BAB 63
SAYU mula menyelubungi suasana pada pagi yang hening itu. Memandangkan Auni sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas hampir seminggu menjadi penghuninya, dia meminta Najwan menunaikan janji untuk membawanya melawat Reena di wadnya.
Sebenarnya, Auni akan berasa bersalah jika tidak menziarah wanita itu. Reena pernah baik dengannya walaupun wanita itu menyimpan niat yang tidak baik kepadanya. Masa silam yang pahit menyebabkan wanita itu berubah sedemikian.
Saat pertama kali kerusi rodanya ditolak ke dalam wad itu untuk menemui Reena, hati Auni tersayat tatkala melihat wajah lesu itu. Segala keanggunan yang dimiliki oleh Reena sudah hilang. Wajahnya pucat dan lesu.
“ Kak Reena?” Auni cuba menegur wanita itu. Reena seakan-akan tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Sebak juga hati Auni apabila melihat wanita yang asalnya merupakan graduan daripada universiti luar negara mengalami nasib yang sedemikian rupa.
“ Kak Reena?” Auni memanggil lagi. Dia merasakan air matanya boleh mengalir pada bila-bila masa sahaja lagi. Reena terkebil-kebil melihat Auni di hadapannya.
“ Siapa?” Reena menyoal. Nadanya sayu dan mampu meraih air mata sesiapa yang mendengar.
Auni mengetap bibir. Air mata yang sedang bergenang ditahan sebaik mungkin.
“ Ni Auni kak,” kata Auni perlahan. Setitik mutiaranya jatuh jua.
Tanpa semena-mena Reena menarik Auni ke dalam pelukannya. Najwan membiarkan sahaja tindakan Reena asalkan tidak membahayakan Auni.
“ Kenapa Abang Wan kena pergi? Kenapa?”
Rintihan Reena di bahu Auni membawa tangisan kedua-duanya. Auni merelakan sahaja bahagian bahunya basah dengan air mata Reena. Perlahan-lahan dia mengusap belakang wanita itu.
“ Sabar kak… Allah lagi sayangkan Abang Wan,” bisik Auni di telingan Reena. Reena masih lagi menangis. Semakin kuat pelukannya pada tubuh Auni.
Auni semakin sebak apabila menyedari perubahan pada diri wanita itu. Sewaktu mula-mula mengenalinya, Reena kelihatan seperti seorang wanita yang hebat. Dia anggun dengan gayanya yang tersendiri. Siapa menyangka sebenarnya ada beban berat yang tergalas pada bahu wanita itu. Hampir sejam lamanya mereka menziarahi Reena sehinggalah tangisan wanita itu reda.
Najwan membawa Auni menemui doktor yang merawat keadaan Reena. Auni mampu tersenyum lega apabila doktor itu mengatakan keadaan Reena tidak separah dengan kes pesakit lain. Reena boleh sembuh dengan andai kena dengan rawatannya. Trauma wanita itu harus diatasi terlebih dahulu.
Kedua-dua tangan Najwan menolak kerusi beroda yang diduduki Auni manakala bahu kanannya menyandang beg yang memuatkan keperluan Auni selama di hospital ini.
“ Abang?” Auni memanggil perlahan. Matanya masih merenung jalan di hadapannya. Najwan menggumam perlahan sekadar memberi respon.
“ Qausar macam mana? Kak Reena akan tinggal di hospital lagi lepas ni. Takkan kita nak biarkan Qausar masuk rumah anak-anak yatim pula,” tanya Auni. Apabila teringatkan anak kecil itu, Auni mula berasa kasihan.
“ Nini jangan risau. Abang dah bincang dengan ibu dan baba. Ibu dan baba kata nak jaga dia. Lagipun, Qausar boleh temankan E-jat.”
Perbincangan itu dibuat sewaktu ibu dan baba datang melawat Auni pada hari kedua Auni dimasukkan ke dalam hospital. Apabila memikirkan nasib malang Qausar sekiranya dimasukkan ke dalam rumah anak-anak yatim, ibu memberi cadangan untuk memelihara Qausar. Tanpa banyak soal baba turut bersetuju.
Kata ibu, nasib Qausar sebenarnya sama sahaja dengan E-jat, cuma Qausar masih punya seorang ibu walaupun tidak tahu di mana bapa kandungnya berada manakala E-jat pula telah kehilangan kedua-duanya. Bertambah juga bilangan anak kecil di rumah ibu dan baba itu. Sekurang-kurangnya terubat juga kesunyian ibu dan baba kerana Nawal dan Syah telah terbang ke Jerman dalam masa terdekat.
“ Tak menyusahkan ibu dan baba ke bang?” tanya Auni gusar. Dia bimbang ianya akan menyusahkan ibu dan baba yang telah berumur.
“ Tak. Ibu yang beria-ria nak pelihara Qausar. Nini jangan bimbang, abang dah buat prosedur untuk ambil Qausar sebagai anak angkat. Abang pergi rumah ibu kelmarin, abang tengok Qausar dah banyak bercakap berbanding dulu. Perkembangan yang positif, E-jat pun nampak seronok dapat bermain dengan Qausar,” kata Najwan.
Auni menarik nafas lega. Episod baru dalam hidup Qausar akan bermula juga. Sekurang-kurangnya masa depan Qausar terjamin di bawah jagaan ibu dan baba. Auni yakin ibu dan baba tidak akan mensia-siakan anak kecil yang masih boleh dilentur akhlaknya itu.
MERIAH benar rumah ibu dan baba bagi menyambut kepulangan Auni. Ummi, walid, Aisar sekeluarga serta Alin turut hadir ke rumah ibu dan baba. Kesemuanya gembira apabila melihat Auni sudah sihat.
“ Tak lama lagi, bertambahkan orang baru keluarga ni. Merasa juga saya nak pegang cucu baru,” kata ibu yang sejak daripada tadi lagi tidak lekang daripada senyumannya. Seisi keluarga mereka ketawa. Najwan dan Auni hanya tersengih sahaja.
“ Kemaruk benar awak tu Sofi. Lambat lagi si Nini nak lahirkan bayi tu. Awak dah bersungguh? Tengoklah Kak Sofi kamu berdua ni, sejak awal-awal Nini mengandung lagi dah beria-ria ajak abang pergi beli baju budak,” kata baba kepada ummi dan walid seraya mengerling pada ibu yang sudah menarik muncung.
“ Saya gembira pun salah? Bukannya cucu orang lain, cucu kita juga abang,” tempelak ibu. Pertikaman lidah antara ibu dan baba hanya mengundang tawa mereka seisi keluarga. Mahu mencelah pun tidak. Dibiarkan sahaja pertikaman lidah itu menjadi-jadi.
“ Sudah-sudahlah Sofi. Dah tak larat saya nak gaduh dengan awak lagi ni. Makin letih dibuatnya.” Akhirnya baba mengalah. Ibu senyum kemenangan.
Auni mengalihkan pandangannya daripada ibu dan baba kepada Qausar yang sedang bermain-main dengan E-jat di luar rumah. Walaupun malam sudah menjelma, itu tidak menghalang mereka berdua daripada bermain di luar. Apatah lagi halaman rumah baba terang berderang dengan lampu yang menyinari setiap genap pelosok rumah itu.
Perlahan-lahan Auni bangun daripada duduknya. Najwan melihat sahaja perlakuan isterinya. Dia mahu menghalang tetapi Auni terlebih dahulu mengatur langkah ke luar rumah. Matanya merenung pada Auni yang sedang mendapatkan E-jat dan Qausar di halaman rumah. Najwan turut mengekori langkah Auni tanpa pengetahuan isterinya.
“ Mama!”
E-jat melompat-lompat keriangan sebaik sahaja Auni menyertainya dan Qausar. Qausar yang pada mulanya mendiamkan diri sahaja ketika menyedari kehadiran Auni terus menerpa ke arah bakal ibu itu. Anak kecil itu memeluk sahaja kaki Auni. Auni tergamam. Dia merenung pada wajah polos itu.
“ Boleh Qausar panggil mama?”
Auni menarik senyum dalam sebak yang mula mencengkam dadanya. Dia duduk bertinggung lalu memeluk Qausar. Auni mengangguk perlahan. Rasa simpatinya terhadap anak kecil itu kian menggunung.
“ Boleh, Qausar. Boleh,” Auni teresak di situ. Dia turut menarik E-jat ke dalam pelukannya.
Najwan menyaksikan sahaja adegan menyayat hati itu di hadapannya. Dia menghela nafas. Pandangan matanya jatuh pada langit malam. Sebutir bintang berkelip indah berbanding jujukan bintang yang lain.
Aku janji pada kau Wan, aku akan jaga Qausar baik-baik walaupun dia bukannya anak kandung kau. Aku tahu, sekiranya kau hidup sekalipun kau tidak akan membenci anak kecil itu walaupun dia bukannya darah daging kau. Aku kenal kau, sahabatku.
Najwan mengambil langkah bagi mendapatkan mereka bertiga. Dia memaut bahu Auni. Auni mengangkat wajah, senyuman suaminya hadir untuknya.
“ Jom, masuk dalam. Nanti sejuk. Mari, E-jat, Qausar,” kata Najwan lembut. Qausar memaut lengan Najwan. Pandangannya penuh pengertian. Najwan tersenyum. Dia mengusap kepala anak kecil itu.
“ Panggil papa, ya Qausar?”
Senyuman Qausar kian melebar. Dia memeluk kaki Najwan. Air mata anak kecil itu pecah di situ. Najwan tersenyum hiba. Dia memeluk tubuh kecil itu. Dibiarkan sahaja tangisan Qausar membasahi dada kemeja T yang menyarungi tubuhnya.
NAJWAN meletakkan Al-Quran yang baru sahaja selesai dibacanya dengan Auni tadi di atas rak. Najwan turut meletakkan songkoknya di atas almari yang menempatkan rak untuk Al-Quran. Auni yang masih di tikar sejadah pula sedang menanggalkan telekung sembahanyang sebelum dilipat dengan kemas.
“ Nini dah nak tidur ke?” Perlahan Najwan menyoal dalam kesepian malam. Auni pantas menggeleng. Dia menunjukkan buku di tangan yang baru sahaja diambil dari atas meja solek.
“ Nini nak baca buku ni dulu,” ucap Auni. Buku Untuk Anakku berada dalam tangannya. Najwan mengangguk sahaja. Dia mengambil tempat di atas katil.
Sementara Auni meluangkan masa untuk membaca buku itu, Najwan menyambung kembali kerjanya yang masih berbaki di pejabat tadi. Dell yang sudah berada di atas riba dihidupkan. Alunan Asma Ul Husna berkumandang dalam bilik itu.
“ Abang, tengok ni,” panggil Auni perlahan. Dia menunjukkan pada perenggan yang menarik perhatiannya dalam buku itu kepada Najwan. Najwan mengalihkan pandangannya kepada perenggan yang dimaksudkan oleh Auni.
“ Bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab mendidik anaknya dengan betul akan disabitkan di akhirat kelak kerana kegagalannya memberi didikan agama yang secukupnya. Kesiannya, kan bang?” kata Auni. Najwan mengangguk. Dia mengambil buku itu daripada tangan Auni.
“ Sebab itulah sejak kecil lagi kita kena didik anak-anak kita dengan betul, beri didikan agama yang secukupnya sebagai bekalan apabila dah besar. Sama dengan kes yang isteri atau anak-anak perempuannya tidak menutup aurat dengan baik atau bergaul bebas sesama bukan mahram, dosa yang diterima oleh isteri dan anak-anak perempuannya akan turut ditanggung olehnya. Bukan senang nak jadi ibu bapa ni Nini. Tambah-tambah lagi tanggungjawab seorang bapa. Dia bukan sahaja tanggung dosa isteri dia, dosa anak-anak dia juga kena tanggung tahu?” jelas Najwan.
Najwan banyak belajar daripada babanya selama ini. Sebab itulah selama ini baba bertegas dengan mereka adik beradik jika tiba soal solat, masa mengaji Al-Quran dan hal-hal yang membabitkan agama. Rupa-rupanya baba mahu mengajar mereka erti hidup yang sebenarnya. Bukan mudah untuk mencari jalan ke jannah Ilahi, tetapi jalan untuk ke neraka-Nya sentiasa mudah untuk diperoleh.
Jalan untuk ke neraka-Nya itu akan mudah laluannya sekiranya kita sendiri mengundur diri daripada jalan yang akan menemukan kita dengan syurga-Nya.
“ Abang nak jadi macam ibu dan baba, macam walid dan ummi. Walid dan ummi berjaya membentuk anak-anak mereka termasuk Nini. Nini sudah cukup sempurna sebagai seorang Muslimah untuk abang,” sambung Najwan lagi. Ikhlas dia menuturkan kata-kata itu. Auni menguntum senyum. Dia mengangguk perlahan.
“ Insya-Allah, bang. Kita boleh didik anak-anak kita dengan baik, macam yang ibu, baba, ummi dan walid dah lakukan pada kita,” balas Auni.
Najwan tersenyum lagi. Dia memberi kembali buku yang diambilnya tadi kepada isterinya. Auni kembali tenggelam dalam kekhusyukannya membaca manakala Najwan kembali meneruskan kerjanya. Suara yang masih memuji nama-nama Allah yang indah masih lagi kedengaran daripada Dell Najwan.
Share this novel