BAB 46
SUDAH dua tiga minggu Auni bertindak sebagai pereka hiasan dalaman untuk kondominium Sarah. Hari ini, tamatlah tempoh perkhidmatannya sebagai orang yang bertanggungjawab memastikan unit kondominium itu dihias cantik dan kemas. Parabot-perabot yang ditempah dahulu pun sudah disusun dengan kemas dan teratur dalam kediaman wanita itu.
“ Alhamdulillah, kak. Siap pun semua ni,” ucap Auni. Dia memerhati ruang sekeliling. Ternyata dia cukup berpuas hati. Walaupun sudah lama tidak terlibat dalam bidang hiasan dalaman ini tetapi sentuhannya masih lagi profesional. Walaupun tidaklah sehebat Eric Leong, tetapi dia sudah mampu berbangga.
Pekerja-pekerja yang bertanggungjawab dalam membantu menghias kondominium itu sudah pergi setelah dibekalkan sekotak kecil kek keju Nutella buatan Sarah setiap seorang. Mereka harus segera pulang ke firma Adam kerana ada projek yang lain pula menanti.
“ Tak lama lagi Abang Man baliklah. Kerja dia kat sana pun dah nak siap,” balas Sarah yang masuk ke dapur. Tidak lama kemudian, dia menatang dulang ke luar. Seperti biasa, Auni akan disajikan dengan pelbagai jenis hidangan. Kak Sarah memang suka menjamu dia makan.
“ Baguslah macam tu. Kondo ni pun dah siap. Tentu Abang Man gembira. Sampai aje Malaysia, rumah yang cantik menyambut kedatangannya. Kak Sarah pula masakkan makanan kegemaran Abang Man. Tambahlah dia senang hati,” Auni berseloroh. Dia tersenyum kegirangan.
Sarah mengangguk bersetuju. Dia meletakkan secawan teh buah pic dan sepiring kek keju Nutella di hadapan Auni. Auni berterima kasih atas layanan yang diberikan. Kak Sarah cukup baik dengannya.
“ Auni rancang nak buat projek apa pula lepas ni?” Sarah menyoal. Dia menghirup teh yang masih panas itu. Matanya melekat pada wajah Auni.
“ Tak tahu lagi, kak. Saya tunggu bos beri kerja aje. Tapi, biasanya saya terlibat dalam bidang arkitek. Dah lama saya tak terlibat dengan reka hias dalaman macam ni,” jelas Auni. Dia menyuap kek keju Nutella yang disajikan. Sedap! Kak Sarah memang pandai masak.
Xperia bernyanyi di saat Auni mahu menyambung suapannya. Cepat-cepat dia membuka tas tangannya. Bimbang sekiranya bunyi nada dering yang seiring dengan panggilan itu menganggu Kak Sarah. Nama suaminya tertera pada skrin. Auni tersenyum kecil.
“ Assalamualaikum, abang,” Auni menyapa terlebih dahulu. Sarah melihat sahaja Auni yang pastinya sedang bercakap dengan suaminya. Dia tidak ingin mengacau.
“ Nini kat mana ni?” Najwan menyoal selepas salam Auni bersambut.
“ Rumah klien Nini, ada kerja sikit. Kejap lagi Nini baliklah, kenapa abang telefon Nini?” Auni menyoal kembali. Dia melihat pada muka Fossil. Jam sudah menunjukkan pukul 4:45 petang.
“ Klien Nini yang mana?” Najwan berterusan menyoal. Sesekali kedengaran desah nafasnya. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang menganggu dirinya saat ini.
“ Kat rumah Kak Sarah. Ada benda penting ke, bang?”
Najwan menggeleng perlahan. “ Tak, tak ada apa-apa. Maaf sebab ganggu Nini. Lepas ni balik terus, ya? Abang pun dah nak balik rumah.”
“ Okey. Bawa kereta baik-baik.”
Sejurus memberi salam, Auni memutuskan talian. Xperia diletakkan di atas meja. Dia tersengih sambil melihat pada Sarah yang hanya mendiamkan diri sahaja sewaktu dia bercakap di talian tadi.
“ Maaf, kak. Tiba-tiba aje suami saya telefon,” ucap Auni. Sarah menggeleng. Dia mengangkat sebelah tangannya menandakan tidak ada apa-apa yang harus dimaafkan.
“ Tak apalah, Auni. Tu tandanya suami sayang kita. Kalau tak, tak adanya dia telefon kita saja-saja and tanya kita tengah buat apa. Tu tandanya suami Auni penyayang,” jawab Sarah. Dia tersenyum manis.
“ Tentu Abang Man sayang Kak Sarah sangat-sangat kan? Sebab tu saya tengok Kak Sarah selalu gembira,” kata Auni. Sarah mula tersipu malu. Dia mengetap bibir.
“ Siapa yang tak sayang suami, kan?” kata Sarah. Dia mengenyit mata. Auni ketawa kecil. Ada kalanya Sarah kelihatan seperti kanak-kanak.
Auni melihat sekeliling unit kondominium itu. Entah kenapa dia merasakan kondominium itu kosong. Lama dia memerhatikan setiap inci kondominium itu sehinggalah dia perasan akan sesuatu. Tiada langsung gambar yang digantung pada dinding.
“ Akak memang tak nak gantung gambar, ya?” tanya Auni.
“ Em? Ya. Biar ajelah. Lagipun, dengar kata tak baik gantung gambar orang hidup. Akak dengar aje, tak tahu betul atau tak. Lagipun, akak malas nak gantung gambar-gambar ni. Akak lebih suka letak gambar permandangan,” akui Sarah.
“ Akak, masa saya mula-mula kenal akak, akak ada beritahu saya yang akak ada seorang anak. Tapi sampai sekarang saya tak pernah nampak dia,” sekali lagi Auni bertanya. Dia langsung tidak nampak kanak-kanak yang dimaksudkan oleh Sarah sedangkan Sarah pernah bercerita yang dia mempunyai seorang anak lelaki yang berusia empat tahun. Tetapi Sarah kelihatan kehairanan dengan pertanyaan Auni.
“ Akak mana ada anak lagi. Auni salah dengar kot.”
Jawapan Sarah memeranjatkan Auni. Tak ada anak?
Auni diam buat seketika. “ Aaa… okey. Mungkin saya salah dengar agaknya,” balas Auni perlahan. Dia kembali menghirup teh yang masih berbaki. Entah kenapa dia rasa tidak sedap hati. Selepas menghabiskan tehnya, Auni segera meminta diri. Jam juga sudah menjangkau pukul 5 petang. Masa kerjanya sudah tamat.
“ Baiklah, kak. Saya dah nak balik. Lepas ni tak tahu bila lagilah kita boleh jumpa,” kata Auni. Dia bersalaman dengan Sarah. Sarah tersenyum kecil.
“ Auni ada nombor akak, kan? Kalau ada apa-apa cerita nak kongsi ke, teringatkan akak ke, telefon aje. Akak pun bosan duduk seorang aje. Nak tunggu Abang Man balik, lambat lagilah nak menghitung hari. Entah-entah, akak yang kena pergi jumpa dia dulu,” jawab Sarah. Auni mengangguk. Dia berjalan keluar daripada kondominium itu manakala Sarah ke dapur untuk membasuh pinggan.
“ Tolong tutup pintu ya, Auni? Tak payah kuncilah, ada kawan akak nak datang,” laung Sarah dari dapur. Auni membalas laungan itu.
Baru separuh jalan Auni berjalan meninggalkan kondominium Sarah, barulah dia tersedar yang telefonnya tertinggal di kondominium Sarah. Dia menyedarinya tatkala mahu membuat panggilan kepada Najwan. Cepat-cepat dia bergegas ke kondominium Sarah semula.
Macam manalah boleh lupa ni? Apalah…
Auni memberi salam dari luar. Perlahan-lahan dia membuka pintu yang masih belum berkunci. Auni melangkah masuk ke dalam. Sarah masih tiada di ruang tamu. Xperia masih lagi tergeletak di atas meja.
“ Akak? Saya datang nak ambil telefon, tertinggal tadi,” kata Auni. Dia mencapai Xperia di atas meja. Kerana tiada sahutan, Auni berniat mahu keluar terus aje. Mungkin Sarah berada di dalam bilik air, sebab itu tidak mendengar panggilannya.
Tatkala Auni mahu melangkah keluar, dia mendengar suara orang sedang bercakap-cakap. Sesekali kedengaran tangisan. Auni mula seram sejuk. Dia berhenti melangkah, cuba mendengar perbualan itu.
“ Adik tidur baik-baik, ya? Adik mengantuk lagi, kan? Ibu nak keluar kejap.” Suara Sarah sedang bercakap dengan seseorang menyapa pendengarannya. Sesekali Auni terdengar esakan Sarah sebelum kedengaran suatu suara kecil membalasnya.
“ Baiklah, ibu. Saya tidur dulu. Ibu janganlah menangis. Ibu buat saya risau,” balas suara kecil itu.
Cepat-cepat Auni melangkah keluar dari kondominium itu sebaik sahaja dia terdengar bunyi pintu bilik dibuka. Langkahnya laju dihayun sepanjang perjalanan. Pernafasannya seakan-akan tidak teratur kerana berasa takut. Tadi Kak Sarah kata tak ada anak, tapi suara budak mana pula tadi tu? Entah kenapa, dia mula merasa takut akan Sarah.
“ ABANG baca apa tu? Leka sangat Nini tengok.”
Auni duduk sahaja bersandar pada sofa. Malas mahu bergerak ke mana-mana walau untuk mengambil novel di rak buku sekalipun. Badannya terasa amat letih sekarang.
“ Abang baca pasal skizofrenia,” jawab Najwan.
Laman sesawang yang memaparkan mengenai maklumat penyakit itu dibaca sepintas lalu buat kali yang kedua. Dia menoleh sekejap pada Auni yang duduk di sebelahnya. Wajah pucat Auni menarik kasihan belasnya. Dia mengusap lembut kepala isterinya. Auni memejamkan matanya.
“ Skizofrenia? Bukan tu penyakit berkait dengan mental juga ke?” tanya Auni sekali lagi. Nadanya semakin lama semakin perlahan.
“ Ya. Skizofrenia pun boleh dikategorikan sebagai sakit mental. Mereka akan mengalamai halunisasi dan macam-macam lagi. Pemikiran mereka juga tidak akan teratur,” jelas Najwan. Dia meletakkan tablet Samsung di sofa sebelah. Kepala Auni ditarik lalu dibaringkan di atas ribanya.
“ Apa ni bang? Nini tak sakitlah,” rungut Auni. Dia cuba bangun tetapi Najwan lebih cepat menahan dahinya daripada bangun sekali. Auni merengus perlahan.
“ Mari sini abang nak picit, nampak macam pening sangat aje ni,” kata Najwan. Auni membulatkan matanya. Dengan segera hidung ditarik oleh suaminya.
“ Jaga Nini sakit lagi senang daripada jaga abang, tau? Ni siap takut nak makan ubat lagi,” perli Auni perlahan. Sekali lagi hidungnya diitarik. Auni menolak tangan Najwan daripada hidungnya. Sempat lagi dia mengaduh kesakitan.
“ Yalah tu. Okeylah daripada abang takut dengan lipas, tikus semua tu,” balas Najwan. Kedua-dua tangannya mula menjalankan kerja. Perlahan-lahan dia memicit dahi Auni. Auni tersenyum kelegaan.
“ Pandai juga abang picit,” puji Auni sekilas. Najwan mencebik namun dia ketawa juga akhirnya.
“ Tadi perli abang, sekarang ni puji pula?” Najwan memerli. Auni buat tidak dengar. Dia ingin menikmati nikmat picitan itu. Bukan senang nak ‘dera’ suaminya mengurut dahinya tatkala dia mula pening. Jadi, lebih baik dia diam.
“ Abang?” Auni memanggil lagi. Najwan tersenyum. Ingatkan dah lena tidur.
“ Kenapa abang tiba-tiba berminat nak tahu pasal penyakit tu pula? Nak kata abang rawat orang, abang bukannya doktor,” Auni terus menyoal. Sekali lagi hidungnya ditarik oleh Najwan. Pantas dia menepis tangan suaminya tetapi Najwan terlebih dahulu mengelak.
“ Sakit! Suka betul tarik hidung orang,” rungut Auni. Tawa Najwan yang meletus menambahkan sebal di hatinya. Auni cuba mengawal sakit hatinya. Mudah pula dia tersinggung walaupun Najwan hanya bergurau dengannya.
“ Saja nak tahu. Tiba-tiba aje abang terbaca pasal penyakit tu. Auni dah tengok drama It’s Okay, That’s Love?”
Auni mengangguk. “ Kisah pasal pesakit mental, kan? Nini suka drama tu. Sebab drama tu menggambarkan pesakit mental pun manusia juga, bukannya sesuatu yang selalu dipandang serong. Kadang-kadang, orang kita suka anggap mereka macam sesuatu yang kotor, kan? Padahal sakit mereka sama sahaja seperti sakit lain. Insya-Allah, boleh dirawat.”
“ Betul. Mereka pun perlukan kasih sayang dan sokongan juga untuk mereka sembuh. Dahlah, duduk baik-baik. Mari abang picit.” Najwan membetulkan duduk kepala Auni di atas ribanya. Dia kembali memicit dahi isterinya.
Tidak lama kemudian, Auni terlena juga akhirnya. Najwan tersenyum sahaja tatkala melihat Auni sudah lena di pangkuannya. Tidak mahu menganggu tidur isterinya, Najwan biarkan sahaja. Tidak langsung berniat untuk menggerakkan Auni atau mencempungnya naik ke bilik mereka di tingkat atas.
“ Selamat malam, tuan puteri,” bisik Najwan merendah di telinga Auni.
Alat kawalan jauh dicapai lalu dia memadamkan lampu utama sebelum memasang lampu meja. Bimbang sekiranya Auni tidak lena tidur dalam suasana yang cerah. Suhu bagi penyaman udara juga dinaikkan memandangkan suhu malam yang kian dingin. Tablet Samsung yang diletakkan di sofa sebelah tadi diambil kembali. Najwan kembali melayari internet sementara Auni sudah lena di atas ribanya.
Share this novel