Chapter 40

Romance Completed 17236

BAB 40

APABILA jam sudah menunjukkan pukul 1:45 pagi, barulah Najwan sampai di rumahnya. Dia melihat pada kawasan halaman rumahnya. Auni tidak menutup lampu di sekitar kawasan rumah mereka, bimbang jika ada tetamu yang tidak diundang datang. Lampu besar di bangsal kereta yang berhadapan dengan pintu masuk rumah utama turut terpasang.

Najwan mematikan enjin Prius. Tetapi dia tidak bergegas keluar daripada kereta. Najwan hanya duduk termenung sahaja di dalam keretanya. Ingatannya membawa kepada pertemuan dia dengan Safwan tadi. Perjumpaan mereka agak memakan masa tetapi tamat sepenuhnya menjelang jam 11:30 malam. Tetapi selepas pertemuan itu, Najwan tidak terus pulang.

Najwan mengambil keputusan untuk meronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur sebelum pulang ke rumah. Dia tidak mahu sekiranya dia pulang dan Auni masih belum tidur, isterinya akan risau apabila melihat wajahnya yang kelihatan serabut dengan pelbagai masalah.

Najwan menyandarkan kepalanya pada sandaran kereta. Matanya dipejam rapat. Dia cuba melupakan sedikit ketegangan yang dia alami sekarang. Sekilas kemudian, matanya terkebil-kebil merenung langit malam yang kelihatan melalui cermin kereta.

Ya Allah, jika ini ujian buatmu kepadaku, berikan aku kekuatan untuk menempuhinya. Lindungilah aku dan insan-insan tersayang bagiku daripada fitnah dunia dan akhirat. Aku memohon dengan serendah-rendah hatiku, Ya Rabb.

Mungkin Allah rindu nak dengar doaku, hamba-Nya yang hina. Sebab itulah aku ditimpa perkara ini. Allah sayangkan aku, sayangkan orang sekeliling aku. Insya-Allah, aku mampu hadapinya, Najwan cuba mempositifkan fikirannya.

Beg bimbit dan kot yang tersadai di tempat duduk penumpang sebelahnya dicapai. Masuk sahaja Najwan ke dalam rumah, kelihatan Auni sedang terkuap-kuap menahan rasa mengantuk di atas sofa di ruang tamu. Najwan mengukir senyum kepada isterinya yang sudah kelihatan mamai.

“ Abang baru balik?” tanya Auni perlahan. Sekejap matanya pejam, sekejap matanya celik. Tangan Najwan dicapai untuk disalami. Najwan duduk di sebelah isterinya.

“ Kenapa tak tidur aje kat atas? Kan abang dah pesan jangan tunggu? Lewat sangat dah ni. Dahlah malam ni sejuk, Nini pakai baju lengan pendek dan pasang pendingin hawa pula tu,” bebel Najwan. Auni tersenyum.

“ Sejuk, tapi Nini malas nak padamkan suis. Nini tunggu abang, lewat sangat abang pulang. Nini risau kalau jadi apa-apa.”

Dalam menahan rasa mengantuk, sempat lagi Auni membalas kata-kata suaminya. Najwan menggeleng sahaja.

“ Dah, naik atas cepat. Tidur. Esokkan Nini kerja? Berjaga dalam sejuk macam ni, abang risau Nini demam aje. Dah, dah, jangan nak bantah. Cepat naik dan tidur,” arah Najwan. Auni mencebik sedikit. Nak tak nak dia terpaksa juga mendengar arahan suaminya. Sejuknya malam ni.

Najwan memapah isterinya naik ke tingkat atas. Auni sudah mengantuk benar. Nanti ada yang jatuh tergolek sebab mamai, menangis tidak berlagulah Najwan.

“ Nini tidur ya. Selamat malam sayang,” kata Najwan lembut. Dahi isterinya dicium. Auni menggumam sahaja perlahan.

Tubuh kecil Auni diselimutkan sehingga paras dagu. Pendingin hawa dinaikkan sedikit suhunya sebagai langkah berjaga-jaga agar si isteri tidak demam. Malam ini memang agak dingin tidak seperti kebiasaan.

Najwan mengeluh perlahan. Dia turun ke dapur. Masih belum berasa mengantuk walaupun jam sudah menunjukkan 2:00 pagi. Tidak sedar bahawa dia masih perlu bekerja pada esok hari.

SESUDAH makan tengah hari, Auni harus bergegas ke Kondominium Lazuardi. Dia tidak mahu Puan Sarah ternanti-nanti akan kehadirannya. Sesudah memastikan kesemua dokumen yang berkaitan dibawa, dia mula menyusun langkah untuk ke tingkat bawah. Sempat juga Adda menegurnya.

“ Kau nak ke mana? Tergesa-gesa aje aku tengok,” sapa Adda yang baru sahaja berjumpa dengan Firas. Auni mengukir senyum buat sahabatnya itu.

“ Aku kena jumpa klien baru aku. Aku tak pasti aku akan balik pejabat semula atau tak. Kalau aku habis awal, aku datang balik. Kau balik dengan Ashraf kan petang ni?” soal Auni. Adda mengangguk mengiyakan.

“ Dia nak jumpa keluarga aku. Entah apalah yang dia nak bincangkan dengan mereka. Okeylah, aku jumpa kau esok. Bawa kereta baik-baik.”

“ Insya-Allah.”

Adda berlalu dari situ manakala Auni pula menuju ke ruang parkir kereta. Syukur jalan raya tidak terlalu sesak sepanjang perjalanan dia ke Kondominium Lazuardi. Swift diparkir di ruang parkir yang berhadapan dengan pintu masuk ke kondominium tersebut. Auni melihat kepada kertas yang mengandungi butir-butir mengenai klien baharunya itu, mula mencari alamat wanita itu.

Auni menuju ke lif dan menekan butang untuk ke tingkat empat. Sampai sahaja dia di situ, dia menghayunkan kakinya dan matanya mula melilau mencari lot kondo 405. Entah kenapa, dia merasakan dunianya berputar seketika. Cepat-cepat dia berhenti.

Kenapa dengan aku ni? Pening semacam aje?

Auni memicit dahinya bagi mengurangkan sedikit rasa peningnya. Sesudah berasa lega sedikit, Auni segera meneruskan pencariannya. Dia tidak mahu terlewat.

Auni mengukir senyum apabila berjaya menemui kediaman Puan Sarah. Muka Fossil direnung sekilas. Dia awal 10 minit sebelum temu janji mereka bermula. Lekas-lekas dia menekan loceng. Cepat dia mulakan kerja, cepatlah dia boleh balik.

Kedatangan Auni disambut dengan senyuman seorang wanita yang kelihatan berpangkat kakak kepadanya. Wanita ayu bertudung itu menyapanya mesra. Auni senyap sahaja.

“ Awak tentu Puan Auni, kan? Saya Sarah, pemilik kondo ni,” wanita itu memulakan bicara apabila melihat Auni seperti terkesima. Auni mengangguk teragak-agak. Malu apabila memikirkan reaksinya di hadapan wanita itu tadi.

“ Maaf, Puan Sarah. Kalau-kalau saya terlewat.” Auni sekadar berbasa-basi walaupun dia tahu kedatangannya lebih awal daripada masa yang sepatutnya. Puan Sarah menggeleng.

“ Awak datang awal tapi tak apa. Jemput masuk, maaflah kalau kondo ni bersepah sedikit,” pelawa Puan Sarah.

Auni mengekori langkah wanita itu memasuki ke ruang kondo mewah itu. Mereka berdua duduk di ruang tamu. Dua cawan teh dan sepinggan biskut cip coklat sudah terhidang di atas meja kopi.

“ Saya kenal awak melalui kawan-kawan saya. Mereka kata awak handal dalam hias dalaman ni. Jadi, saya nak awak yang uruskan reka hias dalaman kondo ni,” jelas Puan Sarah.

Auni mengangguk. Patutlah wanita ini mengenali dirinya, rupanya maklumat mengenai kerjaya dia sebagai pereka hias dalaman diperoleh daripada kawan-kawan Puan Sarah sendiri.

“ Puan Sarah, saya…”

“ Panggil aje Kak Sarah. Akak cuma tua beberapa tahun daripada awak,” kata Puan Sarah, sekaligus memotong percakapan Auni. Auni terpaksa bersetuju. Dia tidak mahu klien baharunya itu berkecil hati.

“ Baiklah, Kak Sarah. Akak tinggal seorang aje ke dalam kondo ni?” tanya Auni. Dia melihat pada ruangan kondo Sarah. Sarah menggeleng perlahan.

“ Taklah, akak tinggal dengan anak akak, dia tengah main dengan anak jiran sekarang ni. Suami akak pula masih di Eropah, dia kerja kat sana. Tapi, bila dia berkesempatan dia akan pulang ke Malaysia untuk jenguk kami,” jelas Sarah. Auni tersenyum.

“ Okeylah, Kak Sarah. Saya rasa kita dah boleh mulakan perbincangan kita,” ujar Auni yang tidak mahu terus membuang masanya.

Sarah mengangguk. Auni mula menunjukkan beberapa jenis rekaan bagi konsep klasik Inggeris. Mereka berdua tenggelam dalam perbincangan itu sebelum Sarah membawa Auni melihat-lihat ruang di dalam kondominiumnya itu. Agak lewat juga Auni pulang ke rumahnya pada hari itu.

Tepat jam 5:45 petang, Auni selamat sampai di rumahnya. Prius suaminya sudah tersadai di bawah bangsal kereta. Sesudah memberi salam, dia masuk ke dalam rumah. Auni bersandar pada sofa, terasa penat pula dia pada hari ini. Najwan muncul dari dapur dengan apron biru-merah jambu lembut bergambar Hello Kitty milik Auni.

“ Penatlah tu,” usik Najwan. Dia turut membawa keluar segelas jus oren lalu menghulurnya kepada Auni. Lemah Auni menyambut huluran suaminya. Najwan duduk di sisi isterinya.

“ Nampak penat betul Nini hari ni. Kenapa, demam?” Sebelah tangannya ditekap pada dahi Auni. Auni menggeleng perlahan.

“ Mana ada. Nini okeylah, penat sikit aje. Awal abang balik hari ni?” Gelas yang hanya berisi separuh jus diletakkan di atas meja kopi. Najwan mengangguk.

“ Baba beri kebenaran pulang awal. Sebab tadi abang ada mesyuarat kat luar, baba suruh abang balik rehat. Lagipun, esok ada persembahan projek. Hmm…. Nini demam ni. Itulah, semalam duduk dalam sejuk aje. Mana tak demam. Panas sikit, rehat ajelah ya? Abang dah masak untuk kita,” kata Najwan. Auni renung pelik pada Najwan.

“ Abang masak, betul ke? Abang tak ajar-ajar lagi Nini cara nak masakkan ayam masak lemon tu, tahu tak?” kata Auni.

Najwan ketawa. Dia menggosok kepala Auni. Tudung isterinya itu ditanggalkan. Rambut pun rasa nak bernafas juga. Ikatan rambut Auni turut ditanggalkan lalu dibiarkan mengalun bebas.

“ Dah, jangan banyak cakap. Biar abang uruskan makan malam kita hari ni. Nini naik mandi, lepas tu rehat. Dah solat Asar ke belum?”

Auni mengangguk perlahan. Dia sempat menunaikan solat Asar di kondominium Puan Sarah apabila memikirkan kemungkinan yang dia akan tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Nanti tidak pasal pasal pula terlepas solat Asar.

Najwan bangun daripada duduknya. Dia menarik Auni untuk berdiri sekali. Gelas yang berada di atas meja turut diambil.

“ Sekarang ni abang nak Nini naik atas, mandi, lepas tu rehat kejap. Abang akan panggil Nini bila dah siap masak. Faham?” Arahan yang sama diberikan. Auni mula menarik muncung.

“ Yalah, yalah.”

Lemah langkah Auni tatkala dia naik ke tingkat atas. Dia sendiri pelik, kenapalah dengan aku ni? Bukannya aku main hujan sampai boleh demam. Auni menggeleng sahaja. Masuk sahaja ke dalam bilik, dia menghidupkan suis lampu. Tuala dicapai dan dia masuk ke dalam bilik mandi.

Sesudah membersihkan diri, Auni merebahkan diri di atas katil. Lega terasa apabila kepalanya mencecah bantal. Rambutnya yang panjang dibiarkan bebas tanpa ikatan.

Terkebil-kebil matanya merenung siling. Kepalanya memang terasa berat, tetapi dia tidak boleh tidur. Tidak lama kemudian, kedengaran ketukan di pintu biliknya. Auni melihat sahaja Najwan masuk ke dalam bersama-sama sedulang besar makanan.

“ Hari ni kita makan dalam bilik. Tak sampai hati nak biarkan tuan puteri abang turun makan kat bawah tengah demam-demam macam ni. Hari ni abang buatkan ayam panggang dan sup sayur untuk Nini. Lepas makan, makan ubat, okey?” Najwan mula beri arahan ditaktor. Auni tersenyum lemah. Dia melihat sahaja Najwan meletakkan meja berkaki pendek di atas ribanya.

“ Sempat abang buat ayam panggang tu?” kata Auni. Matanya tertumpu pada ayam panggang yang sudah dihiris kecil-kecil itu.

“ Abang kan pulang awal hari ni. Lepas tu tengok Nini tak sampai-sampai lagi, abang pun masaklah. Sekali-sekala nak ringankan beban isteri, tak boleh ke sayang? Alih-alih Nini demam pula, kira bertuah tahu sebab abang dah masak untuk kita,” jelas Najwan. Dia menyiram nasi Auni dengan sup sayur.

“ Terima kasih, abang. Tiba-tiba aje Nini demam. Untung juga Nini demam, boleh merasa masakan abang lagi.” Dalam keadaannya yang tidak sihat, sempat lagi Auni mengusik suaminya.

“ Yalah, bertuah sangat-sangat,” balas Najwan. Auni ketawa lucu.

Pinggan nasi yang sudah siap diletakkan lauk diletakkan di hadapan Auni. Najwan turut makan di situ. Ini pengalaman kali pertama buat mereka berdua. Makan malam di dalam bilik. Kalau Auni tidak demam, tak merasalah mereka pengalaman itu. Najwan tersengih.

USAI solat Isyak berjemaah, Najwan biarkan sahaja Auni tidur awal pada hari itu. Biasanya Najwan akan menyiapkan kerja-kerja pejabatnya sambil ditemani oleh Auni yang akan menonton drama Korea kegemarannya di ruang tamu. Memandangkan isterinya itu demam secara mengejut, Najwan mengambil keputusan untuk menyudahkan kerjanya di beranda bilik tidurnya. Manalah tahu jika Auni perlukan sesuatu.

Mata Najwan tertumpu pada skrin Dell di atas meja yang berukir cantik itu tetapi hakikatnya fikirannya melayang ke tempat lain. Dia teringatkan pertemuannya dengan Safwan pada malam semalam.

Safwan menyampaikan berita yang sukar diterima olehnya. Sebenarnya berita itu sudah disampaikan oleh Safwan kepadanya tidak lama dahulu, sewaktu dia berada di Pulau Tioman. Kini, Safwan membawa pengesahan kepada berita yang disampaikan dahulu itu.

“ Kau kena hati-hati. Aku takut dia berdendam dengan kau sebab arwah Ikhwan meninggal. Kau kan tahu dia antara orang yang rapat dengan Ikhwan, malah merupakan orang yang paling rapat kalau nak banding dengan orang lain. Memang bukan salah kau Ikhwan mati, cuma aku takut dia tak boleh terima hakikat tu sampai sekarang.”

Nasihat Safwan sentiasa berlegar dalam fikirannya. Dalam mindanya kini dia hanya terfikirkan ‘dia’. Najwan cuma takut sekiranya kehadiran ‘dia’ akan menggugat rumah tangganya dengan Auni serta hubungannya dengan sahabat-sahabat lamanya yang lain.

Ya Allah, tenangkanlah hatiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience