BAB 55
“ MAMA….”
Senyuman Auni terukir saat melihat E-jat datang mendekatinya yang sedang duduk membaca majalah di ruang tamu. E-jat mengambil tempat di sebelahnya. Wajah muram anak kecil itu membuatkan Auni tertanya-tanya sendirian.
“ E-jat? Kenapa muram ni?” Lembut pertanyaan itu ditujukan kepada E-jat berserta usapan pada kepala anak kecil tersebut. E-jat mengangkat wajah untuk melihat kepada wajah mamanya yang sentiasa mengukir senyum.
“ Kenapa ni? Tak nak kongsi dengan mama?” Sabar Auni menyoal. Majalah yang dibaca tadi ditutup lantas diletakkan di atas meja yang berhampiran.
“ E-jat sedihlah mama. Qausar dah lama tak datang tadika,” luah E-jat sedih. Wajahnya kian muram.
Auni mendiamkan diri untuk seketika. Mindanya mula memikirkan sesuatu mengenai apa yang E-jat katakan kepadanya. Qausar dah lama tak datang tadika? Gambaran anak kecil yang mempunyai raut wajah kacukan itu menerjah mindanya.
“ Qausar dah lama tak datang? Kenapa?”
Pertanyaan keluar daripada bibirnya dengan kerutan di dahi. Auni mula bingung. Apa lagi yang Sarah lakukan? Takkanlah sehingga melibatkan anak kandungnya sendiri.
E-jat menggeleng. Dia duduk memeluk lutut rapat ke dadanya.
“ E-jat tak tahu. Cikgu Lisa ada telefon ibu Qausar, tapi ibu Qausar kata dia tak sihat. Tapi dah lama Qausar tak datang. E-jat risaulah mama.” E-jat berterusan meluahkan kesedihannya.
Auni mengeluh. Memang dia perasan bahawa sepanjang dia pergi menghantar dan mengambil E-jat di tadika, tidak pernah walau sekalipun dia terserempak dengan Sarah mahu pun Qausar. Sangka Auni, Sarah mahu mengelak daripada bertembung dengannya, rupa-rupanya ada kisah lain di sebalik itu.
Apa yang Kak Sarah fikirkan ni?
Kalaulah andaian Auni bahawa Qausar tidak hadir ke tadika semenjak peristiwa yang mencetuskan ketegangan antara dia dengan Najwan, bermakna sudah lebih daripada sebulan Qausar tidak hadir ke tadika. Tapi, takkanlah sampai macam tu sekali akibatnya? Atau Qausar memang sakit?
“ Cikgu Lisa tak pergi rumah dia?” tanya Auni.
Sepatutnya pihak pengurusan tadika ada menyimpan rekod mengenai pelajar-pelajar di tadika tersebut. Sudah pasti ada alamat yang tercatat sekali dengan data-data mereka. Biasanya kalau hal sebegini terjadi, pihak pengurusan perlu menelefon atau menghantar guru yang berkenaan ke rumah pelajar berkenaan untuk memastikan perkara yang sebenarnya.
“ Cikgu Lisa kata rumah tu tak ada orang. Setiap kali cikgu pergi, tak ada orang.”
Auni terpana. Tiada orang? Adakah Sarah sudah tinggalkan kondominium itu?
“ E-jat risaulah mama. Macam mana kalau Qausar memang sakit? Dah lama dia tak datang,” E-jat menyambung kata-katanya. Langsung tidak terkesan dengan perubahan wajah riak wajah Auni.
Teragak-agak Auni menguntum senyum. Namun hambarnya terasa.
“ E-jat rindu Qausar ya?” Perlahan Auni menyoal. Kepala anak kecil itu diusap lagi.
E-jat mengangguk perlahan. Dia kekal monyok.
“ Kat tadika tu, E-jat aje kawan Qausar. Qausar suka duduk seorang diri. Sebab tu E-jat risaukan dia.”
Keluhan terhembus lagi daripada bibir Auni. Simpatinya tumpah pada E-jat. Walaupun E-jat masih lagi kecil, tapi E-jat terlalu sayangkan kawan-kawannya. Tetapi Auni juga kasihankan Qausar. Bimbang sekiranya kanak-kanak itu benar-benar sakit atau dia dihalang untuk ke tadika oleh Sarah. Tapi, mereka ke mana?
Auni memujuk E-jat supaya anak kecil itu tidur awal. E-jat menurut sahaja kata-kata mamanya. Usai menutup lampu di tingkat bawah, Auni mengiringi E-jat ke tingkat atas. Hanya lampu di sekitar tangga sahaja dipasang.
Selepas menyelimutkan E-jat, Auni beralih ke almari. Dia mengambil sebuah kotak daripada bawah almari. Auni menuju pula ke sofa di suatu sudut bilik itu. Dia tersenyum pahit apabila mengenangkan di sofa itu jugalah tempat di mana dia dan Najwan selalu meluangkan masa bersama-sama. Auni melabuhkan duduk di sofa.
Abang…
Ditemani cahaya lampu meja, pandangan Auni jatuh pada kotak di atas ribanya. Penutup kotak itu diletakkan di sebelah. Matanya bergenang tatkala melihat dua helai pakaian bayi terletak elok di dalam kotak tersebut.
Mommy’s Hero. Daddy’s Heroine.
Telapak tangan kanannya diletakkan pada perutnya yang kian membesar. Sudah ada nadi yang sedang bernyawa dalam badannya kini. Senyuman Auni terukir juga walaupun pahitnya tetap terasa.
Bila abang nak balik?
Kandungannya sudah memasuki bulan keempat. Hari demi hari berlalu dan nyawa yang sedang dikandungnya kini sudah semakin membesar. Setiap pesanan suaminya yang dititipkan setiap kali Najwan menelefonnya tidak pernah diingkar.
Surah-surah yang elok diamalkan oleh ibu yang hamil dibaca setiap hari tanpa jemu. Tidak ketinggalan dengan doa yang sentiasa dipanjatkan kepada Ilahi. Auni yakin walaupun suaminya berada jauh daripadanya, Najwan juga melakukan hal yang sedemikian rupa. Dia yakin.
Auni yakin dengan amalan membaca surah setiap hari yang dizahirkan sebagai usaha untuk memperoleh yang terbaik untuk bayi dan dirinya sendiri itu akan membuah hasil. Dia percaya akan janji-Nya.
Amalannya membaca surah-surah pilihan juga disokong oleh ummi dan ibu. Surah Al Fatihah untuk menerangkan hati dan menguatkan ingatan, Surah Maryam pula bagi memudahkan ibu yang hamil bersalin dan memperoleh anak yang sabar dan taat. Bagi memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa Auni mengamalkan Surah Luqman manakala Surah Yusuf diamalkan untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.
Selain daripada itu Auni turut mengamalkan surah yang selalu dibaca seperti Surah Yassin dan Surah At Taubah. Ketenangan jiwa yang diraih melalui pengabdiannya kepada Yang Maha Esa mampu membuatkan dia tabah menghadapi hari-hari mendatang walau suami tiada di sisi.
Abang dah janji nak jadi bapa yang terbaik, kan? Samalah macam Nini, jadi ibu yang terbaik untuk anak-anak kita.
Penutup kotak itu kembali menutupi pandangannya daripada pakaian-pakaian bayi yang dihadiahkan oleh Najwan dahulu. Senyumannya kian berseri. Auni mengalih pandang pada gambar perkahwinannya dengan Najwan yang terletak di atas meja solek.
Nini percaya abang akan balik tak lama lagi.
Auni bangkit daripada duduknya untuk pergi menyimpan kotak tersebut. E-jat sudah lena tidur. Selepas mengunci pintu bilik, Auni duduk di birai katil untuk membetulkan letak kepala anak kecil itu. Wajah polos E-jat direnung lama. Apabila memikirkan kembali kata-kata E-jat, Auni mula gusar. Auni bimbang sekiranya ketidakhadiran Qausar ke tadika ada kaitan dengan rancangan Sarah untuk membuat onar lagi.
Kepalanya digeleng perlahan. Tidak akan sekali-kali dia akan mempercayai kata-kata Sarah lagi. Tidak! Kepercayaannya hanya perlu diberikan kepada insan yang bergelar suaminya. Bukannya seseorang yang menjadi orang ketiga dalam hubungan mereka.
Auni melemparkan pandangan ke luar tingkap. Gelap suasana malam diterangi dengan lampu-lampu di sekitar kawasan perumahannya. Kerdipan bintang turut tenggelam dengan cahaya lampu-lampu tersebut. Senyuman Auni dikuntum lagi.
Kita bernafas di bawah langit yang sama. Kan, abang?
LANGKAH Auni terhenti selepas berjalan beberapa tapak daripada Swift yang diparkir berhampiran pondok pengawal. Pernafasannya dirasakan tidak teratur. Matanya memandang kepada bangunan kondominium yang berdiri gah di hadapannya. Perasaan Auni seakan-akan serba tidak kena apabila melihat kondominium yang menjadi kediaman Sarah.
Apa yang aku buat ni?
Sepanjang pemanduan Auni dari tadika E-jat ke sini, tiada langsung perasaan yang dirasakannya. Namun sebaik sahaja sampai di sini, hatinya mula bercelaru. Pelbagai rasa sedang bermain di dalam hatinya.
Betul ke tindakan aku ni?
Pantas Auni menggelengkan kepalanya. Wajahnya berkerut-kerut. Auni mengutuk dirinya sendiri yang tidak mampu berbuat apa-apa tatkala berada di kawasan kondominium Sarah. Auni sebenarnya takut. Takut sekiranya dia tidak kuat untuk berhadapan dengan wanita itu.
Kerana cerita E-jat semalam, Auni ke Kondominium Lazuardi. Dirinya tidak betah apabila memikirkan mindanya bercelaru hanya kerana seorang wanita yang bernama Sarah. Apa yang penting, perhatian Auni lebih kepada Qausar. Walaupun Sarah mendakwa kanak-kanak itu merupakan anak kepada Sarah dan Najwan, Qausar tetap kawan kepada E-jat. Dan Auni tidak akan membenarkan kata-kata Sarah mempengaruhi dirinya lagi.
Auni mengeluh sendirian. Terasa getaran dan nada dering berlagu daripada poket blaus longgar labuhnya. Tangannya segera mencapai Xperia yang menandakan ada mesej masuk ke dalam Xperia. Auni tersentak tatkala melihat nama Sarah timbul sebagai penghantar mesej. Teragak-agak Auni untuk membuka mesej itu namun dikuatkan dirinya. Mesej itu dibaca.
Auni ke sini untuk dapatkan kebenaran?
Walaupun ianya pahit?
Bagaimana Sarah tahu mengenai kehadirannya ke sini? Mata Auni meliar untuk mencari kelibat Sarah. Mustahil wanita itu boleh nampak dia daripada tingkap unit kondominiumnya! Kondominium wanita itu terletak di tingkat empat! Sudah tentu Sarah berada berhampiran dengannya sekarang.
Perlahan-lahan Auni melangkah mengundurkan diri. Xperia berlagu lagi menandakan ada mesej baharu masuk. Satu lagi mesej daripada Sarah. Tanpa menghiraukan perasaannya yang tidak keruan, Auni terus membuka mesej tersebut.
Auni nak jumpa akak, kan?
Satu tindakan yang baik.
Auni sudah tidak peduli dengan rancangannya untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keadaan Qausar. Dia dapat merasakan dirinya berada dalam bahaya jika dia berlama-lama di kawasan Kondominium Lazuardi. Auni terus masuk ke dalam Swift. Membiarkan sahaja mesej-mesej Sarah tanpa balasan. Dia tiada hati untuk membiarkan Sarah merasakan bahawa dia berjaya mengharubirukan hidupnya.
Xperia berdering lagi. Auni menjeling kepada Xperia yang dicampak ke tempat duduk penumpang di sebelah tempat duduk pemandu. Nama Sarah timbul lagi. Auni mula bengang. Apa lagi yang Sarah nak? Kenapa nak bermain teka-teki dengannya? Kenapa tak muncul sahaja di hadapannya? Bukankah wanita itu suka bertindak berani? Mesej itu dibuka.
Auni nak larikan diri?
Lari daripada perkara yang sebenar?
Xperia dicampak kembali ke sebelah. Auni menepuk-nepuk pipinya. Berulang kali dia beristigfar bagi menenangkan hati yang kian bercelaru dengan mesej-mesej yang dihantar oleh Sarah. Selepas menenangkan dirinya buat seketika, Auni terus memandu Swift keluar dari kawasan Kondominium Lazuardi.
Namun, apa yang dilihatnya di hadapan mengejutkan Auni. Sarah sedang berdiri di sebelah pintu pagar kondominium tersebut dengan senyuman yang tertampal pada wajahnya. Wanita itu melambai kepada Auni sewaktu Swift Auni bergerak melepasi pintu pagar.
“ NINI!”
Najwan tersedar daripada lenanya. Peluh merecik pada wajah. Dadanya berombak kencang. Berulang kali dia meraup wajah dengan istigfar yang tidak lekang daripada bibirnya. Selepas dirinya tenang sedikit, Najwan menarik nafas panjang. Dia bersandar pada sofa yang menjadi tempat baringannya tadi.
Nini.. Ya Allah.. lindungilah isteriku.
Apabila mengingati mimpi yang dialaminya tadi membuatkan Najwan tidak senang duduk. Dalam mimpinya, dia melihat dengan jelas Auni sedang bergelut dengan Sarah di hadapannya. Walaupun berulang kali Auni menyeru namanya, namun kaki Najwan tetap tidak dapat berganjak. Hatinya tersayat saat mendengar namanya diseru berulang kali oleh Auni yang sedang mengaduh kesakitan. Apa yang membuatkan jantungnya mampu berhenti berdegup ialah tatkala dia melihat Auni jatuh selepas ditolak oleh Sarah. Kelihatan darah keluar selepas isterinya jatuh.
Tenangkanlah hatiku Ya Allah… Lindungilah isteriku…
Tidak henti-henti Najwan mengucap istigfar. Kerisauannya menggunung. Najwan takut sekiranya apa yang dilihatnya dalam mimpi tadi benar-benar terjadi. Hatinya mula meronta-ronta untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin. Jika boleh, pada saat ini juga dia mahu berada di samping isterinya.
Mata Najwan jatuh pada nashkah Al-Quran bersaiz kecil miliknya. Al-Quran yang dilengkapi dengan terjemahan itu dicapai. Tadi, usai mengerjakan solat Zohor dan solat hajat Najwan mengalunkan kalimah-kalimah agung ciptaannya. Kerana berasa mengantuk, Najwan terus tidur di atas sofa. Mungkin kerana perasaan bimbang akan diri Auni membuatkan dia mengalami mimpi yang sedemikian.
Bunyi yang kedengaran daripada BlackBerry yang terletak di atas katil memancing perhatian Najwan. Cepat-cepat dia melangkah ke katil untuk mendapatkan BlackBerry yang masih melagukan Safe. Dia mengukir senyum di saat dia melihat nama yang tertera pada skrin BlackBerry. Punat hijau ditekan.
“ Hello, Mr. Najwan. Is it you?” Suara seorang perempuan menyapa pendengarannya.
“ Yes, Ms Adams. I believe that you’ve already got my message from your PA,” balas Najwan sopan. Tidak putus-putus dia berdoa agar dia mendapat berita gembira. Berita yang ditunggu-tunggu.
“ Yes, I’ve got it. You want to know about Sarah, right? Can you come to my office? I think it’s not quite appropriate to talk about her in a phone call,” pinta gadis yang dipanggil Cik Adams itu. Laju Najwan mengangguk.
“ Yes. I hope you have her documents too. Can I meet you tomorrow?”
“ Please meet me tomorrow at 10 AM. I will prepare her documents. It is enough? Or do you need something else?”
“ Thanks. It’s more than enough. And thank you for helping me.”
“ It’s my pleasure. But Mr. Najwan, is she okay?” Suara itu berubah risau. Najwan tersenyum hambar. Dia menghela nafas.
“ I hope so, Ms Adams. I hope so.”
Terdengar gadis itu mengeluh di hujung talian.
“ Okay. Then, I’ll see you tomorrow. Bye.”
“ Bye and thank you.”
BlackBerry diletak di atas meja kecil di sebelah katil. Najwan melabuhkan duduk di birai katil. Senyumannya lebar. Hatinya mengandaikan dia akan mendapat maklumat yang diperlukan daripada Cik Adams kelak. Wajah ceria Auni terbayang di hadapan matanya.
Tak lama lagi Nini. Abang akan balik. Sabar sayang. Tak lama sahaja lagi. Abang janji. Abang akan selesaikan semuanya tak lama lagi.
Share this novel