Chapter 65

Romance Completed 17236

BAB 65

HARI-HARI yang sudah berlalu seakan-akan tidak meninggalkan sebarang kesan dalam kehidupan Auni dan Najwan. Buat masa sekarang, Auni sudah bercuti daripada kerja di pejabatnya memandangkan masanya untuk melahirkan kian sampai. Dirinya sudah sarat mengandung. Hanya menunggu masa sahaja untuk melahirkan.

“ E-jat, Qausar, makan elok-elok,” pesan Auni apabila melihat anak kecil berdua itu makan dengan gelojohnya. E-jat dan Qausar segera menghentikan suapan mereka. Mereka berdua tersengih.

“ Baca doa makan tak macam mama ajar?” Auni menyoal pula kedua-duanya. Pantas kedua-dua mereka mengangguk. Auni tersengih melihat gelagat mereka. Tanpa membuang masa lagi E-jat dan Qausar meneruskan misi untuk menghabiskan nasi di pinggan.

“ Sedap tak papa masak?” Najwan mencelah. Sekali lagi E-jat dan Qausar mengangguk pantas. E-jat mengangkat ibu jari kanannya. Qausar hanya tersenyum.

“ Terbaiklah papa!”

Najwan pula yang tersengih dengan gelagat mereka. Dia mencedok sedikit lauk ayam tomato lalu diletakkan ke dalam pinggan E-jat dan Qausar. Berselera benar mereka berdua merasai masakan Najwan.

Hari ini merupakan hujung minggu. Memandangkan Auni dan Najwan tiada program yang mengikat kebebasan mereka berdua pada hari ini, Najwan mencadangkan agar mereka mengajak E-jat dan Qausar makan tengah hari bersama-sama mereka berdua di rumah. Ibu dan baba juga sudah memberi persetujuan. Sementelah lagi ibu dan baba perlu ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan bulanan baba.

Mata Auni melekat pada wajah Qausar. Dalam masa lima bulan kebelakangan ini Qausar sudah banyak tersenyum dan bercakap, berbanding sewaktu dia masih berada bawah jagaan Reena.

Walaupun Reena masih dirawat di hospital, tetapi Najwan dan Auni tidak pernah lupa hakikat bahawa Reena merupakan ibu kandung Qausar. Jika punya kesempatan waktu, mereka akan membawa Qausar melawat Reena. Syukur kepada Ilahi kerana semakin lama semakin Reena dapat menerima kenyataan bahawa arwah Ikhwan sudah lama meninggal dunia.

“ Nini?”

Panggilan Najwan menarik perhatian Auni daripada melihat Qausar. Dia tersipu malu.

“ Kenapa?”

“ Nini masih nak pergi majlis Angah Alin dan Angah Reza tu? Nini dah sarat benar tu. Abang takut jadi macam Kak Long Syara aje,” kata Najwan mengingatkan Auni pada kejadian lucu yang berlaku sewaktu upacara akad nikah mereka dahulu. Percuma sahaja mereka buat pertunjukan fesyen pakaian pengantin di hospital.

“ Ish! Abang ni.. mulut tu jangan cakap bukan-bukan. Jadi betul-betul nanti naya. Lagipun tarikh melahirkan tu sepatutnya minggu depan,” omel Auni perlahan. Najwan mula menghamburkan tawanya.

“ Abang cuma tolong ingatkan aje,” kata Najwan mahu membela dirinya. Auni menarik muncung. Kalaulah jadi macam tu, memang buat malu muka ajelah. Insya-Allah tak, takkan nak ulang balik sejarah kelahiran Amzar tu? Auni cuba menyedapkan hatinya.

Najwan cuba menahan tawanya apabila melihat muka Auni yang sudah berkerut-kerut itu. Pastinya Auni sedang memikirkan kata-katanya tadi. Bukannya apa, Najwan lihat sudah sarat benar isterinya itu tetapi Auni masih belum mahu dimasukkan ke hospital. Katanya, boleh bosan dia menunggu tarikh kelahiran bayi di dalam hospital. Bukannya banyak perkara yang boleh dibuat.

Auni merenung tajam pada wajah suaminya yang sudah berwarna merah. Kelihatannya seperti Najwan sedang menahan tawa yang teramat. Muka Auni mula masam mencuka. Akhirnya keluar juga tawa Najwan.

“ Abang! Diamlah!”

Tawa Najwan semakin menjadi-jadi. E-jat dan Qausar hanya memerhatikan sahaja tingkah mama dan papa kesayangan mereka itu. Mereka turut ketawa apabila melihat wajah Mama Auni yang semakin masam.

TERSENYUM lebar Auni apabila melihat Alin semakin anggun dengan gaun pengantin Muslimah berwarna putih-lavender yang tersarung pada tubuh langsing Alin. Sekali lagi mereka menggunakan khidmat Adda yang pernah berkerja sebagai pembantu mak andam untuk menyolekkan Alin. Ternyata Alin berpuas hati dengan khidmat Adda, solekan yang Adda kenakan tidak keterlaluan pada pandangan matanya.

“ Mak buyong seorang ni, tak nak duduk ke? Angah takut terberanak aje dalam bilik ni,” usik Alin seraya membetulkan tiara yang terletak di atas kepalanya. Alin turut mengenakan tudung yang berwarna putih-lavender. Sama padan dengan gaun pengantinnya.

Auni tergelak kecil. Dia mengambil tempat duduk di atas katil Alin. Alin menegurnya kerana sejak daripada awal dia memasuki bilik itu, dia langsung tidak mengambil tempat duduk. Auni berdiri sahaja sambil memerhatikan Adda menyolek muka Alin.

“ Alah… adik tengah gembira tengok Angah ni,” balas Auni dengan senyuman di wajahnya. Apabila sudah duduk barulah terasa betapa lenguh kakinya gara-gara berdiri terlalu lama. Apatah lagi dalam keadaannya yang sedang sarat mengandung sekarang ini.

“ Kenapa? Tak percaya tengok Angah dah nak naik pelamin?” Alin berseloroh. Tawa dia dan Auni bersambung juga. Adda hanya mengukir senyum sahaja tatkala melihat gelagat dua beradik itu.

“ Yalah. Dulu adik dah pesan jangan bertunang lama-lama tapi degil, nak juga bertunang dua tahun. Sekarang ni, siapa yang kata nak bertunang dua tahun tu?” usik Auni. Sengaja mahu mengenakan kakaknya itu. Selepas ini mungkin sudah sukar buat mereka untuk saling menyakat sesama sendiri seperti tika ini.

Alin tersengih. Kena betul atas batang hidungnya.

Sedang rancak mereka berbual-bual, ummi masuk ke dalam bilik bersama-sama ibu. Ibu Angah Reza masih berada di luar. Sekejap lagi masuklah wanita separuh abad itu setelah akad nikah selesai.

Untuk perkahwinan Alin dan Reza, mereka hanya mengadakan akad nikah di rumah sahaja. Berbeza dengan akad nikah Aisar-Syara dan Najwan-Auni, kedua-duanya dilakukan di masjid.

“ Duduk senyap-senyap. Majlis akad dah nak mula. Dengar aje, Angah jangan cuak pula masa Reza dan ibu dia masuk nanti,” pesan ummi seraya mengambil tempat duduk di sebelah Alin. Alin tersenyum dalam gementarnya.

Suasana dalam bilik itu sepi buat seketika. Kesemuanya mengambil tempat masing-masing sementara menanti majlis akad nikah itu bermula. Alin kian gementar apabila mendengar suara walid mula berkumandang di ruang tamu di luar.

“ Aku nikahkan dikau dengan anakku Alin Amani binti Muhd Zakaria dengan mas kahwin RM 100 tunai.”

Suara walid jelas pada pendengaran mereka semua yang berada dalam bilik itu. Auni segera mengenggam tangan kakaknya. Jelas tangan itu sedang menggigil bersama-sama debaran di dada Alin. Auni menguntum senyum buat Alin. Mereka saling berpandangan.

“ Aku terima nikahnya Alin Amani binti Muhd Zakaria dengan mas kahwin RM 100 tunai.”

Selepas itu, suara saksi mula kedengaran. Sudah termeterailah ikatan yang menghalalkan hubungan Alin dan Reza. Sebuah lagi baitulmuslim terbina. Syaitan menangis kerana tidak berjaya menjerat anak Adam ke kancah penzinaan yang hina.

Angah Reza dan ibunya masuk ke dalam bilik. Auni dapat menyaksikan bagaimana Angah Alin benar-benar terharu dengan ikatan yang baru dijalin. Dengan penuh syahdu Alin mencium tangan suami yang baru dinikahinya itu.

Sesudah majlis akad nikah, barulah sibuk mereka sekeluarga dengan kedatangan tetamu yang mula membanjiri kawasan rumah ummi dan baba. Auni hanya mampu memerhatikan sahaja ahli-ahli keluarganya melayan tetamu. Dia hanya duduk sahaja memandangkan dirinya sudah tidak larat untuk berdiri lama-lama.

“ Nini, makan nasi dengan abang?”

Najwan muncul dengan dua pinggan nasi. E-jat dan Qausar yang segak mengenakan baju Melayu cekak musang masing-masing mengekori Najwan dari belakang. Auni mengangguk sahaja. Mereka bertiga mengambil tempat di meja yang diduduki Auni.

“ Kenapa senyum sorang-sorang ni?” tanya Najwan pada isterinya. Dia menolong Qausar menyiat daging ayam tomato yang agak besar saiznya. Pantas Auni menggeleng.

“ Saja. Suka tengok Angah hari ni. Berseri-seri betul muka dia,” jawab Auni. Najwan mengangguk sekilas. Dia kembali melayan Qausar dan E-jat. Auni pula baru sahaja mahu menikmati makanannya.

Eh?

Auni diam sejenak. Mukanya mula berkerut. Dia segera menekan perutnya yang mula kesakitan. Takkanlah? Janganlah masa ni!

“ Nini? Kenapa?” Najwan mula kehairanan apabila melihat kerutan pada wajah isterinya. Auni langsung tidak menghiraukan panggilan suaminya. Dia lebih asyik melayan rasa sakit yang kian mencengkam pada rahimnya. Peluh mula merintik pada wajahnya. Najwan terkaku buat seketika.

“ Jangan cakap… Nini nak lahirkan sekarang?”

Wajah Auni kian berkerut. Dia semakin tertunduk-tunduk bagi menahan kesakitannya. Nampaknya telahan Najwan seakan-akan betul. Kelam kabut dia pergi mencari ummi dan ibu yang sedang melayan tetamu.

SENYUMAN terukir pada wajah Najwan sebaik sahaja melihat Auni sudah membuka matanya. Habis sahaja proses kelahiran, Auni terus pengsan. Doktor mengatakan kerana Auni mengalami keletihan yang teramat. Najwan bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar. Dia mengucup dahi isterinya. Auni cuba mengukir senyuman dalam kepayahan.

“ Anak kita?”

Senyuman Najwan masih lagi terukir. Dia mengenyit mata.

“ Maksud Nini, anak-anak kita?”

Auni diam buat seketika. Cuba memahami kata-kata Najwan. Bulat matanya melihat terus ke wajah Najwan. Tawa Najwan meletus apabila menyedari perubahan pada wajah Auni. Dia berundur sejenak ke belakang. Dua buah troli bayi berada di belakangnya.

“ Kembar?”

“ Nini lupa ke masa Nini lahirkan tadi? Dua kali tahu.”

Najwan mengangguk sambil ketawa perlahan. Dia membantu Auni duduk bersandar pada katil hospital. Selepas itu Najwan memangku seorang bayi lalu diserahkan kepada Auni sebelum dia memangku bayi yang seorang lagi. Najwan mengambil tempat di sebelah isterinya.

Auni bukannya tidak tahu. Tetapi dia merasakan dirinya sedang berada di sebuah alam khayalan. Ketika doktor memberitahunya bahawa dia mengandungkan anak kembar dahulu, dia hilang kata-kata. Apatah lagi apabila sudah melahirkan mereka. Mata Auni jatuh kepada anak-anaknya itu.

“ Kembar tak seiras?”

Pertanyaan itu dibalas dengan kucupan pada ubun-ubunnya. Air mata Auni mengalir juga. Air mata kegembiraan. Dia mengucup dahi bayi yang berada dalam pangkuannya itu. Selepas itu dia meminta bayi yang berada dalam pangkuan Najwan pula.

“ Kita dapat seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan. Bertuah, kan?” kata Najwan diselangi dengan tawa kecilnya. Auni mengangguk. Dia merenung pada wajah bayi di dalam pangkuannya itu.

“ Alhamdulillah,” ucap Auni perlahan.

Najwan mengangguk. Dirinya masih lagi mengingati saat-saat cemas yang terjadi di majlis Alin-Reza pada tengah hari tadi. Kelam kabut ummi dan ibu apabila melihat Auni sudah tertunduk-tunduk kesakitan. Kerana mahu menghormati tetamu, hanya ibu dan baba sahaja yang membawa Auni ke hospital bersama-sama Najwan. Ummi dan walid tinggal di rumah untuk melayan tetamu.

Sewaktu tiba di hospital, Auni sudah tidak dapat menahan kesakitannya. Agak lama juga Najwan menunggu di hadapan bilik pembedahan. Beberapa kali jugalah ibu cuba menenangkan dirinya yang sedang berdebar-debar menanti Auni keluar daripada bilik pembedahan itu.

“ Ummi dan walid kata mereka akan datang malam ni atau pagi esok. Tengok keadaan dulu. Mereka kirim salam pada Nini,” kata Najwan. Auni menyambut perlahan salam itu.

“ Abang nak beri nama apa?” tanya Auni. Matanya tidak lepas-lepas daripada melihat bayi di pangkuannya itu. Matanya juga beralih pada bayi di pangkuan Najwan. Comel betul kedua-dua bayi itu tatkala nyenyak tidur.

Najwan berfikir sejenak. Dia mengeluh.

“ Kalau boleh… abang nak letak nama Najwan Sofia dan Ikhwan Rahaman. Itu pun kalau Nini tak kisah, boleh?”

Auni melihat pada wajah serba salah suaminya. Dia tahu nama siapa yang menjadi pilihan Najwan. Kedua-duanya merupakan antara insan yang sentiasa berada dalam hati Najwan. Seorang adik kesayangan, seorang lagi sahabat yang baik.

“ Kalau Nini tak suka nama tu.. tak apalah. Kita pilih nama lain.” Najwan tersenyum hambar. Wajah bayi di pangkuannya direnung. Dia merasakan dirinya mementingkan diri sendiri. Sepatutnya dia dan Auni sama-sama memilih nama untuk anak-anak mereka, bukannya dia seorang sahaja yang menentukan.

Auni menarik senyum. Dia tahu suaminya sudah serba salah buat masa ini. Dia mengangguk sahaja seraya membuka mulut.

“ Okey.”

Pantas Najwan menoleh ke arah Auni. Dia merenung sahaja senyuman pada wajah itu.

“ Nama tu cantik. Nini suka,” jawab Auni lagi apabila Najwan tidak memberikan apa-apa respon.

Najwan mengangguk sekilas. Dia bersyukur kerana dikurniakan isteri yang memahami seperti Auni. Pandangan matanya jatuh pada wajah bayi di pangkuannya. Dia menarik nafas perlahan.

“ Ikhwan Rahaman bin Najwan Faqqimi…” Najwan mencium dahi anak itu. Dia beralih pula pada bayi di pangkuan isterinya. “ … Najwa Sofia binti Najwan Faqqimi.”

Auni hanya mampu tersenyum hiba. Dia tidak boleh mengatakan apa-apa lagi buat masa ini. Dia merasakan hidupnya sudah lengkap. Punya seorang suami yang penyayang dan kini, mempunyai dua cahaya mata yang akan dibimbing ke jalan yang diredhai Ilahi.

“ Nini?”

Auni mengangkat muka. Najwan sedang senyum penuh pengertian kepadanya.

“ Kan betul abang kata Nini akan lahirkan anak kita hari ni juga?” Najwan mengenyit mata. Merah padam muka Auni apabila menyedari hakikat itu.

Baru sahaja beberapa hari lepas mereka ‘bertengkar’ kerana Najwan mengatakan dia bimbang sekiranya Auni melahirkan bayinya sewaktu majlis akad nikah Alin-Reza seperti mana yang berlaku kepada Kak Syara. Ternyata kata-kata suaminya itu mengena.

“ Sekurang-kurangnya, Nini tak beranak masa Angah Reza baru sudah akad nikah. Relaks aje kan?” balas Auni yang tidak mahu mengalah. Tawa Najwan meletus lagi. Auni menyembunyikan wajahnya yang masih lagi merah pada muka Najwa Sofia. Najwan mengusap mesra kepala isterinya itu.

Kisah baru mereka mula melembarkan kata. Najwan berulang kali mengucapkan syukur di dalam hatinya. Ternyata 464 yang dia ucapkan buat Auni tidak lama dahulu kekal sehingga kini. Dia berdoa agar mereka akan selamanya bahagia dan 464 untuk Nini tidak akan pernah lupus daripada kamus hidupnya. Insya-Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience