EPILOG
PERLAHAN-LAHAN dia melangkah mendekati seorang lelaki yang sedang khusyuk membaca majalah di sofa. Perlahan-lahan juga tangannya diangkat dengan niat untuk menyergah lelaki tersebut.
Satu… dua… ti…
“ Najwa Sofia, tak payahlah nak sergah Along macam tu.”
Najwa menarik muka masam. Tahu-tahu aje Along kan?
“ Along baca pasal apa tu? Syok betul Wawa tengok,” Najwa bertanya seraya mengambil tempat di sebelah Alongnya. Najwan meneruskan pembacaan tanpa mengalih pandang ke arah adiknya di sebelah.
“ Tanggungjawab suami isteri,” balas Najwan mendatar. Najwa buat muka terkejut.
“ Along! Kita baru 12 tahun, okey? Apa cakap pasal kahwin bagai ni,” kata Najwa dengan kerut di wajahnya. Najwan ketawa mendengarkan kata-kata adiknya. Dahi adiknya dijentik.
“ Belajarlah pasal ni awal-awal. Nanti Wawa pun akan kahwin juga dalam sepuluh tahun lagi,” kata Najwan yang masih dengan tawanya. Muka Najwa berubah cemberut. Sakit pada dahinya terasa walaupun Along hanya menjentik dengan perlahan.
“ Lambat lagilah Along,” kata Najwa tidak berpuas hati. Najwan gelak lagi.
“ Memanglah kahwin lambat lagi. Tapi Wawa ingat senang ke nak didik anak macam baba didik kita, ibu didik kita? Belajar elok-elok. Tapi bila dah balik UK tahun depan Wawa jangan nak menggatal cari mat saleh mata biru pula. Belajar dulu.”
Najwa mengeluh. “ Along memang tak nak ikut balik sana ya?”
“ Kalau Along nak ikut, tak adanya Along minta masuk sekolah berasrama kat sini. Nak bimbang apanya, Along kat Malaysia, Wawa dan keluarga kita kat UK. Malaysia dan UK masih kat atas bumi ni. Bukannya satu kat Jupiter, satu kat Marikh,” balas Najwan selamba. Najwa menjegilkan matanya.
“ Tapi mana seronok Along tak ada.” Najwa masih dengan muka tidak puas hatinya. Dia memeluk tubuh sambil bersandar pada sofa. Najwan menarik senyum.
“ Wawa kena ingat, walau ke mana pun Wawa pergi Wawa tetap adik kembar yang Along sayang. Wawa, kat sana jaga diri ya? Tengok-tengokkan Nawal sekali. Nawal kecil lagi. Jangan senang terpengaruh dengan apa yang tak elok kat sana. Ikut perkara yang baik-baik aje,” ucap Najwan lembut memberi nasihat. Najwa mengangguk sebal.
“ Janji kat Wawa yang Along takkan lupakan Wawa sebagai adik kembar Along, boleh?”
Najwa menghulurkan jari kelengkengnya ke arah Najwan. Najwan tergelak tapi dia turut berbuat seperti adiknya. Jari kelengkengnya ditautkan kepada jari kelengkeng Najwa.
“ Along janji. Ke mana pun Wawa pergi, sampai bila-bila pun Wawa adik kembar Along. Tak payahlah nak risau sangat. Mengada betul budak ni.”
“ Aduh!”
Najwa mengaduh kesakitan selepas sekali lagi dahinya menjadi mangsa jentikan Najwan. Tautan jari kelengkeng mereka terlerai. Mencuka wajah Najwa merenung tajam ke arah Najwan yang masih ketawa dengan galaknya.
“ Along!!!”
“ Ha ha ha!”
Riuh ruang tamu rumah mereka dengan tawa Najwan yang semakin menjadi-jadi. Masam pada wajah Najwa juga semakin menjadi-jadi. Geram dengan Alongnya yang kian galak mengetawakannya. Hendak dibalas awal-awal lagi Najwan melompat ke seberang sofa. Najwa menghentak kaki.
Gelak Najwan semakin berkurangan. Dia tersengih saat si adik pergi meninggalkannya di ruang tamu dengan wajah yang masih lagi masam. Sengihan bertukar kepada senyuman hambar. Langkah Najwa diperhati sahaja.
Tak kira Wawa ke mana pun, Wawa tetap adik Along. Adik kesayangan Along. Ingat tu. Along rindukan adik. Along harap, Wawa sentiasa berada di dalam lindungan-Nya.
Share this novel