BAB 42
LIGAT tangan Auni mengacau bubur ayam di dalam periuk kecil di dapur. Banyak juga ketulan ayam yang sudah dipotong kecil-kecil bersama-sama sedikit sayur-sayuran dimasukkan ke dalam bubur ayam itu. Nak bagi suaminya yang demam itu agar berselera untuk makan.
Auni melihat pada jam yang melekat pada dinding dapur. Hampir menunjukkan pukul 9 malam. Selepas dia membersihkan diri dan menunaikan solat Asar, Auni turun sekejap untuk memberi suaminya minum sedikit susu sebelum membiarkan Najwan tidur semula. Selepas itu barulah dia kalut mencari bahan untuk membuat bubur ayam.
Gelabah juga Auni pada mulanya apabila memikirkan dia kekurangan bahan masakan. Mujur aje rumah ibu dekat, dia meminta bantuan ibu untuk memberinya sedikit daging ayam dan sayur-sayuran untuk dimasak. Ibu juga ada mengirimkan kek buah oren kepadanya.
Risau sungguh ibu mentuanya itu apabila diberitahu bahawa Najwan demam. Nawallah yang mengirim kesemua bahan itu ke rumah Auni. Adik iparnya itu baru sahaja sampai ke Malaysia untuk bercuti. Suami Nawal, Syah masih berada di luar negara.
Auni amat berterima kasih kepada ibu yang sudi membantu walaupun waktu sudah agak lewat petang. Masuk sahaja solat Maghrib dan Isyak, Auni membantu suaminya mengambil wuduk. Senang sedikit kerjanya jika Najwan sudah menunaikan solat. Selepas itu, dibiarkan sahaja Najwan menyambung tidur.
Suara batuk Najwan yang sedang tidur di ruang tamu agak menganggu pendengaran Auni. Dia mengecilkan api dan segera ke ruang tamu. Kasihan juga apabila melihat Najwan demam teruk sebegitu rupa. Selama ini dia tidak pernah melihat suaminya sakit sebegitu.
“ Abang nak apa-apa ke?” Perlahan Auni menuturkan nada percakapannya. Najwan mengangguk lemah. Dia cuba bangun sedikit.
“ Abang… nak ke tandas..” Tersekat-sekat ucapan Najwan.
Auni membantu suaminya berdiri. Berhati-hati dia memapah Najwan ke tandas yang terletak di dapur. Pintu tandas dibiarkan ditutup tanpa diselak. Bunyi air mencurah sudah tidak kedengaran tetapi batuk Najwan pula yang kedengaran semakin menjadi-jadi.
“ Abang, Nini masuk ni,” kata Auni cemas.
Pintu tandas dibuka perlahan-lahan. Terkejut dia apabila melihat Najwan sedang muntah ke dalam sinki. Auni segera masuk ke dalam. Dia mengurut belakang suaminya.
“ Abang makin teruk ni, Nini bawa ke klinik ya?” kata Auni risau. Najwan menggeleng lemah. Dia segera membasuh mulutnya. Terasa perit tekaknya saat ini.
“ Tak payah… abang okey,” lemah Najwan bersuara.
Auni mengetap bibir. Mahu memaksa tetapi dia takut suaminya berkecil hati dengannya. Tambah-tambah lagi apabila memikirkan Najwan yang sedang demam teruk. Bimbang juga jika hati suaminya tergores.
Usai membaringkan Najwan kembali di sofa, Auni kembali ke dapur. Sup ayamnya sudah siap. Dia tersenyum apabila mendapati rasa bubur ayamnya menepati cita rasanya. Harap-harap tekak Najwan boleh menerima rasa bubur ayamnya itu. Tekak orang sedang sakit, bukannya senang hendak diduga.
Auni menyediakan semangkuk bubur ayam, sebotol madu asli, segelas susu, segelas air mineral dan ubat. Kesemuanya diletakkan di dalam dulang. Sebelum dia membawanya ke ruang tamu, Auni menghias bubur itu dengan ketulan ayam yang lain bersama-sama taburan jagung manis serta kobis bunga sedikit. Berhati-hati dia menatang dulang itu ke ruang tamu. Dulang itu diletakkan di atas meja kopi terlebih dahulu sebelum dia mengejutkan Najwan.
“ Abang, bangun makan,” ucap Auni. Dia membantu Najwan bersandar pada kepala sofa. Auni mengambil tempat di sebelah suaminya. Dia mengacau sedikit bubur ayam tersebut sebelum menghala sesudu ke mulut Najwan.
“ Abang boleh makan sendirilah, tak payahlah nak menyusahkan Nini.” Najwan tergelak kecil. Auni menggeleng, membantah apabila Najwan mahu mengambil mangkuk bubur itu daripadanya.
“ Abang jangan nak degil demam-demam macam ni? Ini Staff Nurse Nini tahu? Kena dengar cakap Nini kalau tak abang tak boleh makan,” bebel Auni. Najwan tersenyum lemah. Terpaksa juga dia membiarkan Auni menyuapnya.
“ Sedap,” ucap Najwan sepatah selepas menelan suapan pertama. Auni tersenyum kecil.
“ Nasib baik abang suka. Nini takut tekak abang tak boleh terima. Tekak abang perit lagi ke?” Auni mencapai gelas yang berisi susu sebelum mencampurkannya dengan sesudu besar madu asli. Gelas itu diberikan kepada Najwan. Najwan meneguknya perlahan-lahan.
Hampir separuh bubur ayam itu berjaya dihabiskan oleh Najwan. Auni sudah mampu tersenyum lega. Berjaya juga percubaannya dalam melayan kerenah suaminya tatkala sakit. Apatah lagi Najwan tidaklah terlalu mengada-ngada walaupun dah jatuh sakit sebegini. Matanya merenung sahaja pada Najwan yang sedang menghabiskan susu yang masih berbaki di dalam gelas.
“ Makan ubat, abang. Lepas ni dah boleh terus tidur, ya?” kata Auni. Dia mengambil sepapan ubat demam sebelum menghalanya kepada Najwan. Dia terpaku apabila melihat mata Najwan terkebil-kebil melihatnya.
“ Tak nak!”
Auni turut terkebil-kebil di situ apabila melihat Najwan terus berselimut tanpa melihat kepadanya. Kenapa pula ni?
“ ALONG paling takut makan ubat, Kak Long tak tahu lagi ke?”
Kata-kata Nawal agak mengejutkan Auni.
Selepas memastikan suaminya sudah lena tidur walaupun tanpa diberi makan ubat terlebih dahulu, Auni terus menelefon Nawal. Mahu bertanya mengenai perangai Najwan sekiranya sakit. Dan jawapan Nawal mengejutkan dia apabila diajukan mengenai ubat.
“ Kenapa pula takut sampai macam tu?” tanya Auni hairan. Kenapa pulalah suami aku tu takutkan ubat? Macam budak-budak pun ada. Budak umur tiga tahun pun dah pandai makan ubat tahu? E-jat pun boleh makan ubat masa dia demam tempoh hari.
Gelak kecil Nawal kedengaran di hujung talian. Pastinya gadis itu merasa lucu apabila mengenangkan tingkah abangnya yang berubah seperti budak-budak tatkala sedang sakit.
“ Along memang macam tu. Sejak dia kecil lagi, Along Naj takut nak makan ubat. Berbeza dengan Along Wawa, biarpun Along Wawa tu perempuan tapi dia tidak pernah cerewet masa nak makan ubat. Ibu kata Along Naj pernah tertelan empat biji ubat besar yang pahit tu masa Along Naj kecil lagi. Terus aje ibu bawa ke hospital. Mujur tak jadi apa-apa. Sejak hari tu, Along Naj akan katakan tidak pada ubat kalau dia sakit.”
Auni turut menyertai tawa Nawal. Ada cerita di sebalik perangai suaminya yang tidak mahu makan ubat itu rupanya. Memang macam budak-budak.
“ Jadi, kalau Along sakit ibu buat macam mana nak beri dia makan ubat?” Auni cuba mengorek rahsia daripada Nawal. Nawal ketawa sekali lagi.
“ Ibu akan…”
AWAL-AWAL pagi lagi Auni bangun dan membersihkan dirinya. Semalaman dia tidak dapat tidur dengan lena kerana bimbang sekiranya Najwan perlukan apa-apa. Dia hanya tidur bersebelahan dengan sofa panjang tempat Najwan tidur. Sesekali kedengaran juga lelaki itu batuk. Syukur tiada perkara yang berlaku kepada Najwan. Cuma sesekali sahaja lelaki itu akan tersedar. Najwan tidak mahu tidur di dalam bilik. Katanya dia lebih selesa tidur di ruang tamu. Auni hanya turutkan sahaja permintaan suaminya yang masih demam itu.
“ Abang, bangun. Solat Subuh,” bisik Auni. Perlahan-lahan dia mengoncangkan lengan suaminya. Payah benar untuk Najwan membuka mata. Auni mencelup sehelai tuala kecil ke dalam sebesen air suam. Tuala basah itu dilap pada wajah Najwan dengan penuh berhati-hati.
“ Eh… Nini?”
Perlahan-lahan Auni membantu Najwan duduk bersandar pada sofa. Segelas air dihulurkan kepada Najwan manakala dia meletakkan besen yang masih kosong di atas riba suaminya.
“ Abang kumur dulu. Lepas ni Nini tolong abang berwuduk,” kata Auni.
Najwan mengangguk sahaja. Kepalanya masih terasa berat semacam. Tubuhnya juga menggigil. Dia susah untuk mendapat sakit, tetapi bila sekali kena, teruk macam inilah jadinya. Sama sahaja dengan E-jat.
Sukar juga menguruskan orang sakit untuk menunaikan solat tetapi Auni mencuba sedaya upayanya. Masa suaminya sakit seperti inilah dapat dia manfaatkan sebaik mungkin untuk berbakti dan menunjukkan kesetiaannya sebagai seorang isteri.
Syurga seorang isteri terletak pada tapak kaki suami, tetapi syurga bagi seorang suami tetap terletak di bawah tapak kaki ibunya. Walaupun sudah berkahwin, tetapi seorang suami harus mendahulukan ibunya, bukannya mendahulukan si isteri sehingga si ibu terabai. Ini terbalik pula. Sesetengah suami pada zaman sekarang terlalu menurutkan kata-kata isterinya sehingga kebajikan si ibu terabai.
“ Abang rehat dulu ya? Nini nak sediakan sarapan dulu, okey?” Auni membantu suaminya menyelimutkan tubuh. Najwan mengangguk sahaja tanpa sebarang kata. Tidak lama kemudian, dia lena kembali.
Auni bergegas ke dapur. Sebelum dia mula memasak, dia menelefon terus kepada majikannya. Dia mahu memaklumkan bahawa dia tidak boleh ke pejabat hari ini. Encik Adam menyambut panggilan selepas beberapa saat dia menunggu.
“ Assalamualaikum, Auni. Ada apa telefon pagi-pagi ni?” Adam terus bertanya. Sudah semestinya dia hairan. Kini masih di awal pagi tetapi Auni sudah menelefonnya. Nampaknya seperti ada perkara penting yang ingin disampaikan.
“Encik Adam, saya nak minta cuti hari ni. Suami saya demam teruk, tak ada siapa yang boleh jaga dia kalau saya kerja,” ucap Auni berterus-terang selepas menjawab salam bosnya.
“ Qimi demam? Aa… okey. Saya luluskan cuti awak. Kembali ke pejabat lepas suami awak sembuh, ya? Kirim salam pada Qimi,” kata Adam.
Auni tersenyum lega. Encik Adam sememangnya seorang majikan yang bertimbang rasa. Tambahan lagi Najwan itu merupakan sahabat Encik Adam.
“ Terima kasih Encik Adam. Sepatutnya hari ini saya jumpa Puan Sarah, tolong sampaikan kepada dia yang saya tak boleh datang, ya?” pesan Auni. Adam mengiyakan sahaja. Perbualan mereka tamat selepas itu.
Auni kembali memfokuskan kepada kerjanya pada pagi itu. Dia menyediakan bubur ayam seperti semalam cuma dia turut menyediakan dua keping roti bakar bersama-sama jem strawberi. Siap sahaja dia menghidang, dulang dibawa ke ruang tamu.
Auni masih belum memikirkan cara untuk memaksa Najwan makan ubat. Tengah hari inilah. Cuma pada pagi ini dia menyediakan air suam yang diperah dengan lemon. Ummi berkata seelok-elok air demahan dicampur dengan air perahan lemon atau daun pokok bunga raya. Insya-Allah demam akan beransur kebah.
TENGAH hari itu Auni dan Najwan menerima kunjungan daripada ibu dan Nawal serta E-jat. Ibu menyediakan sup ayam untuk Najwan yang masih belum sembuh. Tersenyum sahaja Najwan apabila ibu mula membebel kepadanya. Auni pula hanya mampu tersengih lucu bersama-sama Nawal. E-jat pula berkeras mahu duduk di sebelah papanya walaupun ibu melarang berkali-kali. Ibu cuma tidak mahu E-jat berjangkit demam dengan Najwan sahaja.
“ Ini mesti kamu tak jaga diri baik-baik ni. Kalau tak macam mana boleh demam?” ibu mula membebel. Najwan ketawa lucu.
“ Nak buat macam mana, dah Naj demam. Bukannya boleh halang pun. Naj pun jarang sakit apa?” balas Najwan. Mujurlah dia faham dengan perangai ibu. Kalau tidak, orang yang sakit makin sakit kalau selalu dileter.
“ Itulah kamu, suka betul menjawab apa ibu cakap. Mujurlah Nini tahan dengan perangai kamu tu. Jangan kamu nak menyusahkan dia pula. Mentang-mentanglah tengah demam sekarang ni,” kata ibu geram. Kalau tak berbalas mulut dengan anak sulungnya ini tidak sah rasanya hidup.
Najwan ketawa lagi. Dia mengusap rambut E-jat yang duduk di atas ribanya.
“ Masa nilah nak dapat layanan istimewa daripada isteri, ibu. Baba pun macam ni juga masa baba sakit, kan?”
Auni mula tersipu malu. Nawal yang duduk di sebelahnya menyiku lengannya. Suka benar Nawal mengusik kakak iparnya itu.
“ Sudahlah, daripada kamu habiskan masa dengan bercakap, ibu rasa baik kamu tidur. Jangan lupa makan ubat tu. Ibu nak kena balik masak untuk baba kamu. Mari kat tok ibu, E-jat,” kata ibu. E-jat menggeleng. Wajahnya berkerut.
“ Kenapa?”
E-jat merenung pada wajah Najwan yang masih kelihatan kurang segar. Dia meletakkan kedua-dua tapak tangannya yang kecil itu pada dahi Najwan. Mukannya tetap berkerut.
“ Kenapa, E-jat?” Kali ini Najwan pula yang bertanya. Hairan dengan tingkah kanak-kanak itu. E-jat merenung pada wajah tok ibu dan Mama Nawalnya.
“ Boleh E-jat duduk sini? E-jat pun nak jaga papa juga macam papa jaga E-jat dulu,” kata E-jat lancar.
Ibu kelihatan serba salah. Nawal pula hanya mendiamkan diri. Auni segera mencelah apabila melihat wajah muram E-jat.
“ E-jat boleh tolong Nini kat sini, ibu. Kesian pula kalau tak benarkan dia duduk sekejap kat sini,” kata Auni. Ibu diam sejenak namun wanita saparuh abad itu mengangguk juga. Ibu mencium pipi montel cucu sulungnya itu.
“ Baiklah. E-jat tolong Mama Nini jaga Papa Naj ya? Jangan nakal-nakal. Malam ni Mama Nawal datang ambil E-jat, okey?” pesan ibu. E-jat mengangguk pantas. Dia tersenyum kegirangan.
“ Okey!”
Auni dan E-jat mengiringi pemergian ibu dan Nawal hingga ke muka pintu. Najwan pula kembali berbaring di atas sofa panjang itu. Dia rasa agak cergas berbanding semalam tetapi demamnya masih belum kebah sepenuhnya. Matanya yang dipejamkan terpaksa dibuka semula apabila menyedari Auni dan E-jat datang kepadanya.
“ Abang, makan ubat ya? Abang tak makan ubat lagi semalam,” pujuk Auni.
Auni sudah menyediakan sesuatu untuk Najwan. Terus Najwan terduduk bersandar pada sofa apabila mendengar kata-kata isterinya. Najwan buat muka kasihan.
“ Nini.. abang tak nak makan boleh tak? Abang fobialah dengan ubat pahit macam tu,” kata Najwan memohon simpati. Auni menggeleng. Dia menayangkan sesuatu kepada Najwan.
“ Nini dah kerat empat ubat demam tu, siap letak dalam dadih mangga ni lagi. Jangan nak beri alasan lagi. Abang tak malu dengan E-jat ke? Dah tua macam ni pun takut ubat lagi?” bebel Auni. E-jat hanya ketawa melihat pertelingkahan antara mama dan papanya.
“ Nini.. tolong,” rayu Najwan. Auni menggeleng. Dia semakin mendekati Najwan. Najwan dah cuak semacam.
“ Abang kena makan, kalau tak macam mana nak lawan kuman dalam tubuh tu?” Auni makin giat membebel.
Baru aje dia betul-betul sampai di hadapan Najwan, suaminya lebih pantas melompat ke belakang sofa. Gaya macam orang bukan demam aje.
“ Abang!” Auni makin geram. Najwan tersenyum sumbing.
“ Abang rela buat apa aje yang Nini suruh, tapi bukan yang ni,” kata Najwan. Sempat lagi dia terbatuk-batuk. Auni mengetap bibir.
“ Abang tak makan, Nini tak nak pedulikan abang lagi, tak nak masak untuk abang lagi, tak nak basuh baju abang lagi. Abang buatlah semua tu seorang diri. Faham?” Auni mula mengugut. Ugutannya seperti berhasil apabila melihat wajah Najwan kian cuak. Bukan boleh kira isteri aku ni. Dibuatkan dia mogok betul-betul macam mana?
“ Nini, janganlah buat abang macam ni.” Najwan sudah gelabah bagai tak ingat dunia. Terkesan juga ugutan Auni kepadanya. Auni tersengih geram.
“ Abang nak makan atau tak?”
Najwan diam. Dia mula mencongak dalam fikiran. Auni semakin geram. Memang nak kena betullah suami aku ni!
“ Abang!”
“ Ya! Ya! Abang makan! Okey? Asal Nini janji jangan buat macam Nini cakap tadi.” Akhirnya Najwan mengalah. Auni mula mengukir senyum kemenangan. E-jat pula makin galak ketawa apabila melihat situasi sedemikian.
Share this novel