BAB 1
Orang kata, kadang-kadang kebetulan itulah yang akan membawa bahagia.
Aku harap, ada kebenarannya.
Insya-Allah.
“ ENCIK nak jumpa siapa?”
Auni Ammaleeyna bertindak sebagai penyambut tetamu tidak bertauliah di kaunter. Jam masih menunjukkan awal pagi. Pukul 9 pun belum masuk lagi tetapi sudah ada orang yang berada di kaunter penyambut tetamu. Rakan sekerja yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu pergi ke tandas sekejap. Katanya nak betulkan uniform yang kelihatan selekeh.
Lelaki tinggi yang kelihatan kemas bersut menoleh kepada gadis itu. Seulas senyuman menyapa pertanyaan Auni. Auni turut membalas. Orang senyum, kita balas ajelah, kan? Nanti kata sombong pula. Lagipun lelaki itu bukannya buat muka gatal pun. Siap beri salam lagi kepada Auni. Salam dijawab sahaja perlahan.
“ Encik Adam dah masuk? Saya perlu jumpa dia,” lelaki itu mula bersuara.
Dengan senyuman pada suatu raut wajah yang bersih, mampu membuatkan Auni tersenyum simpul. Sudahlah lelaki itu boleh tahan kacak. Auni mengutuk dirinya sendiri. Gatal sangat pagi-pagi macam ni.
“ Oh! Encik ada temu janji dengan Encik Adam ke? Awal lagi ni encik. Biasanya tepat pukul 9 baru dia muncul.” Auni melihat pada muka jam. Lagi dua puluh minit sebelum jarum jam menandakan pukul 9.
Lelaki itu mengeluh seraya menggeleng.
“ Nasib tak baik saya datang awal sangat. Tak buat temu janji pun dengan dia, saya fikir dia dah ada,” balas lelaki itu. Dia turut melihat pada jam di pergelangan tangan.
Auni melihat sahaja. Dia tidak pernah melihat lelaki itu datang ke tempat kerjanya sebelum ini. Daripada gayanya, kelihatan seperti lelaki itu merupakan kawan kepada Encik Adam. Selamba sahaja gayanya. Datang pun tidak buat temu janji terlebih dahulu.
“ Saya perlu ke pejabat sekarang. Tak apalah, terima kasih sudi menolong. Lepas ni saya datang cari dia balik. Assalamualaikum,” ucap lelaki itu seraya melangkah pergi. Sempat lagi dia melambai dari belakang.
Auni hanya memerhati. Peliknya tengok lelaki ni. Selamba betul.
Baru sahaja lelaki tu melangkah keluar daripada firma arkitek milik bapa Encik Adam, Munirah yang bertugas sebagai penyambut tetamu kembali ke kaunter. Dia kelihatan lebih kemas daripada sebelum ini, sebelum dia meninggalkan Auni di kaunter untuk menjadi penyambut tetamu tidak bergaji.
“ Lelaki tu cari siapa?” Munirah merujuk kepada lelaki yang berbual dengan Auni tadi.
“ Kawan Encik Adam rasanya. Dia tanya Encik Adam dah sampai ke belum. Aku cakap belum. Biasanya Encik Adam tak sampai lagi masa ni kan?” jawab Auni. Dia bermain-main dengan glob salji yang menghiasi kaunter.
“ Kau cakap macam tu kat dia?” Munirah buat suara tidak percaya. Auni mengangguk. Dia masih leka dengan glob salji comel itu.
“ Encik Adam dah sampailah. Dia sampai awal hari ni.”
Eh?
“ Mimpi apa bos kita datang awal hari ni? Tak perasan pun masa aku naik atas tadi.” Auni kehairanan. Tidak ada pula dia nampak kelibat bosnya sewaktu naik ke tingkat atas tadi.
Munirah menggeleng. “ Entah. Bos mimpi bulan jatuh ke riba kot semalam. Sebab tu dia datang awal.”
Ringan aje tangan Auni menepuk lengan Munirah. Habis klasik mimpi yang diberi. Munirah, Munirah. Tahulah kau peminat tegar filem klasik allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“ Ada ke cakap macam tu. Macam mana kalau bos dengar? Kau nak kena potong gaji?” Auni pura-pura buat muka mengugut. Munirah tergelak.
“ Tak ada maknanya. Habis tu, kau tak nak pergi cari lelaki tu ke? Kau dah bagi info salah kat dia. Manalah tahu ada perkara penting dia nak jumpa bos kesayangan kita tu. Kalau tak, tak adan maknanya awal pagi lagi dia tercongok depan kaunter ni,” kata Munirah.
Auni berpaling pada pintu masuk pejabat. Lelaki itu dah lama berlalu. Mungkin sudah dalam perjalanan untuk ke pejabatnya. Malaslah nak bazirkan tenaga cari orang yang tidak dikenali pagi-pagi macam ni.
“ Tak apalah. Tak ada jodoh dia nak jumpa bos awal pagi ni kot,” balas Auni mudah. Munirah tersenyum. Ada ada aje Auni ni.
BERKERUT-KERUT muka Auni menghadap skrin Asus. Tangan kiri menopang dagu manakala tangan kanan asyik mengetuk muka meja dengan pen. Macam muka orang susah hati pun ada. Adda terus menepuk meja tanpa memberi salam.
“ Ya Allah! Adda!”
Adda sengih. “ Tahu pun terkejut. Yang kau asyik termenung aje dari tadi ni kenapa? Pening dengan projek baharulah tu.”
Perlahan-lahan Auni menggeleng. Tetapi tetap kelihatan bahawa dia sedang menyorokkan sesuatu daripada Adda.
“ Kalau macam tu, janganlah buat muka monyok. Hilang kecomelan kau tu. Apalah kau ni,” kata Adda. Walaupun dia berkata sedemikian, Adda dapat menghidu sesuatu yang sedang disorokkan oleh sahabatnya itu.
“ Aku tahu aku comel,” jawab Auni selamba. Adda pura-pura mencebik.
“ Perasanlah kau ni,” balas Adda. Auni ketawa.
Dia bangun daripada kerusinya. Beberapa helaian kertas bercetak diambil daripada sudut kanan meja. Auni mengemaskan susunan kertas itu.
“ Kau nak pergi mana tu?” tanya Adda apabila melihat Auni bangun meninggalkan meja kerjanya. Auni mengangguk ke arah bilik Encik Adam.
“ Jumpa bos besar kejap.”
Auni tidak berhenti daripada menyemak kembali susunan kertas tersebut. Mahu jumpa bos besar ni. Mana boleh main selambasaja. Dibuatnya mood Encik Adam hari ni tak berapa elok, memang Auni kena cepat-cepat telefon Puan Qistina isteri Encik Adamlah datang jadi penenang.
“ Eh?”
Auni mengangkat mata daripada sepasang kasut hitam berkilat kepada empunya kasut itu. Dia berhenti betul-betul di hadapan lelaki yang ditemuinya pagi tadi. Lelaki itu berdiri di hadapannya.
“ Awak dah bagi salah info kat saya tadi. Bos awak kata dia dah datang awal pagi lagi,” tutur lelaki itu mengenai pertemuan mereka awal pagi tadi. Senyuman tetap terukir pada wajah bersih itu.
“ Err…” Auni dah tak tahu nak kata apa. Kawan bos ni marah aku ke? Muka senyum bagai aje ni.
Lelaki itu tergelak. “Tak apa. Saya dah jumpa dia. Assalamualaikum.”
Lelaki itu berlalu tanpa sempat Auni mengatakan apa-apa. Salam lelaki itu disambut perlahan. Kening Auni bercantum. Kenapalah kawan bos yang ni agak pelik perangainya?
“ Auni, kamu buat apa kat sini? Nak jumpa saya ke?”
Auni tercengang. Encik Adam tercegat berdiri di hadapan pintu biliknya. Pantas Auni mengangguk. Encik Adam memberi isyarat membenarkan pekerjanya itu masuk ke dalam. Tanpa membuang masa lagi Auni mengekori ketuanya itu.
“ Saya dengar apa kawan saya beritahu awak tadi. Kawan saya tu memang macam tu. Selamba aje dengan orang yang baru dia kenal. Tapi dia baik,” kata Encik Adam seraya duduk di kerusi empuknya. Auni mengangguk perlahan.
Encik Bos, saya ada tanya pasal kawan Encik Bos tu?
“ Jadi, kenapa awak nak jumpa saya? Ada hal penting?”
Auni mengangguk lagi. Kertas-kertas yang berada dalam pegangannya dihulurkan kepada ketuanya. Encik Adam menyambut huluran Auni. Setiap patah perkataan yang berada pada permukaan kertas itu menjadi santapan matanya.
“ AUNI, kau tak nak balik lagi ke?”
Adda merapati meja Auni. Gadis itu kelihatan leka membaca sesuatu di skrin Asus. Auni mengalihkan pandangan daripada skrin laptopnya kepada wajah Adda. Gelengan kepalanya menjawab pertanyaan Adda.
“ Aku nak siapkan kerja sikit lagi. Kau baliklah dulu. Nanti risau pula ibu kau,” kata Auni. Adda diam sejenak.
“ Yalah. Tapi kau jangan balik lewat sangat. Semua orang dah pulang ni. Encik Adam pun dah balik. Tinggal jaga kat bawah aje yang temankan kau kat sini. Balik cepat-cepat ya?”
Auni mengangguk. “ Yalah. Jangan risau. Dah, dah. Kau pergi balik dulu.”
“ Okey. Jumpa kau esok.”
Auni melambai kepada Adda yang sudah berlalu pergi. Dia termenung melihat sekitar ruang pejabatnya. Semua orang sudah pulang. Encik Adam pun sudah. Katanya dia ada janji nak bawa isterinya, Puan Qistina makan malam di luar malam ni. Bertuah Puan Qistina dapat suami romantis macam Encik Adam.
Auni pula masih di sini. Dia mahu menyendiri sebelum pulang ke rumah. Sebenarnya ada sesuatu yang menganggu dia sejak pagi tadi. Sebelum Adda ke mejanya dan menegur kenapa dia kelihatan resah sahaja di hadapan laptopnya tadi.
Mata Auni kembali pada skrin Asus. Sudah berulang kali dia membaca apa yang tertera, sebolehnya untuk menipu dirinya sendiri bahawa apa yang terpapar pada skrin hanya mainan matanya sahaja.
Wafiy Adnan
Assalamualaikum wbt. Auni,
Saya harap awak sihat-sihat sahaja. Dah lama kita tak berhubung, kan? Walaupun awak dah lama tak balas e-mel saya, saya tetap tak akan berhenti. Saya tak boleh lupakan awak, awak yang selalu lari jauh setiap kali saya nak mendekati. Seorang Auni Ammaleeyna yang sukar untuk saya dekati walaupun sudah banyak kali saya mencuba.
Sudah empat tahun saya bermastautin di UK. Sejak itulah kita putus hubungan tapi saya tetap tak boleh lupakan awak, Auni. Saya tahu kita tak pernah ada apa-apa. Tapi saya tetap mengharapkan awak, Auni. Saya harap sangat suatu hari nanti, awak akan setuju jika saya melamar awak.
Insya-Allah, saya akan pulang ke Malaysia tak lama lagi. Saya ditukarkan ke cawangan syarikat saya di Malaysia. Saya harap awak sudi jumpa saya nanti.
Wassalam.
Auni mengeluh. Kenapa lelaki ini perlu muncul lagi dalam hidupnya? Sudah bertahun-tahun mereka putus hubungan. Malah itulah yang menggembirakan Auni. Dia gembira apabila lelaki itu pergi daripada hidupnya. Mereka juga bukannya pernah ada apa-apa hubungan dahulu.
Auni klik pada simbol tong sampah. E-mel yang dihantar oleh Wafiy itu dibuang. Tiada hati untuk terus menyimpan e-mel yang boleh meresahkan dirinya.
Wafiy, kenapa kau cari aku balik?
Bukannya dia tidak terharu dengan perbuatan lelaki itu yang masih setia menunggunya, tetapi Auni tetap dengan keputusannya yang mengatakan dia dan Wafiy tidak patut bersama. Mereka tidak serasi. Dia yakin. Dia ditempatkan dalam hati lelaki itu bukannya kerana cinta. Suatu perkara yang Wafiy tidakkan. Malah, lelaki itu mungkin belum sedar akan hal itu.
Kenapa kau cari aku lagi? Aku bukannya dia.
Share this novel