BAB 49
NAJWAN menjenguk ke dalam bilik. Perlahan-lahan dia menjejakkan kaki ke dalam. Dari luar bilik lagi matanya hanya tertumpu pada seseorang. Seseorang yang berjaya mengunci hatinya agar belajar erti setia. Najwan menghela nafas. Teragak-agak dia menghulurkan tangannya, mahu menyentuh bahu Auni yang sedang berselimut menutupi keseluruhan tubuhnya.
“ Jangan!”
Najwan tersentak. Pantas dia menarik kembali tangannya. Wajahnya berubah kelat. Dia mengetap bibir.
“ Tolong… jangan.” Suara Auni berubah perlahan. “ Nini… Nini akan lukakan abang… tolong… jangan,” Auni bersuara parau. Dia menyelak sedikit selimut yang menutupi mukanya. Matanya menghala ke arah Najwan yang kelihatan resah.
“ Maaf… Nini cuma… Nini tak nak lukakan hati abang… dengan kata-kata Nini,” ucap Auni lagi.
Air matanya menitis buat kesekian kalinya. Bibirnya diketap sekuat hati. Auni tersedu sedan. Buat masa ini, akal dan kata hatinya tidak seiringan. Auni tidak mahu hati suaminya terluka dengan kata-kata tidak manis yang bakal keluar daripada mulutnya sekiranya dia tidak mampu mengawal dirinya.
Najwan menghela nafas berat. Dia melabuhkan punggung di sisi katil. Matanya tidak lepas daripada bertaut dengan anak mata isterinya. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangannya, menggengam jari jemari Auni. Auni tergamam.
“ Tak apa. Kalau itu akan buatkan Nini tenang, abang tak kisah,” balas Najwan dengan senyuman pada wajahnya. Auni terkesima. Tangisannya cuba ditahan daripada mengalir lagi. Najwan hanya mampu tersenyum hambar. Kejap pegangannya pada jemari Auni.
“ Abang tahu yang Nini masih terkejut, kan?” perlahan Najwan menyoal. Dia menunduk lalu mengucup kepala isterinya penuh kasih sayang. Auni hanya mampu memejamkan mata. Dia masih dihantui dengan peristiwa pagi tadi.
“ Awak dah tak cam saya ke, Wan? Tak cam Qausar? Budak ini kan anak kita,”
Sudah berulang kali suara Sarah terngiang-ngiang di telinganya. Walau sudah dicuba berkali-kali agar dia dapat menyingkirkan suara itu daripada mindanya, tetapi Auni masih lagi gagal. Kenyataan yang menyakitkan hatinya.
“ Nini rehatlah, ya? Nini sakit ni,” pujuk Najwan perlahan. Dia cukup risau apabila menyedari betapa pucatnya wajah Auni buat masa ini.
“ Betul ke… Qausar anak abang?”
Perlahan sahaja nada Auni tatkala menuturkan pertanyaan itu tetapi itu sudah cukup untuk menghentikan nafas Najwan. Tanpa disedari, dia melepaskan pegangan tangannya pada tangan Auni. Kata-kata Auni agak melukakan hatinya.
“ Nini tak percayakan abang?”
Pertanyaan Auni itu seakan-akan mampu membuatkan jantungnya berhenti berdegup. Kelihatannya, Auni lebih percayakan kata-kata Sarah berbanding dirinya. Dan perkara itu telah membuatkan hatinya terluka. Dia tidak kisah jika Auni mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengari, tapi jika kepercayaan itu retak, Najwan tidak pasti dia akan dapat mengawal kekecewaannya. Najwan cuba memahami keadaan isterinya yang masih terkejut dengan peristiwa tadi.
Auni menggeleng perlahan. Bukan itu maksudnya cuma dia perlukan kepastian. Jika tidak, kenapa Sarah akan mengatakan hal yang sedemikian? Jika tidak, kenapa Sarah tahu banyak perkara mengenai Najwan? Jika tidak, kenapa Sarah langsung tidak gugup tatkala bercakap dengan Najwan tadi?
“ Nini tak percayakan abang?” Sekali lagi Najwan menyoal. Matanya tepat menikam pada mata Auni. Auni menelan liur. Lirih suara Najwan terasa mencengkam hatinya.
“ Nini bukan… maksud Nini… kata-kata Kak Sarah … seolah-olah benar… tapi… Nini tak tahu. Nini betul-betul tak tahu. Nini nak percayakan abang tapi… hati Nini kata yang sebaliknya. Nini…” Auni terdiam di situ. Dia tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya.
Auni tidak tahu lagi bagaimana untuk dia menerangkan apa yang dia rasakan kepada Najwan. Dia kembali menutup mukanya dengan selimut. Dia tidak sanggup melihat wajah Najwan yang kelihatan amat kecewa dengan dirinya.
Najwan memejamkan matanya buat seketika. Kenapa semua ini berlaku kepada dirinya? Kenapa wanita itu harus muncul semula? Apa hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini, Ya Allah? Sesungguhnya aku bingung.
Lembut Najwan mengusap kepala Auni yang terlindung oleh selimut. Sentuhan lembut itu membuatkan Auni terharu tetapi fikirannya sedang kusut saat ini. Dia tidak tahu apakah kata-kata yang sesuai diungkapkan pada tika ini.
“ Emosi Nini tak stabil. Lebih baik Nini rehat dulu. Lepas ni kita sambung balik perbincangan kita. Jangan fikirkan apa-apa lagi, rehat ya? Abang tak akan ganggu Nini,” kata Najwan seraya bangun daripada katil. Dia berdiri tetapi dia masih belum boleh melepaskan pandangannya pada Auni. Najwan tunduk ke lantai. Dia menggengam erat kedua-dua belah tangannya.
Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara ini. Emosi Auni masih lagi belum stabil, tambahan pula isterinya itu tidak berapa sihat. Najwan tidak mahu ada hati yang terluka sekiranya mereka terus berbincang hal ini. Biarlah Auni berehat dahulu. Apa yang lebih dia bimbangkan ialah hati Auni. Najwan tidak kisah sekiranya dia yang terluka seandainya itu dapat mengubat kesedihan isterinya.
Najwan melangkah ke luar bilik. Perlahan-lahan dia menutup pintu agar tiada sebarang bunyi yang terhasil. Biarlah Auni bersendirian buat masa sekarang sekiranya itu dapat memberi ketenangan kepadanya. Najwan bersandar membelakangi pintu. Sekali lagi dia mengeluh berat.
Kenapa Kau uji aku sedemikian rupa, Ya Allah? Adakah aku mampu mengharungi dugaan ini? Aku tahu, Kau tidak akan menurunkan sesuatu dugaan itu kepada hamba-Mu yang tidak mampu menghadapinya. Aku bermohon kepada-Mu, kuatkanlah hatiku untuk mengharungi dugaan-Mu ini.
NAJWAN menanti sahaja kedatangan Safwan di Kafe Damia. Mereka sudah berjanji untuk berjumpa di sini. Agak lama juga Najwan terpaksa menunggu di situ tetapi dia harus bertolak ansur. Mungkin Safwan ada kerja yang lebih penting daripada menemuinya. Maklumlah, Safwan merupakan antara orang penting syarikatnya.
“ Assalamualaikum, Qimi. Lama hang termenung.”
Pantas Najwan mengangkat muka. Dia tersenyum apabila melihat Safwan sudah berdiri di hadapannya. Salam Safwan disambut sebelum dia mempelawa lelaki itu duduk di hadapannya.
“ Kenapa tiba-tiba keluar loghat utara? Bukankah kau anak jati Terengganu?” tanya Najwan berseloroh. Safwan menjongket bahu. Dia ketawa perlahan.
“ Tiba-tiba aje. Sudahlah kau, daripada bercakap pasal aku baik kau fikirkan masalah kau dulu. Masalah aku kecil aje, Hanun tak beri aku kahwin lain. Masalah kau? Besar lagi daripada masalah aku.” Kali ini Safwan pula yang berseloroh. Najwan menggelengkan kepalanya.
“ Kau dengan Hanun, dua-dua jenis otak tak berapa betul stereng. Aku tak tahulah fius mana yang tercabut kat otak kau tu,” balas Najwan. Safwan ketawa sekali lagi. Kata-kata Najwan betul-betul mengena pada batang hidungnya.
“ Relakslah. Macamlah kau tak kenal aku dengan Hanun macam mana,” kata Safwan. Najwan hanya mampu menggelengkan kepalanya. Kalau makin dilayan, makin menjadi-jadi pula loyar buruk sahabatnya yang satu ini. Safwan tetap Safwan. Bab loyar buruk memang nombor satu.
“ Jadi, macam mana? Apa dah jadi kat kau sampai kau panggil aku tiba-tiba ni?”
Pertanyaan Safwan mematikan senyum di bibir Najwan. Dia mendiamkan diri buat seketika. Safwan membiarkan sahaja Najwan berkelakuan seperti itu. Dia faham, masalah yang sedang dihadapi oleh sahabatnya itu sekarang agak berat.
“ Aku terkejut tengok dia ada anak.”
Kata-kata yang keluar daripada mulut Najwan menarik minat Safwan. Dahinya mula berkerut apabila mula menganalisa kata-kata itu.
“ Anak?”
Najwan mengangguk pantas. Dia faham kenapa Safwan terkejut tetapi itulah hakikatnya. “ Cuma, aku tengok anak tu tak ada iras dengan… dia.”
“ Maksud kau, dia kahwin lain lepas…”
“ Aku tak pasti, Safwan.”
Sarah atau nama sebenarnya ialah Sarah Adrianna ialah Reena. Reena merupakan balu Ikhwan Rahaman, sahabat mereka yang meninggal disebabkan oleh kanser paru-paru. Pemergian Ikhwan memang memberi kesan kepada sahabat-sahabat di sekelilingnya, namun kesannya lebih besar kepada Reena. Reena satu-satunya perempuan yang disayangi arwah.
Selepas pengebumian arwah, wanita itu menghilangkan diri daripada terus dijejaki. Namun, apa tujuan Reena pulang ke Malaysia dan mengacaubilaukan hidupnya? Selama dia mengenali wanita itu, Reena merupakan seorang wanita yang baik. Walaupun tika itu arwah Ikhwan sedang nazak, tetapi dengan sabar Reena melayan setiap permintaan suaminya dengan baik.
“ Kau memang tak tahu kenapa dia buat kau macam ni?” Safwan menyoal kerana tidak sabar mendengar pendapat Najwan yang selanjutnya. Dia sendiri hairan kenapa kepulangan Reena pada kali ini hanya memberi musibah kepada Najwan.
Beberapa bulan sudah berlalu selepas Safwan memaklumkan mengenai ura-ura mengenai kepulangan Reena ke Malaysia. Pada ketika itu, Najwan ada urusan di Pulau Tioman. Najwan sangat terkejut apabila Safwan memberitahu Reena kelihatan berlainan daripada biasa.
Sebenarnya, Safwan pernah terserempak dengan Reena sewaktu kedua-duanya berada di KLIA. Pada mulanya Safwan ragu-ragu juga kerana sudah lama tidak bertemu dengan wanita itu, tetapi akhirnya dia mendapat kepastian juga. Namun, Reena tidak perasan akan kewujudan Safwan pada masa itu. Safwan juga tidak perasan akan kewujudan kanak-kanak lelaki yang didakwa sebagai anak Reena.
“ Aku tak tahu. Aku tak tahu kenapa dia pulang semula ke Malaysia dan tiba-tiba sahaja mula ganggu hidup aku. Selama ni memang Nini ada cerita pasal kliennya bernama Sarah,” cerita Najwan.
“ Kau tak tahu yang Sarah klien isteri kau tu Reena?”
Gelengan Najwan menjawab pertanyaan Safwan.
“ Aku betul-betul tak tahu. Nampaknya, dia memang tahu yang Nini tu isteri aku. Mula-mula tu aku rasa macam pelik juga, tapi aku tak peduli sangat pasal tu. Aku rasa, dia ada rancang sesuatu mengenai aku dan Nini. Cuma aku tak tahu apa tujuan dia buat aku macam tu,” Najwan mengeluh. Terasa bebanan yang ditanggung kian berat.
“ Jadi, bagaimana dengan hidup kau sekarang? Maksud aku, kau dengan Nini,” Safwan menyoal lagi.
“ Sekarang… aku dan Nini dah jarang bercakap sejak hari tu. Nini kata dia percayakan aku tapi aku boleh nampak, hati dia kata lain. Aku tak boleh paksa Nini percayakan aku, dia pun kurang sihat sejak akhir-akhir ni,” sambung Najwan.
Safwan termenung seketika. Dia cuba menghuraikan sesuatu mengenai cerita Najwan. Ada sesuatu yang terselindung di sebalik semua ini.
“ Kau dah fikirkan jalan penyelesaiannya? Aku tak nak kalau kau tangguhkan perkara ni, hubungan kau dengan Auni terjejas. Kau faham kan apa yang aku cuba maksudkan?”
Najwan menghirup sedikit kopi yang sudah semakin suam. Dia menghela nafas.
“ Aku dah fikirkan. Tapi, aku tak boleh beritahu kau lagi. Tunggu masanya tiba, aku akan beritahu kau,” balasnya perlahan. Safwan mengeluh. Bahunya dijongket sedikit.
“ Apa pun, kau kena jaga diri kau. Jangan sampai membahayakan diri kau sudahlah,” pesan Safwan. Najwan tersenyum. Safwan sememangnya seorang sahabat yang baik.
“ Oh ya! Kau ada perasan sesuatu tak pasal Reena masa dia jumpa kau kat tadika E-jat hari tu?” tanya Safwan selepas menyedari sesuatu. Manalah tahu ada panduan yang dapat dijadikan petunjuk bagi menyelesaikan masalah ini.
Najwan diam sejenak. Dia cuba mengingati kembali apa yang keluar dari mulut Reena pada hari itu. Dia merasakan ada sesuatu yang pelik dengan kata-kata Reena tetapi dia tidak dapat meneka apa yang tidak kena pada kata-kata wanita itu. Lama Najwan berfikir sebelum dia dapat menekanya. Dia mengetuk meja.
“ Dia panggil aku Wan.”
Safwan mengangkat keningnya sebelah. Keadaan menjadi semakin menarik. Mereka mahukan jawapannya. Kenapa Reena pulang semula ke Malaysia selepas bertahun-tahun menghilangkan diri dan kenapa dia harus memulakan angkara dengan Najwan yang merupakan sahabat baik arwah suaminya sendiri.
Share this novel