Chapter 5

Romance Completed 17236

BAB 5

SEDIKIT demi sedikit E-jat atur langkah ke sekeliling rumah. Mana papa ni? Bosannya!

Mata E-jat meliar ke sekeliling ruang tamu mencari Najwan. Dia baru sahaja bangun daripada tidur di dalam bilik Najwan tadi. Tadi E-jat dan Najwan sama-sama tidur selepas selesai menunaikan solat Zohor. Sedar-sedar sahaja, papa kesayangannya itu sudah tiada di sebelah. Mulalah buntu E-jat mencari lelaki itu.

Mana papa ni? Che Su pun tak ada.

E-jat berlari ke bahagian luar rumah. Dia tersenyum gembira apabila menemui Najwan di kolam renang.

E-jat dah berlari-lari mendapatkan Najwan yang sedang enak bersantai di hadapan kolam renang. Leher Najwan dipeluk dari belakang. Najwan hanya gelak sahaja sebelum memeluk E-jat.

“ Kenapa ganggu papa ni? Dah puas tidur?” tanya Najwan bergurau. E-jat tarik sengih.

“ E-jat dah puas tidur. E-jat cari papa, tak ada. Che Su pun tak ada. E-jat tak tahu nak buat apa ni ,” jelas E-jat. Najwan tersenyum. Rambut E-jat digosok perlahan.

Che Su. Gelaran lain buat Nawal selain daripada Mama Nawal oleh E-jat. Kadang-kadang E-jat akan memanggil Nawal dengan panggilan Che Su, kadang-kadang pula gelaran Mama Nawal pula yang digunakan.

“ Che Su pergi jumpa tunang dia. Kan lepas raya nanti Che Su dah nak kahwin?” kata Najwan. E-jat hanya mengangguk.

Haru betul kau ni, Naj. Adik dah nak kahwin, kau pulak tak ada seorang pun anak dara yang kau berkenan? Takkan nak jadi bujang lapuk kot? Mengingatkan Nawal yang akan bergelar isteri orang tak lama lagi boleh membuatkan dia tidak sedap duduk. Apatah lagi dengan ibu yang saban hari berleter menyuruh dia kahwin cepat.

Takkan ibu nak Naj tangkap muat aje calon isteri Naj?

“ Papa!”

Serta merta lamunan Najwan terhenti. Wajah E-jat direnung.

“ Kenapa?” tanyanya dengan senyum di bibir. Pipi comel E-jat dicubit-cubit.

E-jat sengih. “ Papa pula bila nak kahwin?”

Senyuman Najwan terus mati. Tiba-tiba sahaja E-jat mengeluarkan soalan yang tidak mampu dijawabnya. Cuba difikir baik-baik namun tidak tahulah kenapa, muka Auni juga yang terbayang diselangi dengan muka ibu ketika membebel kepadanya.

Alahai…

“ Kenapa? E-jat nak papa kahwin ke?” tanya Najwan. Pantas E-jat mengangguk. Tangan comelnya menarik kedua-dua belah pipi Najwan. Najwan hanya tersenyum.

“ Kalau papa kahwin, E-jat akan ada mama. E-jat boleh main dengan mama, boleh tidur dengan mama, ajak mama jalan-jalan, kan? Betul tak, papa?” tanya E-jat ceria. Bersungguh benar E-jat bercerita mengenai mama baharunya yang entah bila akan dia peroleh. Najwan mengangguk sahaja. Tangan E-jat ditarik daripada pipinya.

“ Lepas tu… bolehlah mama marah kalau E-jat nakal-nakal!” E-jat ditarik lantas digeletek. Terkekeh-kekeh E-jat ketawa mahu melepaskan diri. Najwan pula masih galak menggeletek E-jat.

“ Papa! Gelilah! Janganlah papa!” laung E-jat kuat. Najwan melepaskan tawa. E-jat dilepaskan. Laju sahaja E-jat menjauhkan diri daripadanya. E-jat berdiri bercekak pinggang. Najwan hanya ketawa melihat aksi itu.

“ E-jat nak mama yang baik! Tak nak yang jahat macam papa! Wekkk!!!”

E-jat menjelir lidah sebelum berlari masuk ke dalam rumah. Najwan menggelengkan kepala. Dia berbaring pada lantai. Ini kali pertama E-jat meminta seorang ‘mama’ daripadanya. Najwan risau jika E-jat sakit rindu terhadap Wawa. Dia mengeluh berat. Mungkin betul kata ibu selama ni, dia perlu mencari seorang ‘mama’ untuk E-jat.

BEBERAPA buah buku di tangan Auni, Adda renung dengan mata yang bulat. Kadang-kadang matanya akan beralih pula pada dua buah buku di tangannya. Muka Auni direnung tidak percaya. Auni buat selamba.

“ Kenapa?” tanyanya seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku. Adda sengih geram.

“ Rasanya, kau cakap kau nak beli dua buah buku aje kan? Kenapa sampai lima, enam buah ni?”

“ Memanglah banyak kalau aku asyik tangguh aje nak beli semua ni,” balas Auni selamba lantas ke kaunter pembayaran. Adda tepuk dahi.

Kesemua buku-buku itu diletakkan di atas kaunter pembayaran. Kesemuanya buku yang ditulis oleh penulis-penulis kegemarannya. Sempat juga Auni menyambar dua buah buku tulisan Jojo Moyes yang masih belum dimiliki olehnya tadi. Rambang mata dibuatnya setiap kali dia masuk MPH ini. Melayang juga dua keping not ungu setiap kali dia singgah di sini.

Selesai sahaja urusan mereka membeli buku, Adda terus tarik Auni ke Voir. Memang tempat kegemaran Adda kerana dia suka membeli pakaian di situ. Pantang betul nampak tanda Voir itu.

“ Kau nak cari apa? Raya lambat lagilah,” rungut Auni. Adda laju menggeleng.

“ Banyaklah kau punya raya lambat lagi. Lagi tiga minggu, tahu tak? Dah, jom ikut aku,” bantah Adda. Auni mengeluh. Matanya dijulingkan.

Adda dah tertumpu pada deretan skirt denim di hadapannya. Auni hanya memerhati sahaja. Bukannya dia tidak berminat, tetapi dia tiada mood untuk membeli belah. Sekiranya dia mahu membeli belah, dia pasti akan menarik ummi bersama-samanya.

“ Ceritalah pasal kau ke rumah kawan ibu bapa kau tu,” tanya Adda tanpa mengalih perhatian daripada skirt di tangannya. Kening Auni dah berkerut.

“ Buat apa nak cerita kat kau?” tanya Auni selamba.

“ Mana tahu ada apa-apa yang menarik ke. Cerita ajelah,” gesa Adda. Auni termenung seketika. Lambat-lambat dia mengangguk.

“ Rupa-rupanya klien yang aku jumpa kat Al-Azwar tu anak kawan ibu bapa aku. Kawan Encik Adam yang pernah datang pejabat kita tu,” kata Auni.

“ Kacak tak anak dia?” tanya Adda teruja.

“ Bolehlah. Aku tengok dia macam Mukai Osamu. Dia…” Kata-kata Auni mati di situ. Terkejut dia apabila Adda memaut kuat bahunya.

“ Kacaklah tu! Kau tak berkenan ke?” tanya Adda kuat. Mahu sahaja Auni menampar mulut itu. Tak sedar kita kat mana ke?

“ Kau ni, padan-padanlah. Tak sedar ke kita kat mana ni Cik Adda?” rungut Auni. Mujur sahaja tika itu tidak ramai pelanggan di dalam Voir. Jika tidak, tentu sahaja mereka menjadi tumpuan ramai. Adda sengih.

“ Maaflah,” kata Adda sambil gelak.

Auni tepuk dahi. Apalah kawan aku seorang ni…

“ Ceritalah lagi. Aku tak sabar ni,” kata Adda lagi. Auni mengeluh.

“ Malaslah. Baik kau cepat sebelum aku tinggal kau,” ugut Auni. Adda mencebik.

“ Yalah, yalah. Tunggu kejap, aku nak pergi bayar skirt ni,” kata Adda. Sebelum Adda siap membayar, awal-awal lagi Auni ke luar butik. Duduk seorang diri di luar, dia teringatkan malam dia berbuka puasa di rumah Najwan. Teringat masa Najwan menjadi imam. Macam terngiang-ngiang sahaja suara Najwan tatkala menjadi imam.

Aku ni kena sawan ke apa? Bahaya, bahaya. Asyik teringat aje senyum dia tu. Cepat-cepat dia menepuk dahi.

“ Auni?”

Auni toleh ke belakang. Adda sudah siap dengan urusannya.

“ Pelik semacam aje aku tengok kau ni. Dah, jom. Jangan risaulah, aku takkan tarik kau ke mana-mana lagi,” kata Adda. Auni senyum lega.

“ Yalah…”

Baru sahaja Auni melangkah untuk meninggalkan butik itu, dia terpaku di bahagian luar Voir. Wafiy sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Nafasnya terasa sesak. Redup lelaki itu merenung ke arahnya.

“ Boleh kita bercakap?”

NAJWAN merenung sayu pada pusara di hadapannya. Batu sungai yang dijadikan sebagai batu nisan diusap perlahan. Dia mengukir senyum pahit. Lama dia merenung pusara itu. Al Fatihah disedekahkan buat arwah Wawa dan Fuad.

“ Wawa, Along datang nak jenguk Wawa,” tutur Najwan sayu. Bagaikan terbayang sahaja wajah Najwa di hadapannya.

“ Along tunaikan janji Along, Along jaga E-jat baik-baik. E-jat seorang anak yang mendengar kata. Bertuah Wawa dan Fuad dapat anak macam E-jat,” sambung Najwan lagi.

Dengan kemeja dengan seluar slack masih bersarung di tubuh, Najwan terus ke kawasan perkuburan di mana arwah Najwa dan Fuad disemadikan. Sudah lama dia tidak menjenguk kubur adik kembarnya. Semuanya gara-gara E-jat semalam.

*

“ Ibu! Ayah!”

Kelam kabut Najwan meluru ke arah E-jat yang sudah mengigau sakan di atas katil. Buku yang dibacanya tadi dibiarkan sahaja terbuka di atas meja bacaan. Tubuh kecil E-jat digoncang kuat. Najwan mula cemas.

“ E-jat, bangun sayang. E-jat?” Cemas suara Najwan mengejutkan E-jat bangun. E-jat masih lagi mengigau. Tubuh kecil itu sudah berpeluh walau dalam bilik berhawa dingin.

“ Ibu! Ayah! E-jat nak ikut! E-jat nak ikut!” E-jat melalak lagi. Najwan sudah tidak tahu nak buat apa. Nasib baik ibu dan baba sudah masuk ke dalam biliknya kerana raungan E-jat yang kuat.

“ Naj, kenapa ni?” Ibu pula yang cemas. Najwan hanya membisu. Direnung E-jat yang sudah dipeluk oleh ibu. Mata E-jat mula celik perlahan-lahan. Ada air mata yang mengalir di pipi mulus itu.

“ Tok ibu… E-jat nak ikut ibu dan ayah…”

Najwan tergamam. Wajah sayu E-jat direnung lama. Dia mengetap bibir. Terasa tubuhnya menggigil perlahan tanpa sebab.

“ Dah, sayang. Malam ni E-jat tidur dengan tok ibu dan tok baba ya? Nak?” tanya ibu lembut. Kepala E-jat diusap.

E-jat menggeleng. “ E-jat nak tidur dengan papa. Boleh, papa?”

Wajah Najwan direnung dengan sepasang mata yang masih lagi berair itu. Lambat-lambat Najwan mengangguk. Dia senyum tanpa gula. Wajah ibu dan baba direnung lama.

“ Biarlah E-jat tidur dengan Naj. Ibu jangan risau,” kata Najwan perlahan. Ibu dan baba hanya mengangguk. Bahu E-jat digosok perlahan.

“ Baiklah. Baba dan ibu masuk tidur dulu. Naj pun tidurlah sekarang, tidur sama dengan E-jat. Jaga E-jat baik-baik,” pesan baba. Najwan hanya mengangguk lemah. Pintu ditutup rapat sebaik sahaja baba dan ibu keluar.

“ Papa…” E-jat panggil perlahan. Najwan cuba ukir senyum. Dia bawa E-jat ke pelukannya.

“ E-jat rindu ibu dan ayah…”

Najwan hanya mengangguk. Dia kehilangan kata-kata.

*

Najwan tersenyum hambar. Pedihnya hati ketika melihat wajah sayu E-jat yang merindui ibu dan ayah yang sudah pergi. Tambah-tambah lagi, ketika kanak-kanak lain sedang bergembira dengan ibu bapa masing-masing untuk menyambut Aidilfitri yang akan menjelang tiba. E-jat masih terlalu kecil untuk merasai erti kehilangan orang tersayang.

“ Kadang-kadang Along tak tahu nak pujuk E-jat macam mana. E-jat perlukan ibu dia, Wawa,” kata Najwan perlahan. Dia terhenti seketika. Ketulan tanah keras dihancurkan dengan tangan. Najwan mengeluh berat.

“ E-jat dah minta Along beri dia mama. Ibu pun dah lama bising suruh Along kahwin. Tapi, ada ke mana-mana perempuan yang sudi jaga E-jat sekali? Along sayangkan E-jat macam anak Along sendiri,” kata Najwan lagi.

Permintaan E-jat tempoh hari telah banyak kali membuatkan dia berfikir. Buruk baiknya jika dia beristeri. Najwan sedar E-jat perlukan kasih sayang seorang ibu, tetapi dia tidak yakin akan ada seorang gadis yang akan menerimanya dengan E-jat? Dia mahu gadis itu menerima E-jat sekali dalam hidupnya.

“ Along tak tahu nak buat macam mana. Kalau Wawa dan Fuad ada lagi, tentu E-jat takkan jadi macam ni, kan? Tapi Along tahu, Allah lebih sayangkan kamu berdua, sebab tu kamu pergi dulu daripada kami.”

Najwan bangun lantas meninggalkan tanah perkuburan itu. Wajahnya yang suram diraup berulang kali. Dia sudah rindu pada E-jat yang hanya berada di rumah. Kasihnya pada anak kecil itu sama seperti kasih seorang bapa kepada anak kandungnya.

“ AKAK ada hal nak cakap dengan Yam,” kata Puan Sofiah sejurus memberi salam. Ummi hanya mengangguk selepas menjawab salam wanita separuh abad itu.

“ Akak nak cakap terus terang, akak dan Abang Man dah setuju sangat dengan apa yang kita bincangkan tempoh hari,” kata Puan Sofiah lagi. Ummi hanya tersenyum.

“ Yam pun setuju, kak. Yam pun berkenan sangat dengan si Najwan tu. Tapi, betul ke si Najwan tu tak kisah? Kalau Auni, Yam rasa tak ada masalah,” kata ummi. Puan Sofiah hanya mengangguk.

“ Najwan memang tak ada masalah. Dia serahkan semuanya pada akak. Lagipun, kan kita dah janji dulu yang kita nak berbesan?” kata Puan Sofiah lagi.

“ Kalau boleh, Yam nak Najwan baik-baik dulu dengan Auni. Biarlah mereka kahwin atas dasar keluarga pun tapi perasaan suka sama suka tu ada,” pinta ummi. Puan Sofiah tergelak.

“ Tahulah akak nak buat macam mana,” kata Puan Sofiah bergurau. Ummi turut gelak sama.

“ Tapi kan, akak. Yam dan Abang Ya serahkan perkara ni pada Auni juga. Kalau dia setuju, alhamdulillah. Kalau dia tak nak, kami tak sedap hatilah nak paksa dia.”

“ Jangan risau, Yam. Akak pun tak akan sampai hati nak kahwinkan mereka tanpa kerelaan masing-masing. Macam mana kalau akak ajak Auni ke rumah akak lepas Yam beritahu pasal ni? Biar akak cakap baik-baik dengan dia, cuba tanya dia sendiri,” kata Puan Sofiah lagi. Ummi mengangguk perlahan.

“ Bagus juga tu. Nanti Yam cakap elok-elok dengan Auni. Yam…”

Ummi yang masih belum menghabiskan percakapannya terganggu dengan suara memberi salam dari luar. Ummi renung dari celah-celah langsir putih. Bulat mata ummi melihat luar. Auni!

“ Auni dah balik. Insya-Allah malam ni Yam beritahu dia pasal ni. Akak pula cakaplah dengan Najwan, ya?”

Ummi dapat lihat wajah Kak Sofinya di skrin telefon itu sedang mengangguk. Selepas memberi salam, terus telefon diletakkan di atas meja. Agak lama juga ummi dan Puan Sofiah buat panggilan video di telefon masing-masing gara-gara rancangan nak menjodohkan Auni dan Najwan.

“ Ummi buat apa dengan telefon tu? Asyik betul adik tengok,” kata Auni. Tangan ummi dicapai lantas dikucup perlahan. Wajahnya yang kelihatan mendung sejak pertemuannya dengan Wafiy tadi cuba disorokkan daripada pengetahuan ummi.

Ummi hanya tersengih. Dia cuba mengawal riak wajahnya yang masih lagi terkejut dengan kepulangan Auni yang tidak disangka-sangka.

“ Tak penting pun. Dahlah, baik adik pergi mandi. Lambat lagi nak berbuka ni. Ummi nak adik rehat dulu, ya?” kata ummi. Auni hanya mengangguk.

Nasib baik ummi tak perasan. Kalau tidak, Auni sendiri tidak tahu mahu cakap apa.

Beg diletakkan di atas katil bersama-sama plastik buku MPH. Tudung dibuang lantas dimasukkan ke dalam bakul pakaian busuk. Tanpa berlengah lagi Auni terus baring di atas katil. Dia dah solat Asar di Mid Valley tadi.

Matanya dipejamkan. Dia masih malas lagi untuk mandi. Tambah-tambah lagi lepas Asar. Makhruh, kan?

Auni termenung panjang. Bibirnya digigit. Terasa nak lempang sahaja muka Wafiy tadi. Penjelasan sudah diberi dengan elok-elok tetapi lelaki itu tetap berdegil dengan keputusannya. Bayangan peristiwa tadi kembali menerjah minda.

HENING sahaja suasana antara mereka. Adda yang menemani Auni pula kelihatan serba salah. Mahu bertanya khabar Wafiy tetapi nampaknya tidak sesuai untuk masa sekarang.

“ Apa yang awak nak cakap dengan saya?” soal Auni merendah.

“ Auni, tolong? Dah lama saya cari awak. Boleh tak kita berbincang baik-baik?” Wafiy merayu.

Bukannya Wafiy tidak perasan dengan nada yang digunakan oleh Auni. Agak dingin berbanding kebiasaan jika mereka berdua berbicara. Sudah beberapa tahun mereka tidak bertemu dan Wafiy mengharapkan ada sinar untuknya bagi memulakan hubungan dengan Auni.

“ Encik Wafiy Adnan, saya dah beritahu awak sebelum ni. Mungkin dah beratus-ratus kali agaknya. Saya tak boleh terima awak. Saya cuma anggap awak sebagai kawan saya sahaja. Hanya K.A.W.A.N! Saya tak pernah terfikir nak jadikan awak seseorang yang istimewa dalam hidup saya, boleh awak faham yang itu?”

Jika bahasa yang elok dan sopan tidak dapat membuatkan Wafiy faham, mungkin sudah tiba masanya untuk dia menggunakan bahasa yang agak kasar. Berharap agar lelaki itu faham dan tidak menganggunya lagi.

“ Tapi kenapa? Kita tak mencuba lagi?” Wafiy juga tetap berkeras.

Auni menggeleng. “ Maaf, saya tetap tak boleh terima. Berada dalam satu hubungan bukan sekadar untuk mencuba saja. Ianya lebih bermakna daripada itu. Lagipun saya tak percaya cinta sebelum kahwin. Ummi dan walid saya tak didik sebegitu.”

Wafiy menarik nafas. Cuba menenangkan diri. Tajam pandangan matanya pada wajah Auni.

“ Awak bukan cari saya, Wafiy. Awak keliru sebenarnya. Awak yang tak sedar. Awak keliru dengan perasaan awak,” kata Auni. Nadanya perlahan tetapi berbaur tegas dan misteri.

Kening Wafiy bercantum. Apa maksud Auni?

“ Apa maksud awak? Saya keliru dengan perasaan saya sendiri?”

Auni tersenyum hambar. Rasanya tidak perlulah dia menerangkannya kepada Wafiy. Dia tidak mahu ada hati yang terluka kelak.

“ Saya hantar rombongan meminang?”

Kata-kata Wafiy mengejutkan Auni dan juga Adda yang sedari tadi hanya mendiamkan diri sahaja. Serius?

“ Kalau awak nak, saya boleh hantar rombongan minggu depan juga.”

“ Tak boleh!”

Wajah Wafiy berkerut. Tidakkah Auni nampak keikhlasan hatinya?

“ Kenapa?”

“ Saya kata tak boleh, tak bolehlah! Susah ke untuk awak faham? Saya tak boleh terima awak!”

Auni merasakan tangannya kini sedang menggeletar menahan kemarahan. Kenapa Wafiy tidak faham-faham lagi? Tolonglah! Jangan kusutkan keadaan lagi.

“ Awak tentu ada alasan kan kenapa awak tak nak? Hak saya kalau saya tetap nak hantar rombongan meminang awak,” Wafiy berkeras.

Auni mengetap bibir. Alasan apa yang aku nak bagi ni?

“ Auni, saya…”

“ Saya dah nak bertunang. Percaya atau tidak, saya akan bertunang tak lama lagi. Jangan ganggu saya lagi. Ibu bapa saya dah ada pilihan sendiri,” kata Auni tegas.

Wafiy dan Adda sama-sama terkejut. Pantas Auni menarik tangan Adda untuk meninggalkan Wafiy yang masih lagi terkedu.

Dan dalam sepanjang perjalanan mereka keluar dari Mid Valley, Adda tidak habis-habis menyoal kebenaran kata-kata Auni mengenai berita pertunangannya itu. Auni terpaksa mendiamkan Adda dengan meminta Adda agar tidak membocorkan pembohongannya itu tadi. Ternyata itu hanyalah suatu pembohongan.

BODOH! Bodoh! Bodoh!

Auni menepuk dahinya kuat. Kenapalah dia boleh menipu sehingga keterlaluan sebegitu. Siapalah yang nak masuk meminang dirinya dalam masa terdekat ini? Kalau tidak Wafiy tentu tidak akan berhenti menganggunya jika lelaki itu tahu bahawa Auni sudah menipunya.

Tipulah jika Auni mengatakan hatinya tidak tersentuh saat Wafiy mengatakan dia akan menghantar rombongan meminangnya. Tetapi dia tidak sanggup mempertaruhkan masa depannya. Hanya kosong dan hambar sahaja yang dirasakan saat Wafiy mengungkapkan kata-kata puitis untuknya. Auni mahu percaya akan kata hatinya yang itu.

“ Adik?”

Kuakan pintu yang dibuka menarik perhatian Auni. Angah muncul di hadapannya.

“ Angah, kenapa?”

“ Kenapa apanya? Dah nak berbuka ni. Cepat turun,” kata Alin. Auni mengangguk lalu pantas turun daripada katilnya

Kerana terlalu lama memikirkan mengenai Wafiy, Auni langsung tidak menyedari bahawa waktu berbuka puasa sudah hampir tiba. Auni mengekori langkah Alin daripada belakang. Ummi dan walid sudah menunggu mereka di meja makan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience