Chapter 16

Romance Completed 17236

BAB 16

AUNI resah menanti kehadiran Wafiy di sebuah kafe yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya. Najwan yang sedang duduk di sebelahnya hanya mampu tersenyum tenang. Sesekali wajah cuak Auni mencuit hatinya. Rasa kelakar pun ada apabila melihat tunangnya yang tidak habis-habis kelihatan tidak senang duduk.

“ Nini, jangan takut. Dia ajak jumpa elok-elok aje kan? Takkanlah dia nak buat masalah lagi,” Najwan memujuk lembut.

Auni mengangguk perlahan, mengakui kebenaran kata-kata Najwan. Tetapi dia cukup risau. Risau akan apa yang ingin Wafiy katakan selepas ini kepadanya.

Sebaik sahaja mendapat mesej daripada Wafiy semalam, dia terus menelefon Najwan untuk meminta pendapat lelaki itu. Sebagai tunangan Najwan, Auni perlu semakin menjaga pergaulannya. Tidak lama lagi Najwan Faqqimi juga yang akan memegang pangkat sebagai suaminya.

“ Terima kasih, awak. Sudi temankan saya,” ucap Auni terharu. Najwan tersenyum simpul.

“ Hal kecil aje. Takkanlah saya nak biarkan awak seorang diri jumpa dia,” balas Najwan lembut.

Najwan agak cemburu sebenarnya apabila Auni memberitahu mengenai mesej Wafiy yang ingin berjumpa dengan Auni. Lelaki manalah yang tidak cemburu kalau tunangnya ingin bertemu dengan lelaki lain yang pernah menyimpan perasaan terhadap tunangnya? Namun Najwan merasionalkan pemikirannya. Lantas dia bersetuju agar Auni bertemu dengan Wafiy tetapi dia akan turut serta bagi menemani tunangnya itu.

Pintu masuk kafe dibuka dari luar. Wafiy melangkah masuk ke dalam. Matanya melilau mencari Auni. Langkahnya perlahan mendapatkan Auni yang sedang duduk di sebuah meja bersebelahan dengan dinding kaca kafe tersebut.

“ Assalamualaikum,” ucap Wafiy. Tangannya dihulurkan kepada Najwan yang menyambutnya dengan tenang. Kepada Auni diberikan satu anggukan hormat. Auni tersenyum kelat. Najwan mempelawa Wafiy duduk bertentangan dengan mereka.

“ Tahniah atas pertunangan,” kata Wafiy. Namun nadanya kedengaran hambar. Auni hanya mendiamkan diri lantas mengangguk sahaja. Najwan menyambut ucapan itu dengan ucapan terima kasih.

“ Saya nak minta maaf, Auni. Saya banyak menyusahkah awak selama ni.” Mata Wafiy jatuh pada wajah muram Auni. Auni cuba mengukir senyum.

“ Tak apa.”

“ Saya ingatkan lepas Lili pergi, saya dah jatuh cinta pada awak. Saya baru sedar, setiap kali saya tengok awak, saya nampak Lili. Apa yang dia buat selama ni, saya nampak dia,” sayu Wafiy berkata.

Terasa panas matanya saat ini. Auni cuba menahan kesedihan yang kian melanda diri. Dia mengeluarkan sesuatu daripada tas tangannya. Sepucuk sampul surat diserahkan kepada Wafiy. Berkerut wajah Wafiy menerima surat itu.

“ Ini…”

“ Daripada Kak Lili, dia e-mel saya beberapa hari sebelum dia pergi. Dah lama saya nak serahkan pada awak. Tapi bila saya tengok awak dah berubah sejak kematian Kak Lili, saya tak sampai hati. Saya tak nak hati awak sakit lagi. Nampaknya, hari ni barulah saya boleh serahkan surat ni pada awak,” potong Auni. Bergenang air matanya saat merenung sampul surat yang kini berada dalam genggaman Wafiy.

“ Auni, saya…”

“ Kak Lili sayangkan awak. Dia bawa cintanya pada awak sehingga dia pergi tak akan kembali lagi. Ini masanya untuk awak teruskan hidup awak. Susah, tapi awak perlu. Saya tak rasa yang Kak Lili akan gembira kalau tengok awak jadi macam ni.”

Sekali lagi Auni memotong apa yang ingin dibicarakan oleh Wafiy. Wafiy terkedu. Surat itu ditatap lama.

“ Awak cuma tak dapat terima kehilangan dia. Awak nampak saya mungkin sebab saya rapat dengan Kak Lili. Tapi itu tak bermakna saya sama dengan Kak Lili. Takkan ada yang dapat menggantikan arwah dalam hati awak, Wafiy.” Ayat yang dituturkan oleh Auni semakin berbaur esakan. Kuatkanlah hatiku Ya Allah.

Wafiy tertunduk. Terasa hatinya seakan-akan sudah hilang daripada tempat yang sepatutnya. Perlahan-lahan dia bangun daripada kerusinya. Lama matanya merenung Auni. Matanya kelihatan merah.

“ Saya perlu pergi sekarang. Apa yang saya nak katakan, saya tak akan ganggu awak lagi Auni. Saya baru sedar yang saya masih cintakan dia. Terima kasih sebab sentiasa ada untuk Lili. Lili selalu puji awak. Bila dia pergi, saya fikir cinta saya untuk dia turut pergi tapi saya silap. Saya cuma keliru. Saya tak dapat terima kehilangan dia,” kata Wafiy sayu.

Auni senyap. Tidak mampu untuk berkata apa-apa. Sakitnya hati tatkala kehilangan insan yang sudah bertapak kukuh dalam hati kita.

“ Encik,” Wafiy beralih kepada Najwan. “ Jaga bakal isteri encik baik-baik. Encik bertuah sebab dia pilih encik. Dia boleh jadi seorang isteri dan isteri yang baik. Saya tak ragu-ragu pasal tu,” ucap Wafiy. Dia bertentangan mata dengan Najwan. Najwan tersenyum.

“ Saya pun, tak pernah ragu-ragu,” balas Najwan berhemah.

Salam perpisahan disambut baik oleh Najwan. Auni hanya mampu merenung Wafiy yang sudah berlalu pergi dari kafe itu. Mungkin lelaki itu sudah tidak mampu untuk mengatakan apa-apa. Harap-harap apa yang ingin disampaikan oleh Auni melalui e-mel arwah Kak Lili itu akan dapat diterima dengan baik oleh Wafiy.

“ Nini?”

Najwan merenung pada wajah si tunang yang masih lagi sembap dengan air mata. Dia tersenyum nipis. Sehelai tisu dihulurkan kepada Auni.

“ Kalaulah ikatan kita ni dah sah dan halal, dah lama saya peluk awak tahu sebab nak pujuk awak. Tapi tak boleh lagilah sekarang. Atau awak nak saya ajak jumpa tok kadi sekarang juga?”

Tawa Auni terhambur juga. Sempat lagi Najwan buat lawak yang tidak berasas seperti itu. Tisu di tangan Najwan bertukar tangan.

“ Terima kasih.”

“ Sebab beri tisu atau?”

Auni tersenyum. Ada-ada aje soalannya.

“ Untuk tisu ni dan temankan saya jumpa dia tadi.”

Najwan mengangguk. Senyuman buat si tunang tidak lekang langsung daripada wajahnya.

“ Tak lama lagi, awak akan jadi isteri saya dan saya akan jadi suami awak. Walau apa masalah pun yang menimpa, jangan sesekali membelakangi saya sebagai suami awak. Apa guna saya jadi suami awak kalau saya tak boleh nak tolong selesaikannya bersama-sama?” Najwan menitip pesan namun wajah Auni kelihatan tidak berpuas hati.

“ Mana boleh macam tu,” balas Auni geram. Najwan hairan.

“ Memanglah. Isteri kan kena dengar apa yang suami dia cakapkan selagi saya tak suruh awak langgar syariat?” Najwan membalas kehairanan. Takkanlah Auni langsung tidak tahu mengenai tanggungjawab seorang isteri menurut Islam. Kursus perkahwinan pun sudah mereka hadiri.

Pantas Auni menggeleng. Najwan sudah salah faham akan maksudnya.

“ Bukan, bukan tu maksud saya. Maksud saya, mana adil kalau saya seorang aje yang kena kongsi masalah dengan awak. Awak pun kenalah kongsi dengan saya kalau awak ada masalah juga. Janganlah simpan seorang diri,” jawab Auni.

Najwan merenung lama pada wajah Auni. Redup pandangannya jatuh pada wajah gadis yang sudah mendapat tempat dalam hatinya itu. Dia tersenyum, ikhlas buat tunang tersayang.

“ Kalau ianya hanyalah masalah kecil, ya, saya akan kongsi dengan awak. Tapi kalau ianya adalah masalah besar, saya tak akan kongsi dengan awak. Saya tak nak awak terbeban sama. Saya tak nak awak bersedih sebab saya atau masalah saya.”

Auni terdiam. Kata-kata Najwan menusuk jauh ke dalam hatinya. Auni sudah tidak mampu untuk mengatakan sesuatu untuk membantah kata-kata Najwan. Dia agak malu apabila Najwan mengatakan sedemikian rupa.

Di ni… pandai aje nak cairkan hati aku.

Najwan tersenyum lagi saat melihat Auni masih lagi kelihatan tidak berpuas hati dengannya. Ada rona merah yang terbit pada pipi mulus gadis itu.

IBU sedang mengira jumlah cenderahati yang akan diberi kepada tetamu yang akan datang di majlis persandingan Nawal-Syah dan Najwan-Auni bersama-sama Mak Cik Lia di ruang tamu. Walau masih ramai yang pakar dalam khidmat ini yang boleh menguruskan soal itu, ibu tetap mahu menggunakan khidmat Mak Cik Lia dalam perkara ini.

Mak Cik Lia merupakan jiran sebelah rumah mereka yang memang pakar dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kraf tangan. Sering kali juga wanita itu menerima tempahan sempena majlis seperti ini. Anak bongsu Mak Cik Lia, Nadira turut berada di situ. Sambil menolong, dia berbual-bual dengan Nawal. Nadira dan Nawal agak rapat kerana faktor umur yang sama.

Najwan dan E-jat sama-sama masuk ke ruang tamu. E-jat diturunkan di atas sofa. Najwan duduk di sebelah ibu. Dia tersengih melihat jumlah tanda mata yang sedang dikira oleh ibu itu. Memang banyak.

Najwan menggelengkan kepala. Banyak sangat. Dia memerhati ke sekeliling. Matanya singgah sebentar pada Nadira yang sedang berbual-bual dengan Nawal. Nama Nadira disapa perlahan.

“ Angah mana, Nad? Along tak nampak pun, kata nak datang,” tanya Najwan. Nadira mengalih pandangan daripada Nawal. Dia menjongket bahu.

“ Entah. Keluar jumpa kawan-kawan dia kot,” balas Nadira. Dia kembali meneruskan perbualannya dengan Nawal. Najwan mengeluh. Dia membawa E-jat keluar ke halaman rumah.

“ Manalah si Ashraf ni? Kata nak jumpa aku,” rungut Najwan. Dia menggosok-gosok belakang lehernya. E-jat pula sedang leka bermain bola. Sesekali anak kecil itu akan bersorak keriangan apabila bola itu berjaya memasuki gol kecil yang dibina oleh Najwan di hujung taman.

Baru sahaja Najwan mahu duduk di bangku taman, seorang lelaki masuk ke dalam kawasan rumahnya. Najwan tarik sengih apabila menyedari siapakah lelaki itu. Dia melambai-lambai, menarik lelaki itu berjalan ke arahnya.

“ Kau ni, tahu-tahu aje aku baru nak mengata kau sebab tak datang-datang. Muncul terus kat sini,” kata Najwan berseloroh. Ashraf ketawa.

“ Maaflah, aku ada hal tadi,” balas Ashraf. Dia melabuhkan duduk di sebelah Najwan dan turut sama memerhatikan E-jat yang sedang bermain bola.

“ Kau ni pun satu, baru aje jejak Tanah Melayu ni dah sibuk? Kau tu bukannya kerja lagi,” bebel Najwan. Ashraf sengih lagi.

Ahmad Ashraf Hakim bin Ahmad Fauzi, anak jiran sebelah rumahnya yang mula dikenali selepas mengikut baba dan ibu berpindah di sini. Mereka berkenalan sekejap dan sama-sama melanjutkan pelajaran ke Jepun walau Ashraf lewat sedikit daripada Najwan.

Tetapi, Ashraf baru sahaja kembali dua tahun lepas memandangkan dia mencari pengalaman bekerja di syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Jerman selama hampir tiga tahun. Kata Ashraf, dia mahu berdikari daripada terus mendapatkan peluang pekerjaan di syarikat bapanya. Dia tidak mahu mendapatkan sebarang layanan istimewa daripada bapanya. Ashraf mahu bermula daripada bawah seperti mana jurutera-jurutera yang lain.

“ Ibu kau tak bising ke dengan kau?” tanya Najwan tiba-tiba. Ashraf pandang pelik pada Najwan di sebelah. Tidak memahami maksud kata-kata sahabatnya itu.

“ Bising pasal apa?”

Najwan gelak perlahan. “ Pasal kahwinlah. Kita dah sama-sama 30, ibu aku bising betul sebab aku tak kahwin-kahwin sampai sekarang, nasib baiklah aku dah nak kahwin. Takkanlah mak cik tak bising langsung dengan kau?”

Kata-kata Najwan disambut dengan hilaian tawa Ashraf. Najwan turut ketawa, seakan-akan memahami maksud di sebalik tawa Ashraf.

“ Mahunya tak bising? Sejak aku balik ni, asyik tadah telinga aje dengar mama aku membebel. Si Nad tu tak apalah, dia dengan Kashah dah okey. Bertunang pun dah, tunggu masa aje nak kahwin. Nad pun sama kepala aje dengan mama aku, paksa aku kahwin cepat-cepat sebab dia kata tak nak langkah bendul kalau dia kahwin dulu,” cerita Ashraf.

“ Kau ni memang tak ada calon ke?” tanya Najwan dengan tawa yang masih bersisa. Pantas Ashraf menggeleng.

“ Dulu, aku pernahlah minat seorang perempuan masa kat kampus. Tapi, lepas tengok perangai sebenar dia, terus tak jadi,” cerita Ashraf lagi. Najwan tersengih. Pasti gadis itu sudah menakutkan Ashraf sehingga dia tidak lagi meminati gadis itu.

“ Kau nak cari jenis yang macam mana?”

“ Aku fikir, aku nak cari gadis jenis yang hormat ibu bapalah, sejuk mata mama aku memandang. Susah ke nak cari gadis macam tu? Kau macam mana, Qimi?” tanya Ashraf. Najwan menggeleng.

“ Senang aje aku jumpa,” balas Najwan yang serta merta teringatkan Auni. Ashraf merengus perlahan. Dia duduk memandang ke langit.

“ Bilalah bidadari kayangan aku nak muncul ni?” keluh Ashraf. Najwan gelak lagi. Dia menjongket bahu. Perlahan dia menepuk bahu Ashraf.

“ Aku doakan kebahagiaan kau. Insya-Allah kau akan jumpa juga teman sejiwa kau tu,” kata Najwan ikhlas. Ashraf mengangguk sahaja. Matanya terus merenung ke langit. Dia tidak tahu wajah gadis mana yang ingin dibayangkan saat ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience