Chapter 43

Romance Completed 17236

BAB 43

PAGI Khamis itu Auni sudah kembali bekerja. Nampak gayanya macam dia yang akan demam balik pun ada apabila memikirkan betapa susahnya nak layan Najwan apabila sakit. Bahagian makan, solat dan tidur itu okey, tetapi apabila tiba bab nak makan ubat, Perang Dunia Ketiga dululah jawabnya.

“ Selamat pagi, Auni. Macam mana dengan Qimi? Dah sembuh?” Adam awal-awal lagi menyapanya. Tika itu Adam sedang berbincang mengenai sesuatu dengan Firas. Auni mengangguk. Dia menguntum senyum.

“ Alhamdulillah, dah sihat balik,” balas Auni.

Adam mengangguk sekilas sebelum menyambung perbincangannya dengan Firas. Auni pula meneruskan langkahnya untuk ke meja kerjanya. Tatkala dia melalui meja Adda, sempat dia berhenti sekejap untuk berbual-bual.

“ Ehem, ehem.” Auni pura-pura berdehem. Adda mengangkat muka apabila mendapati perhatiannya terhadap kerjanya terganggu.

“ Auni! Rindunya tak jumpa kau dua hari ni. Macam mana dengan suami kau, dah okey?”

Adda menyoal sebaik sahaja melihat muka Auni yang terpacul di hadapannya. Auni mengangguk. Senyumannya melebar.

“ Dah sihat. Daripada kau tanya aku, baik aku yang tanya kau. Sabtu ni kau dah nak kahwin, macam mana? Persiapan okey?”

Auni pula yang mengajukan soalan. Mengikut rancangan, Adda dan Ashraf akan disatukan pada pagi Sabtu itu. Majlis akad nikah diadakan sekali dengan kenduri bagi pihak Adda. Mereka akan dinikahkan di rumah Adda sendiri.

Muka Adda sudah berubah merah. Dia mengangguk perlahan.

“ Okey aje. Cuma aku rasa berdebar semacam,” jujur Adda mengakui. Auni tergelak. Adda buat muka marah.

“ Boleh kau ketawa pula?” kata Adda.

“ Maaf, maaf. Ala… aku pun macam tu juga masa nak kahwin dulu. Lepas tu, okey ajelah. Baik kau jangan fikir banyak, aku takut kau tak boleh tidur aje malam nikah tu. Nanti kesian pula Ashraf tengok bakal isteri dia tak bermaya aje sebelum akad nikah tu,” kata Auni. Dia mengeyit mata dan segera berlalu sebelum dibalas kata-kata oleh Adda.

Auni menyambung kerjanya sehinggalah masa makan tengah hari. Dia harus segera ke rumah Sarah selepas ini. Kasihan pula wanita itu kerana terpaksa menangguhkan perbincangan mereka yang lebih lanjut sebelum kondominiumnya berubah wajah. Selesai sahaja makan tengah hari, dia terus memandu Swift ke Kondominium Lazuardi tanpa berhenti di tempat lain. Seperti biasa, Sarah menyambutnya dengan senyuman.

“ Maaf, Kak Sarah. Saya terpaksa tangguh perjumpaan kita hari tu,” kata Auni sebaik sahaja dia memasuki unit kondominium tersebut. Sarah mengukir senyuman manis.

“ Tak apa. Akak dengar yang suami Auni tak sihat. Dah okey?” Sarah menyoal. Auni mengangguk. Mungkin Encik Adam yang memberitahu wanita ini mengenai sebab kenapa dia tidak dapat hadir.

“ Dia tak apa-apa. Terlampau letih bekerja kot sampai demam macam tu,” jelas Auni. Sarah tersenyum lagi.

“ Bakal pewaris Al-Azwar, kan? Sebab tulah dia kena kerja keras. Kalau tak, siapa lagi nak ganti, kan? Suami Auni pun bukannya ada adik lelaki yang lain,” balas Sarah. Auni terpaku di situ. Kata-kata Sarah agak mengejutkan dirinya.

Macam mana Kak Sarah tahu pasal syarikat baba dan… Naj?

ADDA yang sudah berpakaian cantik sempena hari pernikahannya kelihatan cemas. Dari tadi lagi Adda duduk sahaja di atas katil tanpa bergerak ke mana-mana. Kedua-dua tangannya dikepal bersama menjadi satu. Auni yang menyedari perasaan gelisah sahabatnya itu mendekati Adda. Dia mencuit lengan sahabatnya itu.

“ Auni, terkejut aku,” kata Adda perlahan. Dia menoleh ke arah Auni yang sudah mengambil tempat di sebelahnya. Auni mengeyit mata.

“ Kau takut ya? Aku pun macam tu juga masa nak akad nikah dulu. Relaks ajelah, okey?” kata Auni. Adda tersenyum kecil.

Sememangnya dia agak berdebar apabila memikirkan bahawa selepas ini dia akan sah menjadi isteri Ashraf. Pastinya tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada Ahmad Ashraf Hakimlah yang menggerunkan dia pada saat ini. Dia hanya mampu berdoa dan berusaha agar dia mampu menjadi seorang isteri yang solehah.

“ Adda, aku nak tanya pasal Muqri. Dia dah tak kacau kau lagi kan?” tanya Auni.

Tiba-tiba sahaja dia teringatkan lelaki yang pernah menjadi kekasih Adda tanpa pengetahuannya itu. Bagaimana ya keadaan lelaki itu sekarang? Sudah pasti Muqri sudah mengetahui mengenai perkahwinan Adda.

“ Tak. Aku rasa kalau dia datang kacau aku, memang nahaslah dia aku kerjakan. Aku dah tahap benci gila nak tengok muka dia. Kalau dia tergamak buat kacau kat majlis ni, siap dia,” kata Adda. Ada nada kebencian dalam tutur katanya.

Auni mengangguk sahaja. Dia menepuk bahu Adda. Auni tahu Adda tidak maksudkan kata-katanya. Memang benar Adda membenci Muqri, tetapi tidaklah sehingga tidak boleh tengok kelibat Muqri di hadapannya. Dia sudah lama mengenali Adda. Kata-kata gadis itu tidak mencerminkan perasaan sebenarnya jika melibatkan perasaan marah sebegini.

“ Kak Chik,” Zafran menyapa dari luar. Puan Aisya dan beberapa orang ibu saudara Adda masuk ke dalam bilik. Adda kian berdebar.

“ Majlis akad nikah dah nak mula. Lepas ni, Ashraf masuk dan Adda kena bersalam dengan dia, tau?” kata Puan Aisya. Adda mengangguk lemah. Terasa jantungnya bagai hendak berhenti berdegup.

Auni bangun daripada sebelah Adda lalu memberikan tempat itu kepada Puan Aisya. Dia memegang kemas pada kedua-dua bahu Adda, cuba mengelak debaran gadis itu daripada kian memuncak. Kedengaran suara bapa Adda dan suara Ashraf saat diijabkabulkan. Sejenak kemudian, Zafran memberi isyarat agar semua yang berada dalam bilik itu agar menadah tangan untuk berdoa. Dan itu petanda bahawa Adda sudah sah bergelar isteri Ashraf.

“ Assalamualaikum,” Ashraf memberi salam dari luar. Mama Ashraf yang masuk dahulu mendahuluinya sebelum diikuti oleh Ashraf.

Adda mula tersipu malu apabila Ashraf mencapai tangannya untuk menyarungkan cincin. Perlahan-lahan cincin berbatu permata kecil itu disarungkan ke jari manis Adda. Adda menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Ashraf sebelum Ashraf mengucup dahinya. Auni yang menyaksikan adegan itu tersenyum riang. Akhirnya, kahwin juga sahabat baiknya itu.

Selesai sahaja acara menyarung cincin itu, pasangan pengantin baru diminta keluar untuk bergambar dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Pelamin yang sudah siap dipasang hanya akan digunakan apabila tiba masa untuk bergambar bersama-sama ahli keluarga yang lain. Sementara itu, Auni mencari kelibat suaminya. Dari kejauhan, dia melihat Najwan sedang melayan E-jat makan di sebuah meja. Ibu, baba dan Nawal turut berkumpul di meja yang sama.

“ Abang,” sapa Auni. Najwan mengangkat muka. Dia tersenyum apabila melihat wajah Auni yang kelihatan agak keletihan.

“ Nini dah makan? Kalau belum, makan dengan abang lepas ni pun tak apa. Abang nak beri E-jat makan dulu,” kata Najwan. Auni mengangguk sahaja. Dia sendiri pun masih belum terasa lapar.

Ibu dan baba sudah habis makan. Begitu juga dengan walid dan ummi. Selepas ini, mereka ingin bertemu dengan ibu bapa Ashraf sebelum menemui pasangan pengantin baru itu. Nawal pula mengekori sahaja langkah ibu dan baba. Sementara itu, Najwan pergi mengambil makanan yang disajikan secara buffet. Auni pula menunggu E-jat yang masih belum siap makan.

Mata Auni meliar ke sekeliling kawasan rumah Adda. Sudah ramai jiran tetangga yang membanjiri kawasan rumah pengantin baru itu. Majlis akad nikah dan kenduri bagi pihak perempuan diadakan pada hari yang sama. Selang dua hari lagi, kenduri bagi pihak lelaki pula yang akan diadakan.

Eh?

Mata Auni terpaku pada seseorang. Pandangannya jatuh pada kawasan pintu pagar yang terbuka luas di hujung sana. Matanya terpaku pada seorang lelaki yang baru sahaja memasuki kawasan rumah Adda. Jika dia tidak salah melihat, lelaki yang berbaju Melayu cekak musang warna hitam itu merupakan Muqri. Apa dia buat kat sini? Nak buat kacau ke?

“ Nini?”

Auni tersentak sedikit. Matanya jatuh pula pada Najwan yang sudah kembali ke meja mereka. Ada dua pinggan nasi di tangan Najwan. Satu diletakkan di hadapan Auni manakala satu lagi diletakkan di hadapan Najwan sendiri.

“ Abang tolong ambilkan. Abang nak pergi ambil air pula. Nini tunggu E-jat dulu ya?” kata Najwan apabila melihat Auni kelihatan kebingungan melihat pada pinggan nasi di hadapannya. Teragak-agak Auni mengangguk.

Sesekali Auni mengelap mulut E-jat yang comot. Tetapi fikirannya masih mengingatkan perihal kehadiran Muqri di majlis perkahwinan Adda-Ashraf pada hari ini. Harap-harap Muqri tidak membuat sebarang onar.

DARIPADA seorang ke seorang tetamu datang menemui Adda dan Ashraf. Walaupun agak penat, tetapi mereka merasa gembira. Tetamu yang hadir harus diberi layanan yang sewajarnya. Tidak lama lagi upacara makan beradab akan bermula. Tetapi Ashraf dan Adda masih setia melayan tetamu yang hadir.

“ Assalamualaikum,” sapa seseorang. Adda dan Ashraf yang baru selesai bercakap dengan tetamu yang lain menjawab salam itu. Tetapi Adda tergamam sejenak apabila menyedari orang yang memberi salam itu.

“ Awak?”

Muqri yang segak memakai baju Melayu berwarna hitam sedang berdiri di hadapannya. Ashraf yang menyedari ketegangan suasana itu segera menghulurkan tangan kepada Muqri.

“ Awak sihat?” tanya Ashraf ramah. Adda memandang pelik pada suami yang baru dinikahinya itu. Adakah Ashraf terlupa yang itu Muqri? Lelaki yang menganggu mereka berdua tempoh hari?

“ Sihat. Ini…” Muqri menghulurkan hadiah yang sudah berbalut kemas kepada Ashraf. Ada sekeping kad kecil yang diselitkan di celah reben putih itu. Ashraf menyambutnya dengan senang hati.

“ Saya minta maaf atas salah saya pada awak. Saya ingatkan nak cari awak balik sebaik aje saya sampai Malaysia, nak lamar awak. Tapi nampaknya saya tersilap. Awak dah ada pilihan sendiri,” tutur Muqri perlahan. Lelaki itu hanya tunduk sahaja. Tidak tergamak melihat pada wajah Adda yang sedang merenungnya tajam.

“ Jadi, kenapa awak datang sini?” tanya Adda sedikit kasar. Ashraf memeluk lengan isterinya, sebagai tanda agar Adda bersabar. Muqri hadir ke sini bukannya untuk mencari gaduh, dia datang dengan niat yang ikhlas.

“ Saya datang nak minta maaf dengan awak. Saya tahu saya salah. Sepatutnya saya ubah perangai saya, setia pada awak, jaga awak baik-baik tapi saya gagal. Saya masih sayangkan awak tapi saya tahu awak bukannya jodoh saya,” jelas Muqri sekali lagi.

Ashraf cuba menyabarkan hatinya apabila mendengar ayat Muqri tadi. Berani lelaki itu mengaku yang dia masih sayangkan Adda, yang sudah sah menjadi isterinya? Tetapi dia tahu pengakuan Muqri tadi jujur.

“ Saya datang nak ucapkan selamat pengantin baru, Adda. Harap awak bahagia dengan Ashraf sehingga akhir hayat awak,” sambung Muqri.

Adda agak tersentuh dengan pengakuan ikhlas Muqri. Nampaknya Muqri bersungguh-sungguh ingin memohon kemaafan daripadanya. Adda mengangguk perlahan.

“ Terima kasih. Saya doakan awak jumpa perempuan yang lebih baik. Dan, tolong lupakan saya. Saya isteri orang, Muqri,” pinta Adda.

Teragak-agak Muqri mengangguk. Dia bersalaman dengan Ashraf. Lama dia merenung wajah suami Adda itu.

“ Saya percayakan awak, Ashraf. Saya tak mampu jaga dia, jadi saya cuma boleh harapkan awak. Saya doakan kamu berdua bahagia, minta maaf atas apa yang dah berlaku,” pesan Muqri. Ashraf mengangguk. Dia menepuk bahu Muqri.

“ Insya-Allah, awak pun jaga diri baik-baik. Awak tetap kawan Adda. Jangan lupakan kami bila dah nak kahwin nanti,” balas Ashraf. Muqri mengangguk juga.

“ Saya datang cuma nak sampaikan ucapan saya. Saya kena ke tempat lain pula. Assalamualaikum,” jawab Muqri sebelum dia berlalu pergi. Ashraf dan Adda tidak mampu menghalang lelaki itu. Ashraf merenung pada kotak hadiah di tangannya. Kad kecil itu diserahkan kepada Adda.

“ Tak nak baca ke? Mana tahu Adda akan lebih tenang lepas baca kad tu,” kata Ashraf. Adda menyambut huluran itu. Matanya menatap barisan tinta yang tertera. Hanya ada empat patah perkataan sahaja pada kad kecil comel itu.

Minta maaf untuk semuanya.

Adda tersenyum. Dia melihat pada Ashraf di sebelah. Ashraf tersengih sambil menggaru-garu kepalanya.

“ Sebenarnya, abang yang ajak dia ke majlis kita,” jujur Ashraf mengaku. Muka Adda berubah riak terkejut. Apa?

“ Ha? Macam mana pula abang boleh ajak dia? Abang jumpa dia kat mana?” tanya Adda tidak percaya. Ashraf tersengih.

“ Panjang ceritanya. Abang beritahu malam nilah. Dahlah, makan beradab dah nak mula. Marah mula mama dan mak kalau kita lambat macam ni.” Ashraf cuba mengelak. Adda mengetap bibir.

“ Janji tahu nak beritahu malam ni?” kata Adda. Jangan nak mengelak selama-lamanya sudahlah.

“ Ya. Abang janji. Dah, jom kita pergi. Bising pulak mereka tu,” kata Ashraf. Adda terpaksa bersetuju. Mama dan mak sudah mencari mereka. Terpaksa jugalah mereka ke meja makan sekarang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience