Chapter 25

Romance Completed 17236

BAB 25

“ ADDA!”

Adda mengucap panjang lantaran disergah seperti itu. Pantas dia menoleh ke belakang. Auni sedang tersengih-sengih merenungnya.

“ Kau ni apasal pula? Nasib baik aku tak kena serangan jantung,” omel Adda namun disambut dengan tawa daripada Auni.

“ Manalah nak kena serangan jantung kalau muka senyum seorang diri aje dari tadi,” balas Auni. Pipi Adda dicubit. Adda merengus.

“ Tak ada maknanya aku nak senyum seorang diri.”

Auni tergelak. Kelihatannya seperti ada sesuatu yang sedang dirahsiakan oleh Adda daripadanya. Auni duduk bertongkat dagu di hadapan Adda. Tidak dipedulikan lagak Adda yang mahu menyambung kerjanya kembali.

“ Biasanya orang yang senyum seorang diri ni sedang dilamun cinta. Betul tak apa yang aku cakap? Takkan kau senyum seorang diri sebab teringat kucing kau kat rumah kot?”

Adda terkedu. Wajahnya diangkat daripada skrin laptop di hadapan. Auni yang sedang tersenyum lebar di hadapannya dipandang geram.

“ Auni!”

Auni tergelak. “ Ada orang tengah angaulah.”

Sejak pagi tadi lagi Auni sudah perasan yang Adda lebih banyak termenung daripada kebiasaannya. Kerap kali juga mata Adda akan beralih kepada telefon bimbit miliknya. Seakan-akan sedang menunggu panggilan seseorang. Kadang-kadang nampak gaya seperti Adda pula yang ingin membuat panggilan. Tapi, kepada siapa?

Adda ketap bibir geram. Pipinya mula memerah. Makin galak pula Auni mengusik Adda selepas melihat pipi Adda yang sudah naik merah.

“ Kalau ada apa-apa yang kau nak aku tolong, cakap ajelah ya? Selamat tinggal,” kata Auni seraya berlalu daripada meja kerja Adda. Adda termangu di situ. Telefon bimbitnya pula yang diperhatikan.

Nak telefon ke tak nak? Nak telefon ke tak nak?

Adda meraup wajahnya berulang kali. Kepalanya diketuk sendiri.

Kenapa dengan aku ni?

Dari jauh, Auni memerhati sahaja lagak Adda. Dia tersenyum simpul. Kalau boleh Auni mahukan pengesahan. Adakah benar Ashraf yang sedang difikirkan oleh Adda? Entah mengapa, Auni merasakan Adda dan Ashraf serasi bersama walaupun mereka tidak kerap bertemu.

Insya-Allah, kalau benar mereka ada jodoh.

KEDATANGAN Najwan dan Auni ke rumah keluarga Auni disambut mesra oleh ummi dan walid. Kelihatannya ummi sibuk di dapur menyediakan makanan tengah hari. Kebetulan walid berada di rumah dan Along pulang menziarahi ummi dan walid. Kesemua ahli keluarga Auni berkumpul tanpa kehadiran Alin yang berada di luar negeri atas urusan kerja.

“ Ummi dan walid sihat?” tanya Najwan sambil menyalami tangan walid dan ummi. Ummi dan walid hanya mengangguk.

“ Macam nilah Naj orang bila dah tua. Lepas sakit, sihat. Lepas tu sakit balik. Macam enjin kereta lamalah kami ni,” seloroh walid. Najwan dan walid sama-sama ketawa. Najwan menyertai walid dan Aisar bersembang di ruang tamu manakala Auni menyertai ummi dan Kak Syara di dapur.

“ Mana Amzar, Kak Long?” soal Auni merujuk kepada anak saudara sulungnya. Tidak pula dia nampak kelibat bayi itu di mana-mana.

“ Amzar tidur. Baru lepas minum susu,” balas Kak Syara lembut. Auni tersenyum.

“ Rindunya masakan ummi. Dah lama adik tak makan,” kata Auni ceria. Senyumannya makin lebar apabila melihat ummi sedang menggoreng ayam untuk dibuat juadah bersama nasi tomato sebagai hidangan tengah hari mereka.

Ummi tersengih. “ Adik kenalah rajin-rajin masak kat rumah tu untuk Naj. Dah tak boleh beli makanan luar kalau sempat masak,” ummi menitipkan nasihat. Auni hanya mengangguk.

“ Jadi, macam mana kamu berdua sekarang ni? Dah boleh biasakan diri dengan rutin baru?” tanya ummi. Auni tersipu-sipu malu. Kak Syara mula tersengih apabila melihat tompok merah di pipi Auni.

“ Biasa-biasa aje. Kalau hari biasa, kami sibuk dengan kerja. Hujung minggu ajelah kalau nak jumpa, sembang-sembang pun,” kata Auni. Dia membuka balang berisi kerepek ubi pedas yang ummi letakkan di atas kaunter dapur. Kak Syara pula membantu ummi memasak.

“ Sibuk, sibuk juga. Adik jangan lupa yang ummi dah tak sabar nak timang cucu daripada anak bongsu ummi ni,” kata ummi tanpa berkias. Hampir tersedak Auni yang sedang leka mengunyah kerepek ubi itu mendengar kata-kata umminya itu.

“ Ada ke macam tu. Adik baru kahwin tak sampai tiga bulan,” omel Auni. Apalah ummi ni, kasi malu aku depan Kak Syara aje.

Ummi mula ketawa. “ Tak ada alasan, wahai Puteri Bongsu. Along kamu dah bagi ummi dan walid cucu seorang, giliran kamu pula.”

Auni menghentikan kunyahannya. Ummi aku dah mula dah…

Mata dia bertentangan dengan mata Kak Syara. Kak Syara hanya mampu mengeyit dan melemparkan senyum malu. Auni ketawa diam-diam. Bila ummi dah mula bincang pasal cucu ni, jangan harap ada sesiapa yang boleh potong.

“ Ummi bukan apa, nak juga merasa ada cucu daripada adik. Angah tu dah nak kahwin, lepas ni giliran dia pula. Sejuk hati ummi bila tengok anak-anak ummi dah berkeluarga. Apa yang ummi doakan tiap-tiap malam, ummi nak rumah tangga anak-anak ummi kekal bahagia sepanjang hayat,” kata ummi lagi.

Auni tersengih. “ Insya-Allah, kalau ada rezeki, adalah tu ummi.”

Ummi tersenyum. Kerjanya diteruskan.

“ Adik tak nak ada anak sendiri ke?” Kak Syara menyoal. Auni mengerutkan wajah. Soalan jenis apa tu?

“ Apalah Kak Long ni. Tentulah adik nak. Harta yang berharga tu. Tapi nak buat macam mana. Kalau ada rezeki, tahun depan adik dah bagi cucu kat ummi tau. Nak juga merasa jaga bayi sendiri,” balas Auni agak malu-malu. Kak Syara dan ummi sama-sama ketawa.

“ Rezeki tak boleh dipaksa-paksa. Bila Dia kata jadi, maka jadilah. Tak payah risau. adik doa aje banyak-banyak, okey sayang?” celah ummi.

Auni mengangguk sahaja. Sudah terbayang dalam fikirannya, dia dan Najwan sedang menjaga seorang bayi. Bahagianya rasa kalau dia diberi peluang untuk bergelar ibu dalam masa yang terdekat ini.

“ ABANG bual apa dengan walid tadi?”

Auni merenung Najwan yang leka memandu di sebelahnya. Najwan mengerling sejenak kepada Auni di sisi. Westlife – I Lay My Love On You mula berlagu di pemain VCD. Entah VCD Westlife zaman bila Najwan pasang saat ini.

“ Bual-bual kosong aje. Kenapa tanya?” kata Najwan. Matanya lurus pada pemanduan di hadapan. Karang silap terbabas, naya diri sendiri aje. Dia tak nak menambahkan rekod kemalangan jalan raya di Selangor ni.

“ Saja.”

Najwan tersenyum. “ Nini pula bual apa dengan ummi masa kat dapur tadi?”

“ Ummi… sibuk tanya bila nak kasi dia cucu,” kata Auni malu-malu. Sumpah dia tak pandang langsung muka Najwan tika itu. Tentu Najwan sudah tersengih-sengih mendengar kata-katanya tadi.

“ Anak tu kan rezeki daripada Allah? Tak ada rezeki lagi, nak buat macam mana,” kata Najwan. Dia tahu Auni malu. Dia boleh nampak pipi Auni mula memerah walau dalam samar. Auni mengangguk.

Eternal Love mula berlagu daripada BlackBerry Najwan. Najwan yang sudah memakai bluetooth di telinga kanannya membiarkan sahaja panggilan itu berjawab.

“ Assalamualaikum, Qimi.”

Suara Safwan kedengaran di hujung talian. Najwan segera membalas salam itu. Jarang benar Safwan menelefonnya, apatah lagi lelaki itu sibuk menguruskan perniagaan makanan halal milik Safwan sendiri yang semakin berkembang pesat di rantau Eropah sana. Safwan merupakan antara sahabat baik Najwan ketika di UK dahulu.

“ Kenapa kau telefon aku ni? Aku ingat kau dah tinggal kat sana,” gurau Najwan. Safwan hanya ketawa.

“ Mengarutlah kau ni. Takkanlah aku nak tinggal terus kat UK tu, aku kat Malaysialah. Kau aje yang tak tau,” balas Safwan. Giliran Najwan pula untuk ketawa. Auni hanya mendiamkan diri, tidak mahu menganggu perbualan suaminya di telefon. My Love bertukar menggantikan I Lay My Love On You. Auni merendahkan sedikit volume pemain VCD itu.

“ Aku nak ajak pergi perjumpaan kat Hotel Kayangan ni. Perjumpaan budak-budak tahun kita, si Faiz yang anjurkan. Jomlah, boleh jumpa kawan-kawan lama,” Safwan menjelaskan tujuan dia menelefon Najwan. Najwan menggeleng perlahan.

“ Banyaklah kau punya kawan-kawan lama. Bila perjumpaan tu?” tanya Najwan. Rindu juga nak jumpa kawan-kawan lama. Mereka dah lama tak bersua muka sejak masing-masing menjejakkan kaki di Tanah Melayu Tanah Tumpah Darahku ini. Masakan tidak, masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing. Malah ada yang sudah berkeluarga.

“ 23 April ni, nanti aku hantar e-mel pasal majlis tu. Bawalah isteri kau sekali. Dahlah kahwin tak ajak aku,” kata Safwan. Sempat lagi dia membebel. Najwan hanya mengangguk

“ Insya-Allah. Kalau tak ada apa-apa, aku datang. Kalau tak, memang aku minta maaflah,” sambung Najwan. Dia tidak berani menjanjikan apa-apa. Dibuatnya baba menyuruhnya kerja di luar negeri saat itu, tidak ke haru?

“ Okey. Apa-apa hal, aku telefon kau balik.”

“ Okey.”

Perbualan mereka ditamatkan setelah Safwan memberi salam. Auni menoleh ke arah Najwan.

“ Perjumpaan tahun abang di Cambrige tu?”

Najwan mengangguk. Dia menoleh sekilas pada Auni. “ Sabtu minggu depan. Kalau jadi, Nini kena jadi teman abang malam tu, ya?”

“ Kalau bukan Nini, siapa lagi. Apalah abang ni,” balas Auni selamba. Najwan hanya ketawa.

BOSAN Nadira melihat gelagat abangnya di ruang tamu rumah mereka. Sekejap duduk di sofa, sekejap berdiri, sekejap duduk balik. Macam ada yang tidak kena pada abangnya itu. Dell diletakkan di atas meja.

Mata Nadira mengekori ke mana sahaja Angahnya pergi. Macam orang yang tak ada kerja pun ada gaya macam tu. Biasanya pada waktu-waktu seperti ini Angah akan pergi berjoging di sekitar kawasan perumahan, tetapi hari ini Angah hanya terperuk sahaja dalam rumah. Mana tidak peliknya kalau dah macam tu?

“ Kenapa dengan Angah ni? Nad tengok macam ibu kucing mati anak aje ni,” tanya Nadira yang sudah terlalu bosan melihat gelagat Ashraf. Ashraf mencebik.

“ Diamlah, budak. Buat kerja Nad, jangan ganggu Angah,” kata Ashraf. Nadira buat tidak tahu.

“ Nad nak buat kerja aman macam mana kalau tengok Angah macam ni. Ni mesti ada kes dengan mana-mana perempuan ni. Perempuan malang mana yang Angah berkenan ni?”

Ashraf diam. Tahu-tahu aje adik aku ni.

“ Tak adalah. Mengarut aje Nad ni.” Ashraf cuba menafikan namun Nadira tidak termakan langsung dengan kata-kata abangnya itu.

“ Cakaplah cepat, Angah! Kan Nad cakap kat mama pasal Angah dah angau dengan mana-mana perempuan ni,” Nadira cuba mengugut.

Ashraf mengeluh. Ada-ada ajelah adik aku ni. Nak tak nak, Ashraf melabuhkan duduk di sebelah Nadira. Karang dia juga yang akan naik gila memikirkan masalah angaunya ini.

“ Beritahu Nad,” kata Nadira tidak sabar-sabar.

Ashraf berdehem. Nak mula macam mana ya? Nak cakap ke tak?

“ Angah jangan fikir tak nak beritahu Nad pula. Angah jangan. Jangan mengada nak cari pasal okey?” Nadira sudah memberi amaran.

Adik aku ni… Sabar ajelah.

“ Cepatlah,” kata Nadira lagi. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk mengetahui gadis mana yang mampu membuatkan abang keduanya itu tidak senang duduk. Patut diucapkan tahniah!

“ Kawan baik Kak Auni,” kata Ashraf pendek. Okeylah tu sebagai permulaan cerita. Nama lagi permulaan, tak perlulah cerita panjang-panjang.

“ Maksud Angah, perempuan yang makan semeja dengan Angah masa majlis Abang Qimi kat hotel tu?” tanya Nadira agak terkejut. Bukan sahaja Nadira, Ashraf turut terkejut apabila Nadira mengetahui siapa gadis pilihannya kini.

“ Mana Nad tahu?”

Nadira tersengih. “ Nad nampak Angah dengan dia, okey? Angah duduk kat situ, borak-borak dengan dia sebelum Abang Qimi dan Kak Auni datang ke meja tu. Betul tak apa Nad cakap ni? Lagipun Kak Auni pernah cakap yang akak tu kawan baik dia kat Nad dan Nawal masa majlis tu.”

Teragak-agak Ashraf mengangguk mengiakan kata-kata Nadira. Senyuman Nadira makin lebar. Pandai juga aku teka. Kan dah mengena? Nadira bangga sendiri.

“ Kawan Kak Auni tu dah ada teman lelaki belum? Nad tak nak Angah patah hati pula. Manalah tahu, senyap-senyap dah ada teman lelaki,” kata Nadira. Kemungkinan itu mungkin ada. Tambahan pula Angah tidak mengenali gadis itu dengan sebetul-betulnya.

“ Tak adalah. Angah yakin,” balas Ashraf penuh dengan keyakinan.

Jika Adda sudah ada teman lelaki, kenapa gadis itu tidak menolak pelawaannya untuk makan tengah hari bersama-sama dahulu? Takkanlah Adda tidak takut kalau-kalau teman lelakinya ternampak. Atau sesiapa sahaja yang mengenalinya dan teman lelakinya ternampak Adda dan dia. Kata hatinya juga memberitahu bahawa Adda masih lagi tidak mempunyai siapa-siapa dalam hati gadis itu.

“ Macam mana Angah boleh sangkut dengan dia? Angah dah kenal betul-betul ke dengan dia?” tanya Nadira lagi. Pantas Ashraf menggeleng.

“ Tak lagi? Apalah Angah ni! Angah ada SMS dia tak?”

Geleng.

“ WhatsApp?”

Geleng.

“ Telefon?”

Geleng.

“ Fac?” Nadira dah meluat.

Geleng.

“ Twitter?” Kali ini Nadira sudah mula bengang.

Geleng.

Nadira tarik muka. Abang aku ni dah kenapa? Benda senang macam tu pun tak reti nak buat? Aku sebut Fac dan Twitter tu pun sebab SMS dan telefon pun tak buat. WhatsApp yang terlampau senang itu pun sama. Angah, Angah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience