BAB 11
AUNI diam sahaja melihat bosnya membelek fail projek yang sedang dikendalikan olehnya. Tekun Adam menghadap fail hitam itu. Sesekali Auni akan mencuri pandang ke luar. Cuaca baik hari ini malah moodnya juga baik. Apatah lagi baru sahaja sebentar tadi Adam memuji hasil kerjanya.
“ Okey, kita boleh teruskan,” tanya Adam. Fail ditutup lantas diserahkan kepada Auni kembali. Auni tersenyum.
“ Terima kasih, Encik Adam. Harap-harap projek kali ni akan menjadi juga,” balas Auni. Adam tersenyum. Pekerjanya yang seorang ini memang sentiasa ceria. Dia senang mempunyai seorang pekerja seperti Auni.
“ Insya-Allah. Bagaimana pula dengan reka hias dalaman? Awak dah lama tak buat, kan?”
Auni mengangguk. “ Mungkin saya akan mulakan balik lepas projek ni siap. Saya…”
Perbualan mereka terganggu dengan bunyi interkom. Pantas Adam menekan butang pada interkom di atas meja kerjanya itu. Kedengaran suara Cassy yang merupakan setiausaha kepada Adam.
“ Encik Adam, tetamu encik dah sampai,” kata Cassy sebelum kedengaran gelak kecilnya. Adam mengangguk.
“ Baiklah. Suruh dia masuk,” balas Encik Adam.
“ Okay.”
Kedengaran pintu dibuka di belakang Auni. Serta merta Auni rasa tidak sedap hati. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang sebelum bulat matanya merenung susuk tinggi di belakangnya. Dia? Alamak! Mati aku kalau Encik Adam tahu pasal kami!
“ Assalamualaikum, Adam,” sapa Najwan ceria. Matanya sempat melirik pada wajah Auni yang berubah terkejut melihat kemunculannya di pejabat Adam. Adam galak ketawa.
“ Kau ni, janji nak datang pukul 11? Sekarang dah nak masuk waktu makan tengah hari dah,” kata Adam. Najwan tersengih.
“ Aku ada mesyuarat mengejut pagi tadi. Baba aku punya pasallah ni. Bukannya nak beritahu aku awal-awal,” kata Najwan. Adam ketawa lagi. Kepalanya digeleng perlahan.
“ Tak kisahlah, boleh kita makan sekali. Dah lama aku tak makan sekali dengan kau. Kau asyik sibuk aje,” balas Adam. Najwan mengangguk. Dia berdiri di sisi Auni yang masih kaku di atas kerusi. Sebelah tangannya ditongkatkan pada sandaran kerusi itu.
“ Kau kenal dah kan? Auni, salah seorang arkitek terbaik kami?” tanya Adam. Najwan mengangguk lagi. Dia toleh pada wajah Auni yang hanya senyum-hendak-senyum sahaja.
“ Lebih daripada kenal,” kata Najwan dengan nada mengusik. Kening Adam bertaut. Dia merenung pada wajah sahabatnya itu. Sesekali matanya jatuh pada muka Auni yang kelihatan gelabah semacam.
“ Maksud kau?” tanya Adam hairan. Najwan gelak perlahan. Matanya masih pada Auni. Auni ketap bibir. Seperti dapat menjangka apa yang akan keluar daripada mulut lelaki itu.
“ Kau tak tahu ke? Dia bakal jadi isteri aku,” kata Najwan pantas. Muka Adam berubah riak. Duduk Auni makin tidak selesa.
“ Serius? Betul ke, Auni?” tanya Adam tidak percaya. Auni ketap bibir. Perlahan-lahan dia mengangguk. Najwan di sisinya ukir senyum.
“ Wah! Tak sangka kawan aku yang seorang ni akan kahwin tak lama lagi. Aku sangka yang kau akan jadi bujang lapuk, rupanya tak. Dengan staf aku sendiri pula tu. Macam mana boleh kenal? Takkanlah tersangkut sebab aku hantar dia jumpa kau hari tu kot?” kata Adam sambil menggelengkan kepalanya. Najwan gelak.
“ Dah jodoh, aku pun tak nak heboh-heboh,” kata Najwan ceria. Auni di sebelahnya terkedu. Hairan melihat keceriaan di wajah itu. Mahu sahaja Auni senyum sendirian mendengarkan tawa Najwan yang menggambarkan kegembiraan hatinya itu.
“ Auni?”
Auni tersentak. Dia memandang pada Adam yang memanggilnya.
“ Ya?”
“ Saya dan Qimi nak keluar makan, awak nak ikut sekali? Isteri saya pun ada, boleh awak jadi teman Qimi,” pelawa Adam. Auni terdiam. Qimi? Dia ni ke?
Terasa lengannya dicuit dengan fail. Pantas dia mendongak. Lama mata Najwan merenungnya dan Auni seakan faham maksud di sebalik renungan itu.
“ Ba… baik,” kata Auni perlahan. Senyuman Najwan terukir lagi. Adam bangun daripada kerusinya, begitu juga dengan Auni. Telefon bimbit dan kot dicapai.
“ Qina tengah tunggu aku kat bawah. Jumpa kat Italia ya, aku dah tempah meja kat sana,” kata Adam lantas keluar dari pejabatnya meninggalkan Najwan dan Auni.
“ Boleh kita pergi?” tanya Najwan tiba-tiba. Auni hanya mengangguk. Langkah lelaki itu diekori sahaja. Dia langsung tidak tahu apa yang patut dikatakan. Pintu bilik Adam ditutup.
Auni buat tidak peduli sahaja akan renungan rakan-rakan sepejabatnya yang masih tidak turun makan tengah hari. Tahu sahaja mereka ingin mengusik. Mereka berdua sudah menghampiri kawasan lif sebelum langkah Najwan yang berhenti secara tiba-tiba memaksa Auni untuk turut sama menghentikan langkah.
“ Kenapa?” tanya Auni perlahan. Mata Najwan singgah pada wajah Auni.
“ Kenapa?” tanya Auni sekali lagi. Najwan senyum nipis.
“ Boleh saya minta sesuatu?” tanya Najwan perlahan. Dahi Auni berkerut.
“ Minta apa?” tanya Auni yang kian kehairanan. Najwan senyum lagi.
“ Boleh saya minta awak betul-betul terima saya sebagai bakal suami awak?” tanya Najwan lagi. Auni terkedu, terkejut dengan permintaan itu. Tidak menyangka bahawa Najwan akan mengemukakan permintaan sedemikian.
Walaupun mereka tetap akan berkahwin tidak lama lagi, namun Najwan tetap mahukan kepastian daripada gadis itu. Dia tidak mahu ikatan perkahwinan mereka hanya terjalin semata-mata di atas kertas sahaja. Dia mahu gadis itu menerimanya dengan hati yang ikhlas seperti mana dia menerima gadis itu sebagai bakal isterinya.
“ Awak tak akan putus asa ke?” tanya Auni dengan tawa. Najwan terpaku sejenak di situ.
“ Ya. Saya nak awak jadi isteri saya sebab saya yakin, Dia dah tentukan jodoh kita di Loh Mahfuz. Saya juga yakin yang awak boleh jadi seorang isteri yang solehah untuk seorang suami. Saya mahu diri saya yang menjadi lelaki yang bertuah itu, memiliki seorang isteri yang solehah. Jadi, saya mahu hati awak terima saya sebab saya tak nak perkahwinan kita nanti tak memberi sebarang makna kepada awak,” balas Najwan agak tegas. Berlainan daripada kebiasaannya yang suka mengusik Auni.
Sepi mula bersama-sama mereka. Auni mahu pun Najwan sama-sama tidak mengeluarkan bicara selepas Najwan selesai berkata-kata tadi. Najwan mula rasa tidak sedap hati. Dia bimbang sekiranya Auni menolak permintaannya walapun dia sedar yang dia perlu menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
“ Auni?”
Auni mengukir senyum. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia sudah fikir masak-masak, dan dia sudah tahu apa jalan yang dia akan pilih. Sejak pertemuan mereka pada Aidilfitri lalu, hati Auni sudah terbuka untuk Najwan. Auni merenung lama wajah Najwan. Dia ketawa kecil.
“ Awak akan jadi suami saya, sudah tentu saya akan terima awak. Saya tak nak jadi isteri yang nusyuz, tahu?” kata Auni dengan tompok merah di pipi. Najwan agak terperanjat mendengarkan kata-kata Auni itu namun lama-lama dia mengukir senyum juga. Gembira dengan kata-kata Auni.
“ Terima kasih,” ucap Najwan perlahan.
Auni senyum lagi. Mungkin ini yang terbaik. Tambah-tambah lagi ummi dan walid memang berkenan sangat nak jadikan Najwan sebagai menantu bongsu mereka. Tak payah susah-susah nak dapatkan restu sebab sejak awal-awal lagi ummi dan walid beri restu kepada mereka berdua. Auni percaya bahawa restu ibu bapa mampu membarakahkan lagi perkahwinan mereka berdua.
“ Tadah tangan awak,” pinta Najwan tiba-tiba. Dia baru sahaja mengambil sesuatu daripada dompetnya. Auni kerutkan dahi sekali lagi tetapi dia menurut sahaja. Telapak tangan kanannya ditadahkan di hadapan Najwan. Sesuatu jatuh betul-betul pada telapak tangannya.
“ Ini kan…”
Auni renung pada benda berwarna merah yang Najwan jatuhkan ke telapak tangannya itu. Najwan gelak perlahan.
“ Saya tak pandai origami macam awak. Saya cuma pandai buat ni aje. Saya akan hadiahkan klip kertas bentuk hati ni setiap kali saya jumpa awak dan saya akan hadiahkan klip kertas macam ni setiap hari lepas kita kahwin,” kata Najwan. Kali ini tawa Auni pula yang kedengaran.
“ Saya akan ingat janji awak tu,” balas Auni. Najwan mengangguk.
Auni renung pada klip kertas berbentuk hati itu. Hatinya berbunga serta merta. Dia tarik senyum nipis.
“ Tunggu sekejap,” kata Auni pantas sebelum dia melangkah ke meja kerjanya. Tanpa mengendahkan kata-kata Auni, Najwan terus mengekori langkah gadis itu. Kelihatannya Auni sedang membuka penutup balang kaca yang sudah berhias cantik.
Najwan menarik senyum apabila menyedari balang kaca itu merupakan balang kaca pemberian dia di pertengahan bulan Ramadan lalu. Klip kertas itu dimasukkan ke dalam balang itu. Auni senyum puas hati.
“ Saya akan pastikan balang ni penuh dengan klip kertas yang awak bagi,” kata Auni. Najwan mengangguk.
“ Awak boleh percayakan saya, Nini,” kata Najwan dengan senyuman di bibir. Senyum Auni mati serta merta.
Dia panggil aku apa? Nini?
Najwan senyum sahaja walaupun muka Auni sudah berkerut-kerut.
Share this novel