BAB 10
AUNI tersenyum simpul. Buka mata-tutup mata-buka mata-tutup mata, sekarang dah masuk penghujung Ramadan. Dia sekeluarga dah selamat sampai ke rumah opah dan atuk. Beraya kat rumah opah dan atuk belah walid memang masuk dalam kategori wajib untuk Aidilfitri setiap tahun. Yalah, balik kampung kan? Lagipun, tok wan dan tok ayah belah ummi dah lama meninggal dunia. Kat rumah opah dan atuklah destinasi tujuan setiap kali raya atau cuti.
Auni masuk ke dapur. Opah dan ummi sedang leka menganyam ketupat. Walid dan Along pula ikut atuk kacau dodol dan bakar lemang kat halaman rumah. Kak Syara tak dibenarkan buat apa-apa, jadi mandur aje sebab dia dah sarat benar.
Auni dan Angah baru sahaja selesai pasang langsir dan tukar sarung kusyen kat ruang tamu. Tahun ni giliran Kak Syara raya dengan keluarga belah Along, tahun depan giliran Along raya dengan keluarga belah Kak Syara pula. Sepakat suami isterilah katakan. Along memang bertuah sebab ibu bapa mentuanya pun jenis tak kisah.
“ Dah selesai kat atas tu?” tanya ummi. Auni angguk sahaja. Fon telinga comel berbentuk kepala beruang berwarna putih terlekat di telinga. TVXQ – Hug berlagu di telinga. Xperia dikeluarkan daripada poket seluar.
Main game syok juga ni…
Opah dan ummi kat bawah tu tengah sedap bercakap pasal Auni. Auni memang dah tak dengar sebab dah asyik dengan dua benda - MP3 dan Candy Crush Saga kat Xperia.
“ Anak sulung Sofi? Macam mana boleh kenal?” tanya opah. Ketupat yang sudah siap dianyam dimasukkan ke dalam besen merah kat sebelah. Sudah banyak ketupat yang berjaya dianyam oleh opah dan ummi. Lepas ni boleh rebus siap-siap dah.
“ Jumpa kat rumah Kak Sofi dan Abang Man. Tak sangka adik dah kenal si Najwan tu kat tempat kerja,” balas ummi.
“ Adik terima tak?”
Ummi mengangguk. Dia menoleh sejenak ke arah Auni yang sedang leka dengan Xperia dan MP3 di tangga dapur. Kelihatannya memang Auni tidak mendengar walau sepatah pun isi perbualan mereka berdua.
“ Budak tu memang baik. Masa kami solat Maghrib kat rumah Sofi, dialah yang jadi imamnya. Kalau mak kenal, tentu mak pun berkenan nak buat menantu,” kata ummi. Tersengih-sengih ummi tatkala bercerita mengenai bakal menantunya itu.
“ Tak salah mak, Sofi ada anak kembar, kan? Yang perempuan tu dah kahwin ke?” tanya opah lagi. Mula berminat dengan cerita ummi.
“ Yang perempuan tu dah meninggal dalam kemalangan. Suami dia pun terlibat sama. Anak mereka sekarang dalam jagaan Kak Sofi. Si Najwan tulah yang sibuk jaga anak arwah Najwa dengan Fuad tu. Sebab sibuk dengan budak tulah dia tak kahwin sampai sekarang ni. Kata Kak Sofi, Najwan utamakan budak tu dulu. Dia tak kisah kalau tak kahwin asalkan anak arwah Najwa tu terjaga,” jelas ummi. Opah mengangguk. Ketupat yang sudah siap dianyam dikira jumlahnya.
“ Jadi, si Najwan tu dah terima juga ke? Mak tak nak cucu mak kahwin paksa-paksa ni,” kata opah. Ummi tersenyum.
“ Memang perkara ni sebenarnya keluarga yang aturkan, tapi Najwan memang dah setuju. Dia kata, mungkin dah tiba masanya untuk dia kahwin. Agak-agaklah mak, jodoh Najwan dengan adik kot? Sebab tulah sekarang ni baru terbuka hati nak kahwin,” kata ummi membuat andaian. Opah tersengih.
“ Aturan Dia tiada siapa yang tahu,” balas opah. Ummi mengangguk lagi. Mereka kembali leka dengan anyaman ketupat masing-masing. Auni pula masih leka dengan dunianya.
Ketukan di pintu mengejutkan opah dan ummi. Aisar muncul di pintu dapur. Matanya melilau mencari kelibat seseorang sebelum matanya tertumpu pada Auni di tangga dapur.
“ Adik!!!”
Hampir terjatuh Xperia daripada tangan Auni. Pekikan Along jelas kedengaran walau dia sedang mendengar MP3. Kelam kabut dia menanggalkan fon telinga. Wajahnya mencuka melihat muka Along yang sudah tersengih-sengih.
“ Apahal?” tanya Auni masam. Kacau daun betullah Along ni…
“ Minta tolong,” kata Aisar terus kepada Auni tanpa mempedulikan opah dan ummi yang sedang menganyam ketupat daun palas. Auni pula kerutkan muka.
“ Apa?” tanya Auni sepatah.
“ Tangkap ayam sama-sama, nak? Atuk minta tolong, atuk nak sembelih terus,” kata Aisar sambil mengenyit mata. Menanti reaksi Auni akan ajakannya. Auni yang masih di tangga dapur tersenyum riang tiba-tiba. Cepat-cepat dia melompat dari tangga paling atas ke lantai dapur sebelum berlari ke pintu dapur.
“ Nak ikut!”
Cepat-cepat tudungnya yang tersangkut di kepala kerusi dicapai. Stokin yang berada di bawah meja turut diambil. Along sudah sengih lebar. Tahu benar Auni memang satu kepala dengan dia kalau sampai bab tangkap ayam dekat nak raya ni.
“ Jom cepat!”
Opah dan ummi hanya menggelengkan kepala melihat seorang bakal bapa dan seorang lagi yang dah nak jadi tunang orang dengan perangai mengalahkan budak tiga tahun yang riang ria sebab dapat tangkap ayam.
SEEKOR ayam jantan menjadi sasaran mata Auni. Dah dua ekor ditangkapnya manakala Along dah selamat masukkan tiga ekor ke dalam sangkar. Tinggal seekor lagi yang masih belum ditangkap. Memang opah dan atuk nak buat kenduri rendang ayam besar-besaran tahun ni. Atuk dah siap sembelih lima ekor lagi.
Siaplah kau, ha ha ha, Auni gelak jahat di dalam hati. Ayam jantan itu langsung tidak menyedari akan kehadirannya. Perlahan-lahan Auni menapak mendekati ayam itu. Sedaya upaya cuba dikawal bunyi tapak kakinya daripada kedengaran. Badannya ditundukkan sedikit.
Sikit lagi… sikit lagi… sikit lagi… sikit aje lagi… da…
Krekk!
Ops!
Auni renung pada kaki kanannya yang sudah selamat mematahkan ranting kayu di tanah. Ternyata bunyi ranting itu sudah cukup untuk mengalih perhatian ayam tersebut. Jelas di matanya bagaimana ayam itu melihat ke arahnya dan…
“ Jangan lari!”
Cepat-cepat Auni buka langkah apabila melihat ayam itu semakin jauh meninggalkannya. Auni ketap bibir. Laju juga ayam ni lari? Tak nak masuk Olimpik ke?
Tudung yang sudah senget tidak dipedulikan lagi asalkan ayam itu berjaya ditangkap. Larian Auni bertambah laju, begitu juga dengan objek sasarannya itu. Ayam itu masuk ke jalan raya kampung. Nasib baik sahaja tiada orang ramai waktu itu. Kalau tidak malu aje melihatkan lagak Auni yang sedang mengejar ayam itu.
“ Da… pat!!!”
Pegangan Auni pada ayam itu dikemaskan sebaik mungkin. Meronta-ronta ayam itu mahu melepaskan diri daripada menjadi mangsa sembelihan untuk redang ayam sempena raya esok. Auni pula hanya sengih jahat. Kalau kau lari, menyusahkan aku nak kejar kau pula!
“ Mama?”
Auni angkat muka daripada ayam itu. Macam kenal aje suara tu. Tudung yang senget dibetulkan. Bulat matanya melihatkan wajah-wajah di hadapannya itu.
“ Apa mama buat kat sini?”
Auni telan liur. Mata E-jat terus kepadanya manakala Najwan merenung pelik pada wajah Auni dan ayam jantan di tangannya.
Alamak…
“ APA? Mak Cik Sofi dan Pak Cik Man asal kampung ni?”
Ummi mengangguk membenarkan kata-kata anaknya itu. Baju kurung Auni yang berwarna putih berbunga merah disangkut ke dalam almari. Mulut Auni terlopong mendengarkan kata-kata ummi.
“ Memang Mak Cik Sofi dan Pak Cik Man asal kampung ni. Tapi, ayah Pak Cik Man ada beli tanah yang jadi tapak rumah mereka kat Selangor sekarang. Asalnya mereka tingal sama-sama, lepas tu mak ayah Pak Cik Man nak tinggal di kampung aje. Keluarga Mak Cik Sofi pun kat sini. Itu pun cuma ibu Mak Cik Sofi sahaja yang masih tinggal,” jelas ummi. Auni terangguk-angguk.
“ Lagipun ummi kan pernah cakap pasal ni masa kita jumpa Mak Cik Sofi di Bazaar Ramadhan dulu? Adik lupa ya?”
Auni tepuk dahi. Sungguh dia tidak ingat langsung pasal itu.
“ Adik lari lepas terserempak dengan Najwan?” tanya ummi lagi. Teragak-agak Auni mengangguk. Merah mukanya mengenangkan kejadian petang tadi.
Belum sempat Najwan menyoal apa-apa, cepat-cepat Auni melarikan diri dengan ayam di tangan. Sebaik sahaja sampai ke halaman, atuk sudah siap menyembelih dua ekor ayam baharu. Pertanyaan Along mengenai apa yang terjadi sehinggakan dia berlari seperti ternampak hantu juga tidak dipedulikan. Auni pecut sahaja masuk ke dalam rumah selepas menyerahkan ayam yang sudah ditangkap kepada Along.
“ Ummi lupa nak cakap. Mak ayah Najwan memang orang kampung ni. Rumah mereka dekat dengan jalan besar tu tapi mereka jarang balik,” cerita ummi. Auni duduk memeluk bantal di atas katil. Angah masih di luar. Tengah tonton telemovie istimewa sempena Aidilfitri dengan Kak Syara. Along pula tengah membantu atuk dan walid mengemas tempat mengacau dodol petang tadi.
“ Malulah… dahlah dia tengok adik tengah tangkap ayam. Kalau dengan orang yang tak kenal tak apalah juga, ni tak, bila-bila masa aje boleh jumpa dengan dia,” kata Auni perlahan. Ummi senyum. Kepala Auni digosok.
“ Tak ada apa-apalah. Nanti dia juga yang akan jadi suami adik,” balas ummi tenang. Auni rasa nak nangis sahaja mendengar kata-kata ummi. Malu!
Ummi, sebab nak jadi suamilah adik tak nak jadi macam ni! Dahlah ni pertama kali aku jumpa dia sejak buka puasa sama-sama hari tu!
Ummi keluar dari bilik meninggalkan Auni sendirian. Masjid kampung itu masih melaungkan takbir raya. Esok, kanak-kanak sekitar kawasan kampung akan datang beraya, tentu meriah rumah opah dan atuk dengan gelagat mereka. Awal pagi esok, opah akan sediakan nasi Bukahri ala opah.
Auni mengeluh. Dia merenung siling di atasnya. Macam mana kalau esok dia datang beraya?
“ KENAPA pakai macam tu?” Najwan kerutkan dahi sambil melutut di hadapan E-jat yang sudah lengkap dengan baju Melayu cekak musang warna merah hati. Sedondon dengan baju Melayu cekak musang Najwan.
Songkok di kepala E-jat dibetulkan. E-jat tersengih sahaja melihatkan papanya yang segak dengan baju Melayu sama warna dengannya dan bersamping. Teruja betul dia kerana tahun ini tok ibu dan tok baba dah janji nak beri duit raya banyak-banyak sebab E-jat dah berpuasa penuh pada tahun ini. E-jat dah bercadang mahu mengajak papanya pergi membeli permainan video selepas balik ke Selangor nanti.
“ Mana samping E-jat?” tanya Najwan sambil mendukung E-jat.
“ Tok ibu kata dalam bilik Mama Nawal,” balas E-jat. Najwan mengatur langkah ke bilik Nawal. Adik bongsunya itu masih sibuk bersolek barangkali. Pintu bilik diketuk.
“ Apa?” Nawal muncul dengan selendang hitam berbunga merah. Dahi Nawal dijentik sahaja sebelum Najwan meloloskan diri masuk ke dalam bilik Nawal. Nawal renung geram pada abangnya itu. Dia berdiri bercekak pinggang.
“ Apa masuk bilik Nawal ni? Nawal tak siap lagilah!” kata Nawal geram. Najwan hanya buat selamba. Samping E-jat yang terletak elok di atas katil Nawal diambil sebelum dipakaikan pada E-jat.
“ Dah cukuplah mekap tu. Takkan nak mekap mengalahkan pelakon opera China baru nak berhenti? Nanti tak pasal-pasal Syah lari sebab bakal isteri dia dah macam pelakon opera China,” perli Najwan tanpa memandang wajah Nawal yang sudah masam mencuka.
“ Along! Keluar sekarang!”
Sedaya upaya Nawal menolak Alongnya keluar bilik. Najwan sudah galak ketawa. E-jat hanya tersenyum hanya melihatkan situasi itu. Ibu dan baba sudah menunggu di ruang tamu. Masing-masing memakai jubah berwarna merah hati.
“ Kita nak raya kat mana dulu?” tanya Najwan. Dia mengerling jam di dinding. Baru pukul 10:30 lebih. Siti masih belum muncul. Barangkali masih bersiap di dalam bilik. Siti hanya tinggal seorang diri lepas datuk meninggal.
“ Kita ke rumah tok ma dan tok abah dulu. Lepas tu, ibu nak singgah rumah Mak Wan pulak,” kata ibu. Berkerut muka Najwan mendengarkan kata-kata ibu. Tidak mengenali insan bernama Mak Wan yang dikatakan oleh ibu sebentar tadi.
“ Mak Wan? Siapa tu?” tanya Najwan pelik. Macam tak pernah dengar pula.
“ Mak kepada Mak Cik Yam, mak Auni. Bakal nenek kamu jugalah tu,” balas baba. Najwan sengih sahaja. Rumah nenek Auni rupa-rupanya. Teringat dia akan peristiwa semasa dia membawa E-jat berjalan-jalan di kampung semalam.
Comel juga dia dengan tudung senget muka comot macam tu.
“ Apa borak lagi ni? Geraklah cepat. Takkan raya-raya macam ni nak duduk rumah?”
Najwan menoleh ke belakang. Siti dan Nawal berjalan ke arah mereka. Najwan tersenyum. Walau umur Siti sudah menjangkau 80-an, tapi Siti tetap kuat macam dulu.
“ Lepas ke rumah tok ma kamu, mak dah nak balik. Mana tahu ada budak-budak nak datang beraya. Kamu semua teruslah beraya,” kata Siti sambil menuruni tangga. Baba hanya mengangguk. Mereka keluar ke jalan besar. Kanak-kanak dan orang dewasa kelihatan di jalan besar kampung itu. Masing-masing dengan pakaian baharu.
Baba memang sengaja tidak memandu. Waktu-waktu macam Aidilfitri inilah baba suka berjalan sahaja. Apatah lagi rumah tuk ma Najwan dan rumah nenek Auni tidaklah jauh sangat. Matahari pun tidak seterik mana. Apatah lagi dengan kehadiran pokok-pokok di sekitar jalan.
Siti pun masih kuat untuk berjalan jauh. Nenek belah ibu itu dipanggil Siti, kononnya panggilan untuk nenek dalam Bahasa Arab. Betul atau tidak katanya tidak dapat dipastikan. Bukannya Najwan belajar Bahasa Arab pun. Kadang-kadang Najwan hanya ketawa sahaja. Mana tidaknya, pada mukanya langsung tiada iras tuk Syeikh, panggilan untuk nenek pula dalam Bahasa Arab. Tidak kena muka iras Cina-Jepun dengan panggilan untuk nenek dalam Bahasa Arab itu. Muka ibu pun tak ada iras tuk Syeikh. Lebih kepada Cina sebab kata Siti, moyang Najwan dulu kahwin dengan mualaf Cina.
Najwan pegang kemas tangan E-jat. E-jat pula seronok sahaja dapat melihat suasana kampung yang jarang dilihatnya itu.
“ Along, lepas ni raya kat rumah bakal Kak Long ya?” tanya Nawal yang berjalan di belakang Najwan. Najwan hanya tersengih.
KANAK-KANAK dan jiran-jiran opah dan atuk berpusu-pusu berkunjung ke rumah. Seronok Auni melihatkan telatah mereka ketika mahu menerima duit raya. Auni pula seronok mengusik mereka semua.
“ Adik, pergi ambil rendang lagi kat bawah,” pinta opah. Auni hanya menurut sahaja. Dia turun ke dapur. Along, Kak Syara dan Angah juga sedang leka melayan tetamu yang hadir.
Tudung saji dibuka. Masih banyak lagi rendang ayam yang berbaki. Mana tidak banyaknya, 13 ekor ayam atuk sembelih untuk dibuat rendang. Auni mula tidak sedap hati tatkala melihatkan rendang ayam itu. Kejadian memalukan semalam kembali mengetuk minda. Pantas dia menggelengkan kepala. Sedaya upaya cuba dilupuskan daripada ingatan.
Rendang ayam diisi dalam mangkuk opah yang ummi beli ketika melawat Singapura dulu. Berhati-hati dia menapak, bimbang tersadung tangga. Auni masuk ke dalam laluan yang menghala ke ruang tamu. Kelihatan walid sedang bercakap-cakap dengan seorang pemuda yang berbaju merah. Auni mula tidak sedap hati kembali.
“ Itu pun Auni. Adik, ke sini,” panggil walid tiba-tiba.
Auni tergamam. Barulah dia perasan bahawa lelaki itu ialah Najwan. E-jat pula sedang berdiri di sebelah Najwan. Najwan merenung pada muka Auni yang kelihatan kelat. Dia tahan diri daripada ketawa. Mahu tidak mahu terpaksalah Auni mendekati walid yang berdiri berhadapan dengan Najwan.
“ Ada apa, walid?” tanya Auni perlahan. Wajahnya dilarikan daripada melihat Najwan. Dia masih lagi malu apabila teringat peristiwa Najwan melihat dia menangkap ayam petang semalam. Malu juga apabila teringat peristiwa dia menangis di hadapan Najwan tempoh hari.
“ Bawa Najwan ke meja makan. Walid ke bawah sekejap, Tok Su datang,” kata walid.
Alamak…
“ Baiklah. Awak, mari,” pelawa Auni perlahan. Nak tak nak, terpaksa juga dia mengikut kata-kata walid. Najwan hanya mengekori sahaja daripada belakang.
“ Ituu ke rendang ayam hasil tangkapan awak semalam?” tanya Najwan. Matanya tepat merenung Auni. Muka Auni merah padam. Najwan mula ketawa. Lucu melihatkan reaksi Auni yang menggelabah tiba-tiba.
“ Gurau ajelah,” kata Najwan lagi. Auni tersenyum malu.
Hanya tinggal beberapa orang kanak-kanak sahaja lagi. Di meja makan pula, hanya ada dia, Najwan dan E-jat sahaja. E-jat duduk di sebelah Najwan. Pinggan berisi nasi himpit dan sate diletakkan di hadapan E-jat.
“ Mana keluarga awak?” tanya Auni. Hairan melihatkan kehadiran Najwan sahaja di situ tanpa ibu bapanya.
“ Mereka terpaksa balik. Anak angkat Siti datang melawat, asalnya mereka pun nak datang ke sini,” jelas Najwan.
“ Siti?”
“ Nenek saya.”
Auni mengangguk sahaja. Jus oren dituang ke dalam dua gelas berasingan. Najwan sedang leka melayan E-jat makan. Comot pipi E-jat dengan kuah kacang nasi himpit.
“ E-jat nak tambah lagi?” tanya Najwan. E-jat mengangguk. Permintaan E-jat dituruti sahaja. Auni tersenyum melihatkan cara Najwan melayan E-jat. Nampak benar gaya seorang bapa mithali.
Mungkin aku patut bagi dia peluang. Mana tahu, memang dia jodoh aku…
Auni senyum lagi. Harap-harap pilihan dia tidak salah. Hatinya sudah tekad benar untuk menerima Najwan sebagai suaminya yang sebenar-benarnya. Bukan setakat panggilan suami di atas sijil perkahwinan.
Share this novel