BAB 62
KEDATANGAN ummi dan walid yang datang bersama-sama ibu dan baba pada tengah hari itu menggembirakan Auni. Semenjak dia dimasukkan ke hospital tempoh hari, kedua-dua ibu bapanya dan ibu bapa mentuanya tidak pernah lepas daripada menziarahinya. Malah, Adda dan Ashraf turut menghadirkan diri. Cuma mereka tidak hadir sekerap ahli keluarganya memandangkan mereka berdua punya komitmen masing-masing yang harus didahulukan.
Alin dan Reza juga ada datang melawat Auni di hospital. Tetapi untuk masa-masa yang tertentu sahaja. Apatah lagi mereka sibuk dengan persiapan untuk majlis perkahwinan mereka kurang daripada lima bulan akan datang. Sekurang-kurangnya Alin dan Reza tidak kelam kabut seperti mana majlis dia dan Najwan yang berlangsung sebulan daripada tarikh yang ditetapkan.
Bukan Alin dan Reza sahaja, Aisar si Abang Sulung dengan Kak Syara juga datang menjenguknya. Sudah terlalu lama dia tidak berjumpa dengan Along dan Kak Long kesayangannya itu kerana kesibukan Along bekerja. Mereka datang dengan si kecil Amzar yang semakin montel. Melihatkan Amzar membuatkan Auni tidak sabar-sabar menanti kelahiran cahaya mata sulungnya.
“ Ummi bawakan sup ayam untuk adik,” ucap ummi seraya menunjukkan mangkuk bertingkat yang berada di tangannya. Auni tersenyum lalu menyalami tangan mereka berempat.
“ Macam mana semua boleh muncul serentak ni? Walid dan baba tak kerja ke?” soal Auni dengan penuh kehairanan. Bukan senang mereka berempat nak muncul sekali tambah-tambah lagi tengah hari minggu bekerja macam ini.
“ Bos besarlah katakan. Kalau tak, tak adanya Nini tengok kami datang sekali,” jelas ibu.
Auni tersenyum riang. Dirinya memang bertuah kerana dikelilingi oleh orang yang menyayangi dirinya. Mereka juga cukup memahami setiap kerenah yang kadang-kadang boleh memeningkan kepada mereka.
“ Naj tak datang lagi ke? Bukan ke dia dari awal pagi lagi duduk bertapa di sini?” Mata baba meliar di sekitar wad mencari kelibat Najwan. Tak nampak langsung batang hidung anak sulungnya itu.
“ Oh! Abang Naj pergi jumpa doktor Kak Reena, katanya nak uruskan hal sikit,” kata Auni. Ummi dan ibu mengambil tempat di sebelah kanan dan kiri Auni. Auni terus memaut lengan kiri dan kanan ummi dan ibu.
“ Nak jadi mama pun perangai macam budak-budak lagi?” ummi mengomel diikuti dengan tawa ibu. Terhibur betul mereka dengan lagak keanak-anakan Auni. Auni melentokkan kepalanya ke atas bahu ummi. Ummi hanya mampu menggeleng.
“ Ala ummi… lepas ni mana boleh manja-manja macam ni dah.” Auni cuba membela dirinya. Ummi dan ibu tersengih sahaja. Walid dan baba pula dah tak boleh nak kata apa.
“ E-jat dan Qausar macam mana ibu?” Auni menoleh ke arah ibu. Sementelah lagi Qausar berada dalam jagaan ibu dan baba.
“ Qausar tu budak baik. Nampak macam dia tak kekok tinggal dengan kami. Eloklah macam tu. Ibu risau dia sedih sebab ibu dia kat hospital ni lagi,” balas ibu.
Pernah juga ibu dan baba membawa E-jat dan Qausar melawatnya. Tetapi hanya jarang-jarang sahaja sebab ibu tidak mahu kehadiran mereka akan menganggu Auni yang masih lagi tidak sihat. Sudahlah E-jat itu suka benar mengajak Auni ke situ dan ke sini.
Bunyi pintu dibuka menarik perhatian mereka yang berada di dalam wad. Najwan muncul di muka pintu dengan beg plastik di tangan kanannya. Ternyata dia terkejut dengan kehadiran keempat-empat orang tuanya itu.
“ Awal datang ke sini. Macam mana boleh muncul empat-empat serentak ni?” Pertanyaan Najwan diselangi dengan seloroh. Najwan segera menyalami keempat-empat mereka.
“ Bak kata ibu, bos besarlah katakan,” Auni mencelah, menolong memberi jawapan kepada suaminya. Dia melepaskan pautan pada lengan ummi dan ibu. Kalau lama-lama berkelakuan seperti itu, mahu kena usik dek suaminya kelak.
Najwan berjalan mendapatkan Auni yang masih duduk di atas katil bersama-sama ibu dan ummi. Dia menghulurkan beg plastik kecil yang berada dalam tangannya itu. Auni melihat sahaja beg plastik itu tanpa niat mengambilnya.
“ Apa ni bang? Nini ada pesan apa-apa ke tadi?”
Najwan membuka beg plastik itu. Beberapa biji epal merah dan segugus anggur hitam berada di dalamnya.
“ Abang tengok buah dalam peti sejuk tu dah habis. Abang pergi beli tadi. Jangan lupa makan tau. Kismis dan kurma ada lagi,” pesan Najwan. Dia berlalu ke sinki kecil dan mula membasuh buah-buahan itu sebelum disimpan ke dalam peti sejuk kecil yang tersedia di dalam wad. Tersenyum sahaja keempat-empat orang tua mereka.
“ Pandai pun anak ibu jaga isteri dia yang tengah mengandung ni. Kalau nak bandingkan dengan masa dia bujang, tak adanya layan orang perempuan macam tu,” kata ibu tiba-tiba. Auni dan Najwan hanya tersipu malu. Riuh wad itu dengan gelak tawa mereka berempat apabila menyedari Auni dan Najwan sudah tersipu malu dengan kata-kata ibu tadi.
NAJWAN membantu Auni untuk duduk bersandar pada kepala katil. Bantal Auni diletakkan secara menegak. Selepas mendapati Auni sudah selesa dengan duduknya, Najwan mengambil tempat di birai katil. Dia menarik sebelah tangan Auni lantas menautkan jari-jari mereka.
“ Nini nak apa-apa tak?” Najwan menyoal lembut. Auni menggeleng dengan senyuman yang dikuntum khusus untuk suaminya.
“ Dah kenyang. Kalau abang nak makan apa-apa, pergi ajelah. Nini duduk aje kat dalam wad ni,” kata Auni diselangi dengan tawa.
Wad kelas satu yang ditempah khas untuknya itu memang mewah. Auni cukup selesa berada di dalamnya walaupun dia merindui suasana di rumah mereka. Sabarlah hati. Tidak lama lagi doktor akan membenarkan dia pulang selepas keadaannya benar-benar stabil.
“ Tak apalah. Abang pun kenyang lagi sebenarnya.”
“ Abang, Nini nak tanya ni.” Wajah suaminya direnung. “ Macam mana dengan Kak Reena? Abang tak cerita lagi pasal dia.”
“ Dia tak apa-apa. Tapi, macam itulah. Ada masa dia nampak normal, ada masa dia sasau, macam tak kenal diri dia sendiri,” jawab Najwan. Auni termangu. Kasihannya.
“ Kesiannya Kak Reena, bang. Berat sungguh ujian untuk dia, kan bang?” kata Auni bersimpati.
“ Jangan susah hati. Allah tak akan timpakan ujian yang tidak mampu dihadapi oleh hamba-Nya. Abang percaya, suatu hari nanti dia akan sembuh juga. Sayang janganlah risau,” pujuk Najwan.
Auni mengangguk. Kata-kata Najwan ada sahihnya.
“ Nini nak jumpa dia?” Najwan bertanya lagi. Pantas Auni mengangguk.
“ Nak! Nak! Bila Nini boleh jumpa Kak Reena?” soal Auni bersungguh-sungguh. Dia terlalu menginginkan pertemuan dengan wanita itu.
Walaupun nyawanya nyaris melayang di tangan Sarah Adrianna, Auni ingin bertemu kembali dengannya. Kisah hidup Sarah ataupun sekarang dia lebih mengenali wanita itu dengan panggilan Reena, amat mengusik tangkai hatinya. Sebagai seorang wanita, Auni turut merasai penderitaan Reena andainya dia turut berada di posisi wanita tersebut.
“ Betul ni?” Kali ini Najwan bertanya dengan nada yang lembut. Semakin erat tautan jari-jemari mereka.
“ Kenapa abang tanya macam tu? Abang tak izinkan Nini jumpa Kak Reena ke?” Auni kehairanan tetapi gelengan Najwan menafikan pertanyaannya.
“ Bukannya abang tak izinkan. Cuma, yalah… Nini kan tahu Reena pernah nak cederakan Nini. Abang tak nak Nini trauma sebab dia.” Berhati-hati Najwan menyusun kata dalam membalas soalan isterinya.
“ Abang…” Auni mengukir senyum, “… kita lupakan apa yang jadi, ya? Nini perempuan. Nini faham perasaan Kak Reena. Nini pun boleh jadi macam dia kalau Nini kehilangan abang dan kalau nasib Nini tak baik seperti dia. Abang izinkan Nini jumpa Kak Reena ya?”
Lama Najwan mendiamkan diri. Auni kelihatan bersungguh-sungguh benar untuk berjumpa dengan Reena. Lambat-lambat dia mengangguk. Wajah Auni berubah ceria sejurus dia mengangguk sebagai tanda memberi izin untuk Auni menemui Reena.
“ Terima kasih, abang,” kata Auni ceria. Najwan tersenyum.
“ Sebelum Nini keluar, abang bawa Nini pergi jumpa Reena, ya? Dahlah. Abang nak Nini tidur. Sekarang ni dah nak pukul 10 malam. Kalau Nini berjaga macam ni, abang takut anak kita pun suka berjaga tengok drama Korea macam mama dia,” kata Najwan seraya tertawa. Auni menarik muka.
“ Alah abang.. Nini nak tengok Superman is Back ni. Rindu dekat kembar tiga tu. Pasanglah kat laptop abang tu,” kata Auni separuh merayu. Baru sahaja dia merancang untuk tidur lewat sedikit, Najwan sudah menyuruhnya untuk tidur. Sudah lama dia tidak menonton kecomelan dan perangai lucu kanak-kanak di dalam rancangan realiti itu.
“ Tak boleh, sayang. Pagi esok pun boleh tengok kan?” Najwan tetap dengan keputusannya.
“ Abang… bolehlah?” Auni merayu sambil buat muka comel namun Najwan tetap dengan wajah selambanya.
“ Tak boleh, Auni Ammaleeyna. Tengok pagi esok. Sekarang ni masa untuk tidur, bukan untuk bercinta dengan laptop,” kata Najwan. Dia bangun daripada katil Auni lalu memaksa isterinya untuk berbaring. Auni tarik muka.
“ Yalah, yalah.”
Najwan sudah memanggilnya dengan nama sebenar dan itu merupakan suatu amaran. Lebih baik dia segera menurut arahan suaminya. Kata nak jadi isteri solehah, kan?
“ Bagus,” Najwan ketawa. Dia membantu Auni menyelimuti dirinya. Cuaca sejuk sebegini tidak elok untuk ibu mengandung. Nanti tidak pasal-pasal Auni mengalami kekejangan tubuh atau demam.
Dahi isterinya dicium lama. Senyuman Najwan masih melekat pada wajahnya. Helaian rambut yang menutupi dahi Auni diselak ke belakang.
“ Selamat malam, sayang. Assalamualaikum.”
Auni tersengih. “ Selamat malam juga. Waalaikumussalam.”
Najwan menutup lampu yang terpasang. Dia hanya membuka lampu meja yang berada di sebelah katil Auni. Najwan beralih ke sofa panjang yang menjadi tempatnya beradu selama Auni ditempatkan di dalam hospital. Sehelai jaket disarung ke tubuh untuk mengelak dia tidur dalam kesejukan. Sebiji bantal sudah tersedia di tangan sofa. Tubuhnya direbahkan di situ.
Mata Najwan meleret ke arah Auni yang sudah tidur. Dia tersengih. Cepat benar isterinya tidur. Mungkin wanita itu keletihan. Najwan memejamkan pula matanya selepas mengungkapkan dua khalimah syahadah.
Moga mimpi Nini indah-indah sahaja selepas ini.
Share this novel