BAB 47
AWAL pagi lagi Najwan dan Auni sudah terpacak di hadapan pintu pagar banglo baba dan ibu. Memandangkan hari ini merupakan hujung minggu, ibu mengajak mereka berdua bersarapan bersama-sama di sebuah taman rekreasi yang berdekatan dengan kawasan perumahan mereka.
Sambil-sambil itu mereka boleh menemani baba yang ingin berjoging di situ. Sementara menunggu masa untuk bertolak, Auni membantu ibu menyiapkan bekalan manakala Najwan naik ke tingkat atas untuk menemui E-jat.
“ Sandwic dah masukkan dalam bakul tu kan?” ibu menyoal.
Auni sedang memasukkan bekas-bekas plastik ke dalam bakul berkelah. Dia mengangguk apabila mendengar pertanyaan ibu.
“ Ibu masak nasi lemak?”
Mata Auni tertancap pada satu bekas plastik nasi lemak yang sederhana besar. Sambal sotong, sambal ikan bilis, hirisan timun dan telur serta kacang goreng diasingkan dalam beberapa buah bekas plastik yang lain. Ayam goreng berempah pun ada sekali.
“ Ya. Dah lama tak masak nasi lemak. Tapi, nasi lemak ni kurang kalori. Ibu gantikan santan dengan susu segar, dan ibu rasa nasi lemak ni sedap lagi daripada yang bersantan. Sesuailah kalau nak jaga badan. Lagipun lauk-pauk ni pun dah berlemak sangat dah ni. Nini boleh cuba masak nasi lemak ni,” kata ibu mengenai nasi lemak daripada air tangannya. Auni mengangguk.
“ Baiklah, ibu.”
Sesudah selesai memasukkan kesemua bekas plastik dan botol-botol air ke dalam bakul berkelah, Auni bergegas untuk mengambil tikar di dalam stor pula. Ibu pula naik ke tingkat atas sekejap. Katanya mahu memakai tudung.
“ Semua dah siap?” Baba menegur apabila melihat semua orang sudah berkumpul di hadapan pintu rumah. Syah juga sudah kembali dari luar negara. Pastinya Nawal tidak keseorangan kerana suaminya sudah pulang.
“ Syah pandu kereta baba, kan? Baba, ibu dan Nawal naik sekali dengan Syah. Biar E-jat naik dengan Naj. Along Naj yang pandu dulu ya?” kata Najwan. Syah bersetuju sahaja. Kesemua mereka bersiap-siap untuk bertolak.
Sepanjang perjalanan, Auni dan Najwan leka melayan tingkah E-jat. E-jat yang duduk berseorangan di bahagian tempat duduk penumpang belakang sesekali mencelah untuk menanyakan sesuatu kepada papa dan mamanya. Sesekali tawa Auni dan Najwan meletus apabila E-jat membuat tingkah yang menggelikan hati.
“ Papa, mama?”
“ Ya sayang? E-jat nak apa-apa ke?” Auni menyahut panggilan E-jat. Najwan pula memfokuskan pada pemanduannya sahaja. Sesekali dia melihat pada cermin sisi kereta.
“ Sabtu minggu depan tadika E-jat adakan sesi berkelah dengan keluarga. Boleh mama dan papa teman E-jat nanti?” tanya E-jat. Sekali anak matanya melekat pada Najwan, sekali anak matanya melekat pada Auni pula. Auni menoleh ke belakang.
“ Berkelah? E-jat kena bawa apa-apa tak?” tanya Auni. Dia mengerling pada Najwan yang sedang memandu. Harap-harap mereka lapang pada hari yang dimaksudkan, jika tidak kasihan pula pada E-jat. E-jat terlalu mengharapkan kedatangan mereka berdua.
“ Cikgu Lisa kata, kalau kami nak bawa apa-apa makanan, bawa ajelah. Tapi, makanan dah disediakan. Hari tu pun kami akan main sukan macam Hari Keluarga yang dah lepas tu,” jelas E-jat.
Auni menoleh kepada Najwan. “ Macam mana, abang? Boleh kita temankan E-jat? Abang ada kerja tak minggu depan?”
“ Tak ada. Lagipun majlis tu hari Sabtu kan? Insya-Allah kita boleh pergi. Nini macam mana? Atau ada kerja luar?”
Pantas Auni menggeleng. Dia mengukir senyum. “ Tak ada. Hajatnya, Nini nak buatkan tart keju untuk hari tu.”
“ Eh, sempat ke? Ramai orang yang hadir, abang takut Nini tak sempat buat aje,” kata Najwan. Dia memandu memasuki kawasan taman rekreasi itu. Masih tidak ramai pengunjung yang datang.
“ 300 biji dah cukup kot. Itu pun Nini rasa macam dah lebih lagipun kan E-jat kata makanan dah disediakan. Nini boleh mula buat pagi hari Jumaat tu, lagipun hari Jumaat tu kan cuti umum? Insya-Allah sempat Nini buat tart tu,” jawab Auni.
Najwan mengangguk. Dia memarkirkan keretanya di sebelah CRV yang dipandu oleh Syah. Mereka bertiga keluar daripada Prius Najwan.
“ Kalau Nini cakap macam tu, abang tak ada hal. Hari Khamis malam Jumaat tu abang temankan Nini pergi beli barang. Pagi Jumaat tu tak adalah kalut nak pergi beli, boleh mula buat aje. Kalau Nini nak abang tolong, abang boleh tolong. Itupun kalau Nini tak bimbang tart tu masuk mulut abang.”
“ Abang!”
Najwan tergelak apabila lengan kanannya dicubit oleh Auni. Auni menjeling sekilas pada Najwan yang masih dengan sisa tawanya sebelum pergi mendapatkan ibu dan Nawal yang sedang mengangkat barang. Baba dan Syah turut membantu. Baba kelihatan seakan-akan tidak sabar lagi untuk berjoging. E-jat pula sedang berlari-lari mengelilingi Najwan.
“ Jom! Baba dah tak sabar dah ni!”
Kata-kata baba hanya disambut dengan tawa mereka semua.
Usai menyusun tikar dan bekas-bekas makanan, baba terus mengajak mereka berjoging. Ibu tidak ikut, dia menunggu sahaja di situ. Nawal pula menemani ibu di kawasan perkelahan. Hanya Syah sahaja yang mengekori baba. Najwan dan Auni pula menemani E-jat berjalan di sekeliling taman rekreasi itu.
“ Papa, bila kita nak pergi bercuti sama-sama macam dulu-dulu?” Tiba-tiba sahaja E-jat mengeluarkan pertanyaan itu. Auni mengerling sekilas pada Najwan yang sedang memberi perhatiannya kepada E-jat.
“ E-jat nak pergi bercuti? E-jat nak pergi mana?” tanya Najwan pula. Dia memimpin tangan kiri E-jat manakala Auni memimpin tangan kanan kanak-kanak itu. E-jat merenung pada wajah mama kesayangannya.
“ Mama nak pergi mana?”
Auni tersentak dengan pertanyaan itu. Dirinya pula yang menjadi sasaran pertanyaan E-jat. Najwan turut memerhatikannya. Kedua-duanya menanti jawapan daripadanya. Auni tersengih.
“ Kenapa tanya mama? E-jatlah yang patut cakap, E-jat nak pergi mana?” kata Auni. Dia menguntum senyum buat E-jat. E-jat buat-buat mengeluh. Dia menguis kerikil yang menganggu langkah kakinya.
“ E-jat tak pernah lagi pergi bercuti dengan mama. Jadi, E-jat nak tahulah kalau mama nak pergi bercuti, mama nak pergi bercuti kat mana? Barulah seronok. Betul tak apa E-jat cakap ni papa?”
Kali ini E-jat merenung pada wajah Najwan pula. Tawa Najwan dan Auni sama-sama meletus apabila melihat gelagat E-jat yang melucukan. Dahi kanak-kanak itu berkerut apabila mendapati dirinya diketawakan.
“ Kenapa ketawa pula?” E-jat merungut kecil. Najwan melepaskan pegangan tangannya pada E-jat dan duduk bercangkung berhadapan dengan anak kecil yang cerdas itu. Kepala E-jat yang berambut lebat diusap berulang kali.
“ Mama akan pergi bercuti ke mana aje yang E-jat suka. Betul tak, mama?” Najwan bertanya.
“ Betul, betul, betul…” Auni menjawab pantas. Dia tersenyum pada E-jat yang kelihatan kebingungan. “… lagipun, E-jat yang nak ajak mama pergi bercuti, jadi E-jatlah yang kena beritahu E-jat nak pergi bercuti ke mana,” sambung Auni.
“ Kan betul papa cakap. Jadi, E-jat nak ajak mama dan papa pergi bercuti ke mana?” tanya Najwan. E-jat menggaru-garu kepalanya. Dia buat lagak seperti sedang berfikir. Sebelah tangannya diletak di bawah dagunya. Najwan tersenyum geli hati melihat tingkah E-jat yang sentiasa menceriakannya.
“ E-jat suka tengok ikan. Papa, jom kita pergi pulau. Boleh?” E-jat menyatakan destinasi yang menjadi pilihannya. Najwan tersenyum. Dia melihat pada wajah isterinya.
“ Kita pergi Pulau Redang, nak? Boleh pergi snorkeling kat sana. Dah lama abang tak snorkeling, rindu pula rasa. Lagipun, abang dah janji kan nak bawa Nini tengok matahari naik dan tenggelam dulu?” kata Najwan.
Auni mengangguk tanpa banyak bersoal jawab. Dia bersetuju sahaja. Lagipun dia belum pernah menyertai mana-mana aktiviti snorkeling. Teringin juga dia merasai pengalaman memberi ikan makan di dalam laut. Dapat juga dia merasai pengalaman yang baharu.
“ Nini okey aje.”
“ Set! Papa janji, papa kena bawa E-jat dan mama pergi bercuti kat pulau,” kata E-jat. Dia menaikkan jari kelengkengnya. Najwan mengangguk. Dia menghulurkan tangannya. Jari kelengkengnya bertaut dengan jari kelengkeng E-jat.
“ Papa janji.”
LAMA mata Najwan tertumpu pada fail kerja yang terbuka di hadapan matanya namun yang jelas, fikirannya sedang memikirkan hal yang bercanggah dengan kerjanya. Sejak dia memasuki pejabat pada hari itu, dia berasa tidak sedap hati. Ada sesuatu yang dirasakan menganggu perasaannya.
Semalam, Najwan membawa Auni makan malam di luar. Sengaja mahu memanjakan isterinya walaupun mereka sudah makan malam istimewa bersama-sama tempoh hari. Auni kelihatan cantik apabila memakai blaus ala kimono yang berwarna biru lembut yang merupakan pemberiannya dan dipadankan dengan skirt berwarna putih. Sedondon dengan tudung putih yang dipakainya. Namun begitu, Auni sentiasa cantik pada pandangan matanya.
Balik sahaja dari makan malam, dia singgah dahulu berdekatan sebuah taman bunga. Terasa bahagia menyelinap ke seluruh hidupnya sewaktu menghabiskan masa semalaman bersama-sama isteri yang tercinta. Berbagai-bagai topik yang dikeluarkan sewaktu mereka berbual-bual semalam.
Najwan sudah cukup bersyukur dengan apa yang dia alami sekarang. Tetapi, dia tidak tahu sehingga bila keadaan ini akan berterusan. Auni tidak tahu yang dia mengalami kesulitan sekarang. Kesulitan apabila seseorang yang pernah rapat dengannya muncul kembali. Mungkin Auni mengenali ‘dia’ itu melalui perbualan mereka berdua, tetapi Auni tidak tahu bahawa sesuatu yang langsung tidak dijangkakan akan terjadi.
Khayalan Najwan terhenti apabila bunyi interkom menganggu fikirannya. Suara Kak Mila kedengaran daripada interkom itu.
“ Encik Najwan, Encik Safwan dah sampai.”
“ Okey, benarkan dia masuk. Terima kasih kak.”
Kedengaran pintu diketuk buat seketika sebelum dibuka dari luar. Safwan yang segak memakai sut pejabatnya masuk ke dalam lalu duduk di hadapan Najwan yang sudah beralih ke sofa. Safwan tersengih. Matanya tepat pada wajah sugul Najwan.
“ Kau terlalu banyak fikirkan hal tu, kan? Betul tak apa yang aku kata?” Safwan menduga. Najwan terpaksa mengaku. Dia mengangguk perlahan.
Share this novel