BAB 59
LAMA Auni berkaca di meja solek. Pantulan imejnya menunjukkan betapa tidak bermaya dirinya saat ini. Tidurnya tidak lena gara-gara Sarah. Dia cuba menghalau bayangan wanita itu namun gagal. Semakin dia cuba untuk tidak memikirkan, semakin jelas wajah Sarah dengan senyuman sinisnya terbit di minda.
Mata Auni jatuh pada jari manis di tangan kirinya. Cincin perkahwinannya masih kekal tersarung di situ. Tidak akan ditanggalkan melainkan dia ingin mandi atau mengambil wuduk. Cincin ini membawa seribu erti kepadanya.
“ Sayang?”
Tangan Najwan mendarat kemas pada kedua-dua belah bahunya. Auni melihat sahaja menerusi pantulan pada cermin di hadapannya. Senyuman yang terukir pada wajah suaminya dibalas walau nampak hambar.
“ Jom turun sarapan, dah lawa dah ni,” Najwan memuji seraya memujuk. Auni mengangguk sahaja. Dia membiarkan sahaja Najwan menautkan jari jemari mereka. Hatinya tenang sedikit di saat merasai hangat tangan suaminya. Dia rasa selamat.
Auni hanya memasak nasi goreng untuk sarapan mereka berdua pada pagi ini. Dia menuang air teh panas ke dalam kedua-dua biji cawan. Sebiji diletakkan di hadapan Najwan, sebiji lagi diletakkan di sebelah pinggan makannya.
Suasana sarapan pada pagi itu sepi sahaja. Nasi yang berada di dalam pinggan dikuis sahaja oleh Auni. Seleranya mati setiap kali dia berfikir mengenai pertemuannya dengan Sarah pada tengah hari ini.
“ Nini?”
Auni mengangkat wajah. Hatinya sakit. Sakit kerana Najwan merenungnya dengan pandangan yang tidak mampu dia tafsirkan. Adakah suaminya kecewa? Sakit hati? Marah? Auni tidak tahu dan dia tidak berani untuk bertanya.
“ Nini, tolonglah cakap sesuatu. Abang risau.. sejak semalam lagi Nini macam ni. Ada sesuatu yang jadi? Atau abang ada lukakan hati Nini?”
Najwan meletakkan sudu di pinggan. Nasi gorengnya masih lagi berbaki. Seleranya sudah terbantut. Dia tidak tega untuk melihat isterinya terus murung seperti itu.
“ A…” Apa yang ingin diluahkan tersekat. Auni sedar suaminya risaukan dirinya, tetapi dia lebih risaukan Najwan sekiranya Najwan mendapat tahu apa yang sebenarnya terjadi.
“ Nini?” Nada Najwan sudah berubah merayu. Berharap benar Auni akan memahami apa yang dirasakan kini.
“ Tak.. bukan salah abang… Nini…”
Auni terus menunduk. Dia tiada kekuatan untuk melawan renungan Najwan yang seakan-akan meminta simpati dan pengertian daripadanya. Susahnya nak luahkan apa yang difikirkannya buat sekian lama.
Najwan menahan sahaja rasa kecewa yang semakin menggunung. Kecewa kerana sehingga kini Auni masih belum sudi untuk berkongsi masalahnya walaupun Najwan sudah berjanji dengan dirinya sendiri bahawa dia akan sabar menunggu sehingga Auni bersedia. Apa guna dia bergelar suami kepada Auni sekiranya dia gagal menggembirakan wanita itu?
“ Tak apa. Jangan paksa diri Nini sendiri tapi tolong, jangan stres ya? Abang tak nak Nini dan bayi kita jatuh sakit. Kalau Nini tak makan, macam mana dengan anak kita? Nanti Nini juga yang letih.” Najwan terus memujuk Auni walaupun rawan hatinya sendiri tidak terpujuk. Dia lebih risaukan Auni daripada dirinya.
Muka Auni berubah kelat. Dia cuba untuk mengukir senyum tetapi gagal. Tiada apa-apa yang salah dalam setiap kata-kata Najwan. Cuma dia yang tidak dapat melawan rasa hati.
“ Abang… Nini tak bermaksud nak kecewakan abang,” kata Auni dengan berat hati.
“ Dah, sayang. Lupakan pasal tu. Cuma sekarang abang minta Nini makan ya? Sikit pun tak apa, asalkan makan, boleh?” Tidak puas-puas Najwan memujuk Auni untuk menjamu selera. Yang penting Auni dan bayi dalam kandungan isterinya sihat.
Teragak-agak Auni mengangguk. Dia memaksa dirinya untuk makan. Setiap butir nasi yang disuap terasa kesat seperti pasir. Najwan sudah mampu untuk tersenyum selepas melihat suap demi suap dimakan oleh Auni.
Habis juga separuh nasi goreng di pinggan Auni. Cukuplah setakat itu. Dia sudah tidak mampu untuk menelan lagi. Tangannya dihala untuk mengambil cawan yang berisi air teh panas tetapi…
“ Ah!”
Prang!
“ Nini!”
Ketiga-tiga bunyi itu hampir berbunyi serentak. Najwan kaget di saat dia melihat cawan Auni pecah berderai di atas lantai selepas menumpahkan sedikit airnya pada tangan Auni. Auni turut berasa cemas. Dia ingin turun untuk mengutip kaca-kaca pecah itu namun jeritan Najwan menghentikan langkahnya.
“ A.. abang?” ucap Auni takut-takut. Takut sekiranya dia akan dimarahi Najwan kerana bersikap cuai.
“ Berhenti! Jangan gerak.. biar abang bersihkan. Nini jangan gerak. Kaca tu boleh cederakan Nini,” kata Najwan sambil merendahkan nadanya. Auni tercengang. Dia hanya mampu melihat sahaja ketika Najwan bangun dan mendapatkannya.
“ Pedih sangat ke sayang?”
Najwan membelek pada jari-jari Auni yang mula menimbulkan kesan merah kerana terkena air teh panas tadi. Pintu peti sejuk dibuka lantas dikeluarkan sebotol madu asli. Sedikit madu asli dicalitkan pada jari-jari tersebut. Auni merenung setiap perlakuan suaminya. Berhati-hati Najwan melakukan kerjanya.
“ Abang rasa dah elok. Hati-hati… Nini tunggu kat ruang tamu ya? Abang nak bersihkan kaca ni dulu,” pujuk Najwan. Berhati-hati dia menarik Auni untuk mengekorinya ke ruang tamu. Serpihan kaca yang kecil boleh mencederakan kaki yang menapak di atasnya juga. Didudukkan isterinya di atas sofa.
“ Tunggu kejap tahu,” kata Najwan lembut. Dia terus berlalu ke dapur.
Auni duduk bersandar pada sofa. Perutnya yang kian membesar diusap lembut. Bibirnya diketap sekadar untuk menahan rasa hati yang kian menggila sebaknya. Dia sudah letih. Letih memikirkan perangainya yang membuatkan hati Najwan tersentuh. Tetapi tidak pernah pun Najwan meninggikan suaranya walaupun Auni tahu suaminya kecewa dengan sikapnya.
Abang… Tolonglah… Jangan marah… Nini janji akan beritahu abang lepas Nini selesaikan semua ini, okay?
Usai membersihkan serpihan kaca dan tumpahan air teh di atas lantai, Najwan terus mendapatkan Auni di ruang tamu. Dia duduk di sebelah isterinya. Tangan yang terkena air teh panas tadi direnung lama.
“ Pijar lagi ke?” Najwan bertanya risau. Cepat-cepat Auni menggeleng.
“ Abang telefon Adam, minta cuti untuk Nini. Abang kata Nini tak sihat. Tak payah pergi kerja ya?” sambung Najwan. Matanya masih pada tangan Auni.
Kata-kata Najwan mengejutkan Auni. Tidak pergi kerja? Macam mana dia nak bertemu dengan Sarah? Tentu Najwan curiga sekiranya dia keluar pada tengah hari ini.
“ Tak! Kenapa tiba-tiba?” Auni merintih. Tolonglah… bila lagi boleh selesaikan masalah ni?
Gelengan Najwan mematikan semangat Auni.
“ Abang tak benarkan Nini pergi kerja, atau ke mana-mana pun. Nini duduk aje kat rumah. Rehat, okey? Atau Nini nak abang bawa Nini pergi rumah ibu? Atau rumah ummi?” Najwan memujuk lagi. Dikeraskan hatinya dengan keputusan yang telah dibuat walaupun Auni kelihatan bersungguh-sungguh membantah keputusannya.
“ Tak nak… abang, tolong? Izinkan Nini pergi kerja?” Auni berterusan memujuk. Dia tidak mahu menggagalkan rancangan Sarah. Dia risau memikirkan akibat yang akan ditanggungnya kelak.
“ Tak boleh, sayang. Tak boleh. Duduk rumah, rehat. Abang tahu Nini tak sihat,” Najwan sabar memujuk.
“ Tak! Abang tak boleh buat Nini macam ni!”
Auni terpana. Najwan turut terpana. Masing-masing terkejut dengan nada suara Auni yang meninggi. Cepat-cepat Auni menutup mulutnya, menyesali ketelanjurannya meninggikan suara terhadap suaminya sendiri.
“ Abang… Nini tak bermaksud.. Nini…”
Senyuman yang terukir pada wajah suaminya mematikan kata-kata Auni. Tangan Najwan mengusap kepalanya yang masih berbalut dengan tudung. Matanya panas menahan air mata melihat senyuman itu. Suatu senyuman yang penuh dengan keikhlasan dan kasih sayang. Mata suaminya redup merenungnya.
“ Abang harap sangat dapat teman Nini hari ni tapi abang ada mesyuarat penting hari ni. Abang cuba balik cepat, ya? Boleh, sayang?”
“ Abang…”
Tubuh isterinya dipeluk erat. Sebak pada dada Auni semakin mencengkam rasanya. Dia dihantui dengan rasa bersalah terhadap Najwan. Dia tidak sangka akan tiba juga hari di mana dia akan menaikkan nada suaranya kepada suaminya sendiri.
“ Nini…” perlahan-lahan Najwan meleraikan pelukan mereka. Matanya tepat bertaut dengan mata Auni, “… abang pergi kerja dulu ya? Selalu ingat yang abang sayangkan Nini. Selalu. Assalamualaikum.”
Dahi Auni dikucup lama. Najwan terus berlalu dari situ tanpa sempat Auni menyalami tangannya. Tergesa-gesa Auni mengekori langkah suaminya yang semakin jauh daripadanya. Najwan langsung tidak memandang ke arahnya ketika dia memandu Prius keluar dari kawasan rumah mereka. Akhirnya, Prius hilang daripada pandangan Auni.
Auni terjelepok di pintu rumah. Air matanya mengalir juga keluar. Hatinya tercarik kerana menyedari tindakannya telah membuatkan Najwan berjauh hati dengannya. Tidak pernah Najwan pergi ke tempat kerjanya tanpa bersalaman dengan Auni terlebih dahulu.
Digagahkan dirinya untuk masuk ke dalam rumah. Xperia yang berdering di dalam tas tangan menghilangkan fokus Auni terhadap apa yang sedang bermain dalam mindanya. Auni menggigil ketakutan. Adakah ianya Sarah? Lambat-lambat dia mengambil telefon bimbitnya daripada tas tangan.
Abang…
Maaf kalau abang lukakan perasaan Nini. Rehat ya sayang?
Abang akan balik cepat. Jaga diri.
Abang… Kenapa abang baik sangat?
Auni duduk di atas sofa. Mesej yang diterima daripada Najwan dibaca berulang kali. Tidak putus-putus air matanya mengalir menuruni pipi. Penyesalan demi penyesalan bertamu di hatinya. Auni tidak punya kekuatan untuk membalas mesej Najwan atau menelefonnya. Sungguh. Dia tidak kuat. Xperianya sekali lagi berdering. Namun kali ini nama Sarah yang tertera di skrin. Cepat-cepat Auni membuka mesej itu.
Akak tunggu.
“ Arghh!!!”
Xperia dicampak kuat ke atas lantai. Skrin Xperia terus gelap lantaran hentakan yang kuat pada tubuhnya yang nipis itu. Sedikit keretakan timbul pada skrin.
Auni tercungap-cungap menahan nafas. Kepalanya digeleng berulang kali. Tidak. Dia tidak boleh mengalah begitu sahaja dengan Sarah. Walau apapun yang berlaku, dia harus bersemuka dengan wanita itu. Demi keharmonian rumah tangganya. Dia harus!
NAJWAN mengerling pada muka jam di pergelangan tangannya. Ada sejam lagi sebelum masuk waktu makan tengah hari. Dua buah fail besar di hadapannya direnung kosong. Dia lebih memikirkan mengenai Auni yang berada di rumah saat ini.
Wajah sayu Auni sewaktu dia meleraikan pelukan sebelum dia keluar dari rumah tadi masih bermain-main dalam mindanya. Najwan tahu dalam diam Auni menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang terjadi. Ada sesuatu yang disorokkan oleh isteri kesayangannya itu.
Najwan bangun daripada kerusi lantas segera mencapai kot yang tersangkut di atas kerusi. Tergesa-gesa dia keluar dari pejabatnya untuk ke pejabat baba. Teguran Kak Mila langsung tidak dipedulikan.
Keluar sahaja dari pejabat baba, barulah dia mendapatkan Kak Mila. Berkerut wajah wanita itu melihatkan wajah majikannya yang kelihatan kusut. Lagak Najwan juga seakan-akan tergesa-gesa mengejar sesuatu.
“ Kak Mila, saya dah cakap dengan baba. Saya tak masuk mesyuarat tengah hari ni. Saya ada kecemasan. Tolong ambil sebarang maklumat yang penting, boleh?” kata Najwan laju. Hampir sahaja Kak Mila tidak dapat menangkap setiap patah perkataan yang diucapkannya. Terangguk-angguk kepala Kak Mila.
“ Ba.. baik… Kiranya tak masuk teruslah lepas ni?” tanya Kak Mila sebelum sempat Najwan berlalu.
“ Bergantung. Saya tak berani janji. Terima kasih Kak Mila!”
Laju Najwan berlari mendapatkan lif. BlackBerry di dalam kocek seluar diambil. Matanya membaca sesuatu. Air mukanya kelihatan cemas.
Ya Allah… Nini… tolonglah jangan…
Share this novel