BAB 36
“ AKU nak pilih mana satu ni, Auni? Buntu dah aku ni,” keluh Adda buat kesekian kalinya. Auni yang sedang berdiri di sebelah Adda ketawa geli hati. Matanya turut tertumpu pada deretan jam tangan yang dipamerkan dalam kotak kaca itu. Kesemuanya menampilkan gaya maskulin yang sesuai untuk kaum Adam.
“ Aku tak tahu pula yang payah juga nak pilih barang hantaran ni,” keluh Adda lagi. Dia sudah seperti ibu ayam kehilangan anak. Semua tidak betah dalam setiap tindakannya. Adda tidak tahu pilihan yang terbaik untuk barangan hantaran perkahwinannya nanti.
“ Kaulah yang gatal sangat tolak pelawaan mak kau tadi. Mak kau nak temankan kau beli barang hantaran, kau tak nak. Sekarang, siapa yang susah? Kau juga kan?”
Auni mula masuk mod membebel. Dia juga turut pening kepala memikirkan ‘masalah’ yang sedang dihadapi oleh Adda sekarang walaupun sebenarnya ‘masalah’ itu tidaklah serumit yang disangkakan.
Adda tarik senyum serba salah. Teringat pelawaan ibunya yang mahu membantu dia memilih dalam pembelian barang hantaran tadi. Ibunya menawarkan bantuan itu sebelum dia keluar menemui Auni di sebuah kompleks beli belah pagi tadi. Mentah-mentah dia menolaknya kerana kononnya tidak mahu menyusahkan ibunya. Akhirnya, dia juga yang berada dalam kesusahan sekarang ini.
“ Kau kan tahu yang mak aku baru aje kebah dari demam tu, tak tergamak aku nak terima bantuan dia. Dibuatnya demam mak aku datang balik, tak ke naya? Kesian mak aku,” kata Adda. Dia sedang membandingkan dua buah jam tangan berlainan jenama yang berjaya menarik perhatian dia. Sedari tadi gadis penjual di kaunter itu setia melayan kerenah mereka berdua.
Auni mengangguk sahaja. Dia terlupa yang Puan Aisya baru sahaja kebah daripada demam dua hari yang lalu. Sempat juga dia datang melawat ibu Adda sewaktu Puan Aisya demam dahulu.
“ Pihak Ashraf akan kasi tujuh dulang, kau balas sembilan, kan?” tanya Auni meminta kepastian. Dia meneliti semula senarai barang hantaran yang perlu dibeli oleh mereka.
Senarai itu disediakan oleh ibu Adda. Sebuah jam tangan, sepasang kasut, sepasang sut pejabat dan lain-lain disenaraikan dengan teliti oleh wanita itu. Bajet yang diperuntukkan bagi setiap barangan turut disediakan.
Mata Auni kembali tertumpu pada dua buah jam tangan yang berada di tangan Adda. Kedua-duanya berwarna kelabu metalik namun ada perbezaannya. Sudah pasti Adda pening kepala mahu memilih yang mana satu.
“ Ashraf suka jenis macam mana?” tanya Auni. Pantas Adda menggeleng.
“ Aku tak tahu. Aku tak banyak luangkan masa dengan dia. Jadi, aku tak tahu,” kata Adda selamba. Kerutan di dahi Adda kian bertambah. Auni ketawa geli hati.
“ Aku rasa yang kat tangan kanan kau tu dah okey, lagipun lebih kurang aje kan spesifikasi jam tu?” cadang Auni. Dia tidak mahu memeningkan kepala Adda dengan perkara-perkara seperti ini. Masih banyak lagi barangan yang belum dibeli.
Adda kelihatan teragak-agak. Dia merenung wajah Auni ingin memintas kepastian. Nanti kalau salah beli, buat naya aje.
“ Lagipun dah hampir sejam kita kat sini, kau tak pilih-pilih lagi. Aku yakin Ashraf akan suka. Bakal isteri kesayangan yang beri, takkanlah dia nak campak masuk dalam laut kot.” Sempat lagi Auni mengusik Adda. Satu cubitan singgah pada lengan kirinya.
“ Kau ni kan, pantang betul kalau ada peluang nak kenakan aku,” rungut Adda. Jam tangan yang sudah dipilih itu diserahkan kepada jurujual di kaunter itu. Gadis itu menyambutnya dengan senyuman.
Auni menarik nafas lega. Baru siap beli satu barang, tinggal lapan jenis lagi. Tak tahulah pukul berapa dia boleh pulang ke rumahnya. Nasib baik Najwan membenarkan dia keluar menemani Adda pada hujung minggu itu. Suaminya itu hanya berada di rumah ibu dan baba aje hari ini. Ada juga ibu yang akan sediakan makan tengah hari suaminya itu nanti. Kalau tidak, kebuluranlah suami kesayangannya itu.
“ Terima kasih, cik. Sila datang lagi,” ucap jurujual itu selepas urusan pembelian sudah diselesaikan. Adda dan Auni hanya mengangguk sahaja kepada jurujual itu. Tergesa-gesa mereka berdua keluar dari kedai jam itu.
“ Kita nak cari apa pula ni?” tanya Auni seraya melihat senarai tadi.
“ Kita cari sut pejabat dulu, lepas tu kasut. Siap beli dua barang tu, kita pergi makan dulu dan sambung balik, okey?” kata Adda. Dia menyimpan dompetnya ke dalam tas tangan. Auni mengangguk.
“ Aku ikut aje, asal kau belanja aku makan,” kata Auni tanpa rasa malu. Adda ketawa.
“ Mengada-ngadalah kau ni. Dah, jom.”
Sebuah butik yang hanya menjual pelbagai jenama pakaian untuk lelaki menjadi tumpuan Adda dan Auni. Sementara menunggu Adda bertanyakan soalan kepada jurujual di dalam butik itu, Auni mengambil kesempatan untuk merayau-rayau di dalamnya.
Mata Auni tertarik kepada sehelai kemeja lengan panjang yang dipamerkan oleh patung di dalam butik berkenaan. Dia tersenyum simpul apabila memikirkan Najwan sedang memakai baju kemeja itu.
Warna hitam kemeja itu dengan jalur putih melintang pada sebelah kanan kemeja tersebut dirasakan kena dengan suaminya yang berkulit cerah. Auni mencongak dalam fikiran. Rasanya sudah lama dia tidak membeli apa-apa untuk dihadiahkan kepada suaminya.
“ Cik?” Auni memanggil salah seorang jurujual yang berada berdekatan dengan dirinya. Dia sudah tertarik hati untuk membeli kemeja tersebut. Diminta saiz yang sesuai dengan Najwan lantas dia mengekori gadis itu ke kaunter.
“ Eh? Beli baju untuk cik abang juga ke?” Adda yang turut berada di kaunter senyum mengusik. Auni ketawa perlahan.
“ Kesian suami aku. Dah lama aku tak beli apa-apa untuk dia,” balas Auni senang hati. Beg plastik butik itu yang sudah terisi dengan kemeja untuk suami tercinta disimpan di dalam beg tangannya. Dia masih memikirkan masa yang sesuai untuk memberi hadiah itu kepada Najwan.
“ Untunglah suami kau dapat isteri macam ni.” Adda tidak henti-henti mengusik. Senyuman bahagia tidak lekang daripada wajah sahabatnya itu.
“ Nak cari kasut kan?” Auni menyoal selepas mereka keluar daripada butik tersebut. Adda mengangguk pantas.
Mereka berdua menapak ke destinasi yang seterusnya. Mahu menyelesaikan pembelian barang hantaran pada hari itu juga. Dalam kesibukan dengan orang ramai itu, Adda terlanggar seseorang. Mujur sahaja dia berjaya mengimbangi tubuhnya. Orang itu juga tidak apa-apa nampaknya.
“ Maaf, saya tak sengaja,” pinta Adda. Lelaki yang dilanggarnya itu merenung pada wajahnya. Muncul kerutan pada wajah lelaki itu.
“ Adda?”
Adda terkesima. Auni di sisinya kelihatan bingung apabila melihat lelaki di hadapan mereka itu seakan-akan mengenali Adda.
“ Muqri?”
Lelaki itu tersenyum gembira. Dia kelihatannya teramat mengenali Adda.
“ Ya. Ini saya…”
“ Auni, jom kita balik.”
Tanpa menunggu lelaki yang bernama Muqri itu menghabiskan ayatnya, Adda segera menarik lengan Auni meninggalkan Muqri. Auni menoleh ke arah Muqri yang ditinggalkan di belakang. Lelaki itu kelihatan terkebil-kebil dengan tindakan melulu Adda. Auni segera mengalih pandang ke wajah Adda. Adda kelihatan seperti mahu menangis.
“ Kenapa dia muncul balik? Kenapa?”
Dan itu sahaja perkataan yang muncul dari bibir Adda. Walaupun perlahan, namun Auni masih mampu mendengarnya. Nampaknya, sesi membeli belah mereka tamat di situ sahaja.
LEMBUT jemari Auni mengenggam tangan Adda yang menggeletar. Air mata Adda turun tanpa berhenti sejak daripada pertemuan mereka dengan lelaki bernama Muqri tadi. Auni mahu mengutarakan soalan mengenai Muqri tetapi dia merasakan ini bukanlah masa yang sesuai untuknya, apatah lagi dalam keadaan Adda yang sedang bersedih itu.
Mereka berdua mengambil tempat di sudut yang agak terpinggir di dalam taman rekreasi yang menjadi destinasi mereka kini.
“ Kenapa dia muncul balik? Aku tak pernah sangka yang dia akan muncul balik depan aku,” esak Adda. Tangisannya kian surut. Auni mengetap bibir. Tubuh Adda dipeluk kejap buat seketika.
“ Kau memang kenal dengan lelaki tu?” Teragak-agak Auni bertanya. Dia agak berkeyakinan selepas melihat Adda sudah mampu untuk bersuara.
Adda mengangguk perlahan. Dia cuba untuk mengukir senyum. Tisu yang dihulurkan oleh Auni diambil lalu dikesat air mata yang tumpah. Auni sabar sahaja dengan Adda yang masih belum menceritakan perkara yang sebenarnya.
“ Muqri… teman lelaki aku masa aku masih sekolah menengah dulu.”
Kenyataan itu mengejutkan Auni. Sejak bila Adda ada teman lelaki? Kenapa dia selaku sahabat akrab Adda tidak mengetahui mengenai perkara itu?
“ Kau tak kenal dia, sebab aku tak pernah cerita. Dia pun belajar kat luar negara dulu, jadi aku malas nak heboh-heboh. Masa kita SPM, dia baru first year kat King’s College London tu,” kata Adda lagi. Auni mengangguk sedikit, hanya sebagai respon kepada cerita Adda.
“ Aku kenal dia kat majlis hari lahir kawan adik aku. Masa tu dia tak pergi London lagi. Sejak kami jumpa hari tu, kami mula baik. Dan, dia lamar aku jadi teman wanita dia sebelum dia ke London. Aku terima, sebab aku dah mula suka dia. Cuma adik aku aje yang tahu pasal dia.”
Auni mengeluh. “ Kenapa kau tak pernah cerita?”
Adda menundukkan kepala. “ Kau kan tahu masa tu kita tahun SPM, aku takut kau marah dan aku takut kalau aku kena putus dengan dia. Aku sayang dia, Auni,” balas Adda sedih. Auni mengusap belakang Adda. Dia masih lagi terkejut dengan kehadiran Muqri dalam hidup sahabat baiknya itu.
“ Kemudian?”
Adda menarik nafas, cuba mencari kekuatan untuk menceritakan kisah silamnya bersama Muqri sebelum ini. Kedua-dua tangannya digenggam kuat.
“ Pada pertengahan tahun berikutnya, dia balik ke Malaysia. Dia ajak aku jumpa dia dan aku setuju. Tengah hari tu, aku ke Mid Valley. Kami dah janji nak tengok wayang sama-sama. Mula-mula tu memang janggal tapi lama-lama kemudian kami jadi biasa.” Adda berhenti seketika. Dia menghela nafas.
“ Hari tu jugalah dia kata nak bertunang dengan aku. Aku terkejut sebab kami baru aje jumpa dan kami masih terlalu muda masa tu. Kau bayangkan Auni, aku baru 18 tahun masa tu. Tapi, aku tak terus tolak. Aku minta masa untuk berfikir,” cerita Adda lagi. Nampaknya dia kian tenang. Air mata Adda sudah berhenti mengalir.
“ Kau putus bila?” Auni melontarkan cepu emas itu. Adda tunduk sejenak.
“ Sebelum dia ke London balik.”
Auni tergamam. “ Bukan ke tu… terlalu cepat?”
“ Aku yang minta putus…” Adda mengangguk sedikit. “… sebab aku nampak dengan mata aku sendiri, dia mabuk dan berpelukan dengan perempuan lain.”
Auni terasa lidahnya kelu. “ Ma.. macam mana kau tahu? Kau nampak kat mana?”
Auni tersenyum pahit. Dia melontar pandangannya pada air tasik yang berkemilau disinari cahaya matahari di hadapan mereka.
“ Aku rasa Allah dah nak tunjuk pada aku. Sebab, setiap kali aku keluar dengan dia, dia akan cuba nak pegang tangan aku. Aku tak suka, aku kata kita tak sah dengan ikatan lagi jadi dia tak boleh pegang aku sesuka hati dia. Tapi, masa tu aku buta dengan rasa sayang aku pada dia, jadi aku biarkan aje dengan perangai dia. Setiap kali aku tegur dia jangan cuba-cuba nak pegang tangan aku, setiap kali tu jugalah dia beri alasan yang kami kena kahwin cepat.”
Auni mencebik. Buruknya perangai lelaki itu. Mujurlah Adda sudah lama putus dengan dia.
“ Malam kami putus tu, aku teman adik aku pergi Pavi. Sebelum aku masuk kereta masa nak balik tu, aku nampak dia. Aku nampak dia dengan kawan-kawan dia. Paling aku tak sangka masa aku tengok dia mabuk dan berpelukan dengan perempuan lain. Adik aku yakinkan aku yang itu bukan Muqri, tapi aku kenal itu dia. Masa tu dia pakai baju yang aku hadiahkan pada dia masa dia baru balik dari London tu. Masa tu juga, aku pergi jumpa dia dengan kawan-kawan dia...” Adda teresak-esak kembali. Sakitnya hati apabila mengenangkan kisahnya dengan lelaki itu.
“ Adda… kalau kau tak nak cerita tak apa,” Auni memujuk. Kasihan apabila melihat Adda sebegitu namun Adda hanya menggeleng sahaja. Dia berkeras untuk meneruskan ceritanya. Biarlah segala yang menjadi rahsia dirinya dahulu dibongkarkan sahaja kini.
“ … Muqri separuh sedar masa tu, tapi dia tahu yang itu aku. Aku tak tahan, Auni. Aku rasa aku benci sangat dengan dia. Aku tampar dia dan… aku buang cincin yang dia beri. Kawan-kawan dia yang lain tak berani masuk campur. Malam tu juga dia telefon dan SMS aku, minta maaf, tapi aku dah tekad. Aku tak akan terima dia lagi. Mungkin itu baru kali pertama aku tengok dia macam tu, tapi aku rasa aku tak sanggup nak butakan terus hati aku untuk terus sayang dia. Adik aku yang pujuk aku siang malam. Aku menangis sebab aku masih sayang dia, dan aku menangis sebab aku tak nak terus kena diperbodohkan oleh dia. Dia balik ke London tanpa beritahu aku.”
Cerita Adda agak mengejutkan Auni. Tidak sangka rupa-rupanya cerita antara dia dah Muqri lebih daripada itu. Patutlah Adda benci sangat pada lelaki itu.
“ Dia ada hubungi kau lagi lepas tu?” tanya Auni. Adda mengangguk pantas.
“ Aku tak layan. Aku tukar nombor dan e-mel aku. Aku pesan pada kawan adik aku, jangan sesekali berikan maklumat pasal aku pada Muqri kalau dia ada tanya. Dan, aku hidup aman sejak hari tu. Sejak hari tu jugalah, aku dah malas nak fikir pasal lelaki,” luah Adda jujur. Auni tersenyum.
“ Aku rasa Ashraf bertuah sangat-sangat, sebab dapat bakal isteri yang pandai jaga diri macam kau. Kau memang ada buat silap, tapi kau tak teruskan kesilapan kau lepas kau sedar. Aku bangga dengan kau, walau aku agak kecewa sebab kau tak pernah cerita pasal Muqri pada aku,” kata Auni. Adda sengih serba salah.
“ Maaf, Auni. Tapi aku memang tak nak ingat dia. Minta maaf,” ucap Adda. Auni menggeleng. Dia menepuk bahu Adda.
“ Muqri tak layak untuk kau. Dia dah tentukan Ashraf sebagai pasangan hidup kau. Aku doakan kau bahagia, ya?”
Adda mengangguk. Dia memeluk Auni erat. “ Terima kasih, Auni.”
“ Tapi kan, cerita kau ni macam dalam drama televisyenlah. Heroine jumpa dengan bekas kekasih dia lepas bertunang atau berkahwin,” kata Auni tiba-tiba. Segera Adda menampar belakang Auni. Auni tergelak.
“ Sempat lagi kau nak usik aku!”
SELANG dua minit, Najwan beralih ke muka pintu. Selang dua minit kemudian, dia akan kembali duduk di atas sofa di ruang tamu. Setiap kali Najwan berkelakuan seperti itu, E-jat akan merenung pada papanya. Najwan kelihatan resah sendirian.
E-jat jugalah yang tenang bermain dengan Tumblin’ Monkeys yang dibeli oleh Najwan untuknya. Seronok dia melihat patung-patung monyet kecil itu jatuh ke bawah. Terkekeh-kekeh dia ketawa keriangan. Berlainan benar dengan riak resah pada wajah papanya.
“ Naj, sudah-sudahlah tu. Lepas ni baliklah Nini tu,” kata ibu yang baru muncul dari dapur. Gelisah betul Najwan menunggu kepulangan Auni yang keluar membeli barang hantaran dengan Adda. Macam orang mati bini pun ada.
Najwan tersengih-sengih. Tentu ibu dah perhatikan dia dari tadi. Ibu mengambil tempat duduk di sebelah E-jat. Mahu melayan cucu tunggalnya itu bermain. Lebih baik layan E-jat yang tak banyak kerenah daripada melayan anak tunggal lelakinya itu.
“ Ibu ni, saja nak kenakan Naj,” kata Najwan. Merah mukanya kerana malu. Ibu senyum selamba. Najwan ni pantang kalau diusik mengenai Auni, pasti merah mukanya kerana menahan malu.
“ Macamlah ibu tak tahu kamu ni resah sebab tunggu Nini balik. Kalaulah jadi macam ni, baik kamu ikut aje Nini dan Adda pergi beli barang, tak adalah kamu meroyan macam ni sebab tak nampak Nini depan mata,” perli ibu lagi. Sengih Najwan kian lebar. Ibu ni suka betul perli aku macam ni.
Najwan mengangkat punggung meninggalkan ibu dan E-jat yang sedang leka bermain bersama-sama. Lebih baik dia mengambil angin di luar daripada duduk di dalam dan tadah telinga mendengar perlian ibu. Nanti mukanya merah bagai saga baru tahu.
Dia berjalan-jalan di atas laluan pejalan kaki berbatu lembut yang disediakan di taman bunga ibu. Kedua-dua tangannya diangkat dan disilang di belakang kepala. Matanya tertumpu pada langit yang sedang membiru. Deretan awan meliputi langit yang membiru. Subhanallah. Sempurna sungguh ciptaan-Mu Ya Rabb.
Memerhati ciptaan-Nya mampu membuatkan Najwan berfikir. Berfikir mengenai kebesaran-Nya yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapa. Dia hanyalah seorang hamba Allah yang kerdil. Sering kali dia menginsafi diri, berharap agar dia mampu menjadi khalifah Allah yang baik di muka bumi ini.
Bersendirian sebegini juga mampu membawa ingatannya kepada arwah Ikhwan. Kadang-kadang dia akan cuba melupakan ingatan sewaktu arwah sakit tetapi itu sukar baginya. Najwan sentiasa berada di sisi arwah sewaktu arwah sakit dahulu. Keperluan arwah dialah yang sediakan kerana kesukaran untuk isteri arwah, Reena menyediakan segala-gala keperluan arwah.
Jarang-jarang dia menceritakan mengenai arwah Ikhwan kepada orang lain, bahkan kepada Auni juga tidak pernah. Kehadiran arwah dalam hidupnya hanya diketahui oleh Auni sewaktu mereka menghadiri majlis di Hotel Kayangan tempoh hari.
Kau tenang aje kan, Wan?
“ Abang!”
Terkelu Najwan buat seketika. Dia langsung tidak berganjak daripada kedudukan asalnya tadi. Matanya terkebil-kebil merenung langit. Secara perlahan-lahan dia menundukkan kepala dan melihat kepada sekujur tubuh kecil yang sedang berdiri di hadapannya kini. Gadis kecil molek di hadapannya itu sedang tersenyum lebar.
“ Kenapa abang khayal semacam aje ni?” rungut Auni. Najwan menarik nafas lega. Dia mengurut dadanya yang terasa berhenti berdetak kerana terkejut dengan sergahan Auni tadi.
“ Nini ni kan, suka betul kejutkan abang macam tu. Tak reti nak bagi salam ke cik adik?” perli Najwan. Dia memang terkejut dengan sergahan isterinya itu, cuma tidak menjerit sahaja. Auni mencebik buat seketika sebelum kembali tersenyum. Tak baik buat muka masam depan suami.
“ Abanglah, Nini panggil tadi tak dengar. Ibu kata abang dah macam ibu ayam hilang anak sejak Nini keluar pagi tadi? Betul ke? Betul ke?” tanya Auni keriangan. Muka Najwan dah nak naik warna merah balik.
“ Ma.. mana ada,” nafi Najwan dengan wajah yang merah. Cepat-cepat dia berpaling membelakangi Auni dan berjalan menuju ke pintu masuk ke rumah ibu dan baba. Auni sudah mula terkekeh-kekeh. Sejak bila suami aku tahu malu dengan aku ni? Auni berlari mengejar suaminya dari belakang. Lengan kanan suaminya sempat disambar.
“ Alah… cakap ajelah yang abang rindu, kan? Kan?” usik Auni lagi. Pipi Najwan dicubit. Najwan menoleh pula ke arah lain.
“ Mengarutlah Nini ni. Abang suka hati aje sebab Nini tak ada hari ni,” nafi Najwan sekali lagi. Tawa Auni kian galak.
“ Abang rindu Nini kan? Kan? Alah, malu nak mengaku pula.” Tidak habis-habis Auni mengusik. Matanya tidak lepas daripada wajah suaminya yang sudah mula memerah.
“ Mana ada…” Najwan membuat penafian sekali lagi. Dan sekali lagi jemari Auni singgah pada pipinya untuk dicubit.
Share this novel