Chapter 28

Romance Completed 17236

BAB 28

TERGESA-GESA E-jat menuruni tangga bagi mendapatkan Najwan dan Auni yang baru sahaja keluar daripada Prius. Ibu hanya mampu menggeleng melihat telatah cucu tunggalnya itu. Sudah lama Najwan dan Auni tidak datang melawat E-jat. Hampir sahaja E-jat merajuk dengan mereka berdua.

“ Assalamulaikum, ibu. Ibu sihat?” Najwan menyalami tangan ibu. Ibu tersenyum sahaja. E-jat pula sudah melekat pada Auni. Seakan tidak mahu melepaskan tangan Auni yang kini digenggam erat olehnya.

“ Ibu sihat. Kamu berdua macam mana? Dah lama tak datang sini, padahal rumah kita bukannya jauh sangat pun,” omel ibu seraya mendekati Auni. Dia memeluk menantu kesayangannya itu. Dahi Auni dicium. Marah E-jat apabila ibu berbuat demikian. Auni dan ibu hanya ketawa melihat tingkah E-jat.

“ Maaflah, ibu. Naj memang betul-betul sibuk sejak kebelakangan ni. Ini pun, Naj kena pergi Tioman tak lama lagi. Baba dah beritahu ibu belum?” Najwan mendukung E-jat. Pipi E-jat dicium.

Ibu mengangguk. “ Dah. Baba kata Nini akan tinggal dengan ibu dan baba dalam masa seminggu tu. Nini tak kisah, kan?”

Wajah menantunya direnung lama. Yalah, Najwan dan Auni mana pernah berenggang selama mereka berkahwin. Inilah kali pertama. Dan ibu percaya tentu sukar buat kedua-duanya untuk berpisah. Seperti mana dia dan suaminya masa mereka baru sahaja berkahwin dahulu.

Tuan Luqman sering sibuk dengan perniagaan yang diwarisi oleh arwah bapanya yang pada asalnya hanyalah suatu bisnes rumah tamu secara kecil-kecilan sebelum Tuan Luqman mengambil langkah untuk membesarkan perniagaan itu. Sering sahaja Puan Sofiah ditinggalkan. Mula-mula tidak betah juga dia. Namun lama kelamaan, Puan Sofiah sudah tidak merasa apa-apa. Apatah lagi tika itu suaminya berpenat lelah mencari pendapatan untuk kesenangan hidup mereka sendiri.

“ Nini tak kisah. Lagipun, bolehlah Nini tolong hantarkan E-jat ke tadika dalam masa seminggu tu. Betul tak, E-jat?” Auni mencubit pipi E-jat yang masih dalam dukungan Najwan. Pantas E-jat mengangguk.

“ Betul, betul, betul! Bolehlah E-jat ke tadika dengan mama!” teriak dia kegembiraan. Najwan turut ketawa. Dia menurunkan E-jat di atas sofa.

“ Malam ni pun kami ada hal, ibu. Saya ada perjumpaan kat Hotel Kayangan. Bawa Nini sekali,” terang Najwan. Auni mengiakan kata-kata suaminya. Ibu hanya tersenyum.

“ Bolehlah kamu kenalkan Nini pada kawan-kawan kamu yang lain. Ibu risau juga dengan kamu ni, manalah tahu ada peminat rahsia masa kat UK dulu,” seloroh ibu. Pantas Najwan menggeleng.

“ Apalah ibu ni. Ada pula macam tu,” gumam Najwan. Auni dan E-jat sama-sama ketawa.

“ NINI! Cepatlah!”

Laungan Najwan dari tingkat bawah membuatkan Auni makin kalut. Fossil di pergelangan tangan direnung sekilas. Sudah menunjukkan 7:50 malam. Majlis itu dijangka akan bermula pada 8.30 malam nanti. Auni bersungut.

“ Apalah suami aku ni. Dia tak apalah, sauk aje baju dan seluar tu, dah siap. Aku ni perempuan. Kenalah pakai baik-baik sikit,” omel Auni.

Pin kecil berbentuk bunga berwarna merah jambu diambil daripada kotak hiasan. Auni mengemaskan bahagian bawah selendang besar hitam berbunga kecil merah jambu itu. Sedikit gincu dia calitkan pada bibir. Setelah berpuas hati, Auni segera mencapai tas tangan dan turun ke ruang tamu.

“ Dah siap. Apalah abang ni, macamlah dia orang tak boleh tunggu kita. Nini rasa mereka pun baru bertolak.” Sempat lagi Auni membebel apabila melihat Najwan sudah tidak sabar menunggunya. Najwan mencebik.

“ Yalah, yalah. Nini pun dah cantik. Boleh kita pergi, tuan puteri?”

Najwan menghulurkan tangan kanannya pada Auni, ibarat putera raja meminta Cinderella menari dengannya. Auni ketawa kecil. Huluran tangan suaminya disambut.

“ Baiklah, Encik Najwan.”

Malam itu Auni mengenakan jubah berwarna hitam yang disulami dengan bunga-bunga kecil berwarna putih dan merah jambu pada hujung pergelangan tangan dan pada bahagian bawah jubah. Sepadan dengan Najwan yang segak mengenakan kemeja putih berbelang hitam melintang bersama-sama kot hitam. Tali leher merah menghiasi kolar kemeja Najwan.

Mereka tidak banyak berbual sepanjang perjalanan. Auni dan Najwan lebih senang melayan perasaan sambil mendengar lagu yang dipasang oleh Najwan. Cuma sesekali, hinggap juga tangan Najwan pada tangan isterinya.

Sampai sahaja mereka di Hotel Kayangan, Najwan segera membawa Auni ke dewan besar. Poster yang tertera di hadapan pintu masuk dewan besar itu menarik perhatian Najwan dan Auni. Sudah agak ramai teman Najwan yang sudah sampai.

“ Mari masuk,” ajak Najwan. Dia mengukir senyum pada Auni yang mula kelihatan gementar. Ini merupakan kali pertama Najwan membawanya ke majlis sebegini, sudah pastilah Auni masih lagi kekok. Auni mengangguk perlahan. Najwan memeluk bahu isterinya lantas mereka memasuki dewan tersebut.

“ Eh! Tu Qimi!”

Seorang lelaki berkaca mata menghampiri Najwan dan Auni. Di belakangnya, beberapa orang lelaki dan wanita turut menyertai langkah lelaki berkaca mata itu. Najwan melepaskan pelukannya pada bahu Auni. Dia memeluk lelaki berkaca mata itu.

“ Dah lama tak jumpa kau, Safwan. Mana Hanun?” tanya Najwan. Sempat dia menepuk belakang lelaki yang dikenali sebagai Safwan itu. Safwan hanya ketawa.

“ Dia ada. Tengah berborak dengan geng lama. Ni ke isteri kau?” tanya Safwan. Dia mengangguk pada Auni. Auni mengukir senyum.

“ Satu-satunya isteri aku,” bangga Najwan menuturkan. Safwan tersengih.

“ Bahagia aku tengok kau, Qimi. Aku ingatkan kau jadi bujang terlajak,” kata Safwan selamba. Najwan menghadiahkan penumbuk pada bahu Safwan.

“ Boleh pula kau doakan aku macam tu? Apa punya kawanlah,” kata Najwan dengan gelaknya. Safwan turut ketawa.

Seorang demi seorang Najwan kenalkan Auni kepada sahabat-sahabatnya. Semuanya mengeluarkan kenyataan seperti Safwan tadi. Semuanya tidak percaya yang Najwan sudah berkahwin. Ternyata Najwan terkenal dalam kalangan rakan seuniversitinya walaupun Najwan masih lagi muda pada masa itu. Walaupun ramai gadis yang meminati suaminya dahulu, namun seorang pun tidak berjaya membuka hati Najwan. Auni tersenyum malu tatkala diusik oleh kawan-kawan perempuan suaminya.

Ketika penganjur majlis iaitu Faiz, rakan sekuliah Najwan ingin memberi ucapan, Najwan membawa Auni duduk bersama-sama Safwan dan isterinya, Hanun di meja hadapan. Beberapa pasangan lain turut menyertai mereka. Sempat lagi Auni berkenalan dengan Hanun. Tingkah Hanun yang ceria dan mudah mesra dengan orang membuatkan Auni selesa berkenalan dengan gadis itu.

“ Awak nak tahu Auni, pernah dulu ada seorang perempuan datang jumpa saya semata-mata minta saya serahkan surat cinta dan hadiah untuk suami awak ni. Ramai sangat peminat si Qimi ni dulu,” galak Hanun membuka kisah lama Najwan. Auni tergelak perlahan. Wajah suaminya yang kelihatan tegang dipandang sekilas.

“ Ya? Kemudian, dia buat apa dengan surat dan hadiah tu?” Auni ketawa. Wajah suaminya kian tegang. Menahan telinga sahaja mendengar kisah-kisahnya diluahkan oleh Hanun. Seronok juga Auni mendengar kisah-kisah suaminya di zaman muda-muda dahulu. Bolehlah dijadikan sebagai bahan usikannya nanti.

“ Ada ke dia pergi bagi kat suami saya? Dahlah masa tu saya dah bertunang dengan Safwan. Rasa nak hempuk-hempuk aje si Qimi ni,” sambung Hanun dengan muka tidak berpuas hati. Safwan yang leka mendengar cerita isterinya turut menghamburkan tawa.

“ Alah sayang. Bukannya abang sangkut dengan perempuan yang suka Qimi tu pun. Tak payahlah nak lebih-lebih sangat.” Safwan mengusik namun Hanun tetap dengan muka tidak puas hatinya. Lama dia merenung tajam ke arah Najwan yang sudah mula cuak.

“ Lebih tak lebih. Bukan ke abang pernah kata nak jumpa perempuan tu dan cakap terima kasih?” kata Hanun sambil menjeling ke arah suaminya. Safwan tetap dengan tawanya. Tidak terkesan langsung dengan jelingan tajam isterinya.

“ Bergurau saja ya?”

Serentak mereka ketawa. Auni tersenyum lucu apabila melihat wajah suaminya masih lagi tegang. Sebelah tangan Najwan dicapai lalu digenggam erat. Najwan menoleh ke arah isterinya.

“ Sekurang-kurangnya Nini tahu abang tak pernah letakkan siapa-siapa selain Nini dalam hati abang,” Auni berbisik perlahan. Najwan mula tersengih. Pandai pun Auni mengambil hatinya.

Faiz sudah duduk di podium. Kedengaran sahaja gema yang terhasil daripada mikrofon sewaktu Faiz membuka suis mikrofon, mereka terus sahaja mendiamkan diri. Perhatian mereka beralih kepada Faiz.

“ Assalamualaikum, rakan-rakan seperjuangan di universiti dahulu. Terima kasih kerana sudi hadir di majlis pertemuan kembali ini. Terlebih dahulu saya ingin mempersilakan rakan kita, Najwan Faqqimi bin Luqman Hakim untuk membaca doa di hadapan. Bersempena dengan peringatan kepada arwah sahabat baik kita semua, Ikhwan Rahaman bin Aziz yang sudah meninggalkan kita semua.”

Ringkas sahaja ucapan pendahuluan Faiz. Tanpa banyak karenah Najwan terus meninggalkan tempat duduknya dan berjalan ke pentas. Auni termangu di situ. Dia agak terkesan dengan ucapan Faiz tadi.

Arwah Ikhwan Rahaman?

Auni menoleh kepada Hanun yang duduk di sebelahnya. “ Siapa arwah Ikhwan?” soalnya perlahan. Hanun menarik senyum hambar. Ternyata isteri Najwan masih tidak mengenali arwah Ikhwan.

“ Kawan baik Qimi dulu. Arwah Ikhwan meninggal masa tahun terakhir kami di Cambrigde. Kanser paru-paru,” jelas Hanun ringkas.

Auni mengangguk perlahan. Dia melihat kepada suaminya yang sedang berdiri di podium. Dia terpana melihat wajah Najwan yang kelihatan tegang. Tidak pernah selama usia perkahwinan mereka itu Auni melihat wajah Najwan setegang itu. Berlainan daripada kebiasaan. Wajah suaminya turut menzahirkan kesayuan.

“ Ikhwan Rahaman, seorang sahabat yang baik. Arwah datang dari sebuah kampung di Perak. Jenaka arwah selalu menceriakan hari-hari yang kita lalui bersama-sama di UK dahulu. Seorang pendengar dan penasihat yang baik. Tetapi, kanser paru-paru penyebab arwah dijemput terlebih dahulu oleh Ilahi. Dia tinggalkan ramai orang menyayanginya, termasuklah rakan-rakan sepejuangnya. Dia terpilih untuk dijemput Ilahi terlebih dahulu.”

Najwan diam sejenak. Auni yang masih di tempat duduknya menggigit bibir apabila menyedari setitis air mata lelaki gugur pada wajah Najwan. Najwan mengelak daripada renungan isterinya namun dia tidak takut berhadapan dengan pandangan sahabat-sahabatnya saat air mata lelakinya mula mengalir. Najwan mengukir senyum kelat.

“ Walaupun arwah Ikhwan telah lama pergi, tapi masih banyak pengorbanan arwah yang terkesan pada hati kita. Sampai ke hembusan nafas yang terakhir, arwah Ikhwan tabah dengan sakitnya. Arwah tak pernah menangis, tak pernah merungut.” Najwan terbatuk. Percakapannya juga sudah tidak teratur. Tetapi dia kembali menyambung ucapannya.

“ Senyumannya menjadi penguat semangat kita semua. Arwah selalu katakan, ‘Tak apa, ini tandanya Allah sayang aku. Mungkin Dia rindukan aku, jadi Dia nak jemput aku dahulu.’ Sampai bila-bila pun, arwah akan kekal sebagai sahabat baik kita semua. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi. Semoga dia tenang di sana.”

Auni diam. Dia dapat melihat mata suaminya makin memerah. Faiz yang berdiri di sebelah Najwan hanya mampu menepuk bahu lelaki itu. Najwan menadah tangan, memulakan doa.

Suasana sepi sejenak sewaktu Najwan membaca doa. Nada suaranya sayu menggamit rasa sedih kepada hati yang mendengarnya. Auni hanya mampu merenung sahaja suaminya di atas podium. Tidak pernah dia melihat suaminya sebegitu. Malah, Najwan tidak pernah menceritakan perihal Ikhwan kepadanya. Auni menghela nafas berat.

Kedatangan dia ke sini membuka satu kisah silam suaminya. Apa yang Auni dapat rasakan, pemergian arwah Ikhwan membawa kesan yang mendalam kepada suaminya. Najwan pandai menyembunyikan rasanya. Tetapi nampaknya, Najwan tewas pada malam ini. Air matanya mengalir perlahan saat dia membaca doa bagi memperingati arwah Ikhwan.

SUASANA sepi sahaja dalam Prius Najwan. Najwan tidak banyak berbual dengan Auni sepanjang majlis berlangsung. Auni perasan, gelak tawa Najwan sewaktu berbual dengan sahabat-sahabatnya tadi seperti dibuat-buat. Auni mengerling sekilas kepada suaminya di sisi. Dia menarik nafas.

“ Abang?”

Najwan mengguman rendah, sekadar memberi respon. Auni mengeluh.

“ Boleh abang beritahu saya pasal… arwah Ikhwan?” perlahan Auni menuturkan.

Najwan agak tersentap. Dia mengeluh berat. Dia melihat kepada Auni di sebelah. Jelas keingingan Auni untuk mengetahui mengenai arwah Ikhwan tergambar pada wajah isterinya. Najwan cuba menarik senyum namun gagal.

“ Kenapa Nini nak tau?” Najwan menyoal. Auni tersenyum buat si suami yang kelihatannya masih berada dalam kesedihan

“ Dia sahabat baik abang kan? Sebab itulah saya nak tahu,” lembut Auni menjawab. Tangan suaminya digenggam erat. Seakan menyalurkan kekuatan buat si suami. Najwan tersenyum. Hambar.

“ Dia sahabat baik abang, yang paling baik abang pernah jumpa,” tutur Najwan perlahan. Auni mengangguk. Dia hanya membiarkan sahaja suaminya meluahkan bicara.

“ Dia dah kahwin, masa tahun kedua kami. Kanser dia dikesan pada peringkat akhir, masa tu dah tahun terakhir kami kat Cambridge. Penyakitnya semakin merebak, dia meninggal lepas tiga bulan menderita kesakitan. Lepas dia pergi… barulah kami tahu arwah sebenarnya sudah tahu pasal kanser itu tapi hanya lakukan rawatan biasa. Isterinya juga tidak tahu,” ucap Najwan.

Sudah tiba masanya Auni mengetahui kisah silamnya. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Najwan langsung tidak mengungkapkan kisah seorang insan bernama Ikhwan. Dibiarkan sahaja arwah Ikhwan wujud dalam hatinya. Dia tidak boleh melupakan pemergian seorang sahabat yang baik seperti Ikhwan.

“ Siapa isteri dia?” tanya Auni lagi. Najwan diam sejenak.

“ Reena. Anak yatim piatu. Sekarang ni kami tak tahu dia kat mana. Ada yang kata Reena masih kat UK, tak sanggup tinggalkan tempat kenangan dia dengan arwah. Ada yang kata, dia dah ada kat Malaysia. Entahlah, abang pun tak tahu. Kami dah putus hubungan lepas arwah Ikhwan meninggal.”

Auni pula yang mendiamkan diri. Dia membiarkan Najwan melayan perasaannya dahulu. Flying Without Wings nyanyian Westlife mula memecah suasana dalam Prius. Auni menarik nafas. Lama dia merenung wajah Najwan yang masih dengan pemanduannya.

“ Abang memang sayangkan arwah sangat-sangat?”

Najwan diam. Perlahan-lahan dia mengangguk. Tanpa memandang wajah Auni, dia menuturkan kata.

“ Ikhwan seorang sahabat yang baik, Nini. Terlalu baik. Walaupun dia sendiri ada masalah, dia sanggup tolong orang lain. Kadang-kadang, abang fikir abang tak layak jadi sahabat arwah.”

Auni kembali senyap. Tiada lagi pertanyaan yang diutarakan pada suaminya.

“ Abang, pandang Nini sekejap?”

Mahu tidak mahu, Najwan turutkan sahaja permintaan isteri tercinta walau di dalam hati, dia tidak mahu Auni melihat wajahnya yang kesedihan seperti itu. Najwan menoleh sekejap sahaja kepada wajah isterinya sebelum matanya kembali singgah pada jalan raya.

“ Abang, walaupun arwah dah tak ada, tapi Nini percaya. Arwah hidup dalam hati abang. Jangan sesekali menyesal dengan apa yang berlaku. Hidup mesti diteruskan. Apa yang kita boleh buat, doakan kebahagiaan arwah di sana, okey?” Auni berbicara lembut. Redup pandangannya pada wajah suaminya. Najwan tersenyum kelat.

“ Insya-Allah. Terima kasih, sayang.”

Auni mengucup lembut tangan suaminya yang bebas daripada stereng Prius. Najwan mengucap syukur di dalam hati. Betapa isterinya memahami keadaannya dan ingin melihat dia tersenyum kembali.

Dan, pada malam itu Auni perasan yang suaminya ada bangun menunaikan solat tahajud. Bacaan al Quran suaminya terasa mendayu mencengkam jiwa. Nama Ikhwan Rahaman kedengaran dalam doa yang dituturkan oleh si suami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience