Chapter 6

Romance Completed 17236

BAB 6

NAMPAK sahaja Auni yang baru keluar daripada keretanya, terus sahaja Adda berlari mendapatkan sahabatnya itu. Kebetulan Adda juga baru sampai dari rumahnya. Mengenangkan peristiwa semalam, ada banyak soalan yang ingin Adda tanyakan kepada Auni dan dia tidak boleh sabar lagi.

“ Apa kau ni? Tak reti nak bagi salam dulu ke?” ujar Auni yang agak terkejut kerana tanpa semena-mena lengannya ditarik oleh Adda. Adda sengih lebar lantas menggeleng laju.

“ Kau hutang aku banyak soalan sejak semalam, tahu tak? Aku tak boleh tunggu lagi,” balas Adda. Pegangan pada lengan Auni dilepaskan.

Auni mengeluh. “ Soalan apa lagi ni?”

Ni tak lain nak tanya pasal Wafiylah ni. Muak aku nak fikir pasal lelaki tu.

“ Pasal apa yang jadi antara kau dengan Wafiy semalamlah! Takkan aku nak tanya pasal abang dan kakak ipar kau pula?” Adda menempelak. Sudah gaharu cendana pula dia ni, rungut Adda.

Kan betul apa yang aku fikir tu?

Auni tayang muka meluat namun Adda tidak terkesan dengan lagak Auni. Tahu sangat yang Auni ingin mengelak daripada menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya olehnya. Belum buka lagi kaunter pertanyaan wajib, dah nak mengelak?

“ Kau nak elak apa sangat ni Cik Auni? Semalam aku tanya, kau tak nak jawab. Macam ni lah kawan kan, tak nak cerita masalah?” Adda pura-pura merajuk. Laju sahaja dia berjalan meninggalkan Auni di belakang. Auni tergamam.

Merajuk pula?

Cepat cepat Auni menyaingi langkah Adda. Bahu Adda dipeluk erat. Cuba memujuk gadis itu.

“ Yalah, yalah. Aku cerita okey? Aku bukannya tak nak cerita semalam, tapi aku dah bengang sangat dengan si Wafiy tu,” lembut Auni memujuk. Adda mengerling sekilas pada Auni. Auni ukir senyum manis buat sahabat yang sedang merajuk.

Adda hanya merenung sahaja pada wajah Auni. Renungan sahabatnya itu mengundang serba salah. Auni dah cuak.

“ Okey, kau cerita.” Adda dah ukir senyum.

Auni dah tarik nafas lega. Nasib baik kali ni Adda tak tarik lama masa merajuk dia tu. Kalau tak, puas nak pujuk.

“ Aku pura-pura merajuk aje tu. Saja nak buat kau cuak,” balas Adda seakan-akan mengetahui apa yang bermain dalam fikiran Auni. Pantas Auni mencebik.

“ Okey, aku cerita. Tapi janganlah buat pura-pura merajuk macam tu, okey?” pinta Auni. Adda diam seketika lantas menggeleng. Auni cuak lagi sekali.

“ Kau tak habis cerita, aku buat merajuk lagi,” balas Adda selamba.

Tak guna punya kawan!

Sedikit punya sedikit kisah mengenai e-mel yang dihantar oleh Wafiy diceritakan kepada Adda. Persoalan Adda mengenai ‘kenapa tak nak terima Wafiy’ dan ‘perlu ke kau tipu Wafiy dengan berita pertunangan’ itu dijawab sebaik mungkin. Namun Auni tetap berkeras meminta Adda tidak membocorkan rahsia pembohongan mengenai pertunangannya. Tanpa banyak soal laju sahaja Adda bersetuju.

“ Tapi kan, kenapa aku rasa Wafiy takkan berhenti ganggu kau walaupun kau dah tipu dia macam tu?” Adda meluahkan pendapatnya. Auni mengeluh berat. Janganlah…

Berkerut dahi Auni tatkala melihat ada satu jambangan besar bunga ros merah di atas meja kerjanya sebaik sahaja dia sampai di tingkat pejabatnya. Lama dia memerhatikan jambangan bunga berkenaan. Orang silap hantar ke?

“ Auni! Siapa yang bagi tu?” Adda yang muncul dari belakang terus menyoal. Auni menoleh ke belakang. Dia terus menggeleng.

“ Tak tahu,” jawab Auni pendek.

Besarnya jambangan ni. Tentu mahal kan? Pekerja silap hantar ke apa ni?

“ Auni.”

Auni dan Adda sama-sama menoleh kepada Cassy yang baru sahaja muncul berdekatan dengan mereka. Cassy tersenyum lebar tatkala melihat jambangan besar bunga yang masih terletak di atas meja Auni itu.

“ Bertuahnya awak, Auni. Pagi-pagi dah ada orang hantar jambangan besar macam tu. Mahal tahu?” kata Cassy yang masih tersenyum lebar. Dahi Auni makin berkerut.

“ Awak tahu ke siapa yang hantar?” Auni mula curiga.

Cassy menggeleng pantas. “ Pekerja kedai bunga aje yang datang hantar. Cuba periksa kat jambangan tu, tentu ada kad yang terselit sekali kan?” ucap Cassy sebelum berlalu dari situ. Mungkin ingin ke pantri.

Auni dan Adda saling berpandangan. Auni mencari pada jambangan bunga yang besar itu. Sekeping kad kecil berwarna putih ditemui. Kad itu dibuka lantas dibaca bersama-sama Adda. Auni terjerit kecil.

Terima saya, boleh?

-Wafiy-

Tanpa disedari kad itu sudah melayang jatuh ke atas lantai pejabat mereka. Auni dan Adda sama-sama tergamam. Jambangan bunga itu diserahkan kepada Adda secara paksa. Auni terus duduk di tempatnya untuk menenangkan hati.

“Auni?” Adda renung pada jambangan bunga ros yang sudah berada dalam tangannya.

“ Kau ambillah bunga tu. Aku tak nak. Buat menyemak aje kat meja aku ni,” ucap Auni tanpa memandang langsung pada wajah Adda. Keluhan Adda dilepaskan.

“ Kau tak sayang ke? Bunga ni mahal kot! Entah berapalah si Wafiy habiskan untuk beli jambangan besar macam ni,” balas Adda. Jambangan bunga itu dicium. Wangi! Auni tak rasa rugi ke tolak jambangan bunga besar macam ni?

“ Tak nak. Kalau kau tak nak juga, kau bahagi-bahagikan bunga tu kat semua staf perempuan. Tak pun letak aje dalam bakul sampah tu. Okey?” kata Auni agak emosional. Adda tersengih.

Auni, Auni, masalah apa lagi ni?

Emosi Auni sudah tidak tenang. Macam mana Wafiy tahu kat mana aku kerja? Argh! Dia rasa seperti mahu melaung sahaja.

“ NAJ,” ibu dah panggil dari dapur. Najwan yang hanya setapak dari dapur terus masuk sebaik sahaja mendengar panggilan ibu. Ibu tengah memasak, E-jat pula sedang duduk di atas kaunter dapur dengan beberapa buah kereta mainan mini yang sudah bersepah di atas kaunter, Mak Bedah pembantu rumah pula sedang memotong sayur.

“ Ya, ibu,” sahut Najwan. Dia terus ambil tempat di kerusi yang disediakan di kaunter dapur itu. Sempat lagi dia mencium pipi E-jat yang sedang leka bermain.

“ Ibu ada hal nak cakap dengan Naj,” ibu cakap tanpa menoleh ke muka Najwan. Najwan hanya mengangguk. Dia bermain-main dengan salah sebuah kereta mainan kecil E-jat yang menjadi antara barang permainan kegemaran anak kecil itu.

“ Ya, ibu.” Najwan membalas sahaja.

“ Ibu harap Naj setuju dengan apa yang ibu nak cakap ni,” kata ibu lagi.

“ Ya, ibu.” Najwan tenung lama kereta mainan di tangan. Dah berzaman aku tak main benda alah ni.

“ Ibu tak kisah kalau kamu tak setuju tapi ibu harap sangat Naj setuju dengan rancangan ibu ni.”

“ Ya, ibu.” Najwan masih buat tidak kisah dengan kata-kata ibu. Leka dia bermain dengan kereta mainan E-jat itu. Sesekali dia bermain lumba kereta mainan dengan E-jat melalui gerakan tangan mereka.

“ Ibu, baba dan ibu bapa Auni dah bincang. Ibu dan ummi dia nak jodohkan kamu berdua, boleh?” kata ibu sambil mengacau sup ayam.

“ Ya, ibu… apa?”

Cepat-cepat Najwan angkat muka daripada kereta mainan di tangan. Ibu yang terkejut dengan suara Najwan yang meninggi tiba-tiba terus menoleh ke belakang. Terangkat senduk di tangan kanan ibu.

“ Ibu cakap apa?” tanya Najwan lagi. Aku salah dengar ke?

“ Ibu cakap, ibu, baba and ibu bapa Auni dah setuju nak jodohkan kamu berdua. Macam mana? Kamu setuju?”

Bulat mata Najwan merenung muka ibu. Seperti ada magis yang ajaib seperti dalam Harry Potter, kepalanya hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa. Dan, secara tiba-tiba juga dia teringatkan apa yang telah dia lakukan kepada Auni ketika dia mengunjungi firma Adam beberapa hari yang lalu.

SOLUSI dibelek perlahan. Kadang-kadang bacaan Auni akan terhenti seperti ada sesuatu yang menganggunya. Sudah banyak kali dia mengingati perbualan Adda dengannya. Gara-gara Najwan yang singgah di pejabatnya sewaktu mahu berjumpa dengan Encik Adam beberapa hari yang lalu.

*

Sebuah balang besar kosong yang berikat dengan reben merah-putih diletakkan di hadapannya. Kepala Auni yang asyik tunduk sahaja sewaktu menghadap fail di hadapan terangkat. Terkejut dia dengan kehadiran Najwan di hadapannya.

“ Awak? Buat apa awak kat sini?” tanya Auni pantas. Dia dapat lihat senyuman Najwan mula terukir.

“ Jumpa bos besar awak. Nah, balang ni untuk awak,” kata Najwan. Mata Auni jatuh pula pada balang yang sudah berhias dengan reben itu.

“ Untuk saya?” tanya Auni kehairanan. Najwan mengangguk.

“ Awak isilah swan dalam tu banyak-banyak. Saya nak jumpa bos awak, pergi dulu.”

Habis sahaja berkata-kata, terus sahaja Najwan pergi. Auni ditinggalkan termangu-mangu di situ. Tidak cukup dengan itu, dia dikejutkan pula dengan jerkahan Adda.

“ Kenapa dengan kau ni?” rungut Auni geram. Adda cuma gelak.

“ Siapa tu? Boleh tahan,” bisik Adda sambil merenung Najwan yang baru sahaja memasuki bilik Encik Adam. Auni tarik muka.

“ Kawan Encik Adam. Dah, pergi main jauh-jauh. Aku nak buat kerja pun tak senang,” kata Auni pantas. Adda mencebik. Balang kaca itu diambil.

“ Takkan kawan Encik Adam aje kot. Kalau tak, takkanlah dia bagi kau benda alah ni,” kata Adda. Balang kaca itu diperhati lama.

Auni mengeluh. “ Dia anak kawan ibu bapa aku. Dah faham?”

Adda mengangguk lagak budak kecil. Balang kaca itu diletakkan kembali di atas meja Auni. Wajah Auni direnung nakal.

“ Mamat Mukai tu ke? Dia syok kat kau ya?”

“ Adda!” Bulat mata Auni merenung Adda. Adda gelak lagi.

“ Ada orang jatuh cinta dengan mamat kat dalam bilik bos tu,” kata Adda lagi.

“ Adda!!!”

*

Solusi diletakkan di atas meja. Auni duduk memeluk lutut. Sejak mereka pulang daripada berbuka puasa di rumah Mak Cik Sofi, walid dan ummi asyik puji Najwan sahaja. Najwan pandai baca Al-Quranlah, Najwan pandai jadi imamlah, Najwan bijaklah, Najwan kacaklah, semuanya Najwan! Ingat aku tak tahu yang walid dan ummi cadang nak jodohkan aku dengan dia?

Auni termenung sebentar. Dia merenung siling. Kalaulah betul ummi dan walid nak jodohkan mereka berdua, sekurang-kurangnya dapatlah dia melarikan diri daripada Wafiy.

Sejak hari dia mendapat kiriman ros merah hari itu, boleh dikatakan tiap tiap hari dia mendapat kiriman ros merah yang sama. Sehinggakan Encik Adam memerlinya, bertanyakan bilakah mereka akan mendapat kad undangan ke majlis perkahwinan Auni. Auni pula sudah bosan menerangkan kepada Encik Adam dan rakan-rakan sepejabatnya bahawa bunga itu tidak memberi makna apa-apa kepadanya.

Pujian ummi dan walid kepada Najwan kembali berlegar dalam kepalanya. Bukan senang tahu ummi dan walid nak memuji sampai berbakul-bakul seperti itu jikalau mereka tidak betul-betul berkenan.

Kahwin dengan Encik Najwan? Tapi, nak ke Encik Najwan tu dekat aku? Dahlah baru kenal. Auni senyap. Cuba memikirkan kebenaran kata-kata walid dan ummi.

Betul jugak apa yang walid dan ummi puji dia tu. Masa dia baca Al-Quran, aku sendiri terpegun. Bukan ke bagi aku ‘A Muslim Guy Looks Gorgeous When He Leads A Pray and Read Al-Quran’ macam page kat Fac tu? Kiranya Najwan tu dah lepas aku punya panduan nak cari suami dah tu. Masalahnya, aku suka dia ke tak?

Sehelai A4 kosong dan sebatang pen biru dicapai daripada atas meja. Auni mengetuk meja dengan pen itu sebelum mata pen mula menari di atas kertas A4. Dia senyum segaris. Sesekali dia ketawa sendirian apabila membaca balik tulisan yang tertera di atas kertas itu.

Panduan Auni Ammaleeyna Bila Nak Cari Suami ;)

• Boleh jadi imam solat dan pandai baca Al-Quran.

• Hormat orang tua (tak nak ada masalah dengan mentua pula nanti).

• Kena ada kerja tetap, tak kisahlah kerja apa asal halal.

• Sopan dan ramah dengan orang lain, tak kisahlah dengan siapa pun.

• Suka dengan budak-budak.

• Aku boleh buli dia masa aku nak 

• Paling penting, layanan dia pada ibu-kakak-adik perempuan dia mestilah kelas A.

Mata Auni menari pada setiap patah perkataan yang sudah siap ditulis. Malah, berulang-ulang kali juga dia membacanya tanpa jemu. Keningnya berkerut tiba-tiba. Rasa macam mustahil pun ada.

Susahnya nak cari jejaka Malaya aku kalau macam ni. Ingat senang ke? Auni, Auni... Kalau macam nilah kau punya panduan, memang tak berlaki kau sampai ke tua. Nak lari daripada Wafiy pun tak boleh ni, tak ada yang sanggup ikut panduan aku. Kepalanya digelengkan berulang kali.

Mata Auni tertancap pada panduannya yang terakhir. Layanan kelas A terhadap ibu, kakak dan adik perempuan. Mestilah. Bukankah orang kata sekiranya seorang lelaki itu begitu menghormati dan menjaga ibu dan adik beradik perempuannya, layanan seperti itu jugalah yang akan diperoleh oleh isterinya?

E-JAT yang duduk di atas riba Najwan sedang leka bermain dengan patung Toy Story Buzz Lightyear. Najwan renung lama muka ibu dan baba. Nawal di sisi juga hanya membisu, tidak seperti kebiasaannya yang suka mencelah tatkala ibu bapa dan abangnya bercakap.

“ Ibu dan baba memang serius ke?” tanya Najwan. Nadanya serius tidak seperti kebiasaan.

Ibu mengangguk. “ Ibu dan baba memang serius. Kami dan ibu bapa Auni memang betul-betul nak jodohkan Naj dengan Auni. Ibu tahu ibu dan baba tak berhak sepenuhnya nak tentukan jodoh kamu, tapi ibu harap sangat kamu kahwin dengan Auni. Ibu risau tengok kamu seorang macam ni, Naj. Tambah lagi, E-jat perlukan kasih sayang seorang ibu. Kamu dah macam papa E-jat, ibu nak kamu cari mama pula untuk E-jat,” kata ibu panjang lebar.

Najwan mengeluh. Kepala E-jat diusap perlahan.

“ Tapi ibu, kami baru kenal. Naj tak nak main-mainkan masa depan Auni,” balas Najwan sopan.

Perkahwinan bukan suatu yang dapat dicuba. Bagi Najwan, sekali dia berkahwin, dia mahukan perkahwinan itu berkekalan hingga akhir hayatnya. Dibuatnya Auni sudah ada seseorang yang istimewa dalam hatinya, tak ke haru?

“ Ibu bapa Auni dah pastikan dengan Auni sendiri. Dia memang tak ada siapa-siapa. Naj setuju ya? Ibu dah berkenan sangat dengan Auni tu.”

Suara ibu jelas menunjukkan harapan seorang ibu yang mahu melihat anaknya bahagia kelak dan Najwan memang tidak akan sampai hati untuk memberi alasan lagi. Sudah cukuplah dengan segala alasan yang diberikan olehnya sebelum ini gara-gara tidak mahu berkahwin lagi. Dia sudah tidak mampu mengira berapa jumlah anak perempuan kawan-kawan ibu yang pernah ditolaknya sebelum ini.

Najwan alih pandangan pada E-jat yang masih leka dengan mainan di tangannya. Wajah polos E-jat mengusik hatinya.

Demi E-jat? Demi aku juga? Demi kami berdua?

“ Naj… tak tahu nak kata apa. Cuma, Naj minta ibu dan baba beri Naj masa. Naj tak nak Auni terpaksa terima Naj. Kalau boleh, biarlah dia suka Naj dulu sebelum kami kahwin. Kalau dia tak terima, Naj harap ibu jangan paksa dia. Biarlah dia dengan keputusan dia,” kata Najwan perlahan. Muka ibu dah berubah gembira.

“ Kiranya, kamu terimalah cadangan kami?” tanya baba pula setelah sekian lama membiarkan perbincangan itu didominasi oleh isterinya. Najwan mengangguk. Dia bangun dengan E-jat dalam dukungan.

“ Naj dan E-jat naik atas dulu. Assalamulaikum,” kata Najwan. Nawal mengerutkan muka. Dilihat sahaja Alongnya naik ke tingkat atas. Muka ibu dan baba direnung.

“ Ibu dan baba tak rasa pelik ke?” tanya Nawal.

“ Pelik apa?” tanya baba hairan. Nawal bangun. Dia duduk di sisi ibu.

“ Yalah, bukan ke selama ni Along liat benar soal kahwin, macam mana pula boleh setuju aje dengan cadangan ibu dan baba nak jodohkan Along dengan anak kawan ibu? Langsung tak bantah apa-apa padahal ni kira macam kahwin paksa-tak paksalah ni,” kata Nawal. Ibu dan baba saling berpandangan. Kata-kata Nawal cuba dicerna sebaik mungkin.

“ Betul juga,” kata ibu. Nawal angguk pantas.

Punyalah selama ini liat benar anak teruna Sofiah-Luqman bila diaju soal nikah, alih-alih, setuju macam tu saja? Pelik… pelik…

“ Nawal suspek yang Along memang sukalah anak kawan ibu tu. Lagipun, Along sendiri yang kata nak tunggu Kak Auni suka dia dulu, nampak gaya macam betul aje,” kata Nawal lagi. Dia sengih bila tengok muka ibu dan baba berkerut. Ibu dan baba saling berpandangan. Lama.

“ Telefon Yam cepat!” gesa ibu tiba-tiba. Cepat-cepat baba mengambil telefon bimbit di atas meja. Ibu dan baba sudah berebut telefon. Nyaris telefon itu jatuh ke lantai dek kelakuan ibu dan baba yang sudah kalut semacam. Nawal gelak besar melihatkan aksi ibu dan baba. Kalut benar pasal menantu untuk anak sulung mereka. Nawal gelak lagi.

“ APA?”

Auni tengok pelik muka walid dan ummi tapi reaksi kat muka walid dan ummi biasa-biasa sahaja. Macam tak ada perkara pelik pun yang berlaku. Auni menghela nafas perlahan. Mukanya mula berkerut.

“ Walid dan ummi cakap nak jodohkan adik dengan… dengan… anak Mak Cik Sofi?” tanya Auni. Selamba sahaja walid dan ummi mengangguk.

“ Tapi… kenapa?” tanya Auni pelik. Aku dengan… Encik Najwan?

Baru aje aku fikir soal ni. Alih-alih ummi dan walid dah kata nak jodohkan aku dengan dia? Aku mimpi ke apa ni?

“ Najwan yang kata nak masuk meminang adik. Dia kata dia berkenan dengan adik. Adik macam mana, nak tak? Walid suka dengan Najwan tu,” kata walid berterus terang. Ummi di sisi walid hanya tersengih. Nampak gaya macam suaminya yang bersungguh-sungguh berbanding dirinya pun ada.

“ Walid jangan nak tipu, takkan tiba-tiba aje Encik Najwan nak masuk meminang adik? Kami bukannya kenal baik pun,” kata Auni lagi. Patung Hamtaro dipeluk. Walid ketawa. Wajah ummi direnung.

“ Betullah, takkanlah walid dan ummi nak tipu pula,” kata ummi yang sudah tersenyum-senyum. Cuba menolong suaminya dalam situasi itu setakat yang dia mampu.

“ Macam susah aje adik nak percaya.”

Betul ke tak ummi dan walid ni? Dibuatnya mereka saja-saja nak jodohkan aku dengan Encik Najwan lagi, naya aku. Tak boleh jadi ni… Tapi kan, kalau betul apa salahnya kan? Bolehlah aku betul-betul ucap selamat tinggal kat Wafiy. Jahatlah pula aku ni.

“ Kalau adik nak sahkan perkara ni, baik adik sendiri ke rumah Mak Cik Sofi, bincang elok-elok dengan Najwan tu. Lagipun, esok hujung minggu, kan? Bolehlah adik jumpa dia. Tapi, walid dan ummi harap adik terimalah. Bukan senang nak cari lelaki macam Najwan tu sekarang,” kata ummi. Auni mula mengetap bibir.

“ Ummi dan walid memang nak adik kahwin cepat-cepat ya?” tanya Auni.

Senyuman ummi dan walid yang kian melebar menguatkan andaian Auni.

“ Ibu bapa mana yang tak nak tengok anak mereka bahagia, adik? Tambah-tambah lagi bila jodoh yang baik untuk anak-anak mereka dah sampai. Takkan kami nak menghalang?” penuh teratur walid berbicara. Auni terkedu.

Ingat aku tak laku ke? Kalau tak laku tak adanya si Wafiy tu kejar aku sampai sekarang. Alamak. Apasal fikir pasal dia pula?

“ Yalah, yalah. Tengoklah dulu. Kalau adik rajin, adik pergi jumpa dia. Adik naik atas dulu. Nantilah adik fikir,” kata Auni lalu bangun daripada sofa. Tangan ummi dan walid disalami sebelum dia bergegas naik ke tingkat atas.

Melihatkan Auni sudah tiada, segera ummi mencuit lengan walid. Walid menoleh ke sisi. Keningnya diangkat.

“ Kenapa?”

“ Betul ke cara kita cakap Najwan yang nak masuk meminang dia?” bisik ummi. Walid sengih.

“ Alah… Kak Sofi dan Abang Man sendiri yang suruh kita cakap macam tu. Jangan risaulah, pandai-pandailah Najwan nak pusing macam mana. Yang penting, abang betul-betul harap yang dua orang tu ada jodoh,” kata walid. Ummi sengih.

“ Yalah, yalah. Tahulah saya,” balas ummi. Walid gelak perlahan.

Mata mereka kembali ke siaran televisyen. Langsung tidak memikirkan perihal Auni di dalam biliknya. Di dalam bilik…

“ Adda!!!”

Adda yang berada di hujung talian dah menjarakkan dirinya jauh daripada telefon bimbit. Semuanya gara-gara jeritan Auni yang boleh memekakkan telinganya.

“ Kau ni kenapa? Telefon aku malam-malam macam ni lepas tu jerit pula. Cair tahi telinga aku,” rungut Adda.

Auni sengih. Alamak…

“ Kau kena tolong aku aku ni. Serius!” jerit Auni lagi. Adda sengih geram.

“ Sekali lagi kau jerit macam tu, memanglah aku putuskan aje talian ni,” kata Adda lagi.

Auni terdiam. Alamak, marahlah pula…

“ Yalah! Yalah!” kata Auni.

“ Kenapa dengan kau ni? Ada orang nak masuk meminang kau ke sampai jadi macam ni? Yalah, kau kan nak sangat lari daripada Wafiy tu,” tanya Adda merujuk kepada peristiwa beberapa hari lepas.

“ Betullah tu. Ada orang masuk meminang aku,” Auni berkata selamba.

“ Kau… apa?” Nasib baik Adda tak ada makan apa-apa masa ni. Kalau tak ada juga yang tercekik makanan.

“ Aku tak main-mainlah. Betullah apa yang kau teka tu,” kata Auni bosan. Dia bersila di atas katil. Muka Hamtaro direnung lama. Lama dia menunggu jawapan Adda sehinggalah…

“ Arghhhhhh!! Betul ke?” jerit Adda kuat. Kali ini giliran Auni pula menjauhkan telefonnya. Berkerut-kerut mukanya melihat Xperia di tangan.

“ Apa yang…”

“ Betul ke? Betul ke? Betul ke? Auni!” jerit Adda lagi. Auni ketap bibir.

“ Tadi kau yang…”

“ Arghhhh!!!!!”

Sekali lagi Auni menjauhkan telefon bimbitnya.

“ Kau nak aku cerita kat kau atau kau nak aku yang putuskan talian ni?” ugut Auni geram. Adda gelak.

“ Yalah, yalah. Aku tak menjerit dah, ceritalah. Macam mana pula kau yang masih bujang tak ada siapa-siapa ni tiba-tiba ada orang nak masuk meminang?” kata Adda. Auni menggelengkan kepala walau dah tahu Adda takkan dapat tengok punyalah gelengan dia tu.

“ Aku pun tak tahu…” jawab Auni malas.

Adda gelak lagi. “ Siapa yang pinang kau? Tak nak cerita ke?”

Auni diam. Mukanya berkerut. Nak cakap ke tidak? Nak cakap ke tidak? Nanti menjerit lagi si Adda ni.

“ Auni, kau dah di kayangan ke? Cepatlah beritahu aku,” kata Adda teruja setelah sekian lama Auni mendiamkan diri. Auni mengeluh.

“ Kau ingat tak Mukai Osamu Malaya tu?” kata Auni teragak-agak. Dia mengetap bibir.

“ Dia?”

“ Ya… aku…”

“ Arghhh!!! Kau…”

“ Adda….” Auni memberi amaran.

“ Waaaa!!!”

Tut!

Xperia dicampak ke atas katil. Memanglah betul kalau kau jerit sekali lagi aku padamkan aje telefon aku tu. Padan muka!

Tidak lama kemudian, Xperia kembali berdering. Auni mencebik. Dengan malas dia menyambut panggilan itu. Adda.

“ Kenapa kau putuskan pula telefon kau?” marah Adda. Auni ketap bibir geram.

“ Dah kau menjerit, padan muka,” balas Auni.

Adda gelak. “ Yalah, aku tak jerit dah. Jadi, apa cerita? Memang betul ke Mukai Osamu Malaya tu nak meminang kau?”

“ Walid aku cakap macam tu. Masalahnya, aku bukannya kenal sangat dengan dia. Takkan tiba-tiba dia nak datang pinang aku pula,” kata Auni. Adda mengangguk. Betul juga apa yang Auni katakan itu.

“ Tapi, kalau betul dia nak pinang kau, kau pula macam mana? Nak terima ke?” tanya Adda lagi. Auni diam. Dia menumbuk-numbuk Hamtaro di atas riba.

“ Aku… entahlah. Sebab perkara ni jadi secara tiba-tiba. Aku tak bersedia pun. Aku tahulah aku harap sangat ada orang masuk meminang aku dalam masa terdekat ni, tapi aku tak sangka cepat betul doa aku makbul,” kata Auni perlahan. Adda tepuk dahi.

“ Kalau kau tak pasti, kau nak buat apa? Kau tak nak jumpa dia ke? Cakap baik-baik dengan dia. Sebab, bagi aku kalau dia tak serius dengan kau dia takkan pinang kau. Macam Wafiy hari tu lah, kalau dia tak serius dia takkan keluar idea nak pinang kau tau tak?” kata Adda lagi. Auni gigit bibir. Betul juga…

“ Boleh tak kita berhenti cakap pasal Wafiy? Sekarang kita tengah cakap pasal Mukai Osamu Malaya tu tahu tak?” Tak habis-habis Adda nak ungkit kisah beberapa hari lepas tu.

“ Okey, okey. Aku tahu kau memang tak suka cakap pasal lelaki tu. Jadi, macam mana? Apa yang kau rasa dalam hati kau tu? Sama atau berbeza dengan apa yang kau rasa masa Wafiy nak pinang kau?”

Auni diam. Dia bingung tetapi sekurang-kurangnya dia merasa ada sedikit damai di hati. Mungkin kerana ummi dan walid benar-benar mahu dia menerima lamaran Najwan? Berbeza dengan Wafiy, ummi dan walid tidak mengenali lelaki itu.

“ Aku…”

“ Auni, ni hidup kau. Walaupun ibu bapa kau nak kahwinkan kau dengan si Mukai Osamu Malaya tu, kau masih ada hak untuk menolak kalau kau rasa kau tak boleh sehidup semati dengan dia. Fikir, okey? Aku tak nak kawan baik aku ni merana lepas kahwin sebab main setuju aje,” pesan Adda berhati-hati.

Adda tidak sanggup untuk mendengar kisah sedih Auni sekiranya dia dan si Mukai Osamu Malaya itu tidak serasi. Nanti tidak pasal-pasal boleh buka pejabat luahan masalah pasangan yang sudah berkahwin. Adda gelak dalam hati.

“ Aku tahu, tapi…”

“ Kau pergilah jumpa dia. Tanya dia kenapa tiba-tiba dia masuk meminang kau. Dia tentu ada alasannya sendiri. Tambahan lagi ibu bapa kau pun macam berkenan sangat dengan dia. Tentu ada sesuatu yang ibu bapa kau nampak pada dia untuk jadi suami kau.”

“ Jumpa dia?”

“ Ya. Aku kenal ibu bapa kau, Auni. Aku yakin mereka tak akan sesuka hati berkenan pada sesiapa kalau mereka tak yakin dengan orang tu. Apatah lagi kau sebagai anak mereka. Pastinya kau lagi kenal ibu bapa kau, kan?”

Perlahan sahaja Auni mengangguk. Pujukan Adda terasa menyentuh hatinya. Dia tidak dapat mencari kesalahan dalam setiap apa yang Adda katakan. Auni tahu walid dan ummi macam mana. Walid dan ummi pandai dalam menilai orang. Sama seperti sewaktu Along ingin kenalkan Kak Long kepada mereka dahulu.

“ Kau fikirlah dahulu. Jangan terburu-buru buat keputusan. Dah, pergilah tidur. Tenangkan fikiran,” Adda bersuara lagi.

Mereka berdua bertukar salam. Xperia dicampak ke sebelah. Auni baring di atas katil. Hamtaro kembali dipeluk erat. Wajah Najwan terbayang di minda. Dia mengerutkan dahi. Aku ni dah kena sampuk dengan dia ke? Gara-gara terkejut dengan kata-kata walid dan ummilah ni.

Tiba-tiba sahaja Auni bangun daripada katil dan berlari menuruni tangga. Walid dan ummi baru sahaja mahu masuk ke dapur sebelum panggilan Auni menghentikan langkah mereka. Walid dan ummi pandang pelik pada muka Auni yang nampak berkerut-kerut.

“ Esok, adik nak pergi jumpa Encik Najwan,” kata Auni laju. Sesudah itu dia terus berlari naik ke atas kembali. Walid dan ummi berpandangan.

“ Macam mana?” tanya ummi. Walid sengih.

“ Biarkan dia pergi. Saya nak pergi telefon Abang Man,” kata walid. Ummi hanya mengangguk. Tiba-tiba telefon walid berdering.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience