BAB 38
“ ABANG~”
Mata Najwan masih lagi tertumpu pada muka depan akhbar News Strait Times (NST) di tangan walaupun namanya lunak dilagukan oleh Auni. Dia buat-buat tidak peduli sahaja ketika Auni duduk di sebelahnya.
“ Abang, dengar tak Nini panggil?” ujar Auni sedikit bengang.
Takkanlah suami aku ni ada masalah pendengaran pula? Bukannya perlahan pun aku panggil dia tadi. Aku rasa dah bergema satu ruang tamu dah.
“ Abang!”
Suara Auni dah naik seoktaf. Tiada langsung kelunakan nada seperti mana dia memanggil Najwan beberapa ketika tadi. Najwan cuba mengawal rasa geli hatinya apabila mendengar perubahan nada suara isterinya. Auni menjulingkan matanya. Tajam matanya merenung pada sisi wajah suaminya itu.
Najwan masih lagi menghadap NST. Kali ini dia menyelak muka akhbar itu. Auni mengetap bibir. Nak kena juga dia ni. NST yang sedang dibaca oleh suaminya itu dirampas oleh Auni. Akhbar itu disorokkan di belakang. Najwan tergamam. Dia menoleh ke isterinya. Dia pura-pura mengeluh.
“ Ya Nini sayang~ Ada apa sampai sanggup kacau abang pagi-pagi macam ni?” tanya Najwan dengan suara yang sengaja dilunakkan. Auni tersenyum kecil. Kan bagus kalau awal-awal dah tanya aku terus kenapa aku panggil dia? Senang kerja aku.
“ Teman Nini pergi Jaya Grocer. Barang dapur dah nak habis, nanti abang juga yang bising kalau kita tak ada makanan nanti,” ajak Auni tanpa berlengah-lengah. Najwan diam sejenak. Sengaja mahu melambat-lambatkan masa Auni.
“ Boleh tak bang? Abang jangan menyesal kalau Nini pulang lewat dan abang terpaksa makan kat rumah ibu macam minggu lepas,” ugut Auni.
Auni teringatkan minggu lepas, hujung minggu di mana dia pergi menemani Adda pergi membeli barangan hantaran sehingga terjumpa dengan Muqri.
Pantas Najwan mengangguk selepas diugut oleh Auni. Tadi, dia yang ingin mengenakan Auni, alih-alih dia pula yang terkena.
Suka benar Auni mengusiknya kerana tidak betah ditinggalkan. Nak elak malu punya pasal, Najwan akan memberi alasan “ Sayang isteri punya pasal.” Dan Auni hanya akan mencebik sahaja selepas mendengar alasan itu.
“ Yalah, yalah. Abang bersiap dan panaskan enjin kereta dulu. Nini bersiap lepas abang. Dah sediakan senarai barang apa nak beli?” tanya Najwan yang sudah mengalah. Pantas juga Auni mengangguk.
“ Lepas Subuh lagi Nini dah sediakan.”
Najwan ketawa. Dia segera naik ke atas untuk menukar pakaian. Auni sudah ke dapur. Dia mahu mengemas dapur sekejap sebelum bertolak ke Jaya Grocer. Pinggan dan cawan masih belum berbasuh sesudah mereka berdua bersarapan tadi.
Usai menukar pakaian, Najwan dan Auni bertolak ke Jaya Grocer. Jam baru menunjukkan angka 8:45 pagi tetapi sudah ramai yang berada di Jaya Grocer untuk membeli barangan basah dan sayur-sayuran. Najwan membantu Auni menolak troli masuk ke dalam.
“ Kita nak cari apa dulu?” tanya Najwan. Auni meneliti senarai yang berada di tangan.
“ Kita pergi cari barang basah dan sayur dululah. Lepas tu, baru cari barang dapur lain. Okey?” tanya Auni pula. Dia mendongak pada wajah suaminya yang dengan baik hatinya menolong dia menolak troli. Najwan mengangguk sahaja.
“ Baiklah.”
Hayunan kaki membawa mereka ke bahagian barangan basah dan sayur. Sudah kelihatan beberapa orang sedang mengerumuni kawasan menjual daging ayam dan ikan serta hasil laut yang lain. Mereka berdua ke kaunter yang menjual daging ayam terlebih dahulu. Baru aje Auni melihat pada daging ayam segar itu, dia mula teringatkan sesuatu. Lengan Najwan dicuit seketika.
“ Ada apa?” Muka isteri kesayangan yang sentiasa berseri-seri pada pandangan matanya itu ditatap. Auni senyum buat muka comel.
“ Hari tu ibu ada cerita, katanya abang pandai masak, terutamanya ayam masak lemon. Masa abang masak makan malam untuk Nini tu, memang sedap pun abang masak. Boleh ajarkan Nini?” tanya Auni. Matanya dikelip-kelipkan banyak kali, kononnya cuba mencairkan hati suaminya agar bersetuju untuk mengajarnya masakan itu. Najwan tersengih.
“ Takkan Nini tak reti masakkan ayam masak lemon? Senang aje kan?” tanya Najwan. Auni menggeleng.
“ Nini tak pernah masakkan ayam masak lemon. Tak pernah cuba pun. Jadi, abanglah kena ajar.”
“ Daripada gelaran suami, pemandu, tukang kebun, sekarang ni Nini nak beri gelaran chef pula pada abang?” Najwan menggeleng-gelengkan kepalanya. Auni senyum buat muka comel sekali lagi.
“ Ini kan Najwan Faqqimi Nini.” Auni mengeyitkan mata.
LEKA sungguh Adda dan adik kesayangannya, Zafran berjoging di sekitar taman perumahannya. Sudah agak lama dia dan Zafran tidak datang berjoging di sini kerana kesibukan masing-masing. Adda sibuk dengan kerjanya manakala Zafran pula sibuk dengan kuliah dan projek-projek di universitinya.
“ Kak Chik, jom rehat dulu. Zaf penatlah,” ajak Zafran yang sudah mula tercungap-cungap. Adda senyum mengejek. Dia memperlahankan rentaknya sedikit demi sedikit sebelum mula berjalan.
“ Lembiklah Zaf ni. Kak Chik kuat lagi tau,” perli Adda yang sudah mengambil tempat duduk di sebuah kerusi taman yang berdekatan.
Zafran hanya tersengih. Dia bersandar pada kerusi taman itu. Melepaskan lelah dek terlalu lama tidak berjoging. Urat-urat kakinya pun terasa kejang semacam aje.
“ Ala Kak Chik, Zaf letih betul ni. Yalah, Zaf mana sempat nak pergi joging masa kat kampus. Sibuk dengan kuliah, tutor, kerja dan projek aje 24 jam. Kak Chik duduk kat rumah bolehlah cakap macam tu,” keluh Zafran. Dia memejamkan matanya. Syoknya kalau boleh tidur bila dah letih-letih macam ni.
“ Banyak alasan betullah budak seorang ni. Tak padan lelaki,” sindir Adda lagi. Bingkas Zafran duduk tegak dan menoleh ke arah kakaknya yang sedang membetulkan tali kasutnya.
“ Dah-dahlah panggil Zaf budak, okey? Zaf dah 22 tahunlah,” kata Zafran dengan nada tidak puas hati. Dalam kalangan ahli keluarganya, Kak Chiknya merupakan saudara kandungnya yang paling rapat dengannya. Dan dengan Kak Chik jugalah dia jadikan sebagai tempat untuk mengusik.
“ Baru 22. Sampai bila-bila pun Zaf tetap budak pada Kak Chik tahu,” balas Adda dengan senyum sumbing. Zafran kembali menyandar pada kerusi taman. Matanya dijulingkan ke langit. Kalau bertikam lidah dengan Kak Chik, dia yang terpaksa mengangkat bendera putih.
Adda turut menyandar pada kerusi taman. Matanya jatuh pada langit yang membiru di atas sana. Sesekali lalu juga beberapa orang yang turut berjoging di kawasan taman tasik itu. Malah, yang datang untuk berkelah bersama-sama keluarga dan kawan-kawan pun ada.
“ Kak Chik…”
Adda menoleh seketika pada Zafran di sisi. Dia mengangkat kening. “ Kenapa?”
“ Macam mana ya lepas Kak Chik kahwin? Tentu dah payah kita nak pergi joging sama-sama macam ni,” kata Zafran. Kata-kata Zafran disambut dengan tawa Adda. Berkerut dahi Zafran. Kak Chik ni perli aku lagi ke?
“ Kenapa Kak Chik ketawa?” tanya Zafran hairan. Adda tersenyum, cuba meredakan tawanya. Kang kalau budak kecik ni mengaju, parahlah dia nak memujuknya.
“ Zaf nak tahu tak, masa Kak Auni nak kahwin dulu pun, Kak Chik pernah beritahu dia, ‘ Payahlah kita nak keluar sama-sama macam selalu lepas kau kahwin’. Tapi, Kak Auni senyum aje. Dia marah Kak Cik juga sebab dah buat dia rasa serba salah nak kahwin. Dan, kali ni Kak Cik rasa serba salah aje nak kahwin sebab Zaf cakap macam tu,” cerita Adda. Zafran menggeleng.
“ Bukan maksud Zaf tak kasi Kak Chik kahwin. Zaf suka Achik, dia baik. Kak Chik bertuah sebab jumpa dengan Achik. Cuma, kadang-kadang tu Zaf terfikir. Kak Chik mana boleh keluar selalu dengan Zaf lepas ni. Zaf kena juga hormat dengan Achik sebagai suami Kak Chik,” kata Zafran tergesa-gesa. Dia tidak mahu Kak Chik salah faham dengan kata-katanya tadi.
Sejak Ashraf sah bergelar bakal suami kepada Adda, seisi keluarga Adda memanggilnya Achik. Jika dalam kalangan ahli keluarga Ashraf pula, adik kesayangan Ashraf iaitu Nadira sudah memanggilnya Kak Ngah. Nadira rapat dengannya malah gadis itu sering juga menelefon dia untuk bertanya khabar.
Adda merenung lama pada wajah Zafran. Zafran kelihatan gelisah sahaja dengan renungan Kak Chiknya. Takut-takut dia membalas pandangan kakak kesayangannya itu.
“ Jangan risau. Status Kak Chik aje yang berubah. Daripada Cik ke Puan. Yang lain tetap tak berubah. Zaf tetap adik Kak Chik,” pujuk Adda. Zafran termenung seketika. Dia mengeluh.
“ Zaf tahu tu. Cuma rasa janggal aje bila fikir yang Kak Chik akan kahwin tak lama lagi, pegang gelaran isteri orang dan tak akan tinggal kat rumah mak dan abah lagi,” ucap Zafran. Dia menguis rumput di hujung kasut.
“ Dahlah, jangan nak buat drama melankolik pula kat sini. Baik kita sambung joging, lepas tu kita balik rumah. Cuaca pun dah makin panas ni,” kata Adda yang jelas tidak mahu menyambung perbualan mengenai hal yang dibincangkan tadi. Zafran mengangguk sahaja. Dia bangun mengikuti langkah Kak Chiknya.
“ Kak Chik!” Zafran melaung daripada belakang. Pantas Adda menoleh. Dia sudah terkehadapan daripada Zafran. Dia terus aje berhenti di situ.
“ Apa?”
“ Tengah hari ni Kak Chik nak keluar dengan Achik, kan?” tanya Zafran.
Pantas aje Adda mengangguk. Dia kembali menyambung langkahnya apabila Zafran sudah sama rentak dengan hayunan kakinya. Ketinggian antara dia dengan Zafran juga agak ketara jika mereka berdua berjalan bersama-sama. Dalam kalangan ahli keluarganya yang lain, Zafranlah yang paling tinggi sedangkan Adda hanya berketinggian perempuan Melayu yang normal. Tidak terlalu rendah, tidak terlalu tinggi.
“ Kak Chik keluar nak beli kelengkapan untuk majlis, kenapa tanya?” soal Adda pula kepada Zafran. Zafran tersenyum sahaja.
“ Jangan keluar lama-lama. Kan orang tua-tua kata masa bertunang ni banyak cabaran, maklumlah darah manis.” Zafran mula mengusik. Usikannya itu disambut dengan jelingan daripada Adda.
TEKUN Ashraf dan Adda meneliti setiap bentuk cincin yang dipamerkan. Nadira yang bertindak sebagai peneman hanya merayau-rayau di situ. Dia tidak mahu menganggu tumpuan kedua-dua pasangan itu tatkala memilih cincin.
Sudah agak lama juga mereka berada di kedai barangan perhiasan wanita itu. Mama yang beria-ria mahu mereka ke sini kerana kawan mama merupakan pengurus di cawangan ini. Konon-konon mahu membantu kawannya dengan menambahkan jumlah pelanggan.
Sejak daripada tadi lagi mereka sedang memilih cincin perkahwinan. Sama sahaja ketika Adda mencari barang hantarannya untuk pihak Ashraf minggu lepas. Masa yang lama diambil untuk memilih jam tangan untuk dijadikan hantaran kepada pihak Ashraf.
“ Awak dah setuju dengan yang ni, Adda? Nampak sama dengan saya cuma yang ni potongannya lebih feminin daripada saya punya. Rasanya dah cukup untuk orang tahu yang awak isteri saya,” ucap Ashraf. Dia meneliti lagi kedua-dua cincin di tapak tangannya itu. Adda mula tersipu-sipu.
“ Saya okey aje. Lagipun, rekaan dia tak adalah sarat sangat. Saya suka yang biasa-biasa aje.” Adda bersetuju. Tambahan lagi dia tidak mahu melambat-lambatkan masa mereka. Mereka berdua harus mengambil kad undangan perkahwinan yang sudah ditempah pula selepas ini.
Ashraf mengangguk. Kedua-dua cincin itu diserahkan kembali kepada jurujual yang setia melayan mereka berdua sejak daripada tadi. Nadira yang sedang leka memerhati pada deretan rantai di sebuah kaunter itu segera dipanggil.
“ Lepas ni kita nak ambil kad, kan?” tanya Nadira setelah tiba di tempat mereka berdua. Ashraf mengangguk sahaja. Dia serahkan tugas melayan Nadira kepada Adda. Bukannya dia tidak tahu Nadira cukup rapat dengan bakal kakak iparnya itu. Kerap kali juga Nadira menelefon Adda.
“ Dah siap, jom. Lepas ambil kad, kita pergi makan,” ucap Ashraf. Beg kertas yang mengandungi dua kotak cincin itu digenggam kemas. Nadira berganjak ke sebelah abangnya. Dia buat gaya manja dengan Ashraf.
“ Angah yang belanja, kan? Kan? Kan?”
Ashraf tayang muka meluat. Hampir sahaja Nadira mahu gelak besar. Tetapi apabila memikirkan ini merupakan tempat awam, sedaya upaya dia mengawal ayunya dengan lagak perempuan Melayu zaman dahulu kala.
“ Macamlah Angah tak kenal kamu ni. Kalau bab makan mesti nombor satu, tak padan kurus kering aje tubuh tu.” Sesedap rasa aje Ashraf mengutuk adik bongsunya itu. Nadira sudah buat muka cemberut.
“ Nad langsinglah, bukannya kurus. Beza tahu langsing dengan kurus tu. Apalah Angah ni, kawan dengan Kak Ngah lagi seronok,” kata Nadira seakan-akan merajuk. Dia mendekati Adda lalu memegang lengan gadis itu. Matanya tajam merenung pada wajah selamba Ashraf.
Ashraf sekadar mencebik. “ Kawanlah dengan Kak Ngah tu. Kita balik lepas ni naik kereta Angah, kan? Kiranya Angah tinggal tepi jalan ajelah ya? Kata dah tak nak kawan dengan Angah lagi.”
“ Angah!”
Adda hanya ketawa sahaja melihat pertikaman lidah antara kedua-dua beradik itu. Dia sudah biasa dengan perkara sedemikian. Ashraf kuat mengusik dan Nadira pula pantang mengaku kalah sekiranya sudah dikacau oleh abang keduanya itu. Maka, pertikaman lidah antara kedua-dua merekalah yang akan terjadi.
“ Sudahlah, tak habis kerja Angah petang ni kalau asyik gaduh dengan Nad aje. Jom, naik tingkat atas.” Akhirnya Ashraf mengalah apabila memikirkan yang dia harus menyiapkan urusan kad undangan perkahwinannya hari itu juga. Kad-kad itu sudah siap dicetak, hanya menunggu masa untuk diambil dan diedarkan sahaja.
Nadira senyum kemenangan. Dia mengenyit mata pada Adda yang sedang mengukir senyum kepadanya.
Baru sahaja mereka mahu naik ke tingkat atas, Ashraf menghentikan langkahnya dan menuju ke beranda kaca. Dia mengeluarkan BlackBerrynya dan mula mendail suatu nombor. Adda dan Nadira hanya memerhatikan sahaja Ashraf ketika lelaki itu mula bercakap di telefon. Sesekali kedengaran juga butir percakapan lelaki itu.
“ Adda, biar saya seorang ajelah yang naik. Saya dah telefon kedai tu, awak dengan Nad turun dululah. Nak jimatkan masa. Kita jumpa lepas ni pula,” kata Ashraf. Adda mengangguk sahaja.
“ Kalau macam tu, kami pergi letak barang-barang lain dalam kereta dululah, boleh tak? Banyak sangat ni,” kata Adda meminta persetujuan Ashraf. Sudah penuh kedua-dua tangannya dan tangan Nadira dengan beg kertas yang terdiri daripada pelbagai bentuk, saiz dan warna. Ashraf mengangguk sahaja. Kunci keretanya diserahkan kepada Adda.
“ Kita jumpa kat bawah. Nad, lepas ni telefon Angah. Beritahu kamu ke restoran mana, okey?” Perhatian Ashraf tertumpu pada Nadira pula. Pantas Nadira mengangguk.
Ashraf menaiki eskalator menuju ke tingkat atas manakala Adda dan Nadira sama-sama menuju ke ruang tempat meletak kereta. Perjalanan ke tempat parkir mengambil masa beberapa minit, apatah lagi apabila mereka terpaksa meredah orang ramai yang membanjiri pusat beli belah itu.
“ Nad tolong bukakan bahagian belakang kereta, biar Kak Ngah aje yang simpan barang-barang ni,” pinta Adda. Nadira bersetuju sahaja. Kunci kereta Ashraf bertukar tangan, begitu juga dengan beg-beg kertas di tangan Nadira.
Nadira turut membantu Adda menyimpan beg-beg kertas itu. Tutup sahaja tempat simpanan barang itu, telefon Nadira sudah berdering. Nama ‘Angah Busuk’ tertera pada skrin telefonnya. Dia tersenyum sendirian apabila memikirkan reaksi Kak Ngahnya sekiranya Kak Ngah ternampak nama yang ditetapkan untuk panggilan Angah. Cepat-cepat dia mengangkat panggilan.
“ Nad kat mana sekarang ni?” Ashraf terus menyoal. Kedengaran hiruk pikuk suara orang ramai di sekeliling Angah.
“ Kat bawah lagi ni. Kenapa? Angah dah pergi restoran mana-mana ke?” tanya Nadira. Dia merenung keadaan sekeliling. Tenang aje.
“ Tunggu Angah kat sana. Angah nak simpan kad-kad ni dulu, ya?” balas Ashraf.
“ Okey. Kami tunggu Angah di sini.”
Talian diputuskan. Nadira memaklumkan kepada Adda apa yang terjadi. Mereka menunggu sahaja di situ. Sehinggalah mereka ditegur suatu suara garau. Lekas Nadira menoleh.
“ Angah? Lambat… nya…” Nada Nadira makin mengendur. Terkebil-kebil dia merenung pada lelaki di hadapannya kini. Wajah seorang lelaki yang tidak dikenali berada pada ruang penglihatannya.
“ Siapa awak?”
Adda turut menoleh kepada lelaki yang sedang berdiri di hadapan Nadira. Dia turut kaku di situ. Matanya terus menikam pada wajah lelaki tinggi lampai itu. Dia amat kenal pada wajah itu. Wajah yang dahulunya merupakan wajah insan yang dicintainya dan kini, merupakan wajah insan yang paling dibencinya.
“ Muqri?”
Share this novel