PROLOG
KOSONG.
Itu yang dirasakan sekarang. Tiada kegembiraan atau kesedihan. Hanya suatu perasaan yang kosong. Dia sendiri tidak pasti dengan apa yang sedang dirasakan olehnya kini.
Mata beralih daripada pintu gelongsor kondominium kepada kaca televisyen yang masih hitam. Ingin dibuka, dia tidak pasti rancangan yang sedang ditayangkan kini akan berjaya menarik perhatiannya atau pun tidak.
Dia duduk sahaja di atas sofa. Matanya merenung kosong pada kaca televisyen. Mengingati kembali kesilapan yang dilakukan sepanjang berada di pejabat tadi. Satu demi satu ‘kemalangan’ kecil terjadi.
Daripada mug yang kosong daripada kopi panas pecah kerana terjatuh daripada meja kerjanya, terlanggar baldi yang berisi air kotor sewaktu tukang cuci membersihkan lobi syarikat sehinggalah kepada kehilangan thumb drive yang mengandungi maklumat kerja penting selama hampir sejam sebelum ditemui kembali.
Apa yang tak kena dengan aku ni?
Kepalanya digeleng laju. Tekak terasa dahaga pula. Tanpa berlengah dia terus bangun daripada sofa lalu menuju ke dapur. Peti sejuk dihampiri.
Prang!
Dia terkesima. Dulang plastik kecil yang terjatuh daripada kaunter dapur sewaktu dia berjalan untuk ke peti sejuk direnung lama. Pantas dia menggelengkan kepala. Wajahnya diraup pantas.
Masa bila pula aku terlanggar benda ni? Apa yang tak kena ni? Ya Allah.
Dulang plastik itu diambil lantas dimasukkan ke dalam sinki. Pintu peti sejuk dibuka. Karton jus oren Peel Fresh dicapai lalu dituang ke dalam gelas kaca. Minuman itu diteguk perlahan selepas dia melabuhkan punggung di atas sofa.
Kenapa rasa tak sedap hati ni?
Gelas yang masih bersisa dengan jus oren itu diletakkan di atas meja kopi. Televisyen dibuka namun tiada satu pun rancangan yang dapat menarik minatnya. Satu demi satu rangkaian di televisyen ditukar namun masih tidak mampu menariknya untuk menonton, tidak seperti kebiasaan. Tangan dihulur untuk mendapatkan gelas minuman. Resah masih lagi bermain dalam hatinya.
“ Argh…”
Lelehan jus oren menuruni meja kopi tersebut. Tanpa disedari tangannya terlanggar pada gelas itu lantas menyebabkan gelas itu menumpahkan sisa jus oren. Dia merungut. Lepas satu, satu lagi masalah! Dia cuba bersabar, tidak mahu rungutannya berterusan.
Cepat cepat dia berlalu ke dapur untuk mengambil sedikit air untuk membersihkan tumpahan jus oren yang masih mengotori lantai. Nasib baik tidak terkena karpet. Jika tidak makin sukar untuk dia membersihkan kesan kotoran itu. Dia kembali bersama satu bekas plastik yang berisi air paip dan sehelai tuala buruk.
Berhati-hati dia mengelap tumpahan itu. Namun kerjanya terhenti tatkala mendengar nada dering daripada telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit berkenaan selepas semakin lama semakin kuat deringannya. Nama ‘Ibu’ tertera pada skrin.
“ Helo, assalamualaikum ibu. Kenapa telefon…”
Tangisan yang kedengaran di hujung talian mengejutkannya. Lama ibu menangis sebelum wanita itu mampu berkata-kata walaupun agak tersekat-sekat. Ibu tidak pernah begini. Hatinya mula mengatakan ada sesuatu yang buruk telah terjadi.
“ Naj… Wawa.. Naj… Wawa… dia…”
Dia tersentak. Wawa? Kenapa dengan Wawa?
“ Wawa kemalangan! Ibu… ibu kat hospital ni.. baba dah…”
Telefon bimbit melorot jatuh daripada pegangannya. Dia terkesima. Tanpa membuang masa dia terus berlari mendapatkan kunci kereta. Tergopoh gapah dia meninggalkan rumahnya.
Wawa!
SAYU dia merenung tanah yang sudah menimbus jasad Wawa. Tambah memilukan hati apabila melihat wajah seorang anak kecil yang polos, yang turut sama merenung pada kubur yang sudah ditimbus di hadapan mereka, yang turut sama menzahirkan kesedihannya walaupun anak kecil itu tidak memahami situasi yang sebenarnya.
Perlahan-lahan dia melangkah mendapatkan anak kecil itu. Dia duduk bercangkung di sebelah anak kecil itu lantas memeluknya. Anak kecil itu kelihatan terkejut. Wajahnya dikalih kepada lelaki yang memeluknya.
“ Ayah… ibu… gi ane?” Dengan pelat anak kecil itu bertanya. Dia tergamam. Apa yang patut dijawab?
“ Gi ane? Na itut… leh?”
Dengan perlahan dia menggeleng. Erat pelukannya pada tubuh kecil itu. Kepala halus itu diusap lembut. Rasa sebaknya kian bertambah apabila mengenangkan nasib anak kecil itu.
“ Ta leh? Nape…”
Kepalanya digeleng lagi. Air matanya berlinangan. Betapa beratnya ingin menerangkan apa yang terjadi kepada anak sekecil itu. Terasa bahunya disentuh dari belakang. Wajahnya diangkat. Wajah ibu dan baba kabur dalam pandangan.
“ Naj, mari balik. Orang dah ramai balik ni,” lembut ibu menutur kata. Mata wanita itu masih merah dengan kesan air mata. Baba di sisi memeluk bahu ibu. Dia senyap. Matanya kembali pada kubur di hadapan.
“ Wawa?”
Nama itu keluar lagi. Ibu dan baba tersenyum pahit. Tubuhnya dipeluk erat oleh ibu dari belakang. Dia terpaku.
“ Wawa dah tak ada, Naj. Doakan yang terbaik untuk arwah, ya sayang? Mari kita balik,” ibu memujuk perlahan. Dengan berat hati dia mengangguk.
Lemah dia bangun daripada duduknya. Wajah anak kecil yang polos itu direnung dengan penuh simpati. Dia mendepangkan tangannya, mahu mendukung si kecil.
“ Mari balik. Biar ibu tidur lena ya sayang?”
Tanpa kerelaan ayat itu diungkapkan buat si kecil. Mohon agar si kecil itu mengerti.
“ Ibu… tidur?”
Kata-kata si kecil diiyakan. Tubuh ringan itu didukung kemas.
Sebelum melangkah pergi, sekali lagi matanya dihala ke arah kubur Wawa yang masih merah tanahnya. Begitu juga dengan kubur yang bersebelahan dengan Wawa. Nafas dihela berat. Tidak sangka mereka berdua akan pergi dahulu meninggalkan anak kecil mereka. Bagaimana anak kecil itu membesar tanpa kedua-dua ibu bapanya?
Selamat tinggal, Najwa Sofia. Along janji, Along akan jaga anak Wawa seperti anak Along sendiri. Itu janji Along untuk adik Along. Terima kasih Wawa, selama ini, sudi jadi adik Along. Selamat tinggal. Semoga Wawa dan Fuad bahagia di sana.
Share this novel