BAB 23
AUNI menjenguk ke laman rumah. Dia tersenyum apabila melihat Najwan dan E-jat sedang bermain berkejar-kejaran. E-jat cuba melarikan diri daripada Najwan yang ingin mengambil bola sepak yang dipegang kejap di tangannya. Auni hanya mampu menggelengkan kepalanya dan meneruskan kerjanya menyapu di kaki lima banglo itu.
Hari ini hari minggu. Memandangkan Auni dan Najwan tidak mempunyai sebarang aktiviti pada hari itu, Najwan mencadangkan agar mereka membawa E-jat tidur bersama-sama mereka pada malam minggu itu.
Ibu mula bising kerana Najwan tidak mahu tidur semalaman di banglo ibu dan baba sebaliknya memilih membawa E-jat tidur di rumahnya. Masam muka ibu apabila Najwan dengan senyumannya yang selamba mengatakan bahawa E-jat masih belum pernah merasa tidur di rumahnya. E-jat pula sudah lama terkinja-kinja kegembiraan kerana akan dibawa tidur di rumah mereka.
Dan, ‘perbalahan’ itu dimenangi oleh Najwan apabila baba menyampuk. Auni hanya tersenyum sahaja sepanjang menyaksikan Debat Piala Diraja yang berlangsung antara ibu dan suaminya semalam. Nawal dan Syah yang masih tinggal bersama-sama ibu dan baba juga hanya tersenyum melihat ibu dan Najwan ‘berbalah’.
“ Mama!”
“ Nini!”
Pantas Auni menoleh. Matanya terbeliak apabila melihat bola sepak itu sedang melayang ke arahnya. Segera dia tunduk dengan mata yang terpejam rapat.
Pap! Krak!
Perlahan-lahan Auni membuka mata. Sekali lagi matanya terbeliak melihat pasu bunga pemberian ibu yang diletakkan di kaki lima banglo itu sudah pecah berderai. Bola sepak E-jat tergolek di sebelah deraian pasu bunga itu. Perlahan-lahan juga dia menoleh ke arah dua insan yang sedang tayang muka tidak bersalah kepadanya.
“ Siapa yang sepak bola tadi?” tanyanya dengan renungan yang tajam. Najwan dan E-jat saling menunding jari. Mereka berdua sengih serba salah. Renungan mata Auni kian tajam.
“ Baik cakap cepat, siapa yang sepak bola tadi? Nasib baik kepala mama tak pecah, tau tak?” kata Auni. Matanya singgah pada wajah E-jat. E-jat pantas menggeleng.
“ Bukan E-jat. Papa yang buat. Papa yang sepak bola tadi,” kata E-jat petah. Berubah air muka Najwan sebaik sahaja mendengar kata-kata anak saudaranya itu. Kepalanya pantas menggeleng.
“ Mana ada. Bukan abang, E-jat yang sepak bola tadi,” nafi Najwan.
Lama mata Auni melekat pada wajah Najwan. Najwan kelihatan kian serba salah. Apatah lagi Auni berjalan dengan gerak yang agak perlahan mendekatinya.
“ Mana logik E-jat boleh sepak bola macam tu? Laju tau tak bola tadi? Mana pernah Nini tengok E-jat sepak bola macam tadi,” kata Auni. Dia terpaksa mendongak apabila bercakap dengan suaminya. Dia hanya berada di paras bahu Najwan.
“ Err…”
“ Em?”
E-jat sudah ketawa apabila melihat wajah papanya yang sudah berkerut-kerut di hadapan mamanya. Najwan sudah tidak tahu nak buat apa. Nampak sangat dia sedang gelabah saat ini.
“ Takkan Nini tak percayakan abang? Apalah Nini ni…” kata Najwan dengan nada berjauh hati yang sengaja dibuat-buat. Auni menggelengkan kepala. E-jat pula sudah lama terkekeh-kekeh di sebelah Najwan.
“ Abang fikir Nini akan terpedaya dengan muka konon tak bersalah abang tu?” tanya Auni sarkastik. Najwan mencebik.
“ Yalah, yalah. Abang yang buat. Lepas Zohor nanti kita pergi cari yang baru.” Najwan akhirnya mengalah. Malas mahu memanjangkan ‘perbalahan’ dengan Auni. Salahnya juga kerana terlebih kuat menyepak bola tadi. Lantaran sudah lama menyimpan gian bermain bola, dilepaskan sepuas-puas hatinya hari ini.
Auni menggelengkan kepalanya sekali lagi. “ Nini bukannya nak marah sebab tadi, tapi pasu tu ibu yang beri. Apa pula kata ibu kalau ibu tahu pasu tu pecah?”
Dibuatnya ibu mengamuk sebab pasu tu mahal, tak ke naya? Ibu tu dahlah bukan boleh dibuat main. Kalau mood baik tak apalah, dibuatnya mood Taufan Katrina datang? Mujurlah aku ni menantu kesayangan, Naj aje yang kena marah kalau ibu nak lepas geram.
Perubahan riak wajah Auni lantaran terbawa-bawa dengan khayalannya mendatangkan kerut di muka Najwan dan E-jat yang melihatnya. Senyuman nakal mula terukir pada wajah Najwan. Suatu idea terlintas dalam fikirannya.
Pap!
Auni terkejut. Khayalannya berkecai tiba-tiba dek suaminya yang membuat kerja menepuk tangan tepat di hadapan mukanya secara tiba-tiba. Bibirnya diketap menahan geram. Wajah Najwan dipandang seakan mahu ditelannya hidup-hidup.
“ Abang…”
“ E-jat, lari!”
E-jat ditarik lantas dibawa ke dukungan secepat mungkin. Najwan memecut meninggalkan Auni di halaman rumah terus naik ke tingkat atas. Jeritan Auni yang sudah hilang sabar hanya disambut dengan ketawa.
ASHRAF menolak pintu Munawarrah Bakery. Hajat di hati mahu membeli brownies buat Nadira. Semalam adik perempuannya itu merengek mahukan brownies di Munawarrah Bakery. Semuanya gara-gara Akashah pernah membeli brownies di bakeri itu lalu diberikan kepada tunang tercintanya merangkap adik kesayangan Ashraf.
*
Ashraf memandang pelik pada wajah Nadira yang sedang tersengih-sengih di hadapan sepiring brownies coklat. Kehadiran dia di dapur lansung tidak disedari oleh adik perempuannya itu. Akal nakal mula tercetus di mindanya.
“ Huargh!!!”
“ Oo mama!”
Latah Nadira mengundang tawa Ashraf. Dekah tawa Ashraf yang terasa perit di gegendang telinganya membawa kepada cebikan Nadira. Tanpa menunggu tawa abangnya itu reda, terus sahaja Nadira mencubit lengan kanan lelaki itu.
“ Angah!”
“ Sakitlah!” Pantas tangan Ashraf menepis jemari Nadira yang ligat mencubit seluruh tempat pada lengan kanannya. Nadira hanya mencebik seperti tadi. Geram betul dia dengan perbuatan abangnya itu. Suka betul mengejutkan dia sebegitu rupa.
“ Padan muka! Lain kali, kacau lagi Nad camtu!” marah Nadira. Ashraf masih lagi mampu tersengih.
“ Mana Angah tak kacau, Nad asyik tersengih-sengih aje tengok brownies tu. Daripada Nad terus aje tenung brownies tu, baik bagi Angah makan,” kata Ashraf selamba.
“ Tak boleh! Angah nak, Angah beli sendirilah!” Nadira cuba melarikan piring yang berisi brownies itu tetapi Ashraf terlebih dahulu mencapai sekeping brownies coklat.
“ Sedapnya!”
Brownies itu selamat ditelan ke dalam mulut Ashraf. Mungkin sedang dicerna sebaik mungkin oleh enzim yang terdapat dalam mulutnya. Bulat mata Nadira merenung pada wajah tidak bersalah abang kandungnya itu.
“ Angah!!!”
*
Pelayan perempuan di bakeri itu mengukir senyum menyambut kedatangan Ashraf. Ashraf hanya mengangguk sahaja sebagai tanda berbudi bahasa. Senyuman tidak lupa diukirkan bersama. Menyahut seruan kerajaan Kempen Senyumlah katakan. Teringat dia akan iklan pak cik yang menaiki teksi itu.
Dulang yang disediakan di sisi rak yang menempatkan barisan roti dan pastri yang terdiri daripada pelbagai jenis itu diambil satu. Satu demi satu brownies yang berderet itu menjadi tumpuan Ashraf. Dua brownies coklat dan dua brownies walnut diletakkan di atas dulang.
Kali ini Ashraf beralih ke bahagian pastri pula. Teringatkan mama yang menggemari cream puff dan Tart Portugis. Tiga cream puff dan dua Tart Portugis diambil. Leka dia memerhatikan barisan pastri yang mula menggamit selera Baratnya sebelum dia terganggu dengan bunyi pintu bakeri dibuka. Kedengaran pula tapak kaki halus menapak ke kaunter.
“ Cik datang nak ambil kek?” Pelayan di kaunter kedengaran bertanya.
“ Ya. Kek buah mangga untuk hari lahir ibu saya,” balas gadis itu halus. Ashraf yang baru sahaja mahu mengambil tambahan Tart Portugis terhenti. Seperti pernah kudengar suara itu tapi di mana ya?
“ Tunggu sekejap ya cik,” kedengaran pelayan itu membalas.
Ashraf bangun, menegakkan badan sebelum perlahan-lahan kepalanya ditoleh ke belakang. Susuk gadis berbaju kurung merah jambu bertudung putih itu seperti pernah dilihatnya. Matanya dikecilkan. Bukan ke tu…
“ Cik Syuhada, maaf kerana menunggu.” Pelayan itu kembali berserta sebuah kotak kek di tangan. Gadis itu kelihatan mengangguk kecil.
“ Terima kasih, berapa semuanya?”
“ Kirakan sekali untuk saya, ya cik?” Suara garau Ashraf mencelah secara tiba-tiba dalam perbualan mereka. Gadis itu menoleh pantas.
“ Awak?”
Ashraf tersenyum kecil sebelum menumpukan pada pelayan di kaunter. Adda hanya mampu terdiam apabila melihat lelaki di hadapannya itu mengeluarkan dompet untuk membayar apa yang dibelinya.
“ Jom,” sapaan Ashraf berjaya menyedarkan Adda. Terkebil-kebil Adda melihat kotak kek di tangan Ashraf. Bukan ke tu…
“ Kenapa awak bayar? Kek ni saya…”
“ Rasanya elok kita keluar dulu sebelum sambung perbualan kita,” Ashraf hanya tersenyum melihat wajah Adda yang kelihatan bingung. Tanpa mengucap apa-apa lagi dia terus melangkah keluar dari bakeri itu. Terkebil-kebil juga Adda dengan perbuatan lelaki itu sebelum dia dikejutkan dengan sapaan si pelayan di kaunter. Tersipu-sipu Adda mengikuti langkah Ashraf.
“ Kek tu…”
“ Kek awak? Saya tahu tu. Kenapa?” Celah Ashraf sebelum sempat Adda menghabiskan ayatnya. Adda mengetap bibir. Agak kegeraman di situ akan sikap selamba Ashraf.
Senyuman Ashraf makin lebar. Tanpa disangka-sangka hajat yang membawa langkahnya ke Munawarrah Bakery pada hari ini membawa tuah kepadanya. Adda muncul tanpa disangka-sangka. Sejak pertemuan pertama mereka di majlis perkahwinan Najwan-Auni, kerap benar mereka terserempak. Adakah ini suatu petanda akan sesuatu?
“ Boleh saya dapatkan balik kek tu?” Adda terpaksa bersuara apabila melihat Ashraf hanya mendiamkan diri. Ashraf melihat pada kotak kek berwarna merah di tangannya itu.
“ Kek hari lahir ibu awak?”
Teragak-agak Adda mengangguk. Beg tangan kecil yang berada dalam genggamannya dibuka. Dua keping wang kertas RM 50 dihulurkan kepada Ashraf.
“ Bayar duit awak tadi,” kata Adda. Ashraf hanya menggeleng.
“ Simpan balik duit awak tu,” balas Ashraf seraya menggeleng. Kotak kek di tangan dihulurkan kepada Adda. Pantas Adda menyambutnya dengan dahi yang berkerut.
“ Tapi…”
“ Simpan balik duit awak. Saya akan tuntut balik duit tu bila saya nak,” putus Ashraf. Sekeping kad kecil berwarna putih diselitkan di celah reben merah yang menghiasi kotak kek itu.
“ Mesej saya nombor telefon awak. Senang saya nak cari awak nanti,” kata Ashraf sebelum melangkah pergi. Terkebil-kebil Adda dengan perilaku lelaki itu. Dia hanya mampu melihat lelaki itu melangkah pergi tanpa mengatakan apa-apa. Dan, matanya melihat pada kad kecil berwarna putih itu.
Share this novel