BAB 7
NAJWAN mengejar E-jat di halaman rumah. E-jat bawa lari bola Liverpool yang baru dibeli oleh Najwan untuknya. Riuh kawasan rumah ibu dan baba dengan teriakan E-jat apabila berjaya ditangkap oleh Najwan. Ibu yang duduk di gazebo hanya menggeleng. Baba tiada. Walau hari ini hari minggu namun baba tetap sibuk dengan urusan syarikat.
“ Naj, jangan kejar E-jat macam tu. Jatuh nanti!” tempik ibu dari gazebo. Ibu hanya mampu menggeleng apabila melihat tingkah Najwan yang sudah berumur 30 tahun seperti kanak-kanak lima tahun. Najwan mula sengih. E-jat jelir lidah sebelum berlari masuk ke dalam rumah.
Najwan berjalan ke arah ibu. E-jat masih berada di dalam rumah. Entah apalah yang dia buat di dalam. Mungkin mencari permainan yang lain. Kalau tidak pun mungkin dapur yang menjadi sasaran E-jat. Suka betul E-jat melihat Mak Bedah atau ibu memasak. Tapi waktu berbuka puasa lambat lagi. Paling kurang pun Mak Bedah tengah sediakan bahan untuk memasak saja.
“ Ibu kata Auni nak datang, mana dia?” tanya Najwan tanpa pandang muka ibu sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas gazebo. Ibu ketawa.
“ Kenapa? Tak sabar nak jumpa dia?” tanya ibu dengan nada mengusik. Najwan menggelengkan kepala.
“ Tak adalah macam tu,” balas Najwan perlahan. Ibu ketawa lagi.
“ Takkan lari gunung dikejar, Naj,” balas ibu. Masih lagi dengan nada mengusik. Najwan sudah garu kepala.
“ Ibu ni…”
“ Dahlah, ibu nak masuk dalam sekejap. Kalau Auni dah sampai, panggil ibu tahu? Ibu masuk dulu,” kata ibu. Najwan hanya mengangguk. Dia lihat sahaja langkah ibu masuk ke dalam rumah.
Najwan mendongakkan kepala ke arah langit. Matahari berada di sebalik awan. Cuaca tidaklah sepanas beberapa hari yang lalu. Dia senyum sendiri. Langsung tidak mempercayai kata-katanya semalam.
Ketika dia mengatakan bahawa dia tidak kisah menerima cadangan ibu dan baba untuk menjodohkan dia dengan Auni, dia seakan-akan tidak percaya dengan dirinya sendiri sahaja. Kalau nak dikira, dia bukannya kenal sangat dengan anak kawan ibu dan baba itu. Tetapi, kalau dah rasa berkenan, apa salahnya, kan?
Lagipun apa yang dia buat kini merupakan benda baik juga. Mendirikan rumah tangga, tidak ada salahnya kan? Sekurang-kurangnya bertambah lagi umat Islam yang mendirikan baitulmuslim. Najwan juga percaya akan janji Allah SWT, rezeki akan melimpah ruah bagi setiap khalifah-Nya yang mendirikan masjid demi mengikat suatu hubungan yang halal.
Masa remajanya banyak dihabiskan di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Asalnya mereka sekeluarga tinggal di United Kingdom, kemudian Najwan meminta izin ibu bapanya untuk pulang ke Malaysia sahaja dan tinggal bersama-sama nenek sebelah bapanya sementelah datuk sudah meninggal dunia. Sekurang-kurangnya neneknya ada peneman di saat keseorangan selepas pemergian datuknya.
Kemudian, dia terus terbang ke Jepun untuk mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal. Tidak disangka-sangka sebelum habis tahun pertamanya di sana, baba meminta dia mengambil jurusan pengurusan perniagaan pula. Terpaksalah dia bermula dari bawah kembali.
Nasibnya agak baik kerana dia terbang ke Jepun itu dengan menggunakan keputusan percubaan SPM, tidaklah berbeza sangat masanya untuk ke UK untuk mengambil jurusan pengurusan perniagaan pula.
Masa zaman belajar di Jepun dan di UK juga dia tidak pernah ada teman wanita. Najwan tidak pernah merasa pentingnya bercinta pada masa itu. Dia lebih suka berseorangan walaupun kawan-kawannya sudah ramai yang punya kekasih. Selepas kematian Najwa dan Fuad, perhatiannya beralih pula kepada E-jat dan kerjaya yang semakin berkembang. Memang tiada masa untuk bercinta. Malah Najwan sendiri tidak ingin mencari masa itu.
Najwan menggeliat puas. Saat dia menoleh ke pintu pagar rumah, kelihatan sebuah Suzuki Swift putih baru masuk ke dalam kawasan rumah. Najwan angkat kening. Kelihatan seorang gadis bertudung putih keluar daripada kereta itu. Dia senyum. Memang dia mengenali gadis itu. Langkahnya pantas mendekati gadis itu.
“ Assalamualaikum,” sapa Najwan. Auni pantas menoleh ke belakang. Najwan sedang berjalan mendekatinya. Kelihatan tenang sahaja lelaki itu dengan senyuman pada wajahnya.
“ Wa… waalaikumussalam,” jawab Auni gugup. Najwan hanya senyum.
“ Awak datang nak bincang hal perkahwinan kita?” tanya Najwan selamba dengan kening yang diangkat sebelah. Muka Auni berubah. Teragak-agak dia mengangguk.
“ Masuklah,” pelawa Najwan. Sekali lagi Auni mengangguk. Dia mengekori langkah Najwan masuk ke dalam rumah. Tas tangannya dipegang kemas. Dia sedang cemas sebenarnya. Yalah, datang nak jumpa bakal mentualah kononnya. Mestilah cemas semacam untuk pertama kali ini.
Najwan membawa Auni ke ruang tamu. Ibu masih belum muncul. Najwan hanya biarkan saja. Dia mahu berbicara sebentar dengan Auni secara bersendirian sebelum ibu datang. Lain jadinya kalau ibu dah jumpa dengan bakal menantu dia ni. Entah-entah apa yang ingin dibincangkan takkan menjadi.
“ Apa yang awak nak bincangkan?” tanya Najwan setelah melihat Auni masih mendiamkan diri. Auni ketap bibir. Dia cuba memberanikan diri melihat wajah Najwan.
“ Walid dan ummi saya kata encik sendiri yang nak masuk meminang saya. Kenapa?” tanya Auni berterus terang tanpa sebarang mukadimah. Najwan terkejut dengan penyataan itu tetapi dia bijak menyembunyikan emosinya. Wajahnya biasa-biasa sahaja.
Sejak bila pula aku yang beria-ria nak pinang dia ni? Bukan ke ibu dan baba pinang dia untuk aku? Aku rasa aku tau kenapa dia cakap macam tu, Najwan senyum meleret.
Ibu dan baba ni memang suka hati aje kan? Tahulah dah tak sabar nak tengok aku kahwin.
“ Sebab saya suka awak,” balas Najwan. Muka Auni berubah merah.
Dia ni memanglah, tak boleh kawal sikit ke nak cakap apa? Selamba aje cakap macam tu, rungut Auni. Najwan hanya senyum. Senyum, senyum dan senyum.
“ Tapi, kita baru aje kenal. Kenapa encik tiba-tiba nak pinang saya?” tanya Auni lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan Najwan. Najwan gelak kecil.
“ Sebab saya suka awak, kan saya dah cakap,” kata Najwan lagi. Pipi Auni merah lagi. Dia malu sendiri dengan kata-kata Najwan yang dianggapnya berani itu. Baru beberapa kali jumpa dah berani nak mengaku sukakan aku?
“ Saya…”
“ Papa!”
Auni dan Najwan sama-sama menoleh ke arah suara itu. Auni lihat seorang kanak-kanak lelaki berlari-lari ke arah mereka sebelum melompat naik ke riba Najwan. Muka Auni berkerut. Papa?
“ Papa, tok ibu kata papa nak bawa E-jat ke Bazaar Ramadhan hari ni. Betul ke?” tanya E-jat yang seakan-akan tidak perasan akan kehadiran Auni. Najwan mengangguk. Kepala E-jat digosok.
“ Lepas Asar, ya sayang? Dah, pergi salam dengan mak cik,” kata Najwan. E-jat turun lalu berlari ke arah Auni pula. E-jat menghulurkan tangan pada Auni yang masih lagi terpinga-pinga dengan situasi yang berlaku kepadanya sekarang. Papa?
“ E-jat nak salam,” kata E-jat perlahan. Auni ukir senyum walau dia masih hairan dengan situasi ini. Papa? Sayang? Apa yang…
“ Kalau E-jat nak tahu, mak cik tulah yang akan jadi mama E-jat nanti. E-jat suka?” tanya Najwan selamba. Auni menjegilkan matanya. Najwan hanya senyum sahaja.
“ Mama? Betul ke papa?” tanya E-jat teruja. Wajah Najwan direnung tidak percaya. Najwan mengangguk.
“ Betul. Takkan papa nak tipu pula,” balas Najwan lagi.
Muka E-jat berubah gembira. E-jat renung muka Auni yang sudah tidak tahu nak buat reaksi apa dah.
“ Mama, E-jat nak salam lagi. Boleh?” tanya E-jat sambil mengubah panggilan terhadap Auni. Auni hanya mengangguk sebelum menghulurkan tangan. Najwan cuba tahan gelak. Lucu melihat situasi itu. Pastinya Auni tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah terjadi.
“ E-jat, pergi panggil tok ibu. Cakap yang mama dah sampai,” pinta Najwan. E-jat hanya mengangguk sebelum berlari ke arah dapur. Najwan senyum sahaja melihatkan muka Auni yang sedemikian.
“ Budak tu…” kata-kata Auni mati di situ. Najwan gelak perlahan.
“ Awak dengar dia panggil saya apa, kan?” kata Najwan. Auni telan liur. Takkanlah…
“ Dia anak saya,” kata Najwan lagi. Berubah muka Auni mendengarkan kata-kata Najwan. Ummi tak cakap pun yang mamat ni duda?
Sakit dada Najwan kerana terpaksa menahan gelak daripada terhambur keluar. Seronok juga usik dia ni.
“ Auni dah sampai?”
Auni lihat pada Mak Cik Sofi yang baru keluar dari arah dapur. E-jat mengekori dari belakang. Cepat-cepat Auni bangun daripada duduknya. Mak Cik Sofi mengukir senyum. Ternyata dia menyenangi kehadiran Auni ke rumahnya.
“ Dah lama sampai?” tanya ibu. Auni menggelengkan kepalanya. Mereka bersalaman. Auni tunduk lantas mencium tangan ibu.
“ Baru aje sampai,” balas Auni dengan senyuman. Ibu menoleh ke arah Najwan yang sedang bergurau dengan E-jat. Leka benar Najwan dan E-jat bergurau malah mereka seolah-olah tidak mempedulikan langsung akan kehadiran ibu dan Auni.
“ Kenapa Naj tak panggil ibu terus? Tadi E-jat cakap mama dah sampai, ibu ingatkan Nawal tapi rupa-rupanya Auni,” kata ibu kepada anak teruna sulungnya itu Najwan hanya tersengih. Auni tambah pelik.
Nawal? Bekas isteri dia ke?
“ Saja,” balas Najwan mudah dengan senyuman lebar di bibir. Ibu geleng kepala.
Mama? Nawal? Dia ni suami orang lagi ke?
Ibu hairan tengok muka Auni yang sudah berkerut. Ibu gelak perlahan.
“ Kenapa?” tanya ibu mesra. Pantas Auni geleng kepala.
“ Tak… tak ada apa-apa,” kata Auni dengan senyuman. Ibu senyum lagi. Rasa-rasanya ibu tahu kenapa wajah bakal menantunya itu sedemikian. Najwan punya pasallah ni. Suka sangat kenakan orang.
“ Maaf ya Auni. Lupa pula ibu nak cakap, E-jat tu anak arwah Najwa dan Fuad. Rasanya ummi Auni lupa nak beritahu agaknya yang Najwa tu adik kembar Najwan. Lepas mereka meninggal, Najlah yang asyik jaga E-jat sampaikan budak tu panggil dia papa. Nawal pula anak bongsu ibu. Biasanya E-jat panggil Nawal tu Mama Nawal, kadang-kadang E-jat panggil dia Che Su,” jelas ibu.
Sekali lagi muka Auni berubah. Apatah lagi mendengarkan wanita di hadapannya itu membahasakan dirinya dengan panggilan ibu. Gaya macam dah sah jadi menantu aje.
“ Oh…”
Hanya itu sahaja yang mampu Auni katakan. Dia lihat pada Najwan yang berdiri di belakang ibu. Seperti biasa, Najwan hanya senyum. Memang padanlah muka dia nak sama dengan Mukai Osamu. Dahlah Mukai tu terkenal dengan senyuman dia. Auni ketap bibir. Nak kena dia ni…
“ Ibu rasa baik ibu tinggalkan kamu berdua. Kamu bincanglah ya. Bincang terus tarikh ke apa-apa semua tu. Ibu ke dapur dulu, mari E-jat,” kata ibu. E-jat naik ke dukungan ibu. Najwan mengangguk. Selepas ibu pergi, dia merenung terus ke muka Auni.
“ Jadi… boleh kita sambung bincang?” tanya Najwan. Teragak-agak Auni mengangguk. Mereka kembali duduk.
“ Jadi, macam mana? Awak nak buat majlis kita sekali dengan majlis nikah adik saya ke?” tanya Najwan. Auni renung geram muka Najwan.
“ Encik, saya tak kata lagi yang saya…” kata-kata Auni terhenti di situ apabila melihat Najwan angkat kedua-dua tangannya. Mukanya berkerut.
“ Boleh awak berhenti panggil saya encik? Formal, tahu tak?” potong Najwan. Auni mengangguk perlahan. Apa-apa ajelah…
Auni tarik nafas. Muka Najwan direnung. Mamat ni memang yakin sangatlah aku nak terima pinangan dia…
“ En… awak… awak memang pasti ke dengan semua ni? Saya dan awak… kita bukannya kenal sangat,” kata Auni agak teragak-agak. Seperti biasa, hanya senyuman menghiasi wajah Najwan. Auni senyap.
“ Saya tak main-main. Kalau saya nak main-main saya takkan pinang awak, kan?” kata Najwan. Auni hanya mengangguk perlahan.
“ Jadi, apa kata kita cuba aje? Macam mana?” tanya Najwan selamba. Berubah terus air muka Auni.
“ Awak ingat kahwin ni perkara main-main ke? Nak cuba-cuba, kalau tak sesuai, bercerai? Macam tu?” kata Auni agak geram.
Senyum lagi! Tak ada perkara lain nak buat ke? Auni makin bengang.
“ Baiklah, baiklah. Sekarang, saya ada dua pilihan untuk awak,” kata Najwan selepas menyedari tahap kebengangan Auni sudah bertambah. Auni sudah menarik senyum. Tentu salah satu pilihan itu akan berpihak kepadanya.
“ Apa pilihan tu?” tanya Auni tidak sabar-sabar. Najwan tersenyum. Siaplah dia ni.
“ Baiklah. Pilihan pertama, jadi isteri saya. Pilihan kedua, jadikan saya sebagai suami awak,” kata Najwan selamba. Auni sudah jatuh rahang sebaik sahaja kedua-dua pilihan yang dinyatakan oleh Najwan didengari dengan teliti.
“ Awak..” Auni kematian kata-kata. Tak adil! Berat sebelah!
Najwan mengukir senyum dengan muka tenang tanpa riak bersalah. “ Saya dah bagi pilihan pada awak. Awak nak pilih yang mana satu?”
Tahap kebengangan Auni sudah meningkat ke paras bahaya! Kedua-dua pilihan yang Najwan tawarkan hanyalah akan memenangkan diri lelaki itu. Dengan kata lain, Auni akan kalah juga dengan lelaki bernama Najwan itu.
“ Saya…”
“ Saya dah fikir semalam dan saya dah tetapkan tarikhnya. Kita bertunang seminggu sebelum Nawal nikah, kemudian kita nikah serentak dengan Nawal,” kata Najwan sekaligus memotong percakapan Auni. Auni terlopong.
Apa yang dia merepek ni?
Najwan sengih. “ Awak boleh tanya ummi dan walid awak. Saya dah telefon mereka sebelum awak sampai. Saya pun dah beritahu mereka yang awak dah setuju dengan pernikahan kita dan takkan fikir lagi pasal nak terima ke tidak.”
Eh?
“ Kita ada masa 2 bulan lebih aje untuk sediakan semua benda. Saya akan telefon awak bila masanya nak pergi beli semua benda untuk majlis tunang dan nikah kita. Dan saya rasa kita patut mula uruskan semua hal ni lepas Aidilfitri, okay? Oh ya! Asalnya saya nak kita bertunang sehari sebelum Nawal nikah tapi rasanya saya perlu awak bagi masa seminggu untuk kenal saya sebelum kita kahwin,” kata Najwan lagi tanpa henti. Selesai bercakap, dia sengih lagi. Auni dah mula keluar aura Voldermort.
Memanglah aku rasa nak hempuk-hempuk aje dia ni!
“ DIA cakap macam tu? Lawaklah!” Adda gelak besar. Auni pula tarik muka.
Pulang sahaja dari rumah Najwan, dia terus ke rumah Adda. Nasib baik mak Adda sporting, Adda seorang aje yang rasa nak halau Auni balik sebab ganggu masa tidur dia petang hujung minggu macam ni.
“ Geram betul aku dengan dia tu! Sesedap Baskin-Robbins aje dia buat keputusan macam tu!” Auni tumbuk-tumbuk bantal tidur Adda. Pantas Adda rampas bantal itu sebelum lunyai dek tumbukan Auni.
“ Rilekslah, cuba kau duduk diam-diam dulu,” kata Adda. Auni cebik. Aku tengah geram ni kau boleh cakap macam tu? Kau senanglah cakap macam tu. Bukan kau yang kena. Geramnya aku dengan mamat tu!
Adda ambil tempat di atas katil di sisi Auni. Dia sengih melihatkan wajah kusut sahabatnya itu.
“ Habis tu, kau nak buat apa sekarang?” tanya Adda. Auni geleng kepala. Dia tunduk melihat ke lantai.
“ Tak tahu. Dia dah cakap kat ummi dan walid yang aku dah setuju dan dah tentu dia dah beritahu ibu bapa dia pasal ni. Takkanlah aku nak cakap yang aku tak setuju pula. Mahu kena kejar dengan parang dengan walid aku nanti. Aku terima ajelah pinangan dia,” kata Auni.
“ Kalau aku, aku rasa baik kau biarkan saja hal ni berjalan macam biasa,” kata Adda. Auni angkat muka. Wajah Adda direnung hairan.
“ Kenapa pula kau cakap macam tu?”
Adda sengih lagi.
“ Kau kan nak sangat lari daripada Wafiy? Kau jangan lupa apa yang kau kata pada Wafiy tempoh hari.”
Alamak!
Gara-gara terlalu memikirkan soal pinangan daripada Najwan, kadang-kadang Auni hampir terlupa mengenai Wafiy.
“ Bila dia tahu yang kau rupa-rupanya tipu dia, aku berani potong jarilah kalau dia tak sambung ganggu kau lagi. Sekurang-kurangnya kalau kau dah bertunang dan kahwin dengan si Najwan tu, Wafiy dah tak ada hak untuk ganggu kau. Aku nampak ni aje jalan penyelesaiannya,” sambung Adda.
Muka Auni berkerut. “ Tapi aku rasa macam teruk gila. Jadikan Najwan tu macam alat untuk selesaikan masalah aku dengan Wafiy aje. Kecillah hati dia kalau dia tahu aku gunakan dia aje.”
“ Habis tu kau nak terima Wafiy?”
“ Tak adalah macam tu.”
“ Kau nampak Najwan tu macam mana pula? Baik? Penyayang?”
Auni mengangguk. Teringat sewaktu Najwan bermain dengan E-jat tadi. Auni nampak yang lelaki itu amat sayangkan anak kecil itu.
“ Cuba jujur dengan aku, kau terima pinangan Najwan tu lebih kepada nak selamatkan diri kau daripada Wafiy atau sebab ummi dan walid kau dah berkenan sangat dengan Najwan tu?”
“ Sebab ummi dan walid aku.” Yakin suara Auni mengatakan.
Auni boleh nampak bagaimana ummi dan walid bersungguh-sungguh mahu dia menerima pinangan Najwan. Ibu bapanya beria-ria benar mahu bermenantukan Najwan. Auni tidak bodoh untuk mempertaruhkan masa hadapannya dengan menerima pinangan Najwan secara membuta tuli hanya kerana ingin melarikan diri daripada Wafiy. Itu ibarat keluar Gurun Sahara masuk Hutan Amazon namanya itu.
“ Kalau kau buat semua ni untuk bahagiakan ummi dan walid kau, insya-Allah semuanya akan baik. Cuma kau kenalah berterus terang pada Najwan pasal Wafiy tu. Aku tak nak jadi apa-apa yang tak elok pula kalau rahsia kau pasal Wafiy ni bocor secara tiba-tiba.”
Auni mengangguk sahaja. Adda kelihatan yakin dengan kata-katanya. Seakan-akan Adda sudah mengenali Najwan walaupun tidak pernah walau sekali pun mereka bersua muka.
“ Aku rasa dia memang serius dengan kau. Kalau tak, dia takkan masuk pinang kau. Dahlah kau dan dia baru aje kenal. Tak lama macam kau kenal Wafiy tu. Dahlah, jangan susah hati. Insya-Allah semuanya baik,” kata Adda lagi.
Auni mengeluh. Betul ke? Masa macam nilah aku rasa nak nangis ni…
“ YA, saya dah beritahu dia.”
Najwan mengangguk sebelum kembali mengiakan kata-kata si pemanggil. Dia senyum.
“ Dia nampak terkejut, tapi insya-Allah takkan apa-apa.”
Najwan renung ke luar tingkap. Dia boleh nampak ibu sedang melayan E-jat bermain berhampiran dengan kolam renang di luar. E-jat nampak gembira sahaja. Sepertimana dirinya yang gembira saat ini.
Diam sejenak. Najwan hanya mendengar sahaja butir bicara si pemanggil. Akhirnya dia mengeluh. “ Saya cuma harap dia boleh terima E-jat. Sebab, walau kami dah kahwin saya tetap perlu jaga E-jat juga, dia dah macam anak saya.”
Najwan diam lagi. Matanya masih merenung ke luar kamar. Dia menunggu sahaja si pemanggil di hujung talian menghabiskan bicara.
“ Insya-Allah. Saya akan beritahu dia bila masanya nak beli barang-barang hantaran tunang dan nikah. Ya, ya. Baiklah, kalau ada apa-apa saya akan beritahu. Assalamulaikum, ummi.”
Talian dimatikan. Najwan senyum sendiri.
Inilah jadinya bila bakal menantu buat konspirasi besar-besaran bersama-sama bakal mentua sebelum berkahwin. Najwan senyum lagi.
Share this novel