BAB 37
“ NINI!”
Cepat-cepat Auni berlari naik ke tingkat atas sebaik sahaja mendengar namanya diseru lantang oleh Najwan. Sempat lagi dia mengukir senyum. Kecoh betul. Rasanya dia tahu kenapa suaminya kecoh sebegini pada pagi hari.
“ Ya abang. Kenapa bising pagi-pagi ni?” Auni bertanya dengan riak selamba.
Najwan awal-awal lagi sudah tersenyum pada Auni. Matanya singgah sejenak pada sehelai kemeja hitam yang disangkut oleh Auni di hadapan almari bajunya. Kemeja yang akan dipakai untuk ke pejabat hari ni.
“ Tak pernah abang tengok kemeja ni,” kata Najwan.
Najwan kehairanan sebentar kerana tatkala dia ingin mengambil kemeja yang akan dipakainya untuk hari ini, dia melihat sehelai kemeja yang selama ini tiada langsung dalam simpanannya. Macam mana kemeja ni boleh tiba-tiba muncul sahaja ni?
“ Entah. Nini gosok aje kemeja abang tu. Tak perasan pula. Ingatkan abang yang beli,” kata Auni yang masih dengan riak selamba. Sedaya upaya dia ingin mengelak daripada Najwan menghidu sesuatu.
“ Tak apalah. Nini pergilah dapur balik. Abang dah lupa agaknya yang abang memang ada kemeja ni.”
“ Okey.”
Cepat-cepat Auni mengatur langkah untuk keluar dari bilik mereka. Belum pun sempat dia keluar, dia sudah dipeluk dari belakang. Auni terpinga-pinga. Pantas dia menoleh ke belakang. Najwan sedang tersenyum nakal kepadanya.
“ Pandai isteri abang nak buat kejutan ya? Abang dah bacalah kad yang Nini selitkan dalam kemeja tu. Sejak bila pandai nak buat kejutan macam ni?”
Auni mengekeh ketawa. Pecah sudah rahsianya. Rambutnya habis kusut kerana diganggu dengan tangan Najwan. Najwan menayangkan sekeping kad kecil berwarna merah di hadapan Auni. Kad kecil itu dibuka.
Suka tengok abang pakai baju hitam.
-Serikandi-
“ Suka tengok abang pakai baju hitam?” Najwan bertanya balik.
Auni gelak lagi. Dia anggukkan sahaja apa yang disoal oleh Najwan. Najwan turut ketawa.
“ Terima kasih. Abang suka sangat. Tak sangka dapat hadiah pula awal pagi macam ni,” ucap Najwan seikhlas hati. Habis segenap wajah isterinya dicium. Auni mengekeh, geli apabila diperlakukan seperti itu. Dia menolak sedikit tubuh suaminya. Senyuman masih tertampal pada wajah bersih itu.
“ Abang siap-siap dulu, Nini pergi siapkan sarapan, okey?” Auni memujuk apabila Najwan seakan-akan tidak mahu melepaskannya pergi. Najwan tersenyum nakal.
“ Tak nak tolong pakaikan kemeja tu untuk abang ke?”
“ Abang!”
Lengan Najwan menjadi sasaran cubitan Auni. Cepat-cepat dia keluar dari bilik itu. Sempat lagi dia mencapai sikat miliknya. Gara-gara Najwan, habis kusut rambutnya yang sudah disikat rapi. Hanya selepas bersarapan dia akan mengenakan tudung. Masih terlalu awal lagi ni.
Najwan ketawa besar. Kemeja hitam yang masih tersangkut itu direnung lama.
Sayang pula nak pakai kemeja ni. Buat pameran aje boleh?
Pada saat dia merenung kemeja itu, ada suatu idea muncul dalam mindanya. Senyuman Najwan semakin lebar.
AUNI bersandar lega pada sandaran kerusinya. Keletihan terasa menguasai tubuhnya. Dia bukannya cukup rehat sejak dua tiga hari ini. Tambah tambah semasa menjaga E-jat yang demam tempoh hari.
“ Auni, kau tak nak pergi makan ke?” Adda menyoal daripada mejanya.
Auni tersengih. Dia melihat pada Fossil di pergelangan tangan. Tinggal beberapa minit sahaja lagi sebelum masuknya waktu untuk mereka berehat dan makan tengah hari.
“ Kau pergi ajelah dengan Cassy. Suami aku ajak makan sama-sama lepas ni,” ucap Auni seraya teringatkan mesej yang baru diterimanya tadi.
Suaminya menghantar mesej untuk mengajak dia makan tengah hari bersama-sama memandangkan Najwan ada sedikit kerja yang perlu dilaksanakan di sekitar kawasan tempat kerja Auni sebelum waktu makan tengah hari. Awal-awal lagi Auni sudah bersetuju.
“ Untunglah orang tu pergi makan dengan suami tercinta.” Adda mencebik namun tidak lama kemudian dia tergelak. Suka betul usik Auni.
Auni turut sama tergelak. “ Nanti kau kahwin, boleh juga makan dengan suami kau.”
Auni dan Adda sama-sama menyambung tawa mereka. Tiba sahaja Cassy di tempat mereka, terus Adda mengajak gadis itu untuk pergi makan bersama-sama. Sempat lagi Cassy menyertai Adda yang tidak habis-habis mengusiknya itu.
Saat melihat wajah gembira Adda, Auni dapat membuat andaian bahawa Muqri sudah tidak muncul di hadapannya. Harap-harap apa yang dia fikirkan itu benar. Auni tidak mahu hubungan Adda dan Ashraf terjejas gara-gara kemunculan orang ketiga yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan mereka berdua kini.
Auni ingin menyoal mengenai Muqri kepada Adda. Tetapi dia risau sekiranya tindakannya itu akan mengundang rasa tidak selesa Adda.
“ Auni Ammaleeyna!”
Auni tergamam lalu dia mengangkat wajah. Tambah membuatkan dia terpaku adalah sewaktu dia melihat Najwan sudah pun berdiri di hadapan mejanya.
“ Abang? Bila abang sampai? Tak dapat mesej pun,” tanya Auni gugup. Najwan ketawa. Pantas sahaja dia menarik hidung si isteri.
“ Baru ajelah. Abang memang sengaja tak mesej Nini. Abang terus naik tadi. Sampai-sampai, Nini tengah mengelamun. Ingatkan abang ke?” Najwan mengusik. Usikannya itu disambut dengan cebikan Auni.
“ Tak kuasa nak ingatkan abang. Dahlah, Nini dah lapar ni. Jomlah pergi makan,” Auni mula merengek. Rakan-rakan sepejabatnya sudah lama turun ke bawah. Tak adalah dia malu sangat nak bermanja dengan Najwan.
“ Lapar sangat ke? Abang tengok Nini macam letih aje ni.”
Tangan kanan Auni dibawa ke genggamannya. Wajah Auni kelihatan pucat sedikit walhal tidak sampai setengah waktu kerjanya lagi. Kerja banyak sangat ke?
“ Entah. Mungkin sebab Nini makan sekeping roti aje tadi kot,” balas Auni perlahan.
Tersenyum-senyum Auni saat matanya terpandang pada kemeja hitam yang tersarung pada tubuh suaminya. Kemeja yang dihadiahkan kepada Najwan pada pagi tadi.
“ Nini senyum macam tu tentu sebab abang lebih kacak pakai kemeja ni kan?” Tanpa segan silu Najwan memuji dirinya. Auni mencebik lagi. Tak malu betul suami aku ni.
“ Tak. Abang nampak lagi kacak sebab kemeja tu dah sedia lawa. Bukan sebab kacak semula jadi okey?” balas Auni selamba.
Najwan ketawa. Ada-ada aje si Nini ni.
Sebuah kafe yang terletak berdekatan dengan pejabat Auni menjadi tempat untuk mereka makan tengah hari. Sebuah kafe yang mencipta kenangan. Di kafe inilah dia makan tengah hari dengan Auni buat pertama kali sebelum mereka berkahwin dahulu.
“ Nini?”
“ Ya?”
Pesanan sudah dibuat. Hanya menunggu pelayan menghantar makanan yang dihidangkan sahaja. Perhatian Auni hanya pada suaminya yang kelihatannya seperti ingin mengatakan sesuatu.
“ Nini balik lewat sikit petang ni kan?”
“ Ya. Ada sikit kerja yang nak dibuat. Tapi Nini seorang aje. Kenapa abang?”
Auni hairan dengan soalan itu. Seakan-akan ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik apa yang disoalkan oleh Najwan. Namun Najwan senyum sahaja.
“ Abang, kenapa ni?” Auni pula yang menyoal apabila Najwan sudah tunjuk gaya tidak ingin melanjutkan perbualan mereka. Lelaki itu hanya senyum sahaja.
Pantas Najwan menggeleng. “ Tak ada apa-apa. Cuma, abang jemput Nini balik petang ni ya? Tunggu kat ofis tau.”
“ Balik macam dulu-dulu?” Auni tersengih. Teringat sewaktu tempoh pertunangan mereka. Najwan akan memandu mengekori keretanya dari belakang sehinggalah dia selamat sampai ke rumah walid dan ummi.
“ Ya. Agak-agak Nini, Nini balik pukul berapa?” tanya Najwan yang sudah berubah fokusnya kepada makanan yang sudah sampai. Diucapkan terima kasih kepada pelayan yang datang menghantar makanan.
“ Dalam pukul 8? Abang serius ke nak datang jemput? Tak payahlah. Abang dah penat kerja hari ni,” kata Auni. Risau pula nak menyusahkan suaminya. Bukannya dia tidak tahu, Najwan kini sibuk dengan projek terbaharu syarikat mereka.
“ Seriuslah. Abang tak akan biarkan Nini balik seorang malam-malam macam ni. Nini juga yang kata, abang ni hero Nini kan?” balas Najwan yang berkeras dengan rancangannya. Auni mengeluh. Dah keluar dah alasan macam tu.
“ Okeylah dah abang nak juga. Abang ni, suka betul bagi alasan macam tu,” Auni merungut.
Najwan ketawa. Faham betul isteri aku ni.
Deringan telefon bimbit Najwan mencelah dalam perbualan mereka. Cepat-cepat Najwan mengangkat panggil apabila dilihat sahaja nama yang tertera pada skrin. Wajahnya mula berubah resah.
“ Helo, assalamualaikum Safwan.”
Najwan diam sahaja mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Safwan. Dia tidak berani untuk berkata apa-apa memandangkan Auni ada di hadapannya. Namun dia tidak mampu menyembunyikan perubahan pada air mukanya. Auni kehairanan saat melihat riak pada wajah suaminya berubah gelisah.
“ Okey. Apa-apa hal, beritahu aku ya. Terima kasih banyak-banyak. Aku tak tau nak buat apa kalau kau tak ada. Okey, waalaikumussalam.”
BlackBerry disimpan kembali ke dalam poket seluar. Auni masih lagi memandang suaminya dengan hairan.
“ Abang? Ada sesuatu yang jadi ke?” tanya Auni risau. Daripada wajah suaminya dia dapat meneka ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku namun pantas sahaja Najwan menggeleng.
“ Masalah kat pejabat. Biasalah tu Nini. Dahlah, jangan risau. Dah selesai dah pun. Makanlah, kata lapar sangat tadi,” Najwan menafikan.
Auni mengangguk sahaja namun seleranya seakan-akan sudah mati. Hatinya dapat memberitahu bahawa suaminya sedang berbohong pada saat ini. Berbohong mungkin untuk menyedapkan hatinya sahaja.
MUKA jam di pergelangan tangan direnung sekilas. Matanya melilau mencari Auni namun pejabat itu sudah kosong. Barangkali Auni pergi menunaikan solat Maghrib. Najwan merenung pada beg plastik di tangan kirinya. Dia menarik senyum lebar.
Perlahan-lahan dia mendekati meja kerja Auni. Fail dan kertas-kertas yang sudah bercetak disusun kemas mengikut klasifikasi. Mata Najwan tertumpu pada bingkai gambar yang memaparkan gambar mereka berdua sewaktu majlis perkahwinan mereka yang lepas.
“ Abang?”
Auni yang baru muncul di pintu pejabat tercengang apabila melihat Najwan sudah berdiri di hadapan meja kerjanya. Lambat-lambat Najwan menoleh. Auni masih lagi kaku di belakangnya.
“ Kenapa tercegat aje kat situ? Nini pergi solat ya?” Najwan berjalan mendekati isterinya. Kepala Auni yang masih dibaluti dengan tudung diusap perlahan. Auni nampak penat daripada riak pada wajahnya.
“ Ya. Tak sangka abang dah sampai. Maaf abang. Dah lama ke abang tunggu?” Auni menguntum senyum. Lega apabila dapat melihat wajah si suami.
“ Baru aje sampai. Lepas solat abang terus ke sini. Kerja Nini dah siap belum?” soal Najwan. Senyuman isterinya dibalas.
Auni mengangguk. “ Dah. Auni tertidur kejap kat bilik surau tu. Nasib baik tersedar.”
“ Bahayalah, Nini. Dahlah orang dah tak ada kat pejabat Nini ni. Nasib baik abang dah sampai,” kata Najwan. Risau betul sekiranya ada sesuatu yang buruk menimpa isterinya.
“ Abang kan hero Nini? Kenalah selamatkan Nini kalau macam tu,” balas Auni tersengih. Najwan ketawa. Beg plastik di tangan kiri diangkat di hadapan Auni.
“ Jom makan dulu sebelum balik. Abang dah masak untuk Nini,” kata Najwan riang. Bulat mata Auni melihatkan wajah suaminya.
“ Betul abang masak untuk Nini?” Auni menyoal seolah-olah tidak percaya. Pantas Najwan mengangguk.
“ Kenapa? Ingat abang tak pandai masak ke? Abang johan pertandingan memasaklah dulu,” kata Najwan mendabik dada. Auni ketawa. Betullah kata ibu dulu, Najwan memang pandai memasak.
“ Tapi, kenapa abang masak pula hari ni?” Auni kehairanan.
“ Tak salah kan kalau abang nak masak untuk isteri sendiri? Pagi tadi Nini dah buat kejutan untuk abang, malam ni abang pula yang kejutkan Nini,” balas Najwan dengan senyuman. Dia menarik tangan Auni untuk mengekorinya ke pantri pejabat tempat kerja Auni.
Auni tersenyum bahagia. Tidak sangka Najwan sanggup bersusah payah turun ke dapur semata-mata untuk membuat kejutan kepadanya.
“ Wah! Sedapnya bau,” kata Auni keriangan selepas Najwan selesai menghidangkan bekas-bekas Tupperware yang dibawa dari rumah.
“ Bukan bau aje sedap, rasa pun sedap tau,” balas Najwan dengan tawanya.
Ikan bawal masam manis, udang masak mentega dan sayur campur dihidangkan di atas meja yang sudah tersedia di kawasan pantri. Najwan keluarkan pula bekas plastik dan dua biji pinggan untuk mengisi nasi. Auni senyum kekaguman. Memang nampak sedap!
“ Jemput makan, tuan puteri,” pelawa Najwan seraya menghidangkan sepinggan nasi untuk Auni. Dia turut meletakkan lauk berserta nasi untuk isterinya.
“ Abang bacalah doa makan dulu,” kata Auni. Najwan tersengih. Lupa pula.
“ Okey, okey. Tadah tangan tu.”
Doa makan dibacakan oleh Najwan. Keberkatan rezeki yang terhidang di hadapan mereka itu juga perlu diambil kira. Berapa ramai orang di dunia ini mempunyai rezeki yang banyak namun hanya sedikit sahaja berkatnya.
“ Nini, lepas ni abang bawa Swift Nini tau,” kata Najwan sebelum menyuap nasi. Kening Auni bertaut.
“ Abang bawa? Habis tu macam mana dengan kereta abang tu?”
Takkanlah nak tinggal macam tu aje kereta tu? Suami aku ni pun, alahai…
“ Kereta abang selamat aje kat rumah tu,” balas Najwan. Dia mula khusyuk dengan makanan di hadapan mata. Laparnya.
“ Selamat kat rumah? Tadi… abang datang naik apa?” Auni menyoal ragu-ragu. Biar betul suami aku ni.
“ Abang datang naik teksi. Sebab tulah abang kata abang nak bawa kereta Nini lepas ni. Dah lama abang tak bawa Nini balik rumah kita.”
Naik teksi?
Auni bungkam. Sanggup Najwan naik teksi semata-mata untuk menjemputnya pulang? Auni ukir senyum. Bahagianya rasa berada di sisi lelaki ini.
Share this novel