BAB 57
KEMAS jemari Auni berada dalam genggaman Najwan. Senyuman Auni terukir namun air matanya masih lagi belum berhenti mengalir. Perlahan Najwan mengesat mutiara jernih itu. Dia mengucup lembut dahi isterinya. Auni tersenyum malu.
Petang tadi, Auni meminta Najwan pergi ke rumah ibu dan baba bersama-samanya. Pada mulanya mereka sekeluarga agak terkejut dengan kepulangan mendadak Najwan. Ibu menangis gembira apabila melihat anak sulungnya itu sudah pulang kembali ke Malaysia. Berulang kali Najwan meminta maaf dengan kedua-dua ibu bapanya di atas perbuatannya itu. E-jat juga sudah pulang semula ke rumah ibu dan baba.
“ Abang minta maaf, Nini. Abang tahu, abang tak patut tinggalkan Nini macam tu aje tanpa beritahu Nini dulu, tambahan lagi Nini tengah hamil sekarang ni,” ucap Najwan penuh penyesalan.
Sudah beberapa kali Najwan menyesali perbuatannya. Dia merasakan dirinya langsung tidak berguna sebagai seorang suami. Betapa teganya dia meninggalkan seorang isteri yang sedang menghamili anak sulungnya begitu sahaja tanpa khabar berita.
“ Abang, sudahlah. Abang tak salah… Nini ingatkan abang masih marahkan Nini… Nini…”
Kata-kata Auni dipotong dengan gelengan Najwan. Lelaki itu mengukir senyum buat isteri yang tercinta.
“ Tak apa. Kan abang dah kata, abang langsung tak marah Nini? Lupakan ya perkara tu? Alhamdulillah, abang dah nampak jalan macam mana nak selesaikan masalah kita sekarang ni,” jawab Najwan. Auni mula kelihatan kehairanan dengan kata-kata suaminya. Apa maksud Najwan?
“ Apa maksud abang? Ada kaitan dengan Kak Sarah ke?” Auni mula menyoal. Dia benar-benar tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Najwan. Adakah ia benar-benar berkaitan dengan Sarah?
Najwan terpaksa mengiakan. Cukuplah dengan penderitaan yang masih lagi berbekas dalam hati isterinya. Dia tidak mahu menambah derita gadis itu. Lebih baik dia berterus-terang sahaja walaupun tidak semua perkara mengenai Sarah dia mampu kongsikan dengan isterinya itu.
“ Siapa Kak Sarah sebenarnya, abang? Kenapa dia kata Qausar anak abang dengan dia? Kenapa? Abang memang kenal dengan Kak Sarah, kan?” Bertalu-talu Auni melontarkan pertanyaan.
Buat masa ini, dia mahukan jawapan bagi semua soalan yang bermain dalam fikirannya kini. Kehadiran Sarah yang mengatakan Qausar merupakan anaknya bersama-sama Najwan dianggap sebagai suatu misteri oleh Auni. Apa tujuan wanita itu mengatakan hal yang sedemikian. Adakah kerana mahu meruntuhkan rumah tangganya dengan Najwan?
Najwan terasa bebanannya semakin memberat. Dia menghela nafas panjang. Dia tidak boleh menyalahkan Auni yang kelihatan begitu beria-ria mahu mengetahui mengenai hubungannya dengan wanita yang dipanggil Sarah itu. Kerana kehadiran wanita itu, hidupnya mula porak peranda.
“ Maaf, Nini. Buat masa ni abang tak boleh jelaskan semuanya. Masih belum tiba masanya untuk Nini tahu tentang semua ni. Cuma abang minta, Nini kena hati-hati dengan Sarah. Dia terlalu bahaya walaupun Nini nampak dia seperti perempuan biasa. Jangan curi-curi jumpa dia tanpa pengetahuan abang,” pinta Najwan. Wajahnya mula berkerut. Auni terpaksa juga mengangguk. Dia tidak mahu memaksa suaminya.
“ Sarah tak ada kacau Nini masa abang tak ada, kan?” Sekali lagi Najwan menyambung kata-katanya. Namun kali ini lebih berunsur pertanyaan. Auni menggeleng. Tidak sesekali dia akan memberitahu mengenai perbuatan Sarah dan mesej-mesej yang pernah dihantar oleh wanita tersebut. Tidak lama kemudian Auni tersentak. Dia mula teringat akan sesuatu.
Auni bangun daripada sofa lalu menuju ke almari kecil yang terletak di sudut tepi ruang tamu rumah mereka. Gadis itu mencapai sesuatu daripada dalam almari itu. Najwan hanya memerhatikan sahaja sampul surat besar yang berada di tangan isterinya.
“ Sampul apa tu, Nini?”
Sampul surat itu diserahkan kepada Najwan. Tanpa teragak-agak Najwan terus mengambilnya. Dia membelek setiap inci sampul surat itu sebelum menyedari tiada nama atau alamat yang ditulis atas sampul surat berkenaan. Najwan merenung pada Auni yang sudah duduk di sebelahnya.
“ Abang buka dulu. Cuba tengok isi dalamnya,” kata Auni tenang sebelum sempat Najwan membuka mulut untuk menyoal sekali lagi. Tanpa sebarang bantahan, Najwan terus membuka sampul surat itu. Beberapa keping gambar jatuh di atas ribanya.
Najwan agak terkejut dengan kepingan-kepingan gambar tersebut. Dia mengambil salah satu daripadanya lantas diteliti sebaik mungkin. Suatu keluhan terhembus juga daripada mulutnya. Auni melihat sahaja perilaku suaminya itu.
“ Apa yang berlaku, abang? Abang kenal ke lelaki dalam gambar ni?” tanya Auni apabila melihat Najwan langsung tidak mengatakan apa-apa. Najwan tidak mengiakan atau menidakkan pertanyaan Auni. Dia hanya berdiam diri sahaja tanpa sebarang respon.
“ Abang?”
Sekali lagi Najwan mengeluh. Dia menoleh pada Auni di sisi.
“ Dari mana Nini dapat gambar-gambar ni?” Pertanyaan Auni dibalas dengan pertanyaan juga daripada Najwan. Auni senyap seketika.
“ Kak Sarah.”
Najwan menggeleng perlahan. Nampaknya Sarah semakin di luar kawalan. Dia harus cepat bertindak sebelum wanita itu semakin tidak dapat dikawal. Ianya bukan sahaja akan membahayakan hubungannya dengan Auni, malah orang-orang di sekelilingnya juga.
“ Jauhi dia. Kalau Nini dapat panggilan atau tiba-tiba terserempak dengan dia, cepat-cepat telefon abang atau orang yang terdekat dengan Nini. Kalau Nini perlu keluar, beritahu abang. Biar abang temankan. Kalau abang tak boleh, pastikan ada orang lain yang temankan Nini,” ujar Najwan. Dia kelihatan gelisah. Auni terpaksa mengangguk.
“ Ba… baiklah.”
Auni kebingungan. Kenapa suaminya kelihatan seperti terlalu takut akan Sarah? Apa yang telah berlaku antara mereka dahulu?
NAJWAN memimpin tangan Auni merentasi jalan raya yang kian sibuk. Mereka baru sahaja keluar dari sebuah klinik milik kenalan Nawal. Sepanjang ketiadaannya, Nawal membawa Auni memeriksa kandungan di klinik itu bagi memudahkan segala urusan. Auni pula hanya menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa memandangkan kandungannya berada dalam keadaan yang stabil.
“ Nini tunggu dulu di sini, abang nak ke kedai runcit tu sekejap. Dahaga pula panas-panas macam ni. Jangan ke mana-mana,” pesan Najwan selepas membuka pintu kereta. Auni mengangguk sahaja lantas terus masuk ke dalam.
Najwan bergegas menuju ke kedai runcit yang dimaksudkan. Auni pula membuka Majalah Pa&Ma yang baru sahaja dibelinya tadi. Manalah tahu ada tips-tips yang sesuai dipraktikkan olehnya kelak. Sekeping VCD kumpulan Westlife dimasukkan ke dalam pemain VCD. Tonight berlagu di dalam kereta.
Tok! Tok!
Auni dikejutkan dengan bunyi ketukan di pintu cermin kereta. Tambah dia terkejut apabila mendapati Sarah yang mengetuk cermin itu. Auni melihat ke arah kedai runcit yang menjadi sasaran suaminya tadi. Menyedari Najwan masih belum kembali, cepat-cepat dia menurunkan cermin kereta.
“ Kak Sarah… kenapa?” tanya Auni yang mula gugup. Dia bimbang sekiranya Najwan muncul secara tiba-tiba malah dia takutkan kemunculan Sarah yang secara tiba-tiba ini. Dia dah jadi stalker aku ke? Auni mula bengang.
“ Nampaknya suami Auni dah balik,” kata Sarah. Seperti biasa, hanya senyuman yang menghiasi wajah cantik itu. Auni menelan liur. Apa lagi yang wanita ini inginkan?
“ Apa yang akak nak? Kak Sarah nak beritahu saya apa-apa ke?” tanya Auni. Dia cuba mengawal intonasi suaranya agar tidak kedengaran biadap walaupun dia sudah mula bengang dengan tindakan wanita itu. Apatah lagi Sarah tua beberapa tahun daripadanya.
Sarah tersenyum. Kelihatannya seperti senyuman itu menyimpan suatu rahsia. Auni menanti sahaja bicara wanita tersebut. Walau bagaimanapun, dia tetap gelisah. Dia bimbang sekiranya Najwan akan muncul tatkala mereka berdua masih lagi sedang berbicara.
“ Akak akan telefon Auni bila dah tiba masanya akak ceritakan semuanya pada Auni, ya? Jangan bimbang, akak yakin Auni nak dengar cerita akak, kan? Sebab akak pasti yang suami Auni tak cerita betul-betul pasal kami, betul tak apa akak cakap ni?”
Sarah seakan-akan memancing Auni untuk masuk ke dalam perangkapnya yang telah lama tercipta. Tanpa membuang masa Auni terus bersetuju walaupun dia sedar Najwan akan membantah keras tindakannya itu.
“ Ba… baiklah. Saya tunggu panggilan akak,” ucap Auni. Sarah tersenyum lagi lantas terus berlalu dari situ. Cepat-cepat Auni menaikkan cermin Prius. Dia berpura-pura menyambung balik bacaannya pada muka surat majalah Pa&Ma tadi. Hatinya mula berdebar-debar.
“ Nini?”
“ Ya Allah!”
Najwan tergamam buat seketika apabila menyedari betapa terkejutnya Auni dengan sapaan dia tadi. Tanpa berlengah lagi Najwan terus masuk ke dalam perut Prius. Dia merenung dengan penuh kehairanan kepada wajah Auni yang mula pucat.
“ Nini? Kenapa ni? Nini terkejutkan apa ni?” Najwan mula gelabah melihat perubahan wajah isterinya. Dia meletakkan belakang tapak tangannya pada dahi Auni. Panas sedikit daripada suhu kebiasaannya.
“ Nini?” Najwan memanggil sekali lagi apabila menyedari Auni tidak memberi sebarang respon. Auni menggeleng sahaja. Dia menepis perlahan tangan Najwan yang masih mendarat pada dahinya.
“ Tak.. tak ada apa-apa. Nini pening sikit aje, abang tak payahlah risau,” balas Auni. Dia bimbang dirinya akan dimarahi oleh Najwan sekiranya cerita sebenar disampaikan. Dia harus merahsiakan pertemuannya dengan Sarah beberapa ketika tadi.
Najwan menghulurkan setin Yeo’s Cincau kepada Auni. Auni melihat sahaja huluran itu. Langsung tiada niat untuk mengambilnya. Dirinya seakan-akan tidak dapat berfikir dengan baik buat masa ini.
Najwan menarik senyum. Dia meletakkan tin yang sejuk itu pada pipi kanan isterinya. Segera Auni mengelak. Rasa dingin tin itu membuatkan dia terkejut sekali lagi. Auni terkebil-kebil melihat Najwan yang sudah mula menghamburkan tawanya.
“ Kenapa khayal semacam aje ni? Abang belikan air cincau untuk Nini. Ibu kata baik untuk ibu mengandung. Atau Nini tak suka? Kalau Nini tak suka, boleh tukar dengan abang,” kata Najwan seraya menghulurkan pula tin Yeo’s Chrysanthemum ke tangan Auni. Auni menolak perlahan tin minuman teh itu lantas mengambil tin Yeo’s Cincau.
“ Nini okey aje. Abang tak payah bimbanglah. Terima kasih untuk air ni,” ucap Auni. Dia membuka penutup minuman tin itu. Najwan mengangguk sekilas. Dia menghulurkan penyedut minuman kepada Auni.
“ Sama-sama,” balas Najwan. Auni hanya tersenyum kecil namun senyumannya kali ini terasa tawar sahaja. Moodnya rosak gara-gara kemunculan Sarah tadi.
NAJWAN meletakkan sampul surat yang diserahkan oleh Auni kepadanya tempoh hari di hadapan Safwan yang baru sahaja menghirup kopi panasnya. Safwan mengangkat muka lantas tanpa sebarang pertanyaan dia terus mencapai sampul surat itu. Dia mengangkat sebelah keningnya. Tertanya-tanya akan isi sampul surat itu.
“ Nini yang beri. Masa aku baru balik Malaysia tempoh hari,” ucap Najwan tanpa berlengah lagi.
Kali ini, dia menjemput Safwan ke pejabatnya pada waktu makan tengah hari. Sepatutnya mereka ke restoran yang terletak berhampiran dengan syarikat baba tetapi akhirnya Najwan memutuskan mereka akan makan sahaja di dalam pejabatnya. Itu bagi memastikan perbualan mereka kekal rahsia. Oleh itu, awal-awal lagi Najwan memesan dua nasi ayam dari restoran itu.
“ Kalau ya pun, baik kau makan dulu nasi ayam kau tu. Kau tak nak makan, aku boleh tolong habiskan,” kata Safwan lalu menyuap nasi ayam ke dalam mulutnya. Najwan menggeleng sahaja. Dia mencapai juga sudu yang tidak terusik sejak daripada tadi.
“ Yalah, yalah, aku makan. Tapi kau tengoklah juga isi sampul tu, jangan asyik ingat nak makan aje.” Sempat lagi Najwan membebel sebelum menyuap sesudu nasi ayam. Safwan kembali membelek sampul surat itu. Dia menonggengkan sampul surat berkenaan. Kepingan-kepingan gambar yang menjadi penghuni sampul surat itu jatuh di atas sofa.
Safwan membetulkan letak cermin mata di atas batang hidungnya. Dia mengutip gambar-gambar yang berada di atas sofa itu. Satu persatu dia meneliti gambar yang berada di dalam tangannya. Dahinya mula berkerut.
“ Bukan ke ni gambar Reena dengan…”
Najwan pantas mengangguk sebelum sempat Safwan menghabiskan kata-katanya. Sudu yang baru beberapa minit sahaja berada dalam tangannya kembali diletakkan di atas pinggan.
“ Aku dah rasa dia macam stalker. Nini beritahu aku dia terserempak dengan Reena masa di pusat beli-belah hari tu. Takkanlah mereka terserempak secara kebetulan kalau awal-awal lagi Reena dah pegang sampul tu. Dia memang berniat nak serahkan sampul ni pada Nini.”
“ Jadi, apa tanggapan kau pasal Reena?” Safwan semakin berminat dengan apa yang sedang berada dalam fikiran Najwan.
“ Gangguan mental?”
“ Gangguan mental. Aku pun setuju kalau kau kata macam tu. Macam manalah dia boleh berubah sampai macam ni? Kau belum cerita lagi pada aku pasal pencarian kau di London hari tu. Kau jumpa apa pasal Reena kat sana?”
Najwan duduk bersandar pada sofa. Bahagian inilah yang sukar untuknya bagi diterangkan kepada Safwan. Walaupun Safwan itu sahabatnya sendiri, tetapi dia rasa dia seakan-akan membuka aib balu sahabat baiknya sendiri. Tetapi, hanya Safwan sahaja yang boleh membantunya kini.
“ Aku…”
LAMA Auni duduk termenung di gazebo yang terletak di perkarangan rumahnya. Dia kini berseorangan di kediamannya. Najwan masih di pejabat. Auni masih belum mula bekerja. Encik Adam akan memanggilnya masuk kembali ke pejabat pada hari Isnin minggu hadapan. Buat masa ini, dia mahu berehat daripada sebarang tekanan kerja. Apatah lagi dia mudah letih sejak akhir-akhir ini.
Mindanya sedang memfokuskan pada segala perkara yang dia tahu mengenai Sarah. Selama dia kenal Sarah, dia merasakan bahawa wanita itu agak aneh sebenarnya. Malah, Auni kadang-kadang merasakan bahawa wanita itu seakan-akan hilang dalam dunianya sendiri.
Dulu, aku pelik sebab dia tahu Abang Naj pewaris Al-Azwar. Kak Sarah pernah kata anaknya umur empat tahun, bila aku tanya balik dia kata dia tak ada anak. Rupa-rupanya, Qausar tu anak Kak Sarah. Kak Sarah pun pernah… pernah kata seolah-olah suami dia dah mati. Dan mula-mula tu.. dia panggil suaminya Abang Man… kemudian… Abang Wan pula? Kenapa dengan dia? Nampak macam kecelaruan fikiran…
Auni mula buntu. Tetapi dia tidak akan senang duduk sekiranya masalah mengenai Kak Sarah ini tidak diselesaikan secepat mungkin. Ada sesuatu yang pelik pada Kak Sarah tetapi dia masih belum memikirkannya lagi. Kemudian, Auni tersentak tiba-tiba.
Naj kata… semua orang yang kenal dia, kawan-kawan dia akan panggil dia Qimi. Cuma keluarga aje yang panggil dia Naj. Tapi… hari tu aku dengar Kak Sarah panggil dia Wan. Kak Sarah silap orang ke? Tapi… tak salah kalau ada kemungkinan Kak Sarah seorang aje yang panggil Naj dengan nama Wan.
Memikirkan mengenai Sarah benar-benar boleh membuatkan dia pening kepala. Dia seakan-akan boleh hilang tumpuan. Auni diam sahaja, cuba menenangkan fikirannya. Dia tidak boleh berfikir dalam keadaan dirinya yang tidak tenang seperti ini.
Atau…
Auni mula teringatkan sesuatu. Jika difikir-fikirkan balik, kesemua kepelikan yang ada pada diri Kak Sarah seolah-olah membawa maksud akan sesuatu. Auni teringatkan pada malam dia tidur di ruang tamu selepas bercakap dengan Najwan mengenai sesuatu penyakit. Skizofrenia, penyakit yang mengakibatkan mental seseorang berada dalam keadaan yang tidak stabil.
Adakah… skizofrenia?
Xperia yang berbunyi daripada kocek seluarnya menghalau pergi segala yang Auni khayalkan. Dia agak tergamam apabila menyedari siapa yang menghantar mesej kepadanya. Tanpa teragak-agak lagi dia membuka mesej itu.
Jumpa akak di kondo akak Isnin depan.
Akak nak jumpa Auni seorang saja.
Auni menarik nafas sebelum menghembusnya perlahan. Hatinya mula berdebar-debar kembali. Walau bagaimanapun, dia harus bersemuka dengan Sarah. Mungkin wanita itu boleh menceritakan segala-galanya kepada dia. Yang penting, dia harus merahsiakan pertemuannya dengan Sarah daripada pengetahuan Najwan.
Auni sedar berdosa besar jika dia mengingkari arahan suaminya memandangkan Najwan sudah memaklumkan kepadanya awal-awal lagi bahawa Najwan tidak mahu terjadi sebarang pertemuan antara dia dengan Sarah. Tetapi Auni bertekad untuk mengingkarinya walaupun ini merupakan kali pertama dia menderhakai suaminya. Inilah jadinya apabila akal mula dikuasai oleh nafsu. Auni tenggelam dalam persoalan yang bermain dalam mindanya sendiri.
Walau bagaimanapun, hati Auni tetap tidak tenang apabila memikirkan rancangannya yang akan mengakibatkan dia menderhakai suaminya itu.
Patutkah aku pergi? Atau tidak?
Share this novel