Chapter 41

Romance Completed 17236

BAB 41

MATANYA terpaksa dibuka secara perlahan-lahan kerana kelopak matanya yang terasa berat. Terkebil-kebil Auni melihat siling biliknya. Nampaknya masih di awal pagi lagi ni. Langit malam di luar masih lagi mempersembahkan keindahan kerdipan bintang-bintang.

Berhati-hati Auni bangun daripada pembaringannya. Jam di sebelah katil menunjukkan angka 4:40 pagi. Dia menoleh ke sebelah dan ternyata Auni terkejut kerana Najwan tiada di situ.

Mana suami aku ni? Takkanlah awal-awal pagi dah keluar kot?

Hembusan angin yang datang daripada beranda biliknya agak mengejutkan Auni. Tergamam dia apabila melihat kedua-dua belah pintu gelongsor yang menghubungkan biliknya dan beranda itu terbuka. Angin yang berhembus masuk menolak lembut langsir biru lembut itu.

Takkanlah… ada pencuri?

Suara lelaki batuk pula menyapa telinga Auni. Teragak-agak Auni turun daripada katil. Dia berasa agak segar selepas mendapatkan tidur yang lena. Nampaknya demamnya sudah kebah. Semakin lama semakin dia menghampiri beranda biliknya. Perlahan-lahan dia menjenguk ke luar. Kedua-dua matanya membulat apabila menyedari siapakah lelaki yang batuk tadi.

Bukan pencuri seperti mana yang disangka-sangka, tetapi suaminya sendiri.

“ Abang?”

Auni menggosok kedua-dua matanya. Manalah tahu dia salah tengok. Tetapi, ternyata lelaki yang sedang tidur di atas kerusi itu adalah suaminya. Najwan tidur bersandar pada sandaran kerusi, kepalanya tersengguk ke bawah manakala kedua-dua belah tangannya sedang memeluk tubuh. Barangkali kerana kesejukan. Apatah lagi suaminya hanya mengenakan kemeja T berkolar lengan pendek dan seluar tiga suku.

Auni menggeleng. Dia mengeluh kecil. Macam manalah suaminya boleh tidur di situ? Takkanlah langsung tidak tersedar dengan hawa malam yang semakin dingin?

Skrin Dell sudah gelap, barangkali terpadam dengan sengaja kerana terlalu lama dibiarkan begitu sahaja. Auni menekan papan kekunci. Beberapa saat kemudian, skrin Dell kembali terang. Word 2007 yang memaparkan kertas kerja projek di syarikat baba terpampang di hadapan mata.

“ Tertidur sambil buat kerja? Letih sangatlah tu nampaknya,” bisik Auni perlahan.

Auni menekan Save pada Word 2007 itu, bimbang pula terjadi apa-apa jika dia tidak menyimpan dokumen kerja Najwan. Kalau dokumen kerja itu rosak, naya nak buat balik. Kemudian, dia menghalakan kursor pada Hibernate. Skrin Dell gelap kembali.

Auni menyimpan kertas kerja Najwan yang bertaburan di atas meja ke dalam fail kerja suaminya. Selesai sahaja tugasnya itu, dia menoleh ke belakang. Najwan masih lagi tidur dengan lena walaupun sesekali lelaki itu terbatuk-batuk.

“ Abang, bangun abang. Kenapa tidur kat sini?”

Perlahan-lahan Auni menepuk bahu suaminya. Beberapa kali juga Najwan memejam-celikkan matanya sebelum betul-betul sedar. Itu pun dia masih lagi mamai.

“ Eh, Nini? Buat apa kat sini?” tanya Najwan perlahan. Auni mengetap bibir.

“ Yang abang tidur di sini kenapa? Sekarang dah hampir 5 pagi. Terkejut Nini bila sedar tadi tengok-tengok abang tak ada. Rupa-rupanya abang kat sini. Cepatlah masuk dalam, bang. Kalau abang sakit siapa susah?” Sempat lagi Auni nak membebel kepada suaminya di awal pagi itu.

Najwan yang masih lagi kemamaian hanya menurut sahaja sewaktu Auni menariknya masuk ke dalam. Naik aje atas katil, terus Najwan menyambar selimut. Auni menggeleng sahaja. Segaris senyuman terukir. Leka dia melihat pada Najwan yang sudah tertidur kembali sambil ditemani hangat selimut tebal itu.

Sejuklah tu. Semalam bebelkan aku sebab duduk dalam sejuk tunggu dia. Malam ni, dia pula. Siap tidur sampai pukul 5 pagi pula tu. Kalaulah aku tak tersedar, aku rasa sampai Subuh suami aku tidur kat situ.

Tidak mahu menganggu lena suaminya, Auni mengambil keputusan untuk mengambil wuduk. Alang-alang dia sudah tersedar, lebih baik dia melakukan solat tahajud. Masuk sahaja waktu Subuh, boleh dia terus menunaikan solat Subuh. Pagi ini dia berhajat akan mengejutkan suaminya dalam pukul 6 pagi. Kesian pula apabila melihat suaminya itu seperti tidak cukup tidur.

Auni mencapai tuala. Dia mahu membersihkan diri terlebih dahulu sebelum bersolat tahajud. Badannya sudah cergas kembali. Nampaknya dia tidak perlu risau akan kemungkinan dia akan demam lagi pada pagi ini.

“ ABANG okey tak?”

Najwan senyum sahaja tanpa membalas pertanyaan isterinya. Tenang sahaja dia menyisip kopi yang masih lagi panas berasap. Selepas itu, nasi goreng kampung yang dihidangkan oleh Auni mula disantap.

“ Betul ke abang tak apa-apa ni? Terkejut Nini masa tengok abang tidur kat beranda semalam,” kata Auni. Dia turut menjamah sarapan paginya pada hari itu. Sesekali matanya akan singgah pada wajah Najwan.

“ Abang okey. Tak sangka pula tertidur kat situ. Patutnya abang yang risaukan pasal Nini tahu tak. Semalam Nini yang demam, bukannya abang,” balas Najwan. Dia mengenyit mata, sengaja mahu mengusik Auni.

“ Demam Nini dah kebah. Nini takut abang pula yang demam,” kata Auni. Najwan menggeleng.

“ Insya-Allah, abang sihat aje. Dahlah, cepat makan. Pagi ni abang hantar Nini ke pejabat. Nini tak ada nak ke mana-mana, kan?” tanya Najwan. Manalah tahu Auni perlu menemui kliennya. Pinggannya sudah hampir licin.

“ Maaf, bang. Nini kena bawa kereta sendiri untuk minggu ni. Nini kena pergi rumah klien Nini. Dia nak Nini reka hias dalaman untuk kondo dia,” ucap Auni.

Najwan mengangguk sekilas. Dia tidak mahu memaksa. Dia tahu tugas Nini sebagai seorang arkitek dan pereka hiasan dalaman memerlukan isterinya bergerak ke merata-rata tempat demi menemui klien masing-masing.

“ Tak apa. Kalau Nini pulang lewat, telefon abang dulu ya? Takut-takut jadi macam semalam,” pesan Najwan. Auni mengangguk sahaja.

“ Oh ya! Kali ni klien Nini yang mana satu. Sebab abang rasa Nini kata Nini dah lama tak buat reka hias dalaman kan?” Najwan menyambung bicaranya. Dia teringat akan perbualan antaranya dengan Auni yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka.

“ Perempuan. Dia kata dia kenal Nini melalui kawan-kawan dia. Asalnya dia duduk kat Eropah dengan suami dia tapi dia pulang ke Malaysia dulu. Sekarang, dia duduk kat Kondominium Lazuardi. Baik dia bang, Nini panggil dia Kak Sarah,” cerita Auni. Najwan diam sahaja. Dia seakan-akan tertarik dengan cerita Auni.

Sesudah membasuh pinggan yang digunakan, kedua-duanya menuju ke kereta masing-masing. Selepas menyalami tangan suaminya, Najwan mengucup dahi Auni. Belakang tapak tangan kanannya diletakkan pada dahi Auni.

“ Abang dah periksa semua kertas kerja abang? Nini simpan dalam fail kerja abang sebelum kejutkan abang kat beranda pagi tadi. Takut-takut tertinggal ajelah. Bukan ke abang kata abang ada pembentangan hari ni?”

Auni sengaja mengingatkan suaminya. Haru biru jadinya jika dokumen yang penting untuk pembentangan hari ini tertinggal. Malah, imej syarikat baba mungkin juga akan terjejas. Dalam dunia korporat, segala-galanya harus dijaga jika mahukan sebuah syarikat yang berimej baik.

Najwan mengangguk. “ Abang dah periksa tadi. Terima kasih, abang tertidur masa nak siapkan kerja semalam.”

“ Abang berhutang banyak dengan Nini, tahu?” Auni ketawa. Auni kelihatan riang sahaja pada pagi itu tetapi tidak bagi Najwan. Wajahnya mencerminkan yang dia kini sedang risaukan sesuatu.

“ Nini yakin Nini dah okey? Baru aje kebah ni, betul dah boleh pergi kerja?” tanya Najwan bimbang. Pada malam semalam, Auni demam dan pada pagi ini pula demamnya sudah kebah. Bimbang juga Najwan sekiranya Auni masih belum sihat sepenuhnya.

“ Tak payahlah risau. Macam mana Nini nak kerja dengan tenang kalau abang asyik risau aje. Dahlah, Nini dah nak kena pergi ni. Takut jalan sesak pula pagi–pagi macam ni. Abang buat pembentangan yang terbaik, ya? Jangan lupa makan nanti. Nini pergi dulu, bang. Assalamualaikum.”

Auni segera membolos masuk ke dalam Swift selepas menyalami Najwan sekali lagi. Najwan turut masuk ke dalam Prius. Tetapi dia membiarkan Auni bertolak dahulu sementara dia menutup pintu pagar automatik itu.

Baru sahaja dia mahu keluar ke selekoh yang menghubungkan kawasan perumahan itu dengan jalan besar, dia mula terbatuk-batuk. Agak lama juga batuknya. Najwan mula rasa tidak sedap badan.

Aku ni dah berjangkit demam dengan Nini ke?

“ AKAK dah lama tinggalkan Malaysia. Rindu nak balik tapi sebab suami akak sibuk dengan kerja, akak tangguhkan hasrat akak,” cerita Sarah.

Sarah menghidangkan jus tembikai dan sepotong kek strawberi. Auni mendengar sahaja cerita wanita itu. Sarah mengambil tempat di hadapan Auni.

“ Nasib baik, Abang Man dapat tukar ke sini. Kebetulan syarikat tempat dia berkerja tu ada cawangan di Malaysia. Kiranya, akak kena tunggu dia selesaikan urusan dia di sanalah sebelum kami betul-betul boleh tinggal di sini,” sambung Sarah.

“ Emm… akak dengan Abang Man dah kahwin berapa tahun?” tanya Auni.

Siapa sangka hubungannya dengan Sarah menjadi semakin baik walaupun baru sahaja semalam dia mengenali wanita itu. Kini, Sarah sedang bercerita mengenai kisah hidupnya pula. Ternyata wanita itu ramah dalam berbicara.

“ Hampir tujuh tahun. Anak akak sudah nak masuk empat tahun. Tapi setakat ni tak ada rezeki untuk anak kedua lagi,” balas Sarah.

Auni meliarkan matanya untuk melihat sekeliling. Tidak lama lagi, dia sudah boleh memanggil pekerjanya untuk menyiapkan susun atur dalam kondominium ini. Mudah sahaja dia bekerja dengan Sarah. Dia tidak cerewet tatkala memilih konsep yang sesuai untuk hiasan dalaman kondominiumnya.

“ Akak nikah awallah, kan? Kak Sarah belum 30 tahun lagi, kan?” tanya Auni pula. Sarah mengangguk.

“ Akak dah 30, Abang Man pun sebaya dengan akak.”

Auni terlopong. Dah masuk 30 tahun?

“ Akak tak nampak macam dah 30 pun. Macam pertengahan dua puluhan,” kata Auni tidak percaya. Sarah tergelak.

Sarah kelihatan matang tetapi Auni langsung tidak menyangka bahawa wanita itu sudah menjangkau usia 30 tahun.

Auni menguntum senyum. Dia agak tertarik dengan kisah hidup Kak Sarah. Walaupun mereka baru sahaja mengenali, seakan-akan ada sesuatu yang menariknya untuk bertanya dengan lebih lanjut. Rasa segan juga ada. Yalah, buat apa kita nak sibuk-sibuk dengan rumah tangga orang, kan? Mujur aje Kak Sarah dengan rela hati berkongsi kisah dengannya.

“ Ceritalah pasal Auni pula. Akak pun nak dengar. Tak sangka akak, Auni muda lagi tapi dah kahwin,” kata Sarah. Auni tersipu malu. Dia mengiyakan sahaja.

“ Pilihan keluarga sebenarnya tapi sebelum kami bertunang, kami dah baik. Kiranya, tak ada masalahlah. Saya pun dah bahagia dengan suami saya sekarang,” jelas Auni.

Tiba-tiba sahaja dia teringat akan kisah pertemuannya dengan Najwan. Siapa sangka lelaki yang ditemuinya dalam suatu projek itu merupakan anak sahabat baik ummi dan walid dan seterusnya merupakan suaminya kini. Dia telah merancang dan Auni bersyukur dengan ketentuan daripada-Nya.

“ Auni beruntung sebab masih ada keluarga, akak seorang diri. Ibu bapa akak meninggal sebelum akak SPM. Alhamdullilah akak dapat lalui SPM dengan baik dan dapat peluang untuk belajar di luar negara.”

Sarah hanya tersenyum hambar. Auni agak terkesima.

“ Maaf, Kak Sarah.” Auni mula serba salah. Dia langsung tidak menyangka yang wanita seceria Sarah rupa-rupanya mempunyai kisah sedih juga. Pantas Sarah menggeleng. Dia menggengam tangan Auni.

“ Tak apa. Akak tak pernah salahkan takdir. Sudahlah, Auni. Nanti tak pasal-pasal pula ada yang banjir dalam kondo ni kan? Dah, makan kek tu. Auni dah boleh balik pejabat lepas ni. Esok kita sambung perjumpaan kita pula. Akak tengah fikir lagi nak perabot macam mana.”

Sarah menolak piring yang berisi kek itu ke hadapan Auni. Auni menyambutnya dengan senyuman. Dia menyuap secubit kek itu.

“ Sedapnya!”

Sarah tergelak kecil apabila melihat wajah Auni. “ Betul? Akak yang buat sendiri. Cubaan pertama, tak sangka menjadi.”

Mereka sama-sama ketawa kecil. Nampaknya, Sarah boleh masuk satu kepala dengan Auni.

SEPERTI petang semalam, Auni sampai lewat di rumahnya. Seperti petang semalam juga, Prius Najwan sudah tersadai elok di bawah bangsal kereta. Awal juga Najwan pulang pada petang ini. Sesudah memberi salam, Auni segera masuk ke dalam rumah. Tetapi ada sesuatu yang mengejutkan dia menantinya di dalam rumah.

“ Abang?”

Najwan sedang terbaring di atas sofa dengan pakaian kerjanya pagi tadi sudah bertukar dengan kemeja T berkolar. Bukan itu sahaja, sehelai selimut tebal menutupi tubuh Najwan. Mata suaminya terpejam sahaja.

“ Abang? Abang tak sihat ke ni? Ya Allah, panasnya,” gumam Auni. Dahi Najwan terasa berbahang pada belakang tapak tangannya. Najwan membuka matanya sedikit.

“ Nini, abang…”

“ Abang demam ni. Itu lah, kelmarin nasihat orang jangan duduk dalam sejuk, semalam dia siap tertidur kat beranda lagi. Abang tunggu ya, biar Nini masakkan sesuatu untuk abang. Abang rehatlah dulu.”

“ Abang okeylah sayang. Demam sikit aje ni,” kata Najwan dengan suara yang serak. Dia menepis perlahan tangan Auni yang masih berada pada dahinya. Kerisauan yang tergambar pada wajah isterinya itu bukanlah apa yang dia harapkan daripada Auni.

“ Abang janganlah degil,” kata Auni separuh geram.

Demam-demam macam ni pun ada hati tak nak bagi aku risau. Abang ni…

“ Betul. Abang okeylah,” balas Najwan. Auni mengeluh perlahan.

“ Abang rehat ya? Janganlah degil. Nini nak solat dulu. Lepas ni Nini masakkan bubur untuk abang. Rehat ya?” Auni berkata separuh merayu. Najwan hanya mampu mengangguk. Kepalanya terasa terlalu berat.

Auni membetulkan letak kepala Najwan. Dia segera naik ke atas untuk membersihkan diri dan solat Asar sebelum menyiapkan sedikit hidangan untuk suaminya. Nampaknya Najwan sudah berjangkit demam dengannya. Nasib badanlah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience