BAB 56
AUNI membawa keluar potongan buah-buahan ke ruang tamu sementara Nawal pula membawa potongan kek buah krim segar. Ibu masih sibuk di dapur. Ibu menyuruh mereka berdua keluar dahulu. Baba sudah berada di ruang tamu, sedang melayan E-jat membaca majalah Ana Muslim yang dibeli oleh Auni semalam.
Hari ini Auni akan bermalam di rumah baba dan ibu. Ini semua atas permintaan ibu yang terlalu mahukan Auni bermalam di sini. Apatah lagi malam ini Syah tiada di rumah ini. Suami Nawal itu harus menyelesaikan beberapa urusan di luar sebelum kembali berkhidmat di syarikatnya yang berpangkalan di Jerman.
“ Baba, E-jat, mari makan buah dan kek ni,” pelawa Auni seraya meletakkan pinggan yang berisi potongan buah-buahan itu di atas meja kopi. Potongan buah epal, tembikai dan beberapa gugusan anggur memenuhi pinggan itu.
E-jat mencapai satu potongan epal lantas mengunyah perlahan. Baba menepuk mesra bahu E-jat. Baba turut mengambil potongan epal. Auni dan Nawal mengambil tempat duduk di sofa yang lain. Ibu muncul dari dapur dengan sedulang minuman.
“ Ha, Nini. Makan banyak-banyak buah tu. Elok untuk Nini dan bayi,” kata ibu. Auni tersenyum. Dia mengangguk sekilas. Dirinya sudah selalu mendengar kata-kata seperti itu sejak dia hamil. Semuanya baik untuk dirinya dan bayi dalam kandungannya.
“ Baiklah, ibu.”
Ibu dan ummi tidak habis-habis memanjakan dirinya. Tambah-tambah sejak kandungannya kian membesar. Boleh kata stok buah-buahan di rumahnya itu penuh disebabkan ibu dan ummi tidak henti-henti mengirimkan buah-buahan kepadanya.
“ Kalau anak perempuan, Kak Long nak beri nama apa?” tanya Nawal secara tiba-tiba. Auni menggeleng. Dia menepuk paha Nawal.
“ Awal sangatlah nak fikir, Nawal. Lambat lagi bayi ni nak keluar tengok dunia,” seloroh Auni. Nawal mula ketawa.
“ Kena fikir awal-awallah, Kak Long. Baru tak kalut nak cari nama nanti,” kata Nawal. Ibu dan baba turut ketawa kecil. Kalut pula si Nawal seorang ini.
“ Kamu tak payahlah nak susah-susahkan diri kamu, Nawal. Lebih baik kamu fikir bila nak beri ibu dan baba cucu pula. Kak Long kamu dah sampai giliran, tunggu masa aje bayi tu nak keluar. Giliran kamu bila pula?” ibu mencelah secara mengejut.
“ Eh, ibu ni. Tunggulah. Nawal nak berseronok dulu. Lepas nilah fikir pasal anak tu,” balas Nawal. Mukanya mula merah. Auni tersenyum lucu apabila menyedari betapa merahnya muka Nawal.
“ Banyaklah kamu punya nak berseronok. Umur kamu tu makin bertambah dari sehari ke sehari. Bukannya makin muda. Takkan masa umur 30 tahun baru nak ada anak sendiri? Kamu tahu tak, anak ni pembawa rezeki. Kamu pula yang tak nak,” ibu mula membebel. Auni tersengih lagi.
Baba dan Auni hanya mendiamkan diri. Malas mahu melibatkan diri dalam ‘pertikaman lidah’ antara ibu dan Nawal. Lebih baik baba layan E-jat sahaja. Ada juga faedahnya. Auni pula menyambung kunyahan potongan buah epalnya.
“ Ibu ni, Nawal nak tolong Kak Long pilih nama aje. Tiba-tiba pula ibu sebut pasal ni,” jawab Nawal. Pipinya masih lagi merah. Nasib baik sahaja Syah tiada di rumah saat ini. Jika tidak, Syah pun kena sekali dengan ibu.
“ Kamu tak payah susah-susahlah, Nawal. Along Naj kamu ada kalau nak tolong pilihkan nama. Itu pun anak dia juga,” balas ibu.
Auni tersentak. Kata-kata ibu terasa menusuk ke dalam hatinya. Walaupun jika didengar baik-baik, tiada salahnya pada kata-kata ibu, tetapi apabila mendengar nama suaminya disebut, itu sudah cukup untuk memadamkan mood riang Auni.
“ Sofi,” tegur baba perlahan. Ibu tergamam apabila menyedari dia sudah tersalah cakap. Mata mereka melekat pada wajah Auni yang bertukar murung. Nawal pula hanya mendiamkan diri.
“ Ibu, baba, Nini nak naik atas dulu. Assalamualaikum,” ucap Auni perlahan.
Cepat-cepat dia bersalam dengan ibu dan baba sebelum mula melangkah naik ke tingkat atas. Ibu yang masih lagi terkedu tidak sempat menghalang tindakan Auni. Ibu mula rasa tidak sedap duduk. Ibu bangun, berhajat untuk memujuk Auni di atas ketelanjuran kata-katanya. Baru sahaja ibu mahu melangkah pergi, cepat-cepat baba menghalang.
“ Kenapa, bang?” Ibu pelik kerana baba menghalangnya.
Baba menggeleng lagi. “ Jangan kacau Nini buat masa ni. Abang fikir, baik kita biarkan dia tenang dulu. Emosi dia tengah tak stabil tu,” kata baba.
Ibu terpaksa menurut sahaja kata-kata baba. Mata ibu tidak lepas memandang Auni yang baru sahaja hilang daripada pandangan. Ibu mengeluh berat. Gara-gara kealpaannya tadi.
Di dalam bilik, Auni merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia membuka dompet kecil miliknya. Di situ terselit beberapa klip kertas kertas berbentuk hati pemberian suaminya. Auni tersenyum sendirian. Dia mengucup klip kertas itu.
Auni rasa, sudah hampir dua bulan suaminya menghilang ke luar negara. Apa yang pasti, dia teramat rindukan Najwan. Saban hari dia menanti kepulangan suaminya tetapi sehingga sekarang masih lagi tiada bayang Najwan di hadapannya. Walaupun Najwan ada menelefonnya, namun itu tidak cukup untuk Auni. Dia mahu melihat dengan matanya sendiri akan suaminya itu.
Perlahan-lahan dia mengusap perutnya yang semakin nampak berisi. Dalam masa lima bulan akan datang, akan lahir jugalah bayi kecil yang sedang menginap di dalam rahimnya.
“ Bila anak mama keluar nanti, mama dan papa akan berikan nama yang baik-baik untuk anak mama? Jadi, untuk sementara waktu ni tolong jadi seorang anak yang kuat untuk mama sebelum papa balik, ya?” kata Auni perlahan. Dia tersenyum lagi.
Matanya sudah semakin mengantuk. Auni segera mengunci jam pada pukul 4:30 pagi. Dia berhajat mahu bangun untuk solat tajahud dan membaca Al-Quran sementara menanti waktu Subuh masuk. Auni terlelap tanpa menyedari ibu menolongnya menyelimutkan badan.
“ Maafkan ibu, Nini. Insya-Allah, Naj akan pulang tak lama lagi,” kata ibu hiba. Ibu mengucup lembut pipi menantu perempuan kesayangannya itu.
Ibu kasihan melihat keadaan Auni sekarang. Pada saat-saat seorang isteri hamil seperti ini, sepatutnya seorang suami sentiasa berada di sisinya. Ini tidak, Auni terpaksa mengharungi semuanya tanpa suami di sisi. Mujur sahaja tiada sebarang penyakit atau alahan teruk dialami oleh bakal ibu tersebut setakat ini.
Ibu amat berharap agar Najwan akan pulang tidak lama lagi. Bukan dia sahaja yang menanggung rindu akan anak sulungnya itu, tetapi seisi keluarga juga sama. Lebih-lebih lagi Auni yang merupakan isteri Najwan.
BERHATI-HATI Auni menolak troli masuk ke bahagian barangan basah. E-jat pula berjalan di sebelahnya. Memandangkan hari ini hujung minggu, bolehlah Auni mengajak E-jat menemani dia membeli barangan dapur. Auni bercadang mahu memasak makanan kesukaan E-jat pada hari ini.
Pagi ini Auni memakai pakaian yang sama warna dengan E-jat. Auni mengenakan gaun ibu mengandung paras paha yang berwarna merah gelap berserta seluar slack hitam. Gaun itu merupakan pemberian ibu. E-jat pula memakai kemeja berkolar berwarna merah gelap dan seluar jeans paras betis. Betul-betul kelihatan seperti pasangan ibu dan anak.
“ Mama, boleh tak mama buatkan E-jat tart keju coklat macam mama buat hari tu?” pinta E-jat. Dia mendongak untuk melihat wajah mama kesayangannya. Auni mengangguk sekilas.
“ Tapi E-jat kenalah tolong mama buat juga, okey?” kata Auni sambil membetulkan lipatan tudungnya. E-jat pantas mengangguk. Dia tersenyum riang.
“ Boleh aje.”
E-jat membuat gaya seorang tentera yang bersedia menerima arahan ketuanya. Tangan kanan anak kecil itu diletakkan pada dahi. Auni menarik senyum. Melihatkan tingkah E-jat pada masa ini membuatkan dia teringat akan Najwan. Najwan gemar membuat gaya sebegitu jika dia meminta Najwan melakukan sesuatu.
“ Bagus. Dah, jom ikut mama cari bahan-bahan nak buat tart tu lepas ni,” kata Auni. E-jat ketawa riang. Dia menolong Auni menolak troli masuk ke bahagian barangan dapur.
Agak lama juga masa yang diambil oleh mereka untuk menyelesaikan urusan membeli barangan di situ. Tanpa disangka-sangka, dia bertemu Adda dan Ashraf di sini. Sudah semestinya pasangan pengantin baharu itu ingin membeli barangan dapur juga. Kenapalah dalam banyak-banyak pasar raya, kat sini jugalah mereka akan bertemu? Auni tersenyum sendirian.
“ Ashraf teman kau beli barang?” tanya Auni. Dia merenung pada Ashraf yang tersenyum malu sekilas. Adda mengangguk lantas menoleh ke arah suaminya.
“ Dia tolong bawa barang, ringan sikit beban aku. Duit aku pun selamat juga kalau tak duit dapur cukup,” balas Adda selamba. Ashraf mencubit lengan Adda. Pantas Adda menjarakkan diri sedikit daripada Ashraf yang masih setia dengan troli mereka.
“ Jangan gatal di sini boleh tak? Malu sikit dengan Auni tu,” kata Adda sedikit marah. Mukanya tambah berkerut apabila melihat Ashraf hanya buat selamba sahaja.
“ Itu pun nak marah ke Adda? Ashraf fikir kau nampak comel bila kau marahlah tu,” kata Auni sekaligus mempertahankan Ashraf yang mula tersengih sumbing. Adda buat muka tak puas hati.
“ Yalah tu. Hari ni dia bodek aku minta buatkan nasi beriani gam. Terpaksalah aku pergi berguru dengan buku resipi dan internet. Nak tanya mak aku, mak aku kat kampung sekarang ni,” cerita Adda. Auni mula meluahkan tawanya.
“ Air tangan isteri. Kau patut bangga tahu, suami kau asyik nak makan air tangan kau aje,” balas Auni. Ashraf mula senyum kemenangan apabila Auni berterusan mempertahankan dirinya. Adda buat muka meluat.
“ Yalah. Kau ni bawa E-jat aje datang sini, ibu kau tak marah ke? Bukan ke ibu kau dah kasi amaran awal-awal jangan buat kerja berat-berat? Berat barang-barang ni tahu tak?”
Adda mula menukar topik perbualan. Lama kelamaan membicarakan mengenai dia dengan Ashraf, makin lebarlah senyum suaminya kerana Auni bertindak sebagai pembela Ashraf, bukan pembela dirinya sebagai sahabat Auni sendiri.
“ Tak apa, Adda. Setakat barang ni, aku mampu angkat lagi. Kau janganlah jadi macam ibu dan ummi aku. Semua aku tak boleh buat. Bosan tahu tak?” kata Auni. Sedikit sebanyak dia meluahkan sedikit ketidakpuasan hatinya.
Auni faham bahawa ummi dan ibu cuma tidak mahu terjadi sebarang perkara yang membahayakan kepada dirinya dan bayi yang berada dalam kandungannya. Tetapi, Auni bosan kerana dilarang membuat pekerjaan seperti memasak dan mengemas rumah sewaktu ibu melihat tangannya melecur sedikit tempoh hari. Mujur sahaja Nawal membantu dia memujuk ibu agar dibenarkan memasak dan mengemas rumah.
Ibu dan ummi terlalu bimbangkan dirinya kerana tiada siapa yang boleh membantu tatkala Auni mengalami kesusahan. Auni sudah berkeras tidak akan meninggalkan rumahnya dan Najwan. Maka, tiada apa yang mampu dibuat oleh Auni. Jika Auni sudah berdegil, tiada sesiapa yang dapat mengubah keputusannya.
“ Tak apalah Auni. Ummi dan ibu kau tu bukannya apa. Mereka cuma bimbangkan kau aje. Perut kau tu makin membesar, mereka tak naklah jadi apa-apa pada kau. Nanti kau sendiri yang susah,” Adda mula memujuk apabila menyedari perubahan air muka Auni.
Adda faham Auni bukannya jenis yang suka duduk diam. Jadi, kalau sudah dilarang sebegitu rupa memang mula tidak senang duduklah jawabnya. Memang patutlah kalau Auni rasa tidak puas hati.
“ Tak apalah, Adda. Aku tak nak kacau korang berdua. Aku dengan E-jat pergi dululah. Assalamualaikum,” kata Auni lalu menolak kembali trolinya. Dia mengukir senyum sebelum berlalu pergi. Adda dan Ashraf pula terkebil-kebil apabila menyedari betapa cepatnya Auni berlalu.
“ Kenapa dengan Auni tu? Tak pernah-pernah dia macam ni,” gumam Adda perlahan. Jarang Auni bergegas ke tempat lain sekiranya tiada perkara yang mendesak. Malah, gadis itu gemar berlama-lama bersama-sama sahabatnya tidak kira di mana sahaja dia berada.
“ Biarkan ajelah. Entah-entah dia fikirkan Qimi. Yalah, selama ni kalau ke mana-mana mesti berdua, ni dia seorang aje. Mujur ada E-jat, boleh jadi peneman. Tak apalah, sayang. Tak elok kita kacau dia waktu-waktu macam ni. Tunggu Auni tenang dulu, lepas tu sayang bolehlah ajak dia berbual lagi,” ucap Ashraf. Dia tersenyum apabila Adda mengangguk juga.
“ Kesian Auni ya, bang. Bilalah Najwan nak balik ni, kesian betul saya tengok si Auni tu,” getus Adda. Simpati benar dia dengan nasib sahabatnya itu.
Matanya tidak lepas daripada melihat pada Auni yang berjalan membelakangi dirinya. Ashraf menjongket bahu. Dia turut memerhatikan pada Auni dan E-jat yang makin menghilang dalam kelompok orang ramai. Ashraf mengukir senyum kecil. Adda langsung tidak perasan akan perubahan riak wajah suaminya itu.
Qimi akan pulang, awak jangan bimbang Auni. Sebab hati Qimi dah melekat di Malaysia, sebab awak. .
E-JAT membantu Auni membawa beg-beg plastik yang berisi barangan yang dibeli dari pasar raya tadi keluar dari tempat duduk belakang Swift putih miliknya. Auni menggosok kepala E-jat lalu menyerahkan sepaket besar Chipsmore Hazelnut sebagai tanda penghargaan. E-jat menyambutnya dengan senyuman pada wajahnya.
“ Terima kasih, mama.”
Auni tersenyum sahaja. Barang-barang itu diletakkan di hadapan pintu rumah sementara menunggu Auni membuka pintu. Perlahan-lahan dia menolak pintu utama itu sebelum meminta E-jat membantunya membawa masuk barangan yang dibeli ke ruang tamu. Masuk sahaja ke ruang tamu, Auni terus menghentikan langkahnya. Dia mula perasan sesuatu yang pelik.
Hidungnya dapat mencium bau masakan panas. Matanya melilau ke sekeliling ruang tamu. Tiada tanda-tanda pencerobohan malah masakan ada perompak yang bermurah hati nak menyediakan makanan kepada tuan rumah yang dirompaknya pula. Auni terus mengatur langkah ke dapur selepas meminta E-jat duduk diam di ruang tamu. Penuh berhati-hati dia melangkah. Auni masuk ke ruangan dapur. Sekali lagi langkahnya mati di situ.
Matanya terkebil-kebil merenung seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini. Ada apron comel miliknya melekat pada tubuh lelaki itu. Senyuman yang menguntum pada wajah lelaki itu terasa menggetarkan hatinya.
“ Selamat pulang, Nini. Abang buatkan ayam masak lemon untuk Nini.”
Auni merasakan sekitar matanya mula panas. Najwan sedang melontar senyum kepadanya. Auni mengelipkan matanya berulang kali. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya kini.
“ Nini… tak mimpi… kan?” tanya Auni tersekat-sekat. Mutiara jernih mula berlinangan menuruni lekuk pipinya. Dia mencubit pahanya. Sakit mula terasa.
Perlahan-lahan Najwan menggeleng. Selangkah demi selangkah dia mendekati Auni yang sudah mengalirkan air mata. Najwan menarik Auni ke dalam pelukannya.
“ Nini tak mimpi, abang memang ada depan mata Nini sekarang. Abang dah pulang,” bisik Najwan perlahan. Dia menghela nafas. Auni mengangguk sekilas dalam pelukannya.
“ Selamat pulang,” kata Auni dalam esak tangisnya. Senyumannya terukir juga. Dia membalas pelukan suaminya. Esakan Auni kian menjadi-jadi.
“ Oh ya! Abang dah baca semua kata-kata Nini pada origami swan tu. Maaf, abang terbuka sebab abang tengok ada nama abang pada salah satu swan tu,” kata Najwan tiba-tiba merujuk kepada origami swan yang Auni buat sewaktu ketiadaannya. Auni tergelak kecil. Air matanya masih lagi berlinangan.
“ Origami tu Nini buat untuk abang. Terima kasih… sebab abang dah pulang. Nini rindukan abang. Selalu.”
Najwan tersenyum lagi. Betapa dia bersyukur kerana dirinya masih lagi diberi peluang untuk bersama-sama dengan orang yang disayanginya. Najwan gembira tatkala melihat Auni sihat-sihat sahaja dengan perut yang semakin membesar.
Share this novel