan reka hias dalaman untuk kondo dia. Dia sendiri datang jumpa saya dan kata nak awak tolong dia. Dia tak nak pereka yang lain,” jelas Encik Adam. Kening Auni mula bertaut.

“ Tapi Encik Adam, saya dah lama tak buat reka hias dalaman. Tak apa ke?” tanya Auni.

Rasanya sudah lama berlalu sejak dia menguruskan projek hiasan dalaman. Tumpuan Auni kini hanyalah kepada seni bina arkitek. Kenapa tiba-tiba sahaja ni?

“ Insya-Allah, awak boleh buat. Lagipun hari itu kan awak kata awak akan kembali buat projek hias dalaman ni? Inilah peluangnya. Cuma yang saya hairan, macam mana klien kita yang baru ni tahu pasal awak pernah buat reka hias dalaman kat sini? Siap tahu nama awak lagi,” kata Encik Adam.

Auni termangu. Kata-kata Encik Adam ada juga betulnya namun dia hanya mendiamkan diri. Sesudah diberi penerangan sedikit sebanyak, Auni meminta diri untuk keluar. Dia meneliti balik kertas kerja yang diserahkan oleh Encik Adam tadi.

Tengah hari esok, dia perlu menemui Puan Sarah Adrianna di Kondominium Lazuardi. Mereka akan berbincang mengenai hiasan dalaman Puan Sarah di rumahnya. Nampaknya, Auni perlu membelek majalah-majalah hiasan dalaman bila sudah pulang nanti. Bukannya ingin meniru, sekadar untuk dijadikan rujukan.

Tatkala melalui meja kerja Adda, Auni perasan yang sahabatnya itu sedang termenung. Dia berhenti sejenak di situ. Manalah tahu Adda ada masalahnya yang tersendiri. Mungkin dia boleh membantu.

“ Adda?” sapa Auni perlahan. Adda mengangkat muka daripada kertas kosong yang asyik ditenungnya sejak daripada tadi lagi.

“ Kau ada masalah? Monyok semacam aje aku tengok kau ni,” kata Auni. Adda tersenyum kecil. Dia mengangguk perlahan. Dengan Auni dia memang tidak boleh sorok apa-apa. Cukuplah dia menyorokkan mengenai hubungannya dengan Muqri dahulu.

“ Aku jumpa Muqri balik semalam, masa aku pergi beli barang dengan Ashraf dan Nad,” tutur Adda perlahan. Auni jelas kelihatan terkejut dengan kata-kata Adda. Bulat matanya merenung wajah murung Adda.

“ Jadi, Ashraf macam mana?” tanya Auni.

Adda dan Ashraf akan berkahwin tidak lama lagi. Jadi, masa bertunang seperti inilah akan ada dugaan yang menimpa mereka. Auni bimbang jika Ashraf akan berkecil hati dengan Adda mengenai hubungan antara Adda dan Muqri yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa itu.

Senyuman Adda menjadi lebar secara tiba-tiba. Auni kian pelik. “ Kenapa kau senyum pula ni?”

“ Aku bertuah dapat lelaki macam Ashraf. Dia tak marah, malah dia tak paksa pun aku cerita pasal Muqri. Dia kata, kalau aku tak nak cerita, dia tak nak paksa aku. Tapi, aku cerita juga. Aku tak nak kalau suatu hari nanti, isu ni bangkit semula dan dia marahkan aku,” kata Adda. Auni tersenyum lega.

“ Baguslah kalau macam tu. Jangan sorokkan apa-apa. Dulu pun kau pesan macam tu juga masa Wafiy ganggu aku. Aku harap Muqri akan berhenti kacau kau. Aku tak nak ada orang jadi perosak rumah tangga kau nanti,” ucap Auni ikhlas. Adda mengangguk.

“ Insya-Allah, Auni.”

Auni tersenyum. Harap-haraplah tiada apa yang akan terus menganggu.

“ Wafiy memang tak ada hubungi kau lagi kan sejak hari tu?”

Sudah berbulan-bulan peristiwa itu terjadi malah Auni pun sudah hampir melupakannya. Dia mengangguk sahaja. Wafiy memang sudah tidak menghubunginya lagi selepas dia kembali ke UK. Mungkin lelaki itu sudah bahagia di sana.

“ Tak apalah. Maaf bangkitkan pasal Wafiy. Kau pergilah sambung kerja kau. Terima kasih.”

“ Okey!”

Auni mengeyit matanya sekilas sebelum kembali ke meja kerjanya. Kertas yang diserahkan oleh Encik Adam tadi disimpan di dalam fail peribadinya. Malam ini dia kena tidur lewat sedikit memandangkan dia perlu membuat sedikit pemerhatian mengenai seni reka dalaman di kondominium Puan Sarah.

Melalui penerangan Encik Adam, wanita itu mahukan gaya klasik Inggeris berserta sedikit sentuhan moden. Puan Sarah pernah tinggal di Eropah selama beberapa tahun dan wanita itu baru sahaja pulang ke Malaysia. Klien baharunya itu mahu mengekalkan suasana sewaktu dia tinggal di negara empat musim itu.

Suara Juniel merdu melagukan korus lagu I Think I’m in Love. Tergesa-gesa Auni membuka tas tangannya. Xperianya semakin lama semakin galak menyanyikan korus lagu kegemarannya itu. Nama suaminya tertera pada skrin Xperia. Auni tersenyum nakal. Dia segera menyambut panggilan itu.

“ Assalamualaikum, Encik Najwan Faqqimi? Apa yang boleh saya bantu?” Auni buat gaya skema habis-habisan. Layak bergelar seorang operator telefon yang berjaya.

Najwan yang pada mulanya tergamam apabila menyangka itu benar-benar suara operator hanya mampu mengetap bibir. Pantang betul isterinya jika ada peluang untuk mengenakan dirinya.

“ Waalaikumussalam, sayang abang. Nak sangat jadi operator telefon ke?” sindir Najwan. Auni senyum sahaja.

“ Ada apa telefon Nini, penting sangat ke?”

“ Mungkin abang balik lewat malam ni. Minta maaf, Nini. Abang kena jumpa Safwan, ada hal penting. Kalau lewat sangat, jangan tunggu. Tidur aje. Nanti mengantuk pula,” kata Najwan.

“ Oh… okey. Abang jangan balik lewat sangat, ya? Pastikan abang pergi makan malam tahu, jangan lupa pula. Nini tak nak abang kena gastrik. Bawa kereta baik-baik, jangan berhenti kalau ada orang minta abang berhenti kat tengah jalan. Sekarang ni dah macam-macam kes jadi kalau malam-malam. Okey?”

Berbakul-bakul pesanan dititipkan buat Najwan. Najwan yang sedang mendengar amanat itu dengan tekunnya sudah mula tersenyum.

“ Jangan risau. Insya-Allah, abang tak akan apa-apa. Nini jangan lupa kunci semua pintu dan tingkap tu. Abang dah telefon Sarjan Hilal tadi, minta dia ketatkan pengawasan kat kawasan rumah kita malam ni. Ingat pesan abang tu, ya?”

Auni mengangguk. Sempat lagi suaminya menelefon Sarjan Hilal, ketua pegawai peronda di kawasan perumahan mereka. Lelaki yang bermisai lentik itu digelar sarjan oleh penduduk kerana pernah bertugas sebagai polis yang berpangkat sarjan sebelum bersara.

“ Okey. Telefon Nini kalau ada masalah. Assalamualaikum,” ucap Auni.

Salamnya bersambut sebelum talian dimatikan. Keluhan kecil keluar daripada bibirnya. Makan seorang dirilah jawabnya aku malam ni. Nasib, nasib.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience