Chapter 54

Romance Completed 17236

BAB 54

BERULANG KALI Auni membelek kesemua gambar yang telah Sarah berikan kepadanya tadi. Adakah Sarah telah tersilap gambar? Daripada gayanya tadi, kelihatan seperti Sarah mahu membuat Auni cemburu dengan gambar-gambarnya dengan Najwan. Tetapi, tiada satu pun gambar Najwan dengan Sarah di setiap keping gambar itu. Kesemuanya merupakan gambar Sarah dengan lelaki yang sama. Malangnya, Auni tidak mengenali lelaki itu.

Auni mengeluh berulang kali. Dia menyimpan kesemua gambar itu ke dalam sampul surat tadi. Dia malas mahu memikirkan hal seperti ini. Masih banyak perkara penting lagi yang harus dilakukan olehnya.

Majalah Saji diambil daripada rak buku kecil di ruang tamu. Sejak diberi cuti oleh Encik Adam, Auni tidak tahu mahu melakukan apa. Ibu dan ummi pula dah awal-awal beri amaran, jangan buat kerja-kerja berat seperti berkebun dan mengatur balik kedudukan perabot di dalam rumah. Ibu dan ummi bimbang sekiranya dia tersilap langkah, akan membahayakan kandungannya.

Helaian demi helaian muka surat dibelek oleh Auni. Tiba-tiba, mata Auni melekat pada suatu muka surat. Pandangannya tertancap pada gambar dan resipi ayam masak lemon yang tertera pada muka surat itu. Melihatkan gambar itu membuatkan dia teringatkan suaminya.

Sehingga sekarang, suaminya tidak sempat mengajarnya memasak ayam masak lemon. Sebenarnya, masakan ini tidaklah payah buat seorang yang pandai memasak sepertinya. Hanya kerana Najwan pandai masakan ini, dia mahu belajar hanya daripada Najwan. Bukankah itu lebih istimewa?

Abang… abang tak nak telefon Nini ke?

Auni memandang sayu pada Xperia yang terletak tidak jauh daripadanya. Dia tidak boleh berenggang dengan telefon bimbitnya kini. Auni risau sekiranya dia tidak sempat mengangkat panggilan Najwan sekiranya lelaki itu menelefonnya.

Abang… tolonglah.. Telefon Nini… Nini risau…

Safe yang berlagu daripada Xperia mengejutkan Auni. Kelam kabut dia mendapatkan Xperia. Auni menarik senyum apabila menyedari suaminya yang sedang membuat panggilan. Doanya termakbul juga. Auni mengucap syukur dalam hati.

“ Assalamualaikum, abang…”

Hati Auni kian berbunga apabila suara Najwan mula kedengaran. Ya Allah, rindunya aku terhadap suamiku.

“ Sayang tengah buat apa?” lembut Najwan bertanya.

“ Baca majalah aje. Tak larat nak buat benda lain,” balas Auni. Dia tidak mahu menunjukkan bahawa dia terlalu merindui Najwan. Auni seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada membuat Najwan rasa bersalah. Cukuplah dengan apa yang sedang dilalui mereka kini. Dia tidak mahu mendesak.

“ Kenapa Nini tak rehat? Abang takut Nini jatuh sakit,” Najwan mengeluh.

Kalaulah dia berada di sebelah Auni kini, awal-awal lagi dia akan menolong isterinya. Teringat kata-kata ibu, biasanya ibu mengandung akan mengalami kekejangan kaki di samping alahan yang lain. Dia terlalu berharap isterinya itu berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

“ Nini okey. Abang sihat tak?”

Hatinya meronta-ronta untuk bertanyakan mengenai penyelesaian masalah suaminya di bumi London itu. Tambahan lagi apabila mengenangkan gambar-gambar yang diterimanya daripada Sarah tadi. Pelbagai persoalan sedang bermain dalam mindanya kini namun Auni terpaksa bersabar sehingga masa yang sesuai tiba untuk dia bertanyakan hal itu.

“ Alhamdulillah, abang baik-baik aje di sini cuma… abang rindu Nini,” ucap Najwan perlahan.

“ Nini pun… rindu abang juga. Abang balik nanti, buatkan Nini ayam masak lemon? Nini mengidam nak makan masakan abang,” Auni merengek manja. Tawa Najwan kedengaran menyapa telinganya. Auni menarik senyum. Kedengarannya Najwan seperti sihat sahaja. Auni sudah berpuas hati asalkan suaminya sentiasa sihat.

“ Insya-Allah….”

Auni merasa lega. Dia dapat merasakan Najwan berada dekat dengannya. Dirasakan tangannya yang memegang Xperia itu bertaut dengan tangan Najwan yang kini berada jauh daripadanya. Hanya hatinya yang dapat merasakan hangatnya jari jemari Najwan pada tangannya.

IRAMA simfoni yang disetkan jika loceng pintu rumah ditekan mula berbunyi. Cepat-cepat Auni melangkah ke pintu rumah. Dia mencapai tudung terlebih dahulu, manalah tahu ada sesiapa lelaki yang bukan mahram dengannya datang secara tiba-tiba. Auni tersenyum lega apabila melihat ummi dan walid terjengul di hadapan pintu. Ummi dan walid datang melawatnya lagi walau baru sahaja mereka berdua datang sebelum ini.

“ Ummi, walid,” sapa Auni selepas menjawab salam kedua-dua ibu bapanya itu.

Auni menyalami kedua-dua tangan ummi dan walid lantas menjemput mereka berdua masuk ke dalam. Kebetulan pula E-jat baru sahaja turun dari tingkat atas. Anak kecil itu baru sahaja selesai mandi selepas pulang dari tadika tengah hari tadi.

“ Walid tak kerja ke hari ni?” tanya Auni. Kebiasaannya, walid masih lagi di pejabat pada waktu-waktu seperti ini. Walid terus menggeleng.

“ Hari ni walid cuti. Kebetulan pula ummi ajak walid datang jenguk adik. Lepas ni, kami nak ke rumah ibu dan baba adik pula. Ummi yang rindu nak jumpa adik,” kata walid. Walid mencium E-jat yang datang untuk bersalam dengannya.

“ Adik, ummi ada bawakan lauk sikit untuk adik. Bolehlah adik makan dengan E-jat malam ni,” kata ummi seraya menghulurkan beg kertas besar yang sedari tadi dipegangnya kepada Auni. Auni segera menyambut huluran itu.

“ Ummi kamu tu memanglah, adik. Dari pagi tadi lagi ajak walid ke pasar, nak beli semua barang tu. Katanya, dah lama tak manjakan kamu,” seloroh walid. Auni ketawa kecil.

“ Terima kasih, ummi. Buat susah-susah aje. Tapi, dah lama betul adik tak makan masakan ummi. Rindu betul rasanya,” ucap Auni. Dia mengeluarkan beberapa buah Tupperware daripada beg kertas itu. Dia tersenyum riang.

“ Wah! Ada sup ayam, ayam tomato… eh? Ummi belikan juga kismis, delima dan epal ni? Madu dan habbatus sauda pun ada?”

Auni melihat pada beberapa beg plastik yang baru sahaja dikeluarkan. Dua botol madu asli turut berada dalam beg kertas itu. Matanya merenung pada wajah tenang ummi. Ummi tersenyum melihatnya.

“ Itu makanan yang baik untuk ibu mengandung. Tapi, ummi lupa nak beli kurma. Maaflah adik. Terlupa pula ummi,” kata ummi. Ummi beralih tempat lalu duduk di sebelah Auni.

“ Tak apalah ummi. Ibu pun asyik beri adik buah-buah ni semua. Menyusahkan ummi dan ibu aje,” kata Auni yang mula serba salah. Ummi tersenyum lagi lantas mengusap kepala anak bongsunya itu.

“ Ummi tak kisahlah, adik. Tak menyusahkan pun. Lagipun, adik kan tengah mengandung? Masa macam ni kena banyakkan makan buah-buah ni. Elok untuk bayi juga,” nasihat ummi.

Auni tersenyum. Dia merasakan dirinya dihargai dan disayangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Auni cukup bersyukur dengan semua yang telah dia peroleh selama ini. Tidak terlebih malah tidak terkurang. Cukup seadanya bagi meneruskan hidup.

“ Terima kasih, ummi,” ucap Auni buat kesekian kalinya. Ummi merangkul tubuh kecil molek anak bongsunya itu buat seketika sebelum melepaskannya kembali. Ummi mengucup dahi Auni.

“ Adik tahu tak? Angah dan Angah Reza dah nak kahwin,” cerita ummi tiba-tiba dengan penuh keriangan. Auni yang mendengarnya mula terasa pelik.

“ Eh? Bukankah lambat lagi mereka nak kahwin?”

Setahu Auni, tempoh pertunangan antara mereka berdua agak lama. Hampir memakan masa dua tahun. Baru setahun lebih lepas, kenapa tiba-tiba sahaja ni?

“ Angah Reza kata tak sanggup nak tunggu lama-lama lagi. Lagipun, dia kata dia dan Angah makin tua, takkan nak tangguh lama-lama. Majlis mereka lima bulan dari sekarang,” walid mencelah perbualan mereka. Lebar senyuman Auni hingga ke telinga.

“ Itulah, adik dah kata jangan bertunang lama-lama, mereka tak nak dengar. Sekarang ni tengok, siapa yang nak cepatkan tarikh nikah,” kata Auni diselangi tawa walid. Ummi hanya tersenyum sahaja.

“ Tak apalah ummi, adik dah puas hati boleh tengok Angah bahagia dengan Angah Reza.” Wajah Auni mula dirundung murung. Ummi mengeluh. Dia memeluk erat anak bongsunya itu.

“ Adik kena kuat. Memang betul yang Naj tak ada di sisi adik sekarang, tapi ummi dan walid percaya yang Naj sentiasa ingatkan adik, doakan adik walau di mana aje dia berada. Naj seorang suami yang baik, adik. Ummi bersyukur sebab adik mendapat jodoh yang baik,” kata ummi perlahan di telinga Auni.

Auni mengangguk sahaja. Dia tidak dapat menyangkal setiap kata-kata ummi. Mendengarkan kata-kata ummi membuatkan rindunya buat Najwan kian menggunung. Auni menangis dalam diam. Ummi pula membiarkan sahaja anak bongsunya itu melepaskan tangisannya.

“ Adik rindu dia, ummi, walid,” ucap Auni yang agak tenggelam dalam tangisannya. Ummi dan walid merenung antara satu sama lain. Nampaknya, perkara ini agak berat untuk dilalui oleh Auni. Ummi mengeratkan lagi pelukannya. Dia mengucup ubun-ubun Auni.

“ Sabarlah, sayang. Ummi percaya, Naj akan balik tak lama lagi,” ummi memujuk perlahan. Walid pula hanya mendiamkan diri, melayan E-jat yang sedang bermain dengan kereta mainannya.

Teragak-agak Auni mengangguk. Dia akan terus menunggu sehingga suaminya pulang. Dia tidak akan mengalah. Najwan akan pulang juga suatu hari nanti. Mesti!

NAJWAN mengambil keputusan untuk pulang ke kondominiumnya dengan berjalan kaki sahaja. Dia mula merindui saat-saat dia mula tinggal di London dahulu. Kebiasaannya dia dan rakan-rakannya yang lain akan berjalan kaki sahaja di sekitar Kota London ini. Mereka sukakan pemandangan di sekitar kota ini yang kebanyakannya masih terpelihara dengan bangunan-bangunan gaya Inggeris Lama.

Mata Najwan tertancap pada beberapa keping dokumen di tangan. Kesemua dokumen ini berjaya dia peroleh selama dia berada di London. Tetapi, ada juga yang memerlukan dia keluar dari London buat beberapa hari. Tetapi, ini sudah cukup untuk memuaskan hatinya. Malah, Najwan terasa berbaloi dengan setiap tindakannya.

Jika dikira-kira, sudah lebih daripada sebulan dia menetap di London. Kerana terlalu sibuk dengan urusannya, Najwan seakan-akan tidak merasai masa yang berlalu pergi. Dia rindukan Auni yang masih berada di Malaysia. Dia bimbang sekiranya sesuatu yang buruk terjadi sewaktu ketiadaannya. Apatah lagi dalam keadaan Auni yang sedang hamil sekarang.

Najwan juga jarang menghubungi isterinya. Jika dikira, dalam seminggu hanya dua atau tiga kali sahaja dia menelefon Auni. Dia cukup bimbang sekiranya dia tidak dapat mengawal keinginannya untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin sekiranya termakan dengan rayuan dan tangisan Auni.

Namun Najwan bersyukur kerana isterinya seakan-akan memahami situasinya sekarang. Setiap kali dia menelefon Auni, mereka hanya akan berbual mesra tanpa Auni menyoal mengenai masalahnya di sini. Sudah tiada lagi tangisan dan rayuan isterinya agar dia segera pulang.

Najwan cukup bertuah kerana Nawal masih ada di Malaysia bersama-sama suaminya. Senyap-senyap dia menghubungi Nawal bagi mengetahui perkembangan Auni. Nawal juga dengan bermurah hatinya menawarkan khidmat memantau perkembangan Auni tanpa pengetahuan ibu, baba serta Auni sendiri.

BlackBerry yang diset pada mod getar mula memainkan peranannya tatkala panggilan masuk. Tanpa membuang masa Najwan terus mencapai telefon yang berada dalam poket jaket sejuk labuhnya itu. Safwan yang menelefonnya terus daripada Malaysia. Panggilan itu segera disambut.

“ Assalamualaikum, Safwan. Kenapa kau telefon aku?” Najwan memulakan bicara.

Kakinya diarah ke sebuah taman bunga yang berdekatan. Najwan mula bersiar-siar di sekitar taman bunga itu. Beberapa pasangan dan kanak-kanak sedang bermain-main di dalam kawasan taman bunga berkenaan. Kerana musim luruh, daun-daun maple makin memenuhi laluan pejalan kaki.

“ Macam mana kau kat London tu, Qimi? Dah jumpa apa yang kau cari?” Safwan terus melontarkan soalan selepas menjawab salam Najwan.

Najwan tersengih. Dia menjatuhkan pandangannya pada langit yang sedang membiru di atas. Sekawan burung sedang terbang merentasi langit yang luas terbentang. Cantiknya pemandangan pada hari ini.

“ Alhamdulillah, aku jumpa dengan apa yang aku cari. Aku dah tak sabar nak balik Malaysia, Safwan. Rindu betul aku dengan nasi lemak ibu aku,” kata Najwan yang masih lagi sempat berseloroh. Kedengaran tawa Safwan di hujung talian.

“ Betullah tu! Katalah yang kau rindukan nasi lemak isteri kau. Gaya macam aku tak kenal kau aje,” kata Safwan. Kali ini Najwan pula yang ketawa.

“ Memang kau betul-betul kenal akulah, Safwan. Serius, aku rindukan keluarga aku, isteri aku. E-jat pun aku rindu juga. Kalau bukan sebab nak selesaikan masalah ni, aku takkan tinggalkan mereka macam ni aje,” jawab Najwan. Dia mengeluh berat.

Matanya dihala ke sekitar taman bunga itu. Masih tiada apa yang berubah sejak dia berdiri di sini beberapa minit yang lepas. Malah, pengunjung juga sudah semakin ramai.

Kerana sudah lama berdiri, akhirnya Najwan mengambil keputusan untuk mengambil tempat duduk di sebuah bangku panjang. Seorang wanita dan lelaki yang kelihatan sudah lebih daripada separuh abad turut duduk di situ. Najwan tersenyum kepada pasangan tua itu sebelum menyambung perbualannya.

“ Berat sangat untuk kau, kan?” Safwan bertanya.

Najwan menghela nafas. Dia mengangguk perlahan.

“ Aku tak tahu nak kata apa, Safwan. Setiap hari aku asyik ingatkan keluarga aku, adik aku kat Malaysia tu. Aku sentiasa fikirkan keadaan mereka, bimbang mereka sakit secara mengejut sedangkan aku jauh di sini. Dan, aku paling bimbangkan Nini. Dia tengah hamil, Safwan. Nawal kata Nini tak nak tinggal dengan keluarga aku atau keluarga dia. Dia hanya ada E-jat aje di rumah aku. Kalau dia sakit tengah-tengah malam, macam mana? Sekurang-kurangnya, ibu bapa aku ada Nawal dan Syah kat rumah mereka. Nini? Dia hanya ada E-jat,” kata Najwan.

Najwan meluahkan segala-gala yang dipendam dalam hatinya selama dia berada di bumi London ini. Hanya kepada Safwan sahaja dia melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Dia tidak boleh menceritakannya kepada Auni malah ahli keluarganya yang lain. Cukuplah mereka bimbang dengan pemergiannya yang secara mengejut ini. Najwan tidak mahu membuat mereka makin bimbang dengan keadaannya kelak.

“ Tak apa, Qimi. Lepas kau selesaikan semua ni, semuanya akan kembali pulih. Insya-Allah. Cuma kau kena kuat. Ini dugaan daripada Dia. Dia nak uji kau, supaya kau makin kuat. Husnuz zhonlah sikit,” ucapan Safwan diselangi dengan sedikit humor. Tidak mahu menambah tekanan yang dirasai oleh sahabatnya itu.

“ Insya-Allah. Kau jangan bimbang. Tinggal sikit aje lagi sebelum aku betul-betul selesaikan hal aku di sini. Lepas tu, aku akan terus balik Malaysia. Aku akan beritahu kau bila aku betul-betul yakin boleh balik,” balas Najwan.

“ Okey. Aku tunggu maklumat daripada kau tu.”

Selepas berbual mengenai beberapa perkara kecil lagi, Najwan mematikan talian. Dia melihat pada gambar Auni yang tertera pada skrin BlackBerry. Auni kelihatan comel dengan tudung merah jambu yang dipakainya. Najwan tersenyum sendirian.

“ Hi, gentleman. Are you a Malaysian?”

Najwan segera menoleh ke arah sisinya. Wanita tua itu menegurnya secara tiba-tiba. Suami wanita itu pula hanya mendiamkan diri sahaja. Lelaki tua itu mengukir senyum.

“ Yes, my lady,” Najwan menjawab ramah. Kepada orang yang berbuat baik dengannya, jangan dilayan seperti musuh. Apatah lagi sepanjang dia tinggal di sini, dia memerhatikan masyarakat di sini saling menghormati antara satu sama lain.

“ Is it a picture of your girl?” tanya wanita tua itu penuh minat sambil melihat pada telefon di tangan Najwan. Najwan ketawa kecil. Dia menghalakan BlackBerry di hadapan wanita itu. Gambar Auni menjadi santapan mata wanita itu. Suami wanita itu turut melihatnya.

“ She looks like a nice girl, Melanie. She reminds me of you,” kata suami wanita tua itu. Wanita tua itu tersenyum manis.

“ What a beautiful and nice girl, young man,” balas wanita tua itu. Najwan tersenyum lagi. Dia merenung lagi pada gambar Auni yang sedang tersenyum simpul itu.

“ She’s my wife. I miss her so much. She’s still in Malaysia now,” jawab Najwan tanpa segan silu. Dia berasa selesa berbual-bual dengan pasangan yang sudah agak berumur itu. Kedua-duanya ramah menegur dia tadi.

“ It’s okay. The wind will send your long and love to her. You’ll meet her soon, young man. Don’t worry,” kata wanita tua itu mesra. Dia menepuk mesra pada lengan suaminya yang memerhatikan mereka dengan senyuman.

“ Yes, my lady. Yes,” balas Najwan perlahan.

Najwan melihat lagi pada langit di atas. Angin yang membuai membuatkan dia terasa damai. Semoga angin ini dapat menyampaikan rindu dan sayang aku kepadanya. Tunggu abang, Nini. Abang akan pulang tak lama lagi. Abang akan pulang untuk Nini, anak kita dan keluarga kita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience