Chapter 61

Romance Completed 17236

BAB 61

BERHATI-HATI Najwan menyelimutkan Auni yang masih lena tidur. Dia menarik nafas lega apabila menyedari betapa lena dan selesanya Auni melelapkan mata. Selepas kejadian yang berlaku di kondominium Reena tengah hari tadi, kini barulah Najwan dapat menarik nafas lega. Malam juga sudah menjengah tiba.

Reena sudah dibawa ke bahagian psikiatri di hospital yang sama Auni ditempatkan. Najwan meminta tolong daripada Safwan untuk menguruskan Reena. Hanya Safwan sahaja yang mengetahui kisah sebenar yang terjadi maka hanya kepada Safwan sahaja dia boleh berharap.

Mengenai anak lelaki Reena pula, Qausar diserahkan kepada ibu dan baba sewaktu mereka datang melawat petang tadi. Sewaktu ditemui di dalam bilik di kondominiumnya itu tadi, Qausar sedang lena tidur. Doktor mengatakan ada dos ubat tidur dalam tubuh anak kecil itu. Qausar hanya mendiamkan diri sahaja sewaktu dibawa pulang oleh ibu. Nasib baik ada E-jat, sekurang-kurangnya E-jat boleh menemani Qausar.

Keadaan Auni pula tidak membahayakan diri dan kandungan dalam dirinya. Doktor memaklumkan Auni hanya mengalami pendarahan lantaran terjatuh namun ianya tidak akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungannya. Itu sudah cukup bagi Najwan untuk bernafas dengan baik kembali. Dia cukup risau sekiranya Auni mengalami keguguran. Bagaimana dia mahu menerangkan kepada isterinya sekiranya perkara itu benar-benar terjadi?

Najwan melontarkan pandangannya pada langit malam melalui tingkap hospital. Hatinya sudah mulai tenang apabila memikirkan masalahnya sudah hampir selesai. Dia tersenyum hambar. Fikirannya mula melayang teringatkan arwah Ikhwan.

Maaf Wan. Aku tak boleh jaga Reena baik-baik macam kau minta dulu. Aku rindu kau, sahabat.

Najwan biarkan sahaja air matanya mengalir. Dia tidak kisah sekiranya ada orang mengatakan dia cengeng. Walaupun dia lelaki, tetapi dia juga seorang manusia biasa yang dianugerahkan dengan perasaan. Tiada salahnya untuk seorang lelaki mengeluarkan air mata jika dia tidak dapat menahan gelora dalam hatinya.

Air mata itu salah satu anugerah Ya Rabb kepada perempuan. Perempuan sebenarnya cukup kuat untuk menanggung bebanan yang tergalas di belakangnya. Mereka tidak membenci bayi yang menyebabkan mereka menanggung kesakitan mengandung dan melahirkan. Malah, mereka semakin menyayangi bayi mereka. Air mata merupakan cara kaum Hawa melepaskan perasaan mereka, bukannya bermaksud mereka kaum yang lemah.

Ya Allah… aku bersyukur ke atas keprihatianan-Mu Ya Allah… semoga aku dan ahli keluargaku sentiasa dalam lindungan-Mu… Ya Rabb.

TERKEBIL-KEBIL Auni merenung siling putih yang terbentang di hadapannya. Dia ingin mengiring ke kanan tetapi rasa sakit yang masih mencengkam sekitar bahagian rahimnya menghalang tindakannya. Auni mengiringkan kepalanya ke kanan. Dia tersentak apabila menyedari Najwan sedang tidur sambil duduk manakala kepalanya bersandarkan pada kepala sofa. Tentunya tidur yang tidak menyelesakan.

Mata Auni meliar pula mencari jam. Sekali lagi dia mengalami kejutan apabila menyedari betapa lamanya dia tidak sedarkan diri. Jarum jam sudah beranjak ke angka 2:45 pagi. Selepas kejadian di kondominium Kak Sarah tengah hari tadi, dia mula tidak sedarkan diri selepas Najwan mendukungnya untuk ke tempat parkir kereta. Ketika doktor merawatnya pun dia masih lagi pengsan.

Auni cuba bangun daripada baringnya. Dia terpaksa melakukannya secara perlahan-lahan kerana kesakitan pada rahimnya masih lagi terasa. Auni memakai selipar berbulu itu lalu mengatur langkah menuju ke arah suaminya. Berhati-hati dia melangkah untuk mengelakkan dirinya daripada terjatuh.

“ Abang? Bangun abang.” Lemah lembut Auni menepuk lengan suaminya. Najwan menggeliat perlahan. Mungkin sedar bahawa tidurnya terganggu. Najwan menggosok kedua-dua belah matanya. Dia masih lagi dalam kemamaian.

“ Nini? Kenapa duduk kat sini? Kenapa tak tidur atas katil?” tanya Najwan. Dia menggelengkan kepalanya berulang kali. Barangkali mahu menyedarkan dirinya yang masih dalam kemamaian itu.

Auni tersenyum hambar. “ Yang abang tidur macam ni kenapa? Sakit belakang nanti susah.”

Najwan hanya berkemeja yang dipakaianya sejak pagi semalam lagi. Kot lelaki itu sudah hilang entah ke mana. Pastinya suaminya itu sedang kesejukan kerana hanya mengenakan kemeja itu sahaja tanpa kot sebagai alas bagi menahan kesejukan. Apatah lagi penyaman udara sentiasa dipasang dalam hospital ini.

“ Tak apalah. Nini patut bimbangkan diri Nini dulu. Nini tak sihat lagi ni. Mari, abang tolong,” kata Najwan seraya bangun daripada duduknya. Nak tak nak terpaksa juga Auni mengikut permintaan suaminya. Najwan membantu dia kembali ke katil.

“ Abang… pasal Kak Sarah tu… Nini minta maaf…” Auni meluahkan juga rasa bersalah terhadap suaminya. Najwan mengukir senyuman buat Auni yang kelihatan kegelisahan. Dia mengucup dahi isterinya.

“ Tak apa. Nini rehat dulu, okey? Kesian bayi bila mama tak cukup rehat. Abang nak solat sekejap. Tidur, ya?” Najwan mula memujuk. Auni terpaksa bersetuju.

Najwan membantu menyelimutkan dirinya sebelum menutup lampu utama dalam wad persendirian itu. Dia hanya membuka lampu meja yang terletak bersebelahan dengan sofa sahaja. Sesudah memastikan Auni kembali melelapkan mata, Najwan masuk ke dalam bilik air yang berada di dalam wad itu. Dengan lafaz bismillah dia mula mengambil wuduk.

“ MACAM mana dengan Reena?”

Najwan memerhatikan sahaja sekumpulan kanak-kanak daripada wad pediatrik bermain-main di hadapan mereka. Tingkah laku mereka terasa menceriakan hatinya. Safwan melambai di hadapan muka Najwan. Najwan segera menoleh ke arah Safwan.

“ Kau tanya aku… apa?” soal Najwan. Safwan mengetuk dahinya. Dia mengeluh perlahan.

“ Aku tanya kau, Reena macam mana sekarang? Aku tak sempat pergi jenguk dia lagi hari ni. ” Safwan mengulangi soalannya. Rasa nak ketuk kepala Najwan pun ada. Najwan tersengih melihat wajah geram Safwan.

Damai sahaja mereka berdua mengambil angin di perkarangan taman hospital. Kebanyakan pelawat sedang membawa ahli keluarga mereka yang sakit bersiar-siar di sekitar taman itu. Safwan hadir ke hospital sekadar untuk menemuinya bagi membincangkan sedikit perkara.

Memandangkang perkara yang ingin dibincangkan oleh mereka dianggap rahsia, Najwan mengajak Safwan ke taman hospital. Auni yang berada di dalam wad itu pula sedang rancak berbual dengan Hanun.

“ Dia tak apa-apa. Cuma aku rasa… dia tak boleh terima lagi keadaan dia sekarang ni. Aku ada bincang dengan doktor dia, doktor kata Reena perlu dihantar ke mana-mana hospital pesakit mental untuk rawatan lanjut,” ucap Najwan.

Najwan menghela nafas seketika. Terasa bebanan pada bahunya masih lagi berat.

“ Doktor kata, dia tak boleh lupakan masa silam dia, apa yang dah jadi pada dia. Kadang-kadang dia akan bertindak seperti mana manusia normal yang lain, kadang-kadang dia bertindak mengikut akalnya yang tidak waras. Tapi, peluang untuk Reena pulih sepenuhnya tetap ada. Doktor kata kes dia agak unik, nampak macam sukar untuk sembuh tetapi kalau kena cara dan pendekatannya, dia boleh sembuh. Lagipun, perubahan sikap Reena sebab trauma juga sebenarnya, bukanlah membabitkan kecederaan pada otak sebab kemalangan atau perkara lain.”

Safwan mengangguk sahaja. Akhirnya selesai juga masalah yang melibatkan rumah tangga Najwan. Jika tidak, makin berlarutanlah masalah ini. Pada mulanya Safwan sukar untuk percaya mengenai penemuan Najwan di London tempoh hari tetapi apabila sudah melihat di hadapan mata, dia tidak boleh menidakkan lagi kenyataan itu.

“ Kau dah ceritakan semuanya pada isteri kau?”

Najwan mendiamkan diri buat seketika. Bahagian inilah yang sukar untuk dilaksanakan olehnya. Bukan suatu tugas yang mudah bagi dia menerangkan segala-galanya kepada Auni. Dia bimbang Auni akan bertambah risau selepas ini.

“ Aku anggap belum,” sambung Safwan lagi apabila melihat Najwan masih lagi mendiamkan diri. Keluhan Najwan terhembus juga.

“ Bukan mudah aku nak ceritakan pada dia. Tapi, dah banyak kali Nini tanya aku. Cuma, aku tak sedia lagi nak ceritakan semuanya pada dia,” balas Najwan. Safwan tersengih. Dia menepuk bahu sahabat baiknya itu.

“ Insya-Allah, semuanya akan baik-baik aje. Kalau kau simpan lama-lama perkara ni, takut menjejaskan hubungan kau dengan isteri kau pula. Dahlah kau dan dia baru aje berbaik,” nasihat Safwan.

Najwan mengangguk sahaja. Kata-kata Safwan ada betulnya. Sebelum terjadi sesuatu yang lebih buruk, lebih baik dia menceritakan semuanya kepada Auni dalam kadar yang segera. Mungkin ini merupakan langkah yang terbaik.

PERLAHAN Najwan menolak pintu wad yang menempatkan isterinya. Auni sedang duduk bersantai sambil membaca buku. Safwan dan Hanun telah lama pulang. Ibu dan baba pula masih belum datang melawat untuk hari ini, begitu juga dengan ummi dan walid. Barangkali mereka semua datang tengah hari ini. Najwan mengambil cuti untuk beberapa hari semata-mata untuk menjaga Auni sendiri.

“ Nini?” Sapaan Najwan mengejutkan Auni yang sudah tenggelam dalam pembacaan novelnya. Dia menguntum senyum buat suaminya. Najwan mengambil tempat duduk di sisi katil.

“ Abang rasa… dah tiba masanya abang ceritakan pasal apa yang terjadi semalam, termasuk kenapa abang hilang ke London dulu,” sambung Najwan apabila melihat Auni mahu membuka mulut.

Auni diam buat seketika. Dia menutup buku yang berada di tangannya. Buku itu diletakkan di atas meja di sebelah katil sebelum mula menumpukan perhatian kepada apa yang bakal diceritakan oleh suaminya.

“ Ceritalah,” pinta Auni. Dia sudah lama menanti akan saat ini. Sudah terlalu lama dia menunggu masa Najwan menjelaskan segala-galanya kepada dirinya.

Najwan menghela nafas. Dia menjatuhkan pandangannya ke atas lantai hospital. Terasa sungguh berat untuk dia menjelaskan semuanya tetapi dia terpaksa. Jika tidak, entah apalah spekulasi yang akan mula muncul.

“ Sarah Adrianna yang Nini kenal tu sebenarnya… Reena, balu arwah Ikhwan Rahaman. Nini ingat tak pasal kawan abang yang meninggal kat UK dulu?” Najwan cuba mengingatkan Auni mengenai majlis makan malam yang membabitkan pelajar-pelajar Malaysia yang sama universiti dengannya dahulu. Auni terus mengangguk.

“ Yang abang kata dah kahwin tu?”

Najwan mengangguk. Ternyata ingatan isterinya masih lagi bagus kerana itu merupakan kali pertama dan terakhir dia menceritakan mengenai arwah Ikhwan kepada Auni. Najwan meneruskan ceritanya yang telah terhenti sejenak.

“ Macam yang abang pernah cerita, Reena menghilangkan diri selepas pengebumian Ikhwan di Malaysia. Ada yang kata dia balik ke UK, ada yang kata dia menetap di Malaysia cuma tidak tahu di mana. Hubungan dia dengan ibu bapa Ikhwan juga terputus. Kawan-kawan dia kata, Reena tak boleh terima hakikat pemergian Ikhwan. Yang sebenarnya, dia di UK. Tapi, nasibnya tak baik di sana,” Najwan berhenti buat seketika. Mungkin cerita selepas ini akan menarik simpati Auni buat Reena.

“ Kenapa? Apa yang… dah jadi?” Auni semakin berminat untuk tahu. Tetapi dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Najwan tersenyum hambar.

“ Nini ingat muka Qausar macam mana?” Najwan menyoal perlahan. Auni mengangguk sekilas.

“ Macam Caucasian… tapi…” Auni seakan-akan menyedari sesuatu. Dia membandingkan wajah Qausar dengan wajah Reena dan wajah lelaki Melayu milik arwah Ikhwan.

“ … tapi… tapi… Kak Sarah… maksud Nini… Kak Reena dan arwah Ikhwan orang Melayu… macam mana…” Auni terhenti di situ. Najwan menarik senyum. Dia mengusap tangan Auni. Pantas juga Auni menangkap maksud kata-katanya tadi.

“ Reena tak pernah punya anak dengan arwah Ikhwan, Nini. Masa dia pulang ke UK, nasibnya kurang baik. Seorang lelaki Inggeris berminat dengan dia tapi Reena menolak sebab dia masih tidak boleh lupakan arwah Ikhwan. Suatu hari… lelaki tu kenakan dia. Dia…” Sekali lagi Najwan terhenti. Tidak sanggup rasanya dia meneruskan kata-katanya. Auni tergamam.

“ … dirogol.”

Auni senyap. Jika itulah yang pernah menimpa wanita malang itu, ternyata takdir hidup wanita itu tidak seperti takdir hidup manusia lain. Dirinya sentiasa ditimpa malang. Auni mula bersimpati dengan wanita yang cuba mencederakan dirinya itu.

“ Sejak hari tu…” Najwan menyambung ceritanya. Walau bagaimanapun, dia harus menyelesaikannya pada hari ini juga. Mungkin selepas ini, dirinya dan Auni akan kembali tenang.

“ … dia mula sasau. Alhamdulillah, kawan sepejabatnya di UK, Natasha Adams tolong bawa dia jumpa pakar kaunseling. Tapi memandangkan keadaan dia makin tak stabil, Reena mula dimasukkan ke hospital untuk rawatan mental. Natashalah yang tolong jaga dia walaupun dia tidak kenal rapat dengan Reena. Qausar dilahirkan di hospital tu.”

“ Jadi, abang ke UK sebab nak siasat pasal Kak Sarahlah ya?” duga Auni. Najwan mengiakan.

“ Abang hairan kenapa dia pulang semula ke Malaysia lepas bertahun-tahun berlalu. Abang juga hairan kenapa dia anggap abang seperti arwah Ikhwan dan kenapa dia ada anak sedangkan Reena dan arwah Ikhwan tak pernah punya anak. Abang ke sana dan alhamdulillah, abang jumpa apa yang abang cari,” jawab Najwan.

“ Lepas tu, Reena dibenarkan keluar bila doktor mendapati kelakuannya semakin normal. Natasha tolong dia uruskan keperluannya untuk pulang ke Malaysia…” Najwan kembali menyambung ceritanya. Tidak membenarkan Auni mencelah, biarlah dia habiskan dahulu ceritanya.

“ ….dan, abang langsung tidak menyangka bahawa selama ini tujuan dia pulang ke Malaysia semata-mata nak berjumpa dengan arwah Ikhwan balik. Dia mula anggap abang seperti arwah Ikhwan… seolah-olah dia nampak arwah pada diri abang dan dia masih fikir yang arwah masih lagi hidup. Sebab tu dia mula aturkan pertemuan dia dengan Auni. Dia fikir, Nini isteri baru arwah.”

Auni terpaku sejenak. Apa yang terjadi kepada Reena membawa ingatannya kepada Wafiy. Wafiy juga menyangkakan Auni ialah bekas kekasihnya yang sudah meninggal dunia. Cuma Wafiy masih sedar Auni adalah Auni. Lelaki itu hanya keliru dengan perasaan hatinya sendiri.

“ Jadi… itu ajelah. Abang harap sangat Nini tak ambil hati dengan Reena.”

Auni mula kelihatan murung. Perubahan riak pada wajah isterinya mula membuatkan Najwan tidak sedang duduk. Kenapa pula ni?

“ Nini, kena…”

“ Nini minta maaf.” Auni mencelah kata-kata suaminya. Dia menyambar tangan Najwan dan mengucup lama tangan itu. Najwan terkesima. Dia menghela nafas. Najwan mengusap lembut kepada isterinya.

“ Nini minta maaf. Nini patut percayakan abang dari mula lagi tapi… Nini tak… maaf, abang. Nini… Nini betul-betul minta maaf…” Auni mula tersedu sedan. Najwan mengukir senyum. Dia menarik tangannya daripada pegangan Auni. Kedua-dua belah bahu Auni dipegang rapat.

“ Kita lupakan pasal ni, ya? Anggap saja ni dugaan daripada-Nya. Nini tak perlu salahkan diri sendiri, abang pun salah juga sebab sorokkan perkara ni daripada Nini. Kita sama-sama baiki diri kita ya, sayang? Okey?” Najwan mengucup ubun-ubun isterinya. Senyuman Auni terukir juga.

“ Okey.”

Najwan tergelak. Mujur sahaja wad itu hanya dihuni oleh Auni seorang sahaja, jika tidak boleh sahaja pesakit lain terganggu dengan tawa Najwan.

“ Tapi abang… macam mana abang boleh tahu Nini ke kondo Kak Sarah?” Auni bertanya hairan. Sejak semalam lagi dia ingin menyoal Najwan mengenai perkara itu. Dia hairan bagaimana suaminya boleh muncul secara tiba-tiba di kondominium Sarah.

Najwan tersenyum. Dia bermain-main dengan tangan isterinya.

“ Nini ingat tak malam Nini tidur awal tu? Yang Nini sorokkan kesan lebam Nini daripada abang?” Soalan Auni dibalas dengan soalan. Auni mengangguk perlahan.

“ Abang dah mula syak pasal Reena. Tapi, abang diamkan aje. Lepas Nini tidur, abang buka telefon Nini dan abang baca semua mesej yang Reena hantar. Abang tahu yang Reena suruh Nini pergi jumpa dia,” kata Najwan membuka rahsia yang disimpan sejak malam itu. Mulut Auni terlopong mendengarkan kata-kata Najwan.

“ Sebab tu ke abang bersungguh-sungguh halang Nini pergi kerja pagi tu?” Auni tertanya-tanya. Senyuman Najwan menjawab soalannya.

“ Ya sayang. Sakit tahu hati abang bila tengok Nini merayu nak pergi kerja juga tapi abang kuatkan hati. Abang tak nak sesuatu yang buruk terjadi kalau Nini betul-betul pergi jumpa Reena,” akui Najwan.

“ Maaf..” Auni kembali serba salah. Najwan hanya tergelak. Lucu pula apabila mandengar banyak perkataan ‘maaf’ daripada bibir isterinya.

“ Jadi, abang tahu macam mana Nini pergi juga jumpa Kak Sarah?”

Masih banyak persoalan yang bermain dalam fikiran Auni. Dan ini merupakan salah satu soalan yang dia ingin penjelasan daripada Najwan.

“ Abang tak pergi mesyuarat tengah hari semalam. Abang balik ke rumah,” jawab Najwan. Sekali lagi mulut Auni terlopong.

“ Betul?”

Najwan mengangguk. “ Abang cakap kat baba pasal apa yang terjadi. Abang ingatkan abang sempat balik, tapi tak. Kereta Nini dah tak ada kat rumah kita. Abang terus telefon Adam tanya pasal alamat rumah Reena. Nini sendiri kata Reena tu klien Nini. Tentu ada rekod bekas pelanggan Adam.”

Auni mengangguk mengiyakan. Dia mengucap syukur di dalam hati. Kalaulah Najwan tidak mengetahui dia mana keberadaan dia tengah hari semalam, Auni tidak berani nak menjamin keselamatannya. Sarah memang berniat untuk mencederakan dia. Atau, untuk membunuh dia. Kemungkinan itu tetap ada jika dilihat melalui perlakuan Sarah.

“ Cukuplah dengan cerita ni. Lain kali kita sambung balik kalau Nini nak tanya apa-apa lagi. Mama rehat dulu, jaga bayi baik-baik. Papa nak pergi jenguk Reena, nak tahu apa kata doktor,” ucap Najwan. Auni turut tergelak perlahan. Dia mengangguk sahaja.

Hatinya mula damai kembali. Masalah yang membelenggu rumah tangganya sudah hilang. Apabila mengenangkan kembali masalah yang menimpa diri Sarah Adrianna, Auni bersyukur kerana hidupnya jauh lebih bertuah. Namun, dia turut bersimpati dengan nasib wanita itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience