Chapter 32

Romance Completed 17236

BAB 32

NAJWAN terhendap-hendap di balik ruang yang menghubungkan dapur dengan ruang makan. Dia tersenyum-senyum tatkala melihat isterinya yang berapron gambar comel sedang memasukkan sebuah bekas ke dalam peti sejuk. Perlahan-lahan dia mendekati Auni yang sedang berdiri membelakanginya lalu…

“ Nini!”

Tubuh kecil itu dipeluk dari belakang. Auni tersenyum geram apabila melihat suaminya sedang menayangkan muka yang tidak bersalah kepadanya. Namun apabila memikirkan peristiwa tengah malam semalam, membuatkan Auni gusar.

Abang ingatkan arwah Ikhwan ke?

“ Memang hobi abang kan buat macam tu?” kata Auni dengan lagak seperti biasa. Dia pusing untuk berhadapan dengan Najwan. Kedua-dua pipi Najwan ditarik lalu dicubit perlahan. Najwan ketawa. Sebelah tangannya menarik tangan Auni daripada pipinya.

Nini ni ingat aku budak kecil ke nak tarik cubit pipi macam ni?

“ Abang bosan duduk seorang aje kat depan tu. Nini buat apa dari tadi ni? Abang bau sesuatu aje,” balas Najwan dengan muka monyok yang dibuat-buat. Auni tergelak. Nak bermanjalah tu. Sabar ajelah suami aku ni.

“ Nini buat kek vanila. Nanti dah sejuk, kita makan ya? Baru sedap,” ucap Auni.

Najwan mengangguk.

“ Kalau… abang nak makan Nini?”

Auni menjegilkan matanya. Bahu Najwan ditepuk.

“ Jangan nak mengada ya Encik Najwan Faqqimi. Kerja abang dah siap belum?”

Tu dia nak keluar aura nak mengada-adalah tu.

“ Alah, hari ni kan hujung minggu. Apa kata, sambil-sambil nak tunggu kek vanila Nini tu sejuk, kita keluar nak? Dah lama tak jalan-jalan dengan Nini tahu tak,” kata Najwan. Wajahnya dimonyokkan sekali lagi. Tangannya masih tidak lepas daripada pinggang isterinya.

“ Nak keluar? Ke mana?”

“ Lepak taman bunga? Makan ais krim?”

Bibir Auni mengukir senyum. “ Okey.”

Najwan ketawa perlahan. Pantas dia mencium pipi isterinya sebelum melepaskan pelukannya.

“ Nini pergi siap-siap. Abang pergi panaskan enjin kereta, okey?”

Auni mengangguk. Dia baru sahaja ingin berlalu dari dapur sebelum langkahnya terhenti. Wajah Najwan yang masih lagi tidak berganjak dari dapur itu direnung lama. Najwan mengangkat keningnya sebelah.

“ Kenapa?”

“ E-jat? Tak nak ajak sekali?”

Najwan tersenyum. Dia mendapatkan isterinya lantas merangkul bahu Auni. Hidung Auni dicuit perlahan.

“ Abang fikir nak habiskan masa kita berdua aje. Ke Nini memang nak E-jat ikut? Abang tak kisah,” kata Najwan lembut. Auni tersenyum lebar.

“ Betul abang tak kisah? Nak! Nak! Rindulah kat E-jat,” balas Auni lalu disambut dengan tawa Najwan.

“ Okey, okey. Kita bawa E-jat sekali. Nini pergi siap-siaplah. Abang nak telefon ibu kejap. Minta E-jat bersiap, tunggu kita jemput.”

“ Okey! Sayang abang!”

Auni mengucup pantas sebelah pipi suaminya sebelum segera berlari ke tingkat atas. Najwan tergelak apabila mengenangkan tingkah isterinya itu. Macam kanak-kanak pun ada.

Nini, Nini. Sayang betul dekat E-jat tu.

Najwan senyum lama. Apabila mengenangkan E-jat, dia terfikir. Apa reaksi E-jat sekiranya dia dan Auni akan mempunyai anak kandung kelak. Dan, dapat ke dia luangkan masa seperti sekarang sekiranya mereka sudah mempunyai anak kandung?

Doa Najwan, semoga kasih sayangnya dan Auni terhadap E-jat tidak akan sirna walaupun mereka akan mempunyai anak hasil cinta mereka kelak. Walau bagaimanapun, Ezzat Ridhuan juga merupakan anak kepada Najwan Faqqimi walaupun anak kecil itu bukanlah anak kandungnya.

HARI ini tadika E-jat mengadakan Hari Keluarga. Najwan dan Auni menemani E-jat lantaran ketiadaan sesiapa yang boleh menjadi teman E-jat. Nasib baik juga baba membenarkan Najwan mengambil cuti. Auni pula pandai membodek bosnya supaya diberikan cuti. Bonus bagi Auni kerana Adam merupakan teman baik suaminya.

“ Sukanya E-jat! Mama dan papa pakai baju sama dengan E-jat,” luah E-jat kegembiraan. Najwan dan Auni saling berpandangan sebelum tertawa lucu.

Sengaja mereka memakai pakaian yang sama warna dengan baju sukan E-jat. E-jat berada dalam Rumah Pluto, sut pakaiannya berwarna biru. Najwan mengenakan kemeja T berkolar berwarna biru berserta denim biru gelap manakala Auni yang ayu bertudung putih memakai kemeja T lengan panjang yang berwarna biru muda. Auni juga memakai denim biru gelap.

“ Yalah, lepas ni bolehlah kita ambil gambar keluarga,” ucap Auni. E-jat mengangguk pantas. Dia memimpin tangan Najwan dan Auni. Najwan di sebelah kanan manakala Auni di sebelah kiri. E-jat membawa mereka berdua menemui guru kelasnya, Puan Lisa. Puan Lisa masih kelihatan seperti remaja belasan tahun. Sesuai dengan peranannya sebagai guru tadika.

“ Cikgu Lisa, ini ibu bapa saya.” E-jat memperkenalkan Najwan dan Auni. Puan Lisa tersenyum lalu menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Auni.

“ E-jat budak yang baik. Pandai tuan dan puan didik dia,” puji Puan Lisa. Najwan dan Auni sama-sama mengangguk. Auni menunduk pada E-jat di sebelahnya.

“ E-jat tak ada nakal-nakal, kan?” duga Auni. Pantas E-jat menggeleng.

“ Mana ada, mama!”

Balasan E-jat disambut dengan tawa Puan Lisa serta pasangan Najwan-Auni.

Sesudah berbual sedikit sebanyak dengan Puan Lisa, E-jat membawa Najwan dan Auni bersiar-siar di sekitar kawasan tadika itu. Rakan-rakan sebaya E-jat leka bermain berkejar-kejaran. Ada juga yang sedang makan dan bersiar-siar bersama-sama ibu bapa masing-masing. Bagi yang menyertai acara yang dipertandingkan, mereka segera mengambil tempat. Ada juga yang menjadi penyokong rakan masing-masing.

“ Mana Qausar?” Auni teringatkan kanak-kanak lelaki yang persis anak kacukan Melayu-Inggeris yang pernah ditemuinya dahulu. Najwan merenung pada wajah isterinya. Siapa Qausar?

“ Dia? Dengan ibu dia kot,” teka E-jat. Matanya mula melilau mencari sahabat barunya itu. Namun agak sukar usaha E-jat itu lantaran kawasan tadika itu dipenuhi dengan ibu bapa dan anak-anak mereka.

Pantas Najwan dapat meneka. Pasti itu sahabat baru E-jat yang pernah diceritakan oleh E-jat kepadanya tidak lama dahulu.

“ Ayah dia mana?” tanya Auni. Ketika dia menemui Qausar tempoh hari, kanak-kanak lelaki itu hanya menyebut tentang ibunya sahaja. Kali ini pula E-jat hanya menyebut ‘ibu dia’. Seakan-akan Qausar itu tidak mempunyai bapa.

Auni harapkan apa yang dia fikirkan itu salah. Kasihan bagi kanak-kanak seusia Qausar jika sudah kehilangan bapa, seperti mana Auni mengasihi E-jat yang sudah merupakan yatim piatu.

“ Entahlah. Dia tak pernah cerita pasal ayah dia. Ibu dia orang Melayu, E-jat dah pernah jumpa ibu Qausar,” kata E-jat. Auni mengangguk sahaja.

“ Mama rasa ayah Qausar tentu lelaki Inggeris, kan? Kalau Melayu, takkanlah muka dia macam muka Caucasian,” kata Auni. E-jat mengangguk sahaja. Dia bukannya faham sangat apa yang sedang diperkatakan oleh mamanya itu.

“ E-jat nak aiskrim?” Najwan mencelah. Matanya tertumpu pada deretan gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Tidak perlu lama menunggu jawapan daripada E-jat kerana Najwan sudah mengetahui jawapannya.

“ Nak!”

“ Jom.”

Najwan menarik E-jat menuju ke gerai yang dimaksudkan. Auni juga ditarik sama. Ramai juga ibu bapa yang mengunjungi deretan gerai makanan dan minuman itu. Apatah lagi dalam cuaca yang agak panas ini membuatkan mereka cepat merasa dahaga.

Najwan memesan sundae coklat untuk E-jat dan dua waffle strawberi-coklat untuk dia dan Auni. Sementara menunggu pesanan, sempat juga mata Auni melilau dalam khalayak ramai. Dia tersenyum apabila melihat keriangan pada setiap wajah kanak-kanak di tadika itu.

Seronoknya kalau aku ada anak sendiri, desis Auni. Tetapi dia terpaksa berserah kepada ketentuan Ilahi. Anak merupakan anugerah dan rezeki yang diberikan oleh Ya Rabb. Mungkin dia dan Najwan masih belum mempunyai rezeki untuk mempunyai anak kandung. Kepada E-jat sahajalah tempat dia mencurahkan kasih sayangnya.

Pap!

Melayang jauh lamunan Auni secara tiba-tiba. Matanya terpaku pada wajah Najwan yang sedang sengih mengusik di hadapannya. Auni mencebik.

“ Abang ni, ikut suka hati dia aje nak usik Nini. Janganlah kacau, Nini tengah berangan tadi,” marah Auni. Najwan dan E-jat mula tergelak. Hidung isterinya segera dicuit.

“ Kalau berangan pasal abang tak apalah, kalau abang tahu Nini berangankan lelaki lain siap Nini,” seloroh Najwan. Auni menarik muncung sekali lagi. Kacau daun betullah!

“ Dahlah, malas Nini nak layan abang. Jom, E-jat. Kita tinggalkan papa kat sini, baik kita pergi main sama-sama,” balas Auni. Dia membawa E-jat ke dukungannya. Najwan hanya mampu ketawa. Tingkah Auni sedikit sebanyak mencuit hatinya. Nini memang macam budak-budak.

Auni menoleh ke belakang, ke arah Najwan yang masih duduk berseorangan di kerusi taman yang disediakan dalam kawasan tadika itu. Wajah suaminya kelihatan kosong. Seakan-akan sedang memikirkan sesuatu.

Abang?

MATA pen sedang menari di atas kertas A4 kosong namun minda Auni tidak fokus pada apa yang sedang dilakukannya kini. Kertas-kertas bertaip yang sudah lama diserahkan oleh Firas kepadanya hanya dipandang kosong. Dia tiada hati untuk melakukan kerja sekarang. Tambahan lagi dengan keadaan pejabat kosong lantaran tibanya waktu makan tengah hari.

Auni beralih pandang ke arah meja Adda. Adda juga sudah turun untuk makan tengah hari. Pelawaan Adda dan Cassy untuk makan bersama-sama ditolak dengan baik. Selera makannya seakan-akan terbantut.

Perlahan Auni menolak kerusi yang sedang didudukinya. Daripada dia termenung sebegini lebih baik dia pergi menunaikan solat Zohor. Sekurang-kurangnya dapatlah juga dia menenangkan hati. Sebuah bilik yang dikhaskan untuk menunaikan solat menjadi destinasi Auni.

Abang?

Auni susah hati. Tidak pernah-pernah dia melihat Najwan muram sebegitu rupa. Adakah ada kaitan dengan arwah Ikhwan? Tapi, lelaki itu telah lama meninggalkan alam dunia ini. Atau, adakah sesuatu telah terjadi yang membawa ingatan suaminya kuat kepada arwah?

Ya Allah, tenangkanlah hatiku. Tenangkanlah hati suamiku.

JAM sudah mencecah angka 11.30 malam tetapi Auni masih setia menemani Najwan membuat kerja di ruang tamu. Najwan sedang menghadap Dell di atas riba manakala Auni sedang melayan Kill Me, Heal Me.

Kadang-kadang Auni akan mengerling ke arah suaminya. Tumpuannya pada drama yang sedang ditonton tidak seperti kebiasaan. Najwan hanya mendiamkan diri sahaja daripada tadi. Berkerut-kerut mukanya menghadap skrin Dell. Auni menoleh sekilas ke arah suaminya.

Nampak stres semacam aje suami aku ni. Tak pernah-pernahnya buat muka macam tu walaupun tengah hadap fail kerja yang bertimbun tu. Abang memang ada masalah ke?

“ Abang,” panggil Auni perlahan. Najwan hanya mengangguk sedikit sekadar untuk memberi respon.

“ Abang nak kopi?”

Perlahan juga Najwan mengangguk. Auni bangun daripada sofa dan menuju ke dapur. Dahaga juga tekaknya kerana sudah lama tidak dijamah oleh air. Botol kaca yang berisi serbuk kopi diambil daripada rak atas. Sebotol madu asli pula dikeluarkan daripada peti sejuk.

Selesai menyediakan kopi untuk suaminya, Auni mengeluarkan pula karton Sunkist. Tiba-tiba dia teringin untuk minum jus oren pula. Dua keping kek coklat yang diberikan oleh ibu tempoh hari juga dikeluarkan. Auni menatang dulang kecil lalu dibawa ke ruang tamu.

“ Kek? Tahu-tahu aje Nini yang abang lapar,” gumam Najwan. Dell kembali diletakkan di atas meja. Dia bangun lalu menggeliat sedikit.

“ Nini tahu sangat yang abang lapar. Muka pun stres semacam aje dari tadi,” selamba Auni menuturkan. Dulang itu diletakkan di atas meja kopi. Mug yang berisi kopi panas dan sepiring kek Auni keluarkan daripada dulang.

Najwan tersenyum namun Auni perasan bahawa senyuman suaminya tidak seceria seperti mana kebiasaannya. Hairan juga Auni melihat perubahan suaminya itu. Najwan sakit ke? Atau kerja kat pejabat banyak sangat?

“ Abang stres sebab lapar ke atau abang ada masalah?” tanya Auni. Dia menghirup sedikit Sunkist. Terasa lega sedikit tekaknya yang kering sejak tadi lagi.

Najwan hanya senyum sahaja. Dia mencapai mug berisi kopi panas itu.

“ Pandai-pandai Nini aje kata abang ada masalah. Tak adalah sayang, abang okey aje. Kenapa Nini suka tanya macam tu sejak akhir-akhir ni?”

Orang tanya dia, dia yang tanya orang pula!

“ Asyik tayang muka stres aje kat Nini, mana Nini tak tanya,” balas Auni geram. Dia mula menyuap kek coklat. Malas nak layan Najwan, baik dia layan drama sekarang ni.

Najwan tergelak kecil. Sesudah menghirup sedikit kopi, dia menyambung balik kerjanya. Matanya melekat pada skrin Dell, tetapi fikirannya mula melayang ke tempat lain. Tanpa sedar, dia menyeru nama Auni. Pantas Auni menoleh pada Najwan. Dahinya berkerut apabila melihat mata suaminya masih setia melekat pada skrin Dell.

“ Abang?”

Najwan mencari raut wajah isterinya. Terkebil-kebil dia melihat wajah Auni yang kelihatan kehairanan.

“ Kenapa?”

Dahi Auni kian berkerut. “ Tadi abang juga yang panggil Nini, abang pula yang tanya Nini kenapa? Kenapa, abang?”

Najwan diam seketika. Pantas dia melarikan pandangannya pada wajah Auni. Dia menggeleng perlahan. Jemarinya mula mencapai papan kekunci Dell.

“ Tak ada, tak ada apa-apa,” gumamnya perlahan.

Auni mengeluh perlahan. Dia merapatkan duduknya di sebelah suaminya. Matanya hinggap pada wajah resah Najwan.

“ Kenapa dengan abang ni? Nini perasan sejak dua menjak ni abang asyik termenung aje. Abang ada masalah ke?” sekali lagi Auni melontarkan pertanyaan mengenai keadaan suaminya. Risau dia melihatkan tingkah suaminya yang sedemikian.

Pantas Najwan menggeleng. Dia masih melarikan matanya daripada wajah Auni. Dan tindakan Najwan itu mengundang rasa tidak puas hati Auni. Suaminya seakan-akan menyorokkan sesuatu daripada pengetahuannya.

“ Abang anggap Nini ni isteri abang atau tak?” tanya Auni perlahan. Najwan tersentak. Terpaksa juga dia melihat pada wajah isterinya. Wajah Auni kelihatan keruh pada pandangan matanya.

“ Kenapa Nini tanya abang macam tu?” Najwan mula serba salah. Auni tidak pernah kelihatan sedih di hadapannya. Dia juga kian serba salah kerana dialah yang menyebabkan Auni muram.

“ Nini tahu abang ada masalah, tapi susah sangat ke abang nak kongsi masalah abang dengan Nini?” tanya Auni lagi.

Dia tidak mahu mendesak tetapi dia terpaksa. Dia tidak betah melihat Najwan tidak seceria seperti kebiasaannya. Dia janggal.

“ Maaf, Nini. Nini isteri abang dan abang hargai Nini. Tapi, abang betul-betul minta maaf, abang tak tahu nak ceritakan macam mana pada Nini. Kalau boleh, biarlah abang yang tanggung semuanya. Ianya terlalu peribadi,” balas Najwan. Dia mengusap kepada isterinya.

“ Terlalu peribadi sampai Nini tak boleh tahu?” duga Auni. Perlahan Najwan mengangguk. Auni mengeluh.

“ Biar abang aje yang selesaikan masalah ni. Kan abang pernah cakap dulu, abang tak akan kongsi masalah abang kalau ianya akan buat Nini terbeban. Cuma satu aje yang abang minta dari Nini,” kata Najwan lagi. Dia meletakkan kepala Auni pada bahunya. Kedua-dua tangan Auni digenggam erat. Auni tergamam. Dia cuba melihat pada wajah suaminya.

“ Tolong sentiasa percayakan abang walau apapun berlaku. Boleh, sayang?”

Auni makin tergamam. Apa yang cuba disampaikan oleh suaminya?

“ Abang?” Auni keresahan. Kenapa?

Najwan tersenyum hambar. “ Tolong, Nini?”

Dan Auni sudah tidak mampu berkata apa-apa saat Najwan memeluknya erat.

Abang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience