BAB 31
PINTU chalet dibuka seluas mungkin. Tergesa-gesa Najwan memasuki chalet yang sudah dikhaskan untuknya. Esok dia akan pulang ke Rumahku, Syurgaku kembali. Mujurlah hanya seminggu sahaja baba tugaskan dia menyelia resort ini. Kalau lebih lama lagi, memang dia akan menggunakan kuasa vetonya sebagai suami untuk ‘memerintahkan’ Auni berhenti kerja.
Beberapa helai bajunya sudah dilipat dan disimpan di dalam bagasi. Esok dia akan berlepas pada jam 2:30 petang. Dia dijangka tiba di rumah ibunya sebelum Asar.
Ibu sudah beri amaran berulang kali kepadanya. Sampai sahaja di lapangan terbang, terus datang ke rumah ibu sebelum balik ke rumahnya. Apatah lagi rumahnya berada di dalam kawasan perumahan yang sama dengan ibu. Dan itu menjadi alasan ibu.
Najwan tersentak apabila menyedari telefon bimbitnya berdering. Nama Safwan tertera pada skrin BlackBerry. Dia mengerutkan kening. Safwan?
“ Assalamualaikum, Safwan?”
Salamnya segera bersambut. Najwan mengambil tempat di beranda chaletnya. Segarnya angin pantai bertiup menyejukkan dirinya yang kepanasan kerana sejak tiga jam yang lalu, dia melakukan pemantauan di seluruh kawasan resort. Najwan menarik senyum pada sang suria.
“ Kau ada dengar berita tak?” terus Safwan menyoal tanpa sebarang mukadimah. Nadanya juga kedengaran tergesa-gesa.
“ Dengar apa?”
Najwan menahan kerut. Cemas semacam aje nada suara Safwan. Seakan-akan ada sesuatu yang penting dan mencemaskan telah berlaku.
“ Aku nak kau tenangkan diri, bertenang. Dengar dulu apa yang aku nak cerita ni,” Safwan seakan-akan mahu bermain teka teki dengan dirinya. Najwan mengeluh.
“ Kau nak cerita apa sebenarnya?” Keletihan membuatkan Najwan bersikap acuh tidak acuh dengan Safwan. Sehari suntuk berada di luar tanpa berehat membuatkan Najwan merasakan keletihan yang teramat.
“ Okey, okey. Macam ni…”
Najwan mendengar dengan penuh teliti walau dia merasa juga kejutan yang dibawa oleh Safwan. Dia mengetap bibir. Sukar untuk mempercayai cerita Safwan.
“ Innalillah…”
“ MAMA!”
E-jat melompat keriangan apabila menyedari Swift Auni sudah memasuki kawasan tadikanya. Auni hanya mampu menggelengkan kepalanya melihat telatah E-jat. Dia keluar daripada perut Swift dan mengatur langkah mendapatkan E-jat. E-jat masih sedang leka bermain dengan salah seorang daripada rakan-rakannya.
“ E-jat main dengan siapa ni?” ramah Auni menyoal. Dia melihat budak lelaki yang berdiri di sebelah E-jat. E-jat ketawa. Dia memeluk bahu budak lelaki itu.
“ Ini Qausar, kawan baharu E-jat. Dia masuk hari ni,” petah E-jat menjelaskan. Auni tersenyum. Qausar kelihatan takut-takut di sebelah E-jat.
“ Jangan takut. Mari, salam dengan mak cik,” kata Auni lembut. Dia menghulurkan tangan kanannya. Teragak-agak Qausar menyambut huluran tangannya. Auni ketawa kecil. Qausar kelihatan comel dengan rambut ikalnya yang agak keperang-perangan. Qausar kelihatan seperti anak kacukan Melayu-Inggeris.
“ Hai, mak cik,” sapa Qausar perlahan. Auni ketawa lagi. Dia mencubit pipi gebu Qausar.
“ Mana mama Qausar? Dia tak datang lagi ke?” tanya Auni. Pantas Qausar menggeleng.
“ Ibu has work to do. She’ll come soon,” balas Qausar. Auni mengangguk perlahan. Mungkin benar telahannya bahawa Qausar merupakan anak kacukan. Petah benar budak lelaki ini berbahasa Inggeris.
“ Okey, mak cik kena pergi sekarang ni. Kirim salam pada ibu, ya?” Auni mengambil beg galas Mickey Mouse daripada bahu E-jat. Qausar mengangguk pantas. Dia melambai sahaja tatkala Auni dan E-jat memasuki Swift.
“ Comelnya dia,” komen Auni pada E-jat. E-jat mengangguk.
“ Qausar comel, E-jat pula kacak,” balas E-jat selamba. Auni ketawa. Dia mencubit pipi gebu E-jat.
“ Amboi, pandai puji diri sendiri nampaknya sekarang ni kan?” kata Auni diselangi tawanya. E-jat turut sama ketawa.
“ Papa balik hari ni, bolehlah E-jat jumpa papa petang ni. Mungkin sebelum Asar papa dah sampai,” kata Auni lagi. Pantas E-jat menoleh kepada Auni yang sedang memandu di sebelahnya. Wajahnya bertukar keriangan.
“ Betul? Betul? Mama tak tipu, kan?” tanya E-jat bertalu-talu. Tawa Auni semakin berterusan apabila melihat tingkah E-jat.
“ Tak. Mana ada mama tipu. Kita tunggu aje papa balik,” kata Auni. E-jat melompat keriangan. Terlupa bahawa dia masih berada di dalam kereta. E-jat kelihatan amat tidak sabar untuk menemui Najwan. Apatah lagi sudah hampir seminggu mereka tidak bertemu.
Selamat juga Auni dan E-jat sampai ke rumah baba dan ibu. E-jat terus berlari menuruni kereta dan masuk ke dalam rumah tanpa mengambil beg sekolahnya. Tawa Auni yang sudah sepi sepanjang perjalanan tadi meledak juga apabila melihat tingkah E-jat. Anak kecil itu memang tidak dapat menahan diri daripada menemui papanya.
“ Assalamualaikum, ibu,” sapa Auni pada ibu yang baru aje muncul dari dapur. Selepas itu, kedua-duanya masuk ke ruang tamu. E-jat sedang duduk bersandar pada sofa berangkai tiga dengan wajah cemberut. Anak kecil itu duduk berpeluk tubuh. Kakinya terjuntai ke bawah.
“ Papa tak ada pun,” keluh E-jat. Ibu dan Auni sama-sama berpandangan sebelum tawa mereka meletus. Mereka mengambil tempat di sisi E-jat. Auni di sebelah kanan, ibu di sebelah kiri. E-jat diapit di tengah-tengah.
“ Sabarlah, kejap lagi papa tentu sampai,” ibu memujuk. Susah juga bila cucu tunggalnya itu merajuk. Auni hanya memerhati sahaja perilaku ibu. Kadang-kadang dia mencuit hidung E-jat.
“ Papa lambat,” kata E-jat perlahan. Ibu merenung kepada wajah tenang Auni. Auni tersenyum simpul lantas mengangguk perlahan. Dia memeluk bahu E-jat. Kepala E-jat digosok perlahan.
“ Sekarang baru pukul 1:00. Kan mama dah beritahu, papa mungkin sampai sebelum Asar? Zohor pun tak masuk lagi,” pujuk Auni. E-jat merengus. Wajahnya semakin masam. Dia mengharapkan kemunculan papanya sebaik sahaja dia pulang dari tadika. Namun, bayang Najwan sendiri pun masih tidak ada.
“ Macam nilah, apa kata E-jat pergi mandi, tunggu waktu Zohor masuk, solat. Lepas tu, kita makan tengah hari sama-sama. Hari ni mama ambil cuti separuh hari, boleh mama temankan E-jat makan,” pujuk Auni lagi. Mungkin pujukan dia dapat mengurangkan rajuk E-jat.
E-jat diam buat seketika. Dia menoleh sekilas kepada ibu dan merenung lama kepada wajah Auni. Auni cuba mengawal diri daripada meletuskan tawa. Kemudian, E-jat berpaling semula pada wajah ibu.
“ Tok ibu masak apa hari ni?” perlahan E-jat bertanya.
Ibu tersenyum. “ Tok ibu buatkan ayam masak lemon dan udang mentega. E-jat suka, kan?”
E-jat menarik senyum. “ E-jat naik mandi, solat lepas tu mama dan tok ibu kena temankan E-jat makan.”
Auni dan ibu mengangguk serentak. Terus sahaja dia berlari naik ke tingkat atas. Beg galas Mickey Mousenya juga diambil daripada pegangan Auni. Ibu dan Auni tidak mampu berkata apa-apa mengenai perangai E-jat. Kanak-kanak itu sahaja penyeri rumah baba dan ibu kini.
“ ASSALAMUALAIKUM.”
Kuat bunyi salam yang dihulur di luar rumah menarik perhatian ibu dan Auni yang berada di laman belakang. E-jat yang pada asalnya sedang leka bermain bola turut berhenti. Serta-merta senyumannya terukir.
“ Papa! Itu papa!” teriaknya keriangan.
Tanpa menunggu Auni dan ibu, terus sahaja E-jat berlari ke ruang hadapan. Auni dan ibu terpaksa menyaingi larian E-jat. Sampai sahaja mereka di ruang hadapan, E-jat sudah berada dalam dakapan Najwan yang kelihatan lesu. Dia mengukir senyum. E-jat dibawa ke bawah.
“ Assalamualaikum, ibu, Nini,” sapa Najwan perlahan. Dia menyalami tangan ibu. Ibu tersenyum apabila melihat lesu pada wajah anak sulungnya itu.
“ Naj ni, mentang-mentanglah Nini tak ada kat sana untuk jaga makan minum Naj, cengkung semacam aje muka tu ibu tengok,” ibu membebel. Najwan tarik sengih.
“ Letihlah, ibu. Kesian kat Naj,” Najwan merengek. Ibu mencebik.
“ Dah, tak payah nak mengada. Naj ni, kalau ada peluang pantang nak bermanja dengan ibu. Pergi bermanja dengan isteri kamu tu,” bebel ibu lagi. Najwan ketawa. Dia melihat pada Auni yang berdiri di sebelah ibu.
“ Nini pula, tak pandai nak salam dengan abang?” tegur Najwan. Auni pula yang mencebik. Baru aje balik, dah pandai nak masuk mod mengusik.
“ Yalah, yalah.”
Auni menghulurkan tangannya. Sesudah menyalami Najwan, terus Najwan menarik Auni dan mencium pipi kanan isterinya. Pantas Auni mengelak. Mukanya merah. Najwan tersenyum nakal.
“ Apa kamu ni, Naj? Malu isteri kamu tu. Tengok, dah merah pipi Nini,” omel ibu. Najwan hanya tersengih. Dia menarik tangan Auni naik ke tingkat atas. Ibu dan E-jat ditinggalkan di ruang tamu. Bagasinya juga ditinggalkan di situ. Auni tergamam. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Agak terkejut juga dia dengan tingkah Najwan.
“ Abang ni, malu Nini dengan ibu,” gumam Auni perlahan. Najwan hanya ketawa walaupun tawanya kedengaran lesu.
“ Abang nak mandilah sebelum solat. Nini tolong sediakan keperluan abang,” pinta Najwan. Auni mengangguk. Mula nak bermanjalah tu.
Najwan dan Auni memasuki bilik lama Najwan di rumah itu. Masih ada beberapa helai pakaian Najwan yang masih disimpan di dalam almari bilik itu, sekadar keperluan jika Najwan pulang ke rumah ibu.
“ Abang?”
Auni terkedu saat tubuhnya dipeluk dari belakang oleh suaminya. Wajah Najwan disembamkan pada bahu kirinya. Senyuman Auni terukir. Sebelah tangannya diletakkan di atas tangan Najwan yang masih erat merangkul dirinya.
“ Abang kata nak mandi?” Auni bersuara lembut. Najwan menggeleng perlahan.
“ Kejap. Sekejap, Nini” Tenggelam timbul suara Najwan menjawab. Auni tersenyum lagi.
Selepas beberapa ketika, akhirnya Najwan melepaskan juga pelukannya kepada Auni. Auni tersenyum saat dia bertentangan dengan Najwan. Kedua-dua belah tangannya berada pada pipi suaminya.
“ Abang letih ni. Mandi dulu ya?” Auni memujuk perlahan. Najwan mengangguk. Senyuman terukir buat si isteri.
“ Abang rindu Nini.”
Satu kucupan hinggap pada dahi Auni sebelum Najwan bergegas mengambil tuala yang tersangkut pada penyangkut di dinding. Senyuman Auni semakin lebar. Bahagianya rasa hati selepas melihat si suami sudah berada di hadapan mata selepas seminggu berpisah.
Sementara Najwan mandi, Auni menyediakan tempat solat untuk suaminya. Kain pelikat dan kemeja T berkolar yang masih bersih dia letakkan di atas katil. Begitu juga dengan songkok. Sesudah itu, Auni merebahkan badan di atas katil. Keletihan begitu terasa walau dia hanya berkerja separuh hari sahaja pada hari ini.
“ Nini?”
Panggilan Najwan menyedarkan Auni yang masih dalam pembaringan. Kelam kabut dia bangun daripada katil. Najwan tersengih. Dia mengelap wajahnya yang masih basah.
“ Lepas ni, abang nak tidur sekejap. Tolong kejutkan abang dalam pukul 6. Letih sungguh hari ni,” kata Najwan. Auni mengangguk sahaja. Dia mengemaskan katil. Kedudukan bantal dia aturkan dengan baik. Bilik itu ditinggalkan sewaktu Najwan mengerjakan solat Asar. Perlahan-lahan dia menutup pintu. Auni turun ke ruang tamu.
“ Mana Naj?” tanya ibu apabila melihat menantunya turun berseorangan. Auni mengukir senyum.
“ Abang solat. Lepas ni dia nak tidur kejap,” terang Auni. Ibu mengangguk sahaja. Ibu mengajak Auni menyertainya dan E-jat minum petang di gazebo kegemaran ibu. Baba masih belum pulang. Kebiasaannya, baba akan pulang apabila jarum jam hampir mencecah angka 6.
Roti sardin dan teh lemon dihidangkan oleh ibu pada petang itu. Sempat juga Auni menolong ibu menyediakan roti sardin lepas Asar tadi. Enak benar roti sardin buatan ibu apabila dimakan panas-panas. Pantas E-jat mengambil tiga roti sardin sekaligus. Berselera betul anak kecil itu makan.
“ E-jat, panas lagi tu,” tegur ibu. E-jat hanya menarik sengih. Dia mula mengunyah roti sardin.
“ Letih sungguh Nini tengok Abang Naj tu, macam orang tak makan seminggu,” kata Auni. Ibu tergelak. Teh lemon dihirup sedikit.
“ Itulah, kali pertama berpisah dengan isteri macam tulah jadinya. Kan ibu dah cerita dulu, baba pun macam tulah. Lama-lama biasalah tu,” komen ibu. Auni mengangguk sahaja.
Sepanjang seminggu dia tinggal bersama-sama ibu dan baba, pelbagai cerita sudah dikorek oleh Auni mengenai suaminya. Kalau boleh, mahu juga Auni bertanyakan tentang arwah Najwa, namun dia tidak sampai hati. Auni bimbang kalau ibu akan kembali bersedih.
“ Sedaplah ayam masak lemon yang ibu buat tadi. Nanti ajarkan Nini ya?” pinta Auni sekaligus mengubah topik perbualan. Ibu mengangguk. Apa salahnya menurunkan ilmu masakannya? Dapat juga dia pahala sebagai bekalan di akhirat kelak jika ilmu itu sentiasa digunakan.
“ Boleh aje. Bila-bila masa Nini tak sibuk, datanglah ke rumah. Ibu boleh ajarkan. Tapi, kalau Nini terdesak sangat bolehlah minta Naj tolong ajarkan. Dia pandai buatkan ayam masak lemon.” Ibu kembali menghirup teh lemon. Roti sardin baru dimakan sedikit.
Penjelasan ibu menarik perhatian Auni. Naj? Pandai memasak?
“ Betul ke ibu? Tak pernah pun Nini tengok abang masak kat rumah.” Auni agak teruja. Pada masa yang sama, dia juga kurang mempercayai cerita ibu. Ibu mengangguk sekali lagi. Cuba menyakinkan menantunya.
“ Naj tu memang pandai masak, cuma malas aje. Dalam setahun, boleh kira berapa kali aje dia tolong ibu masak. Cubalah Nini pujuk dia, manalah tahu dia rajin nak ajar Nini,” kata ibu. Sempat lagi ibu mengumpat anak tunggal lelakinya itu.
Auni mengangguk. Tak sangka juga dia bahawa suaminya pandai memasak. Sepanjang usia perkahwinan mereka mencecah hampir empat bulan, inilah baru pertama kali dia mendengar cerita bahawa Najwan pandai memasak. Hendak tergelak pun ada.
Masakan tidak, dia langsung tidak pernah melihat Najwan memegang senduk atau kuali untuk memasak sekaligus menolongnya di dapur. Mentang-mentanglah dapat isteri yang pandai memasak. Tapi suaminya rajin menolongnya membuat kerja rumah yang lain. Basuh pinggan mangkuk, cuci tandas, basuh baju kadang-kadang Najwan duduk sebelah Auni untuk tolong lipat pakaian yang dah bersih.
“ Ibu tunggu ya? Pandai-pandailah Nini bodek Abang Naj nanti,” kata Auni bersahaja. Ibu yang masih lagi tersenyum, terus melayan E-jat makan. Apa yang ibu sentiasa doakan ialah rumah tangga Najwan dan Auni sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya.
AUNI terpisat-pisat menahan kantuk apabila menyedari suaminya sedang bersuara tenggelam timbul di sebelahnya. Auni menolak selimut yang menyelimuti dirinya tadi. Dia kaget apabila melihat Najwan sudah berpeluh-peluh dalam tidurnya. Bibir lelaki itu terkumat kamit menyebut sesuatu.
“ Wan… Wan…”
Auni bingkas bangun daripada pembaringannya. Rasa mengantuknya sudah hilang entah ke mana. Dia menepuk lembut pipi Najwan. Badan suaminya terasa menggigil.
Abang?
“ Abang… bangun bang? Abang?”
Lembut Auni mengejutkan suaminya. Mulut Najwan tidak berhenti daripada menyebut ‘Wan’. Auni cuak. Adakah suaminya sedang mimpikan arwah Ikhwan? Tangan Najwan digenggam erat.
“ Abang… tolong, bangun,” kata Auni. Dia semakin cuak apabila menyedari tubuh suaminya kian menggigil. Nasib baik suhu tubuh Najwan seperti biasa. Jika tidak, mahu sahaja Auni menangis sekiranya didapati Najwan demam.
“ Ni… Nini?”
Auni tersenyum lega tatkala melihat suaminya sudah membuka mata. Dia membantu Najwan yang ingin bangun bersandar pada kepala katil. Kepala suaminya diusap dengan penuh kasih sayang. Wajah Najwan direnung lama.
“ Abang mengigau. Risau Nini,” kata Auni perlahan. Tangannya beralih pula pada pipi suaminya. Hambar sahaja senyuman yang dihadiahkan oleh Najwan kepada isterinya.
“ Abang okey. Penat sangat kot. Nini tolong tuangkan air boleh tak?” pinta Najwan.
Pantas Auni mengangguk. Dia mencapai sebotol air mineral dan gelas kosong yang berada di atas meja kecil bersebelahan dengan katil. Air mineral itu dituangkan ke dalam gelas.
“ Abang.” Gelas yang sudah berisi air itu diserahkan kepada Najwan. Najwan menyambutnya dengan senyuman.
“ Terima kasih, sayang.”
Tegukan demi tegukan air membasahi tekaknya. Auni sabar menanti sehingga Najwan menghabiskan tegukan yang terakhir. Gelas yang kosong diletakkan di atas meja kecil di sebelah katil.
“ Abang okey?” Takut-takut Auni menyoal, risau sekiranya mood suaminya itu tidak berada dalam keadaan yang baik.
Najwan tersenyum hambar. Dia mengucup lembut dahi isterinya. Wajah risau Auni ditatap lama. Redup pandangannya pada wajah Auni. Damai dirasakan tatkala melihat wajah isteri yang dicintai sepenuh hatinya itu.
“ Abang okeylah sayang. Letih kerja kot,” Najwan berdalih daripada memberitahu perkara yang sebenar.
“ Tapi… tadi abang mengigau. Sebut nama Wan,” ucap Auni lagi. Kerisauan masih merajai hatinya.
“ Tak ada apa-apalah. Sekarang abang nak Nini tidur, okey? Esok hujung minggu pun, kenalah tidur awal, ya?” Najwan pula yang memujuk isterinya. Mahu tidak mahu terpaksalah Auni menuruti suaminya.
Auni kembali berbaring. Najwan menarik Auni rapat dalam pelukannya. Auni tergamam. Dapat dirasakan pelukan suaminya ini lain daripada kebiasaan. Terlalu erat seperti tidak mahu kehilangannya. Auni mengetap bibir. Dia masih risaukan suaminya.
“ Abang sayang Nini. Selamat malam,” Najwan berbisik pada telinga isterinya. Auni tersenyum hambar. Pelukan suaminya dibalas.
Nini pun sayang abang.
Share this novel