BAB 12
“ JADI, kau dah terima dia secara rasmi?” tanya Adda tidak percaya. Muka Auni yang sedang enak menikmati aiskrim itu direnung lama. Auni mengangguk. Sesudu aiskrim lagi masuk ke dalam mulutnya.
“ Aku dah fikir masak-masak, aku dah timbang mana yang lebih, mana yang kurang dan jawapannya… aku terima dia sebagai bakal suami aku,” kata Auni. Wafer yang disertakan sekali dengan aiskrim itu dikaut bersama-sama cip-cip coklat lantas dimasukkan ke dalam mulut.
“ Wafiy pula macam mana? Dia dah tak ganggu kau ke?” Soalan Adda berkisar pula kepada Wafiy. Riak Auni agak berubah.
“ Dia? Aku dah pesan pada dia, tolong jangan ganggu aku lagi kalau dia harapkan yang lebih daripada aku,” balas Auni. Perhatiannya lebih kepada ais krim di tangan.
“ Kau yakin dia tak akan ganggu kau lagi?”
Auni terdiam. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Adda.
“ Aku harap dia faham. Najwan pun dah tahu pasal Wafiy. Aku dah beritahu dia semuanya,” jelas Auni.
“ Tak apalah. Kahwin juga kawan baik aku ni!” Adda menjerit kegembiraan cuba untuk meleraikan rasa sedih Auni. Auni kerut dahi. Mentang-mentanglah sekarang ni mereka berada di rumah Adda, boleh dia jerit bagai nak umum kat satu dunia? Auni menggelengkan kepala. Sesudu aiskrim masuk lagi ke dalam mulutnya.
“ Kau pula bila nak kahwin? Asyik tanya aku aje,” kata Auni. Senyum Adda mati tiba-tiba. Dahi Auni dijentik kuat. Berbekas sedikit merah di dahi itu. Auni kerutkan dahi.
“ Apasal jentik dahi aku pula?” tanyanya tidak puas hati. Adda mencebik.
“ Kau sedar tak yang sungguh tidak bernas soalan kau tu?” kata Adda pula. Makin berkerut dahi Auni. Wajah Adda direnung lama seakan-akan cuba mencari jawapan kepada soalan Adda itu. Akhirnya dia menjongket bahu tanda tidak tahu.
“ Apasal pula tak bernas? Aku pun nak tengok kau kahwin juga,” kata Auni pelik. Dia kembali menyuap aiskrim lazat yang masih berbaki. Auni memang tidak dapat dipisahkan daripada aiskrim yang merupakan antara makanan ringan kegemarannya.
Adda mengeluh. Wajahnya mula berubah suram.
“ Kau sedar tak yang selama ni aku mana pernah keluar dengan mana-mana lelaki?” kata Adda lagi. Teragak-agak Auni mengangguk.
“ Aku nak kahwin dengan siapa kalau teman lelaki pun aku tak ada,” rungut Adda. Auni gelak perlahan. Bahu Adda ditepuk berulang kali.
“ Jangan bimbang, akan muncul juga pahlawan berbaju Melayu kau suatu hari nanti. Tak bercinta pun boleh kahwin tahu. Hidup bahagia lagi,” usik Auni. Adda mencebik sekali lagi.
“ Mentang-mentanglah kau dah nak kahwin. Yalah, aku harap pahlawan berbaju Melayu tu akan datang jumpa aku tak lama lagi,” balas Adda.
Auni dan Adda gelak bersama. Riuh rumah Adda dengan tawa mereka. Apatah lagi ibu bapa dan adik beradik Adda yang lain tiada di rumah. Kesemuanya pulang ke kampung kerana ada urusan di sana. Malang bagi Adda kerana dia bekerja. Nasib baik ada Auni, ada juga teman untuk diajak menemaninya. Dua-dua tidak sedar yang jam sudah menjangkau awal pagi.
AUNI sudah lama terkuap-kuap. Ini semua gara-gara berbual dengan Adda sehingga lewat malam. Sempat lagi menonton A Werewolf Boy yang sudah berkali-kali dikhatamnya.
Nasib baik juga dia sudah terbiasa berjaga malam, Auni tidaklah semengantuk Adda yang sudah melenakan diri sebaik sahaja waktu makan tengah hari tiba. Adda lagi rela tidak makan semata-mata untuk menyambung tidurnya.
“ Kenapa dengan Adda tu?” tanya Cassy yang kebetulan lalu di situ. Agak pelik melihatkan Adda yang biasanya aktif tidak kira tempat terkulai layu di meja kerjanya. Auni gelak perlahan.
“ Mengantuk sangatlah tu. Mana taknya, semalam berborak sampai tak ingat esok nak kerja,” kata Auni. Cassy tergelak.
“ Ada-ada ajelah, kasihan pun ya,” kata Cassy lagi. Auni turut ketawa. Kasihan betul melihatkan Adda yang biasanya aktif mengusik orang sebagai rutin hariannya, tidur sahaja seperti tiada apa untuk dibuat.
“ Biar ajelah. Letih sangat tu,” kata Auni perlahan. Cassy tersenyum lantas mengangguk. Auni kembali ke meja kerja. Nampaknya terpaksalah dia turun makan seorang. Rakan-rakan yang lain sudah turun ke bawah.
Baru sahaja dia mula set mod hibernasi pada Asus kesayangannya, Xperia mula memainkan Everyday I Love You. Auni renung sekilas. Nama Najwan tertera pada skrin.
Dia?
“ Assalamualaikum,” sapa Auni perlahan. Sebelah tangan lincah memasukkan barangan peribadi ke dalam tas tangan.
“ Waalaikumussalam, Nini?” Suara Najwan kedengaran di hujung talian.
“ Ya, kenapa awak telefon saya?” tanya Auni.
“ Saya nak ajak awak makan sama-sama, boleh tak?” tanya Najwan. Auni renung Fossil di tangan. Hampir 15 minit berlalu dari masa yang sepatutnya untuk dia pergi makan tengah hari.
“ Tapi… sempat ke kalau awak nak datang dari ofis awak? Sekarang ni pun dah pukul berapa,” kata Auni. Dia bukannya mahu menolak pelawaan itu namun apabila memikirkan masa yang kian berlalu membuatkan dia gusar. Najwan gelak lagi.
“ Cuba awak tengok kat bawah, dekat dengan kafe di seberang jalan,” pinta Najwan.
Auni mengerutkan dahinya. Cepat-cepat dia ke arah tingkap yang bertentangan dengan kafe yang dimaksudkan oleh Najwan itu. Terkejut dia melihatkan Najwan sedang berdiri di sebelah pintu masuk kafe itu sambil melambai ke arahnya yang kini berada di tingkat dua bangunan yang menempatkan tempat kerjanya. Sebelah tangan lelaki itu masih memegang telefon bimbit.
“ Turunlah, saya tunggu kat bawah. Kita makan kat kafe ni,” kata Najwan lagi. Matanya tidak lepas daripada melihat Auni yang masih berdiri di tingkap.
Auni tarik senyum. Dia mengangguk perlahan.
“ Okey,” balasnya.
“ Saya tunggu,” kata Najwan lagi. Auni mengangguk lagi. Xperia dimasukkan ke dalam tas tangan. Segera dia menuju ke lif. Beberapa minit kemudian dia sudah berada di hadapan jalan. Baru sahaja dia ingin melintas jalan, Auni lihat Najwan pula yang sedang menyeberangi jalan untuk ke arahnya. Langkahnya dimatikan.
“ Kenapa awak ke sini pula? Bukan ke kita nak makan kat kafe tu?” tanya Auni hairan sebaik sahaja Najwan sudah berdiri di sebelahnya. Najwan senyum seperti kebiasaannya.
“ Awak tak perasan ke yang jalan tengah sibuk tu? Walaupun awak jalan kat lintasan kat lampu isyarat tu pun belum tentu awak selamat. Saya tak boleh pegang tangan awak, tapi saya boleh teman awak seberang jalan ni,” jelas Najwan. Auni terkedu mendengarkan kata-kata Najwan.
Kenapalah dia ni manis sangat macam hero-hero drama Korea yang aku minat tu? Tak sangka aku yang dia ni boleh masuk kategori romantik juga.
“ Jom, lampu tengah merah tu,” ajak Najwan. Teragak-agak Auni mengangguk. Dia mengekori sahaja langkah Najwan menyeberang jalan.
“ Kenapa awak panggil saya Nini?” tanya Auni ketika mereka sedang menunggu pesanan. Najwan yang mendengarkan pertanyaan itu ketawa perlahan. Lama Najwan renung muka itu sebelum soalan itu dijawab.
“ Sebab tak ada orang panggil awak Nini,” jawab Najwan mudah. Auni kerutkan dahi.
“ Tapi kenapa? Selama ni orang panggil saya Auni atau adik aje,” kata Auni lagi, tidak berpuas hati dengan jawapan Najwan.
“ Awak kata Auni tu panggilan daripada kawan awak dan adik daripada keluarga, kan? Jadi, biarlah saya panggil awak Nini. Sekurang-kurangnya, tiada orang lain lagi yang panggil awak macam tu,” balas Najwan. Auni mendiamkan diri. Jawapan Najwan itu telah menyebabkan pipinya mula bertukar menjadi merah.
“ Kalau awak panggil saya Nini, saya nak panggil awak apa?” tanya Auni pula.
Najwan senyum. “ Nama saya Najwan Faqqimi bin Luqman Hakim dan panggilan saya biasanya Naj di kalangan orang yang rapat dengan saya dan Qimi untuk kawan-kawan saya,” kata Najwan formal seperti sedang ditemuduga sahaja. Auni mula mencongak dalam fikiran.
“ Saya panggil awak Naj, boleh?” putus Auni. Najwan senyum lagi.
“ Alasannya?”
“ Sebab awak kata orang yang rapat dengan awak panggil awak Naj, jadi… itulah alasannya,” jawab Auni malu-malu. Najwan mengangguk.
“ Saya akan jaga awak nanti, Nini. Awak akan jadi tanggungjawab saya. Saya tak boleh janjikan kemewahan dunia untuk awak, tapi insya-Allah saya boleh janjikan kebahagiaan untuk kita.”
Auni senyum. “ Kita mewah di akhirat, okey?”
Najwan ketawa. “ Insya-Allah. Kita sama-sama baiki diri kita.”
“ PAPA!!!”
Najwan ketawa riang apabila melihat E-jat sedang berlari laju bagi mendapatkannya. Beg dicampak ke atas sofa. Dia terus tunduk lantas membawa E-jat ke dukungan.
“ E-jat tak nakal-nakal hari ni?” tanya Najwan sambil mengusap kuat kepala E-jat. Sengaja mahu mengusutkan rambut E-jat yang disikat rapi oleh ibu.
“ E-jat baik-baik je. Kan papa dah cakap, kalau E-jat tak nakal-nakal papa akan belikan E-jat biskut. Papa beli tak biskut yang E-jat nak tu?” tanya E-jat. Najwan hanya mengangguk. E-jat diturunkan ke bawah.
“ Nah, makan baik-baik? Ajak tok ibu makan sekali,” kata Najwan. Sekotak Famous Amos di tangan dihulurkan kepada E-jat. E-jat mengangguk gembira.
Kerana sudah terlalu lama tidak makan biskut kegemarannya itu, dia meminta Najwan membelikannya biskut itu. Tersengih lebar E-jat kerana permintaannya dipenuhi. Najwan membawa E-jat ke dapur, tanah jajahan ibu di banglo itu. Kelihatan ibu sedang leka memasak.
“ Assalamulaikum, ibu,” sapa Najwan perlahan seraya mengambil tempat di atas kerusi bersebelahan dengan kaunter.
Salam Najwan dijawab perlahan. Ibu menoleh ke belakang. Dahi ibu berkerut tiba-tiba. Seakan-akan ada yang membuatkan ibu hairan. Najwan pandang pelik pada muka ibu yang berubah secara tiba-tiba.
“ Kenapa? Muka Naj pelik ke hari ni?” tanya Najwan hairan. Ibu mengangguk perlahan. E-jat pula sudah leka dengan Famous Amos di tangan.
“ Apa yang peliknya?” tanya Najwan lagi. Kenapalah dengan ibu hari ni? Tengok aku semacam aje…
“ Gembira pelik aje ibu tengok kamu hari ni,” kata ibu.
“ Gembira pelik? Maksud ibu?” tanya Najwan lagi.
Mata ibu masih tidak lepas daripada wajah anak teruna tunggalnya itu.
“ Biasanya kalau kamu balik kerja, muka nampak letih tapi hari ni nampak segar betul. Siap bersinar-sinar lagi muka tu. Apa yang dah jadi hari ni?” jelas ibu tanpa berdolak-dalih. Najwan telan liur. Nampak sangat ke yang aku gembira hari ni?
“ Tak ada apa-apalah, ibu. Biasa aje, mana ada apa-apa,” nafi Najwan.
Ibu kerutkan lagi muka. Tidak percaya dengan kata-kata Najwan. Najwan sudah tarik sengih.
“ Kamu jumpa dengan Auni ke tadi? Kalau tak, takkanlah gembira sampai macam ni,” kata ibu.
Ibu pun pandailah teka-teka ni. Tak boleh nak mengelak.
“ Betul tak cakap ibu? Kamu jumpa dengan Auni kan?” tanya ibu lagi. Ibu menyeringai. Najwan sengih lagi. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“ Ya, Naj dengan dia… kita orang makan sekali tadi,” kata Najwan gugup.
Suasana sepi seketika. Ibu senyap. Najwan mendiamkan diri. Hanya kedengaran bunyi mulut E-jat sedang mengunyah sahaja sebelum…
“ Apa? Kamu makan dengan Auni?” tanya ibu tidak percaya. Terkejut Najwan mendengarkan suara ibu yang naik tiba-tiba. Hampir-hampir sahaja dia terjatuh daripada kerusi.
“ Ibu pun… takkanlah nak marah Naj pergi makan dengan Auni? Dia pun dah nampak gaya ada peluang nak jadi menantu kesayangan ibu, tahu tak?” kata Najwan agak perlahan. Sepantas itu juga kepalanya dihentak dengan sudip yang masih tidak digunakan.
“ Kenapa ibu ni?” tanya Najwan tidak puas hati. Digosok berulang kali kepala yang sakit dihentak dengan sudip.
“ Ibu terkejut aje. Yalah, kalau tengok gaya nampak macam si Auni tu tak nakkan kamu. Alih-alih, hari ni pergi makan sekali pulak,” kata ibu. Najwan sengih lagi.
“ Naj kan Jejaka Idaman Seantero Dunia? Tentulah dia boleh terima Naj,” kata Najwan dengan sengih di bibir. Sekali lagi kepalanya menjadi mangsa sudip ibu.
“ Ibu! Sakitlah!”
Ibu buat tidak peduli. Matanya dijegilkan kepada Najwan. Ibu berdiri bercekak pinggang.
“ Bila kamu nak beli persiapan pertunangan, barang-barang hantaran kahwin semua tu? Takkan kamu nak ibu pula yang tolong uruskan untuk kamu?” tanya ibu tanpa mengendahkan pertanyaan Najwan.
“ Err… ibu yang uruskan, boleh?”
Sekali lagi kepalanya menjadi mangsa sudip ibu. Najwan mengaduh kesakitan.
Sakit…
“ Kamu yang nak kahwin atau ibu yang nak kahwin? Sudah, hujung minggu ni ibu nak kamu bawa Auni beli hantaran tunang dan kahwin. Nanti ibu bagi senarai barang apa yang kamu patut beli? Faham?” kata ibu sambil menjegilkan mata. Ibu berdiri bercekak pinggang. Najwan hanya mengangguk.
“ Yalah, yalah. Nanti Naj telefon Auni cakap pasal tu,” kata Najwan. Kepalanya digosok lagi. Sakitnya…
“ Tak ada nanti-nanti! Pergi telefon dia sekarang! Cepat!”
“ Yalah, yalah. Naj pergilah ni,” balas Najwan. Cepat-cepat dia beredar dari dapur sebelum kepalanya menjadi mangsa sudip ibu lagi. Ibu senyum puas hati. Tidak sabar rasanya untuk mendapat menantu baharu.
Share this novel