Chapter 64

Romance Completed 17236

BAB 64

LAMA Najwan merenung kepada gambar yang tertera pada skrin BlackBerry miliknya. Wajah ceria seorang gadis lengkap berjubah graduasi yang sedang memegang segulung ijazah menjadi santapan matanya. Gadis itu kelihatan ceria berdiri di sebelahnya.

Wawa…

Najwan menghela nafas. Sudah lama dia tidak melawat Najwa di kubur. Tambah-tambah selepas dia pulang dari UK tempoh hari. Hatinya terdetik untuk pergi menziarahi kubur adik kembarnya itu.

“ Abang?”

Auni menegur tatkala melihat Najwan sedang termenung di sofa. Dia mendekati suaminya lalu mengambil tempat duduk di sebelah Najwan. Wajah sayu suaminya direnung.

“ Abang ada masalah?” soal Auni lembut.

Sejak peristiwa beberapa minggu lepas, suaminya kembali ceria kerana masalah yang melanda telah pun selesai. Namun, hari ini Najwan kelihatan muram sahaja. Malah suaminya sering kali termenung sejak semalam.

Riak pada wajah Najwan berubah tenang. Dia meraih tangan Auni. senyumannya terukir.

“ Abang rindu Wawa. Dah lama abang tak ziarah kubur Wawa,” jelas Najwan. Walaupun dia sudah memaniskan riak pada wajahnya namun dia tetap tidak dapat mengubah nada sayu pada suaranya.

Auni mengukir senyum. Patutlah… Rindukan adik tersayang.

“ Abang tak nak pergi ziarah? Petang ni pun boleh,” balas Auni lembut.

Pemergian dua insan tersayang dalam hidup suaminya membuatkan Najwan selalu menghargai setiap insan yang berada dalam hidupnya. Najwan tidak mahu andai mereka pergi dulu daripadanya akan membuatkan dia menyesal sekiranya dia berkelakuan tidak baik dengan mereka.

“ Insya-Allah, lepas Asar. Abang pergi kejap aje ya? Nini duduk rumah elok-elok.” Najwan mengerling sekilas kepada jam dinding. Baru pukul 4 petang. Lambat lagi masuk waktu Asar.

“ Mana adil abang pergi seorang aje? Nini pun nak pergi juga. Dahlah Nini jarang ziarah kubur Wawa.” Auni buat muka berkerut tanda tidak puas hati. Ada ke nak pergi seorang?

Kali ini dahi Najwan pula yang berkerut. “ Kenapa pula? Nini duduk ajelah kat rumah, ya sayang? Panas kat luar tu.”

Kata-kata Najwan dibalas dengan gelengan Auni. “ Tak apalah abang. Tak salah kan Nini nak lawat adik ipar Nini, kan?”

Najwan menghela nafas. Auni kelihatan bersungguh-sungguh benar mahu mengikutnya pergi melawat kubur Najwa. Nanti kalau dia bekeras tidak membenarkan Auni pergi, mahu juga dia kena layan rajuk Auni yang makin tidak tentu sejak dua menjak ini.

“ Nini memang nak pergi ya?” Najwan menyoal lagi.

Najwan bukannya apa, dia tidak mahu menyusahkan isterinya. Sudahlah cuaca semakin panas. Panasnya masih terasa walaupun lewat petang akan menjelma tidak lama lagi. Najwan cuma tidak mahu isterinya mengalami keletihan sahaja. Tambah lagi dengan usia kandungan Auni yang semakin bertambah dari hari ke hari.

“ Nini ikut ya?” Auni memujuk. Wajahnya dimaniskan. Najwan tergelak juga. Auni memang beria-ria untuk mengikutinya.

“ Okeylah. Lepas Asar kita pergi ya?”

Laju Auni mengangguk. Walaupun dia tidak sempat mengenali Najwa, tapi Auni tahu Najwa terlalu bererti dalam hidup suaminya. Sudah lebih 20 tahun mereka hidup bersama-sama sebagai kembar. Auni ingin menghargai arwah wanita itu seperti mana suaminya menghargai arwah adik kembarnya itu.

NAJWAN meraup wajahnya usai membaca surah dan doa. Auni turut berbuat demikian. Dia mengerling sekilas kepada suaminya di sisi. Air muka Najwan kelihatan tenang tatkala memandang pada kubur di hadapannya.

“ Wawa, dah lama Along tak datang jenguk Wawa kan?”

Mata Najwan ditala kepada kubur Najwa di hadapannya. Dia mengukir senyum namun pahitnya terasa. Batu nisan di hadapannya diusap lembut. Terbayang di wajahnya setiap kali dia mengusap kepala arwah adik kembarnya itu.

“ E-jat dah makin membesar. Alhamdulillah, Along percaya E-jat boleh jadi seorang anak yang soleh. Tak lama lagi, anak kandung Along pula lahir. Along doakan anak Along boleh menjadi anak yang soleh seperti E-jat.”

Bayu yang datang menyapa lembut wajah mereka. Tenangnya rasa hati kerana mampu datang menziarahi kubur arwah adik dan adik iparnya itu. Entah bila pula dia dapat menjejakkan kaki ke sini andai ajal akan menjemputnya tidak lama lagi.

“ Along doakan Wawa dan Fuad bahagia kat sana. Insya-Allah.”

Setitik air mata Najwan mengalir juga. Auni kaget buat seketika. Sebelah tangan suaminya digenggam erat. Najwan menoleh ke arah Auni yang sedang tersenyum ke arahnya. Pipi suaminya yang basah disapu lembut.

“ Ni…”

Auni meletakkan jari telunjuknya merentangi bibir yang masih lagi mengukir senyum. Najwan terus diam tidak berkata apa-apa. Auni tersenyum lagi. Matanya beralih kepada kubur arwah adik kembar kesayangan suaminya.

“ Wawa, walaupun Kak Long tak sempat jumpa Wawa tapi Kak Long tahu, Wawa baik orangnya. Along sangat sayangkan Wawa, Kak Long boleh nampak daripada matanya. Along pun sangat sayangkan E-jat. Kak Long janji, Kak Long akan tolong Along Wawa jaga E-jat dengan baik, didik dia dengan baik. Percayakan kami, ya Wawa? Kak Long doakan Wawa dan suami Wawa bahagia di sana bersama-Nya.”

Lembut sahaja ucapan Auni menjengah telinga Najwan. Perlahan-lahan Najwan menarik senyum. Genggaman pada tangan isterinya dikuatkan.

“ Doakan kami juga, Wawa. Along sayang Wawa. Sentiasa. Tak pernah Along lupakan Wawa sebagai adik kesayangan Along.”

Auni tersenyum simpul mendengarkan kata-kata itu. Wajah suaminya dipandang dengan perasaan kasih sayangnya. Lelaki inilah yang membahagiakan dirinya dari sehari ke sehari. Anugerah terindah daripada Yang Maha Agung.

Usai menziarah kubur arwah Najwa dan Fuad, Najwan membawa Auni ke taman rekreasi yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Mereka meluangkan masa pada petang itu dengan melihat gelagat pengunjung taman tersebut sambil berbual mesra.

“ Terima kasih Nini,” ucap Najwan perlahan. Wajah isteri tercintanya itu direnung.

“ Pasal tadi?”

“ Ya!”

Safe berlagu dalam Prius Najwan. Mereka hanya duduk sahaja di dalam kereta dengan tingkap yang dibuka luas. Sejak dari tadi lagi tangan Najwan hanya mengenggam erat tangan Auni. Tidak akan sesekali dia melepaskan genggaman itu lagi.

“ Nini tahu abang sayang sangat dekat Wawa. Kita doakan dia dengan suaminya sama-sama ya? Insya-Allah, mereka ada di sisi-Nya,” balas Auni lembut.

Najwan menghela nafas. Dia mengangguk perlahan. Matanya dihala ke hadapan.

“ Mereka dah pergi. Kita ni tak tahu lagi ajal kita bila, Nini. Entah esok, entah lusa. Cuma Dia aje yang tahu. Sebab tu abang tak nak kita bazirkan masa yang Dia berikan ni dengan tak buat apa-apa. Bersedia dari sekarang. Insya-Allah, boleh tampung mana-mana yang kurang.”

Saat dia menjejakkan kaki ke tanah perkuburan Islam yang menempatkan kubur arwah Najwa dan Fuad tadi, soal kematian sering bermain dalam fikirannya. Bilakah ajalnya akan tiba? Cukupkah amalan dia selama ini? Di manakah tempatnya di akhirat kelak?

“ Abang…” Auni memanggil lembut. Najwan mengubah pandang ke arah isterinya. Senyuman Auni kelihatan ikhlas pada matanya.

“ Mati itu pasti. Tak ada siapa yang boleh menidakkan pada kematian. Selagi kita bernafas, selagi tu kita berusaha untuk dapatkan tiket ke syurga, ya abang? Kita takkan tahu selagi kita tak berusaha. Kalau boleh, Nini nak kita sekeluarga ada mahligai di syurga-Nya. Nak abang kekal sebagai suami Nini di syurga, nak jadi ketua bidadari untuk abang. Abang faham kan maksud Nini?”

Perlahan Najwan mengangguk. Dalam maksud setiap kata-kata yang diucapkan oleh Auni. Bercinta hingga ke syurga. Bukankah itu impiannya selama ini?

“ Insya-Allah sayang. Jangan sesekali putus harapan. Usaha dan tawakal. Jangan sesekali lupakan-Nya. Kita sama-sama usaha ya Nini? Dengan anak-anak kita?” Najwan tersenyum. Auni mengekeh ketawa. Dia melentokkan kepala ke bahu suaminya. Tangan Najwan masih melekap kemas pada tangannya.

“ Insya-Allah. Dengan anak-anak kita.”

Mata mereka sama-sama bertamu pada langit biru yang dicipta indah oleh Yang Maha Esa. Indahnya hidup jika ada panduan yang baik. Dan panduan terbaik buat mereka adalah kalam Allah SWT berserta sunnah-sunnah kekasih-Nya.

Insya-Allah, Nini. Dia ciptakan mahligai untuk kita di syurga-Nya. Abang sentiasa doakan itu. Amin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience