Chapter 35

Romance Completed 17236

BAB 35

“ MAMA…”

Auni yang baru keluar dari bilik air terkejut di saat mendengar suara E-jat yang berbaur lemah. Cepat-cepat dia mengatur langkah untuk mendapatkan E-jat yang masih sedang berbaring di atas katil. Kedua-dua belah tangan anak kecil itu melekap pada wajahnya seakan-akan sedang menahan kesakitan.

“ Mama…”

Ada cecair mengalir keluar daripada mulut E-jat. Auni mula panik. Langkahnya laju mendapatkan E-jat. Tuala yang tersangkut pada lehernya melayang jatuh ke lantai. Anak kecil itu dipeluk erat.

“ E-jat? E-jat? Kenapa ni sayang?”

“ Mama… Sakit…”

Semakin lama semakin banyak muntah yang membasahi selimut yang masih melindungi kaki E-jat. Bau musuk muntah anak kecil itu tidak dipedulikan oleh Auni. Apa yang terjadi pada E-jat membuatkan dia hampir tidak dapat berfikir dengan sempurna. Dia betul-betul panik. Pelbagai andaian buruk mula menerpa mindanya.

“ Sabar ya sayang… kejap, kejap… Ya Allah.. E-jat…” Auni kian panik. Cepat-cepat dia berlari ke bilik air. Tidak lama kemudian dia keluar dengan sebuah besen kecil.

“ Jangan tahan, E-jat… muntah semua..”

“ Tekak sakit…”

Besen kosong itu ditadah di hadapan E-jat. Perlahan sahaja Auni menggosok belakang E-jat, risau sekiranya masih ada lagi yang ingin dimuntahkan oleh anak kecil itu. Butang baju tidur E-jat ditanggalkan. Auni tersenyum lega apabila melihat E-jat sudah berhenti daripada muntah.

“ E-jat ada rasa nak muntah lagi?” Auni bertanya sabar. E-jat menggeleng perlahan. Tekaknya terasa amat perit selepas memuntahkan apa yang dia makan pagi tadi.

“ Kejap ya sayang. Mama ambil air nak bersihkan E-jat. Kejap ya? E-jat minum dulu air ni, perlahan-lahan,” pinta Auni. E-jat hanya mengangguk lemah. Dia tidak larat untuk berkata-kata. Auni menolong E-jat untuk meminum air. Belakang E-jat digosok lagi.

Auni beralih pula untuk ke bilik air. Besen kecil yang masih berisi dengan muntah E-jat ditinggalkan di sebelah tab mandi. Dia mengambil besen lain dan diisi dengan air suam. Sehelai tuala bersih dicapai daripada kabinet dinding yang sudah berada di dalam bilik air itu.

“ Abang?”

Auni terpaku di hadapan pintu bilik air. Dia terkejut dengan kehadiran suaminya. Najwan sedang duduk di sebelah E-jat. Wajah suaminya nampak tegang seperti sedang menahan marah. Tajam mata suaminya merenung kepadanya.

“ Abang… kenapa?” Auni bersuara takut-takut. Tidak pernah Najwan merenungnya dengan pandangan marah seperti itu.

“ Kenapa Nini tak beritahu abang yang E-jat muntah tadi?”

Ianya bukan nada yang selalu Najwan gunakan untuk berbicara dengannya. Nada yang digunakan kini lebih kepada keinginan untuk menahan amarah namun gagal. Auni gagahkan diri untuk berjalan mendekati katilnya. Semakin dia melangkah, semakin jauh terasa jaraknya dengan katil itu.

“ Nini, Nini tak jawab soalan abang,” kata Najwan.

Auni diam. Dia tidak tahu untuk berkata apa-apa. Selama ini tidak pernah Najwan gunakan nada atau ekspresi wajah seperti itu untuk berbicara dengannya. Auni jadi canggung.

“ Ma… maaf abang.. Nini panik sangat tadi, lupa nak panggil abang…”

Terasa berat sahaja butir-butir katanya ingin keluar daripada mulutnya. Lambat-lambat Auni duduk di atas katil. Tuala dicelup ke dalam besen yang berisi air suam. Dia langsung tidak memandang wajah suaminya. Tidak berani untuk melihat riak amarah pada wajah itu.

“ Panik sampai tak boleh fikir nak panggil abang? Macam mana kalau ada benda buruk jadi pada E-jat?”

Najwan tetap dengan nada tegangnya. Terasa lemah tangan Auni untuk meneruskan kerjanya mengelap tubuh E-jat. E-jat hanya mendiamkan diri. Kelihatannya dia sendiri takut dengan ekspresi wajah papanya.

“ Abang, Nini minta maaf? Nini tak ada niat…”

Keluhan terhembus daripada bibir Najwan. Dia mengambil tuala basah yang masih dipegang oleh Auni. Auni tercengang. Takut-takut dia mengangkat wajah untuk melihat ke arah suaminya.

“ Nini pergilah rehat. Biar abang uruskan E-jat,” ujar Najwan. Suaranya mengendur sedikit.

“ Tapi…”

“ Buat aje apa yang abang minta.”

Lambat-lambat Auni mengangguk. Tanpa menoleh lagi dia terus keluar dari bilik itu. Dia risau sekiranya air mata dia akan gugur kelak. Tidak pernah Najwan bercakap sebegitu dengan dirinya. Besar sangat ke kesalahan yang dia lakukan? Dia hanya terlupa memanggil suaminya sahaja saat E-jat muntah tadi.

Najwan merenung sahaja pemergian isterinya. Dia mengeluh lagi. Kepalanya digeleng berulang kali.

Apa yang aku buat ni?

Najwan mengeluh berat. Tentu Auni terasa hati dengannya. Apatah lagi dia meninggikan suara tidak seperti kebiasaan.

“ Papa?”

Sebelah tangan E-jat memegang lengannya. Najwan beralih pandang pada wajah polos itu. E-jat kelihatan muram.

“ Papa janganlah marah mama. Kesian mama. Mama tolong E-jat tadi,” ucap E-jat perlahan. Dia tidak suka dengan apa yang terjadi di hadapannya tadi. Wajah mama nampak murung selepas papa berkata sebegitu dengan mama.

Terpaksa juga Najwan mengukir senyum. Lambat-lambat dia mengangguk.

“ Ya sayang. Lepas ni papa pergi minta maaf okey?”

E-jat tarik senyum. Pantas dia mengangguk.

“ Okey!”

Usai menukar baju tidur E-jat dan menggantikan selimut yang berbekas dengan muntah tadi, Najwan terus keluar untuk mencari isterinya. Najwan risau sekiranya Auni betul-betul berkecil hati dengannya. Inilah kali pertama dia melihat wajah muram isterinya sehingga demikian. Dan inilah kali pertama dia memarahi isterinya.

Najwan menarik nafas lega apabila melihat Auni sedang duduk di ruang tamu. Kedua-dua tangannya memeluk kakinya yang dirapatkan manakala kepalanya berselindung di sebalik lengannya. Berhati-hati Najwan merapati isterinya. Dia duduk di hadapan isterinya.

“ Nini…” Najwan bersuara lembut dengan harapan Auni sudi untuk melihat wajahnya. Namun hampa. Auni tidak mempedulikan panggilannya.

“ Abang minta maaf. Janganlah murung macam ni,” pujuk Najwan lagi.

Auni masih lagi dengan postur tubuhnya yang sebegitu. Bukannya dia tidak dengar betapa lembutnya suara Najwan memujuk dirinya. Tetapi dia masih berkecil hati dengan Najwan. Dia terkilan kerana hanya kesilapan kecil, Najwan berubah perwatakan menjadi seseorang yang langsung Auni tidak pernah lihat sepanjang perkahwinannya dengan Najwan.

“ Nini…”

Najwan mati akal. Tidak pernah Auni merajuk sebegini. Nak pandang muka dia pun tak sudi.

“ Nini, tolong? Abang minta maaf, ya? Abang cuma… risau sangat dengan E-jat tadi. Abang terkejut bila abang masuk bilik tadi, tengok E-jat…”

Kata-kata Najwan mati di situ. Dia tergamam kerana tidak semena-mena Auni menerpa ke arahnya lalu merangkul lehernya. Najwan mengeluh. Dia membalas pelukan isterinya. Menggigil tubuh kecil molek itu di dalam pelukannya.

“ Abang minta maaf Nini… abang tahu abang tak patut marah macam tu. Bukan salah Nini…” resah Najwan berbicara. Kepala Auni diusap perlahan. Dia membiarkan sahaja isterinya dengan tangisan. Biarlah kalau itu dapat menenangkan hati Auni.

“ Abang minta maaf…”

Najwan tidak putus-putus meminta maaf. Hanya kerana perkara kecil yang dibesar-besarkan, Auni berkecil hati dengannya. Najwan mengaku itu salahnya. Dia sepatutnya lebih tenang tadi. Bukannya bercakap kasar dengan isterinya.

“ Nini…”

Auni menarik tangan suaminya yang masih melekap pada pinggangnya. Takut-takut dia mengangkat wajah untuk berhadapan dengan Najwan. Dia masih takut sekiranya Najwan akan terus menunjukkan ekspresi wajah marah seperti tadi.

“ Nini, abang…”

“ Tak… Nini faham.. Nini tahu abang risaukan E-jat tadi…” Auni memotong apa yang ingin dikatakan oleh Najwan. Najwan mengeluh. Dia menggeleng.

“ Tak.. memang salah abang…”

Pantas Auni menggeleng. Sebuah senyuman dikuntum indah buat si suami walaupun bekas air mata masih kelihatan pada wajahnya.

“ Tak apa. Abang jangan risau. Bukan perkara besar pun. Kita lupakan apa yang jadi, okey?”

Auni mahu bertindak secara rasional. Dia tidak mahu disebabkan oleh hal sekecil ini, hubungannya dengan Najwan akan renggang. Auni tidak akan betah sekiranya perkara seperti itu terjadi. Apatah lagi dia cukup manja dengan suaminya selama ini.

Lambat-lambat Najwan mengangguk.

“ Okay, kita lupakan apa yang jadi. Tapi abang betul-betul minta maaf, Nini. Abang tak sangka abang boleh jadi macam tu,” kata Najwan yang masih diburu dengan rasa bersalah. Auni tersenyum sahaja.

“ Tak apa abang. Kita lupakan, ya?”

Najwan tersenyum. Dia mengangguk sahaja.

“ Jom naik. Kasihan E-jat kena tinggal lama-lama,” ucap Auni. dia menarik tangan Najwan untuk mengikuti langkahnya naik ke tingkat atas. Najwan menarik senyum. Syukurlah Auni mampu berfikir secara matang. Namun dia tetap rasa bersalah dengan apa yang terjadi tadi.

Jangan kerana perkara kecil, hubungan mereka boleh renggang. Najwan amat berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi. Namun apabila memikirkan panggilan telefon daripada Safwan yang diterimanya tidak lama dahulu, hatinya mula tidak tenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience